Buat julung-julung kalinya, rakyat Malaysia berpeluang untuk menyaksikan sendiri bagaimana adat rewang di majlis perkahwinan masyarakat Johor dalam Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011.
Festival selama empat hari ini bermula 29 September hingga 2 Oktober ini adalah anjuran bersama Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd dengan Gerakan Belia 4B(M) Negeri Johor.
Menariknya, program ini turut menjadi aktiviti kokurikulum kepada semua pelatih Akademi Tatihseni Malaysia Negeri Johor.
Sebagai tarikan, festival ini turut membawakan sebuah acara perkahwinan sebenar ratu etnik kreatif, Noraniza Idris, 43, bersama pasangannya, Haji Jeffri Haji Hudi, 52 yang mana akan melangsungkan akad nikah pada 29 September.
Di samping menyaksikan sendiri majlis perkahwinan mereka yang diadakan secara terbuka, antara aktiviti lain yang disediakan kepada para pengunjung seperti sukan rakyat, demontrasi merisik, meminang, nikah dan sanding, persembahan berzanji dan marhaban, pertandingan kompang salawat berirama dan banyak lagi.
