Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Pierre Andre pasrah


SEKIAN lama menyulam cinta, perkahwinan adalah destinasi impian setiap pasangan. Namun tidak semua yang dirancang akan menjadi semudah yang disangka. Kerana dugaan bercinta, ada ujian yang perlu dihadapi demi perjuangan sebuah kasih sayang.

Tidak terkecuali pengarah serta pelakon Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre atau lebih dikenali Pierre Andre yang kini sudah setahun lebih menanti cinta dari seorang gadis yang dikenalinya hampir empat tahun lalu.

Malah dia sendiri kini keliru dengan status hubungan cintanya itu kerana tiada keputusan muktamad yang diambil antara dia dan gadis pujaan tersebut.

“Sepatutnya saya berkahwin pada tahun lepas. Bagaimanapun saya sendiri keliru dengan status hubungan kami kini. Hampir setahun lebih kami tidak berhubung,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem arahannya, Chantek baru-baru ini.

Sedikit kecewa dengan perjalanan kisah cintanya itu, bagi Pierre, dia tetap meletakkan harapan agar hubungan cintanya kembali terjalin dan seterusnya merealisasikan impiannya untuk berkahwin.

“Saya akui perasaan sayang itu semakin hari semakin hilang, mungkin kerana terlalu lama tidak berhubung.

“Namun, saya masih sayangkan hubungan ini dan akan sentiasa meletakkan harapan agar ia kembali seperti dahulu,” tegasnya.

Biarpun mengakui bahawa dirinya tidak begitu bertuah di dalam percintaan, namun Pierre memberitahu, dia langsung tidak berasa tertekan dengan masalah cintanya itu.

Ini kerana dia percaya kariernya kini harus menjadi keutamaan dalam hidupnya.

“Saya akui saya lebih berjaya dari segi karier dan bukan cinta.

“Walaupun sakit dengan kisah cinta yang dilalui saya ini, namun saya tetap amat bersyukur kerana kerjaya saya kini sedang berkembang dan mungkin dengan kesibukan ini saya dapat melupakan kepedihan tersebut,” jelasnya.

Menurut Pierre, jika kegagalan hubungan kali ini merupakan balasan terhadap kekhilafannya dahulu, dia mahu menjadikan ia sebagai pengajaran terbaik.

“Saya pernah mengecewakan seseorang dan jika ini adalah karma, saya akan menerimanya dengan hati terbuka.

“Bagaimanapun keputusan yang dibuat saya suatu ketika dahulu bukanlah suatu kesilapan, kerana saya percaya semua yang berlaku itu mempunyai sebabnya yang tersendiri,” katanya.

Pengarah serta pelakon utama filem romantik komedi terbaru bertajuk Chantek itu turut mengakui dia juga kini tidak mahu lagi mengarahkan filem bergenre seram kerana minatnya kini lebih terarah kepada filem aksi.

“Filem arahan pertama saya bergenra ini adalah 1 Lawan Satu yang akan diterbitkan MIG,” katanya.

Berkongsi pendapatnya mengenai Chantek yang turut dibintangi Nurul Ekasari, Pierre akui filem tersebut mempunyai kecacatan tersendiri.

Bagaimanapun dia tetap berpuas hati dengan hasil kerja terbarunya itu.

“Saya akui terdapat sedikit kekecewaan yang ingin saya luahkan terhadap filem ini.

“Sepatutnya Chantek perlu mengambil masa tayangan sehingga dua jam lebih dan disebabkan itu saya terpaksa memotong bahagian-bahagian yang dirasakan tidak begitu kuat untuk filem ini.

“Namun saya percaya penonton tetap akan merasa terhibur dengannya kerana filem ini lebih bersifat santai dan ringan,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails