Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Rosyam Nor. Show all posts
Showing posts with label Rosyam Nor. Show all posts
Anak Disuruh Buka Tudung, Butik Hamleys Mohon Maaf Kepada Rosyam
Pihak pengurusan butik permainan kanak-kanak, Hamleys Malaysia telah mengambil tindakan disiplin terhadap salah seorang pekerjanya yang tidak membenarkan anak kepada penerbit dan pelakon Datuk Rosyam Nor memakai tudung sekiranya ingin bekerja dipremis berkenaan.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan butik berkenaan di Facebook pada Ahad, pekerja yang mengendalikan sesi temu duga itu tidak mempunyai kuasa untuk menemuduga atau mengambil pekerja selain memberikan maklumat tidak benar kepada Nur Lisa, 17.
"Setelah disiasat salah seorang pekerja kami yang baru dan tidak mempunyai kuasa untuk menemuduga atau mengambil pekerja telah memberi maklumat yang tidak betul kepada anak Datuk Rosyam.
"Tindakan disiplin telah pun diambil terhadap pekerja ini dan pihak kami berasa amat kesal dengan insiden ini dan berharap pihak Datuk Rosyam dan anaknya menerima permohonan maaf ini," kata kenyataan itu.
Terdahulu, Rosyam menerusi laman Twitter miliknta meluahkan rasa kecewa apabila sebuah butik Hamleys cawangan One utama di sini mengarahkan anak perempuannya membuka tudung sebagai syarat untuk ditawarkan bekerja di kedai alat permainan kanak-kanak itu.
Rosyam yang berang dengan syarat berkenaan menyifatkan permintaan itu sebagai biadap dan meminta pelanggan tidak lagi mengunjungi butik tersebut.
"Sedih, hari ini anak saya yang baru habis SPM pergi minta kerja untuk isi masa terluang tetapi dengan syarat kena bukak tudung. Kedai Hamleys kurang ajar!," tulisnya di Twitter.
Dalam pada itu, Hamleys dalam kenyataan sama memberitahu pihaknya tidak pernah meletakkan sebarang polisi yang tidak membenarkan pekerja wanita memakai tudung sebagai salah satu syarat untuk bekerja dengan syarikat tersebut.
"Hamleys tidak mempunyai sebarang polisi yang mana pekerja wanita tidak dibenarkan memakai hijab malah kami mengalu-alukan semua yang ingin bekerja untuk datang membuat permohonan kerja, tidak kira bangsa atau agama," jelas kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Rosyam yang dihubungi berkata, dia menerima dengan hati terbuka permohonan maaf tersebut dan berharap kejadian serupa tidak berulang dengan mana-mana premis lain.
"Sekiranya ada diskriminasi sebegitu bagaimana wanita Islam yang bertudung ingin mencari kerja? Tidak salah rasanya mengambil pekerja yang menutup aurat.
"Kelantangan saya mengenai perkara ini bukan ingin memburuk-burukkan sesiapa tetapi sebagai pengajaran agar ia tidak berulang di kemudian hari," katanya.
Rosyam Buat Eksperimen Pelakon Tua Jadi Hero
Pinjam McLaren hanya untuk drama - Rosyam Nor
Rosyam tak lupa asal usul
UMUM mengenali Rosyam Nor sebagai Remy sejak kemunculan pertamanya dalam filem Gila-Gila Remaja pada tahun 1986. Asalnya lakonan itu sekadar main-main. Hadirnya pun belum benar-benar menangkap mata dan rasa.
Namun itu adalah sebuah langkah bayi untuk ke arah sebuah kejayaan. Tapak mula ke arah sebuah penjenamaan dirinya yang dilihat gah kini.
Setelah 26 tahun, Rosyam Nor, 45, kini menikmati waktu kreativiti dan penghasilan dalam hidupnya.
Dia bukan hanya muncul sebagai seorang aktor Malaysia tetapi jauh daripada itu. Dia tampil sebagai seorang pelakon yang menjadikan namanya satu jenama dalam industri hiburan tanah air.
Lelaki berasal dari Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur itu hanya mampu mengangguk tanda setuju bahawa selebriti perlu ada sebuah penjenamaan.
Rayu ruang, peluang
“Jujurnya seawal tahun 1997 saya sudah meletakkan satu visi iaitu diri dan nama sendiri perlu ada penjenamaan. Bagi saya seseorang itu selepas tumbuh sebagai artis, dia perlu dikilatkan dan sinarnya perlu sampai. Kelibatnya perlu dirasai masyarakat penonton,” luah Rosyam Nor yang juga merupakan penaung Suhan Movies yang sudah bergerak selama 15 tahun.
Dia membuka cerita bahawa satu waktu dahulu, dia tidak malu untuk merayu serta menghadap sutradara popular untuk dibekalkan ruang dan peluang. Itu juga langkah dan strategi seorang Rosyam.
“Saya pernah mohon berlakon kepada Datuk Yusof Haslam. Saya mendekati dan bergaul dengan individu yang dapat memberi impak. Awie, Erra Fazira, Ziana Zain saya mohon sewaktu diberi peluang muncul dalam filem Maria Mariana 2. Saya tumpang populariti mereka dan saya pastikan penonton tidak lupakan Rosyam Nor waktu keluar menonton filem tersebut,” sungguh-sungguh Rosyam bercerita strategi penjenamaannya.
“Kemudian saya bertemu Bada dan Rashid Sibir yang memberi peluang kepada saya. Saya muncul dalam drama-drama Rashid Sibir dan filem perdananya, Laila Isabella. Saya tanpa segan memohon mereka untuk peluang itu,” jujur Rosyam bersuara.
Tahun ini dia berlakon pula bawah arahan anak Yusof. Pengarah muda Syamsul Yusof memberinya peluang muncul dalam filem KL Gangster 2. Membawakan watak Tailong, Rosyam mengharapkan magis dalam kemunculannya kali ini setelah melihat impak kepada filem terdahulu.
“Saya berterima kasih kepada Syamsul kerana memberi peluang saya muncul dalam filem yang besar. Saya berikan komitmen sepenuh hati dan harap Syamsul puas hati. Ini peluang saya untuk mengumpulkan para peminat baharu,” ungkap Rosyam yang merasakan Tailong ialah gangster yang kemas dan berperwatakan menarik.
“Jujurnya saya mengharapkan magis pada tahun 2013. Saya menanti sebuah fenomena pada diri dan kerjaya saya. Tahun depan saya ada tiga buah filem bakal ditayangkan iaitu KL Gangster 2, Balistik dan Laga,” ujarnya.
Tidak lupa juga dia muncul kali kedua membawakan watak Razif dalam drama popular Trilogi Cinta 2. Drama yang kini menemui para peminat semula selepas dua minggu tidak bersiaran.
Selang hari dan tahun bergelar selebriti, pelakon yang benar-benar merangkak mencipta jaya dari bawah ini tidak kalah diusik kontroversi. Terbaharu, kisah dia membezakan dua stesen televisyen sewaktu Anugerah Skrin 2012 berlangsung.
Dangkalnya jiwa yang menerima lalu menjatuhkan hukum kononnya Rosyam cetek ilmu agama. Hanya kerana dia menyebut “Nasib baik kita dekat TV3 boleh cuit-cuit, kalau TV Al-Hijrah cuit pun tak boleh.”
Elak watak tua
Rosyam enggan melanjutkan cerita. Cuma katanya dia mengungkapkan hal nyata yang berlaku di dua buah stesen televisyen. Banyak yang menangkap dalam konotasi negatif berbanding sebuah kebaikan.
Lalu penulis bertanyakan soal latah orang kita dalam sesebuah situasi. Baik latah seorang yang berstatus artis atau pemerhati tegar yang bergelar peminat. Dia menarik nafas sebelum menjawab.
“Kalau masyarakat, itu hak mereka kerana artis adalah hak mereka juga. Suka atau tidak, itu perlu diterima. Cuma saya perlu tekankan bahawa personaliti seseorang itu akan terserlah bila mereka melatah atau bersuara. Tahap mana akademik dan pemikiran mereka dapat dikesan dengan reaksi atau jawapan mereka,” senyumnya sinis.
“Berbalik kepada selebriti pula, jujurnya saya lihat media suka apabila artis itu melatah. Baru ada cerita. Ini salah satu cara artis itu buat nama, orang lebih kenal dan impak jadi lebih besar. Ada yang cari kesempatan atas situasi ini,” senyumnya lagi.
Dia tidak kesal atas situasi yang berlaku. Apa yang membuat dirinya kesal apabila diberi gelaran hero tua. Konflik di ASK bukan satu hal yang meninggalkan buah hitam dalam hatinya.
“Saya lebih kesal bila digelar hero tua kerana tiada istilah tersebut. Juga apabila orang mencari pengganti saya sedangkan saya masih hidup. Kalau diperhatikan, saya tidak pernah bawakan watak orang tua. Bukan menidakkan usia tetapi saya mengelak. Saya tidak mahu mulakan,” luahnya yang melihat fenomena aktor luar negara yang diberikan watak matang pada usia lebih 40-an dan bukan ditadahkan karakter orang tua.
Ingat pesan ibu
Satu hal yang dikongsi oleh aktor terkenal ini, dia tidak pernah merasakan dirinya popular apalagi glamor. Tidak pernah disematkan dalam sanubarinya bahawa dia adalah seorang selebriti dengan nama yang cukup besar dalam ladang seni.
“Saya sentiasa letakkan diri saya di bawah. Saya cari naskhah yang baik dan harap magis berlaku dengan perjalanan rezeki Allah. Saya tidak pernah letak Rosyam Nor itu besar. Ya, orang sekeliling yang mungkin membuatkan nama itu jadi besar. Saya tidak pernah lupa diri kerana nikmat itu adalah milik Allah.
“Mak juga pernah pesan supaya jangan pernah lupa asal usul. Dalam bergelar pelakon, saya belajar mendalami kehidupan manusia. Itu pelajaran buat saya. Dalam menjadi selebriti, saya belajar menjadi kuat dan perlu banyak bersyarat. Tidak semua orang sukakan kita,” senyumnya di akhir-akhir perbualan
Sebagai selebriti yang sudah menembus industri, Rosyam sedang menikmati karier. Frekuensi kemunculannya di televisyen dan filem tidak pernah berhenti sejak tahun 1995 hingga kini. Cuma untuk ruang kini, dia mengaku memerlukan istirehat. Penat katanya.
“Selama 26 tahun sibuk berlakon. Ada rasa penat sedikit. Kini masa bersama keluarga. Saya isi semula masa yang ada kini untuk bersama keluarga setelah satu masa lalu ia dicuri kerjaya lakonan. Penat tidak bermaksud berhenti. Cuma saya berehat untuk mengatur hidup. Mungkin orang jadi terlalu muak melihat wajah saya di televisyen atau filem. Biarkanlah mereka bertanya,” senyum bapa kepada lima orang anak ini.
Satu pernyataan lagi diberikan sebelum usai perbualan. Satu pernyataan tentang kehidupan Rosyam.
“Saya sudah berusia 45 tahun. Mati sudah semakin dekat,” ujarnya dalam tenang.
Rosyam Nor Berlakon Filem Cina
PETALING JAYA: Pelakon terkenal Rosyam Nor bakal beraksi dalam sebuah filem berbahasa Cina tempatan berjudul Once Upon A Time sebagai salah satu usaha untuk melebarkan sayap dalam bidang berkenaan khususnya industri seni bangsa itu.
Rosyam berkata, dia sentiasa berminat untuk berlakon dalam filem berbahasa Cina namun tidak pernah diberikan peluang sebelum ini.
"Apabila mendapat peluang untuk berlakon dalam filem berkenaan saya bersetuju kerana bukan sahaja memang teringin untuk berlakon dalam filem berbahasa Cina tetapi ia dapat mengembangkan kerjaya saya," katanya seperti dipetik portal www.redcarpet.net.my
Bakal diarahkan oleh Silver, filem tersebut turut menggandingkan Rosyam dengan aktor Cina popular iaitu Jack Lim.
Dalam pada itu, Rosyam berkata, tawaran untuknya berlakon dalam filem tersebut diperoleh semasa dia sedang merakamkan filem arahannya iaitu Balistik.
Bakal menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur pada September ini, Once Upon A Time dijadualkan ditayangkan pada tahun hadapan.
"Semasa melakukan penggambaran filem Balistik, Jack bertanya adakah saya mahu terlibat sama dalam filem tersebut dan saya bersetuju," katanya.
Sementara itu, Rosyam berkata, walaupun peranan yang diberikan tidak besar seperti watak lain tetapi kehadirannya bakal meninggalkan kesan kepada penonton.
"Saya tidak akan lakukan jika ia tidak meninggalkan kesan kepada penonton dan kerjaya saya sebagai pelakon," ujarnya.
Once Upon A Time adalah sebuah filem komedi mengisahkan sebuah kerajaan Cina yang diketuai oleh seorang raja yang lemah lakonan Jack Lim.
Kekecohan yang berlaku pada tampuk pemerintahannya telah menyebabkan mereka dihantar ke masa hadapan menerusi mesin merentas masa sehingga berlakunya pelbagai kisah menarik.
Satu bumbung bukan mudah - Rosyam Nor
HASRAT untuk mewujudkan satu persatuan sahaja bagi dianggotai oleh seluruh warga artis tempatan merupakan satu cadangan yang bagus.
Namun, ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan kerana untuk menubuhkan sesebuah persatuan itu, ia banyak 'politik'.
Begitulah pandangan peribadi penulis lirik yang tidak asing lagi, Habsah Hassan ketika diminta mengutarakan pendapatnya tentang cadangan mewajibkan semua artis termasuk komposer dan penulis lirik menjadi ahli kepada satu persatuan baru yang akan ditubuhkan kelak.
"Seperti yang saya katakan, ia satu idea yang bagus tetapi bukan mudah untuk dilaksanakan sebab banyak 'politik'.
"Lagipun, susah untuk mencari pemimpin yang tidak memikirkan tentang imbuhan sahaja, sebaliknya melakukan kerja secara ikhlas," katanya secara terus terang.
Habsah berkata, sesetengah persatuan yang ada hari ini berfungsi dengan baik.
Bagaimanapun katanya, masih ada persatuan yang bercakaran sesama sendiri kerana masing-masing dengan matlamat yang berbeza.
Justeru katanya, perlu direnung kembali, apakah fungsi persatuan kepada artis jika persatuan yang sepatutnya memudahkan artis bersatu tetapi gagal berbuat demikian.
"Kalau persatuan itu boleh memudahkan artis di Malaysia bersatu dengan satu agenda supaya suara mereka semua mudah didengari, maka idea penubuhan persatuan baru ini jangan ditolak.
"Malangnya, tiada siapa pun yang mahu berbuat sesuatu tentang masalah persatuan-persatuan yang kini tujuan dan kehendaknya tidak seiring.
"Itu yang menyebabkan ahlinya bertelagah dan mereka kurang yakin dengan persatuan tersebut. Jadi, ini yang menyebabkan mereka kurang aktif," katanya.
Rosyam Nor tolak cadangan
Sebagai ahli Seniman, aktor Rosyam Nor berkata, dia tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan persatuan baru.
Jelasnya, persatuan tidak diperlukan kerana persatuan yang sedia ada pun masih belum berfungsi dengan sepenuhnya.
"Saya rasa tidak perlu ada satu persatuan yang baru sedangkan persatuan yang ada hari ini pun tidak menarik untuk dianggotai oleh artis-artis baru.
"Pada pandangan saya, persatuan yang ada ini, buatlah kerja masing-masing dan mereka yang menjawat jawatan sebagai ahli jawatankuasa, jalankanlah kerja.
"Cari artis-artis baru untuk tambah keahlian dan itu lebih bagus daripada wujudkan satu lagi persatuan baru," cadang Rosyam.
Bawa perubahan - Zed
Walaupun menjawat jawatan sebagai ahli jawatan kuasa Seniman, Zed Zaidi mempunyai pendiriannya tersendiri dalam isu penubuhan persatuan baru.
"Kalau persatuan baru itu nanti boleh menjadi payung kepada semua artis, mengapa tidak ia diberikan sokongan?
"Apa yang kita tengok pada persatuan hari ini ialah ketidakseimbangan yang berlaku. Artis-artis senior sahaja yang menjadi ahli kepada satu-satu persatuan manakala artis baru atau muda, menjauhkan diri.
"Artis muda juga artis dan boleh masuk menjadi ahli tetapi kalau tidak ditekankan panduan kepada artis muda ini tentang hala tuju persatuan berkenaan, macam mana mahu menarik golongan itu berpersatuan?
"Maka itulah, jika persatuan-persatuan sedia ada boleh menerima cadangan dan teguran daripada golongan artis muda, mungkin kita tidak perlukan satu persatuan baru," katanya.
Lindung artis - Jehan
Jehan Miskin bersetuju jika seluruh warga kerja dalam industri hiburan bersatu di bawah satu bumbung.
Katanya, cadangan menubuhkan satu persatuan yang baru boleh diterimanya tetapi dengan syarat, persatuan berkenaan perlu jelas hala tuju .
"Lagi banyak persatuan yang wujud dalam industri, lagi banyak berlaku perpecahan di kalangan artis atau pengkarya seni.
"Elok jika semua bernaung di bawah satu persatuan sahaja tetapi matlamat, persatuan itu pula, mesti jelas dan telus," katanya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya kebajikan artis di Malaysia dibela dengan adil dan saksama, bukan pilih kasih.
Rosyam Nor Tolak Watak Picisan
“SAYA nak buktikan bahawa pelakon berumur macam saya masih lagi mampu menggalas watak utama.”
Demikian ungkapan pelakon yang diberi gelaran Hero Malaya ini, Rosyam Nor atau nama sebenarnya, Mohamed Noor Shamsuddin, saat membuka bicara mengenai hala tuju karier lakonannya.
Kata anak kelahiran Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur ini, seboleh-bolehnya dia enggan menerima watak ‘picisan’ hanya kerana faktor usia yang semakin meningkat. Kerana itu, pelakon yang mempunyai empat orang anak ini akan menjaga fizikal dan mentalnya supaya kekal muda, selain perlu mengasah lagi kualiti lakonannya.
“Saya beruntung kerana watak yang ditawarkan kepada saya tidak pernah menghampakan berbanding dengan rakan seusia saya yang jarang sekali menerima watak penting.
“Bagi saya, selain memiliki bakat lakonan, banyak perkara yang perlu dititikberatkan seperti kemahiran berkomunikasi dengan orang luar dan cara pemasaran produk ‘Rosyam Nor’ itu sendiri sangat penting.
“Alhamdulillahlah, dengan menjaga konsep tersebut, saya masih teguh berdiri,” ujar bintang filem Libas yang masih lagi ditayangkan di pawagam ini.
Ladang nangka
Bagaimanapun, kata Rosyam, walaupun dia masih lagi mampu bertahan dalam industri seni tempatan, dia tetap membuat perancangan masa depan dengan membuka beberapa perniagaan.
“Selain sibuk dengan perniagaan produksi saya iaitu Suhan Movies, serta menjadi duta kepada produk Power Root dan Zell-V, saya kini mula menjinakkan diri dalam bidang pertanian moden.
“Saya mengusahakan ladang nangka dan kini sudah setahun saya menceburi bidang ini. Agak menarik juga, kerana perniagaan ini tiada kaitan dengan dunia hiburan langsung. Bagi saya, jika kita terjumpa sesuatu yang boleh menguntungkan atau menjamin masa depan kita, apa salahnya kita ambil peluang itu.
“Malah, kerana perniagaan ini juga saya telah ditawarkan menjadi duta Farmac Tractor,” tuturnya.
Jaga penampilan
Bercerita mengenai penjagaan diri, kata Rosyam ia merupakan perkara yang sangat penting baginya.
Apatah lagi bergelar sebagai pelakon, Rosyam tidak lokek dalam kos pengeluaran wang untuk kecantikan wajah agar kekal awet muda.
“Untung bergelar seorang lelaki kerana tidak perlu menjaga wajah dan berat badan secara terperinci berbanding dengan perempuan.
“Justeru itu, saya mengambil pendekatan yang mudah. Kebiasaannya, saya amalkan bersenam, makan makanan yang berkhasiat serta menggunakan produk wajah yang sesuai.
“Tetapi ada lagi perkara lain yang perlu dijaga iaitu doa orang terhadap diri kita. Sebab itulah kita perlu berbuat baik kepada semua orang agar mereka mendoakan kita perkara yang baik-baik,” katanya.
Tambah Rosyam, dia juga sanggup menghabiskan wang membeli pakaian agar imejnya sentiasa tampak segak. Malah, untuk menampakkan kelainan, Rosyam juga mereka pakaiannya sendiri. Melihat karakter gila-gila pelakon ini, pasti ramai yang ingin tahu tentang personaliti sebenar di sebalik ‘lampu glamor’ yang sering ditunjukkannya.
Kata Rosyam, dia sebenarnya seorang yang pemalu jika dikelilingi dengan orang yang tidak dikenali.
“Diakui memang saya seorang yang sentiasa nampak ‘happy’ dan suka berlawak. Tetapi apabila bersendirian, terutamanya ketika hendak makan di tempat ramai orang, saya akan rasa malu dan tidak selesa.
“Terasa seperti semua orang sedang perhati dan mengutuk saya. Sama juga bila pergi ke majlis-majlis besar, saya akan pastikan berteman. Kalau tidak, mulalah rasa diri ini sangat kecil. Lebih-lebih lagi apabila dikelilingi oleh orang yang berpangkat besar dan kaya.
“Bagaimanapun saya menganggap karakter saya itu di sudut positif di mana kita masih lagi ingat tentang asal usul diri. Takut juga bila orang panggil kita riak,” selorohnya.
10 soalan menarik
1. Perkara yang mesti dibuat sebelumtidur?
Basuh muka, kaki dan gosok gigi.Kemudian saya akan menonton televisyensekejap dan akan melihat diari kerja yangperlu dilakukan keesokan harinya.
2. Tabiat buruk Rosyam Nor?
Saya seorang yang cepat marah. Padamasa yang sama, hati saya cepat sejuktau.
3. Jumlah wang yang dihabiskan untukpenjagaan diri setiap bulan?
Tak banyak pun. Biasanya di antaraRM200 hingga RM300 sahaja.
4. Ingat lagi ayat pertama Rosyamketika mengurat isteri sebelumberkahwin?
Aduh. Tak ingatlah. Maklumlah, dah 22tahun kami mendirikan rumah tangga.
5. Berapa bilangan nombor telefondalam telefon bimbit?
Sangat banyak. Dalam 4,000 lebih.
6. Kalau diberi pen dan kertas,Rosyam akan tulis...?
Saya tak suka menulis.
7. Kartun kegemaran?
Teletubbies! Sebab watak dalam kartunitu comel.
8. Binatang yang paling ditakuti?
Ular! Tidak pun, apa-apa juga jenisreptilia.
9. Pernah kena denda di sekolah?
Pernah! masa tingkatan empat. Sayakena rotan di depan khalayak ramai.
10. Dalam bonet keretamesti ada apa?
Kasut, beg dan jaket.Ia amat penting bilasaya perlu bertukarpakaian untuk pergimesyuarat.
Rosyam Mahu Jaga Nilai Eksklusif, Pilih Tawaran Berlakon
PETALING JAYA: Pelakon popular, Rosyam Nor mengakui hanya memilih tawaran berlakon untuk filem atau drama yang mampu memperkukuhkan namanya dalam industri seni.
Katanya, biarpun jika tidak diberi peranan sebagai pelakon utama, namun dia mahu lakonannya itu mampu diingati oleh para penonton.
"Saya sudah sembilan bulan tidak berlakon kerana tiada tawaran yang betul-betul sesuai dan memenuhi kehendak saya.
"Saya akui agak memilih drama atau filem kerana apa yang saya mahu ialah karya itu boleh mempertahankan nama saya dalam industri ini. Saya inginkan lakonan saya dapat diingati oleh penonton," katanya ketika ditemui selepas pratonton filem Libas, di sini, Rabu lalu.
Selain itu, kata Rosyam dia mahu menjaga nilai eksklusif dirinya selepas membintangi beberapa filem seperti Libas dan KL Gangster 2 yang bakal ditayangkan.
"Antara sebab lain juga saya ingin buat orang ternanti-nanti kemunculan saya untuk filem Libas dan KL Gangster.
"Saya tidak mahu mereka jemu pula jika sudah kerap keluar televisyen, saya yakin juga filem-filem ini dapat melonjakkan nama saya semula dalam Industri ini," katanya.
Bercerita tentang filem Libas yang bakal ditayangkan 29 September depan, Rosyam berkata dia mempunyai pengalaman patah bahu kiri ketika penggambaran filem itu.
"Bahu kiri saya tercedera semasa penggambaran kerana terjatuh selepas dibawa ke hospital doktor ingin membuat pembedahan kecil tetapi saya menolak kerana memikirkan tentang penggambaran yang akan tergendala.
"Jika saya buat pembedahan penggambaran akan terhenti selama lapan bulan sedangkan hanya tinggal tiga hari sahaja untuk habiskannya, jadi saya terpaksa menahan sakit sedikit dan meneruskan penggambaran tersebut.
"Sehingga selesai penggambaran barulah saya masuk balik hospital untuk pembedahan tersebut," katanya.
Filem yang memakan masa selama dua tahun itu juga merupakan filem yang mencabarnya bermain dengan emosi dan imaginasi.
"Filem ini ringan tetapi mempunyai maksud yang berat iaitu tentang bangsa dan negara, kebanyakan babak yang memerlukan saya untuk bermain dengan emosi tanpa dialog.
"Selain itu juga, ia merupakan filem pertama saya dengan menggunakan teknik pengimejan berkomputer (CGI) tanpa skrin hijau, jadi saya terpaksa mengimaginasikan sedang menimbang bola raga sedangkan sebenarnya tiada," katanya.
Dalam pada itu, cabaran lain adalah untuk berhadapan dengan pelakon jelita Scha Al Yahya yang jauh lebih muda daripadanya.
"Jarak usia saya dan Scha terlalu jauh, saya sangat takut apabila orang tidak dapat melihat keserasian kami, namun Alhamdulillahlah apabila saya tengok ia tidak terlalu ketara," ujarnya.
Rosyam memegang watak sebagai Adnan Saladin iaitu seorang pakar libas dalam permainan sepak takraw (Libas). Dia di gelar sebagai raja libas Malaysia. Kehebatan itu sangat digeruni pasukan lawan terutamanya daripada pasukan Siam (Thailand).
Filem pertama terbitan MDAG Marketing Sdn. Bhd ini merupakan arahan pengarah dan penerbit drama Jurey Latiff R
Rosyam harap tiada masalah lagi

SELEPAS empat minggu bersiaran, program realiti Pilih Kasih terus hangat dengan sensasi yang tercipta secara tidak sengaja. Jika sebelum ini program cetusan idea Rosyam Nor ini panas dengan komen tajam Rosyam sendiri yang menyelar tenaga pengajar tidak memberi 'pendidikan' terbaik buat barisan 14 artis yang bertanding, Pilih Kasih kemudian dikejutkan dengan pengguguran dua artisnya yang dianggap tidak berdisplin.
Belum surut termometer tersebut, pada minggu keempat yang lalu, seorang artis mereka, Raffamie Karama, 25, dengan rela hati mahu meninggalkan pentas Pilih Kasih atas alasan berkaitan masalah peribadi.
"Saya minta maaf kepada semua peminat yang telah mengundi saya selama ini dan terutama sekali kepada Abang Rosyam kerana saya memang ada masalah keluarga yang perlu saya uruskan di luar sana," begitu jelas Raffamie yang telah menyelamatkan tiga artis terbawah pada malam itu iaitu Mira Amnas, Bodt Sharade dan Nur Jannah.
Kecewa dengan tindakan yang diambil Raffamie sewaktu barisan artis lain mula mendapat rentak yang lebih cantik untuk memantapkan persembahan mereka, Rosyam tidak mampu menahan kehendak jejaka dari Sabah itu.
Menurut Rosyam, dia tidak memerlukan seorang artis yang lemah.
"Saya amat terkejut dan tidak menyangka bahawa ada antara artis Pilih Kasih ini yang mempunyai masalah sedemikian.
"Jika saya tahu lebih awal sudah pasti saya akan menyingkirkan Raffamie tanpa rasa ragu dari minggu yang pertama.
"Tapi kadangkala perkara seperti ini memang tidak dapat dielakkan dari berlaku kepada sesiapa sahaja. Hanya Tuhan yang tahu apa akan terjadi di masa depan," katanya yang cukup kecewa dengan tindakan Raffamie.
Malah dia berharap agar tidak ada lagi peserta Pilih Kasih yang lain akan membuat keputusan sedemikian hanya kerana tidak tahan atau mempunyai masalah peribadi.
Sementara itu, pengunduran Raffamie tidak bermakna pentas Pilih Kasih terhenti begitu sahaja. Sebaliknya, malam ini, tinggal 12 lagi artis yang masih bertahan dalam untuk tempoh enam minggu lagi sebelum malam kemuncak akhir Pentas Pilih Kasih berlangsung.
Pentas Pilih Kasih yang dihoskan oleh Reza disiarkan secara langsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Mohamad, Negeri Sembilan menerusi RTM 2 pada pukul 8.30 malam.
Rosyam Langgar Pantang, Dedah Dua Anak

PETALING JAYA: Pelakon Rosyam Nor, 43, sebelum ini pernah menegaskan bahawa dia tidak akan mendedahkan keluarganya kepada umum walaupun sebaliknya pelakon itu dilihat muncul bersama dua anak gadisnya pada majlis Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) pada 24 Disember lalu.
Kata Rosyam, kehadiran dua anaknya iaitu Arniesha Azureen, 21, dan Nur Anis, 17, pada majlis itu bukan kerana dia tidak tegas dengan pendiriannya tetapi kedua-dua anaknya itu memujuknya untuk merasai kehangatan majlis tersebut.
"Sebenarnya saya tak terfikir pun untuk membawa mereka tapi pada saat-saat akhir mereka pujuk saya sebab teringin nak rasa kehangatan ASK2010 bersama saya. Selain itu mereka merupakan peminat Anuar Zain.
"Lagipun bila anak-anak dah besar, mereka pandai pujuk ayah mereka sampai saya pun kesian. Selalunya bila saya bawa keluarga, mereka akan duduk di bahagian penonton, bukan bersama saya.
"Bagaimanapun, saya masih dengan pendirian untuk tidak mahu menonjolkan keluarga saya kepada umum," katanya.
Tambah Rosyam, sehingga kini dia masih tegas dalam mendidik anak-anaknya untuk memberi didikan yang terbaik.
Pada majlis ASK2010, kemunculan Rosyam bersama dua gadis jelita mengundang persoalan di kalangan tetamu yang hadir.
Malah, kedua-dua anak gadis itu turut menjadi perhatian pelakon-pelakon lelaki di majlis tersebut.
Sementara itu, Rosyam baru sahaja habis menerbitkan drama bersiri Trilogi Cinta yang akan ditayangkan di RTM1, bermula pada 2 Januari 2011.
Drama yang turut membabitkannya sebagai pelakon utama, turut menampilkan pelakon-pelakon hebat lain seperti Fouziah Gous, Raisuddin Hamzah, Siti Fazurina, Aida Khalida, Amyza Aznan serta tiga artis Pilih Kasih, Ray Redzuan, Reza Hasbi dan Zulin Aziz.
Trilogi Cinta merupakan drama bersiri pertama terpanjang yang pernah diterbitkan oleh Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.
Ia juga merupakan sebuah drama yang diadaptasi daripada tiga novel Sharifah Abu Salem iaitu Tak seindah mimpi, Tak semanis Impian dan Tiada lagi Mimpi iaitu terbitan Alaf 21 Sdn Bhd.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
