Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Nora. Show all posts
Showing posts with label Nora. Show all posts
Rezeki berganda Nora
NORA atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin yang baru-baru ini selamat melahirkan anak ke-empat mengakui kelahiran anak perempuannya pada 16 November lalu merupakan suatu pengalaman baru kepada dirinya.
Walaupun telah mempunyai tiga cahaya mata sebelum ini, Nora yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema mengakui kelahiran kali ini lebih mudah.
Malah pada usia yang sudah meningkat ke angka 39 tahun, proses kelahiran bayi yang diberi nama Putri Nur Fatehah yang dilakukan secara normal itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang komplikasi.
"Kelahiran kali ini berbeza berbanding anak-anak yang terdahulu kerana prosesnya jauh lebih mudah, sama ada sepanjang tempoh kehamilan mahupun sewaktu melahirkan.
"Tempoh yang diambil oleh tubuh saya untuk kembali sihat juga lebih singkat berbanding dahulu kerana selepas kira-kira 20 hari anak saya dilahirkan, saya sudah boleh berjalan seperti biasa.
"Sungguhpun begitu, saya tetap akan menghabiskan tempoh berpantang yang tinggal kira-kira dua minggu lagi sebelum kembali menguruskan perjalanan karier seni," katanya yang ditemui pada majlis kesyukuran dan cukur jambul anaknya itu yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor, Ahad lalu.
Bayi comel yang dilahirkan seberat 3.06 kilogram itu hadir selepas lapan tahun Nora dan suaminya, komposer Johan Nawawi tidak dikurniakan cahaya mata baru setelah memiliki tiga orang anak - Mohd. Syakir Iman, 19, Mohd. Syakir Alif, 13, dan Putri Nor Dahlia, 8.
Tambah Nora, tarikh kelahiran anaknya itu juga akan kekal menjadi memori yang indah buatnya sekeluarga apabila pada hari yang sama penyanyi itu turut merangkul anugerah Lagu Nasyid Terbaik melalui lagu berjudul Doa pada Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19) lalu.
"Pada awalnya, saya memang merancang untuk hadir ke AIM bersama keluarga tetapi terpaksa ke hospital terlebih dahulu. Kemudian doktor memberitahu bahawa anak itu bakal lahir tidak lama lagi.
"Syukur segalanya berjalan dengan lancar dan sewaktu menonton siaran langsung AIM, saya mendapat tahu lagu Doa telah menjuarai kategori nasyid terbaik," tambahnya yang tidak menyangka akan kemenangan tersebut.
Berbicara tentang perjalanan seninya, penyanyi yang semakin serasi dengan lagu-lagu berunsur kerohanian dan keagamaan itu mengatakan dia sedang dalam perancangan untuk memulakan rakaman untuk album terbaru.
"Buat masa ini saya memang sedang merangka untuk mengeluarkan sebuah album baru untuk memberi hiburan secara dakwah kepada peminat dan masyarakat.
"Selain itu, saya juga memasang niat untuk mengadakan kolaborasi dengan beberapa penyanyi lain. Bagaimanapun semua itu masih dalam perancangan," jelasnya.
Tambah Nora, selain karier nyanyian, pihaknya juga merancang untuk meneruskan siri animasi kanak-kanak berjudul Ummi...Ceritalah Pada Kami yang mendapat sambutan menggalakkan ketika ditayangkan pada bulan Ramadan lalu.
Menurut Nora yang juga penerbit siri tersebut bersama suaminya, mereka akan menayangkan 13 episod baru siri itu pada tahun hadapan.
"Sambungannya akan ditayangkan pada bulan Ramadan kelak. Oleh kerana ada beberapa negara yang berminat, kami juga berhasrat untuk memasarkannya ke negara luar," katanya lagi.
Nora Teruja Hamil Anak Keempat
KUALA LUMPUR: Penyanyi Wan Norafizah Ariffin atau Nora mengakui mempunyai perasaan teruja apabila disahkan sedang hamil dua bulan walaupun usianya kini telah mencecah 39 tahun.
Nora berkata, walaupun cepat berasa letih namun dia gembira untuk menyambut anak keempatnya itu kerana dia dan suami iaitu komposer Johan Nawawi memang berhasrat menambah bilangan ahli keluarga.
"Alhamdulillahlah semenjak berhijrah dengan bertudung, banyak perkara baik telah berlaku dalam hidup saya.
"Kehadiran orang baru ini adalah berita paling istimewa buat saya dan keluarga dan mengharapkan kandungan kali ini dapat membesar dengan sempurna," ujarnya semasa sidang media pelancaran album terbarunya berjudul Hikmah: Nora, di sini pada Khamis.
Bercerita tentang kehamilannya itu Nora berkata, seperti kebanyakan ibu mengandung lain dia tidak terkecuali mengalami alahan dan mengidam makanan yang pelik.
"Setakat ini semua berjalan lancar cuma saya cepat penat mungkin kerana faktor usia. Perkara paling pelik saya minta daripada suami pun adalah sup lidah," katanya.
Nora telah pun mempunyai tiga cahaya mata lain iaitu Mohd Syakir Iman, 19, Mohd Syakir Alif, 13, dan Putri Nor Dahlia, 8, hasil perkongsian hidupnya bersama Johan.
Dalam pada itu, bercakap mengenai album terbarunya, Nora berkata, Hikmah:Nora adalah album berkonsepkan kerohanian, kasih sayang dan kehidupan bertepatan dengan penghijrahan dirinya itu.
Nora berkata, setiap lagu yang dimuatkan dalam album tersebut mempunyai sejarah tersendiri sejak pembabitannya dalam bidang hiburan kira-kira 20 tahun lalu.
"Album ini menampilkan 15 buah lagu yang dirakam dan diedarkan sebagai 'single' sebelum ini dan mesej disampaikan adalah bersesuaian dengan penghijrahan saya.
Tambah Nora, dia juga turut merakamkan semula lagu popularnya, Di Persimpangan Delima dengan menampilkan lirik baru berjudul Hikmah bersesuaian dengan konsep album tersebut.
Nora berkata, dia mengambil masa hampir tiga bulan untuk memilih lirik bagi memastikan ia sesuai dengan melodinya.
"Saya memilih lirik daripada Amran Omar kerana ia paling sesuai menggambarkan konsep keseluruhan album itu," katanya.
Selain Hikmah, antara lagu lain yang turut dimuatkan antaranya Puisi Hidup, Terima Kasih Ibu, Dari Mata Sedih, Cinta Sebenarnya dan Tulus.
Nora turut berduet dengan tiga anaknya menerusi lagu Doa.
Antara komposer yang terlibat adalah Adnan Abu Hassan, Gjie dari kumpulan Sixth Sense, Sharon Paul dan Wan Omar Ariffin.
Dalam perkembangan sama, Nora berharap peminat dan masyarakat akan terus memberi sokongan kepada lagu-lagu berkonsepkan kerohanian supaya ia terus mendapat tempat sekali gus memartabatkan agama Islam.
Sementara itu, pada majlis sama, Nora turut dilantik sebagai duta produk minyak Argan dari Maghribi iaitu Secretleaf.
"Saya bersyukur kerana pihak Secretleaf memberi kepercayaan ini dan bersetuju mewakili mereka setelah mencuba sendiri produk yang ditawarkan, ia ternyata bagus," ujarnya.
Nora tampil imej bertudung

ULANG tahun hari kelahiran Nora yang ke-35 pada 26 Julai 2008 merupakan suatu titik penghijrahan buat penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Di Persimpangan Dilema itu.
Ini kerana, mulai saat itu, dia yang berasal dari Kampung Dewan Beta, Kota Bharu, Kelantan mula bertudung selepas mencipta nama sebagai penyanyi sejak tahun 1994.
Bukan kerana dipaksa oleh sesiapa tetapi hasrat Nora untuk bertudung lahir daripada hatinya yang ingin menjadi contoh buat tiga orang anaknya yang kini semakin membesar.
Syakir Iman, 18, Syakir Alif, 12, dan Puteri Nur Dahlia, 7, merupakan permata hati Nora yang sentiasa mahu melihatnya menjadi ibu terbaik termasuklah daripada segi berpakaian.
Menurut isteri kepada komposer terkenal, Johan Nawawi, 45, ini, dia seolah-olah berasa terpanggil untuk bertudung apabila membicarakan perkara itu dengan anak-anaknya.
“Anak-anak selalu bertanya mengapa saya tidak bertudung? Saya beri beberapa alasan antaranya saya memang mahu bertudung tetapi masanya mungkin belum tiba.
“Tambah menyentap perasaan saya apabila anak-anak semakin pandai yang mana mereka kata kalau tidak pakai tudung takut mati masuk neraka. Sejak itu saya mula berfikir banyak kali.
“Pada masa sama, saya memang sudah lama ingin mengubah penampilan diri demi anak-anak saya,” katanya kepada S3 sewaktu dihubungi baru-baru ini.
Jelas juara Bintang Hiburan Minggu Ini 1994 ini, biarpun perubahan itu didorong oleh anak-anaknya tetapi dia sudah mula menanam azam untuk bertudung sejak berusia 30 tahun.
Kata Nora, lima tahun sebelum mengenakan pakaian yang sopan itu, dia sudah mula membuat persiapan termasuklah meminta pendapat daripada rakan-rakannya.
Pemilik nama sebenar Wan Norafizah Ariffin ini menjelaskan dia mengambil inisiatif itu bagi memastikan apa yang akan dilakukannya itu tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam.
“Saya banyak bertanya dengan kawan-kawan saya dan mereka memberi pelbagai pandangan. Antaranya kata mereka, kalau saya mahu bertudung biarlah selepas pergi haji.
“Pada masa sama, semasa mahu bertudung saya beritahu pada suami. Saya lihat ada perubahan pada matanya yang macam bergenang. Dia macam tidak percaya.
“Saya kata, saya sudah nekad dan tidak menyesal dengan keputusan itu. Ia suatu hijrah awal sebelum saya melakukan perubahan lain seperti mendalami ilmu-ilmu agama,” ujarnya.
Nora yang mendirikan rumahtangga pada 9 April 1992 sewaktu berusia 19 tahun ini tidak menafikan banyak melalui fasa perubahan dalam kehidupan seharianya.
Tidak sekadar bertudung, malah dia turut banyak terbabit dalam program-program usrah, ceramah agama dan aktiviti-aktiviti berkaitan golongan wanita sejak tampil imej bertudung.
Malah, imejnya itu sedikit pun tidak membataskan aktivitinya dalam bidang nyanyian, sebaliknya terus mendapat undangan menyanyi dan juri pertandingan nyanyian di merata-rata tempat.
Terbaru, penyanyi bersuara lantang ini dilantik sebagai pengkritik tetap pertandingan nyanyian Kilauan Emas terbitan Astro Prima yang akan memulakan siarannya pada 24 Jun ini.
“Semasa mula-mula pakai tudung saya rasa macam takut-takut juga untuk menyanyi tetapi lama kelamaan saya semakin yakin walaupun ada batas-batas yang tertentu.
“Ia sesuai dengan status saya sebagai ibu dan isteri orang. Apatah lagi, sebagai penyanyi saya juga menjadi idola atau ikutan para peminat saya termasuklah dalam soal berpakaian,” katanya.
Dia kini sedang dalam proses menyiapkan baki 20 peratus pembikinan albumnya yang ke-11 berjudul Pedoman yang bakal memuatkan 12 buah lagu terbitan Johan Nawawi Production.
Sepanjang menceburkan diri sebagai penyanyi pada 1992, Nora telah merakamkan 10 album berjudul Sandiwara pada 1994, Debaran (1995), Naluri (1996) dan Hanya Satu (1998).
Turut dirakamkan ialah album Abstrak Nora - Koleksi Terbaik (2000), Kirana (2000), Nora Nora (2002), Cinta Satu Dekad (2003), Samudera (2006) dan Memori Hit Nora (2009).
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
