Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Noraniza Idris. Show all posts
Showing posts with label Noraniza Idris. Show all posts
Noraniza nafi sara suami
SETELAH tiga tahun menjalani kehidupan sebagai seorang ibu tunggal, penyanyi Noraniza Idris akhirnya telah mendirikan rumah tangga dengan seorang bilal yang berasal dari Singapura, Jeffri Hudi, 53, pada 29 September 2011.
Lebih setahun menjalani kehidupan bahagia tanpa sebarang kontroversi, tiba-tiba ada khabar angin yang mendakwa peranan mencari rezeki telah digalas oleh Noraniza kerana suaminya didakwa tidak bekerja.
Bagaimanapun, penyanyi berkenaan yang ditemui sewaktu majlis pelancaran pertandingan tarian Akar Kita Zapin 2012 di Panggung Bandaraya DBKL, Kuala Lumpur kelihatan tenang apabila diajukan pertanyaan mengenai cerita tersebut.
"Sepanjang berumah tangga dengan bekas suami dahulu sudah bermacam-macam cerita yang ditimbulkan mengenai perkahwinan saya. Jadi, saya tidak terkejut sekiranya masih ada yang memperkatakan tentang kehidupan rumah tangga saya.
"Mungkin cerita sebegini timbul apabila orang melihat saya yang lebih banyak menonjol, tetapi hakikatnya saya tidaklah menyara keluarga seperti yang diperkatakan sesetengah pihak," ujar penyanyi berusia 44 tahun itu.
Menurut Noraniza, buat masa ini suaminya menjalani perniagaan sendiri iaitu menjadi pembekal barang-barang runcit, selain menjadi bilal bebas di sebuah masjid di Seri Kembangan, Selangor.
Ujarnya, memandangkan suaminya merupakan seorang warganegara Singapura, mereka juga kini sedang berusaha membuat permohonan agar Jeffri mendapat kerakyatan Malaysia supaya lebih mudah menjalankan segala urusan di sini.
"Sudah tentu orang tidak melihat apa yang suami saya telah lakukan kerana cerita mengenai kegiatannya tidak dikongsikan memandangkan dia bukanlah seorang artis seperti saya.
"Lagipun, saya tidak kisah apa yang orang hendak kata mengenai rumah tangga kami. Lebih penting saya rasa lebih gembira dan bahagia dengan kehidupan sekarang," jelasnya.
Pada masa yang sama, Noraniza meluahkan rasa syukurnya kerana usaha yang dilakukan untuk terus memperjuangkan etnik kreatif turut mendapat sokongan suami.
Ujarnya, biarpun suaminya itu merupakan seorang bilal, tetapi dia beruntung kerana mendapat restu suami dalam melakukan pekerjaan sekarang dan menganggap ia merupakan perkara yang paling penting sekiranya mahu berjaya.
"Walaupun suami merestui apa yang saya lakukan sekarang ini, dia juga ada meminta supaya saya kurangkan kegiatan seni. Namun begitu, saya meminta kepadanya supaya memberi sedikit lagi masa untuk mengejar impian saya," ujarnya.
Konsert
Bercerita dengan lebih lanjut mengenai impiannya itu, Noraniza meluahkan sepanjang 15 tahun memperjuangkan irama etnik kreatif, dia sebenarnya mempunyai impian tersendiri.
Menurutnya, sejak tahun 1997 lagi dia sudah mengimpikan untuk mengadakan sebuah konsert secara besar-besaran, namun sentiasa berhadapan dengan banyak halangan.
"Itu merupakan impian saya yang paling tinggi sepanjang bergelar penyanyi. Seboleh-bolehnya kalau dapat mengadakan satu konsert sahaja pun ia sudah memberi kepuasan kepada saya.
"Lagipun saya pernah memberitahu kepada suami sekiranya impian saya ini terlaksana, barulah saya akan terus mengurangkan aktiviti seni dan memberikan tumpuan kepada rumah tangga dan aktiviti keagamaan," jelasnya lagi.
Ketika ditanya adakah dia akan terus bersara daripada bidang seni selepas impiannya itu terlaksana, penyanyi berkenaan menyatakan dia tidak akan bersara sepenuhnya.
Sebaliknya, dia mahu mengurangkan aktiviti nyanyian dan lebih banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir. Sekiranya ingin menyanyi, dia akan mendedangkan lagu-lagu yang berunsur keagamaan.
"Saya sudah merancang untuk menganjurkan sebuah konsert besar-besaran yang dikenali sebagai Konsert Masyhur 1Malaysia pada bulan September 2013 sempena hari pembentukan Malaysia.
"Kalau diikutkan memang masa yang ada untuk merealisasikannya agak singkat, namun saya tetap yakin ia akan berjaya dan berharap mendapat sepenuh sokongan daripada semua pihak serta kerajaan," ujarnya.
Risau
Sebagai seorang penyanyi yang begitu dikenali kerana bergiat aktif memperjuangkan irama etnik kreatif, Noraniza meluahkan kerisauannya terhadap nasib dan masa depan irama berkenaan yang semakin terpinggir.
Ujarnya, situasi berkenaan dapat dilihat apabila lagu-lagu irama sedemikian kurang mendapat tempat di stesen radio popular dan semasa acara Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19) yang berlangsung pada bulan lalu.
"Secara jujurnya saya memang agak terkejut apabila nama saya seorang sahaja yang tercalon dalam Top 5 untuk kategori Lagu Pop Etnik pada AIM 19 baru-baru ini.
"Jadi ini membuktikan yang industri nyanyian di Malaysia sudah ketandusan penyanyi yang aktif menyanyikan lagu-lagu irama etnik kreatif dan pastinya ia memang sangat merisaukan saya," ujarnya.
Dalam usaha mengatasi masalah tersebut, Noraniza telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Gagasan Anak Merdeka.
Ujarnya, kumpulan tersebut ditubuhkan sebagai langkah untuk mencungkil bakat-bakat baharu sebagai penyanyi dan komposer lagu-lagu irama etnik kreatif yang terdiri daripada golongan belia.
"Setakat ini saya sudah mengenal pasti beberapa individu yang boleh diketengahkan, antaranya Dr. Mohammad Ihab Ismail yang berkebolehan menyanyi dan mencipta lagu etnik kreatif serta diangkat sebagai Ikon Masyhur 1Malaysia.
"Mengenai penciptaan lagu tidak dinafikan memang ramai anggota kumpulan Gagasan Anak Merdeka yang memiliki kebolehan, cuma mereka tiada keyakinan untuk mengetengahkan lagu ciptaan mereka itu," jelasnya.
Menurut Noraniza, sebagai pengasas kumpulan berkenaan dia akan menilai setiap lagu-lagu yang dihasilkan oleh setiap ahli dan menyasarkan supaya ia akan dapat dipertandingkan pada AIM yang akan datang.
Noraniza Idris berdikir lagi
RATU Etnik, itu gelaran kepada penyanyi bersuara lunak, Noraniza Idris, 42. Bukan sekadar mempertahankan gelaran itu di persada nyanyian tanah air menerusi genre irama serta wajah persembahan yang ditampilkan, misi dan visi Noraniza sebenarnya lebih daripada itu.
Meletakkan irama tradisi dan budaya Melayu sebagai asas perjuangan seninya, dia tidak berasa terkilan jika harus menunda agenda peribadi. Merah darah nyanyiannya tidak pernah pudar namun dia harus mendahulukan khidmat kepada masyarakat. Dia sanggup memberi laluan kepada program Akademi Tatih Seni Malaysia (Akademi Latihan Kesenian Malaysia) dan meletakkan jadual pembikinan album terbaharunya, Primadona pada kedudukan kedua.
"Saya bahagia dengan pengorbanan yang dilakukan. Kalau ikutkan hati, seboleh-bolehnya saya mahu mendahulukan pembikinan album tetapi saya pilih untuk menjalankan program Akademi Tatih Seni Malaysia terlebih dahulu," katanya yang tidak pernah mati idea untuk menyemarakkan kecintaan seni tradisi kepada generasi baharu.
"Saya sedar kedudukan irama tradisi atau etnik kreatif ketika ini agak sepi di radio. Saya ambil situasi itu sebagai cabaran. Sebab itu saya gagah untuk menjayakan program anjuran Kementerian Belia dan Sukan ini. Program ini adalah atas kerjasama dengan syarikat Noraniza Idris Venture Sdn. Bhd., untuk menjalankan aktiviti kesenian.
"Buat masa ini, kami sedang menjalankan program Mesra Belia 1 Felda 1 Malaysia yang berlangsung di Kemaman, Terengganu selama enam minggu. Program itu melibatkan 60 persatuan belia dari Kemaman. Insya-Allah ia bakal dilanjutkan ke seluruh negara," katanya yang memasukkan elemen ekonomi negara, kerjaya seni dan pembangunan serta sejarah kesenian sebagai modul asas program yang dijalankan.
Leka bercerita tentang misi seni yang belum selesai, ibu kepada Mohd. Alif Haikal, 21, dan Mohd. Alfeq Haikal, 17, yang ditemani suaminya, Jeffri Hudi turut berkongsi satu lagi agenda seni peringkat nasional yang disertai.
Hari ini dan esok, penyanyi yang pernah diberi penghormatan sebagai wanita pertama yang mempelopori pop tradisional itu akan menjayakan Ekstravaganza Dikir: Segalanya Dikir! di Istana Budaya. Program sempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2012 (FMKL) anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) itu turut menampilkan penyanyi tersohor lain seperti Jimmy Palikat, Awie (Wings), Sabri Yunus, Halim Yazid, Roy Kapila, Azlan, Alif Satar, Bob Yusof, Hazama, Ziana Zain dan Jamal Abdillah.
Besar hati dengan kelainan FMKL tahun ini, Noraniza turut lega kerana usaha mengangkat seni tradisi semakin diperluas menjadi acara nasional.
"Paling membuatkan saya teruja ialah penglibatan 500 pendikir termasuk pemuzik atas satu pentas untuk mengiringi persembahan penyanyi. Saya tidak boleh memberikan gambaran yang nyata tetapi keunikan persembahan persembahan kali ini tidak harus dilepaskan. Saya juga lega kerana suami tidak menghalang saya meneruskan karier nyanyian.
"Bagi saya sendiri, gabungan penyanyi rock, pop dan saya sendiri bersama ratusan pendikir itu nanti akan menjadi satu pengalaman yang cukup mahal. Konsert itu juga semestinya satu pengalaman baharu kepada saya dan semua yang terlibat," katanya yang memilih dua buah buah lagu, Hala Timur dan Dikir Puteri untuk dipersembahkan sepanjang dua malam konsert.
Tiket-tiket berharga RM20 hingga RM60 untuk menyaksikan Dikir Ekstravaganza malam ini dan esok masih boleh didapati di Istana Budaya atau hubungi talian 03-4147 8600 untuk maklumat lanjut.
Noraniza tidak berhutang
Tanggal 29 September lalu, menyaksikan penyanyi, Noraniza Idris yang dikenali ramai dengan lagu-lagu berentak etnik kreatif mendirikan rumah tangga buat kali ketiga. Kali ini dengan seorang bilal masjid di Singapura, Jeffri Hudi.
Majlis pernikahan mereka yang berlangsung meriah itu diadakan sempena sambutan Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011 dan dianjurkan oleh Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd. (NIPV) bersama Gerakan Belia 4B Negeri Johor.
Walaupun segalanya telah selesai dan berjalan lancar, majlis persandingan Ratu Pop Etnik itu di Plaza Angsana Johor Bahru, Johor, telah menjadi buah mulut segelintir pihak yang mendakwa petugas yang terlibat dengan perjalanan majlis tersebut tidak menerima bayaran.
Penyanyi yang mula mencipta nama selepas menyertai program Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1985 itu ketika diajukan dengan soalan tersebut, menafikan yang dia adalah artis yang dikaitkan dengan gosip tersebut.
"Majlis saya anjuran bersama NIPV dan Gerakan Belia 4B Negeri Johor. Segala urusan saya adalah dengan pihak pengurusan kedua-dua organisasi tersebut.
"Setakat yang saya tahu, tiada masalah yang timbul membabitkan pembayaran ataupun pengurusan kerana segalanya berjalan dengan lancar.
"Mungkin ada pembayaran yang dibuat sedikit lewat tetapi sudah dijelaskan. Saya tidak dengar pun sebarang kata-kata berkaitan dengan urusan pembayaran daripada dua pihak yang berurusan dengan saya," katanya.
Pelantun lagu Awalah Dondang yang pernah memegang teraju utama dalam filem Sayang Ibu pada tahun 1989 berkata, mungkin terdapat salah faham yang menyebabkan ada pihak yang cuba mereka-reka cerita bagi menjatuhkan maruahnya dan suami.
"Saya sudah berkecimpung dalam industri muzik selama 26 tahun. Pastinya saya tidak akan melakukan sesuatu yang boleh memalukan diri sendiri seperti tidak membayar petugas yang telah berkhidmat ketika berlangsungnya majlis saya.
"Jikalau masih ada pihak yang tidak berpuas hati, saya cadangkan mereka ini tampil ke hadapan dan berbincang secara terus dengan saya bagi menyelesaikan kekeliruan yang mungkin berlaku akibat salah faham," katanya lagi.
Suami sokong karier seni
Kesempatan bertemu dengan penyanyi berumur 43 tahun itu pada majlis sidang akhbar program Santai Primadona Bersama Noraniza Idris, penulis sempat bertanya tentang kehidupan barunya bersama suami.
"Suami sentiasa menyokong karier seni saya dan beliau tidak mengenakan kongkongan untuk saya terus mengorak langkah dalam bidang seni.
"Beliau juga banyak memberi idea-idea bernas kerana tanpa disangka, beliau mempunyai skil pemasaran yang sangat baik dan bersesuaian dengan apa yang ingin saya tonjolkan.
"Saya bersyukur kerana mendapat seorang suami yang bukan sahaja memahami diri ini, tetapi juga membantu dalam mencapai impian dalam karier saya," tambahnya lagi.
Dalam usia perkahwinan yang baru masuk dua bulan, pasti ada yang ternanti-nanti apakah penyanyi kelahiran Kluang, Johor, ini sudah menampakkan sebarang tanda-tanda untuk menerima kehadiran seorang lagi ahli baru dalam keluarganya.
"Sehingga kini rasanya masih belum ada, saya mahu berikan fokus terlebih dahulu kepada program jelajah yang bakal berlangsung diseluruh Malaysia sepanjang tahun 2012 yang akan bermula dari Januari hingga Disember tahun hadapan," ujarnya.
Sebuah program Santai Primadona Bersama Noraniza Idris bakal diadakan di Hotel MSuite, Johor Bahru dan penyanyi tersebut bakal melancarkan single dari album terbarunya, Primadona yang akan berada di pasaran bermula Mei tahun hadapan.
Tempat adalah terhad kepada 350 orang dan bayaran RM200 dikenakan untuk dewasa dan RM99.00 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun. Sesiapa yang berminat, boleh hubungi talian 03-56212648, 07-5569276 atau layari laman web www.noranizaidris.com.
Noraniza Idris Akui Rezeki Lebih Murah Selepas Berkahwin
Penyanyi lagu berentak etnik kreatif, Noraniza Idris, 43, mengakui rezekinya semakin bertambah sejak berkahwin dengan Jeffri Hudi, 52, seorang bilal sebuah masjid di Singapura pada September lalu.
Noraniza berkata, suaminya banyak membantu menguruskan kerjaya seninya selain sentiasa memberi nasihat dan dorongan kepadanya.
"Alhamdulilah rezeki selepas berkahwin semakin murah dan jelas. Suami juga banyak membantu dalam mengaturkan kerjaya seni supaya lebih teratur," ujarnya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Dikir Puteri itu ditemui pada sidang media program Santai Primadona Noraniza Idris 2012 di Restoran Seri Melayu disini pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, Noraniza memberitahu dia bakal melancarkan single terbarunya bersama peminat pada 25 Disember depan di Hotel MSuite Johor Bahru.
Noraniza berkata, lagu Dekatlah Padaku nyanyian asal Datuk Sharifah Aini itu akan dimuatkan dalam album penuhnya berjudul Primadona dan akan dipasarkan pada Mei tahun hadapan.
"Single itu nanti akan dilancarkan bersama peminat-peminat Kak Ani yang datang ke Hotel MSuite iaitu menerusi program Santai Primadona Noraniza Idris.
"Jelajah ini juga adalah untuk mempopularkan kembali lagu-lagu dari era 70-an selain menghargai jasa dan pengorbanan biduanita negara yang pernah mengharumkan industri muzik," ujarya.
Ujarnya, selain lagu daripada Sharifah Aini, dia bakal merakamkan lagu-lagu popular daripada Allahyarham Rafeah Buang dan Sanisah Huri untuk album terbaru itu nanti.
Tambah Noraniza, suaminya banyak membantu dalam pemilihan enam buah lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut seperti Pengorbanan, Perpisahan dan Sejak Ku Bertemu Pada Mu dan lain-lain.
Sementara itu, bercakap mengenai program Santai Primadona Di Hotel MSuite, Noraniza berkata, ia adalah kerjasama syarikatnya iaitu Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd. (NIPV), A&A World Vacation Sdn. Bhd. dan Fontana Cafe & Catering.
Ujarnya, acara itu telah lama dirancang iaitu sejak tahun 2008 tetapi hanya pada Disember depan ia dapat dilaksanakan.
"Ia bukan sekadar untuk melancarkan single terbaru saya tetapi juga untuk mempromosikan pelancongan Malaysia melalui seni dan budaya terutamanya kepada pelancong di Singapura.
"Disini pihak A&A World Vacation akan memainkan peranan yang akan menyediakan pakej percutian istimewa dengan aktiviti terancang pada program itu nanti.
"Manakala Fontana Cafe & catering akan menyediakan makanan istimewa kepada semua pengunjung dengan pelbagai aktiviti disediakan," katanya.
Noraniza berkata, pakej percutian itu menawarkan harga serendah RM200 (dewasa)dan RM99 (kanak-kanak dibawah 12 tahun) dengan tempat terhad untuk 350 orang sahaja.
Tambahnya, sesiapa yang ingin menyertai program atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03- 5621 2648 (Kuala Lumpur) atau 07 - 5569 276.
Kasih sayang pengikat Noraniza
NADA bicara mereka seia dan sekata. Masing-masing melafaz harapan menggunung tinggi untuk menjadikan perkahwinan yang baru sahaja termeterai Khamis lalu sebagai satu ikatan yang berkekalan sehingga ke akhir hayat.
Baik ratu etnik kreatif, Noraniza Idris atau Ani, 43, mahupun Jeffri Hudi, 52, kedua-duanya berdoa agar kasih dan ikatan yang terbina kali ini adalah jodoh terakhir buat mereka berdua.
Sebelum merelakan dirinya disunting oleh Jeffri, Noraniza berkata, hatinya memilih Jeffri yang dipanggil dengan panggilan abang, bukan kerana wang ringgit.
Jelasnya, kasih sayang dan kesabaran yang ditunjukkan oleh duda anak empat itu sepanjang memancing kasihnya, nyata benar-benar menyentuh jiwa sepinya pada ketika itu.
Kesungguhan Jeffri disusuli dengan tindakan keluarga lelaki menghantar rombongan peminangan ke rumah abang Noraniza, Mohd. Arshad, 57, di Kong Kong, Masai, Johor.
Maka pada 22 April lalu, mereka ditunangkan dalam satu majlis yang hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Justeru, kedua pasangan pengantin baru itu yang pernah melalui kegagalan dalam rumah tangga yang dibina dahulu, berazam agar perkahwinan yang dibina kali ini mendapat keberkatan Allah hingga ke akhir hayat.
Petang Khamis lalu, pasangan itu telah selamat diijabkabulkan oleh Naib Kadi Johor Bahru, Abu Bakar dengan mas kahwin, senaskhah al-Quran.
Pernikahan pasangan itu berlangsung di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor dengan disaksikan 200 tetamu termasuk keluarga kedua-dua mempelai.
Lebih bermakna apabila antara hadirin yang hadir bagi merestui buku baru yang dibuka oleh Noraniza dan Jeffri ialah dua anak bujang hasil perkahwinan pertama Noraniza.
Ternyata sekali kehadiran Mohd. Aliff Haiqal, 22, dan Mohd. Alfeeq Haiqal, 17, yang memberi restu buat ibu mereka pada hari itu, menyentuh naluri keibuan Noraniza sehingga dia menitiskan air mata kesyukuran.
Keceriaan pasangan pengantin yang mengenakan busana berwarna putih mutiara sedondon, rekaan Eilla Faizshah dari Butik Busana Cinta@Ratu Cinta terpancar di wajah mereka.
Sebaik sahaja Jeffri melafazkan akad dan diikuti dengan bacaan taklik, bilal yang juga usahawan dari Singapura itu menyarungkan sebentuk cincin emas putih ke jari manis Noraniza.
Biarpun Noraniza merahsiakan wang hantarannya, sebagai balasan lima dulang hantaran daripada pihak pengantin lelaki dibalas dengan tujuh dulang oleh Noraniza.
Lima dulang hantaran untuk Noraniza ialah sirih junjung, alat solek, telekung, sejadah dan cincin manakala Jeffri pula menerima sirih junjung, senaskhah tafsir al-Quran, songkok serta kain pelekat, minyak wangi, sejadah, tasbih dan sebentuk cincin.
Keunikan majlis perkahwinan Noraniza dan Jeffri ialah ia diadakan sempena Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011.
Majlis persandingan mereka yang diadakan Sabtu lalu lebih bermakna apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, turut mencemar duli bagi menghadiri majlis pasangan bertuah ini.
Jodoh terakhir
Tulus Noraniza meluahkan isi hatinya yang gusar untuk berkahwin lagi kerana pengalaman yang pernah dilaluinya memberi kesan ke atas jiwanya.
Masakan tidak, bukan sekali tetapi dua kali dia kecundang dalam perkahwinan. Itu merupakan pengalaman yang perit untuknya.
Siapa sangka, pintu hati ibu kepada dua anak teruna itu akhirnya diketuk kembali pada penghujung tahun lalu oleh lelaki dinikahinya hari ini.
Segala-galanya bermula dengan dia membantu adiknya menjual tart nenas pada bulan Ramadan lalu dan hasil jualan disedekahkan kepada masjid.
“Sebetulnya kami bertemu pada bulan Ramadan. Jadi, pertemuan pertama kami hanya berkisar soal pemberian sumbangan sahaja. Saya pula tidak mengetahui dia tidak gemarkan keju.
“Untuk menjaga hati saya, dia beli juga tart yang saya jual. Dari situ, kami menjadi semakin akrab dan alhamdulillah, hari ini saya menjadi isterinya,” katanya sambil tersenyum.
Pertemuan tersebut, akui Noraniza, telah membuka satu lembaran baru. Bagaimanapun, dia mengakui, hati wanitanya sering dijentik resah apabila mengenangkan sama ada Jeffri tulus menghulurkan cinta kepadanya atau hanya ingin mempersenda kasih tercipta antara mereka.
“Perasaan gusar dan trauma menyelubungi kehidupan saya apabila berhadapan dengan soal cinta.
“Kebimbangan yang saya rasai itu secara tidak sengaja dipancarkan melalui perbuatan apabila saya pernah memarahinya kerana memanggil saya dengan panggilan sayang atau dear.
“Saya katakan kepadanya, jangan sesekali panggil saya dengan panggilan seperti itu kerana itu semua hipokrit dan palsu.
“Namun apa yang mengagumkan saya ialah kesungguhannya ‘mencari’ cinta saya dan usahanya untuk meruntuhkan tembok trauma.
“Dia begitu sabar menanti saya. Sifat penyayang dan ambil berat yang dimilikinya akhirnya melembutkan hati saya.
“Dia berjaya menyakinkan saya bahawa dia adalah jodoh saya. Biarpun begitu saya buat solat istikharah selama tiga kali untuk mencari petunjuk dan alhamdulillah, cinta abang semakin kuat dengan saya,” ujarnya.
Misteri wang hantaran Noraniza
DUA kali gagal dalam perkahwinan tidak mematahkan semangat figura tersohor lagu-lagu etnik, Noraniza Idris, 43, untuk kembali melayari kehidupan berumah tangga.
Meskipun keputusan untuk menamatkan kehidupan sebagai ibu tunggal kepada dua anak bukan sesuatu yang mudah, namun jauh di sudut hatinya masih membuka ruang untuk golongan lelaki sekali gus kembali bergelar isteri.
Tanggal 29 September lepas, bertempat di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru menjadi bukti apabila jiwa wanitanya berjaya ‘dicuri’ seorang usahawan dan juga bilal, Jeffri Hudi, 52.
Warga Singapura itu yang merupakan duda beranak empat sah bergelar suami kepada Noraniza hanya dengan sekali lafaz. Upacara bersejarah itu turut disaksikan anak kedua-dua pasangan, keluarga terdekat dan orang ramai termasuk peminat yang hadir pada majlis yang diadakan secara terbuka itu.
Pasangan tersebut yang mula berkenalan tahun lalu dinikahkan oleh Naib Kadi Johor Bahru, Abu Bakar Watak pada pukul 2.45 petang dengan mas kahwin berupa senaskhah al-Quran.
Pihak lelaki memberi lima dulang hantaran berupa sirih junjung, alat solek, telekung, sejadah dan cincin dibalas tujuh dulang daripada pihak Noraniza iaitu sirih junjung, senaskhah tafsir al-Quran, songkok serta kain pelekat, minyak wangi, sejadah, tasbih dan cincin.
Kedua-dua mempelai anggun mengenakan busana berwarna putih mutiara sedondon rekaan Eilla Faizshah dari Butik Busana Cinta@Ratu Cinta.
Majlis akad nikah tersebut diadakan besar-besaran sempena Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011 dan Noraniza dan suami pula disandingkan dua hari kemudian di lokasi sama.
Noraniza adalah penganjurnya bersama Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Gerakan Belia 4B, Tourism Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Johor, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, UDA Mall, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Juwein e’zain Bridal Gallery, Pasific Arena Pte. Ltd. dan Adabi.
Turut memeriahkan majlis 40 kanak-kanak kurang upaya dari Sekolah Pendidikan Khas Johor Bahru.
Menyingkap kembali detik percintaan pasangan yang bertunang pada 22 April lalu itu berputik sejak setahun lalu ketika Noraniza membantu adiknya menjual kuih tart keju di bazar Ramadan di bandar raya ini.
“Saya mempromosikan kuih tart keju kepada Jeffri tanpa mengetahui dia tidak menggemarinya. Namun, Jeffri tertarik dengan cara saya mempromosikannya.
“Sejak itu, mereka saling berhubung termasuk berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) malah Jeffri sering memberi doa serta surah al-Quran untuk diamalkan. Sikap yang peramah dan merendah diri telah membuka hati saya menerimanya,” katanya ketika ditemui pada majlis akad nikah berkenaan.
Noraniza yang kelihatan berseri-seri berkata, dia bersyukur dan gembira kerana majlis bersejarah itu berlangsung dengan lancar seperti mana yang dirancangkan.
Namun, Noraniza atau mesra disapa Kak Ani yang hampir tiga tahun menjadi ibu tunggal itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah wang hantaran yang diterimanya kali ini, namun dia berdoa perkahwinannya tersebut adalah yang terakhir buatnya.
Perkahwinan terakhir
Luah Noraniza yang mengimpikan dua zuriat bersama Jeffri: “Saya dan anak-anak berdoa agar pernikahan ini adalah yang terakhir bagi saya. Saya juga berharap dapat hidup bahagia di sisi keluarga baharu ini.
“Saya juga bersyukur kerana dua anak saya dan empat anak Jeffri bersikap terbuka dan merestui perkahwinan kami.”
Selepas berumah tangga, Noraniza akan tetap aktif dalam aktiviti seninya termasuk menguruskan bisnesnya.
“Meskipun perlu membahagikan masa untuk suami dan anak-anak, ia bukanlah penghalang untuknya bergiat aktif dalam bidang seni,” ujarnya yang memiliki dua anak teruna, Mohd. Alif Haiqal, 22, dan Mohd. Alfeeq Haiqal, 17, dari perkahwinan pertamanya dahulu.
Sementara bagi Jeffri, dia sudah bersedia bergelar dan memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan suami kepada Noraniza.
“Saya turut meminati bidang seni, jadi tidak ada masalah untuk Noraniza meneruskan aktiviti seninya. Saya juga sudah bersedia bergelar suami kepada isteri yang bergelar artis.
“Pada masa sama, saya berharap para peminatnya mendoakan kebahagiaan kami berdua sekali gus dapat hidup bahagia hingga ke akhir hayat.
“Saya sendiri tidak menyangka bahawa akan bertemu jodoh buat kali ketiga dan berharap perkahwinan ini kekal hingga ke akhir hayat kami,” tuturnya.
Dalam pada itu, Jeffri yang juga merupakan seorang usahawan di Singapura turut gembira dan bersyukur dengan kelancaran majlis dan pihaknya akan mengadakan majlis kecil-kecilan di Kallang, Singapura bagi meraikan perkahwinan mereka.
“Harapan saya semoga perkahwinan ini kekal dan bahagia sehingga akhir hayat kami dan saya juga tidak akan menghalang aktiviti seni isteri kerana itu merupakan minatnya,” katanya lagi.
Diiringi 20 buah kereta
Sementara kelmarin pula di lokasi yang sama dengan upacara akad nikah, berlangsung majlis persandingan pengantin.
Suasana kemeriahan bertambah dirasai dengan kehadiran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang sudi mencemar duli ke majlis tersebut.
Pasangan pengantin yang masing-masing mengenakan busana pengantin tajaan Juwein e’zain Bridal Gallery telah diiringi ke lokasi persaingan mereka itu dari kediaman rasmi mereka di M Suites Hotel dengan konvoi 20 buah kereta Proton Perdana dan 40 buah motosikal berkuasa besar dari Kelab Bikers Johor.
Noraniza Idris Akhirnya Bergelar Isteri Kepada Bilal Masjid
Dengan sekali lafaz, Penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris, 43, sah bergelar isteri kepada bilal sebuah masjid di Singapura, Jeffri Hudi, 52.
Majlis pernikahan mereka diadakan di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana, Johor Baru, Johor, kira-kira pukul 2 petang, Khamis.
Menurut pembantu peribadi Noraniza iaitu Yus Sulaiman, pasangan tersebut dinikahkan oleh jurunikah, Abu Bakar Watak berwalikan abang penyanyi itu, Mohd Arshad Idris dengan mas kahwin berupa senaskhah Al-Quran.
Noraniza juga turut menerima wang hantaran sebanyak RM15,000.
Turut menyaksikan majlis tersebut adalah ibu dan keluarga kedua-dua pasangan pengantin.
Pihak perempuan menerima enam dulang hantaran seperti set minyak wangi, tasbih, telekung, sirih junjung, sebentuk cincin serta sejadah dan dibalas lima dulang hantaran iaitu songkok dan kain pelekat, senaskhah Al-Quran, sirih junjung, sejadah dan set minyak wangi.
Noraniza anggun mengayakan busana kurung moden rekaan Eilla Faiz Shah (Busana Cinta), sementara pelamin ditaja oleh Juwein Bridal Gallery.
Sementara itu, majlis resepsi persandingan mereka akan diadakan pada Sabtu ini di Dataran Plaza Angsana, Johor Baru.
Ia diadakan seiring dengan sambutan Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011.
Selain perkahwinan berkenaan, terdapat majlis perkahwinan melibatkan lima pasangan pelbagai kaum yang diadakan selama empat hari berturut-turut di tempat yang sama.
Majlis ini dianjurkan oleh Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd bersama Gerakan Belia 4B (M) Negeri Johor.
Ini merupakan perkahwinan ketiga Noraniza Idris dan perkahwinan kedua Jeffri.
Noraniza mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu manakala Jeffri yang menduda sejak 13 tahun mempunyai empat anak berusia antara 15 hingga 26 tahun.
Majlis Sanding Noraniza Idris Dirai Besar-Besaran
Buat julung-julung kalinya, rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan sendiri bagaimana adat rewang di majlis perkahwinan masyarakat Johor dalam Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011.
Festival selama empat hari ini bermula 29 September hingga 2 Oktober ini adalah anjuran bersama Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd dengan Gerakan Belia 4B(M) Negeri Johor.
Menariknya, program ini turut menjadi aktiviti kokurikulum kepada semua pelatih Akademi Tatihseni Malaysia Negeri Johor.
Sebagai tarikan, festival ini turut membawakan sebuah acara perkahwinan sebenar ratu etnik kreatif, Noraniza Idris, 43, bersama pasangannya, Haji Jeffri Haji Hudi, 52 yang mana akan melangsungkan akad nikah pada 29 September.
Di samping menyaksikan sendiri majlis perkahwinan mereka yang diadakan secara terbuka, antara aktiviti lain yang disediakan kepada para pengunjung seperti sukan rakyat, demontrasi merisik, meminang, nikah dan sanding, persembahan berzanji dan marhaban, pertandingan kompang salawat berirama dan banyak lagi.
Doa dalam minyak wangi - Noraniza Idris
SUDAH lumrah wanita, minyak wangi adalah produk yang paling dekat di hati mereka. Bagi Farahsuzie Sulaiman, 31, dia sanggup melabur sejumlah wang untuk mendapatkan minyak wangi yang digemarinya.
Selaku peminat minyak wangi yang tegar, pada satu ketika, wanita ini terfikir mengapa tidak dia menghasilkan minyak wangi dengan jenamanya sendiri. Itu lebih mendatangkan kepuasan, getus hatinya.
Lantas, niat itu dipanjangkan kepada suaminya, Ahmad Kamil Arifin, 43. Farahsuzie mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mencairkan hati suaminya supaya bersetuju dengan cadangannya itu.
“Ya, benar. Saya ambil masa selama dua tahun untuk membuat keputusan. Saya mahu mencari yang terbaik. Lagi satu, saya mahu pastikan saya berpuas hati dengan testimoni yang dijalankan,” jawab Ahmad Kamil yang mengiyakan kenyataan isterinya.
Mereka berdua ditemui ketika majlis pelancaran DD’s Perfume dan majlis meraikan Anak-Anak Yatim Asrama Ampang di Shah Alam. Majlis itu dirasmikan oleh penyanyi irama tradisional terkenal Noraniza Idris baru-baru ini.
Import dari Perancis
Setelah berhempas-pulas mencari mekanisme terutamanya dari aspek pemasaran dan persaingan, maka lahirlah jenama DD.
Nama DD, kata Farahsuzie yang juga pengasas jenama ini adalah singkatan maksud ‘dekat di hati selalu’.
“Saya mahukan produk ini sentiasa meniti di bibir masyarakat dan saya mengimpikan setiap tas tangan wanita ada sebotol minyak wangi jenama DD,” kata bekas graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) ini.
Menjelaskan lebih lanjut tentang minyak wangi terbaharu keluaran SK Fragrance ini, Farahsuzie memberitahu, minyak wangi yang diimport dari Perancis ini diinspirasikan dengan sejumlah jenama minyak wangi antarabangsa.
Antaranya ialah Gucci, DKNY, Polo, Jadore, Burberry, Paris Hilton, Bvlgary, Armani dan JLo.
Sebanyak empat set haruman dengan empat jenama yang berbeza diperkenalkan. Pek-pek tersebut iaitu pek famili (RM60), pek wanita (RM55), pek lelaki (RM55) dan pek untuk remaja (RM55).
“Kami ingin menunaikan impian masyarakat di luar sana yang mahu memakai minyak jenama antarabangsa tetapi tidak berkemampuan.
“Jika tidak mahu membeli secara pek, pelanggan boleh membeli sebotol minyak wangi pada harga RM15 sahaja. Ia sesuai dipakai pada bila-bila masa,” kata wanita ini sambil memberitahu bau wangiannya mampu bertahan selama dua hari.
Bacaan doa
Pasangan suami isteri ini sedar dengan saingan produk-produk yang sealiran dengannya di pasaran sekarang. Ditanya apa keistimewaan yang dibawa oleh jenama ini berbanding dengan yang lain, jawab Ahmad Kamil:
“Pati haruman yang dibawa dari Perancis ini seratus peratus tulen. Kepekatan minyaknya lebih tinggi, daya tahan haruman lebih lama dan paling penting harganya mampu milik.”
Selain itu, produk ilham pasangan serasi itu turut membawa kelainan apabila minyak wangi yang dibekalkan dibacakan sekali dengan ayat al-Quran.
“Semasa minyak wangi ini dipakejkan, ia dibacakan dengan surah Yusof (ayat 4) dan surah Thoha (ayat 39) oleh seorang ustaz bertauliah,” terangnya.
Bagaimana idea itu dirintis? Jawab lelaki yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur itu, pemakaian minyak wangi harus disertakan dengan keterampilan dan keyakinan.
“Justeru, surah Yusof dibacakan bertujuan untuk membangkitkan seri kecantikan sementara surah Thoha lebih kepada membentuk keyakinan diri, jadi, kami memilih pendekatan itu,” ujar Ahmad Kamil.
Meskipun baru lima bulan di pasaran, pasangan suami isteri ini tersenyum puas. Ini berikutan jenama yang dibawa mereka mendapat sambutan hangat di pasaran.
Untuk fasa pertama, sebanyak 2,000 unit telah terjual.
Stokis dan ejen makin bertambah meliputi Sabah dan Sarawak, ujar Farahsuzie.
Justeru, kepada yang berminat untuk terlibat sama dengan perniagaan ini, anda sangat dialu-alukan.
Noraniza kejar berkat Ramadan
MATA penyanyi etnik kreatif popular, Noraniza Idris sedikit berkaca, sama ada diterpa rasa malu atau sebak berkongsi kisah gembira, siapa tahu ada perkara lebih besar yang sedang difikirkannya.
Sekadar melihat secara luaran, riak wajah wanita berusia 43 tahun itu jelas di ambang bahagia. Senyumnya terukir dan sesekali dia melirik lembut memerhatikan tunangannya, Jeffri Hudi, 52, yang kali pertama dibawa berdepan puluhan wartawan.
Untuk pengetahuan, Noraniza ibu tunggal kepada dua cahaya mata, dan Jeffri bapa tunggal empat anak itu berkenalan sejak Ramadan tahun lalu di sebuah bazar Ramadan di Johor Bahru. Ketika itu Noraniza sibuk menguruskan jualan amal biskut raya termasuklah kuih tat nanas untuk mencari dana tabung anak-anak yatim.
“Saya diperkenalkan dengan Jeffri oleh seorang ustaz yang berurusan dengan saya. Katanya, Jeffri orang Singapura yang bertugas sebagai bilal di sana.
“Kebetulan saya ada adik yang berniaga biskut raya di Singapura. Dari situ kami mula berhubungan dan dia pula rajin menghantar SMS kepada saya,” cerita Noraniza.
Mengikat tali pertunangan pada 22 April lalu, kini penyanyi yang senang dibahasakan sebagai Kak Ani itu bukan sahaja berdebar untuk berdepan detik 29 September nanti sebagai hari pernikahan ketiganya, bahkan ada perkara yang tidak kurang penting dalam hidupnya.
Majlis pernikahan kelak bakal berlangsung serentak dengan Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011 yang julung-julung kali diadakan di negeri berkenaan anjuran syarikat miliknya sendiri dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Johor.
Seiring dengan objektif festival yang dijalankan, Noraniza bersama Jeffri, yang bertugas sebagai bilal bebas di Singapura itu akan bernikah dan bersanding dalam acara besar-besaran serta penuh adat-istiadat negeri Johor.
Tidak hanya untuk tetamu jemputan, majlis akad nikah serta persandingan Noraniza bersama Jeffri itu terbuka untuk disaksikan semua pengunjung festival yang berlangsung selama empat hari di Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru itu.
SENSASI BINTANG: Ceritakan bagaimana idea pernikahan sebegitu ditimbul?
NORANIZA: Projek Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia itu sudah saya rancang sejak dua tahun lalu. Sebenarnya saya dan tunang tak merancang untuk kahwin secara besar-besaran, cukup sekadar dilakukan dalam sebuah majlis sederhana di masjid.
Asalnya juga, saya bercadang untuk berkahwin pada 1 Oktober tetapi keluarga mencadangkan tarikh 29 September berdasarkan alasan tertentu yang lebih afdal.
Mengapa tiba-tiba putuskan untuk menganjurkan majlis pernikahan sendiri serentak dalam suasana festival kahwin yang juga dianjurkan syarikat Ani (Noraniza)?
Idea itu datang selepas saya dilamar pada 22 April lalu. Mulanya macam tak nak buat, tapi saya nak rasa pengalaman itu dan mahu istiadat perkahwinan yang cuba saya ketengahkan itu dapat dikongsi bersama masyarakat.
Walaupun itu perkahwinan ketiga dan kedua buat Jeffri, tapi ia tetap hari besar saya.
Bagaimana pula penerimaan pihak bakal pengantin lelaki dalam soal ini?
JEFFRI: Saya memang tidak jangka pernikahan saya akan dijalankan dalam majlis sebegitu meriah. Soal jodoh dan rezeki adalah urusan Allah.
Memang asalnya kami merancang untuk majlis perkahwinan yang sederhana, tapi memikirkan Ani mahu ia dilangsungkan dalam majlis sebegitu, saya setuju dan beri sokongan.
Sejujurnya adakah anda (Jeffri) mengenali dan mengetahui sejarah hidup Ani sebelum ini?
Mengenali Ani, saya tahu dia seorang artis cuma tidak secara mendalam. Apabila kami sudah berhubungan, dari situ saya mula mengenalinya.
Saya boleh menangis mendengar kisah hidupnya. Sungguh saya amat memahami situasi yang pernah dilalui kerana saya juga pernah mengalami perkara yang sama (perceraian). Selepas ini, saya juga tidak akan menghalang Ani daripada terus bergiat dalam bidang seni.
Apa kualiti Ani yang memikat hati anda (Jeffri)?
Kalau dari segi kecantikan itu, semuanya akan luntur bila kita tua. Saya suka dengan wawasan yang selalu Ani perkatakan, dia bercakap tentang masa depan.
Saya fikir, kami ada ruang untuk hidup bersama dan boleh bentuk sebuah keluarga yang bahagia. Saya tidak akan menyekat kerja-kerja seninya. Bagi saya dia juga sebutir mutiara kepada negara dan saya seorang yang cukup bertuah.
Untuk Ani pula, bagaimana boleh terbuka hati untuk berkahwin lagi?
Sejarah hidup saya memang menakutkan. Kalau diikutkan, saya memang serik untuk berkahwin dan 90 peratus hidup saya adalah untuk kerja, dengan syarikat dan Akademi Tatih Seni.
Tapi bila secara kebetulan bertemu dengan Jeffri, dia selalu ambil berat. Saya pula banyak bertanya tentang agama, dari situ kami mula rapat dan rasa cinta itu datang secara semula jadi.
Bagaimana dengan pandangan Ani terhadap Jeffri?
Selama ini saya banyak bertemu dengan lelaki yang tegas perwatakannya tapi Jeffri lain, dia selalu senyum, lembut, pemalu dan sukar menunjukkan rasa marah.
Kalau marah pun, dia akan berdiam dan tegur dengan cara yang berhemah. Dari situ datangnya perasaan suka, mungkin ini disebabkan saya sendiri yang berperwatakan kasar dan tegas terutama bila bercakap soal kerja.
Perkahwinan Noraniza Idris Diadakan Secara Terbuka
KUALA LUMPUR: Penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris, 43, bakal melangsungkan perkahwinannya dengan Jeffri Hudi, 52, bilal sebuah masjid di Singapura secara besar-besaran pada 29 September ini dan boleh disaksikan oleh orang ramai.
Majlis pernikahan akan berlangsung pada pukul 12 tengah hari di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru.
Ia diadakan seiring dengan sambutan 'Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011'.
"Pada mulanya keluarga saya menetapkan tarikh untuk kami bernikah pada 1 Oktober 2011 tetapi akkhirnya kami membuat keputusan lebih baik majlis ini diadakan serentak dengan sambutan festival itu. Lagipun jaraknya tidak jauh.
"Walaupun ia besar-besaran, tetapi saya rasa tidak salah kerana ia bertujuan untuk meraikan perkahwinan kami," katanya ketika sidang media mengumumkan tarikh pernikahan mereka di Menara Yayasan Tun Razak, di sini, Selasa.
Noraniza hadir dengan tunangnya dengan mengenakan pakaian warna sedondon iaitu hijau pucuk pisang.
Berkongsi tentang cinta pasangan ini, biarpun pernah serik dengan dua perkahwinan lalu, namun Noraniza mula terbuka hati untuk berkahwin dengan bilal berkenaan setelah benar-benar mengenali hati budinya.
"Saya yakin dia merupakan jodoh saya kerana dia seorang yang berterus-terang dan menyokong setiap perkara yang saya lakukan.
"Hubungan kami terjalin sejak kami bertemu untuk urusan jualan amal anak yatim di Bazar Ramadan pada tahun lalu.
"Kemudian pada 22 April tahun ini, kami bertunang dan seterusnya menetapkan majlis pernikahan ini," kata Noraniza.
Sementara tunangnya pula tertarik dengan Noraniza yang memiliki sifat wanita berwibawa.
"Saya juga menyenangi sikap Noraniza yang berterus-terang dan yang paling buat saya tidak dapat melupakannya apabila makan biskut tat nenas.
"Yang penting semua pihak merestui dan gembira dengan perkahwinan ini," ujarnya.Majlis pernikahan yang akan berlangsung secara terbuka dijangka tamat pukul pukul 5 petang.
Selain perkahwinan kedua mempelai berkenaan, terdapat majlis perkahwinan melibatkan lima pasangan pelbagai kaum yang diadakan selama empat hari berturut-turut di tempat yang sama.
Majlis ini dianjurkan oleh Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd bersama Gerakan Belia 4B (M) Negeri Johor.
Ini merupakan perkahwinan ketiga Noraniza Idris dan perkahwinan kedua Jeffri.
Noraniza mempunyai dua orang anak lelaki manakala Jeffri yang menduda sejak 13 tahun lalu mempunyai empat anak berusia antara 15 hingga 26 tahun.
Noraniza Idris Kahwin 1 Oktober 2011 di Johor Bahru?
Pagi-pagi lagi, Murai Batu dah terima satu khabar berita dari Tambak Johor. Namun, berita yang dibawakan kepada Murai Batu itu adalah berita yang cukup menggembirakan tentang Ratu Pop Etnik, Noraniza Idris.
Khabarnya Noraniza Idris akan melangsungkan perkahwinan pada 1 Oktober 2011 ini. Dengan siapa? Mestilah dengan orang yang sama iaitu seorang ahli perniagaan yang seringkali dikaitkan dengannya.
Seorang teman Murai Batu beritahu, dia dah banyak kali terserempak dengan Noraniza bersama ahli perniagaan tersebut. Okeylah. Memang padan dengan Noraniza.
Malah, apa yang Murai Batu diberitahu, si ahli perniagaan ini juga sudah seringkali menemani Noraniza Idris dalam beberapa acara hiburan yang dihadirinya. Wah! Baguslah tu. Kiranya ahli perniagaan ni caring jugak ya.
Khabarnya lagi, Noraniza Idris mahu mengadakan perkahwinannya secara besar-besaran. Malah, dia juga akan memaklumkan kepada pihak media tentang berita perkahwinannya ini tidak lama lagi.
Seandai segalanya berjalan seperti apa yang dirancang, bermakna ini adalah perkahwinan yang ketiga buat Noraniza Idris.
Noraniza rancang kahwin lelaki Singapura Jun depan

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Selepas dua kali gagal dalam melayari bahtera rumah tangga, penyanyi irama etnik, Noraniza Idris, sebetulnya telah berjanji untuk tidak berkahwin lagi.
Namun manusia hanya boleh merancang dan siapalah dia untuk menolak ketentuan Tuhan yang membuka pintu hatinya untuk menerima lelaki bergelar suami setelah lima tahun hidup sebagai ibu tunggal.
Jika tiada aral, Noraniza sekali lagi akan mendirikan rumahtangga pada Jun ini.
Lelaki yang berjaya mencuri hatinya ialah seorang ahli perniagaan dari Singapura, Jeffri Iman, 51, yang merupakan bapa tunggal kepada empat orang anak.
Noraniza, 42, yang kini lebih banyak menumpukan perhatian kepada Akademi Tatihseni yang berpusat di Johor Bahru, Johor, memberitahu setelah perkahwinan keduanya gagal, beliau seolah-olah tertutup hati untuk berkahwin.
Ibu kepada Mohd. Aliff Haikal, 22, dan Mohd. Alfeeq Haikal, 17, yang dihubungi hari ini memberitahu;
"Setelah dua rumah tangga yang saya bina musnah terutama yang kedua hanya bertahan 12 hari, saya berjanji pada diri ini tidak mahu berkahwin lagi.
"Namun sebagai manusia kita hanya merancang dan saya tidak pernah menduga kunjungan saya ke sebuah masjid di Johor Bahru dengan niat untuk memberi sumbangan telah mengubah segala-galanya.
"Saya tidak sangka, niat ikhlas saya memberi sumbangan pada bulan Ramadan hasil jualan barangan dari akademi milik saya telah menjadi titik tolak kepada pertemuan kami."
Menurut Noraniza, dalam pertemuan yang tidak disangka itu, Jeffri yang menjadi bilal bebas di Singapura tidak bercakap sekadar menerima kad namanya untuk urusan sumbangan akademi kepada masjid itu.
''Pada pertemuan pertama itu, kami memang tidak bercakap. Tetapi apabila urusan sumbangan akademi akan dihantar barulah kami berhubungan,'' katanya.
Sejak itu, Noraniza dan Jeffri sering berhubungan dan berbicara melalui Internet yang menghubungkan mereka berdua.
Pasangan ini mencuri perhatian ramai ketika menghadiri malam akhir konsert Jamal Abdillah J2011-Lagenda di Istana Budaya, di sini Isnin lalu.
Kata Noraniza, setelah sering berbicara melalui Internet, mereka bertemu buat pertama kalinya pada 25 September sempena hari lahir Jeffri.
"Dalam pertemuan itu Abang (panggilan untuk Jeffri) menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan abang sulung saya, Mohd. Arshad, 56, yang tinggal di Kampung Kongkong, Masai.
"Sikapnya yang jujur dan nilai-nilai lelaki beriman dan berhemah tinggi menarik hati saya apalagi selepas itu pertemuan kami lebih banyak kerana tugas dan kerjaya saya sebagai tuan punya akademi," kata Noraniza.
Jeffri yang memiliki syarikat menguruskan jemaah umrah di Singapura di bawah nama Absolut U International Private Limited, kini turut bekerjasama dan membantu Akademi Tatihseni dalam memberi motivasi bersandarkan nilai-nilai Islam kepada para pelajarnya.
Jeffri yang sudah 11 tahun hidup sebagai bapa tunggal juga tidak pernah menyangka akan berkenalan dengan Noraniza.
"Saya tahu Ani seorang penyanyi tetapi saya tidak mengikuti sangat perkembangannya. Walaupun sebelum ini saya pernah berazam untuk tidak berkahwin lagi namun Allah SWT amat menyayangi saya.
"Selepas kedatangan Ani di masjid dan kemudian kami sering berbincang tentang ajaran Islam dalam kelas yang saya kendalikan di akademi, ia secara tidak langsung telah merapatkan hati kami berdua," akui Jeffri.
Jeffri yang kini rakan niaga Noraniza dan menguruskan Noraniza Idris Group Management Sdn. Bhd., berjanji tidak akan menyekat kerjaya seni bakal isterinya.
Dituduh diva datang lewat

TIADA kata lain yang mampu dizahirkan daripada segenap jiwa penyanyi popular, Noraniza Idris atau lebih mesra disapa sebagai Kak Ani selain memohon maaf daripada pihak yang melenting dengan tindakannya pada minggu lalu.
Saat ditemui pada program separuh akhir Muzik-Muzik 24 bahagian pertama yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor sehari selepas episod hitam tersebut, wanita berusia 41 tahun itu dengan riak jujur namun disulami emosi duka menghulurkan kemaafan kepada pihak yang tersinggung dengan kekhilafannya.
"Mula-mula sekali saya hendak minta maaf kepada TV9 dan program realiti Gadis Melayu musim kedua atas kesilapan yang dilakukan baru-baru ini.
"Gara-gara tidak muncul tepat pada masanya untuk membuat persembahan pada peringkat akhir program Gadis Melayu yang disiarkan secara langsung Khamis lalu, pihak penerbitan pula yang terpaksa berdepan dengan masalah.
"Saya tahu kegagalan datang menjalankan tanggungjawab sebagai artis yang membuat persembahan awal acara tidak seharusnya berlaku sekali gus menyusahkan ramai orang.
"Bukan sengaja saya buat hal dan tidak datang pada masanya. Lagipun produksi Gadis Melayu tahu sejak awal-awal lagi saya sudah menunjukkan sepenuh komitmen untuk menjayakan program mereka," jawabnya sepantas kilat tanpa sedikitpun berselindung setelah mengetahui dia berada pada posisi tertuduh yang melakukan kesalahan.
Walaupun bukan tergolong sebagai 'dosa' besar, hakikatnya penyanyi itu ditawarkan amanah untuk menjadi penyanyi jemputan yang pertama sekali membuat persembahan menyanyikan lagu Dikir Puteri.
Bukan hanya ditonton secara terus oleh audiens di skrin televisyen TV9, program itu sebaliknya turut dihadiri oleh Sultanah Kedah, Tuanku Sultanah Haminah Hamidun dan orang kenamaan di negara ini.
Tunggu punya tunggu sehingga hampir tiba giliran Kak Ani membuat kemunculan di pentas, malangnya batang hidung penyanyi itu masih tidak kelihatan.
Bahkan, jauh sekali melihat kelibatnya berada di celah-celah kehadiran orang ramai yang datang ke Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur itu.
Salah seorang pihak produksi Gadis Melayu akhirnya dihubungi oleh Kak Ani bahawa dia masih terperangkap dalam kesesakan lalu lintas walaupun cukup berdekatan dengan lokasi program itu diadakan.

KAK ANI dikatakan akan menerima surat tunjuk sebab kerana kegagalannya membuat persembahan pada program Gadis Melayu.
Lantaran dia tidak dapat tiba seperti dijadualkan maka lintang-pukanglah tenaga penerbitan mencari rancangan B apatah lagi ia bukannya sebuah program rakaman yang boleh disunting itu dan ini.
Lantaran itu, kalau diperhatikan semula, permulaan persembahan hanya diserikan dengan persembahan pembukaan 12 peserta Gadis Melayu tanpa orang pentingnya yakni Kak Ani yang sepatutnya mendendangkan lagu di atas pentas.
Situasi haru biru itu dapat dilihat dengan jelas oleh penonton termasuk pihak media yang merasakan ada yang tidak kena berlaku di atas pentas. Ditambah dalam jadual aturcara ada menyebut nama penyanyi itu membuat persembahan maka bertambah kuatlah andaian bahawa sesuatu yang kurang elok sudah terjadi.
Kepada Kak Ani soalan demi soalan diajukan bagi mendapatkan penjelasan sebenar. Tidak sesekali melarikan diri, dia masih boleh tersenyum apabila dihadapkan pertanyaan daripada wartawan. Sikap pengecut bukan menjadi amalannya sementelah dia sudah berada dalam liga seni selama 24 tahun.
Mengungkapkan kisah sebetulnya, Kak Ani sebenarnya berada di Shah Alam pada hari yang sama untuk menjalani latihan program separuh akhir Muzik-Muzik 24. Dia membawakan lagu Enjut ciptaan Cat Farish, Roxy Tail dan Ahmad Fedtri Yahya.
"Sepatutnya raptai bermula pukul 6 petang namun dianjakkan setengah jam kemudian. Selepas siap semuanya, saya terus bersiap dan bersolek di Plaza Alam Sentral dengan harapan dapat sampai ke Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka lalu terus menyanyi.
"Pukul 7.30 malam saya terus berangkat ke tempat program Gadis Melayu dengan beranggapan waktu selama sejam mencukupi untuk saya sampai ke situ tanpa sebarang halangan.
"Setibanya di Jalan Loke Yew kereta yang dinaiki saya dan pekerja saya tersangkut dalam kesesakan jalan raya sedangkan pada pukul 8.30 malam sepatutnya saya kena ada di sana untuk menyanyi.
"Tidak dinafikan, daripada situ ada kekacauan dari segi masa, namun saya tidak cepat naik angin atau menyalahkan pembantu peribadi dan pasukan saya yang lain.
"Sikap terlalu fokus dengan jadual separuh akhir Muzik-Muzik 24 dan tidak fikir tentang pelan lain serta faktor kecemasan tertentu memang menjadi salah saya sendiri.
"Dalam situasi yang mencemaskan ini, penerbit bagaimanapun memberitahu masalah saya diselesaikan dengan adanya peserta-peserta Gadis Melayu yang membuat persembahan walaupun mereka cakap ada banyak cacat-celanya.
"Sampai saja di sana, saya dapati Datuk Seri Farid Ridzuan (Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad) agak berang dengan kelewatan saya. Memang pada waktu itu, wajahnya cukup tegas dan kurang berpuas hati.
"Tetapi dia bagaimanapun bersikap profesional menyelesaikan masalah ini disebabkan saya datang sendiri kepadanya untuk meminta maaf dan menerangkan keadaan sebenar.
"Pihak Media Prima bakal mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada saya selepas ini. Saya juga akan memohon maaf secara terbuka menerusi surat kepada TV9 dan Farid dalam waktu terdekat ini," jelasnya dalam nada perlahan.

KAK ANI memohon maaf kepada semua pihak kerana kesilapannya telah menyusahkan ramai orang.
Sambung Kak Ani, sepanjang kerjayanya sebagai anak seni dia tidak pernah bersikap diva untuk menyusahkan orang lain lebih-lebih lagi tidak muncul pada tempat membuat persembahan.
"Cuma saya tahu kali ini nasib tidak baik. Ini memang silap saya sendiri yang tidak sediakan rancangan lain. Staf saya mula menangis semasa berada dalam kereta sambil meletakkan kesalahan ini secara total di atas bahunya.
"Biarpun begitu, saya tidak salahkan dia sepenuhnya. Selain menjaga jadual seni saya, kakitangan saya juga sibuk mengendalikan bisnes yang saya jalankan. Dengan jadual yang padat, mungkin pekerja saya ini tertekan.
"Macam saya katakan tadi, saya tidak menyalahkan dia 100 peratus ditambah dia merupakan orang baru yang melibatkan diri dalam dunia hiburan," luah Kak Ani lagi.
Tiada lagi keraguan, perkara yang menimpa Kak Ani itu pasti menjejaskan reputasinya sebagai seorang artis, walaupun kenyataan demi kenyataan sudah dikeluarkan daripada bibirnya.
Mengulas tentang soal kredibiliti yang tercalar, Kak Ani meminta agar pihak di luar sana tidak membesar-besarkan kisah tersebut sekali gus menganggap dia ibarat melakukan jenayah yang besar, lalu sukar dimaafkan.
"Sepanjang waktu 24 tahun bergelar artis, inilah kali pertama saya mengalami peristiwa hitam. Sebagai manusia biasa, saya tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.
"Sekurang-kurangnya keadaan yang berlaku ini memberi pengajaran kepada saya pada masa depan agar lebih berhati-hati untuk membahagikan waktu dan jadual harian.
"Saya pelajari banyak perkara tentang situasi ini," tutur Kak Ani dalam nada seribu penyesalan.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
