Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Omar penyeri hidup Nadiya

PERJALANAN lebih tiga jam dari ibu kota Kuala Lumpur ke puncak Brinchang, Tanah Tinggi Cameron, Pahang awal minggu lalu dihadiahkan dengan kejutan bukan kepalang! Tanpa berita, cerita dan gosip, figura Nadiya Nisa, 25, nampak sudah berbadan dua. Tidak mampu lagi sosok badan seorang wanita sedang mengandung itu berjaya disorok daripada pandangan mata umum. Terkejut kerana beberapa minggu sebelumnya, Nadiya bertandang ke Studio Utusan Jalan Chan Sow Lin Kuala Lumpur untuk sesi fotografi mempromosikan filem Jiwa Taiko bersama beberapa rakan artis lain dan ketika itu bentuk badannya masih langsing. Ingin mendapatkan kesahihan dalam keadaan masih kaget, Kosmo! menyapa si manis yang mesra dipanggil Nadiya. Ditanya berapa bulan usia kandungan dia ketawa besar. "Ini fake pregnancy! (hamil tipu). Mana ada saya mengandung. Lagipun, anak pertama saya masih kecil dan perlukan lebih perhatian daripada saya. "Watak saya dalam drama Adam & Hawa yang memerlukan saya 'mengandung' dan syukur Alhamdulillah hari ini merupakan hari terakhir penggambaran drama bersiri 80 episod ini," luah pemilik nama Nadiyatul Nisaa' Kamaruddin ceria. Ain Hawani Pertemuan dengan pendukung watak utama Ain Hawani dalam drama adaptasi novel Adam & Hawa tulisan Aisya Sofea itu mengundang derai tawa tanpa henti. Ketika penggambaran meniti detik akhir sebelum proses penyuntingan untuk disiarkan pada 27 Ogos nanti di saluran Mustika HD (Astro 134), bagaimanapun faktor hujan tanpa henti membantutkan proses melunaskan baki beberapa babak. Pada waktu itu kesempatan diambil untuk bercerita mengenai pengalaman Nadiya sepanjang pembikinan drama rantaian itu serta perkembangan kariernya yang nampak semakin terang. "Drama ini mencabar dari segi teknikal, tapi mujurlah saya bekerja bersama sepasukan produksi yang sangat bagus. Kadang-kadang diakui saya akan hilang tumpuan kerana penggambaran yang memakan masa lima bulan, tapi sehingga hari ini semua berjalan lancar," katanya memanjat syukur. Menerusi drama arahan Mohd. Feroz Kader itu, Nadiya berpadu tenaga dengan pelakon popular Aaron Aziz yang mendukung peranan Adam Mukhriz. Bagaimanapun, kata kedua-dua pelakon yang pernah bergandingan dalam filem Ombak Rindu itu, mereka sukar membina hubungan kimia sebagai suami isteri kerana kebanyakan babak dalam drama itu memerlukan mereka bercakaran. "Sangat susah hendak membina keserasian bersama kerana kebanyakan babak kami hanya bergaduh. Kalau ada pun, ia hanya pada akhir-akhir cerita apabila Adam dan Ain bertemu secara tidak diduga. "Rujukan utama saya adalah novel kerana perilaku fizikal dan penyampaian emosi lebih banyak ditonjolkan melalui tulisan dalam novel. Kelakar juga kerana kali terakhir membaca novel berbahasa Melayu adalah untuk subjek Kesusasteraan Melayu SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) lebih kurang lapan tahun lalu," cerita Nadiya. Berehat Adam & Hawa mengisahkan sepasang suami isteri yang bernikah secara salah sangka apabila mereka ditangkap khalwat. Ain Hawani tidak merelakan perhubungan itu membawa diri daripada suaminya, Adam Mukhriz yang sentiasa berdiam diri serta pasrah dengan perkara berlaku.
Setelah bertahun berlalu, mereka dipertemukan semula dalam keadaan ego yang masih memuncak tapi perasaan yang mendambakan diri masing-masing. Sementara itu, Nadiya bagaimanapun menegaskan tidak akan menerima tawaran watak berat seperti mana Ain Hawani dalam masa terdekat kerana ingin memperlahankan rentak permainan emosi. "Watak Ain Hawani berat sebenarnya kerana sentiasa berendam air mata, buat masa sekarang saya tidak akan menerima watak-watak berat tapi cuma memfokuskan karakter ringan seperti komedi," ujar pelakon drama Donut itu lagi. Dalam perkembangan lain, Nadiya kini sedang menjalani penggambaran beberapa buah telefilem dan sebuah filem komedi romantik berjudul Pengapit yang dijadualkan memulakan penggambaran pada bulan Ramadan kelak. "Saya membawakan watak Zara seorang pengapit pengantin kepada seorang kawan baik saya, karakter itu melucukan dan banyak berkisar perjalanan seseorang menempuh hari persandingan," katanya. Omar Cahaya mata sulungnya, Omar Saiful Razman yang kini berusia sembilan bulan mengubah wajah serius berhujah perihal karier Nadiya jadi berseri-seri. Seakan-akan permata hatinya itu benar-benar mencetuskan gejolak perasaan gembira bukan kepalang. Benar, ketika penggambaran drama itu Nadiya membawa bersama Omar yang ditemani seorang pembantu rumah untuk membantunya. "Omar budak lelaki yang sangat lasak walaupun masih kecil, bijak dan kelakar. Dia penghibur sejati di kala saya dan suami penat bekerja," cerita Nadiya teruja. Nadiya yang mendirikan rumah tangga dengan seorang pelukis Saiful Razman Mohd. Kassim, 32, pada bulan Julai 2009 mendapat sokongan sepenuhnya untuk tambah ligat dalam bidang lakonan. "Kami menyokong kerjaya masing-masing dan asalkan saya menghormati norma sebagai seorang isteri orang dia izinkan saya berlakon," katanya yang masih belum memikirkan untuk memperoleh cahaya mata lain dalam masa terdekat.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails