Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Mila Jirin. Show all posts
Showing posts with label Mila Jirin. Show all posts

TIDAK MAHU DITAJA - MILA JIRIN INGIN MAJLIS PERNIKAHAN GUNA WANG SENDIRI

"Bukan berlagak ataupun tidak sudi, tetapi Mila lebih berpuas hati jika dia dapat menggunakan wang titik peluhnya bagi merealisasikan majlis sekali seumur hidup itu," demikianlah kata Mila Jirin yang lebih selesa tidak menerima sebarang tajaan kerana enggan mengecewakan mana-mana pihak. Mila yang bakal melangsungkan perkahwinan pada November depan berkata jika mereka masih mahu menghulurkan bantuan dalam majlis itu boleh, cuma Mila minta agar dia dan bakal suaminya, Ahmad Ailis Mustapha atau Isz diberi keizinan untuk memberi token penghargaan pada kerja mereka.
"Kalau dapat harga istimewa, apa salahnya. Rezeki jangan ditolak," ujar Mila dipetik sebagai berkata. Mengenai perkembangan seni, single terbaharunya yang bertajuk 'Bukan Isteri Sempurna' sudah mula berkumandang di corong-corong radio. Di samping itu, juara Akademi Fantasia musim ke-5 ini juga rancak dengan perniagaannya Bizz Milla Katering, Baju Kurung Milla dan Restoran Embun Urai yang sekarang semakin maju.

Mila berubah

SEORANG demi seorang selebriti tempatan mengambil keputusan untuk berhijrah demi menurut suruhan Allah SWT atas kesedaran diri dan bukan kerana paksaan daripada orang lain. Terbaharu yang melakukan perubahan itu adalah penyanyi Mila Jirin yang sudah menutup auratnya sejak akhir Ramadan lalu. Menurut juara Akademi Fantasia musim kelima, hasrat untuk menutup aurat itu sudah lama terpendam, namun baru-baru ini baru terlaksana. “Semua itu berlaku tiba-tiba sahaja. Satu pagi tu sewaktu menonton televisyen saluran Oasis ada di siar zikir, hati saya terus berkata, kenapa perlu tunggu untuk pakai tudung. Baik aku pakai sekarang. “Bila saya beritahu pada ibu, dia amat gembira dan terus mencari tudung-tudungnya untuk diberi pada saya. Dari situlah bermulanya saya berhijab," ceritanya kepada Hits. Mila yang selesa mengenakan tudung bawal berkata, perubahan imej tidak sedikitpun mengganggu perjalanan kariernya. “Saya ni penyanyi, jadi tidak ada masalah. Kalau pelakon itu mungkinlah kena jaga batasan apabila berlakon, tidak lagi boleh beraksi seperti sebelum berhijab. “Apa pun saya percaya, setiap perubahan (berhijab) yang dilakukan oleh selebriti ada hikmah kerana semua orang ingin mencari keredaan-Nya. Saya percaya setiap orang ada rezeki masing-masing," katanya. Rancak bisnes Selain menyanyi, Mila atau nama sebenarnya Noorsyarmilla Jirin, 27, kini aktif berniaga. Antara bisnes Mila adalah Luvmila Corporation yang memberi tumpuan kepada pengurusan majlis dan video korporat, restoran Embun Urai di Puchong, Biz Milla Trading (menjual pakaian secara online) dan Biz Milla Catering. Jelasnya, sejak membabitkan diri dalam bidang perniagaan secara serius, masa senggangnya agak terbatas, namun dia gembira. “Apa yang saya lakukan sekarang adalah untuk masa hadapan. Lagipun saya suka dengan apa yang saya lakukan. Macam jualan baju, bukan setakat menjual, saya turut terbabit dalam pemilihan dan mereka fesyen. “Kebanyakan kain-kain baju rekaan saya dibeli di China dan dijual pada harga yang berpatutan sekitar RM65 hingga RM200 sebab sasaran saya adalah untuk golongan pelajar dan pekerja biasa," katanya. Jelas Mila, dia memilih untuk menjual baju kurung kerana fesyen itu tidak pernah luput dek zaman dan baju itu boleh dipakai dalam semua acara. Bercerita lebih lanjut tentang perniagaannya, Mila berkata, Biz Milla Catering bukan sekadar menawarkan perkhidmatan katering malah merangkumi pakej perkahwinan yang menyediakan dewan serbaguna di Bukit Jelutong, Shah Alam. “Selalunya bila orang buat majlis perkahwinan, bukan setakat mencari katering, lokasi majlis juga perlu diambil kira. Memandangkan kadang-kadang sukar untuk dapat lokasi, pihak saya turut menyediakan dewan untuk majlis tersebut. “Pihak saya bukan sahaja menyediakan makanan, dewan, malah kami turut menyediakan perkhidmatan video. Kiranya pengantin hanya datang bawa diri sahaja," katanya. Karier macam biasa Bila melihat Mila sibuk dengan bisnes, ramai yang berpendapat pasti dia melupai dunia seni. Mana mungkin Mila meninggalkan bidang yang sudah sebati dengan dirinya. Kata Mila, biar sibuk dengan perniagaan, dia tetap menerima tawaran mengadakan persembahan pentas. Malah di waktu yang sama, Mila juga sedang membuat persiapan untuk tampil dengan lagu baharu, Boneka, ciptaan Kunci Demak dan lagu duet dengan Nubhan, Hampir Jauh, ciptaan Omar K. “Perjalanan karier saya tetap berjalan seperti biasa, mungkin sekarang ini tidak sibuk seperti dulu. Apa pun saya tetap ambil tawaran persembahan kerana dari situ baru orang tahu yang saya ini tidak pernah berhenti menyanyi. Kalau nak harap album memanglah lambat. “Jadi sementara menunggu ada lagu baharu, persembahan pentas tidak pernah saya tolak. Lagipun persembahan begitu tidak ambil masa yang lama. Saya tidak pernah terfikir untuk mengundurkan diri daripada bidang seni, biarpun penampilan saya berubah kerana menyanyi juga adalah punca pendapatan saya," katanya. Bakal suami tidak halang Semua orang sudah tahu yang Mila bakal melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan dengan jejaka pilihan hati yang sudah dikenalinya sejak beberapa tahun lalu. “Memang kami sudah kenal lama dan dia juga tidak pernah menghalang saya untuk bergiat dalam bidang seni atau perniagaan. Dia sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada saya. “Bila saya beritahu akan melangsungkan perkahwinan, ramai yang nak tahu siapa dia. Biarlah rahsia dulu, bila sudah sampai hari yang ditetapkan barulah saya tunjuk wajahnya. Lagipun dia sendiri yang enggan dikenali," cerita Mila tentang kekasihnya yang berusia awal 30-an itu.

Mila Jirin rancang kahwin tahun depan

BUKAN mudah untuk memujuk penyanyi kecil molek, Mila Jirin membuka mulut bercerita mengenai gerangan kekasih hati. Biarpun diasak, Mila tetap mengunci mulut mengenai perihal kekasih yang sudah dikenalinya sejak dia berusia 18 tahun itu. Bagaimanapun, Kosmo! mendapat tahu bahawa kekasih Mila itu merupakan pengurusnya sendiri yang dikenali dengan nama Isz. Pasangan itu khabarnya telah merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun depan. Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelantun lagu Aku Lebih Tahu itu selanjutnya. Kosmo!: Benarkah khabar angin mengatakan Mila bakal mendirikan rumah tangga pada tahun depan? MILA: Insya-Allah. Memang ada perancangan untuk berkahwin pada tahun depan. Tetapi saya tidak mahu dedahkan siapakah orangnya. Kenapakah anda sukar untuk mendedahkan mengenai perihal kekasih? Saya takut bila beritahu nanti, susah untuk kami bergerak melakukan pelbagai urusan. Benarkah ada dakwaan mengatakan kekasih anda itu sebenarnya pengurus anda sendiri, Isz? Susah hendak cakap. Sebagai seorang perempuan saya juga tidak mahu cakap lebih-lebih. Saya lebih selesa untuk tidak memberikan jawapan. Dia (kekasih) juga tidak mahu saya dedahkan. Bila sudah dekat tarikh kahwin nanti, kelak kami bercadang untuk dedahkan. Khabarnya, anda bakal melangsungkan perkahwinan di dewan perkahwinan yang dimiliki Mila sendiri iaitu Kristal Hall di Bukit Jelutong, Shah Alam yang akan dirasmikan 9 Ogos ini. Benarkah? Saya tidak pasti lagi sama ada untuk mengadakan majlis perkahwinan di dewan tersebut. Ya, memang pada 9 Ogos ini saya akan mengadakan majlis pelancaran dewan tersebut. Boleh ceritakan bagaimana anda dan kekasih mula berkenalan? Kami bermula sebagai kawan. Saya sudah kenal dia sebelum jadi artis lagi, ketika umur saya 18 tahun. Sejak bila kalian mulai serius? Bila keluarga kedua-dua belah pihak merestui hubungan kami. Mula-mula berkawan. Selepas itu, hubungan kedua-dua keluarga rapat. Daripada situ, hubungan kami lebih serius. Anda sudah melakukan sebarang persiapan perkahwinan? Belum lagi. Ada beberapa perkara lagi yang perlu diselesaikan dahulu sebelum saya memikirkan tentang persiapan perkahwinan. Antaranya, lagu terbaharu saya, Boneka, ciptaan Kunci Demak. Saya juga bakal muncul dengan lagu duet bersama Nubhan, Hampir Jauh, ciptaan Omar K. Selepas selesai pelancaran lagu dan klip videonya, barulah saya akan fikir tentang kahwin. Saya juga merancang untuk muncul dengan lagu berentak kerohanian dan sesuai dengan penampilan saya yang kini sudah bertudung. Boleh kongsikan mengenai hijrah anda itu? Sebenarnya sejak tahun lepas lagi saya sudah berniat untuk bertudung. Bagaimanapun, ia tidak dapat dilaksanakan berikutan komitmen saya sebagai anak seni. Sudah menandatangani banyak kontrak. Alhamdulillah, akhirnya pada bulan Ramadan saya dibukakan hati untuk bertudung. Sukar untuk saya tafsirkan hanya mampu mengucapkan syukur buat Ilahi. Bertubi-tubi soalan diajukan peminat tentang penampilan baharu saya. Alhamdulillah, saya juga seperti manusia lain yang inginkan perubahan yang baik dalam kehidupan. Ada yang tanya, adakah bertudung disebabkan ingin berkahwin? Saya hanya mampu tersenyum kerana itu bukanlah alasannya. Saya bertudung bukan kerana mahu kahwin. Saya juga bertudung bukan disebabkan sesiapa.

Mila Jirin Sudah Jadi Tauke Besar Restoran Thai

KUALA LUMPUR, 8 FEB 2013: Bermula dengan menjadi pelanggan setia di restoran Embun Urai Puchong, penyanyi Mila Jirin, 25, akhirnya telah pun sah menjadi tauke besar restoran berkenaan mulai Januari 2013. Namun, ia bukanlah tanda untuk Mila berundur diri dari dunia nyanyian sebaliknya ia penguat untuk gadis muda ini melangkah lebih jauh sebagai artis yang bergelar usahawanita. "Restoran ini sudah pun dua tahun beroperasi. Dulu saya pelanggan kemudian bertukar menjadi kawan kepada pemilik restoran. Dari situ, saya berubah sikit-sikit menjadi rakan kongsi sehinggalah sekarang ini restoran berkenaan sudah menjadi milik saya sepenuhnya. "Saya dan ayah saya yang menguruskan restoran ini. Restoran ini buka setiap hari bermula jam 4 petang sehingga jam 12 tengah malam," katanya kepada murai.com.my. Menjelaskan mengenai kariernya pula, Mila berkata, dia masih lagi aktif menyanyi dan baru saja muncul dengan lagu terbaru berjudul Cinta Kasih. "Menerusi lagu Cinta Kasih, saya berduet dengan Nubhan. Lagu ini dicipta oleh komposer yang sama dengan lagu Ombak Rindu iaitu Nur Zaidi. Lagu ini adalah projek istimewa saya dengan Nova Music. "Saya dapat projek ini pun secara kebetulan. Lagu ini telah pun digunakan untuk drama di TV3 berjudul Cinta Kasih. Tahun ini, saya tidak akan ke luar negara lagi kerana banyak projek yang saya perlu lunaskan di Malaysia," jelasnya. Dalam pada sibuk menyanyi dan berniaga, syarikat milik Mila juga sibuk menguruskan program hiburan termasuklah Karnival Wow Putrajaya. "Hujung Februari ini, syarikat saya akan menganjurkan Karnival Wow di Putrajaya. Sudah dua tahun saya terlibat dalam program ini. Tahun ini, saya tidak akan menyanyi sebaliknya saya menjadi organiser. Syukur saya diberi kepercayaan dan mandat untuk menjalankannya. "Apapun, saya berasa bersyukur kerana banyak syarikat korporat mempercayai saya dengan banyak memberikan show dan projek untuk saya sertai," ujar Mila yang masih berahsia mengenai status hubungan cintanya.

Mahu seimbangkan kehidupan - Mila Jirin

SUDAH lama tidak melihat bekas juara program realiti tv, Akademi Fantasia musim ke lima ini beraksi di hadapan kamera. Malah, drama lakonannya juga sudah tidak kelihatan. Hanya drama terdahulu sahaja menampilkan dirinya. Itu pun semasa dia masih baru lagi menjadi juara. Bak kata orang, keropok lekor sedap makan panas-panas, bila sejuk sudah liat. Berkesempatan menemui Mila Jirin, 26, baru-baru ini semasa pra pelancaran Karnival Wow di Putrajaya, soalan apa aktiviti terbaru dan kemana dirinya menghilang diajukan. “Mila tidak hilang, masih membuat persembahan pentas dan aktif menyanyi tetapi mungkin sebab dah lama tidak keluar televisyen, itu yang ramai ingat saya sudah tidak aktif dalam bidang nyanyian," kata penyanyi yang nama sebenarnya, Norsyarmilla . Menurut Mila lagi, menyanyi memang menjadi keutamaannya dan tidak akan berhenti menyanyi selagi dia mampu melakukannya. “Mila bukan hanya menganggap menyanyi sebagai punca rezeki, tetapi kerana minat. Itu yang penting sebenarnya. Sebab itu Mila masih melakukan persembahan pentas. “Memang jaranglah nampak Mila di kaca televisyen, malah dalam akhbar pun dah lama tidak keluar sebab tidak ada cerita baru, tetapi rezeki Mila sebagai penyanyi tetap tidak putus-putus," jelasnya. Tambah penyanyi kecil molek anak kelahiran Pulau Mutiara itu, dia kini juga sedang fokus dalam kerjayanya sebagai usahawan melalui syarikatnya LuvMilla Corporations Sdn. Bhd. Tidak mahu memberi fokus pada bidang tertentu, dia sebaliknya lebih selesa untuk memberi keseimbangan pada kedua-dua bidang, kerjaya seni dan dunia perniagaan. “Mila tidak meletakkan keutamaan baik pada nyanyian atau perniagaan, sebaliknya fokus pada kedua-dua bidang. Biar ia gerak selari dan cara itu lebih baik sebenarnya. “Mila masih muda, masih banyak ruang dalam dunia perniagaan untuk menambah pendapatan. “Kerjaya sebagai seorang penyanyi ini kita tidak boleh menjangkakan apa-apa. Kita boleh berada di atas, dan bila-bila masa juga kita boleh jatuh. “Sebab itu saya ceburi bidang perniagaan. Sekurang-kurangnya, bila sesuatu terjadi, kita tidak perlu risau tentang kewangan dan perniagaan itu pasti akan membantu," ujarnya. Jelas Mila lagi, dia turut mengakui bahawa dunia glamor seorang artis perlulah selari dengan kewangan yang kukuh. Dalam pada itu, syarikat milik Mila itu kini sedang giat dalam bidang pengurusan acara. “Pada mulanya risau juga untuk berada dalam bidang pengurusan acara, tetapi lama-kelamaan selepas diberi kepercayaan, ia bukan lagi satu masalah," ujarnya. Buat lagu sendiri Tahun lalu menyaksikan Mila cuba menampilkan dirinya dalam bidang seni tanah air dengan album barunya, berjudul Mila Jirin. Namun, album itu tidak mendapat sambutan daripada para pendengar dan jualannya juga agak kurang memberangsangkan. Mila sendiri merasakan rasa duka citanya dengan perkembangan album tersebut yang dihasilkan sendiri oleh. Malah, stesen radio pun jarang memainkan lagu-lagu daripada album kedua Mila itu. “Pada mulanya memang rasa kecewa dan tertekan kerana kurangnya sambutan pada album kedua itu. “Tetapi bila fikir semula, tidak guna Mila hendak menyalahkan sesiapa atas kegagalan itu. Malah, ramai juga yang memberi sokongan pada saya untuk terus berkarya. “Mungkin sambutan yang kurang itu adalah kerana lagu saya itu yang memang tidak bagus. “Alhamdulillah, kini saya sedang dalam perancangan untuk menghasilkan album yang seterusnya," jelasnya. Tambah Mila, lagu-lagu yang bakal diterbitkan juga adalah lagu ciptaannya sendiri. “Mula-mula rasa tidak yakin juga bila hendak menghasilkan lagu. Tetapi bila dah siap dan bagi orang dengar, ramai yang cakap lagu itu okay," katanya. Tambahnya, dia juga tidak mahu terlampau cepat untuk menerbitkan album sebaliknya mahu mengambil masa yang secukupnya. “Saya tidak mahu terburu-buru dalam menghasilkan album seterusnya. Mungkin pengalaman lalu banyak mengajar saya," ujarnya. Jelasnya lagi, perancangan untuk melakukan muzik video juga akan dijalankan dengan kerjasama Nova Music. Tidak kisah dibandingkan Sudah hampir enam tahun Mila berada di dalam industri seni, tetapi namanya hanya naik ketika dia mula memasuki industri. Selepas itu, namanya semakin lama semakin tenggelam seolah ditelan dengan nama-nama bintang realiti lain. Kemunculan artis baru terutamanya penyanyi indie dan bintang YouTube selolah-olah menambahkan lagi kegelapan pada nama Mila. Namun, juara-juara wanita Akademi Fantasia seperti Stacy dan Adira masih kekal aktif jika hendak dibandingkan dengan Mila. Baginya, tidak apa yang menggusarkan hatinya mengenai perkara itu. “Semuanya terpulang pada rezeki dan saya sendiri percaya pada rezeki. “Mungkin sekarang bukan rezeki saya, tetapi akan datang tiada siapa yang tahu. Apa yang penting, usaha harus berterusan," jelasnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails