Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Pierre Andre. Show all posts
Showing posts with label Pierre Andre. Show all posts

Cinta selepas bernikah - Pierre Andre

ALAM perkahwinan pastinya merupakan suatu perkara yang diimpikan oleh setiap individu. Dan pastinya, seseorang yang mahu membina mahligai rumah tangga akan berfikir panjang sebelum memilih siapakah yang akan menjadi pasangan sehidup semati mereka. Untuk tujuan itu, kebiasaannya ia akan memakan tempoh masa yang bukan singkat untuk mengenali personaliti dan peribadi pasangan mereka, ada yang mengambil masa sehingga melebihi sepuluh tahun untuk berbuat demikian. Namun bukan setiap daripada kita mengambil langkah sedemikian kerana ada di antara kita yang tidak memerlukan masa terlalu lama sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama insan pilihan mereka. Pelakon dan pengarah, Pierre Andre, 28, yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama gadis pilihannya, Siti Nur Hidayah Hashim, 26, pada 23 Jun lalu sebaliknya memilih untuk tidak bercinta terlalu lama. Bagi Pierre, percintaan yang terlalu panjang tidak mendatangkan sebarang faedah sekiranya kedua-dua pihak tidak mempunyai perancangan untuk membina mahligai bersama. "Disebabkan itu, saya membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga tanpa terlalu lama menunggu. Kemudian kami akan terus menjalinkan hubungan cinta selepas bergelar suami isteri. "Memang tempoh percintaan kami hanya beberapa bulan sahaja tetapi saya yakin, Hidayah adalah wanita yang ditakdirkan untuk menjadi suri di hati saya," katanya. Kedua-dua mempelai itu disatukan hanya dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang diadakan bertempat di Masjid Al-Ikhlas, Taman Melati, Selayang pada pukul 2.10 petang. Pihak lelaki memberi wang hantaran berjumlah RM20,000, mas kahwin sebanyak RM300 dan tujuh dulang hantaran sambil dibalas oleh pengantin perempuan dengan sembilan dulang hantaran. Sementara itu, Hidayah yang juga seorang model menjelaskan antara ciri-ciri yang membuatkannya terjatuh hati kepada anak lelaki pelakon Khatijah Tan ialah sifat kesederhanaan yang dimiliki. "Saya akui saya jatuh hati dengan sifat peribadi Pierre, disamping caranya yang lebih gemar kepada kesederhanaan," katanya. Majlis resepsi sebelah perempuan bakal diadakan selepas hari raya tahun ini manakala majlis sebelah pihak lelaki masih belum ditentukan. Lega Pierre sudah bernikah Selain kedua mempelai yang diraikan, pastinya ibu kepada pengantin juga tidak kurang gembira di saat detik perkahwinan anak sulungnya, apatah lagi beberapa hubungan sebelum itu pernah kecundang di tengah jalan. Jelas Khatijah, sebagai ibu, pastinya dia gembira dan terharu disaat Pierre melafazkan akad nikah justeru menyaksikan anak lelakinya itu kini telah melangkah ke alam baru dan memikul tanggungjawab baru sebagai suami orang. "Tidak dinafikan sebelum ini, saya sering berasa runsing akan perihal Pierre. Walaupun dia seorang anak yang baik tetapi sebagai ibu, saya tetap risau memikirkan dirinya. "Kini dia telah berumah-tangga dan saya berharap mahligai yang mereka bina ini akan terus kekal sehingga ke akhir hayat mereka. "Pastinya ini merupakan antara detik paling menggembirakan dalam hidup dan saya mendoakan yang terbaik buat kedua-duanya," katanya yang ditemui selepas selesai majlis pernikahan tersebut. Tambah Khatijah lagi, dia berharap Hidayah akan dapat memahami tugas dan tanggungjawab yang dipikul Pierre, apatah lagi sebahagian besar daripada masanya akan dihabiskan di luar rumah.

Pierre Andre Berdebar Untuk Jadi Suami Ahad Ini

Pelakon dan pengarah filem Pierre Andre teruja dan berdebar untuk menempuhi alam perkahwinan bersama seorang model yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini. Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre, 28, berkata, dia bersyukur kerana salah satu impiannya untuk bergelar suami akhirnya terlaksana. "Untuk bergelar seorang suami merupakan impian saya selama ini dan saya bagaikan tidak sabar untuk menantikan detik-detik tersebut. "Namun, perasaan berdebar tetap ada dan setiap malam saya akan menghafal lafaz akad nikah sebelum tidur," katanya ketika ditemui pada sidang media drama Dewi Lasak, di sini, Khamis. Pierre akan bergelar suami kepada Siti Nurhidayah Hashim dalam satu majlis akad nikah Ahad ini yang akan diadakan di Masjid Al-Ikhlas, Taman Melati, Selayang dekat sini kira-kira pukul 1 tengah hari. Tambahnya, majlis resepsi kedua-dua pihak akan dilakukan secara sederhana dan hanya akan dihadiri oleh keluarga terdekat. Bagaimanapun kata Piere pihaknya masih belum menetapkan tariknya lagi. "Majlis resepsi sebelah perempuan mungkin akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti manakala sebelah saya pula tidak dapat dipastikan. Yang pasti ia akan dibuat secara tertutup untuk keluarga sahaja," ujarnya.
Pierre yang mengenali Siti Nurhidayah sejak dua tahun lalu mengakui wanita tersebut mempunyai ciri-ciri isteri yang diidamkannya. "Ketika jumpa dia, saya tidak beberapa yakin untuk ada hubungan kerana dia seorang model sudah tentu kehidupan berbeza. "Tapi bila saya kenal keluarganya, saya tahu dia seorang wanita yang terdidik kerana keluarganya guru. "Dia juga seorang yang tidak cerewet dan sentiasa bersederhana," ujarnya. Ditanya sama ada dia akan menjemput bekas teman wanitanya iaitu pelakon Yana Samsudin, Pierre berkata, soal jemputan diserahkan kepada keluarga. "Insya-Allah kita akan jemput tapi saya serah kepada pihak keluarga tentang urusan jemputan. Lagipun saya kena juga ambil pandangan dan jaga hati bakal isteri saya," katanya. Bercakap tentang drama aksi pertama arahannya, Dewi Lasak, Pierre berkata, cabaran utama adalah membentuk pelakon-pelakon baharu bagi menghidupkan adegan pertarungan. "Inta Ladyana tidak ada masalah kerana dia sudah biasa watak aksi tapi pelakon lain semuanya masih baru. "Saya kena cari keserasian dan beri mereka benar-benar menghayati watak serta berlatih seni mempertahankan diri," katanya. Drama bersiri 13 episod ini bakal ditayangkan di TV3 bermula 26 Jun ini, pukul 9 malam. Ia memaparkan aksi-aksi pertarungan dengan diselitkan unsur-unsur kekeluargaan, cinta dan komedi. Selain Intan Ladyana, drama ini turut dibintangi Bella Dewi, Atikah Suhaime dan Azwan Kombos.

Alasan Pierre pilih Mikail

BAKAT seni yang mengalir dalam darah keluarga aktor dan pengarah Pierre Andre bukan satu perkara baharu. Ibunya, Khatijah Tan merupakan seorang pelakon terkenal, terbaharu, adiknya Mikail Andre pula terjun ke dunia lakonan. Barangkali akan ada yang berkata, disebabkan kedudukan Pierre sebagai pengarah, dia bebas memilih sesiapa sahaja termasuk adiknya sendiri untuk memegang watak utama dalam filem ke-11 arahannya, Perempuan Muka Surat Tujuh. Menjawab persoalan tersebut, Pierre, 28, menegaskan, pemilihan dilakukan berdasarkan bakat serta kesesuaian watak - bukan atas dasar ikatan kekeluargaan. "Sebelum memilih Mika (panggilan untuk Mikail), saya telah terfikir beberapa nama pelakon, tetapi selepas menilai dengan teliti Mika mempunyai karakter yang saya inginkan dalam watak utama itu. "Walaupun dia masih muda, tetapi apabila berlakon, ekspresi wajahnya terutama matanya yang mempunyai karakter tersendiri menarik minat saya untuk memilih dia," kata Pierre yang ditemui pada majlis doa selamat filem tersebut di pejabat Metrowealth, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Tegas Pierre, sebelum ini dia juga pernah melalui perkara yang sama ketika mula-mula menceburkan diri dalam bidang lakonan dan memegang status pengarah buat kali pertama. "Ketika mula berlakon dan mengarah, orang akan kata, patutlah saya boleh dapat peluang mengarah sebab saya anak Khatijah Tan. Kiranya, saya tumpang nama ibu untuk berdiri dalam bidang seni. "Sebenarnya tidak, jika saya tidak ada bakat dan kreativiti, mana ada orang ingin laburkan duit kepada saya untuk buat filem. "Sama juga halnya dengan Mika, jika dia tidak berbakat, meskipun dia adik saya, saya tidak akan ambil dia berlakon walaupun untuk watak sampingan apatah lagi untuk watak utama," ujarnya serius. Tidak hanya bersesuaian dengan watak, kata Pierre, keserasian antara mereka memudahkan lagi penggambaran filem yang bermula pada 4 April lalu. "Saya tahu sangat perangai, apa kelebihan dan kekurangannya. Jadi, dia mudah saya bentuk dan bekerjasama untuk filem ini," ujarnya yang akan menamatkan zaman bujang pada bulan Jun tahun ini. Cabaran Selain Mika yang diberi watak utama sebagai Putra, heroin filem ini juga merupakan wajah baharu iaitu Nina Iskandar yang merupakan seorang pelakon dari Brunei. Sedar tanggungjawab yang digalasnya amat besar kerana mempertaruhkan semua wajah baharu, Pierre yakin penonton hari ini lebih bijak menilai filem bukan berdasarkan populariti semata-mata. "Bukan tidak boleh ambil pelakon yang sudah popular, tetapi asyik-asyik wajah yang sama sahaja di pawagam. Jadi, saya ambil inisiatif untuk memperkenalkan pelakon baharu. "Bagi saya, kejayaan sesebuah filem bukan terletak kepada populariti pelakon sahaja, tetapi apa yang penting ialah bakat lakonan yang dipersembahkan kepada penonton," katanya. Ulasnya lagi, pelakon baharu mudah dibentuk di set penggambaran berbanding pelakon yang telah mempunyai pengalaman. "Sebagai pengarah, pelakon baharu lebih mudah dibentuk kerana pelakon yang berpengalaman mereka sudah mempunyai identiti dan corak lakonan yang tersendiri. "Kadangkala bagus tetapi ada kalanya menyukarkan proses penggambaran kerana lakonan yang diberikan mengikut acuan mereka sendiri bukannya pengarah," tuturnya. Bercakap lebih lanjut tentang naskhah Perempuan Muka Surat Tujuh yang ditulisnya sendiri, skrip filem itu sebenarnya sudah lama ditulis untuk sebuah filem pendek. Bagaimanapun, untuk penggambaran filem, skripnya telah diolah untuk dipanjangkan sesuai dengan durasi filem. Minat berlakon - Mikail Melihat raut wajahnya yang ada iras seperti Pierre, perbezaan yang wujud pada Mikail ialah dia kelihatan sedikit garang dan matang walaupun baru berusia 21 tahun. Namun, minatnya dalam dunia seni tidak boleh disangkal sementelah sejak di sekolah menengah lagi, dia sudah aktif berteater. "Saya memang minat berlakon. Selepas habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya ikut abang kerja di belakang tabir untuk beberapa buah filem sebelum saya menyuarakan hasrat untuk berlakon. "Mulanya saya hanya diberi watak yang kecil sahaja, cukup untuk merasa bagaimana beraksi di hadapan kamera. Selepas berjaya meyakinkan abang, saya diberi peranan yang lebih besar sebagai pelakon pembantu sebelum diberi watak utama," kata Mika yang telah berlakon dalam filem Hantu Dalam Botol Kicap, 1 Lawan 1, Dua Kalimah, Longkai dan Chantek. Memiliki abang dan ibu yang bekerja dalam bidang seni merupakan batu loncatan untuknya lebih mudah dikenali ramai tetapi, Mika enggan dirinya terlalu bergantung kepada reputasi abangnya dan ibunya untuk membina kerjaya sebagai pelakon. "Abang dan bonda (Khatijah Tan) merupakan idola saya dalam bidang lakonan. Mereka banyak memberi saya inspirasi terutama bonda yang tidak jemu memberikan saya tunjuk ajar. "Buat masa sekarang, mereka berdua masih menjadi orang rujukan utama dalam segala hal kerana saya masih baharu, tetapi jika boleh saya mahu membina kerjaya dengan bakat serta kebolehan saya sendiri," ungkapnya. Disoal tidakkah dia teringin untuk bergelar pengarah dan penulis skrip seperti abangnya suatu hari nanti, sambil tersenyum, Mikail berkata belum tiba masanya untuk dia memikul tanggungjawab seberat itu. "Mungkin suatu hari nanti, siapa tahu saya akan ikut jejak langkah abang tetapi apa yang saya tahu, abang saya lebih bijak kerana dia mampu melakukan dua tiga kerja dalam satu masa yang sama. "Malah, minat saya pula lebih terarah kepada bidang lakonan berbanding menjadi penulis skrip atau pengarah. Jadi lebih baik saya berlakon sahaja buat masa sekarang," tuturnya jujur.

Kontroversi Pierre Andre,Ustaz Azhar Idrus Dan Tunang Tidak Bertudung

Belum pun memasuki pawagam, pembikinan Ustaz, Mung Tunggu Aku Datang arahan terbaru dari Pierre Andre mencetuskan sedikit kontroversi. Semuanya gara-gara pengumuman nama Ustaz Azhar Idrus sebagai salah seorang pelakon filem terbabit. Bagaimanapun, yang menimbulkan isu apabila Azhar mendedahkan dia tidak memberi kata putus lagi untuk berlakon dalam filem berkenaan. Menjelaskan situasi yang berlaku, Pierre atau nama sebenarnya, Mohd Pierre Andre Nazrul Andre berkata, dia dan pihak MIG Production (MIG) sememangnya sudah melamar Azhar untuk menjayakan watak ustaz dalam filem ini. Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada sebarang kata putus dari Azhar, biarpun dia kelihatan berminat untuk turut serta dalam filem ini. “Saya bukannya mencipta kontroversi murahan, menjual nama Ustaz Azhar Idrus. Sebaliknya saya memang sudah menyampaikan hasrat kepada beliau dan dalam perbincangan tersebut, beliau nampak senang dengan jalan cerita tersebut. “Justeru, saya berharap ALLAH SWT permudahkan urusan saya kerana filem ini adalah filem dakwah dan ustaz juga dapat turut serta dalam filem ini. “Bagaimanapun, jika ustaz tidak dapat menerima, kita akan ke plan B dan saya akan berbincang dengan Mejar David Teo terlebih dahulu mengenai perkara ini,” katanya kepada Zass. Pierre berkata, penggambaran filem ini sudah berjalan dan ia hanya melibatkan Shiro selaku teraju utama. “Saya rasa tidak ada masalah untuk menjalani penggambaran biarpun ustaz masih belum memberi kata putus, kerana pelakon utamnya adalah Shiro. Jadi kita selesaikan dahulu babak yang melibatkan Shiro,” katanya yang kini sedang sibuk mempromosikan filem terbarunya, Cerita Kita. Pilihan hati tidak bertudung? Sementara itu, menyentuh mengenai majlis pernikahannya yang berlangsung Jun ini, Pierre berkata, segala persiapan sedang dilakukan dia amat bertuah kerana tunangnya, Siti Nurhidayah Hashim, begitu memahami. “Saya dan tunang hanya merancang dan ALLAH SWT yang menentukan. Jadi kami hanya buat seperti apa yang telah direncanakan oleh ALLAH SWT untuk kami juga,” katanya. Ditanya mengenai pemilihan bulan Jun, Pierre berkata, tidak ada sebarang tarikh istimewa pada bulan Jun, sebaliknya dia mendapat nasihat dari orang alim untuk mengadakan pernikahan pada bulan Syaaban. “Saya difahamkan, bulan Syaaban banyak syafaat dan segala urusan akan dipermudahkan. Kebetulan bulan Syaaban jatuh pada bulan Jun, jadi sebab itulah pernikahan kami akan berlangsung pada Jun ini,” katanya. Bagaimanapun, menyentuh persepsi orang ramai mengenai tunangnya yang tidak bertudung, walhal Pierre pula sudah berhijrah, Pierre berkata, dia tidak menyalahkan orang lain kerana mereka tidak mengenali Hidayah. “Saya mengenali dia sebelum saya berhijrah. Tidak adil untuk dia jika saya meninggalkan dia hanya kerana saya sudah berhijrah,” ujarnya. Ditanya apakah dia akan menyuruh tunangnya mengenakan tudung sebaik bernikah, Pierre berkata : “Bagi saya, perkara paling penting, saya kena ubah diri sendiri sebelum ubah orang lain. “Lagipun kita tidak boleh nilai dia pada penampilannya sahaja. Bersangka baiklah pada orang,” jelasnya. Karier dan dakwah Dalam pada itu, menyentuh mengenai hala tuju kariernya selepas ini, Pierre berkata, dakwah akan menjadi keutamaannya selepas ini. Namun dalam pada masa sama, dia akan aktif dalam bidang seni. Bagaimanapun, jika berlakon, dia lebih senang memilih cerita-cerita dakwah dan mengarahkan filem berunsur dakwah sahaja. “Bukan tidak sayang karier, tapi dakwah itu lagi penting. Bagaimanapun, saya akan membahagikan masa sebaik mungkin tanpa mengabaikan karier saya,” ujarnya.

Gambar Di Majlis Pertunangan Pierre Andre Dan Nurhidayah

Tahniah buat hero Malaysia, Pierre Andre kerana telah selamat bertunang dengan gadis pilihannya yang dikenali sebagai Nurhidayah semalam (9 feb).. Akhir tahun lalu, Pierre Andre ada menyatakan hasratnya untuk bertunang dengan gadis yang berasal dari Johor dan nampaknya Majlis pertunangan mereka telah selamat diadakan dan berjalan dengan lancar seperti apa yang dirancangkan.. Sama cantik dan sama padan, itulah yang boleh kami katakan buat pasangan Pierre Andre dan Nurhidayah ni.. Daripada gambar yang dikongsikan oleh metrowealth, Jelas kita lihat Khatijah Tan yang juga ibu kepada Pierre Andre adalah insan yang paling gembira sekali di hari bersejarah itu.. Sama-sama la kita doakan agar pertunangan mereka ini akan berkekalan sehingga diijabkabulkan kelak.. Apa-apa pun buat peminat Pierre Andre, jom kita layan gambar disekitar majlis pertunangan Pierre Andre kat bawah ni… mygosip.com

Sertai Tabligh, Pierre Andre Tunang Dengan Model

KUALA LUMPUR, 14 FEB 2013: Setelah dikejutkan dengan berita pelakon Fizz Fairuz yang bertunang tetapi bukan dengan pelakon Almy Nadia, industri hiburan tempatan menerima berita gembira apabila Pierre Andre mengumumkan yang dia sudah pun bertunang dengan seorang model tempatan. Malah, pelakon dan pengarah muda ini sedikit pun tidak berniat untuk menyembunyikan berita pertunangan itu yang telah diadakan pada Sabtu lalu dengan hanya dihadiri ahli keluarganya sahaja. Difahamkan, anak kepada pelakon Khatijah Tan ini telah mengambil keputusan bertunang dengan gadis pilihannya bernama Siti Nurhidayah Hashim, 25, selepas menyulami cinta selama lapan bulan. Tunang Pierre berasal dari Johor Bahru merupakan seorang model sambilan dan 9 Februari lalu adalah hari pertunangan mereka. "Saya kenal dengan dia sebelum saya sertai tabligh lagi. Selepas kenal lebih dekat, saya mengambil keputusan untuk segera berkahwin dengannya. "Saya merancang untuk bernikah pada September nanti. Bagaimanapun, sebolehnya saya ingin mempercepatkan tarikh nikah pada Jun ini," ujarnya. Setelah berhijrah dengan imej berjambang dan berjubah, Piere merasakan dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami selepas mendalami ilmu agama. "Hijrah saya bukan ke arah ekstrem sehingga menyalahkan orang lain. Sebaliknya, saya masih melalui kehidupan seperti biasa dan terus aktif dalam bidang seni. "Fokus saya kini lebih terarah pada bidang pengarahan dan penulisan skrip. Saya akan lebih memilih terhadap tawaran berlakon. "Jika boleh, saya akan mengelakkan untuk berlakon babak pegang tangan mahupun atas katil. Bersesuaian dengan imej saya yang terbaru ini, saya mahu terbabit dengan program Islamik," katanya. Dalam pada itu, Pierre bakal muncul sebagai pengacara dalam satu program realiti bersama Astro Oasis. "Saya mahu bimbing isteri saya ke arah kehidupan mengikut tuntutan agama. Sehingga kini, masih ada peminat yang terkejut melihat perubahan saya. "Apa yang saya lakukan bukanlah perubahan mendadak. Saya bersyukur kerana terus mendapat sokongan peminat. "Saya mengikuti kumpulan tabligh tiga kali sebulan dan pada masa yang lain, saya pakai seluar jeans dan baju T," jelasnya.

Pierre Andre pernah keliru

UCAPAN yang diberikan anak muda ini sewaktu menerima Anugerah Yasmin Ahmad pada Anugerah Skrin 2012 ini merupakan permulaan buat industri perfileman negara untuk mengenali siapa Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre yang baru. Memulakan karier sebagai pengarah sejak berumur 21 tahun, nampaknya ada sisi perubahan yang akan dibawakan Pierre kepada kerjaya seninya selepas ini. Tampil dengan imej lebih dewasa, dengan jiwa yang lebih menjurus kepada sisi keagamaan, Pierre memberitahu ini semua merupakan anugerah buat dirinya. Bagaimanapun anak muda ini percaya ia tidak akan datang percuma kerana itu dia sendiri sudah bersedia untuk menempuhi segala cabaran yang bakal menguatkan lagi hatinya untuk terus mendekati jalan keagamaan. "Saya pernah khatam al-Quran sebelum ini, namun beberapa bulan lepas saya mula meluangkan masa untuk membaca terjemahannya. "Ternyata al-Quran bukan sekadar apa yang saya sangka sebelum ini, ia penuh dengan cerita mengagumkan. Dari saat itu saya mengambil keputusan untuk lebih dekat dengan Allah," katanya yang ditemui pada tayangan perdana filem terbaru lakonannya berjudul Strawberi Cinta. Baru beberapa bulan mengisi pedoman hati dengan cara yang jauh berbeza dengan kehidupan lalu nya, Pierre memberitahu dia pasti cabaran yang akan terus menguji hatinya akan hadir dari orang sekeliling. "Saya tahu akan ada orang yang akan mempertikaikan perubahan saya ini, dan itu antara cabaran yang saya pasti akan hadapi. "Namun pendekatan saya mudah, iaitu akan tetap meneruskan apa yang saya lakukan kini dengan izin dari Allah," katanya. Mengakui pernah keliru dengan keadaan dirinya, Pierre menjelaskan pernah pada suatu ketika dia mahu mengambil keputusan untuk melangkah keluar dari dunia seni. Dia hanya mahu menumpukan perhatian kepada urusan dakwah sahaja. "Pada awal itu memang saya fikir adalah lebih baik saya untuk tidak lagi menjadi anak seni dan memberi tumpuan kepada aktiviti berdakwah sahaja. "Bagaimanapun ada seorang sahabat mula membuka mata saya mengenai apa yang dimaksudkan dengan tanggungjawab berdakwah itu. Katanya ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara selagi niatnya itu ke jalan Allah. Melalui kelebihan yang saya miliki, dia yakin saya mampu melakukan perubahan," katanya yang kini memilih untuk tampil dengan imej berjanggut. Berkongsi antara detik yang terus menguatkan lagi penghijrahannya ini adalah ketika dia berasa terlalu kecewa dengan kerjaya seninya. "Saya percaya kemenangan pada malam ASK itu merupakan antara keajaiban yang Allah izinkan berlaku keatas diri saya. "Saya sebenarnya berdoa untuk memenangi anugerah itu, dan bila ia nya benar-benar berlaku saya lebih yakin untuk meneruskan penghijrahan ini," katanya. Bersyukur untuk mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong dirinya anak teruna kepada pelakon wanita terkenal Khadijah Tan ini memberitahu ibunya merupakan penyokong kuat kepada penghijrahannya ini. "Mana-mana ibu juga pasti akan gembira dengan perubahan begini. "Dan mummy juga tidak ketinggalan memberi sepenuh sokongan untuk melihat saya kekal dengan niat ini," katanya. Istiqamah Jauh di sudut anak seni yang berumur 27 tahun ini, ada kata-kata harapan yang mahu dia kongsi bersama peminat di luar sana. Pinta Pierre hanya satu, agar kehidupannya terus diselangi dengan doa ketetapan hati. "Selain orang di sekeliling kita, ancaman terbesar adalah diri kita sendiri. Saya hanya harap untuk meneruskan penghijrahan ini dan istiqamah di dalam semua yang dilakukan saya," katanya. Bakal muncul dengan sebuah novel hasil tulisannya sendiri tidak lama lagi, menurut Pierre ini bukan kali pertama dia berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Pernah menyimpan impian untuk terlibat di dalam bidang penulisan tidak lama dahulu hasrat itu terpaksa dilupakan kerana terlalu sibuk dengan urusan seni lain. Memilih untuk menyediakan penulisan dengaan sentuhan islamik, Pierre berharap agar ia diterima sebaiknya. "Novel berjudul Road to Darussalam ini mengisahkan tentang perjuangan, bukan mengisahkan tentang saya ia lebih kepada sebuah novel motivasi sebenarnya. "Bakal di terbitkan tahun hadapan, saya harap ia merupakan permulaan yang baik untuk saya berdakwah," katanya. Pierre juga menjelaskan perubahan itu bakal dilaksanakan tanpa rasa terkilan. "Saya akan mengehadkan diri dari melakonkan adegan-adegan yang tidak sesuai, itu sudah pasti," katanya ringkas. Diusik dengan soalan mengenai lakonan terbarunya bersama bekas kekasih di dalam filem Strawberi Cinta, Yana Samsudin, Pierre akui ada adegan yang tidak akan diulanginya lagi selepas ini. "Saya tahu bersentuhan di antara wanita dan lelaki tanpa ikatan yang sah itu haram. "Bagaimanapun semasa penggambaran filem ini dijalankan saya masih lagi Pierre dahulu, saya harap penonton faham keadaan saya," katanya serius.

Pierre Andre Anggap Diri Lelaki Malang Kerana Cinta

PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon Pierre Andre, 27, menganggap dirinya sebagai seorang lelaki malang kerana sering gagal dalam menjalinkan hubungan cinta. Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre berkata, dia kerap memikirkan punca kegagalan hubungan yang mungkin datang daripada kesilapan dirinya sendiri. "Entahlah, mungkin salah saya juga yang mungkin ada kekurangan sehingga tidak menyenangkan wanita-wanita yang pernah saya sayangi. Apabila sesebuah perhubungan itu tidak jadi, saya mula rasa malang dalam hal cinta. "Memang benar kata orang, untuk mendapat cinta yang sejati, kita perlu mengharungi banyak perkara yang menyakitkan," katanya. Tambah Pierre, dia sepatutnya mendirikan rumah tangga pada akhir tahun lalu, namun hubungan cinta yang terjalin selama empat tahun dengan seorang wanita yang merupakan anak daripada kalangan kerabat diraja Terengganu itu retak. Beritahu anak kepada pelakon Khatijah Tan ini, hal tersebut membuatkan dia terlalu kecewa dan sehingga kini, masih lagi dalam proses untuk memulihkan diri. "Walaupun perkara itu sudah pun lama berlalu, diakui sehingga kini saya masih lagi sedang menjalani tempoh untuk mengubati rasa kecewa walaupun saya harus akur dengan ketentuan takdir. "Perhubungan itu retak mungkin kerana darjat kami tidak sama? Entahlah, tak pasti. Cuma saya percaya apa yang telah berlaku ada hikmah di sebalik kejadian itu," ujarnya. Sebelum ini Pierre pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Yana Shamsuddin dan dikaitkan pula bersama Julia Ziegler serta Fasha Sandha. Sementara itu, Pierre bakal muncul dengan filem arahan terbarunya iaitu Aku, Kau dan Dia yang akan ditayangkan pada 28 Jun ini. Menurut Pierre, filem itu begitu istimewa kerana memasukkan sedikit kisah dirinya yang pernah mengalami masalah cinta dengan orang yang tidak wujud. "Sebanyak 30 peratus saya selitkan kisah 'cinta khayalan' yang pernah berlaku dalam diri saya dahulu. Apabila diolah skripnya dengan suntikan lakonan hebat seperti Zarina Jamalullail, Pekin dan Remy Ishak, filem berkonsepkan cinta ini berjaya dihasilkan dengan baik. "Malah saya mendapat respons yang bagus daripada kalangan media dan rakan-rakan yang menonton pada tayangan perdana yang berlangsung baru-baru ini," katanya. Antara barisan pelakon yang turut membarisi filem terbitan Tayangan Unggul ini ialah Harun Salim Bachik, Marissa Yasmin, Nash dan Haris (Idola Kecil).

Profesional Yana - Pierre

PERNAH menjalinkan hubungan cinta selama lebih tiga tahun, keserasian Yana Samsuddin dan Pierre Andre kelihatan sangat secocok ketika digandingkan semula dalam filem 3 Temujanji. Namun, Yana dan Pierre mengakui bahawa pada mulanya, mereka agak kekok ketika ingin 'bercinta' semula dalam filem tersebut. Bagaimanapun, sebagai seorang aktor dan aktres, mereka memilih untuk bersikap profesional dan mengetepikan kisah peribadi untuk memberikan yang terbaik terhadap lakonan masing-masing. "Sewaktu kami berlakon filem ini, saya dan Yana telah setahun tidak berjumpa atau berlakon bersama. Jadi, bila jumpa semula, tidak dinafikan memang kami berdua terasa kekok dan memikirkan bagaimana untuk tidak kelihatan kekok dalam filem. "Akhirnya kami mengambil jalan untuk bersikap profesional. Kami banyak berbincang mengenai watak dan karakter dalam filem ini. Mungkin juga dengan mengingati semula masa gembira kami dulu telah membuatkan keserasian itu timbul semula," ujar Pierre mengenai 'penyatuan' semula dia dan bekas kekasihnya itu. Dalam nada bersahaja dan bergurau, Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre menambah, jika tiada keserasian, maka tidak bercintalah mereka sebelum ini. Katanya juga, keserasian itu telah ada sejak dulu, namun perlu dicari semula kerana ia telah lama hilang selepas mereka putus cinta.
Begitu jua pengakuan yang dibuat oleh Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin ketika ditebak persoalan yang sama dengan bekas kekasihnya itu. Kekok merupakan perkara pertama yang berlegar dalam mindanya ketika ditawarkan berlakon dalam filem tersebut. "Walaupun dahulu kami pernah mempunyai hubungan istimewa, tapi selepas itu masing-masing tidak bertegur atau berlakon bersama selama setahun. Kemudian, secara tiba-tiba digandingkan dalam satu filem dan sebagai pasangan kekasih. Semestinya perasaan begitu (kekok) timbul. "Tapi, Alhamdulillah, dia sangat membantu. Semasa kami melakukan sesi lampas otak, dia juga banyak bercerita serta semasa penggambaran pula, kami banyak berbincang bersama untuk hilangkan rasa kekok itu," tutur aktres tersebut. Tambah wanita berusia 27 tahun ini lagi, sebagai seorang pelakon, bersikap profesional walaupun mereka pernah mempunyai masa silam yang barangkali masih melekat dalam hati adalah bonus buat mereka untuk menjadi anak seni yang baik. Doa Pierre "Tiada masalah berlakon dengan dia kerana saya rasa bergandingan bersama Yana adalah gandingan paling senang berbanding pelakon yang lain," itu kata-kata jujur yang keluar dari mulut jejaka berusia 27 tahun ini mengenai Yana. Selain itu, Pierre juga tidak teragak-agak membuat pengakuan bahawa dia masih menyayangi Yana. Akan tetapi, perasaan sayang itu bukan seperti sayang buat kekasih, namun Pierre kini menganggap Yana seperti keluarganya sendiri. "Saya tidak menghalang jika ada jodoh kami, dan saya juga tidak akan menghalang jika kami tiada jodoh. Ini kerana, bagi saya perhubungan saya dan Yana sebelum ini cukup baik. Saya akan mendoakan yang terbaik buat Yana selepas ini termasuk soal siapa yang bakal menjadi kekasih atau suaminya. "Saya memang mahu yang terbaik buat dirinya dan semoga dia berbahagia tidak kira dalam perhubungan, masa depan mahupun karier," jelas Pierre tidak menyembunyikan perasaannya. Yana tidak kisah Keserasian merupakan sesuatu yang amat penting agar watak yang dilakonkan berjaya menambat hati penonton yang menonton. Bagi Yana, hubungan istimewa dia dan Pierre dianggap sebagai satu kelebihan kerana melalui pengalaman tersebut, ramai yang memuji keserasian mereka.
"Ramai juga yang bercakap memang keserasian saya dengan Pierre dalam 3 Temujanji itu jelas kelihatan. Namun, saya juga mendapat respons yang baik daripada orang ramai tentang keserasian saya dan Sam dalam filem Bini-biniku Gangster," beritahu Yana mengenai keserasian bersama pelakon yang pernah menjadi heronya. Selepas ini, Yana dan Pierre akan kembali 'berjodoh' untuk dua buah naskhah lagi. Ia termasuk sebuah filem romantik yang berjudul Strawberry Cinta, yang mana Yana menjadi seorang wanita Korea dan Pierre pula sebagai pemandu pelancong.

Pierre Andre pasrah


SEKIAN lama menyulam cinta, perkahwinan adalah destinasi impian setiap pasangan. Namun tidak semua yang dirancang akan menjadi semudah yang disangka. Kerana dugaan bercinta, ada ujian yang perlu dihadapi demi perjuangan sebuah kasih sayang.

Tidak terkecuali pengarah serta pelakon Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre atau lebih dikenali Pierre Andre yang kini sudah setahun lebih menanti cinta dari seorang gadis yang dikenalinya hampir empat tahun lalu.

Malah dia sendiri kini keliru dengan status hubungan cintanya itu kerana tiada keputusan muktamad yang diambil antara dia dan gadis pujaan tersebut.

“Sepatutnya saya berkahwin pada tahun lepas. Bagaimanapun saya sendiri keliru dengan status hubungan kami kini. Hampir setahun lebih kami tidak berhubung,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem arahannya, Chantek baru-baru ini.

Sedikit kecewa dengan perjalanan kisah cintanya itu, bagi Pierre, dia tetap meletakkan harapan agar hubungan cintanya kembali terjalin dan seterusnya merealisasikan impiannya untuk berkahwin.

“Saya akui perasaan sayang itu semakin hari semakin hilang, mungkin kerana terlalu lama tidak berhubung.

“Namun, saya masih sayangkan hubungan ini dan akan sentiasa meletakkan harapan agar ia kembali seperti dahulu,” tegasnya.

Biarpun mengakui bahawa dirinya tidak begitu bertuah di dalam percintaan, namun Pierre memberitahu, dia langsung tidak berasa tertekan dengan masalah cintanya itu.

Ini kerana dia percaya kariernya kini harus menjadi keutamaan dalam hidupnya.

“Saya akui saya lebih berjaya dari segi karier dan bukan cinta.

“Walaupun sakit dengan kisah cinta yang dilalui saya ini, namun saya tetap amat bersyukur kerana kerjaya saya kini sedang berkembang dan mungkin dengan kesibukan ini saya dapat melupakan kepedihan tersebut,” jelasnya.

Menurut Pierre, jika kegagalan hubungan kali ini merupakan balasan terhadap kekhilafannya dahulu, dia mahu menjadikan ia sebagai pengajaran terbaik.

“Saya pernah mengecewakan seseorang dan jika ini adalah karma, saya akan menerimanya dengan hati terbuka.

“Bagaimanapun keputusan yang dibuat saya suatu ketika dahulu bukanlah suatu kesilapan, kerana saya percaya semua yang berlaku itu mempunyai sebabnya yang tersendiri,” katanya.

Pengarah serta pelakon utama filem romantik komedi terbaru bertajuk Chantek itu turut mengakui dia juga kini tidak mahu lagi mengarahkan filem bergenre seram kerana minatnya kini lebih terarah kepada filem aksi.

“Filem arahan pertama saya bergenra ini adalah 1 Lawan Satu yang akan diterbitkan MIG,” katanya.

Berkongsi pendapatnya mengenai Chantek yang turut dibintangi Nurul Ekasari, Pierre akui filem tersebut mempunyai kecacatan tersendiri.

Bagaimanapun dia tetap berpuas hati dengan hasil kerja terbarunya itu.

“Saya akui terdapat sedikit kekecewaan yang ingin saya luahkan terhadap filem ini.

“Sepatutnya Chantek perlu mengambil masa tayangan sehingga dua jam lebih dan disebabkan itu saya terpaksa memotong bahagian-bahagian yang dirasakan tidak begitu kuat untuk filem ini.

“Namun saya percaya penonton tetap akan merasa terhibur dengannya kerana filem ini lebih bersifat santai dan ringan,” katanya.

Pierre Andre Cemburu Dengan Syamsul Yusof


KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon, Pierre Andre, 26, mengakui berasa cemburu dengan kejayaan yang di kecapi oleh rakan baiknya yang juga pengarah berbakat Syamsul Yusof.

Pierre bagaimanapun berkata, perasaan cemburu itu bukan ke arah negatif tetapi lebih kepada positif untuk lebih memajukan diri sebagai pengarah dan pelakon.

"Sejujurnya saya cemburu apabila melihat kejayaan Syamsul yang berjaya menghasilkan pelbagai genre filem dan mendapat kutipan mencecah lapan ke sepuluh juta.

"Itu adalah satu cabaran untuk saya untuk melakukan lebih baik untuk memajukan diri sekurang-kurangnya setanding dengannya," katanya.

Pierre ditemui pada sidang media selepas majlis pratonton filem terbaru arahannya, Al-Hijab di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pierre berkata dia tidak kisah jika dilabel sebagai pengarah filem seram kerana menyedari kelebihannya dalam genre itu.

"Saya terpaksa akui apabila saya menghasilkan filem bukan berbentuk seram impaknya tidak sama seperti filem seram. Jadi saya tidak kisah jika dilabel sebegitu.

"Pun begitu itu bukanlah alasan untuk saya terus menumpukan kepada pembikinan filem seram kerana percaya mampu menghasilkan filem lain dengan baik," ujarnya.

Sebelum ini Pierre pernah mengarahkan dua buah filem berjudul Jangan Tegur dan 9 September di bawah produksi Metrowealth International Group (MIG).

Sementara itu, bercakap mengenai filem arahan terbarunya, Al-Hijab yang bakal menemui penonton di pawagam pada 6 Oktober depan, Pierre memberitahu ia terhasil melalui pengalamannya.

Mengharapkan ia mendapat sambutan hebat daripada penonton, Pierre berkata, Al-Hijab mempunyai kelainan dari segi penceritaan dan elemen seram yang ditonjolkan.

"Selama dua tahun menyepi ini adalah hasilnya dan berharap peminat filem tempatan akan menyukainya," ujarnya.

Hajat Tak Sampai, Pierre Andre Tangguh Kahwin


PETALING JAYA: Hasrat pengarah dan pelakon Pierre Andre untuk mengakhiri zaman bujangnya pada tahun ini tidak kesampaian apabila dia terpaksa menangguhkan keinginan itu untuk lebih mengenali keluarga sebelah perempuan.

Pierre berkata, hubungannya dengan gadis, kerabat diraja Terengganu yang sudah terjalin lebih tiga tahun itu tidak menghadapi masalah.

Sebaliknya, dia perlu meyakinkan keluarga kekasihnya itu tentang kemampuannya untuk bergelar suami yang berstatuskan anak seni.

"Kalau boleh memang saya hendak kahwin awal seperti yang sering saya katakan sebelum ini tapi nampaknya saya terpaksa ditangguhkan dahulu buat masa ini.

"Hubungan kami tiada sebarang masalah. Malah, keluarga kedua-dua belah pihak juga merestuinya. Namun saya perlukan sedikit masa untuk lebih mengenali dan memenangi kepercayaan keluarga kekasih saya sebelum merancang tentang perkahwinan," katanya.

Bercerita tentang perkembangan terbaru, Pierre kini kembali ke kerusi pengarah di bawah produksi MIG Production menerusi drama bersiri Ana Lu’lu.

"Ini adalah tugas pengarahan pertama saya di bawah produksi MIG selepas persengketaan antara saya dan David berakhir tahun lalu.

"Selain drama ini, saya tidak pasti bila saya akan dapat mengarahkan semula filem-filem MIG kerana sudah terikat dengan pelbagai projek bersama produksi luar sepanjang tahun ini," katanya yang mengakui penerbit itu memberikan kebebasan kepadanya untuk berkarya dengan produksi lain.

Pierre yang kembali aktif ke bidang pengarahan dan lakonan selepas krisis yang dihadapinya kira-kira dua tahun lalu bakal muncul dengan empat buah filem iaitu Al Hijab, Chantek, Aku, Kau dan Dia dan Bisikan Puaka yang masih menantikan tarikh tayangan.

"Sudah empat buah filem arahan saya siap. Malah, sekarang saya tengah buat suntingan filem Aku, Kau dan Dia.

"Selepas menamatkan baki penggambaran drama Ana Lu’lu, saya akan memulakan sebuah lagi filem dan beberapa projek lain," katanya.

Pierre Andre Mula Dalami Islam


KUALA LUMPUR: Pelakon Pierre Andre, 25, kini mengaku mula mendalami agama Islam secara lebih mendalam selepas melalui kontroversi yang membabitkan dirinya berselisih faham dengan penerbit David Teo, dua tahun lalu.

Beritahu Pierre, terlalu banyak kejadian-kejadian pelik yang berlaku pada dirinya pada ketika itu sehinggakan dia nekad untuk kembali ke jalan yang benar.

"Setahun selepas kontroversi, saya telah ke Jakarta dan bertemu dengan seorang pakcik dan dia telah membuka mata saya tentang agama saya sendiri iaitu Islam yang pernah saya abaikan sebelum ini.

"Oleh itu, saya kini mula mendalami Islam secara berperingkat. Apa yang telah berlaku pada diri saya sebelum ini ternyata mematangkan dan membuka mata saya tentang kehidupan yang sebenar.

"Kadang-kala, saya berasa cemburu dengan kehidupan baru pelakon Azmeer Mustapha yang ke arah memperjuangkan agama Islam. Harap-harap, saya juga akan menjadi sepertinya," katanya selepas pelancaran drama Tiramisu, di restoran Rebung, di sini, Selasa.

Ujar pelakon itu, sebagai permulaan, dia ingin menghasilkan sebuah novel berbentuk Islamik, Aku Salahudin, sebagai permulaan untuk dirinya berdakwah kepada peminat-peminatnya.

"Selain itu, saya juga ingin menghasilkan sebuah filem berkaitan dengan dakwah Islam. Memandangkan saya kini sudah menandatangani untuk menghasilkan sebanyak 10 buah filem pada tahun depan di bawah syarikat David, Metrowealth International Group (MIG), saya akan berbincang mengenai idea saya ini kepadanya.

"Saya percaya setiap manusia ada hutang masing-masing dengan Dia (Tuhan) dan begitu juga dengan saya. Dengan memiliki bakat kreatif, saya ingin melangsaikan hutang saya dengan cara berdakwah menerusi novel dan filem yang dihasilkan," katanya.

Sementara itu, Pierre juga merancang untuk mendirikan rumahtangga dalam jangka masa dua tahun lagi dengan kekasihnya yang merupakan seorang pegawai bank serta salah seorang kerabat diraja negeri Terengganu.

"Buat masa ini saya merancang untuk menamatkan zaman bujang saya sama ada pada tahun depan atau dua tahun lagi.

"Ya, dia seorang kerabat diraja, dan saya sendiri takut untuk memberi kenyataan tentang hal ini memandangkan kami belum lagi berjumpa dengan keluarga masing-masing.

"Alhamdulillah, perhubungan kami baik-baik sahaja dan selesa dengannya. Sebelum ini saya pernah dilema, andai kata saya akan berkahwin nanti, adakah wanita itu menerima saya kerana Pierre Andre atau diri saya sendiri.

"Bagaimanapun, kekasih saya ini tidak seperti yang saya andaikan," katanya.

Pierre Andre Mengaku Biadab


PERSELISIHAN faham antara penerbit juga Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MiG), David Teo dan pelakon Pierre Andre yang tercetus pada 2008 bukan satu isu baru. Malah, ketegangan itu turut mendapat liputan meluas di merata media.

Dek membawa hati yang rajuk, Pierre yang tidak berpuas hati apabila sentuhannya dalam filem Jangan Tegur (2008) dipertikaikan oleh penerbit itu, lantas mengambil keputusan drastik dengan meninggalkan produksi tersebut dan membiarkan ia terkontang kanting sebelum diambil alih oleh orang lain.

Dua tahun berselang, dunia hiburan sekali lagi dikejutkan dengan pengakuan Pierre yang kembali menghubungi David pada Ogos lalu bagi menjernihkan keadaan. Pierre terpaksa menyerah kalah dek kedegilannya selama ini.

Menerusi pertemuan bersama Mingguan mStar baru-baru ini, gambar dirakamkan sebagai bukti kedua-dua mereka tidak berperang lagi. Sebaliknya kata David, dia menerima permohonan maaf Pierre dan sudah melupakan kisah lama walaupun sebelum ini telinganya sudah bernanah untuk mendengar nama Pierre Andre.

Ujar Pierre, dia bertemu semula dengan David pada Ogos lalu selepas dua tahun membawa diri. Sedar akan kesilapannya, Pierre akui berdebar untuk berdepan dengan penerbit itu buat pertama kalinya selepas peristiwa itu.

"Saya akui bimbang apabila hendak bertemu dengan David. Saya memang sudah bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan, dimarah atau ditengking atas kesilapan saya.

"Ketika berselisih faham dengannya dulu, saya bukan saja telah menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan bajet tambahan untuk melakukan penggambaran semula beberapa babak dalam filem itu.

"Malah, saya juga berlaku biadap dan mengungkapkan perkataan yang tidak sepatutnya kerana terlalu mengikutkan kata hati. Namun, dia menerima kemaafan saya dengan hati yang terbuka," katanya.

Pierre lantas diusik apakah keputusannya untuk berbaik semula dengan David berpunca daripada kegagalannya untuk menyerlah di persada seni. Jawabnya, keputusan itu adalah ketentuan Tuhan yang melembutkan hatinya untuk berdamai.

"Dakwaan yang mengatakan saya berbaik semula dengan David kerana gagal berdikari atau tidak menyerlah di persada seni tanpa pertalian dengan MiG adalah tidak berasas.

"Sepanjang dua tahun membawa diri, saya aktif berlakon dan mengarahkan pelbagai drama dan filem. Selain berlakon dalam siri popular Halimah Jongang, saya juga sempat mengarahkan tiga filem iaitu Hijab, Cantik dan Seru.

"Saya berbaik dengan David kerana ketentuan Tuhan. Pengalaman berdikari di luar sana telah mematangkan diri dan membuka pintu hati saya untuk berdamai," katanya.

Sementara itu, David menyifatkan kepulangan anak kepada dramatis Khatijah Tan itu ke pangkuan MiG bukan saja menggembirakan hatinya, malah turut bermanfaat kepada industri filem tanah air.

"Seperti yang saya katakan dulu, saya sentiasa memaafkan kesilapan anak-anak muda seperti Pierre. Sebagai pemilik produksi ini, saya selalu berharap agar pekerja-pekerja saya melakukan kesilapan supaya mereka dapat belajar sesuatu daripada kesalahan itu.

"Melakukan kesilapan bukan satu dosa besar yang tidak boleh dimaafkan. Apa yang lebih penting, mereka sedar kesilapan itu dan tidak mengulanginya. Perkara yang sama juga saya sematkan pada Pierre dan nampaknya dia semakin matang sekarang.

"Kepulangan Pierre ke MiG bukan saja menguntungkan dirinya dan MiG kerana lebih banyak kerjasama akan terjalin selepas ini, malah ia juga bermanfaat kepada industri seni. Pierre akan terus aktif bergiat dan sekali gus menambahkan jumlah modal insan bagi perkembangan industri filem," katanya.

Mengulas tentang perancangan untuk Pierre, David berkata, dia akan membimbing lelaki berusia 25 tahun itu mempelajari lebih banyak ilmu pembikinan filem mengikut perubahan dan keperluan semasa.

"Pierre akan didedahkan dengan lebih banyak ilmu penerbitan filem mengikut trend semasa. Dia kini sedang berkobar-kobar untuk kembali bersaing di dalam industri dan saya akan buka jalan itu mengikut perancangan yang telah disusun.

"Jika permintaan terhadap Pierre menjurus kepada tawaran lakonan, dia harus rebut peluang itu. Peluang mengarahkan filem sentiasa terbuka dan dia harus bijak mengimbangkan kedua-dua bidang ini agar dapat bergerak seiring," katanya.

Sebagai permulaan, Pierre yang mengikat kontrak baru pada Oktober lalu untuk tempoh lima tahun lagi baru saja membintangi filem 321 Cinta (arahan Azhari Zain) di samping Farid Kamil dan Diana Amir. Filem komedi romantik itu bakal ditayangkan pada 2011.

Sebelum perbualan kami bernokhtah, David sempat berkata, Pierre juga akan kembali ke kerusi pengarah bagi menerajui sebuah projek filem pada awal tahun depan.

Pierre Andre Temui Cinta Kerabat Diraja


PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah filem Pierre Andre mengakui sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang kerabat diraja Terengganu.

Menurut Pierre, hubungannya dengan wanita berusia 23 tahun itu terjalin sejak dua tahun lalu tetapi menjadi semakin rapat sejak setahun lepas.

"Saya berkenalan dengan wanita itu tanpa mengetahui latar belakang sebenar dirinya. Ketika itu, dia bekerja dalam sektor perbankan.

"Hubungan kami terjalin atas dasar keserasian dan keikhlasannya menerima saya.

"Menariknya, perwatakan dan sikapnya yang rendah diri dan ringkas itu membuatkan saya langsung tidak sangka latar belakangnya dari keluarga diraja sehinggalah selepas setahun mengenalinya," kata Pierre.

Tambah pengarah filem Hijab ini, pelbagai kontroversi yang menghimpitnya sebelum ini membuatkan dia semakin matang.

Malah jika diizinkan Tuhan dia tidak menolak kemungkinan untuk melangkah ke fasa seterusnya iaitu perkahwinan bersama wanita itu.

"Alhamdulillah, kedua-dua belah keluarga merestui hubungan kami dan semuanya berlangsung dengan baik dan sederhana.

"Saya memang merancang untuk menamatkan zaman bujang secepat mungkin. Jika diizinkan, saya ingin berkahwin dalam masa dua tahun, insya-Allah," katanya yang sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Tiramisu arahan Kabir Bhatia.

Pierre turut menegaskan, kekasihnya itu adalah individu yang berbeza dan langsung tiada kaitan dengan wanita misteri yang pernah mencetuskan kontroversi serta memporak-perandakan hidupnya kira-kira dua tahun lalu.

"Teman saya ini adalah orang yang langsung tidak ada kena-mengena dengan wanita halimunan yang pernah mencetuskan kontroversi dalam hidup saya dua tahun dulu," katanya yang ingin melupakan memori hitam itu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails