Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Rossa. Show all posts
Showing posts with label Rossa. Show all posts

Kahwin? Belum terdesak - Rossa

KEKERAPANNYA ke sini menimbulkan tanda tanya, sehingga ada yang membuat spekulasi penyanyi cantik dari seberang ini sebenarnya sudah bernikah. Apa yang lebih mengejutkan khabarnya "suaminya" itu juga merupakan orang Malaysia. Tidak menolak dia kerap ke sini, penyanyi Datuk Sri Rossa Roslaina Handiyani atau Rossa bagaimanapun menafikan dia kini sudah bergelar isteri. Hanya ketawa ketika ditanyakan soalan tersebut, Rossa yang sudah lima tahun menjanda memberitahu dia masih belum terdesak untuk berkahwin dalam masa terdekat ini. Mengakui sedang mengenali seseorang Rossa bagaimanapun enggan berkongsi identiti kekasihnya itu. "Itu bohong! Saya belum bernikah, ke sini hanya bekerja. "Sebetulnya memang saya sudah ada pacar, seorang ahli perniagaan. Orang Malaysia atau mana, saya tidak boleh beritahu sekarang, " katanya ketika di temui pada majlis perlancaran drama bersiri terbaharu Astro Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Hotel Best Western, Premier Dua Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini. Sudah agak lama mengenali kekasihnya itu, Rossa bagaimanapun tidak menolak ada sesuatu yang cukup istimewa mengenai lelaki yang sedang menawan hatinya kini. Percaya kepada jodoh, Rossa bagaimanapun tidak mahu terburu-buru untuk melangkah ke alam perkahwinan. "Apa yang boleh saya katakan hubungan ini terjalin agak lama, apa istimewanya dia pada mata saya, biar saya sahaja yang tahu. Ya kalau sudah bercinta secara automatiknya pasti ada sesuatu yang spesial daripada orang itu. "Buat masa ini saya tidak terdesak mahu bernikah, kalau kami berkahwin itu namanya jodoh. Kalau tidak, saya juga tidak apa-apa," katanya, bersahaja. Menginginkan bakal suaminya lebih pintar dari dirinya, Rossa tidak melihat kemewahan sebagai ciri wajib untuk mana-mana lelaki mendekati dirinya. Percaya kepada rezeki dan Rossa juga mengakui yang anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan, 7, sudah mengenali pacarnya itu. "Kalau boleh saya mahu suami yang lebih pintar dari saya. Soal kaya itu subjektif, kalau hari ini dia kaya mungkin selepas berkahwin dia akan jatuh miskin semua itu kuasa Tuhan tiada siapa yang tahu. "Anak saya juga sudah mengenali dia, sejak dari dahulu lagi saya senang mengenalkan anak saya dengan rakan-rakan saya sebenarnya," katanya yang turut mengakui sebelum ini pernah bercinta dengan rakyat Malaysia. Gelaran Datuk satu tanggungjawab Baharu sahaja dikurniakan gelaran Datuk pada ulang tahun keputeraan ke-83 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada 24 Oktober lalu, Rossa tidak terkilan sebenarnya ada yang masih mengeluarkan kata-kata negatif kepada dirinya. Mengakui masih mencuba menangkis apa yang dihamburkan kepada dirinya, Rossa tidak menolak suatu hari nanti pasti akan ada yang bersetuju untuk mengatakan dia layak menerima gelaran tersebut. "Saya tahu ada yang masih terus mempertikaikan penganugerahan ini, tetapi sebagai penerima saya sangat menghargai gelaran ini kerana ia datang dari Tuanku Sultan Pahang. "Bagi mereka yang tidak puas hati dan sering bertanya apa sumbangan saya kepada Malaysia, saya akan terus berusaha ke arah itu," katanya. Berkongsi pengalaman mengadakan sidang media khas untuk menjelaskan penganugerahan ini kepada pihak media Indonesia, Rossa mengakui gelaran yang dibawanya kini bukan sekadar nama tetapi tanggungjawab yang besar. "Di Indonesia mereka masih kabur dengan gelaran ini jadi saya adakan satu sidang media bagi menjelaskan kepada pihak media di sana. Syukur kehadiran wakil akhbar Utusan Malaysia, memudahkan lagi penerangan anugerah ini. "Bagi saya penganugerahan ini adalah satu tanggungjawab yang berat. Apabila saya dapat gelaran ini, ia bukan untuk saya tetapi kepada seluruh rakyat Indonesia, dan saya perlu pastikan ia dihargai," katanya. Masih kekok untuk dipanggil Datuk, Rossa tidak melihat kekerapannya berada di negara ini kelak akan menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan peminatnya di Indonesia. Baginya menerima tawaran menyanyi di sini sudah menjadi acara wajib, tidak timbul persoalan dia hanya mahu membalas budi. "Saya akui memang banyak tawaran nyanyian yang saya terima sehingga hujung tahun ini. Semua tawaran itu hadir sebelum saya mendapat penganugerahan lagi, jadi ini bukan soal mahu balas budi. "Di Indonesia juga saya pernah menerima anugerah, jadi kedua-dua negara ini juga sangat dekat dan saya adalah seorang yang adil," katanya ketawa.

Rossa Tidak Ajar Anak Hidup Mewah

Penyanyi Indonesia Datuk Rossa tidak gemar memanjakan anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan untuk hidup dalam suasana kemewahan walaupun beliau berkemampuan berbuat demikian. Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 35, berkata, dia juga tidak pernah membeli mainan mahal untuk Rizky, 7, kerana bimbang anaknya itu tidak akan faham erti kesusahan apabila besar kelak. "Walaupun dia masih kecil, tetapi saya tidak senangkan dia dengan membeli barang-barang mewah. Setakat ini barang paling mahal yang saya belikan ialah iPod jenis biasa untuk dia mendengar lagu. "Malah telefon bimbit untuk memudahkan saya menghubunginya saya berikan kepada pembantu rumah untuk dijaga," katanya. Rossa ditemui pada pratonton drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Hotel Best Western Premier Dua Sentral di sini pada Khamis.
Bagaimanapun kata Rossa dia tidak menolak kadang kala Rizky berasa keliru apabila melihat kehidupan glamournya sebagai selebriti. Malah katanya, anak lelakinya itu sering bertanya dengannya mengenai layanan istimewa diberikan kepadanya tidak seperti mana ketika berada di rumah. "Pernah sekali ketika menghantarnya ke sekolah, dia bersama bekas suami saya, Yoyo perlu beratur panjang dan dengan pantas dia meminta ayahnya potong barisan dan berkata 'kitakan artis'. "Masa itu Yoyo berasa malu takut didengari orang sekeliling tetapi saya lihat dia semakin faham erti bersikap sederhana," katanya. Sementara itu, menerusi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Rossa bersama penyanyi Hafiz berduet bagi lagu runut bunyi drama berkenaan berjudul Salahkah. Bukan Kerana Aku Tak Cinta bakal disiarkan pada setiap Isnin hingga Rabu bermula 9 Disember depan di Astro Mustika HD (saluran 134).

Rossa Impikan Lelaki Lebih Tinggi

SEJAK bercerai dengan pemain dram kumpulan Padi iaitu Yoyo pada 14 Julai 2009, penyanyi Datuk Rossa masih belum memiliki pengganti bekas suaminya itu. Menurut laporan portal Kapanlagi, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rosa Roslaina Handiyani berkata, walaupun dia ada menjalinkan hubungan dengan beberapa lelaki namun dia masih belum menemui pasangan yang bersesuaian. "Saya belum ada calon suami. Doakan saja ya. Hanya 'Yang Di Atas' saja tahu jodoh yang paling tepat buat kita. Yang penting orangnya baik. Indonesia atau Malaysia, mana-mana pun sama sahaja," katanya. Tambah Rossa, dia berharap lelaki yang akan menjadi suaminya kelak mempunyai postur badan yang lebih tinggi daripadanya. "Yang penting lelaki itu janganlah pendek lagi daripada saya tetapi perlu seagama dan mesra dengan keluarga masing-masing. Kriteria ini sama sahaja dengan keinginan wanita-wanita lain" selorohnya. Bagaimanapun penyanyi yang popular dengan lagu Hey Ladies itu belum meletakkan tempoh masa tertentu untuk berkahwin semula.

Rossa Dikritik Tidak Bertudung Selepas Tunai Haji

Penyanyi dari Indonesia, Rossa mengakui dikritik hebat gara-gara tidak bertudung litup selepas pulang daripada menunaikan Haji di Mekah pada tahun lalu. Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 35, yang hanya memakai tudung selama dua bulan selepas melaksanakan Rukun Islam ke lima itu bagaimanapun berkata, dia menerima kritikan itu secara positif selain menyifatkan orang ramai sekadar prihatin terhadapnya. "Saya faham apabila ramai yang tidak senang melihat saya masih tidak bertudung walaupun sudah bergelar hajah seperti kebanyakan wanita lain. "Ramai juga yang mengkritik, tetapi saya menerimanya dengan hati terbuka. Saya tahu kritikan itu untuk kebaikan saya juga. "Bagaimanapun semua itu perlu datang pada diri sendiri. Apabila tiba masanya nanti pasti saya akan bertudung juga," katanya yang ditemui pada sidang media Enjoy Jakarta di Hotel JW Marriot di sini, Jumaat.
Tambah Rossa, dia juga perlu selesaikan beberapa kontrak yang memerlukan dirinya tidak bertudung sebelum membuat keputusan mengubah ke imej baru. Sementara itu, Rossa bersama-sama dengan tiga selebriti Indonesia iaitu Hedi Yunus, Pasha (Ungu) dan Sarah Sechan dilantik sebagai jurucakap bagi program Enjoy Jakarta bertujuan mempromosikan negara itu di Malaysia. Mereka juga turut mengadakan konsert ‘Enjoy Jakarta 2013 Anniversary-Lake Garden Kuala Lumpur’ di Taman Tasik Perdana pada pukul 8.30 malam Jumaat (semalam). "Konsert itu istimewa bagi peminat muzik Indonesia di Malaysia kerana ia merupakan satu platform bagi mengetengahkan tradisi dan budaya Indonesia yang pasti memikat hati peminat muzik Malaysia. "Dalam pada itu, kami juga mahu budaya Indonesia lebih dekat lagi di hati masyarakat Malaysia memandangkan kedua-dua negara ini mempunyai persamaan budaya," ujar Rossa. Legenda rock Malaysia, Amy (Search) turut memeriahkan konsert tersebut.

Rossa Terus Pakai Tudung Sehingga Akhir Disember

JAKARTA: Penyanyi Rossa yang berazam untuk menutup aurat dengan memakai tudung selama 40 hari selepas pulang daripada mengerjakan ibadah haji berhasrat memanjangkan lagi niatnya itu. Portal inilah.com melaporkan, Rossa yang selesai menunaikan haji pada 2 November lalu dan tempoh ‘niatnya’ itu tamat pada Selasa mahu memanjangkan azamnya sehingga akhir Disember ini. “Hari ini (Selasa) sudah cukup 40 hari. Sampai Disember ini (memakai tudung) Insya-Allah,” katanya pada pelancaran albumnya 'Masterpiece', di Jakarta Selatan, di sini pada Selasa. Bagaimanapun kata Rossa, disebabkan kontrak yang sudah ditandatangani sebelum ini membuatkan dia terpaksa membuka tudung bagi persembahan tertentu. Tambahnya, selain bertudung, penampilan ketara lain yang dapat dilihat ialah daripada segi corak berpakaian.

Rossa idamkan Anuar Zain

WANITA genit dan lincah ini begitu istimewa di Malaysia. Biarpun sudah menjangkau usia 34 tahun, namun Rossa mudah mencuri tumpuan dengan gaya keanak-anakan dan sifat ramah-tamah yang tidak dibuat-buat. Ternyata ada sesuatu yang istimewa di sini apabila dia bukan sahaja menampilkan dua lagu ekstra menerusi album kompilasi, The Best Of Rossa khas buat pasaran di sini, bahkan tidak menolak untuk menjadi suri hati peminatnya di Malaysia. Menerusi album yang baru dilancarkan di sini pada minggu lalu, Rossa menampilkan himpunan lagu-lagu popularnya termasuklah Ayat-Ayat Cinta, Pudar, Tegar, Atas Nama Cinta, Terlanjur Cinta dan Ku Menunggu. Lebih istimewa apabila dia menampilkan tiga buah lagu baharu untuk pasaran di negara asalnya, Indonesia iaitu Aku Bersahaja (duet Taufik Batisah), Jangan Ada Dusta Antara Kita (duet Broery Marantika) dan Tak Sanggup Lagi serta tambahan lagu Ku Pinang Kau Dengan Bismillah (duet Pasha Ungu) dan One Night Lover (duet Joe Flizzow) khas buat peminat Malaysia sahaja. Tidak sah kalau bertemu wanita ini jika tidak bercerita soal teman hati. Dalam tempoh kebelakangan ini, nama seorang jejaka muda dari Malaysia, Faris sering dikaitkan dengan dirinya. Namun si empunya diri dengan tegas di samping nada gurauan menafikan dakwaan itu. "Faris bukan pacar saya. Saya kenal dia pun ketika sambutan hari lahir mamanya pada suatu ketika dahulu sahaja. Sejurus itu kami rapat sebagai kawan. "Memang saya dekat dengan dia dan sering makan bersama keluarganya, tatapi saya kini tidak berpacaran dengan sesiapa," katanya ketika ditemui di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada Khamis lalu. Rossa yang merupakan ibu kepada Rizky Langit Ramadan, 6, menambah, dia kini sedang didekati oleh beberapa orang lelaki, tetapi tiada perancangan untuk mengikat kasih. "Ada beberapa orang yang dekat dengan saya, tetapi untuk hubungan yang serius masih belum ada rencana," ujar Rossa yang tidak menolak jika jodohnya adalah orang Malaysia kerana pernah berpacaran dengan seorang jejaka di sini pada suatu ketika dahulu. Dia seolah-olah sudah kalis apabila ditebak dengan soalan klise berkaitan hubungan rapatnya dengan mana-mana lelaki. Namun, empunya diri bijak mengawal situasi agar tidak pantas melenting bahkan bijak berdiplomasi menangkis segala dakwaan. Tidak hanya dikaitkan dengan jejaka Malaysia, kini timbul juga cerita mengenai hubungan istimewanya dengan seorang ahli perniagaan di Indonesia. Namun, Rossa tetap bijak menafikan teka-teki itu tanpa mengguris hati sesiapa. Dalam berteka-teki soal hero di hatinya, nama penyanyi Anuar Zain tetap melekap di hati janda kepada anggota kumpulan Padi, Yoyo itu. Jelas Rossa dia mengidam untuk berduet dengan Anuar menerusi sebuah lagu istimewa. "Selepas berduet dengan Joe Flizzow, saya menanti waktu untuk berduet pula dengan Anuar. Sudah lama sebenarnya teringin tetapi ada sahaja halangannya. "Saya memilihnya bukan kerana nama besar semata-mata tetapi melihat potensi yang ada untuk lagu itu berjaya nanti. Untuk lagunya, pastinya saya akan memilih naskhah masyarakat yang orang kebanyakan suka," katanya yang turut memasang impian untuk berduet dengan Datuk Sheila Majid. Dalam tempoh setahun diedarkan di Indonesia, kira-kira 1.5 juta unit CD berjaya dijual sekali gus menjadikan album itu sebagai melodi yang paling tinggi dalam pasaran semasa di Indonesia. "Mujurlah strategi pemasaran di rangkaian restoran (makanan segera) KFC ini berjaya. Saya selalu juga singgah di beberapa buah restoran untuk bertemu peminat dan mendapat maklum balas daripada kakitangannya," kata Rossa yang berada di Kuala Lumpur selama empat hari. Dalam perkembangan lain, Rossa dijadualkan berangkat ke tanah suci Mekah pada 12 Oktober ini untuk menunaikan fardu haji setelah tiga kali mengerjakan umrah. Selain sibuk menguruskan 18 buah cawangan pusat karaoke, Diva Family Karaoke di Indonesia yang dimilikinya, Rossa juga kini sedang berjinak-jinak dengan dunia perniagaan hartanah.

Dia bukan suami orang! - Rossa

TIGA tahun selepas menoktahkan pelayaran bahtera perkahwinan dengan anggota kumpulan Padi, Yoyo, figura popular Indonesia yang turut disenangi auranya di Malaysia, Rossa, kini kembali membuka serelung ruang di hatinya untuk menerima cinta daripada seorang usahawan yang enggan didedahkan namanya. Dedah Rossa, 33, lelaki yang berusia sekitar 30-an itu dirasakan sangai bersesuaian dengan dirinya dan dia malah pernah membawa usahawan itu bertemu dengan keluarganya beberapa kali sebelum ini. "Memang sekarang sudah ada seseorang yang sedang saya kenali hatinya tetapi saya tidak pernah beritahu siapa dia. Dia lebih tua daripada saya dan yang penting bukan suami orang. Tempoh perkenalan kami saya sifatkan dalam erti kata cukup saling mengenali, dia secocok dengan saya dan kami ada persefahaman," luahnya yang masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga buat masa sekarang. Rossa yang ditemui ketika majlis pelancaran album terbaharunya The Best Of Rossa di The Venue Pavilion petang Khamis lalu menegaskan pendedahan tentang perkembangan terbaharu kisah peribadinya itu dibuat bagi menjawab tanda tanya yang timbul ekoran laporan sebuah portal Malaysia yang menyatakan Rossa pernah membawa kekasihnya untuk berjumpa dengan keluarganya. Sehubungan itu, tambah Rossa lagi tindakannya menemukan individu yang didakwa kekasih itu bukan bertujuan menjalinkan hubungan lebih serius apatah lagi dia langsung tidak terfikir untuk berkahwin sekali lagi dalam masa terdekat ini. "Kalau saya ada membawa beberapa teman (lelaki) ke rumah untuk bertemu dengan orang tua saya bukan bermaksud apa-apa atau kerana dia istimewa, bukan sama sekali. Kadang-kadang bapa saya juga ada bertanyakan yang mana satu pacar saya. "Bukan istimewa kalau bawa berjumpa keluarga. Kalau benar hubungan itu serius maka saya akan uar-uarkan. Buat masa sekarang saya free (tidak terikat), single (solo) dan seksi!" ujarnya berseloroh. Projek hartanah Dalam pada itu, Rossa juga kini sedang berjinak-jinak menceburi bidang pelaburan projek hartanah di Indonesia dan ujarnya dia turut mendapat galakan daripada teman lelakinya itu untuk serius berkecimpung dalam bidang tersebut. "Projek itu baru berjalan dan Insya-Allah saya semakin serius mengusahakan projek kondotel itu. Selain itu bisnes Diva Family Karaoke juga semakin pesat berkembang dan kini sudah ada 18 cawangan seluruh Indonesia. Istimewanya kerana pusat karaoke itu didekorasi khas untuk golongan wanita," tambah ibu kepada seorang cahaya mata berusia enam tahun, Rizky Langit Ramadan. Dalam perkembangan lain, Rossa akan mengerjakan ibadah haji pada 12 Oktober ini bersama sekumpulan jemaah menerusi sebuah agensi haji dan umrah di Indonesia. Kata Rossa, dia telah merancang untuk mengerjakan ibadat rukun Islam itu sejak tahun lalu dan bersyukur kali ini diberikan peluang dan kesempatan. Dia bagaimanapun menegaskan akan terus aktif dalam bidang nyanyian sepulangnya dari Tanah Suci Mekah kelak namun dari segi berpakaian dia akan lebih menjaga adabnya untuk tidak terlalu seksi berbanding sebelum ini. "Saya akan ubah cara berpakaian untuk tidak terlalu terbuka dan akan lebih sopan selepas ini. Doakan saya beroleh hidayah ketika mengerjakan haji nanti dan mendapat haji yang mabrur," jelasnya. Sedikit info mengenai album terbaharunya yang sudah mula dipasarkan sejak bulan Mac lalu dan sudah 1.5 juta naskhah terjual di Indonesia setakat ini. Album itu kata Rossa istimewa kerana menghimpunkan semua lagu hits dirinya sepanjang bergelar penyanyi termasuk lima buah lagu baharu. Antara lagu yang dimuatkan seperti Pudar, Aku Bukan Untukmu, Ayat-Ayat Cinta, Hati Yang Kau Sakiti, Tegar, Kini, Atas Nama Cinta dan Ku Menunggu. Lima lagu baharu yang dimaksudkan Ku Pinang Kau Dengan Bismillah (duet Pasha Ungu), Aku Bersahaja (duet Taufik Batisah), One Night Lover (duet Joe Flizzow), Jangan Ada Dusta Antara Kita (duet Broery Marantika) serta Tak Sanggup Lagi.

Rossa Tunaikan Haji 12 Oktober Depan

KUALA LUMPUR: Penyanyi dari Indonesia, Rossa bakal menunaikan ibadah haji di Mekah bermula 12 Oktober depan. Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 34, berkata, perancangan tersebut sudah dilakukan sejak tahun lalu dan dia merasakan tahun ini adalah waktu yang sesuai untuk mengerjakan rukun Islam kelima tersebut. "Saya akan menunaikan haji seorang diri. Saya mula terfikir mengenai hasrat ini sejak tahun lalu kerana sudah tiga kali saya mengerjakan umrah sebelum ini. "Saya tidak mahu menunggu lama walaupun beberapa teman yang saya pelawa untuk sama-sama ke sana belum bersedia. "Memandangkan saya berkemampuan dan sihat, mengapa perlu saya bertangguh lagi? Saya bimbang tidak sempat pula jika umur tidak panjang," katanya. Rossa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album kompilasinya, The Best of Rossa di pusat beli-belah Pavilion di sini, petang Khamis. Rossa berkata, dia bakal bercuti daripada aktiviti seni sehingga penghujung Oktober depan bagi memberikan tumpuan pada ibadah berkenaan. "Persiapan ke arah itu (haji) sedang berjalan. Saya menghadiri kursus haji bagi menambahkan ilmu dan rukun-rukun yang berkaitan dengan ibadah itu. "Insya-Allah, saya akan sambung semula kerjaya seni pada awal November depan," katanya yang akan lebih tertib dalam penampilan selepas bergelar Hajah kelak. Mengenai laporan media di Indonesia yang mendakwa dia sudah membawa teman lelaki bertemu keluarga, Rossa berkata, semua lelaki yang dikenalinya akan berbuat demikian dan perkara itu bukanlah sesuatu yang pelik. "Saya bawa semua teman saya berjumpa ibu bapa dan keluarga selama ini, tidak kira yang istimewa atau tidak? Jadi perkara itu adalah sesuatu yang biasa. "Memang saya berkawan dengan seseorang sekarang tetapi masih terlalu awal untuk saya mengesahkan dia calon istimewa. Rasanya, saya tidak perlu terburu-buru untuk berkahwin," katanya. Ibu tunggal kepada Rizky Langit Ramadan yang berusia lima tahun ini bercerai dengan anggota kumpulan Padi iaitu Yoyo pada 14 Julai 2009 selepas lima tahun berkahwin. Dalam pada itu, album kompilasi edaran Suria Records yang memuatkan 16 lagu popular antaranya Pudar, Ayat-ayat Cinta, Tegar, Atas Nama Cinta dan Hati Yang Kau Sakiti kini sudah pun berada di pasaran.

Rossa Bawa Kekasih Temui Anak, Keluarga

PENYANYI terkenal Indonesia iaitu Rossa mengakui telah membawa kekasihnya berjumpa dengan keluarga dan anaknya bagi merapatkan hubungan. Rossa berkata dia bersyukur apabila keluarga dan anak lelakinya, Rizky Langit Ramadan menerima kehadiran lelaki tersebut dalam hidup mereka. "Semuanya berjalan dengan baik dan hubungan itu lebih penting mendapat restu daripada keluarga. Alhamdulillahlah mereka menerimanya dengan hati terbuka," ujarnya seperti dipetik portal kapanlagi.com. Bagaimanapun Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani enggan mendedahkan identiti lelaki yang berjaya memikat hatinya itu kepada umum. "Belum masanya untuk dia dikenali oleh masyarakat tambahan pula hubungan kami masih baru pada peringat mengenal hati budi masing-masing," ulasnya. Dalam pada itu, Rossa berkata, dia tidak menolak kemungkinan akan berkahwin dengan kekasihnya itu jika jodohnya telah ditetapkan dengannya. Rossa memberitahu, dia bagaimanapun belum terfikir ke arah itu dan mahu memperkukuhkan ikatan kasih antara mereka terlebih dahulu. "Saya tidak menolak akan berkahwin lagi suatu hari nanti tetapi biarlah kami berkenalan dengan lebih rapat sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin," ujarnya. Rossa sebelum ini pernah berkahwin dengan anggota kumpulan Padi iaitu Yoyo pada 2004 sebelum bercerai pada 2009.

Rossa tiru Katy Perry


JAKARTA pernah kecoh dengan isu kumpulan Trio Macan yang dikatakan memplagiat lagu Iwak Peyek yang sebelum itu pernah dinyanyikan oleh Arek Band. Bagaimanapun, plagiat di sana tidak hanya dikenal pasti berlaku dalam penciptaan lagu.

Masih dalam dunia muzik, portal hiburan KapanLagi.com menyiarkan sebuah artikel tentang isu plagiat fesyen pula. Terkini, baju berwarna merah jambu yang dipakai oleh Rossa dalam satu konsert yang berlangsung, Rabu lalu di Gandaria City, Jakarta dikatakan telah ditiru daripada fesyen baju yang pernah disarungkan oleh penyanyi antarabangsa, Katy Perry dalam acara pertunjukan fesyen Victoria Secret, pada November 2010.

Fesyen baju kedua-dua penyanyi hampir sama kecuali pada warna. Selain itu, baju yang dipakai oleh Katy tanpa menggunakan penutup dada, sedangkan Rossa tampak mengenakan sedikit lace hitam yang bahagian atas payu daranya.

Tidak mampu tutup mulut orang - Rossa


SELAMA hampir tiga tahun, Rossa memegang gelaran Lady J atau dalam bahasa mudahnya janda. Tidak pernah habis cerita yang kurang enak mendampinginya.

Melihatkan statusnya sebagai penyanyi yang memiliki pakej lengkap - cantik dan berharta, maka tidak hairanlah dia sering menjadi mangsa gosip.

Sehinggakan Rossa sendiri bingung akan kebenaran di sebalik setiap gosip yang mengaitkan dirinya.

Namun, sebagai penyanyi yang sudah lebih sedekad berkecimpung dalam dunia seni, Rossa menganggapnya sebagai asam garam yang perlu ditempuhi.

Namun, kata Rossa, dia tidak kisah kalau gosip itu hanya sekadar untuk hiburan dan usikan manja untuknya tetapi dia sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan cerita palsu dan dusta.

Barangkali ada yang tidak tahu, sebelum ini Rossa pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa dengan seorang menteri dari Malaysia sehinggakan Rossa mula dipandang serong oleh golongan atasan.

"Menjadi seorang artis, memang tidak dapat elak daripada menjadi mainan gosip. Saya sendiri pun tidak pernah mengambil serius akan gosip yang keluar tentang diri saya kerana menganggap ia hanyalah sekadar usikan.

"Tetapi jika cerita yang keluar itu adalah berbaur fitnah dan mampu menjejaskan reputasi, saya tidak akan mendiamkan diri. Sudah pasti saya akan bersuara dan menegakkan keadilan serta kebenarannya," jelas Rossa sambil merujuk kepada gosip liar yang pernah mengaitkannya dengan menteri yang disifatkannya tidak lebih daripada seorang teman baik.

Pemilik nama lengkap Sri Rossa Roslaina Handiyani itu ditemui pada satu pertemuan singkat di Restoran Pegaga, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

Rossa pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain drum kumpulan Padi, Surendro Prasetyo atau Yoyo pada tahun 2004.

Namun, perkahwinan mereka tidak kekal lama apabila pasangan itu bercerai pada tahun 2009. Hasil hubungan mereka dikurniakan dengan seorang anak lelaki, Rizky Langit Ramadhan yang kini sudah berusia lima tahun.

Bukan mudah sebenarnya menjadi orang ternama seperti Rossa kerana gerak-geri dan tingkah-laku diperhatikan ramai.

Sehinggakan di Indonesia, ramai yang menyangka Rossa sudah bernikah dalam diam gara-gara gambarnya memakai kebaya dengan solekan menawan dimuat naik di laman sosial.

"Walhal ketika itu, saya berpakaian sebegitu kerana berada di perkahwinan adik saya di Sumedang, Jawa Barat. Tidak sangka heboh cerita yang mengatakan saya sudah bernikah.

"Agaknya selagi saya belum berkahwin, selagi itulah saya akan sentiasa menjadi buruan gosip. Memang tidak bisa mahu menutup mulut orang daripada berkata-kata," jelasnya dalam derai tawa yang berpanjangan.

Penangan

Hebatnya penangan wanita berusia 33 tahun itu sehinggakan gosip yang membabitkan dirinya bukan hanya melibatkan pria di negara kelahirannya.

Rossa juga pernah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan Indonesia setahun selepas perceraiannya, namun, ia tidak kekal lama.

Bukan itu sahaja, Rossa juga pernah dikaitkan dengan beberapa orang individu di negara ini di mana salah seorang adalah orang kuat stesen televisyen swasta yang cukup popular.

Namun, kata Rossa, cerita itu juga tidak benar dan hubungannya dengan orang kuat itu juga hanyalah sebagai teman industri.

Terbaru, Rossa dikhabarkan sedang menjalinkan hubungan dengan seorang anak hartawan yang dikenali sebagai Fariz.

Gelagat dan bahasa tubuh Rossa dan Fariz sewaktu di Restoran Pegaga pada pertemuan itu bagaikan memberi isyarat kepada pihak media bahawa kedua-duanya sedang melewati musim bahagia kini.

Sesekali mereka bercanda dan berpelukan tanpa selindung walaupun sedang diperhatikan oleh teman media ketika itu.

Baik Rossa mahupun Fariz, masing-masing memberikan jawapan selamat sambil menyatakan hubungan mereka tidak lebih daripada seorang teman.

"Ada kalanya, keramahan saya di salah erti oleh sesetengah pihak. Saya orangnya mudah didekati dan saya juga mudah mendekati sesiapa. Fariz misalnya, dia adalah teman rapat memandangkan saya bersahabat dengan ibu dan bapanya iaitu Datuk Ramli Kalam dan Datin Normila Sulaiman.

"Saya selesa menjalani kehidupan saya hari ini. Bohong kalau saya kata tiada siapa yang cuba mendekati tetapi saya lebih selesa berkawan dengan sesiapa sahaja.

"Apa yang boleh saya katakan, ketika ini saya solo tetapi I'm not available," ulas Rossa sambil ketawa ketika ditanya tentang statusnya sekarang.

Tidak sangka menang

Mengalih bicara kepada kemenangannya pada Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) baru-baru ini, Rossa dengan penuh luhur memberitahu, dia tidak menyangka akan memenangi trofi AIM buat kali ketiga.

Terus mengungguli kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara, Rossa menyangkakan trofi itu akan menjadi milik Maher Zain yang dicalonkan bagi lagu Insha Allah.

"Apabila diberitahu tentang kemenangan itu, saya sendiri terkejut dan untuk itu, saya berterima kasih kepada pihak juri yang terus mempercayai karya dan bakat saya.

"Tiga kali memenangi trofi ini membuatkan saya mahu terus bekerja keras dan memastikan lagu-lagu saya diterima dengan baik oleh pencinta muzik di Malaysia," ujar Rossa yang memenangi kategori berkenaan menerusi lagu Ku Menunggu.

Tahun 2008 menyaksikan Rossa memenangi kategori tersebut untuk lagu Terlalu Cinta dan setahun selepas itu pula bagi lagu popularnya, Ayat-Ayat Cinta.

Rossa takut dibenci


APABILA penyanyi seberang, Rossa dikaitkan punya peminat istimewa dengan orang kenaman di Malaysia, banyak yang bertanya siapakah orang kenamaan yang dimaksudkan?

Kerabat diraja ke, bapak menteri ke atau tokoh korporat terulung yang menjadi penawar luka di hati Rossa?

Dan bukan saja peminat, malah penyanyi anak satu itu sendiri tidak mampu duduk diam.

Khabarnya seharian Rossa menangis bila gosip hubungan dengan kenamaan disiar dalam media Malaysia.

Gusar sungguh hatinya, mengenangkan salah tanggap orang terhadap hubungannya dengan teman-teman rapat di Malaysia.

“Aku itu paling takut kalau menjadi mangsa kebencian peminat wanita yang risau kalau-kalau aku bakal merampas suami mereka. Macam-macam boleh jadi kalau aku dianggap sebagai perampas suami orang, aku tak mahu.

“Justeru, jangan disalah mengerti. Segala persahabatanku dengan sesiapa saja di Malaysia adalah kerana ikhlas atas nama kasih sayang sahabat dan teman. Tidak ada yang berlebih,” katanya kepada seorang teman Joyah.

Hmm, mengenali Rossa memang dia ni baik dengan semua orang. Baik kerabat diraja, VIP mahupun orang biasa, memang mudah dekat dengan si genit ini.

Jumpa 10 minit, macam sudah kenal bertahun-tahun. Pendek kata gaya komunikasi Rossa memang mantap dan orang mudah mesra dengannya, mungkin sebab itu timbul macam-macam tanggapan dek sikap manja dan mesra Rossa.

Jadi, kalau ada yang salah erti, tolong betulkan tanggapan anda. Kasihani Rossa yang katanya datang ke Malaysia hanya mahu cari makan, bukan untuk mencari cinta.

Aduh, menyesalnya kahwin artis

Dalam dam-dam dum bunyi mercun, hati Joyah turut dam-dam dum. Berdebar sangat mendengar perkhabaran ini, sampai nak makan lemang pun terbantut sudah, potong selera.

Mana tidaknya, terasa baru sangat mereka bernikah tiba-tiba sudah ada masalah kedengaran dalam pernikahan seorang artis wanita dan VIP di sebuah negeri.

Khabarnya, VIP berkenan sudah mula ‘muak’ dengan kerenah isteri seksi lagi jelita yang banyak menghabiskan wang ringgit dengan tujuan bukan-bukan.

Sejak bernikah, permintaan artis memang diluar dugaan sama sekali. Seluruh gaya hidup berubah, semua benda mesti berjenama terkemuka dari atas sampai ke bawah.

Orang yang membayarnya, tentulah ‘terkebil-kebil’ macam cicak berak kapur bila melihat wang keluar macam air. Mahu taknya, kalau setiap bulan mahu beli beg tangan puluhan ribu, tauke emas pun boleh jual kedai cik abang oii.

Belum lagi sikap isterinya yang suka ‘menaja’ ahli keluarga kalau pergi melancong ke mana-mana. Joyah diberitahu ada-ada saja ahli keluarga akan menjadi ‘pak turut’ dalam acara melancong si VIP dan isteri.

Manalah orang tu tak geram, kalau setakat seorang tak apa, tetapi pernah diangkut satu keluarga.

Itulah pasal, kalau kahwin tanpa keikhlasan, akhirnya niat sebenar kita akan tertonjol juga.

Kepada VIP berkenaan, nasihat Joyah reda saja. Terimalah segala masalah domestik ini ya bila sudah kahwin dengan orang popular.

Alah, dulu pun tiada sesiapa yang memaksa dirimu bernikah dengan si artis, jadi sekarang masa untuk menerima saja baik dan buruk wanita yang dipuja-puja itu. Kata sayang!

Ketawa senjata Rossa


WANITA cantik ini suka ketawa. Bicaranya bersulam getar tawa dan membuatkan khalayak terasa dekat dengan dirinya. Kadangkala sebelum mula bicara, Rossa akan mendahuluinya dengan tawa.

Belum habis ayat percakapan, dia menutup mulut dengan jemarinya dan langsung tertawa. Dia selesa dalam bab itu.

“Kalau sedih biarlah saya seorang sahaja. Saya tidak suka mempamerkan kesedihan kepada umum.

“Saya lebih senang dilihat gembira,” jujurnya langsung ketawa. Rossa berkata, individu berhoroskop Libra sepertinya mungkin sentiasa riang.

Tawa Rossa itu bakal kembali lagi ke Malaysia, Jun ini. Malah, Malaysia bukan negara asing bagi penyanyi itu. Kerapkali Rossa menjadikan Malaysia tempat persinggahannya.


PENGGEMAR MELLY DAN ANTO HOED

Apabila melihat perjalanan kerjaya seorang Rossa, jelas nama Melly Goeslow dan Anto Hoed tidak pernah lekang daripada penyanyi ini. Dalam setiap album dan lagu Rossa pasti ada sentuhan pasangan suami isteri tersebut.

“Saya membesar dengan nyanyian dan karya mereka. Terus mereka menjadi sahabat baik saya. Saya sangat menggemari lagu-lagu tulisan Melly.

“Anto Hoed pula adalah penyusun muzik pilihan saya,” ujar Rossa yang suka mevariasikan lagu-lagu dalam albumnya.

PUSAT KARAOKE

Selain sibuk merangka fesyen dengan jenamanya sendiri, Rossa terlebih dahulu muncul dengan pusat karaoke yang dikenali Diva Family Karaoke. Pusat karaoke itu dibuka di Jakarta Pusat, Indonesia.

“Itu merupakan cawangan pertama saya. Dalam beberapa bulan lagi, saya akan membukanya di tempat lain pula. Sasaran saya ialah untuk membuka 15 cawangan Diva termasuk di Bandung, Bogor, Palembang, Manado dan mungkin Papua,” jelasya.

Rossa memilih tema ungu untuk menghiasi pusat karaokenya atas dasar warna tersebut digemari kedua-dua jantina lelaki dan wanita.

“Ada 40 buah bilik di Diva Family Karaoke. Kualiti peralatannya juga bagus. Siapa yang menyanyi di sana, suara mereka akan lebih sedap didengar,” ujarnya mempromosikan bisnes barunya yang memiliki tagline, ‘Mahu merasa menjadi diva? Nyanyilah di Diva Karaoke’.

KONSEP FILEM

Ujar wanita anggun berusia 33 tahun ini, dia gemarkan filem Nottting Hill lakonan Julia Roberts dan Hugh Grant. Filem itu turut menjadi inspirasi buat dirinya.

“Lagu-lagu runut bunyi filem tersebut sangat bagus dan saya amat menyukainya. Ia juga menjadi rujukan saya semasa menghasilkan album hit saya,” terang Rossa.

Selepas menonton filem tersebut, Rossa terinspirasi untuk menghasilkan fesyen jenama miliknya yang diberi nama Just A Girl.

“Saya obses dengan baju dan kasut serta gemar bergaya. Saya mahu menghasilkan jenama pada harga yang sangat berpatutan.

“Saya beruntung kerana mempunyai seorang sahabat lulusan universiti di Indonesia, kami sama-sama memberi idea untuk jenama saya itu,” ujar Rossa yang belum menentukan tarikh yang sesuai untuk melancarkan jenama pakaiannya itu.

CEREWET BAB LIRIK

Ketika ditanya tentang kecerewetan dirinya, Rossa mengaku dia menjadi selektif apabila masuk hal lirik. Ternyata dia mahu memberikan mesej menerusi lagu-lagu yang dinyanyikannya.

“Kalau masuk hal lirik, saya tahu apa yang disukai oleh para peminat Rossa. Saya mahu menyampaikan sesuatu yang mudah dicerna dan diterima pendengar.

“Saya gemar menyanyikan lirik yang terjadi kepada masyarakat. Apabila mereka mendengar, seperti terkena dengan kehidupan mereka.

“Boleh dikatakan saya menebak cita rasa pendengar,” ujar Rossa.

ALBUM DAN MALAM ROSSA

Pada akhir Mac lalu, penyanyi ini berkunjung ke Kuala Lumpur. Dia mempersembahkan album baru dengan tajuk Jalinan Nada dan Ceria.

Album yang memuatkan 14 buah lagu itu merupakan kompilasi lagu-lagu popularnya dan ada yang dijadikan runut bunyi dalam filem dan drama.

Turut menampilkan tiga halwa telinga baharu iaitu Memeluk Bulan, Jagad Khayalku dan Ku Menunggu, ini merupakan hadiah buat para peminatnya.

Pada bulan ini, Rossa muncul lagi. Kali ini atas urusan amal, Rossa akan hadir pada acara gala makan malam An Evening with Rossa. Ia akan berlangsung pada 9 dan 10 Jun ini.

Malam 9 Jun terbuka buat khalayak manakala 10 Jun merupakan persembahan khusus untuk undangan istimewa daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI).

Acara makan malam di Grand Ballroom, Tropicana Golf and Country Resort itu diciptakan dengan tema perpaduan, cinta dan keamanan melalui muzik.

Sudah tentu Rossa akan memperdengarkan lagu hit Ku Menunggu buat khalayak yang bakal dihidangkan dengan lapan jenis makanan istimewa. Buat pecinta Rossa, mereka boleh mengunjungi laman web www.splendid8.com untuk keterangan lanjut.

Eksklusif dan intim bersama Rossa


POPULARITI yang dikecapi oleh penyanyi yang cukup popular dengan lagu Ayat-Ayat Cinta ini memang cukup menakjubkan sehingga berjaya mengumpul berjuta-juta peminat di Malaysia.

Merasakan Kuala Lumpur bukan destinasi yang asing buat dirinya, Rossa akan terlibat dalam majlis gala amal pada 9 dan 10 Jun ini di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya.

Majlis makan malam yang dianjurkan oleh Splendid Entertainment membuka penyertaan kepada orang ramai hanya pada malam pertama. Manakala pada malam kedua pula, ia akan diadakan secara khusus undangan tetamu kehormat.

Mereka terdiri daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Bakti Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) serta tetamu kehormat yang lain.

Persembahan yang cukup istimewa itu akan diiringi oleh kumpulan iringan yang dibawakan khas dari Jakarta, Indonesia. Pada kedua-dua malam tersebut, Rossa akan mendendangkan hampir 20 buah lagu yang dipopularkan olehnya secara intim dengan penonton yang hadir.

Rossa juga cukup teruja untuk mendendangkan lagu Ku Menunggu yang juga merupakan lagu baru yang terdapat dalam album Harmoni, Jalinan, Nada dan Cerita yang baru sahaja dilancarkan di kedua-dua buah negara.

Atas dasar itu, sudah pasti Rossa akan memberikan yang terbaik sebagai tanda terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan sejak mula masuk ke sini.

Acara An Evening With Rossa ini adalah acara makan malam untuk semua menyelami erti perpaduan, rasa cinta dan keamanan melalui muzik yang merentasi sempadan dan masa.

Kepada pencinta Rossa, apa tunggu lagi. Dapatkan tiket-tiket eksklusif yang sudah habis ditempah separuh. Harga bermula daripada RM280 hingga RM800 untuk seorang.

Mereka juga boleh menempah satu meja yang memuatkan 10 orang dengan harga permulaan RM2,800 hingga RM8,000 mulai sekarang. Untuk pertanyaan lanjut boleh menghubungi 03-5623 8898/8938/8823. Layari juga www.splendid8.com untuk maklumat lanjut.

Rossa Tidak Lagi Berduka


KEHADIRAN si pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani atau nama komersialnya, Rossa sering kali mengundang rasa senang hati di kalangan media mahu pun orang di sekelilingnya.

Biarlah mempunyai 1001 masalah sekalipun, penyanyi dari negara seberang ini tetap mampu menguntumkan senyuman dan gelak ketawa menceriakan suasana.

Kata Rossa yang telah pun bercerai dengan pemain dram kumpulan Padi, Yoyo, pada Jun 2009, menjadi seorang ibu tunggal ibarat seperti menerima sebuah anugerah untuk dinikmati dan tidak perlu untuk disesalkan atau ditangisi.

“Kita perlu menikmati setiap perjalanan hidup yang dikurniakan Tuhan. Alhamdulillah, saya gembira kerana teman dan keluarga yang rapat sering berada di samping saya.

“Lagipun orang yang berbintang Libra memang suka gelak dan seorang yang happy go lucky, begitu juga dengan saya.

“Tetapi saya akui ada masa-masanya saya menangis juga kalau sedih. Tetapi perasaan itu hanya sekejap sahaja dan terus berubah kepada gelak ketawa lebih-lebih lagi apabila ada yang mengusik saya.

“Kebetulan pula, orang yang saya suka juga seorang berbintang Libra. Opps!” selorohnya menggambarkan kegembiraan di hati kerana mendapat pasangan baru selepas bercerai.

Ditanya adakah Rossa seorang yang percayakan pada horoskop, perkara itu hanya dianggap sebagai hiburan semata-mata.

Tuturnya sambil ketawa: “Saya hanya ambil informasi horoskop yang baik-baik sahaja. Mana yang buruk tentang Libra, saya tak endahkan.”

Cuba mengorek rahsia tentang orang yang disukainya seperti yang dinyatakan, penyanyi genit ini hanya tersenyum dengan membuat mimik wajah tersirat.

Tidak pula kedekut untuk berkongsi sedikit rahsianya, kata Rossa kekasihnya itu merupakan seorang yang baik dan pintar.

Dan pada masa yang sama juga lelaki itu banyak memberikan inspirasi dan nasihat kepadanya.

“Bagaimanapun, lelaki itu bukan daripada kalangan industri hiburan ya. Dia pun tidak suka dengan dunia glamor ini,” ujarnya.

Bercerita pula tentang perkembangan baru kariernya, Rossa baru sahaja muncul dengan album barunya berjudul Harmoni: Jalinan Nada & Cerita.

Album yang memuatkan 14 buah lagu itu merupakan lagu-lagu kompilasi yang pernah popular serta dijadikan runut bunyi dalam filem dan drama yang antaranya lagu Tegar, Ayat-Ayat Cinta dan Hey Ladies serta tiga lagu baru iaitu Memeluk Bulan, Jagad Khayalku dan Ku Menunggu.

Sengaja mengusik lagu manakah didedikasikan khas buat kekasihnya, kata Rossa: “Tidak ada pun. Lagipun, dia bukannya seseorang yang meminati muzik. Kalau tanya okey atau tidak lagu ini? Dia akan kata okey saja.”

Selain itu, Rossa juga mula menjinakkan diri dalam perniagaan bidang fesyen di mana dia kini mengeluarkan jenama pakaian sendiri iaitu Just A Girl.

“Nama jenama tersebut diinspirasikan daripada filem kegemaran saya iaitu Notting Hill.

“Memang dari dulu lagi saya sukakan fesyen dan peminat sering bertanya tentang baju-baju yang dipakai setiap kali keluar berjalan atau membuat persembahan.“Bagaimanapun, ia akan dijual dengan harga berpatutan dan orang biasa juga mampu membelinya.

“Setakat ini saya masih lagi mengumpul baju-baju yang direka untuk dijual. Mana tidaknya. setiap kali ada stok baru, rakan-rakan saya sudah membelinya dahulu.

“Mungkin saya akan menjual menerusi laman web dan membuka sebuah butik,” katanya.

10 SOALAN MENARIK BUAT ROSSA

1. Minat lelaki Eropah, Asia atau Asia Barat?

Asia. Saya pun tak tahu kenapa. Tapi memang saya suka orang Asia.

2. Suka bunga Ros, Orkid atau Lily?

Sudah tentunya Ros. Sesuai dengan nama saya.

3. Banglo atau Apartmen?

Saya pilih rumah banglo kerana ia lebih selesa.

4. Durian, epal atau anggur?

Durian! hahaha! Saya gilakan durian dan saya mahukan penkek durian sekarang!

5. Diet atau pergi ke gimnasium?

Diet. Sebab ia lebih mudah. Saya sanggup tahan lapar. Hahaha! Hmmm...Sebenarnya saya tak boleh nak diet kerana saya suka makan walaupun ketika itu sudah pukul 1 pagi. Tapi kalau minta memilih, saya akan pilih diet. Sebenarnya, dua-dua perkara itu tak pernah berjaya saya lakukan.

6. Bercuti di negara sendiri atau luar negara?

Bergantung pada keadaan, bajet dan dengan siapa saya pergi bercuti.

7. Selipar, kasut tinggi atau loafer?

Mestilah kasut tinggi kerana ia menampakkan kita lebih cantik.

8. Pilih satu. Datuk Siti Nurhaliza atau Kris Dayanti?

Hahahaha! Saya tak mahu pilih! Dua-dua kawan baik saya.

9. Bola sepak atau badminton?

Saya suka bola sepak. Ramai pemainnya kacak! Saya minat pemain Indonesia Irfan Bachdin dan pemain-pemain Filina kerana semuanya kacak!

10. Sering makan jamu atau makanan sampingan?

Saya jarang makan jamu. Justeru itu saya pilih makanan sampingan.

Rossa Sedih Lihat Bekas Suami Di Lokap


KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Rossa (gambar) berasa sedih apabila melihat keadaan bekas suaminya, Yoyo, yang ditahan di lokap, Gedung Badan Narkotika Nasional (BNN) di Jakarta Timur, ketika membuat lawatan pertamanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Ayat-Ayat Cinta itu, Yoyo yang merupakan pemain dram kumpulan Padi, kelihatan tenang pada pertemuan itu. "Berdasarkan apa yang saya lihat, keadaannya lebih baik berbanding sebelum ini.

"Bagaimanapun, saya berasa sedih bila melihat dirinya ditahan. Saya percaya dia melaluinya dengan penuh kesabaran dan juga telah menemui hikmah di sebalik kejadian yang berlaku.

"Saya berharap agar dia dapat ke pusat pemulihan dadah secepat mungkin supaya sembuh dan bersih daripada dadah," katanya yang ditemui pada sesi fotografi khas yang diadakan bersama media di Hotel Concorde, di sini, Isnin.

Tambah Rossa, sehingga kini, anaknya, Rizky Langit Ramadhan, 5, masih tidak tahu perihal yang berlaku terhadap bapanya kerana dia terlalu kecil untuk memahami situasi yang telah berlaku.

Yoyo ditangkap pada 27 Februari lalu di Apartemen Sudirman Park, Jakarta, kerana memiliki dadah jenis Shabu

Rossa Jatuh Tangga Selepas Persembahan


JAKARTA: Penyanyi lagu Tegar, Rossa mengalami kejadian buruk apabila terjatuh dari tangga ketika turun dari pentas dalam sebuah majlis ulang tahun sebuah stesen televisyen di Jakarta Convention Center, Khamis.

Bagaimanapun, penyanyi genit itu memberitahu hanya mengalami kecederaan ringgan sahaja.

"Alhamdulillah, saya tidak apa-apa, cuma badan saja berasa sakit-sakit selepas terjatuh. Doakan sahaja ia tidak berlarutan sehingga menganggu kerja," katanya.

Rossa juga memberitahu kepada peminat-peminat melalui Twitternya bahawa dia hanya mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan badan.

"Saya sudah ke klinik dan sekarang saya sedang diurut, harap semuanya baik-baik sahaja," katanya.

Rossa bahagia tanpa suami


MELIHAT aksi si kecil molek ini yang sentiasa ceria buat kita terlupa yang rumah tangganya dengan pemain drum kumpulan Padi, Yoyo, hancur kira-kira empat bulan lalu.

Dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir mungilnya, Rossa. seolah-olah mahu memberitahu bahawa biarpun rumah tangga yang dibina atas dasar cinta telah runtuh, namun hidupnya tetap bahagia.

Bukan itu sahaja, malah riak wajahnya yang sungguh gembira membuatkan para wartawan yang hadir pada sidang medianya tertanya-tanya, adakah keceriaannya kerana kehadiran orang baru dalam hidupnya ataupun kembali menjalin cinta dengan dudanya.

Saat ditanya persoalan itu, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani menafikan kedua-duanya.

Ujarnya, dia belum menemui cinta yang baru bagi menggantikan Yoyo, apa lagi kembali bersama dengan dudanya itu.

Dengan tegas, Rossa menyatakan yang dia tidak akan kembali bersama dengan bekas suaminya itu kerana pintu hatinya sudah tertutup buat Yoyo.

"Memang saya tidak nafikan hal jodoh ini ditentukan oleh Tuhan namun hati saya memang tidak boleh menerima dia kembali dan saya sudah berhenti berharap.

"Namun, hubungan saya dan Yoyo masih baik. Dia merupakan seorang bapa yang bertanggung-jawab kepada anak kami.

"Walaupun saya mendapat hak penjagaan penuh terhadap anak kami, Rizky, Yoyo bebas berjumpa dengannya bila-bila masa.

"Rizky masih kecil dan tidak faham apa-apa tentang perpisahan kami. Mungkin dia berasa dia mempunyai dua rumah yang berbeza," ujarnya disertai gelak-tawa ketika ditemui di sidang media promosi Enjoy Jakarta di Hotel Concorde, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rossa optimis

Hidup bersama sebagai pasangan suami isteri selama lima tahun ternyata membuatkan Rossa berasa sedikit sunyi apabila tiada lagi kehadiran seseorang yang bergelar suami di sisi.

Bagaimanapun, Rossa tetap optimis dengan kehidupannya dan sentiasa menyibukkan diri dengan kariernya serta menumpukan sepenuh perhatian kepada anaknya.

Ibu kepada Muhammad Rizky Langit Ramadhan, tiga setengah tahun, ini juga menafikan gosip yang mengatakan dia kini menjalin cinta dengan vokalis kumpulan Ungu, Pasha.

Jelasnya, mereka hanya kawan dan mungkin kerana sering digandingkan bersama dalam show ada yang berasa mereka kelihatan secocok membuatkan gosip itu semakin menular.

Tambahnya, buat masa ini dia lebih selesa bersendirian dan fokus kepada karier, syarikat rakamannya serta tanggung-jawab baru sebagai jurucakap Enjoy Jakarta.

Tidak menolak jika menemui jodohnya suatu hari nanti, Rossa menetapkan yang dia menginginkan lelaki yang dapat menyayangi anaknya.

"Mestilah saya mahu yang lebih baik dari sebelum ini, mempunyai didikan agama yang elok, sayangkan Rizky dan semestinya sayang dengan saya," ujar Rossa.

Simpati dengan KD

Seorang demi seorang artis di negara seberang bercerai dan yang paling terbaru diva terkenal, Kris dayanti (KD) yang juga merupakan rakan Rossa, berpisah dengan Anang Hermansyah setelah 13 tahun hidup bersama.

Menurut Rossa, dia begitu sedih dan bersimpati dengan apa yang terjadi terhadap rakannya itu.

Dia yang baru sahaja berjumpa dengan KD pada 10 Oktober lalu kerana menghadiri majlis hari jadi ibu KD menasihatkan rakannya agar terus tabah.

"Saya sedih apa yang berlaku dengan KD kerana saya tahu sakitnya perpisahan itu.

"Nasihat saya agar KD teruskan hidup dengan lebih tabah kerana perjalanan hidup kita masih panjang.

"Saya yakin KD seorang wanita yang kuat dan semoga kehidupan kami akan menjadi lebih baik selepas ini," simpati Rossa.

'Duta' Jakarta

Langkah Rossa kini kian rancak apabila dia turut dilamar oleh Jakarta City Government Tourism & Culture Office (JTCO) menjadi duta mempromosikan Jakarta menerusi kempen Enjoy Jakarta di Malaysia.

Walaupun Rossa bukanlah anak jati Jakarta, namun ujar wanita kelahiran Sumedang, Jawa Barat, Indonesia ini, impiannya banyak dimakbulkan di Jakarta.

Atas sebab itulah dia menerima tawaran JTCO itu sebagai membalas jasa kota Jakarta kepadanya selama ini.

"Saya terharu kerana diberi kepercayaan dan tanggungjawab yang besar sebagai duta Enjoy Jakarta walaupun saya bukan berasal dari Jakarta.

"Inilah masa untuk saya membalas jasa dan saya akan lakukan yang terbaik sebagai duta Enjoy Jakarta ini.

"Saya tidak berasa beban dengan status ini kerana saya melakukan apa yang saya suka, bercerita tentang keindahan Jakarta dan saya memang sangat cintakan Jakarta," ujarnya.

Tambahnya, sejak dipilih menjadi duta Enjoy Jakarta tiga bulan lalu, dia mempelajari banyak tentang keindahan kota itu yang sebelum ini tidak berkesempatan diterokai.

Ujarnya, Jakarta mempunyai banyak tempat yang menarik untuk membeli-belah, menyelam, kawasan sejarah, kehidupan malam, spa, golf dan lain-lain.

"Contohnya Pulau Seribu. Di sana ada padang golf yang besar dan murah yang pasti menjanjikan kepuasan kepada peminat golf.

"Bagi wanita yang suka membeli-belah seperti saya, Jakarta boleh dikatakan seperti syurga kerana variasi barangnya.

"Kanak-kanak juga dapat bergembira dengan taman tema di Jakarta yang setanding dengan taman tema terkenal yang lain," ujar Rossa rancak.

Menerusi kempen ini, JTCO bersama dengan Explorer Tourism Network (ETN) turut menganjurkan peraduan Fly With Rossa To Jakarta.

Pemenang yang bertuah memenangi dua tiket penerbangan pergi balik bagi kelas bisnes KLM Royal Dutch Airlines dengan ditemani oleh Rossa untuk bercuti bersama penyanyi itu di Jakarta selama tiga hari dua malam.

Aniza Abd Razak yang memenangi peraduan itu turut memenangi penginapan tiga hari dua malam di hotel bertaraf lima bintang, baucer beli-belah bernilai USD300 (RM1000) dan jemputan menyaksikan showcase Enjoy Jakarta Evening oleh Rossa di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya mengenai kekeruhan antara Malaysia dan Indonesia akibat beberapa insiden pada tahun ini, Rossa berharap semuanya kembali pulih.

Ujarnya, keadaan tidaklah seburuk seperti yang digembar-gemburkan oleh media dan Jakarta sememangnya masih aman- damai.

"Saya agak sedih dengan keadaan ini kerana saya sendiri mempunyai ramai kawan di Malaysia.

"Tetapi saya yakin, kedua-dua negara telah mengambil inisiatif memulihkan keadaan dan kembali berdamai kerana kita adalah satu rumpun.

"Dan saya juga perlu memainkan peranan untuk menunjukkan imej sebenar Jakarta dengan menjadi duta Enjoy Jakarta ini," tambahnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails