Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Sabhi Saddi. Show all posts
Showing posts with label Sabhi Saddi. Show all posts

TAHNIAH - SABHI SADDI TIMANG ANAK KEDUA DI HARI LAHIR

"Alhamdulilah. Pada hari lahir saya, Isteri saya telah selamat melahirkan seorang lagi cahaya mata perempuan menjadi penambah seri ke dalam keluarga. Terima kasih di atas ucapan semua peminat. Tahun depan dapat sambut hari jadi sama2," demikian kata penyanyi lagu 'Cinta Sesungguhnya', iaitu Sabhi Saddi. Untuk info, hari lahir Sabhi Saddi ialah pada 4 September 1984 dan ia bersamaan dengan kelahiran anak keduanya di Pusat Perubatan Salam, Shah Alam, Selangor.
Bayi perempuan tersebut dilahirkan pada jam 11.33 pagi dengan berat 3.3 kilogram oleh isterinya, Rosi Aswani Abdul Razak. Ibu dan bayi dilaporkan sihat tanpa sebarang masalah. "Saya sebenarnya berharap dapat anak lelaki kerana yang anak sulung sudah perempuan. Tapi tak mengapa, yang penting keadaan anak kedua saya sihat walafiat. Alhamdulillah seperti anak sulung, Sofea Reesya, anak kedua pun dilahirkan normal. "Insya-Allah selepas isteri habis berpantang, kami bercadang nak adakan majlis aqiqah," tambahnya.

Sabhi Saddi akui kahwini gadis Kelantan

PADA minggu lepas, dia menjadi bahan gosip apabila dikatakan sudah berkahwin. Penyanyi kelahiran Sabah, Sabhi Saddi didakwa telah berkahwin secara diam-diam dengan seorang gadis. Lebih mengejutkan, hasil perkahwinan pelantun lagu Nadiku itu dikatakan telah dikurniakan seorang cahaya mata yang juga dirahsiakan identitinya. Sebelum ini, Sabhi pernah dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang penyanyi dari Indonesia bernama Vienna Fridiana. Namun cinta mereka itu putus di tengah jalan. Kedua-dua Sabhi dan Vienna pernah merakamkan sebuah lagu duet berjudul Seperti Dulu Lagi sekitar tahun 2011. Ikuti pengakuan eksklusif Sabhi, 29, kepada Kosmo! mengenai dirinya yang sudah bergelar suami kepada seorang gadis kelahiran Pasir Mas, Kelantan sejak Julai tahun lepas. Kosmo!: Benarkah Sabhi sudah berkahwin dengan seorang gadis dan telah dikurniakan seorang cahaya mata? SABHI SADDI: Ya, saya sudah berkahwin pada Julai tahun lepas di Kuala Lumpur. Isteri saya bernama Rosi Aswani Abdul Razak, 27, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan. Dia merupakan orang biasa. Kami diperkenalkan oleh kawan. Saya tak terfikir pun hubungan kami akan menjadi serius. Namun selepas rapat sebagai kawan selama setahun, kami ambil keputusan untuk berkahwin. Apa yang boleh saya katakan, ia sudah rezeki dan jodoh kami. Kami sudah dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia empat bulan, Sofea Reesya. Kenapakah Sabhi merahsiakan perkahwinan? Perkara ini (perkahwinan) merupakan hal peribadi. Jadi, saya tak mahu hebohkan kepada umum mengenainya kerana saya rasa tak perlu. Biarlah saya sahaja yang tahu mengenainya kerana ia merupakan privasi saya. Disebabkan perkahwinan Sabhi berjaya juga dihidu media, jadi bilakah anda mahu tampilkan isteri dan anak kepada umum? Insya-Allah hujung tahun ni. Sebelum ini saya bimbang kalau saya hebohkan tentang perkahwinan kami, orang akan kata macam-macam. Sebab, ada peminat suka saya berkahwin dan ada juga yang tidak suka. Sebelum ini, bagi saya, biarlah rakan-rakan rapat dan keluarga terdekat sahaja yang mengetahui tentang perkahwinan kami itu. Sabhi sudah bergelar suami kepada orang Kelantan. Jadi sempena Aidilfitri tahun ini, Sabhi akan pulang beraya di mana - Kelantan atau Sabah? Pada tahun ini, saya akan menyambut Aidilfitri di rumah keluarga isteri di Pasir Mas, Kelantan. Beralih sedikit mengenai perkembangan karier, apakah aktiviti anda sekarang? Saya sedang menjalani penggambaran telefilem untuk disiarkan di TV3 pada bulan Ramadan ini berjudul Walau Air Mata Darah bersama Nadiya Nisaa dan Fizz Fairuz. Selepas ini, saya akan terbabit dengan penggambaran drama bersiri yang belum disahkan lagi judulnya. Adakah ini langkah awal anda untuk terjun ke dalam bidang lakonan dengan lebih serius? Sebelum ini saya pernah berlakon dalam filem Klip 3GP tahun lalu. Berlakon telefilem dan drama berbeza pengalamannya dan saya ingin merasai bidang tersebut. Namun, prioriti saya masih dalam bidang nyanyian dan apabila saya memilih untuk terbabit dalam bidang lakonan, saya telah menetapkan syarat untuk dibenarkan 'cuti' pada setiap hari Sabtu dan Ahad untuk aktiviti nyanyian saya.

Jarak Jauh Punca Hubungan Sabhi Saddi & Vienna Fridiana Retak

KUALA LUMPUR: Faktor jarak jauh menjadi punca keretakan hubungan penyanyi Sabhi Saddi dengan penyanyi dari Indonesia, Vienna Fridiana yang terjalin pada tahun lalu. Penyanyi berusia 28 tahun itu berkata, kesibukan dengan komitmen nyanyian di negara masing-masing membataskan pertemuan mereka dan sekali gus menyebabkan hubungan tersebut menjadi renggang. “Hubungan kami sudah berakhir pada tahun lalu kerana faktor jarak jauh. Susah sebenarnya apabila menjalin hubungan dengan orang yang jauh kerana kami tiada masa untuk kerap bertemu. “Saya sibuk di sini dan begitu juga dengan dia. Tiada apa konflik yang timbul cuma hubungan itu menjadi renggang begitu sahaja selepas hampir setahun berkawan,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Hubungan Sabhi dengan Vienna terjalin sejak mereka bergandingan dalam lagu Seperti Dulu Lagi pada tahun lalu. Ditanya adakah dia masih berhubung dengan wanita berusia 29 tahun itu, Sabhi berkata, mereka tidak pernah berhubung sejak berpisah kerana tidak sempat untuk berbuat demikian.
“Sejak putus, saya tidak pernah menghubunginya langsung. Saya pun tiada penjelasan kenapa hal itu terjadi tetapi kami tidak bergaduh atau menaruh dendam. “Mungkin kerana jarak jauh dan waktu membuatkan kami terus berenggang. Malah, pada waktu ini saya sudah malas untuk memikirkan soal kekasih,” katanya. Mengenai kerjaya, penyanyi yang popular dengan lagu Nadiku itu berkata, dia bakal melancarkan lagu terbaru berjudul Waktu pada Oktober atau November depan. “Lagu Waktu yang berentak balada itu akan saya pertaruhkan pada pertandingan ABU Song Festivals 2012 di Korea Selatan pada 10 hingga 16 Oktober depan. “Saya juga akan siapkan klip videonya bagi memeriahkan kemunculan semula saya dalam industri,” katanya yang mahu menumpukan semula pada industri muzik di Malaysia pada tahun ini. Terbaru, Sabhi sedang terlibat dalam penggambaran drama bersiri pertama lakonannya berjudul Laut China Selatan sejak Ahad lalu. Drama sebanyak 26 episod itu turut membariskan Aiman Hakim Ridza dan Adeline Tsen.

Lidah Sabhi kelu depan wanita


SABHI Saddi bukanlah artis program realiti walaupun hakikatnya dia banyak menari mengiringi Adam dalam pertandingan Akademi Fantasia 2 (AF2).

Dia pernah menjadi penari hip hop di bawah kumpulan Edsco yang sentiasa mengiringi persembahan Adam.

Bersandarkan kepada paras rupa dan suara, dia mengikut jejak langkah Adam selepas terhasilnya single yang berjudul Nadiku pada 2009.

Sehingga kini, lagu yang pernah menjadi runut bunyi dalam drama Tari Tirana di TV3 itu masih kuat di bibir peminatnya.

Nyata, jejaka berbadan tegap itu tidak hanya mahu berjudi nasib dalam bidang nyanyian sahaja kerana dia mula menjadi penghias layar lebar.

Diberi kepercayaan menggalas watak bernama Zakri dalam filem Klip 3GP arahan Aidilfitri Mohd. Yunos, Sabhi yang mulanya tidak yakin menyahut cabaran yang diberikan itu, biarpun ia tugas sukar.

"Menjadi pelakon ternyata tidak semudah yang dijangkakan apatah lagi ia tidak pernah ada dalam perancangan saya.

"Tetapi pengalaman berlakon dalam video klip Nadiku bersama pengarah sama memberi sedikit pengetahuan buat saya bagaimana untuk beraksi di depan kamera," kata jejaka kelahiran Sandakan, Sabah itu kepada Sensasi Bintang.

Di dalam filem yang masih ditayangkan itu, Sabhi menggalas watak sebagai seorang lelaki lurus yang tidak dapat membantu teman wanitanya yang dirogol.

Bukan sahaja tidak dapat membantu kekasihnya itu, bahkan dia turut dipukul sehingga mati dalam keadaan tragis.

Jelas Sabhi yang kini berusia 26 tahun itu, pengalaman bertentang mata dengan pelakon wanita menjadi cabaran yang besar buatnya.

Sabhi mengaku bahawa dia tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya kepada lakonan saat menjayakan babak seperti itu.

"Saya memang pemalu dengan wanita. Begitu susah nak meneruskan kata-kata apabila bertentang mata dengan mereka," katanya yang masih pekat dengan dialek Sabah.

Nyata, rezeki jejaka berbintang Virgo ini dalam dunia hiburan semakin menjadi-jadi kerana menerima banyak tawaran berlakon di samping persembahan pentas.

Jelasnya, dia menerima beberapa tawaran untuk berlakon dalam telemovie dan drama tempatan selain bakal muncul dengan album penuh tidak lama lagi.

Sabhi Saddi Sediakan Duit Raya Untuk Peminat


KUALA LUMPUR: Penyanyi Sabhi Saddi yang menyambut tahun kedua berhari raya sebagai seorang artis mengakui teruja untuk melayan para peminat dan sanak saudara yang mahu beraya dengannya.

Katanya, sambutan Aidilfitri pada tahun ini menjadi lebih meriah kerana ramai peminat yang mahu berkunjung ke rumah keluarganya di Kota Kinabalu, Sabah untuk bertemu mesra.

"Saya cukup terharu dan gembira apabila para peminat sudah bertanyakan kepada saya untuk bertandang ke rumah sejak awal-awal lagi.

"Yang kelakarnya, bukan setakat hendak beraya, mereka juga meminta duit raya daripada saya. Sebab itu, saya kena berbelanja lebih sikit pada tahun ini," katanya dengan nada ketawa.

Mengulas lanjut tentang sambutan perayaan itu, Sabhi turut merancang untuk mengerjakan umrah dalam masa terdekat ketika pergi bercuti ke Abu Dhabi tidak lama lagi.

"Sebenarnya, saya ada memenangi tiket percutian ke Abu Dhabi. Sudah alang-alang berada di tanah Arab, mengapa tidak saya mengerjakan umrah sekali gus. Lagipun, jarak dan kosnya juga tidak banyak mana.

"Cuma, kalau diikutkan, saya merancang ke sana pada awal Hari Raya ini tetapi selepas berfikir semula rasa kurang sesuai pula tinggalkan keluarga pada waktu begini semata-mata untuk pergi bercuti

"Jadi, mungkin saya akan berangkat ke sana selepas selesai musim Hari Raya," katanya.

Usai sambutan Aidilfitri, Sabhi akan memulakan proses rakaman untuk dua lagu “single” terbarunya yang merupakan versi nyanyian semula lagu Azmil Mustapha dan Zulkifli Ahmad.

Sabhi Saddi Mahu Lebih Menonjol


SEBUT nama Sabhi Saddi, mungkin tidak ramai yang mengenali siapakah pemilik nama itu. Namun, bagi segelintir peminat muzik tanah air khususnya muzik Melayu, mungkin ramai yang biasa mendengar lagu Nadiku yang cukup popular sejak setahun yang lalu.

Pasti ramai yang kenal dan jatuh hati dengan keindahan melodi dan lirik puitis lagu ciptaan Omar K dan Zel Firdhaus itu.

Pun begitu, Sabhi Saddi sendiri mengakui sehingga hari ini masih ramai yang tidak mengenali siapakah penyanyi lagu 'berhantu' tersebut.

Berkongsi pandangannya tentang perkara berkenaan, anak kelahiran Sandakan, Sabah ini berkata, dia sebenarnya tidak runsing dengan isu populariti.

Tetapi apa yang lebih menyenangkan Sabhi, kerjanya diterima khalayak dan kehadirannya dihargai, biarpun dalam lingkungan kelompok kecil.

"Sebenarnya saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk popular dan dikenali ramai apabila menceburi bidang nyanyian.

"Memanglah populariti itu penting tetapi sebagai orang baru saya sudah berpuas hati apabila peminat dan sebilangan penggiat industri menyedari kehadiran saya di persada seni," katanya.

Tambah Sabhi, menyedari hayat pembabitannya yang baru berusia setahun jagung, penyanyi yang kini popular dengan lagu Gemerlapan ini punya strategi sendiri untuk mengukuhkan nama dan kariernya.

Biarpun lambat dan harus bertatih, yang penting langkahnya itu memberikan impak kepada dunia nyanyian tanah air.

"Soal kurang dikenali sebenarnya sesuatu yang sinonim dengan saya. Sejak setahun terlibat sebagai penyanyi, memang banyak pihak yang masih tidak mengenali saya tetapi mereka kenal lagu-lagu saya.

"Mungkin kerana kesilapan saya sendiri yang tidak begitu menonjol atau sering bertukar imej dan penampilan membuatkan orang keliru dan terlupa siapakah Sabhi Saddi.

"Bagaimanapun, apa yang dicapai setakat ini adalah mengikut strategi yang saya sasarkan. Untuk tahun ini, saya akan lebih menonjolkan nama agar lebih dikenali," jelasnya.

Lagu tema Nur Kasih The Movie

Beralih ke bidang nyanyian pula, bekas anggota kumpulan Esdeco (bersama Adam AF) ini berkata, sekalipun namanya masih belum gah, dia begitu bertuah kerana berpeluang untuk menyumbangkan suara bagi lagu tema filem paling dinanti-nantikan iaitu Nur Kasih The Movie (arahan Kabir Bhatia) yang akan ditayangkan 19 Mei depan.

Mengimbau peluang keemasan yang termeterai beberapa bulan lalu itu, Sabhi berkata, semuanya bermula apabila pihak penerbitan filem itu meminta lagu Nadiku untuk dimuatkan sebagai lagu tema.

"Asalnya pihak penerbitan meminta lagu Nadiku untuk dijadikan lagu tema filem itu. Selepas mengadakan perbincangan, kami mencadangkan untuk menampilkan sebuah lagu baru memandangkan filem itu cukup besar nilainya.

"Lantas, kami mula mendapatkan lagu daripada komposer terkenal Indonesia iaitu Andrew Darmoko yang bertajuk Tanpamu, di mana saya berduet dengan Helena Andrian.

"Apabila ia diperdengarkan kepada Kabir, ternyata dia gembira dan sukakan lagu itu," katanya yang berharap kolaborasi itu dapat melonjakkan namanya.

Jelas Sabhi lagi, pada mulanya lagu tersebut dihasilkan oleh Andrew untuk Anang dan Krisdayanti. Bagaimanapun, ekoran keruntuhan rumah tangga pasangan itu, Sabhi merisik peluang untuk mendapatkan lagu berkenaan.

Hubungan persahabatan yang terjalin di antaranya dengan bekas peserta Indonesian Idol pertama iaitu Helena Andrian memudahkan lagi urusan mereka untuk berduet dalam lagu itu.

Mahu terbit album penuh

Selain menanam impian untuk lebih popular pada tahun ini, Sabhi yang kini memiliki album mini atau EP yang mengandungi tiga lagu itu turut menyasarkan kemunculan sebuah album penuh.

Menyedari kekuatan vokalnya tersandar pada genre RnB dan balada, justeru penyanyi yang masih bujang ini akan terus mengekalkan konsep tersebut dalam album sulungnya itu.

"Sebolehnya, saya ingin mengeluarkan album penuh dalam tahun ini. Sekarang pun saya dan pengurusan sedang giat mengumpulkan material lagu yang sesuai untuk dimuatkan dalam album itu.

"Berkemungkinan besar, saya akan terbang ke Indonesia untuk mendapatkan lagu-lagu daripada komposer di sana bagi memberikan variasi pada album itu nanti," katanya yang tidak akan meminggirkan komposer tempatan dalam penghasilan album penuh itu kelak.

Artikel dipetik daripada sisipan OopStarz! dalam Mingguan mStar keluaran 13 Mac 2011
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails