Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Rezeki berganda Nora

NORA atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin yang baru-baru ini selamat melahirkan anak ke-empat mengakui kelahiran anak perempuannya pada 16 November lalu merupakan suatu pengalaman baru kepada dirinya. Walaupun telah mempunyai tiga cahaya mata sebelum ini, Nora yang popular dengan lagu Di Persimpangan Dilema mengakui kelahiran kali ini lebih mudah. Malah pada usia yang sudah meningkat ke angka 39 tahun, proses kelahiran bayi yang diberi nama Putri Nur Fatehah yang dilakukan secara normal itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang komplikasi. "Kelahiran kali ini berbeza berbanding anak-anak yang terdahulu kerana prosesnya jauh lebih mudah, sama ada sepanjang tempoh kehamilan mahupun sewaktu melahirkan. "Tempoh yang diambil oleh tubuh saya untuk kembali sihat juga lebih singkat berbanding dahulu kerana selepas kira-kira 20 hari anak saya dilahirkan, saya sudah boleh berjalan seperti biasa. "Sungguhpun begitu, saya tetap akan menghabiskan tempoh berpantang yang tinggal kira-kira dua minggu lagi sebelum kembali menguruskan perjalanan karier seni," katanya yang ditemui pada majlis kesyukuran dan cukur jambul anaknya itu yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor, Ahad lalu. Bayi comel yang dilahirkan seberat 3.06 kilogram itu hadir selepas lapan tahun Nora dan suaminya, komposer Johan Nawawi tidak dikurniakan cahaya mata baru setelah memiliki tiga orang anak - Mohd. Syakir Iman, 19, Mohd. Syakir Alif, 13, dan Putri Nor Dahlia, 8. Tambah Nora, tarikh kelahiran anaknya itu juga akan kekal menjadi memori yang indah buatnya sekeluarga apabila pada hari yang sama penyanyi itu turut merangkul anugerah Lagu Nasyid Terbaik melalui lagu berjudul Doa pada Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19) lalu. "Pada awalnya, saya memang merancang untuk hadir ke AIM bersama keluarga tetapi terpaksa ke hospital terlebih dahulu. Kemudian doktor memberitahu bahawa anak itu bakal lahir tidak lama lagi. "Syukur segalanya berjalan dengan lancar dan sewaktu menonton siaran langsung AIM, saya mendapat tahu lagu Doa telah menjuarai kategori nasyid terbaik," tambahnya yang tidak menyangka akan kemenangan tersebut. Berbicara tentang perjalanan seninya, penyanyi yang semakin serasi dengan lagu-lagu berunsur kerohanian dan keagamaan itu mengatakan dia sedang dalam perancangan untuk memulakan rakaman untuk album terbaru. "Buat masa ini saya memang sedang merangka untuk mengeluarkan sebuah album baru untuk memberi hiburan secara dakwah kepada peminat dan masyarakat. "Selain itu, saya juga memasang niat untuk mengadakan kolaborasi dengan beberapa penyanyi lain. Bagaimanapun semua itu masih dalam perancangan," jelasnya. Tambah Nora, selain karier nyanyian, pihaknya juga merancang untuk meneruskan siri animasi kanak-kanak berjudul Ummi...Ceritalah Pada Kami yang mendapat sambutan menggalakkan ketika ditayangkan pada bulan Ramadan lalu. Menurut Nora yang juga penerbit siri tersebut bersama suaminya, mereka akan menayangkan 13 episod baru siri itu pada tahun hadapan. "Sambungannya akan ditayangkan pada bulan Ramadan kelak. Oleh kerana ada beberapa negara yang berminat, kami juga berhasrat untuk memasarkannya ke negara luar," katanya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails