Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Nadiya Nisaa. Show all posts
Showing posts with label Nadiya Nisaa. Show all posts
Rasa Bersalah Tinggalkan Suami & Anak Terbayar - Nadiya Nisaa
Pelakon Nadiya Nisaa menganggap rasa bersalahnya meninggalkan suami dan anak menjalani penggambaran akhirnya terbayar selepas dicalonkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27) menerusi filem Terbaik Dari Langit.
Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin, 30, berkata, pencalonan itu sedikit sebanyak membuang rasa bersalah yang membelengunya kerana kerap meninggalkan orang tersayang.
"Alhamdulillah, pencalonan yang saya terima ini membuatkan rasa bersalah terhadap anak dan keluarga saya hilang dan apa yang saya lakukan dihargai.
"Kadang-kadang bila saya dalam perjalanan pergi shooting saya akan rasa kasihan dengan anak saya kerana tidak sempat beri dia makan dan meluangkan lebih masa untuk dia. Sebab itu, bila dimaklumkan berita ini (pencalonan) saya terus beritahu kepada suami dan ibu saya, mereka juga gembira," ujarnya kepada mStar Online.
Dalam kategori itu, Nadiya Nisaa akan bersaing dengan pelakon Izara Aishah (Sejoli), Fazura (Kami Histeria), Eja (Manisnya Cinta Di Cappadocia) dan Ayu Raudhah (Lagenda Budak Setan 3).
Dalam pada itu, Nadiya berkata, dia tidak pernah meletakkan harapan tinggi untuk menewaskan pesaing lain bagi memenangi kategori tersebut.
Katanya, tersenarai dikalangan nama-nama besar dalam anugerah berprestij itu sudah membuatkan dia berpuas hati.
"Saya tidak letak harapan tinggi untuk menang, sudah tercalon sahaja memadai buat saya kerana nama saya sudah tercatat dalam sejarah perfileman negara.
"Rata-rata filem yang bertanding ini ada kelebihan tersendiri, jika menang ia adalah satu bonus," katanya.
Sementara itu, Nadiya turut mengakui filem Terbaik Dari Langit merupakan filem yang dibikin oleh mereka yang mempunyai minat mendalam dalam perfileman.
"Orang di belakang tabir filem ini adalah kawan-kawan saya juga jadi saya tahu bagaimana minat mereka dalam filem.
"Ini merupakan filem pertama mereka dan jika tercalon sahaja sudah mengembirakan kami semua," ujarnya.
Filem yang menerima 12 pencalonan dalam FFM 27 ini merupakan arahan Nik Amir Mustapha dan diterbitkan oleh Playground film.
Kemuncak FFM 27 akan berlangsung pada 5 September depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Ia akan disiarkan menerusi saluran Astro Ria pukul 8.30 malam.
Anak Punca Nadiya Nissa Jarang Muncul Di Majlis Hiburan
Pemenang trofi Pelakon Pembantu Filem Terbaik di Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011), Nadiya Nissa menyangkal tuduhan kononnya dia tidak gemar bergaul dengan rakan artis lain selain jarang meluangkan masa pada majlis-majlis hiburan.
Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin, 30, berkata, dia sebenarnya tidak gemar bersosial pada acara yang tidak melibatkan dirinya kerana lebih selesa duduk di rumah menghabiskan masa bersama anaknya, Omar yang kini berusia empat tahun.
"Saya mempunyai ramai kenalan artis dan dakwaan itu tidak benar kerana saya bukan seorang yang sombong tetapi memang saya tidak gemar menghadiri acara hiburan.
"Masa terluang saya akan habiskan bersama anak dan suami di rumah kerana bukan mudah untuk mendapat masa berkualiti bersama mereka tambahan sering sibuk di lokasi penggambaran," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Nadiya berkata, faktor dia tidak mempunyai perkembangan terbaharu atau pun cerita sensasi turut menyebabkan dia dilihat sepi daripada industri seni.
Bagaimanapun katanya, aktiviti seninya sentiasa padat malah pada tahun ini dia terlibat dalam dua buah projek filem yang sedang menjalani penggambaran.
"Saya sangat teruja dengan dua filem tersebut iaitu Redha dan Interchange yang turut menampilkan Nicholas Saputra dan Shaiezy Sam sebagai pelakon dan tidak sabar untuk melihat hasil akhirnya nanti," ujarnya.
Selain itu, pelakon itu juga bakal muncul dalam dua buah filem yang akan ditayangkan pada tahun ini iaitu Jejak Warriors dan Love Supermoon.
Nadiya Nisaa Dinasihati Agar Sedia Hadapi Zaman Kejatuhan
Pelakon Nadiya Nisaa menerima kata-kata nasihat daripada aktres Noorkhiriah agar sentiasa beringat dan bersedia untuk melalui zaman kejatuhan suatu hari nanti.
Nadiya berkata, pelakon wanita tersebut memberitahu bahawa kegemilangan sebagai seorang pelakon dengan menerima pelbagai tawaran hanya sementara sahaja.
"Saya baharu sahaja habis berlakon telefilem bersama Noorkhairiah untuk drama Qaseh Tanpa Suara dan dia merupakan antara artis yang paling saya kagumi selama ini.
"Sepanjang penggambaran dia banyak bercerita tentang kehidupan selepas popular. Dia suruh saya beringgat dan bersedia untuk melalui zaman sepertinya kini," ujarnya kepada mStar Online.
Bagaimanapun, dia tidak menyifatkan nasihat tersebut sebagai berniat untuk menghalang atau cemburu dengan kerjayanya sekarang.
Sebaliknya, Nadiya berkata, Noorkhairiah memberi semangat agar dia dan rakan-rakan artis yang sedang meningkat naik sekarang ini mencuba pelbagai watak yang lebih mencabar.
"Dia tidak menghalang atau cemburu kepada pelakon baru, malah dia suruh kami cuba pelbagai watak selagi mempunyai peluang.
"Katanya, zaman kegemilangan pelakon tidak lama jadi jangan lepaskan peluang yang datang dan dia sudah puas melalui zaman tersebut dahulu, sekarang masa dia tumpukan perhataian kepada keluarga.
"Perkara yang sama itu juga akan kami lalui suatu hari nanti," ujarnya.
Tambah Nadiya, kata-kata nasihat yang diberikan pelakon tersebut memberi inspirasi kepadanya agar tidak mensia-siakan peluang lakonan yang datang.
Dalam pada itu, ditanya tentang beberapa filem dan drama yang dibintanginya disiarkan dalam suatu masa yang sama, Nadiya berkata, ia tidak menjangkakan perkara tersebut.
"Filem Gila Baby dan Terbaik Dari Langit serta telemovie Oh My English: Villa Isabellaaa! keluar secara berturut-turut bulan ini.
"Saya pun tidak sangka kerana penggambaran filem Gila Baby pada dua tahun lalu, manakala Terbaik Dari Langit pula tahun lalu sementara Oh My English pada awal tahun ini, saya harap penonton tidak bosan tengok saya," ujarnya.
Nadiya Nisaa Tidak Letak Syarat Pilih Tawaran Berlakon
Pelakon Nadiya Nisaa tidak pernah meletakkan sebarang syarat tertentu dalam memilih tawaran diberikan biarpun dia pernah merangkul trofi Pelakon Pembantu Filem Terbaik di Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011).
Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin, 29, berkata, tidak perlu untuk dia berbuat demikian kerana padanya apa yang lebih penting sesuatu watak diberikan bersesuaian dengan jiwanya sebagai pelakon.
"Setakat ini saya tidak pernah memilih projek diberikan kepada saya malah filem atau teater berbajet rendah pun saya terima sekiranya watak diberikan sesuai dan buat saya selesa.
"Hayat dalam bidang ini bukan kekal selamanya dan selagi ada ruang dan peluang saya akan terima dan lakukan yang terbaik," katanya kepada mStar Online.
Nisa bakal muncul dengan filem terbaharunya berjudul Terbaik Dari Langit arahan Nik Amir Mustapha yang bakal berada di pawagam bermula 25 Disember ini.
Filem tersebut turut menampilkan pelakon seperti Bront Palarae, Iedil Putra, Megat Sharizal, Amerul Affendi, Sharifah Armani dan Siti Saleha.
Dalam pada itu, Nadiya yang dilihat sepi daripada sebarang publisiti sejak akhir-akhir berkata, biarpun populariti itu memainkan peranan namun dia tidak mempunyai sebarang strategi bagi memastikan namanya terus kekal dalam industri.
Nadiya juga percaya sekiranya dia fokus, menjaga disiplin dan mutu kerja populariti itu akan datang dengan sendiri tanpa perlu dirancang dengan strategi tertentu.
"Bukan mudah untuk merancang strategi dalam industri ini tetapi saya yakin populariti itu akan datang secara organik dan paling penting sebagai pelakon saya perlu mengekalkan disiplin dan kualiti dalam kerja.
"Ini kerana menerusi etika kita dalam bekerja ia akan menjadi buah mulut orang dan sekali gus pasti rezeki itu akan datang dengan sendiri," ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai Terbaik Dari Langit, Nadiya berkata, filem berkenaan menuntutnya untuk melakukan pengorbanan besar apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga yang disifatkan tidak mudah.
Bagaimanapun kata Nadiya, dia bersyukur apabila dapat bekerja dengan produksi yang memahami situasinya sebagai isteri dan ibu dengan memberi kebenaran untuknya pulang ke Kuala Lumpur bagi bersama keluarganya.
"Kami menjalani penggambaran di Ipoh, Perak selama 35 hari tetapi saya akan pulang menaiki kereta api setiap tiga hari untuk bersama keluarga sebelum kembali ke lokasi penggambaran.
"Biarpun sukar tetapi saya puas dengan pengorbanan itu kerana hasil akhir filem ini membuatkan saya sedar betapa beruntungnya saya dapat bekerjasama dalam sebuah projek yang cukup ikhlas," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nadiya berkata, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran dua buah telefilem terbitan syarikat produksi milik Datin Zizie Ezzette di Pulau Langkawi.
"Kru berkampung selama sebulan di sana untuk menyiapkan empat buah telefilem dan saya terlibat dalam dua buah drama sahaja yang diarahkan oleh Isma Yusoof dan selepas ini akan memberikan tumpuan kepada promosi filem Terbaik Dari Langit," katanya.
KELUARGA BAHAGIA NADIYATUL NISAA'
Gambar menarik Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin, 28, isteri kepada Saiful Razman Mohd Kassim serta satu-satunya anak mereka, Omar, 3. Nadiya yang mula mencipta nama menerusi drama bersiri Adam dan Hawa, kini semakin aktif berlakon.
“Dalam kesibukan jadual yang tidak menentu, saya masih memberikan keutamaan kepada anak dan keluarga," demikian kata Nadiya.
Nadiya Nisa mahu menulis
PEMENANG anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Anugerah Skrin 2011 dan Pelakon Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) menerusi filem Cun!, Nadiya Nisa sudah mula mengumpul kelompok peminatnya sendiri.
Dia bukan sahaja telah membuktikan bakat lakonannya menerusi kemenangan itu, malah pelakon telefilem Ajaibnya Cinta, Dengan Nama Cinta, Donut dan Hanya Kau itu turut membuktikan kebolehan diri apabila menjadi kegilaan penonton menerusi drama Adam dan Hawa.
Bahkan, dia tidak hanya menumpukan perhatian dengan terlibat dalam naskhah-naskhah di layar kaca, kerana Nadiya yang muncul dalam filem Ombak Rindu dan Jiwa Taiko itu saban hari mengisi portfolio dengan naskhah-naskhah baharu.
"Sebenarnya, banyak filem saya yang masih belum ditayangkan dan pastinya saya juga tertunggu-tunggu tayangan filem seperti Pengapit, Bikin Filem dan Gila Baby tidak lama lagi.
"Syukur kerana peminat menerima saya dan memberi peluang untuk saya terus berkarya menerusi lakonan," tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Penyiaran daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.
Wanita kelahiran Gombak, Selangor itu mula menceburi dunia perfileman dengan berlakon dalam filem Dukun pada tahun 2007 yang disekat tayangannya sebelum mencipta nama menerusi filem Cun! pada tahun 2011.
Nadiya Nissa Azam Jadi Penulis Skrip
Pelakon Nadiya Nissa meletakkan tempoh masa sehingga lima tahun lagi untuk menjadi penulis skrip profesional.
Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, 28, berkata, impian itu sudah lama diinginkan namun masih lagi mempelajari selok-belok penulisan skrip sebelum benar-benar menghasilkan sebuah karya yang bermutu untuk tontonan umum.
"Lima tahun lagi, usia saya 33 tahun. Dan pada ketika itu saya mahu pastikan kemahiran menulis skrip sudah ada dalam diri.
"Memang sudah lama saya idam untuk hasilkan skrip dan setakat ini, ada beberapa idea yang saya rangka dalam buku. Insya-Allah tahun depan saya mula cuba kembangkan idea tersebut menerusi skrip yang dihasilkan," katanya kepada mStar Online.
Tambah Nadiya yang mengagumi karya Redza Minhat dan Wan Hasliza, dia juga masih belajar cara menulis plot cerita dengan baik menerusi tontonan drama dan filem.
Sementara itu, beritahu pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2011 itu, dia bersyukur apabila melihat kerjayanya semakin berkembang sejak namanya popular menerusi drama Adam dan Hawa pada tahun itu.
Dalam tempoh dua tahun itu, Nadiya mengambil setiap peluang untuk menonjolkan bakatnya sebaik mungkin sehingga sanggup melupakan hasrat meluangkan masa lebih lama dengan keluarga.
"Dalam industri seni kita yang terlalu berkembang, saya harus mengambil peluang yang ada memandangkan orang tengah nak tengok lakonan saya. Mujurlah suami (Saiful Razman) dan anak (Omar) memahami kerjaya saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nadiya bakal muncul menerusi telefilem khas Aidilfitri, Baju Raya Kain Perca pada Raya keenam, pukul 4 petang di TV3 dan telefilem yang akan ditayangkan di Astro First berjudul Anugerah Dendam Yang Terindah menyaksikan gandingannya bersama Aaron Aziz.
Nadiya Nisaa Risau Nak Bawa Ain Hawani ke Panggung
Sebut saja nama Nadiya Nisaa, pasti ramai akan teringat pada Ain Hawani. Watak yang dihidupkannya menerusi drama bersiri yang pernah mencetuskan, Adam & Hawa yang ditayangkan di saluran Astro Mustika. Bakal kembali menjadi isteri Adam lakonan Aaron Aziz lantas Nadiya meluahkan kerisauannya untuk memikul kembali tanggungjawab tersebut dan kali ini di layar perak pula menerusi Adam & Hawa The Movie (sekuel kepada drama bersiri).
Bukan kerana bimbang penerimaan penonton sepertimana sewaktu awal-awal dulu, dia teruk dikritik. Sebaliknya aktres yang pernah dinobat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (ASK11) dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik (FFM24) ini risau kerana 'roh' Ain Hawani telah lama dibuang jauh-jauh.
"Saya dah lama buang karakter tu. Jadi saya gementar dan risau nak lakonkan semula watak Ain. Saya kena tonton semula drama Adam & Hawa. Saya difahamkan jalan cerita untuk filem adalah kesinambungan daripada drama bersirinya. Ia Ada juga watak baru diwujudkan.
"Saya juga risau akan jangkaan penonton sebab bagi pengikut siri, mereka ah tahu Ain seorang yang macam mana. Jadi mereka mesi meletakkan harapan yang tinggi. Itu yang saya risau. Mungkin juga karakter Ain sedikit berbeza sebab mungkin dia dah lebih matang. Saya harap saya boleh dapat semula Ain", katanya yang bakal sibuk di set penggambaran filem tersebut mulai 1 September depan.
Sibuk Urus Majlis Kahwin
Dalam pada itu Nadiya yang kini sedang menjalani penggambaran telemovie Kamikaze berkata persiapan menyambut raya tahun ni dibuat dalam kadar sederhana kerana dia lebih sibuk menguruskan majlis kahwin kakak sulungnya.
"Raya tahun ini biasa saja. Tak buat persiapan sangat. Sebab saya sibuk uruskan majlis kahwin kakak saya. Majlis akan diadakan pada 31 Ogos depan. Kami lima beradik dan saya anak kedua. Jadi kakak memang mengharapkan saya membantunya selain adik-adik yang lain.
"Baju raya saya dan suami pun, tahun ni dua helai saja. Warna biru dan ungu. Itu pun adalah baju yang akan saya pakai untuk majlis kahwin kakak saya nanti. Saya cuti raya pun tak lama. InsyaAllah tahun ni kami beraya di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Pekembangan lain, Nadiya bakal muncul menerusi telemovie khas Aidilfitri, Baju Raya Kain Perca pada Raya keenam, jam 4 petang di TV3. Selain itu, sebuah filem khas yang akan ditayangkan di Astro First berjudul Anugerah Dendam Yang Terindah yang menyaksikan gandingannya bersama Aaron Aziz.
- mD
Nadiya Nisaa Tidak Tenggelamkan Lakonan Tiz Zaqyah
Populariti tiba lewat - Nadiya
AKTRES Nadiya Nisaa mula berlakon sejak berusia 18 tahun. Waktu itu, Nadiya merupakan pelajar penyiaran di Universiti Teknologi Mara.
Selepas keluar dari universiti dengan segulung ijazah pada tahun 2008, cukup sukar untuknya mendapatkan pekerjaan tetap.
Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin sempat bekerja secara bebas di stesen televisyen dan beberapa buah produksi selama setahun sebelum membuat keputusan untuk terus fokus dalam bidang lakonan.
Kini, pada usia 27 tahun selepas bergelar isteri kepada Saiful Razman selama dua tahun dan menjadi ibu kepada Omar, setahun tiga bulan, populariti hadir dalam hidupnya.
"Ya, saya akui populariti hadir agak lewat buat saya. Ada orang kata jika berkahwin, populariti semakin berkurangan tetapi terbalik untuk saya.
"Saya diterima selepas saya berkahwin dan mempunyai anak. Mungkin sudah tuah dan rezeki saya. Ada orang masa untuk dikenali lambat dan ada yang cepat. Cuma perlu bersabar dan ikhlas dalam melakukan kerja," kata Nadiya.
Bakat Nadiya mula meraih perhatian apabila dia membawa watak gadis kurang upaya bernama Manis dalam filem Cun. Selepas itu dia memegang watak gadis liar dan berkongsi babak atas katil bersama aktor Bront Palarae dalam filem Jiwa Taiko.
Terbaharu, Nadiya berjaya memukau khalayak dengan wataknya sebagai Ain Hawani kekasih Adam Mukhriz yang dipegang Aaron Aziz dalam drama bersiri popular Adam dan Hawa.
"Sebenarnya ramai orang yang masih tidak tahu nama saya. Contohnya selepas saya keluar dengan filem Cun, orang panggil saya Manis, sekarang selepas drama Adam dan Hawa, orang ramai panggil saya Ain.
"Bagi saya apabila peminat memanggil nama watak saya, itu satu petanda yang baik. Bermakna mereka benar-benar ingat watak saya. Saya tidak kisah jika watak yang saya bawa lebih popular daripada diri saya yang sebenar," ucapnya jujur.
Tambahnya, dia tidak pernah menjangka menjadi popular seperti hari ini, berbeza pada awal kemunculannya sebagai aktres. Menghargai perhatian yang diberi, cuma akuinya, dia masih belajar menerima perhatian dalam dunia glamor.
"Memang saya terasa tempias populariti drama Adam dan Hawa. Buktinya, pengikut saya semakin ramai di Twitter dan Facebook. Perkara paling mengejutkan, saya mempunyai kelab peminat.
"Tidak sangka langsung saya akan mempunyai peminat yang cukup menghargai bakat seni saya. Terharu bila saya fikirkan usaha mereka untuk bersatu semata-mata untuk menyokong saya seorang.
"Mulanya saya agak kekok dan terkejut dengan perhatian peminat. Contohnya ketika saya keluar bersama rakan akan ada peminat minta bergambar atau tandatangan tidak mengira waktu, sedangkan ada masanya saya juga inginkan privasi. Saya manusia biasa, masih cuba belajar menerima dan sesuaikan diri dengan semua perhatian itu," tuturnya.
Nadiya Nissa Terpaksa Cari Pembantu Rumah
PETALING JAYA: Pelakon Nadiya Nissa sedang mencari pembantu rumah untuk menguruskan hal rumah tangganya berikutan kesibukannya dengan pelbagai tawaran berlakon.
Nadiya, 27, berkata, sebelum ini dia menguruskan sendiri hal keluarga tetapi kerana jadual kerjanya yang tidak menentu menyebabkan dia dan suami iaitu Saiful Razman Mohd Kassim mengambil keputusan untuk mencari pembantu.
"Kalau ikutkan hati memang tidak mahu mengambil pembantu rumah kerana lebih seronok menguruskan sendiri rumah tangga tanpa bantuan sesiapa tetapi tuntutan kerjaya saya yang tidak menentu membuat saya dan suami membuat keputusan ini.
"Tapi buat masa sekarang kami masih mencari dan belum berjumpa dengan orang yang sesuai," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Nadiya, keputusannya untuk mengambil pembantu rumah bukan bererti dia ingin melepaskan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu kepada Omar Saiful Razman yang kini berusia setahun tetapi sebagai meringankan bebannya yang sentiasa berada di luar.
"Hanya akan ada masa-masa tertentu saya sibuk di lokasi dan bukannya selalu tetapi apabila tidak sibuk saya sendiri akan menguruskan keperluan keluarga," ujarnya.
Dalam pada itu, Nadiya berkata suaminya sentiasa menyokong perjalanan karier seninya selain banyak memberi kata-kata semangat untuk kejayaannya sebagai seorang pelakon.
"Saya sentiasa ada suami yang banyak menyokong apa sahaja yang saya lakukan. Selain itu kami juga mempunyai banyak aktiviti bagi memastikan perkahwinan kami menjadi lebih meriah dan teratur.
Sementara itu, Nadiya gementar dengan reaksi penonton terhadap lakonannya bersama Aaron Azizi dalam drama bersiri Adam dan Hawa yang sedang ditayangkan menerusi saluran Mustika HD (134).
Ia disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 10 malam.
Menurut Nadiya, drama bersiri yang mengambil masa selama lima bulan penggambaran itu cukup mencabar dirinya sebagai pelakon apatah lagi bekerja dengan pengarah Mohd Feroz Kadir yang berjaya memberikan dimensi baru buat dirinya.
"Saya sudah terbiasa dengan arahan Osman Ali sebelum ini yang memberi kebebasan kepada pelakon dalam menentukan corak dan hala tuju lakonan sebaliknya dengan Feroz pula, timbul cabaran apabila saya perlu merealisasikan apa yang beliau inginkan.
"Bagaimanapun sebagai pelakon itu adalah pengalaman yang baik untuk saya dalam mengembangkan potensi diri apabila bekerja dengan pelbagai pengarah berbeza," katanya.
Selain Adam dan Hawa, Nadiya juga sedang sibuk di lokasi penggambaran filem Pengapit bersama Farid Kamil yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.
Nadiya Nissa Berhenti Kerja Untuk Jadi Pelakon
PETALING JAYA: Pelakon Nadiya Nissa akhirnya menamatkan tugasnya sebagai pegawai perhubungan awan di sebuah jabatan kerajaan dan ingin memberikan fokus kepada bidang lakonan.
Nadiya, 27, berkata, dia tidak menyambung kontrak untuk jawatan itu selepas memikirkan minatnya dalam bidang lakonan serta tawaran yang tidak putus-putus diterimanya.
"Saya perlu mengorbankan salah satu kerana buat masa ini tidak mungkin saya mampu mengalas dua tanggungjawab secara serentak dan saya memilih untuk meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan.
"Secara jujur bukan mudah untuk membuat keputusan ini tetapi atas dorongan daripada suami dan keluarga saya teruskan hasrat," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Nadiya mengakui persaingan dalam industri perfileman sangat hebat dan menjelaskan sudah bersedia untuk menghadapi cabaran itu.
Sebagai pelakon dia peercaya selain persaingan perkara utama yang perlu diberi perhatian untuk terus kekal dalam industri seni adalah disiplin.
Sementara itu, ditanya mengenai kegagalan filem lakonannya iaitu Jiwa Taiko yang kurang mendapat sambutan di pawagam, Nadiya berkata daripada aspek seni dan produksi karya Osman Ali itu tidak pernah gagal dan menganggap perkara itu sebagai lumrah.
Nadiya telah melunaskan tanggungjawab walaupun sedikit kecewa dengan penerimaan masyarakat terhadap filem itu.
"Kecewa memang kecewa tetapi ia perlu dilihat daripada banyak faktor kerana tidak mendapat sambutan bukan bererti jalan cerita dan sudut teknikalnya juga gagal," ujarnya.
Omar penyeri hidup Nadiya
PERJALANAN lebih tiga jam dari ibu kota Kuala Lumpur ke puncak Brinchang, Tanah Tinggi Cameron, Pahang awal minggu lalu dihadiahkan dengan kejutan bukan kepalang!
Tanpa berita, cerita dan gosip, figura Nadiya Nisa, 25, nampak sudah berbadan dua. Tidak mampu lagi sosok badan seorang wanita sedang mengandung itu berjaya disorok daripada pandangan mata umum.
Terkejut kerana beberapa minggu sebelumnya, Nadiya bertandang ke Studio Utusan Jalan Chan Sow Lin Kuala Lumpur untuk sesi fotografi mempromosikan filem Jiwa Taiko bersama beberapa rakan artis lain dan ketika itu bentuk badannya masih langsing.
Ingin mendapatkan kesahihan dalam keadaan masih kaget, Kosmo! menyapa si manis yang mesra dipanggil Nadiya. Ditanya berapa bulan usia kandungan dia ketawa besar.
"Ini fake pregnancy! (hamil tipu). Mana ada saya mengandung. Lagipun, anak pertama saya masih kecil dan perlukan lebih perhatian daripada saya.
"Watak saya dalam drama Adam & Hawa yang memerlukan saya 'mengandung' dan syukur Alhamdulillah hari ini merupakan hari terakhir penggambaran drama bersiri 80 episod ini," luah pemilik nama Nadiyatul Nisaa' Kamaruddin ceria.
Ain Hawani
Pertemuan dengan pendukung watak utama Ain Hawani dalam drama adaptasi novel Adam & Hawa tulisan Aisya Sofea itu mengundang derai tawa tanpa henti.
Ketika penggambaran meniti detik akhir sebelum proses penyuntingan untuk disiarkan pada 27 Ogos nanti di saluran Mustika HD (Astro 134), bagaimanapun faktor hujan tanpa henti membantutkan proses melunaskan baki beberapa babak.
Pada waktu itu kesempatan diambil untuk bercerita mengenai pengalaman Nadiya sepanjang pembikinan drama rantaian itu serta perkembangan kariernya yang nampak semakin terang.
"Drama ini mencabar dari segi teknikal, tapi mujurlah saya bekerja bersama sepasukan produksi yang sangat bagus. Kadang-kadang diakui saya akan hilang tumpuan kerana penggambaran yang memakan masa lima bulan, tapi sehingga hari ini semua berjalan lancar," katanya memanjat syukur.
Menerusi drama arahan Mohd. Feroz Kader itu, Nadiya berpadu tenaga dengan pelakon popular Aaron Aziz yang mendukung peranan Adam Mukhriz.
Bagaimanapun, kata kedua-dua pelakon yang pernah bergandingan dalam filem Ombak Rindu itu, mereka sukar membina hubungan kimia sebagai suami isteri kerana kebanyakan babak dalam drama itu memerlukan mereka bercakaran.
"Sangat susah hendak membina keserasian bersama kerana kebanyakan babak kami hanya bergaduh. Kalau ada pun, ia hanya pada akhir-akhir cerita apabila Adam dan Ain bertemu secara tidak diduga.
"Rujukan utama saya adalah novel kerana perilaku fizikal dan penyampaian emosi lebih banyak ditonjolkan melalui tulisan dalam novel. Kelakar juga kerana kali terakhir membaca novel berbahasa Melayu adalah untuk subjek Kesusasteraan Melayu SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) lebih kurang lapan tahun lalu," cerita Nadiya.
Berehat
Adam & Hawa mengisahkan sepasang suami isteri yang bernikah secara salah sangka apabila mereka ditangkap khalwat. Ain Hawani tidak merelakan perhubungan itu membawa diri daripada suaminya, Adam Mukhriz yang sentiasa berdiam diri serta pasrah dengan perkara berlaku.
Setelah bertahun berlalu, mereka dipertemukan semula dalam keadaan ego yang masih memuncak tapi perasaan yang mendambakan diri masing-masing.
Sementara itu, Nadiya bagaimanapun menegaskan tidak akan menerima tawaran watak berat seperti mana Ain Hawani dalam masa terdekat kerana ingin memperlahankan rentak permainan emosi.
"Watak Ain Hawani berat sebenarnya kerana sentiasa berendam air mata, buat masa sekarang saya tidak akan menerima watak-watak berat tapi cuma memfokuskan karakter ringan seperti komedi," ujar pelakon drama Donut itu lagi.
Dalam perkembangan lain, Nadiya kini sedang menjalani penggambaran beberapa buah telefilem dan sebuah filem komedi romantik berjudul Pengapit yang dijadualkan memulakan penggambaran pada bulan Ramadan kelak.
"Saya membawakan watak Zara seorang pengapit pengantin kepada seorang kawan baik saya, karakter itu melucukan dan banyak berkisar perjalanan seseorang menempuh hari persandingan," katanya.
Omar
Cahaya mata sulungnya, Omar Saiful Razman yang kini berusia sembilan bulan mengubah wajah serius berhujah perihal karier Nadiya jadi berseri-seri.
Seakan-akan permata hatinya itu benar-benar mencetuskan gejolak perasaan gembira bukan kepalang. Benar, ketika penggambaran drama itu Nadiya membawa bersama Omar yang ditemani seorang pembantu rumah untuk membantunya.
"Omar budak lelaki yang sangat lasak walaupun masih kecil, bijak dan kelakar. Dia penghibur sejati di kala saya dan suami penat bekerja," cerita Nadiya teruja.
Nadiya yang mendirikan rumah tangga dengan seorang pelukis Saiful Razman Mohd. Kassim, 32, pada bulan Julai 2009 mendapat sokongan sepenuhnya untuk tambah ligat dalam bidang lakonan.
"Kami menyokong kerjaya masing-masing dan asalkan saya menghormati norma sebagai seorang isteri orang dia izinkan saya berlakon," katanya yang masih belum memikirkan untuk memperoleh cahaya mata lain dalam masa terdekat.
“Ini Rezeki Anak” – Nadiya Nisaa (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem Anugerah Skri
Berlakon dalam salah sebuah filem yang dicalonkan antara Filem Terbaik dalam Anugerah Skrin 2011,’Cun’ bergandingan dengan nama-nama besar seperti Remy Ishak, Maya Karin, Ning Baizura dan Faezah Elai bukanlah sesuatu yang mudah, kerana kelibatnya boleh jadi tenggelam dek kehadiran pelakon tersohor. Dicalonkan dalam satu kategori sama iaitu kategori ‘Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem’ sebaris dengan Ning Baizura dan Faezah Elai menerusi filem yang sama juga turut membuka saingan sengit pastinya bukan juga sesuatu yang mudah.
Namun tuah akhirnya berpihak pada aktres Nadiya Nisaa apabila wataknya sebagai ‘Manis’ dalam filem ‘Cun’ arahan Osman Ali nyata berjaya mencuri hati pihak juri apabila dinobatkan sebagai ‘Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem’ di Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) yang berlangsung Jumaat lalu.
Nadiya ketika ditemui sejurus selepas kemenangannya diumumkan mengakui terkejut dan teruja namun menyifatkan kemenangan ini sebagai rezeki anak yang baru sebulan usia, Omar Bin Saiful Razman.
“Memang terkejut sangat! Kemenangan ini memang bukan sesuatu yang diduga apalagi saya memang sudah lama tidak berlakon kerana baru habis pantang. Namun saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki anak,” ujar Nadiya.
Tambah Nadiya, ketika ditawarkan watak ‘Manis’, Nadiya menerima tawaran melakonkan sebagai gadis ‘istimewa’ tanpa berfikir banyak. Bukan over confident, sebaliknya, Nadiya menyifatkan ‘Cun’ sebagai sebuah naskah yang bagus dan dia sedari awal lagi telah berjanji melakonkan sesuatu yang terbaik dan memeberi impak untuk watak ‘Manis’.
Filem ‘Cun’ merupakan filem ketiga lakonan Nadiya, sebelum ini dia turut membintangi filem ‘Dukun’ dan ‘Karaoke’.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]






