Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Najwa Latif. Show all posts
Showing posts with label Najwa Latif. Show all posts
Faktor Usia Jadi Sebab Najwa Latif Tolak Cinta
Penyanyi Najwa Latif belum bersedia untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki atas faKtor usianya yang masih muda.
Najwa, 20, berkata, fokus utamanya memberi tumpuan kepada pengajian di universiti selain mengembangkan kariernya ke tahap lebih tinggi.
"Tiada teman lelaki. Saya masih muda dan masih banyak perkara lain yang menjadi keutamaan terutamanya pengajian saya di universiti yang berbaki dua tahun lagi.
"Kalau berkawan biasa memang ada tetapi untuk bercinta rasanya belum sampai masanya lagi," katanya kepada mStar Online.
Najwa ditemui pada majlis pelancaran kempen 'Kecapi Impianku Bersama Sunsilk' di Flora Terrace Hampshire Place di sini, Selasa.
Selain Najwa, kempen tersebut turut menampilkan pelakon dan pengarah, Melissa Saila dan wartawan penyiaran Khairunnisa Kasnoon sebagai mentor program berkenaan.
Dalam pada itu, Najwa berkata, dia mempunyai pelbagai impian yang harus dicapai terlebih dahulu sebelum memikirkan soal cinta.
Jelas Najwa, dia ingin membahagiakan keluarganya kerana mereka adalah tunjang kejayaan dia hari ini.
"Selain karier dan pengajian, keluarga juga fokus saya. Mereka adalah cinta saya.
"Tiada teman lelaki pun tidak mengapa kerana selagi keluarga bersama saya, ia sudah cukup membahagiakan," jelasnya.
Sementara itu, bercakap mengenai peranannya sebagai mentor dalam kempen 'Kecapi Impianku Bersama Sunsilk', Najwa menjelaskan dia ingin berkongsi pengalamannya sebagai penyanyi dengan protoge pilihannya kelak.
Kata Najwa, dia mencari seorang protoge yang mempunyai keyakinan diri selain tidak takut menjadi diri sendiri selain menpunyai impian dan misi yang jelas.
"Saya harap dapat bertemu protoge dalam bidang yang sama agar dapat saya kongsi pengalaman selama empat tahun bergelar artis.
"Saya berbesar hati terpilih sebagai mentor kempen ini kerana dapat membantu rakan sebaya saya mengejar impian mereka," katanya.
Dalam pada itu kempen berkenaan bertujuan memberi inspirasi kepada wanita muda berhijab dalam mengejar impian dalam bidang filem, muzik dan kewartawanan.
Episod mengenai kempen berkenaan akan disiarkan sebagai segmen khas di hlive! (Astro Ria), setiap Rabu, Khami dan Jumaat pada 8.30 malam bermula 14 Oktober depan.
Dalam perkembangan lain, Najwa berkata, dia kini sedang dalam proses menyiapkan album terbaharunya dan ia dijangka dipasarkan pada penghujung tahun ini.
Single pertama daripada album berkenaan berjudul 'Satu' bakal dilancarkan pada September depan.
Najwa Latif Belum Sedia Beri Lagu Ciptaan Untuk Penyanyi Lain
Penyanyi Najwa Latif masih belum bersedia memberikan lagu-lagu ciptaannya kepada mana-mana artis tempatan.
Najwa, 20, berkata, perkara tersebut disebabkan dia bimbang lagu tersebut tidak sesuai dengan mereka kerana ia terlalu ringan.
"Tidak dinafikan ada beberapa artis yang berhasrat untuk menyanyikan lagu ciptaan saya, tapi saya minta maaf kerana masih belum bersedia memberikannya kepada mereka.
“Lagu-lagu saya terlalu ringan, saya bimbang ia tidak sesuai dengan mereka. Insya-Allah satu hari nanti memang impian saya untuk mendengar lagu ciptaan sendiri dinyanyikan orang lain," katanya kepada mStar Online.
Najwa berkata, dia baharu sahaja keluar dengan lagu terbaharu yang dicipta oleh penyanyi Alyph Sleeq berjudul Satu Hari Nanti.
Dalam pada itu bercerita tentang Hari Raya, Najwa berkata, setiap tahun dia pulang ke kampung halamannya di Batu Pahat, Johor.
Tambahnya, apa yang lebih menggembirakan apabila dia masih lagi menerima duit raya daripada keluarga.
"Setiap kali raya saya balik ke Batu Pahat, Johor untuk beraya bersama keluarga. Seronok bila kumpul ramai-ramai dan bercerita panjang.
"Kebiasaannya pakaian dan perhiasan rumah sudah disiapkan oleh ibu dan saya hanya ikut sahaja tema yang disediakan. Selain itu, jangan terkejut saya masih dapat duit raya daripada keluarga kerana masih belajar," ujarnya.
Sementara itu, Najwa berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, dia tidak dapat beraya lama di kampung berikutan jadual belajar dan aktiviti seni yang padat.
"Bila raya, ramai juga peminat yang datang ke rumah. Tapi kebiasaannya saya tidak dapat berada lama di kampung, ada kalanya selepas pulang ke Kuala Lumpur pun masih ada lagi peminat yang datang berkunjung. Ibu akan layan mereka menggantikan tempat saya," katanya.
Saya budak kampung - Najwa Latif
BERTEMU dengan penyanyi remaja ini, terpancar riak keseronokan pada wajahnya bila ditanya mengenai dunia sebagai seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi.
Namun, ada ura-ura mengatakan bahawa Najwa Latif diterima untuk menyambung pelajaran adalah kerana ditaja sendiri oleh pihak Unitar.
Merungkai persoalan tersebut, jelas Najwa, dia sebenarnya bukanlah ditaja. Sebaliknya, dia diberi biasiswa oleh pihak universiti itu untuk menyambung pelajaran di peringkat Asasi.
"Lepas menghabiskan pelajaran di peringkat SPM, saya ada buat senarai pendek beberapa universiti yang ingin saya sambung pelajaran dan salah satunya adalah di Unitar.
"Kebetulan, selepas saya habis belajar, pihak Unitar berminat untuk memberi saya biasiswa dan melantik saya sebagai duta di universiti itu," ujarnya.
Tambah Najwa, mungkin disebabkan pelantikan duta itu yang membuatkan orang berfikir bahawa dirinya ditaja oleh pihak universiti.
"Tugas saya sebagai duta ialah untuk memperkenalkan Unitar dan beberapa lagi bahagian untuk mempromosikan Unitar," jelasnya.
Ditanya tidakkah dia berasa statusnya sebagai artis dipergunakan oleh universiti itu tanpa melihat keputusan SPM miliknya, Najwa terus menggeleng tanda tidak setuju.
"Sebenarnya saya tidak rasa dipergunakan. Biasiswa yang diberikan ialah perkara yang berlainan dengan pelantikan diri saya sebagai duta.
"Lagipun, ia adalah situasi menang-menang buat kedua-dua pihak. Saya diberi biasiswa untuk menyambung pelajaran.
"Jadi apa salahnya jika saya memberi sumbangan pula sebagai duta untuk mempromosikan universiti saya. Saya rasa tidak salah dan faedahnya diterima kedua-dua pihak," jelasnya.
Tambah Najwa, dia sebenarnya ditawarkan oleh pihak universiti untuk menyambung pelajaran daripada peringkat Asasi hingga ke Ijazah Sarjana Muda.
Namun, bagi Najwa, dia lebih selesa untuk meneruskan pelajarannya di peringkat Asasi dahulu.
"Saya kalau boleh hendak sambung pelajaran di universiti lain pula untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda.
"Universiti dalam atau luar negara, itu saya belum fikir lagi. Buat masa sekarang, saya mahu fokus pada pengajian saya sebelum memikirkan untuk menyambung pengajian di universiti lain," jelasnya.
Sepanjang tiga minggu menuntut di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), jelas Najwa Latif, dia begitu teruja dengan pengajiannya.
"Mulanya, saya sangka akan menjadi kekok apabila belajar di universiti apatah lagi bila teringat saya seorang artis.
"Tetapi, sangkaan meleset. Kebanyakan penuntut di sana tahu saya merupakan seorang artis dan mereka tidak kekok untuk berbual-bual dengan saya," jelasnya.
Tambah Najwa lagi, dia kini sedang menyambung pengajian dalam jurusan Asasi Pengurusan selama setahun sebelum meneruskan pengajian.
Kurus kerana sakit
Sebelum ini, ramai juga yang mengatakan selepas Najwa tamat SPM, badannya semakin meningkat naik atau dalam erti kata lain, semakin berisi.
Namun, bertemunya pada sesi rakaman raya Stailista Unplugged baru-baru ini, belum nampak lagi pengurangan berat terhadap badannya.
Menurut Najwa, dia sebenarnya sudah mula mengamalkan diet untuk menguruskan berat badan.
Malah, tambah penyanyi remaja ini lagi, dia sebenarnya sudah berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak enam kilogram (kg).
"Saya dah mula mengamalkan diet hampir sebulan setengah dan kini masih lagi mengamalkan diet untuk mencapai sasaran mengurangkan berat badan sebanyak 20 kg," katanya.
Ditanya sama ada berat badannya yang semakin berkurang itu disebabkan tekanan berada dalam industri seni atau tidak, jelas Najwa, ia adalah kerana sakit.
"Bukan kerana tekanan dalam industri yang buat berat badan saya semakin berkurang. Sebaliknya saya sendiri yang memilih untuk mengurangkan berat badan kerana merasakan diri sudah semakin berat.
"Semuanya bermula awal tahun ini, ketika saya sedang membuat persembahan untuk sebuah konsert terbuka di ibu kota.
"Ketika berada di belakang pentas, saya dapat merasakan kaki saya berat dan sukar untuk melangkah.
"Ketika itu saya memang merasakan bahawa berat badan sudah tidak berada pada tahap normal dan saya perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkannya," jelasnya.
Ujar Najwa, dia kini semakin menjaga pemakanannya berbanding sebelum ini, terutamanya mengawal jumlah pengambilan nasi.
"Sebelum ini saya selalu ambil nasi dengan jumlah yang banyak, tetapi kini saya dah kurangkan. Malah, saya juga banyakkan untuk minum minuman air mineral berbanding air manis," katanya.
Tambahnya, disebabkan kini dia sibuk dengan pengajiannya dan jadual seni, latihan senaman terpaksa dikurangkan dan lebih fokus kepada diet pemakanan sahaja.
Najwa Latif mahu jadi pensyarah
Najwa elak cerita keputusan SPM
Selepas SPM,Najwa Akan Jadi Pensyarah P
Najwa Latiff dalam kenyataannya menerusi sebuah tabloid tempatan hari ini mendedahkan keputusan peperiksaan percubaannya sebelum ini ialah 5A.
Sehubungan itu, pelantun lagu ‘Kosong’ ini berharap agar keputusannya untuk SPM yang akan diumumkan tak lama lagi memberi berita yang lebih baik.
“Insya-Allah, saya harap keputusan yang bakal keluar awal Mac ini berpihak kepada saya. Sewaktu peperiksaan percubaan saya mendapat 5A,” jelas Najwa dipetik dari Utusan Malaysia.
Najwa turut memberitahu hasratnya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan bercita-cita mahu menjadi pensyarah.
“Sejak dulu saya bercita-cita menjadi pendidik seperti ibu yang menabur bakti kepada anak bangsa.”
Moga doa Najwa termakbul dan dapat meneruskan hajatnya untuk mendidik anak bangsa.-Ohbulan
Najwa Latif Akui Hubungan Dengan Bapa Kini Lebih Baik
Saya tidak letak harga - Najwa
PENYANYI yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku ini nampaknya tidak dapat membebaskan dirinya daripada dilanda kontroversi bersiri.
Selepas isu dirinya digelarkan sebagai anak derhaka oleh bapanya sendiri, Abdul Latif Ismail seperti yang tersiar dalam sebuah akhbar baru-baru ini, timbul pula pelbagai tanggapan negatif kepada penyanyi kelahiran YouTube ini.
Terkini, Najwa Latif, 17, terpalit lagi dengan isu bahawa dia sudah pandai meletakkan harga tertentu untuk membuat persembahan di mana-mana majlis.
Selain itu, dia juga dikatakan tidak lagi mahu membuat persembahan yang mempunyai bajet kecil di samping meletakkan syarat-syarat tertentu sebelum menerima tawaran yang memerlukan dia membuat persembahan. Turut menjadi isu apabila Najwa juga dikatakan kini sudah mempunyai teman lelaki.
Ketika ditemui selepas membuat persembahan pada Festival Pengantin Malaysia di Setia City Convention Centre, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Najwa menjelaskan mengenai beberapa kontroversi terbaharu mengenai dirinya itu.
Kosmo!: Benarkah dakwaan bahawa Najwa sekarang sudah letak harga untuk setiap persembahan anda?
NAJWA: Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah buat begitu.
Jadi, apakah yang sebenarnya berlaku?
Saya pun tidak tahu macam mana orang boleh cakap begitu, sebab memang saya tidak pernah buat macam itu.
Berapakah nilai Najwa untuk membuat persembahan sebenarnya?
Saya tidak pernah letak sebarang harga setakat ini. Saya bukan jenis macam itu, sesiapa yang hendak jemput saya menyanyi, saya ikut bajet mereka. Kami sedia berunding, bajet RM500 pun saya ambil.
Adakah selama ini, Najwa tidak pernah meletakkan sebarang harga seperti yang dilakukan oleh kebanyakan penyanyi lain?
Ya, sesiapa yang mahu jemput saya, mereka boleh bincang, saya tiada masalah. Saya akan membuat persembahan ikut bajet mereka, jadi tidak timbul isu saya letak harga.
Mengenai kontroversi lain pula, adakah benar dakwaan bapa Najwa dalam sebuah program hiburan baru-baru ini bahawa anda menipu tidak mahu ke sekolah sebaliknya pergi tengok wayang sehingga awal pagi?
Tahun 2013 saya mahu buka buku baharu hendak lupakan perkara lepas, ini hal keluarga, saya tidak mahu cerita apa-apa.
Namun disebabkan Najwa seorang penyanyi yang sudah mencipta nama, ia telah menjejaskan nama baik anda, bolehkah jelaskan sedikit?
Apa yang boleh saya cakapkan, dakwaan itu tidak benar.
Selepas kontroversi tersebut, apakah penerimaan Najwa apabila ada peminat yang melabelkan anda seorang yang jahat?
Pada saya jahat adalah subjektif, biarlah apa orang nak cakap, cukup apabila ibu dan ayah saya tahu apa yang berlaku.
Bagaimana pula dengan gosip yang mendakwa Najwa kini sudah mempunyai teman lelaki sekarang?
Saya ramai kawan lelaki tetapi tiada yang istimewa. Saya lebih suka berkawan dengan semua orang, lagi pun ibu saya tidak galakkan lagi sebab umur saya masih muda lagi.
Adakah tahun 2013 akan ada album atau single baharu Najwa?
Saya sedang mengumpul bahan untuk album baharu. Lagu-lagu saya nanti akan berbentuk lebih matang berbanding lagu sebelum ini tetapi imej Najwa Latif masih ada.
Najwa Latif enggan aibkan keluarga
PENYANYI Najwa Latif agak jarang dikaitkan dengan sebarang kisah kontroversi. Biarpun begitu, penyanyi kelahiran Batu Pahat, Johor berusia 17 tahun itu terpaksa akur apabila dia turut tidak dapat mengelakkan diri daripada dilanda isu sensasi sehingga dirinya diperkatakan ramai.
Baru-baru ini, sebuah akhbar telah melaporkan tentang luahan bapanya, Abdul Latif Ismail yang mendakwa Najwa telah meminggirkan dirinya sebagai seorang bapa.
Bapa Najwa juga mendedahkan anaknya itu kini sudah lalai dalam pelajaran sejak bergelar penyanyi.
Dalam kenyataan tersebut juga seolah-olah menggambarkan penyanyi muda berbakat besar itu sebagai seorang anak derhaka dan sudah mula lupa diri setelah mencipta nama dalam bidang nyanyian.
Sehubungan itu, Kosmo! menghubungi penyanyi yang popular menerusi lagu Muka Cinta Buku itu semalam bagi mendapatkan kepastian tentang isu tersebut.
Kosmo!: Najwa baru hendak membuat kemunculan semula setelah lama cuti menyanyi. Adakah Najwa kecewa apabila terdapat cerita kurang baik tentang anda yang telah dipaparkan dalam media?
NAJWA: Sama ada saya kecewa atau tidak, saya terpaksa berhadapan dengan segala apa yang berlaku. Bagaimanapun, apa yang lebih penting saya perlu terus menjadi seorang yang kuat dan bersemangat untuk menghadapi semua itu.
Dalam perkara ini, saya cuma menganggap setiap perkara yang telah terjadi ini pasti ada hikmah di sebaliknya. Jadi, lebih baik sekiranya saya kembali fokus kepada kerjaya sahaja tanpa memikirkan perkara peribadi.
Najwa sudah bersedia untuk menceritakan hal yang sebenar?
Saya minta maaf kerana tidak akan memberi sebarang komen buat masa sekarang kerana isu yang timbul ini melibatkan keluarga. Kalau saya buka mulut dan bercerita, sudah tentu saya akan mengaibkan keluarga dan itulah perkara yang saya mahu elakkan sekarang.
Dengan cerita yang didedahkan itu, adakah Najwa fikir ia akan menjejaskan kerjaya dan periuk nasi anda sebagai penyanyi?
Sebenarnya saya lebih percaya bahawa setiap rezeki yang diperoleh itu semuanya telah ditentukan oleh Allah. Sekiranya terdapat sebarang tawaran membuat persembahan ditarik balik, saya anggap itu bukan rezeki dan terima dengan hati terbuka.
Apakah reaksi peminat terhadap cerita berkenaan?
Saya berasa sangat lega dan gembira kerana para peminat masih tetap menyokong saya, malah ada antara mereka yang turut memberi pandangan supaya saya tidak memberikan sebarang komen terhadap isu tersebut.
Bagaimana perasaan Najwa setelah tamat menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?
Pastinya saya sangat teruja kerana banyak perkara yang boleh saya lakukan sekarang tanpa halangan, terutamanya kembali menyambung karier nyanyian saya. Selain itu, saya kini sedang dalam proses untuk mendapatkan lesen kereta.
Apabila Najwa menyambung pelajaran nanti, apakah jurusan yang ingin diambil?
Dengan kerjaya saya sekarang ini pasti ramai yang ingat saya akan mengambil jurusan seni, tetapi sebenarnya saya telah merancang untuk belajar dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).
Salah satu faktor utama yang menyebabkan saya ingin mengambil jurusan tersebut kerana saya memang meminati bahasa Inggeris. Bagi saya, lebih baik saya ambil jurusan yang saya memang minat agar lebih mudah memahami setiap yang diajar.
Apakah perkembangan terbaharu Najwa sekarang?
Pada 15 Disember ini saya akan membuat persembahan pada majlis Anugerah Planet Muzik, Singapura. Seminggu kemudian saya kembali semula ke Singapura untuk menjayakan showcase Najwa Latif Live In Singapore yang akan berlangsung The Joyden Hall @ Bugis pada 21 Disember ini.
Selain itu saya juga akan mempromosikan single terbaharu berjudul Sahabat. Kemudian, saya akan menyambung semula siri jelajah ke seluruh Malaysia yang sudah bermula awal tahun ini seperti di Perak, Pahang, Melaka dan Johor. Untuk lokasi yang seterusnya masih lagi dalam peringkat perbincangan.
Najwa Latif Tidak Tumpang Populariti Sleeq
SHAH ALAM: Penyanyi remaja, Najwa Latif tidak melihat gandingannya bersama Sleeq adalah sebagai menumpang populariti kumpulan itu untuk mencipta nama di Singapura.
Najwa, 17 sebaliknya berkata gabungan itu adalah sesuatu yang positif dan baik untuk kedua-dua belah pihak membina nama sebagai penyanyi.
"Saya tidak rasa menumpang populariti Sleeq atau sebaliknya kerana kolaborasi di antara kami adalah sesuatu yang positif dan senang bekerja dengan mereka.
"Isu seperti itu tidak timbul kerana baik saya mahupun Sleeq bekerja keras untuk membina nama di dalam industri ini," jelasnya ketika ditemui pada pertandingan akhir MasterChef Malaysia musim kedua dekat sini pada Sabtu lalu.
Malah kata Najwa, mereka sekali lagi berduet menerusi lagu terbarunya berjudul Sahabat sebagai tanda sokongan antara satu sama lain dan keserasian yang terbina di antara mereka selepas popular dengan lagu Untuk Dia.
Dalam pada itu, Najwa memberitahu mengambil keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur selepas tamat menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu.
Najwa berkata, keputusan itu diambil bagi memudahkan pergerakan kerjayanya dan memenuhi undangan persembahan yang kebanyakannya di Kuala Lumpur.
"Alhamdulillah peperiksaan sudah selesai dan dapat jawab dengan baik walaupun subjek Biologi dan Matematik Tambahan agak susah dan kini saya sudah sedia untuk kembali merencanakan kerjaya saya selepas beberapa bulan menumpukan kepada pelajaran.
"Keputusan berpindah ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama kakak adalah kerana ingin memudahkan perjalanan karier saya dan mungkin selepas keputusan SPM keluar ia akan berubah," ujarnya.
Sementara itu, Najwa memberitahu teruja untuk mengadakan persembahan istimwewa dihadapan peminat di Singapura pada 21 Disember ini dalam sebuah konsert Najwa Latif Live in Singapore di The Joyden Hall Bugis.
Najwa berkata, dia juga sedikit gementar kerana pertama kali menjejakkan kaki ke Singapura dan berharap konsert sulungnya itu akan berjalan dengan baik.
"Pada mulanya saya ingat ia adalah konsert tanpa menggunakan tiket tetapi rupa-rupanya persembahan berbayar dan ia satu penghormatan besar buat diri saya sebagai penyanyi dan pada masa sama tekanan kerana perlu membuat persediaan yang rapi supaya peminat yang hadir tidak kecewa.
"Ini adalah peluang terbaik buat saya untuk bergerak aktif dan memperluaskan kerjaya saya dalam dunia seni muzik. Ia adalah platform untuk mendekati semua peminat di singapura," jelasnya.
Pada konsert itu nanti kumpulan Iamneeta dan sebuah kumpulan daripada Singapura iaitu Aryan Band turut dijemput sebagai artis pembukaan.
Najwa juga memberitahu dia bersyukur kerana rezekinya semakin bertambah dan jadualnya semakin pada dengan pelbagai undangan nyanyian.
"Alhamdulillah rezeki semakin bertambah dan ini membuatkan saya semakin bersemangat untuk terus melebarkan kerjaya dan menghasilkan lagu-lagu yang lebih baik untuk peminat," katanya.
Kata penyanyi lagu Cinta Muka Buku ini, dia merancang untuk menghasilkan album terbaru pada tahun hadapan.
Najwa Latif Terkejut Dianggap Persenda Wartawan
PETALING JAYA: Penyanyi remaja, Najwa Latif, yang sebelum ini menjelaskan lagu “Kosong” nyanyiannya tidak menyindir sesiapa bertambah terkejut selepas membaca laporan terbaru kononnya karya itu ditujukan kepada wartawan.
Najwa, 17, berkata, dia tidak pernah berniat untuk menyindir wartawan tetapi ia dihasilkan sebagai pemangkin semangat kepada dirinya selain untuk dikongsi kepada orang lain jika menghadapi sebarang masalah.
"Tidak pernah terlintas pun dalam fikiran saya untuk menyakiti mana-mana pihak melalui lagu apatah lagi ia ditulis semata-mata untuk memberi inspirasi kepada diri sendiri dan orang lain," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.
Tambah Najwa, dia juga tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana wartawan sehingga ingin membalas dendam menerusi lagu dan menganggap mereka sering menyokong kerjaya seninya.
"Walaupun kadang-kadang saya kena kritik tetapi saya mengambil perkara itu sebagai positif dalam memperbaiki diri tetapi setakat ini tidak pula saya mempunyai masalah atau bermusuh dengan mana-mana pihak media," katanya.
Dalam pada itu, kakak kepada Najwa iaitu Syafikah Latif turut menafikan dakwaan tersebut dan menganggap ia tidak berasas sama sekali.
Syafiqah memberitahu, lirik lagu berkenaan yang dituliskan sejak lima bulan lalu itu tidak pernah bertujuan untuk 'menyerang' mana-mana pihak sebaliknya mahu memberi semangat kepada semua pendengar yang mungkin mempunyai masalah supaya tidak berputus asa.
"Sebelum tulis lirik lagu berkenaan saya terlebih dahulu berbincang dengan Najwa tentang tema, konsep lagu berkenaan dan sebagai remaja kami ingin menghasilkan sesuatu yang dapat memberi inspirasi kepada orang lain terutamanya di kalangan remaja.
"Bagaimanapun saya tidak boleh menghalang penilaian orang lain kerana ia pandangan individu," katanya.
Sementara itu, Syafiqah berkata, dia dan adiknya tidak perlu melenting terhadap cerita terbaru itu sebaliknya mengambil ia sebagai satu perkara positif dan menerimanya untuk memperbaiki kelemahan.
"Bila orang bercakap kita kena sentiasa lihat kembali kepada diri dan perbaiki kelemahan yang ada," katanya.
Ditanya mengenai penerimaan Najwa terhadap cerita negatif tentang dirinya, Syafiqah berkata dia sangat berbangga dengan adiknya itu kerana tidak cepat melatah apabila ada kontroversi yang dikaitkan dengannya.
Malah kata Syafiqah, tumpuan Najwa terhadap pelajaran juga tidak terganggu dan sentiasa fokus untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini.
Imej Caca Marba, Najwa Latif Pinta Kakak Tidak Dipersalahkan
PETALING JAYA: Penyanyi remaja Najwa Latif menegaskan imej dan fesyennya yang dikatakan caca-marba dan tidak bersesuaian dengan faktor usia bukan ditentukan oleh kakaknya, Syafikah Latif.
Sebaliknya, penyanyi berusia 17 tahun ini memberitahu setiap penampilannya pada acara-acara hiburan dan persembahan pentas ditentukan menerusi perbincangan banyak pihak.
"Pemilihan imej saya tidak hanya ditentukan oleh kakak, malah ia melibatkan pihak pengurusan dan saya sendiri. Tidak adil menuduh kakak saya menjadi punca kepada masalah imej dan fesyen saya.
"Sebenarnya, kami akan berbincang terlebih dahulu sebelum saya menghadiri apa-apa acara hiburan. Orang ramai sudah salah faham tentang perkara ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Terbaru, penyanyi lagu Kosong itu sekali lagi dikecam segelintir pihak ekoran busana rekaan Wan Huzairil yang diperagakannya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-25 (ABPBH2011) pada 8 April lalu tidak sepadan dengan usia remajanya.
Difahamkan juga, kakak Najwa menjadi punca kecelaruan pada fesyen dan penampilannya selama ini.
Najwa mengakui masih banyak kelemahan pada penampilannya itu dan berusaha untuk memperbaiki diri pada masa akan datang.
"Saya masih baru dan tercari-cari fesyen yang bersesuaian dan sepadan. Namun, saya tidak berkecil hati walaupun segelintir pihak masih mempertikaikan imej saya.
"Insya-Allah apabila saya aktif semula selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya akan tampil dengan kelainan," kongsinya.
Dalam pada itu, Najwa berkata dia kini mula berehat panjang bagi menumpukan persiapan untuk menghadapi SPM pada hujung tahun ini.
“Saya berehat daripada komitmen nyanyian buat masa ini. Terlalu banyak subjek yang perlu saya tumpukan terutamanya subjek-subjek Tingkatan Empat yang sudah saya lupa.
“Atas nasihat ibu, saya ambil keputusan ini untuk masa depan. Kalau diikutkan, saya patut berehat sejak Mac lagi dan kemunculan di ABPBH baru-baru ini adalah persembahan pentas yang terakhir sehingga saya selesai SPM,” katanya.
Lagu 'Kosong' Najwa Latif Tidak Sindir Sesiapa
PETALING JAYA: Bintang remaja sensasi Najwa Latif menjelaskan lagu terbarunya berjudul Kosong bukan dihasilkan sebagai sindiran kepada mana-mana pihak.
Sebaliknya, pemilik nama sebenar Imratul Najwa Abdul Latif, 17, ini memberitahu lagu tersebut adalah bertujuan untuk memberikan semangat dan motivasi kepada sesiapa sahaja agar tidak berputus asa apabila diri diperkecilkan.
“Lirik lagu itu dihasilkan bersama kakak saya, Ika. Dia menghasilkan lirik itu ketika melihat saya sedang bersedih dan tertekan dengan pelbagai cabaran dalam bidang nyanyian ini.
“Saya sering berkongsi dengan kakak apa juga masalah atau kesedihan yang saya hadapi. Mungkin daripada situ, dia mendapat ilham untuk menulis lirik lagu itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Ditanya adakah lagu itu merupakan luahan perasaan dan pandangan mereka kerana sering dipandang rendah dan dikritik pelbagai pihak sebelum ini, Najwa berkata ia hanyalah lagu yang menjadi motivasi bagi menghadapi perjalanan karier yang masih panjang.
“Lagu itu bukan untuk menyindir mana-mana pihak. Mungkin daripada liriknya, orang akan menyangka ia adalah luahan perasaan saya untuk menyindir segelintir pihak yang memperlekeh atau mengkritik selama ini.
“Hakikatnya, bukan begitu kerana ia adalah sebuah lagu motivasi dan pemangkin semangat kepada sesiapa sahaja yang berasa diperlekehkan agar tidak mudah mengalah,” katanya.
Dalam pada itu, gadis yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini berkata dia kini mula berehat panjang daripada komitmen nyanyian demi menumpukan perhatian pada pelajaran.
“Saya berehat daripada komitmen nyanyian buat masa ini bagi menumpukan perhatian pada pelajaran. Terlalu banyak subjek yang perlu saya tumpukan terutamanya subjek-subjek Tingkatan Empat yang sudah terlupa.
“Atas nasihat ibu, saya ambil keputusan ini untuk masa depan. Kalau diikutkan, saya patut berehat sejak Mac lagi dan kemunculan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian baru-baru ini adalah persembahan pentas yang terakhir pada tahun ini sehingga saya selesai SPM,” katanya.
Najwa beli sebuah Perodua Myvi tunai

Najwa Latif kini berjaya membeli sebuah kereta Perodua Myvi baru-baru ini. Menurut suatu sumber terdekat, paling membanggakan apabila Najwa telah membeli kereta buatan Malaysia itu secara tunai kerana pendapatannya sebagai penyanyi yang datang mencurah-curah ekoran popularitinya kini.
Najwa mampu membeli sebuah kereta Perodua Myvi secara tunai kerana dia mempunyai pendapatan yang tinggi kerana banyak mendapat tawaran menyanyi di merata-rata tempat selepas lagu Cinta Mukabuku ‘meletup’ dalam radio dan televisyen.
“Sebab itu tidak hairanlah, Najwa seperti tidak menang tangan untuk menerima tawaran menyanyi di merata-rata tempat. Itu pun sebab dia masih lagi bersekolah dan akan mengambil peperiksaan SPM pada hujung tahun ini. Kalau tidak dia akan semakin sibuk.
“Saya dapat berita ini daripada pengurus baru Najwa. Sebelum ini, kerjaya Najwa diuruskan oleh kakaknya yang kini sedang belajar di UiTM Shah Alam. Mungkin kakak Najwa sibuk, itu fasal dia ambil pengurus baru,” kata sumber itu panjang lebar.
Najwa Latif Tidak Patah Semangat Dipersendakan Segelintir Pihak
PETALING JAYA: Penyanyi muda Najwa Latif berkata dia enggan melatah atau patah semangat dengan sikap segelintir pihak yang iri hati dengan perkembangan karier nyanyiannya.
Penyanyi berusia 17 tahun itu berkata dia sentiasa berpegang teguh pada pesanan ibunya agar bersikap tenang dan matang dalam menghadapi pertikaian pihak yang kurang senang dengan apa yang dikecapinya kini.
“Saya sentiasa ingat pesanan ibu dalam kehidupan ini pasti akan ada orang yang suka dan tidak suka dengan apa yang kita lakukan atau kecapi. Saya tidak akan melatah dan selesa untuk berdiam diri.
“Lebih baik saya fokus pada pelajaran dan perjuangan muzik daripada merunsingkan fikiran dengan kata-kata atau sikap negatif orang lain,” katanya kepada mStar Online, Ahad.
Ketika ditanya mengenai pertikaian segelintir pihak terhadap kualiti lagu popularnya Cinta Muka Buku yang bukan hanya mencetuskan fenomena, malah turut mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) pada 29 Januari lalu, Najwa berkata ia adalah peluang dan rezeki yang ditentukan oleh Tuhan.
“Saya terima dengan hati terbuka apa juga pandangan negatif orang yang meragui lagu saya sehingga dikenali ramai dan mara ke pertandingan berprestij seperti AJL26, baru-baru ini.
“Mungkin kerana saya baru 17 tahun dan setakat itu sahaja kemampuan saya berkarya buat masa ini. Maka, ada yang anggap lagu saya tidak berkualiti.
“Apa pun, saya akan terus belajar untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran bermain muzik untuk menghasilkan lagu-lagu yang lebih baik pada masa depan,” katanya.
Menjawab dakwaan terbaru kononnya dia dipersendakan oleh beberapa penyanyi senior di belakang pentas dengan tujuan untuk melemahkan semangatnya sebelum bertanding pada AJL26, Najwa berkata dia tidak pasti jika perkara itu benar-benar terjadi.
“Saya orang baru dalam bidang ini dan saya menghormati semua artis yang lebih senior. Saya tidak pasti jika dakwaan tersebut benar-benar berlaku.
“Mungkin kalau pun ia berlaku, saya tidak patah semangat atau ambil pusing kerana saya hanya memperjuangkan muzik saya sahaja,” katanya.
Najwa yang bakal muncul dengan album pertamanya pada Mac depan baru sahaja berkongsi pentas dengan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search dalam acara persembahan bersempena sambutan Maulidur Rasul di Terengganu, malam Sabtu lalu.
Pada hari ini (Isnin), penyanyi dari Batu Pahat, Johor ini terlibat dalam persembahan kerohanian bersama pendakwah bebas Sham Kamikaze di kawasan Ampang, Selangor, juga bersempena sambutan hari keputeraan Nabi Muhammad SAW.
Bagi saya ruang bernafas - Najwa Latif
PENDATANG baru yang diberi gelaran “gadis laman sosial Youtube” ini sedar bahawa bakat yang dimiliki hari ini tidak menjanjikan tempat istimewa pada masa depan andai kehadirannya terus dipertikaikan.
Kisah aib keluarga yang didedahkan di media memberi tamparan hebat buat dirinya sewaktu mula melangkah masuk untuk mengenali keistimewaan industri rakaman tanah air sejak tahun lalu.
Soal pemakaian juga menjadi topik hangat apabila dia menyarungkan blaus putih yang dipadankan dengan kain hitam dikatakan mirip kumpulan koir sewaktu membuat persembahan di majlis Anugerah Industri Muzik Ke-18 pada 12 November 2011.
Ketika Najwa Latif digandingkan bersama penyanyi kelahiran Youtube dari Amerika Syarikat (AS), Greyson Chance, 15, mendendangkan lagu Paparazi secara instrumental dikatakan tidak relevan untuk majlis berprestij sebegitu.
“Semua cabaran itu adalah pengorbanan buat orang baru macam saya. Apa pun yang berlaku sebelum ini, saya tak pernah ambil hati, malah bersikap positif dan nekad ubah jadi lebih baik.
“Soal imej umpamanya, ada yang tak gemar dengan cara saya berpakaian dan bertudung, Nampak macam kampung dan tak sesuai buat budak sekolah macam saya.
“Sebab itulah, masa awal-awal dulu kena kritik, saya menangis, sedih sangat. Rasa macam tak nak jadi penyanyi. Tak tahan kena kutuk, apalagi kalau kutukan itu dari blog hiburan. Rasa tak adil sangat,” dedah Najwa.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini juga beruntung kerana kakak keduanya, Iqhwatul Syafina, 23, sentiasa menemani dan sudi berkongsi perasaan sepanjang tempoh tersebut.
Dugaan memuncak apabila lagu Cinta Muka Buku ciptaan dua beradik ini terpilih di peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang bakal berlangsung pada 24 Januari ini.
Keputusan juri itu telah mencetuskan pertikaian apabila ada pihak mengatakan Cinta Muka Buku tidak punya keistimewaan sedangkan ada karya lain yang lebih layak.
“Lagu itu memang layak ke peringkat akhir sebab ia punya kekuatan tersendiri. Mungkin orang tak puas hati sebab saya yang baru setahun jagung ini dapat ke final.
“Tapi buat saya pula, ia adalah peluang keemasan yang sukar dilepaskan. Saya nak buktikan kepada semua orang bahawa melodi Cinta Muka Buku memang terbaik
“Sebenarnya, saya tak sangka ramai yang menyukai karya saya. Cuma saya minta agar orang ramai memberi saya sedikit ruang untuk bernafas, berkongsi bakat yang ada ini kepada semua,” harap Najwa yang semakin popular dengan lagu Carta Hati ini.
Fokus SPM
Ditanya adakah pemilik nama penuh Imratul Najwa Abdul Latif ini menyesal memilih bidang seni walaupun masih bersekolah?
“Saya tak pernah menyesal menjadi orang seni sebab itu minat saya sejak kecil, tetapi pelajaran tetap menjadi keutamaan kerana itu adalah tanggungjawab.
“Sebab itu, saya akan berhenti seketika semua aktiviti seni mulai Mac ini untuk fokus dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun ini,” kata Najwa yang lahir pada 23 Mei 1995 ini.
Pelajar aliran sains di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Temenggong Ibrahim Batu Pahat, Johor ini juga memberitahu bahawa banyak kenangan indah berlaku sepanjang 2011 yang menjadi pendorong supaya lebih rajin belajar.
Najwa Latif Selesa Dengan Imejnya
KUALA LUMPUR: Penyanyi Youtube, Najwa Latif memberitahu selesa dengan imejnya bersesuaian dengan usia dan statusnya sebagai pelajar sekolah.
Najwa berkata, sebagai seorang yang bertudung dan masih memegang status pelajar sekolah dia perlu menjaga pemakaian kerana sentiasa menjadi perhatian umum.
"Saya masih baru sebagai seorang penyanyi dan masih menyesuaikan diri dan ketika ini saya rasa imej yang saya bawa bersesuaian dengan saya.
"Tambahan pula saya masih bersekolah dan perlu menjaga pemakaian kerana sedar menjadi perhatian umum dan paling penting saya selesa ketika menggayakan sesuatu pakaian itu," ujarnya.
Najwa ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran BN Youth Music 2011 di sini, Selasa.
Dalam pada itu, Najwa memberitahu dia gembira apabila video Cinta Muka Buku yang dimuat naik di dalam laman Youtube telah mencecah sebanyak empat juta penonton.
"Alhamdulilah sokongan daripada peminat dan penggemar lagu tersebut yang telah merialisasikan angka tersebut. Saya sendiri terkejut dengan angkat berkenaan," katanya.
Bakal muncul dengan video terbaru menerusi single keduanya, Carta Hati pada 20 November ini, Najwa berkata dia berharap peminat akan menyukai hasilnya nanti.
Sementara itu, bercakap mengenai duetnya dengan Greyson, Najwa berkata, dia cukup seronok berganding dengan penyanyi berusia 14 tahun itu.
Ujarnya, Greyson sendiri menyarankan agar mereka berduet dalam lagu Paparazzi nyanyian asal oleh Lady Gaga.
"Pada awalnya saya sangat gemuruh tetapi dia sangat mesra membuatkan saya selesa bekerja dengannya dan walaupun masih muda dia banyak memberi tunjuk ajar dan inspirasi kepada saya," katanya.
Najwa Latif Tidak Guna Pencuci Muka
BILA sudah popular, pelbagai cerita sama ada baik atau buruk seseorang selebriti itu akan diselidik dan dihebahkan kepada umum.
Bagaikan sudah menjadi asam garam dalam kehidupan selebriti lebih-lebih lagi bergelar anak seni yang menceburi dunia lakonan atau nyanyian.
Begitu juga dengan penyanyi muda, Najwa Latif, 16, yang sudah dilanda sensasi walaupun masih setahun jagung.
Dia dikatakan mempunyai krisis keluarga dan Najwa tidak dapat menerima apa yang berlaku ketika itu.
Ibarat angin lalu, penyanyi lagu Cinta Muka Buku ini tidak gentar dengan setiap kritikan yang diberikan oleh peminat berikutan masalah tersebut.
Dia menerimanya dengan positif lebih-lebih lagi apabila ramai peminat yang masih memberikan sokongan kepadanya untuk meneruskan karier seni.
“Saya sangat bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat.
“Apabila mempunyai keluarga, mereka akan mengingatkan saya untuk belajar menjadi diri sendiri dan mengajar untuk lebih kuat.
“Saya juga menguruskan setiap masalah yang berlaku dengan berfikir secara positif. “Tetapi jika terlalu stres, saya akan makan kot!,” katanya sambil tertawa.
Dari segi pengurusan diri dan kecantikan, tidak banyak perkara yang dapat dikongsikan kerana Najwa seorang remaja yang lebih suka bersederhana sesuai dengan usianya.
“Saya bukanlah seorang yang obses dengan kecantikan. Untuk penjagaan kulit wajah, sebenarnya saya tidak mengamalkan apa-apa produk sebaliknya hanya membasuh muka dengan air biasa kerana mak tidak menggalakkan saya menggunakan sebarang produk.
“Selain itu, saya juga jarang bersolek dan hanya mengenakan solekan nipis dengan bantuan kakak saya, Syafiqa. Namun, selepas menggunakan alat mekap, saya akan pastikan kulit muka saya bersih dari solekan dengan menggunakan produk penanggal mekap.
“Fesyen pula, saya gemar pakaian yang sopan dan selesa dipakai. Selain suka mengubah-ubah cara pemakaian tudung di YouTube.
“Selain itu, saya banyak mengamalkan minum air masak dan makan semua jenis makanan,” ceritanya.
Pengurus Najwa Latiff Maki, Tuding Jari Ke Muka Saya Tanpa Sebab
Bukan kami tiada gambar Najwa Latiff yang lebih elok & berkualiti tinggi untuk di’letakkan bersama artikel ini.
Tetapi, gambar ini sebenarnya ada kisah tersendiri. Najwa Latiff meninggalkan kata kata romantis bersama gambar ini di’blog rasmi beliau tidak berapa dahulu. Mungkin ada makna tersendiri.
Hari ini bukan kita mahu bercerita tentang gossip cinta (oops) Najwa Latiff yang masih menuntut di Tingkatan Empat, tetapi ini kisah tentang pengurus kerjaya beliau.
Semalam, seorang rakan media datang mengadu tentang nasib beliau yang di’layan bukan seperti media oleh pengurus Najwa Latiff yang juga bekerja dengan NAR Records — Azahari.
Sudah menjadi tugas seorang wartawan untuk bertanyakan perkembangan isu hubungan Najwa Latiff dengan bapa’nya namun persoalan mudah tentang status hubungan mereka kini di’balas denagan herdikan ‘manja’.
Azahari di’katakan mengeluarkan kata kata kurang manis terhadap wartawan cantik manis ini sambil menuding jari memberi amaran supaya tidak lagi menulis apa apa berkaitan isu hubungan Najwa Latiff dengan bapa beliau.
Wartawan yang sudah malas untuk melayan karenah pengurus artis yang tidak tahu batas melayani kehendak media ini sempat mendengar yang si Azahari mahu menyaman sebuah tabloid harian kerana menjadi yang pertama menyiarkan kisah sensasi tersebut.
Mati’lah kami selepas ini. Kalau kisah artis sendiri keluar di media cetak pun mahu bawa sampai ke mahkamah — apatah lagi artikel tulisan kami yang terang terangan di’tujukan kepada empunya badan. Boss, saya berhenti kerja!
Najwa Latif Cetus Fenomena Di Stesen Radio
TIDAK sampai setahun Najwa Latif, 16, (gambar) berada dalam industri muzik tempatan, lagunya, Cinta Muka Buku yang menceritakan percintaan di Facebook begitu popular di kalangan golongan remaja terutamanya pelajar sekolah.
Lebih membanggakan, ia turut bergelar juara di kebanyakan carta stesen radio sekali gus menjadi fenomena apabila ia kerap diputarkan di stesen-stesen radio tempatan.
Dan yang terbaru, anak kelahiran Batu Pahat, Johor, ini baru saja memenangi Anugerah Bakat Muda Selangor 2011, kategori solo bahagian muzik pada 17 September lalu.
“Rasanya terlalu pantas muzik yang saya bawakan ini dapat diterima umum. Alhamdulillah, saya anggap ia sebagai satu rezeki yang datang tanpa disangka.
“Lebih-lebih lagi apabila saya diberi anugerah Bakat Muda Selangor 2011. Pada saya ia sebagai satu permulaan untuk melangkah kearah yang lebih baik terhadap pembabitan saya dalam dunia muzik tempatan,” katanya.
Tambah Najwa yang bernaung di bawah label NAR Records, dia mula berasa serasi dengan gelaran sebagai seorang penyanyi profesional berbanding dahulu di mana dia dipanggil gadis Youtube kerana sering memuat naik video nyanyiannya melalui laman sosial itu.
“Ada seronoknya bergelar seorang penyanyi pada usia muda. Jika dahulu saya tidak pernah menaiki bas, saya kini sudah tahu bas mana yang perlu diambil untuk ke Kuala Lumpur jika mempunyai undangan persembahan.
“Selain itu, pelbagai pengalaman yang dilalui sekali gus boleh mematangkan fikiran serta mengasah bakat saya,” tutur peminat Justin Bieber, Taylor Swift dan Bruno Mars ini.
Selain itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat ini berkata dia turut bersyukur klip video Cinta Muka Buku nyanyiannya sudah mencecah lebih daripada 1.5 juta tontonan selepas di muat naik di laman Youtube pada dua bulan lalu.
“Bukan itu sahaja, peminat saya juga semakin hari semakin bertambah iaitu seramai 41,217 orang menerusi akaun Facebook saya.
“Walaupun saya tidak terlalu terdedah menerusi publisiti media cetak dan ramai lagi yang kurang mengenali diri saya, itu tidak apa cuma yang penting, lagu saya diminati,” tuturnya.
Sementara itu, kata Najwa, walaupun dia kini aktif dengan aktiviti nyanyian, pelajarannya tidak mungkin akan diabaikan.
Malah Najwa mempunyai cita-cita mahu bergelar seorang pensyarah Bahasa Inggeris pada masa akan datang dan ingin menjadikan aktiviti nyanyian sebagai kerja sambilan.
Trivia Najwa Latif
Nama Penuh: Imratul Najwa Binti Abdul Latif
Nama Komersial: Najwa Latif
Tarikh Lahir: 23 Mei 1995
Tempat Lahir: Batu Pahat, Johor
Status: Pelajar Sekolah SMK (P) Temenggong Ibrahim Batu Pahat Johor.
Hobi: Menghasilkan lagu dan bermain peralatan muzik gitar, dram dan piano
Laman sosial: http://www.najwalatifs.blogspot.com/
Facebook Fanpages: najwalatif
Twitter : @njwalatif
Youtube : www.youtube.com/najwa595
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
