Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Salma Mentor. Show all posts
Showing posts with label Salma Mentor. Show all posts
Salma terkena buatan orang?
MACAM - macam dugaan yang diterima ibu tunggal yang berasal dari Tawau Sabah ini, jika sebelum ini juara program realiti Mentor musim kelima ini dikatakan cuba menyembunyikan status dirinya dari umum, terbaru kini Salma dikatakan semakin sombong untuk menerima tawaran nyanyian.
Menyangkal dakwaan terbaru itu menurut Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Asis, 22, memberitahu kehilangannya selama dua bulan bukanlah disebabkan dia kini semakin liat untuk menerima tawaran nyanyian tetapi akibat daripada masalah kesihatan yang dialaminya.
“Saya sendiri tidak tahu apa penyakit saya, malah apabila ke hospital doktor sendiri bingung kerana menurut hasil laporan perubatan saya normal.
“Pada mulanya saya fikir ia hanyalah demam biasa, namun apabila berpanjangan, saya mengambil keputusan untuk bercuti panjang bagi menjalani rawatan untuk penyakit saya ini ," katanya ketika hadir di Utusan Malaysia baru-baru ini.
Malah menurut ibu kepada seorang anak perempuan, Puteri Nurul Huda, 5 ini dia juga pasti kehilangan telefon bimbit selama berada di kampung menyebabkan dia gagal dihubungi.
“Ditambah pula dengan kehilangan telefon bimbit, saya hilang punca untuk memberitahu keadaan diri saya sewaktu di sana.
“Mungkin ini juga menyebabkan saya dikatakan sengaja menyembunyikan diri," katanya tenang.
Menurut Salma selain demam berpanjangan penyakit ini juga turut memberi kesan kepada suaranya yang pernah suatu ketika dia langsung tidak boleh menyanyi.
“Pernah ketika mahu membuat persembahan saya tiba-tiba rasa panas yang melampau dan perkara ini disedari oleh juru mekap saya sendiri yang pelik melihat saya berpeluh-peluh dalam bilik berhawa dingin.
“Dan antara sebab mengapa saya menolak banyak tawaran adalah kerena penyakit ini akan datang ketika saya hendak membuat persembahan," katanya jujur.
Tidak mahu terus membuat dakwaan menurut Salma buat masa ini dia banyak berusaha mendapatkan rawatan secara tradisional dan moden. Mengakui dia sendiri tidak pasti sama ada ini ada kaitan dengan perbuatan mistik bagi anak didik Erra Fazira ini dia lebih suka sekiranya keadaan ini tidak memberi kesan terlalu lama untuk kesihatannya kerana masih mahu bertahan di dalam dunia hiburan.
“Sebab itu saya kini banyak menghabiskan masa di kampung untuk meneruskan rawatan tradisional.
“Bukan niat saya untuk menghilangkan diri, saya sendiri tahu karier ini merupakan periuk nasi saya dan jika boleh saya mahu meneruskannya," katanya berharap.
Bakal menerbitkan sebuah single tidak lama lagi menurut Salma buat masa ini dia masih bergantung harap kepada mentornya Erra Fazira di dalam membuat keputusan. Malah bagi Salma dia sangat bertuah untuk mengetahui mentornya itu tidak pernah menyalahkan dirinya apabila dikatakan menghilang selama dua bulan.
“Saya masih lagi di dalam proses perbincangan bersama kak Erra untuk single terbaru saya, saya masih memerlukan dia di dalam karier saya kerana saya percaya kredibiliti yang dimiliki kak Erra mampu membuka lembaran baru buat karier saya berkembang," katanya.
Sayang Salma...
PENDATANG baru ini mengakui bahawa keperitan untuk memuaskan hati semua pihak lebih rumit berbanding kesakitan dek penyakit misteri yang dialaminya sejak hujung tahun lalu. Penyanyi berasal dari Tawau, Sabah ini merujuk kenyataannya itu kepada tindakan segelintir pihak yang melabelnya seorang besar kepala selepas bergelar Juara Mentor Musim Kelima pada Mei 2011.
Salma didakwa menumpang tuah Erra Fazira, penjaganya dalam rancangan realiti itu yang banyak memberi tunjuk ajar sebelum berubah sikap sehingga ada pihak yang kurang senang nekad ‘menjatuhkannya’.
“Bila orang terus cakap saya besar kepala, saya geleng kepala sebab saya tak tahu bila masa saya cari gaduh. Jadi, saya anggap bahawa orang fikir buruk tentang saya itu adalah orang yang salah faham sebenarnya.
“Tak baik cakap saya tumpang populariti Kak Erra sedangkan dia banyak bagi tunjuk ajar, cara nak kukuhkan karier dan macam-macam pertolongan tanpa berkira.
“Tapi bila saya sakit, orang cakap itu disebabkan perangai buruk saya sebelum ini’ sedangkan orang yang cakap tu tak tahu macam mana sakit yang saya alami,” luah Salma.
Kenapa Salma bersikap defensif menguraikan gosip tentang dirinya sedangkan belum satu pun dakwaan tersebut itu benar? Menjawab pertanyaan ini, penyanyi lagu Aku Pertama ini menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab: “Saya kena jawab apa orang cakap tentang saya. Saya tahu bukan mudah nak berada di puncak. Jadi saya perlu buat penjelasan, bersihkan nama supaya orang dah tak salah anggap tentang saya.
“Memang saya tak boleh layan semua gosip, kalau dilayan boleh jadi gila, tapi jangan melampau sangat. Kenapa nak kaitkan penyakit yang saya alami dengan unsur mistik atau balasan dosa lampau?” soalnya kembali.
Mengulas terperinci penyakit misteri yang dialaminya itu membuatkan emosi Salma boleh berubah sekelip mata, peminat jus lobak ini diam seketika.
“Perkara ini terlalu sukar nak disahkan sama ada buatan orang atau tidak. Saya tak boleh cakap sangat,” ringkasnya berhemat tanpa mahu menyalahkan mana-mana individu.
Ditanya adakah Salma menyesal bergelar penyanyi, wanita yang bakal menyambut hari jadi ke-22 tahun pada 9 April ini berkata: “Saya tidak akan mengeluh jadi anak seni. Sekarang waktu fokus kerja, saya berazam nak kerja kuat demi keluarga.”
Rindu anak
PENYANYI berbintang Aries ini turut menyatakan kerinduan mendalam terhadap Puteri Nurul Huda, cahaya mata kesayangan berusia empat tahun yang berada jauh di kampung halamannya.
“Sebab anak saya kena kerja kuat demi masa depannya. Tak apalah walaupun sakit sikit untuk cari rezeki asalkan dia bahagia nanti. Wajah comel dia umpama penyembuh luka paling mujarab dalam situasi apa pun.
“Memang rindu bila anak jauh di mata, sebab itu saya kena balik Sabah sebulan sekali jumpa dia. Nak cium dan peluk dia kuat-kuat,” katanya penuh makna di hujung perbualan.
Salma Perjelas Isu Sombong Dan Komen Erra Fazira
SUBANG JAYA: Juara program Mentor musim kelima, Salma atau nama sebenarnya, Salmah A. Asis dia tidak pernah menerima sebarang tawaran daripada mentornya, penyanyi dan pelakon Erra Fazira untuk membimbingnya dalam kerjaya seni selepas tamat pertandingan itu.
Salma berkata, Erra tidak pernah meluahkan apa-apa hasrat kepadanya mengenai perkara itu walaupun dia mahu terus berada di bawah jagaan artis tersebut.
"Sejujurnya saya tidak pernah menerima sebarang tawaran daripada Kak Erra untuk membimbing kerjaya seni saya dan sebagai orang baru sudah tentu saya berasa segan untuk meminta seorang artis terkenal sepertinya berbuat demikian.
"Saya mengetahui Kak Erra mahu membimbing kerjaya saya hanya melalui media dan ada berhubung dengannya untuk bertemu tetapi dia sedang sibuk sekarang," ujarnya kepada mStar Online.
Salma ditemui ketika menghadiri majlis Pra-Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) di sini pada Rabu.
Sebelum ini, Erra Fazira dilaporkan agak terkilan apabila melihat perjalanan kerjaya Salma agak perlahan selepas menjuarai program tersebut.
Erra dikatakan ada menawarkan diri untuk membantu penyanyi itu menguruskan kerjayanya tetapi ditolak Salma kerana dia mahu membawa haluan sendiri.
Dalam pada itu, Salma turut menolak dakwaan sudah sombong hanya kerana memenangi Mentor musim kelima sehingga menolak pelawaan Erra itu.
Ujarnya, tiada sebab untuk dia berbuat demikian malah berterima kasih jika ada individu yang sudi menolong bagi menguruskan kariernya sebagai penyanyi.
"Saya akan menerima dengan hati terbuka jika Kak Erra benar-benar ingin menguruskan kerjaya seni saya dan jika tahu dari dulu lagi saya akan terima pelawaan tersebut," ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai kehilangannya secara tiba-tiba sehingga gagal dihubungi pihak media, Salma memberitahu dia bercuti di kampung halamannya di Tawau, Sabah selepas tidak sihat.
Salma memberitahu, sepanjang sebulan itu dia menghabiskan masa untuk berehat selain berubat secara tradisional mengenai penyakit yang dialaminya. Bagaimanapun Salma enggan mendedahkan penyakitnya itu.
Salma (Mentor 5) Sukar Berjauhan Dengan Anak
Penyanyi Salmah A. Asis (Salma), 21, akui sukar untuk berjauhan dengan anaknya, Puteri Nurul Huda, 4.
Atas sebab itu, kadangkala juara Mentor musim kelima ini terpaksa membawa anak tunggalnya itu ke mana-mana acara. Salma ditemui di sesi ramah mesra Anugerah Skrin (ASK) 2011 bersama anaknya di One Utama, Ahad lalu.
“Ini merupakan kali pertama saya membawa anak ke acara seperti ini. Sebelum ini, saya meminta kakak menjaga anak saya di rumah,” kata ibu tunggal ini kepada pemberita.
Salma pernah berkahwin pada usia 17 tahun dan bercerai setahun selepas itu.
Menyentuh tentang perkembangan seninya, Salma sedang berurusan dengan syarikat rakaman Nova Music.
“Saya belum menandatangani kontrak dengan Nova Music tetapi setakat ini saya sudah berbincang dengan mereka sebelum membuat album.
“Bagi saya, bukan mudah untuk membuat keputusan kerana saya masih baru dalam industri seni ini,” katanya lagi.
Jelasnya, sebelum ini bukan dia sengaja mendiamkan diri dan bertindak membuat keputusan sendiri sebaliknya terpaksa pulang ke kampung atas urusan keluarga.
“Saya tidak pernah terfikir untuk bergerak sendiri tetapi keluarga memerlukan saya sebelum ini dan sebab itu saya sering pulang ke kampung.
“Apabila keadaan sudah stabil, saya akan menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman,” ujarnya yang masih berhubung dengan mentornya, pelakon dan penyanyi Erra Fazira.
Tetapi mereka belum mempunyai masa untuk keluar bersama-sama disebabkan sibuk dengan urusan masing-masing.
“Kadangkala, saya sempat menghubungi Kak Erra dan bertanyakan tentang show,” katanya yang lebih banyak membuat persembahan di negeri kelahirannya, Sabah berbanding di ibu kota.
Salma tenggelam timbul
SEBENARNYA ramai yang merungut pada Syed bila mula bercerita perihal juara Mentor musim kelima yang seorang ini. Bukan ada cerita yang tak baik pun pasal Salma, cuma sejak akhir-akhir ini nama Salma macam dah tenggelam timbul sahaja.
Kalau ada yang mengikuti perkembangan dunia seni tarik suara ni, mesti ramai yang lebih kenal Iqa berbanding dengan Salma. Maklumlah, sejak ‘tamat belajar’ dahulu Iqa terus disunting oleh syarikat rakaman KRU.
Jadi mungkin rezeki Iqa lebih sedikit daripada Salma terutama dari segi publisiti dan kekerapan membuat persembahan pentas. Itu bukan kayu ukur sebenarnya tetapi cukup untuk meletakkan di mana aras seseorang artis itu.
Syed ada juga dengar cerita yang Salma ini semakin sukar untuk dicari memandangkan ada sahaja masalah bila nak buat temujanji dengan mana-mana orang.
Iyalah kalau bergerak sendirian, segala-gala nak kena urus sendiri. Kalau ada ada pengurus tak apa juga, boleh mereka urus termasuklah hal-hal pengangkutan dan lain-lain lagi.
Apa yang membuatkan Syed hairan kenapa Salma mahu bergerak sendiri? Bukankah perkara itu merumitkan orang baru macam dia? Dan dengar cerita lagi sebelum ini Salma ada berjumpa dengan beberapa pengurus hebat tanah air.
Boleh kata tak ada jodoh untuk mereka bekerjasama walau sudah ada perbincangan di buat. Pada Syed itu memang satu perkara yang rugi. Kalau lihat pada beberapa pengurus tersebut, semuanya berjaya membentuk artis jagaan mereka bertaraf bintang besar.
Tidak ada siapa yang mahu paksa Salma terima orang tu atau orang ni. Cuma Syed tertanya-tanya Salma dah tahu ke sepak terajang industri kita ni? Syed takut Salma tenggelam tak timbul-timbul walau ada bakat yang cukup besar.
Kalau tak ada tindakan proaktif yang dilakukan oleh Salma, tak mustahil peminat yang mengundi dia pun akan lupa padanya. Ini baru permulaan, masih jauh perjalanan anda ya. Syed harap Salma tak kecil hati dengan teguran ikhlas Syed ni.
Salma (Mentor) Urus Kerjaya Sendiri
SHAH ALAM: Walaupun muncul juara dalam program realiti Mentor musim kelima, Salma atau nama sebenarnya, Salmah A. Asis, 21 mengakui dia lebih selesa mengatur langkah karier nyanyiannya sendiri tanpa pengurusan mana-mana syarikat rakaman.
Menurut Salma, selepas program tersebut tamat, dia tidak tahu ke mana arah tuju perjalanan seninya, namun dengan bantuan mentornya, Erra Fazira, Salma dapat melangkah secara perlahan-lahan dalam membina karier muziknya.
"Syukur mentor saya iaitu Kak Erra (Erra Fazira) banyak membimbing saya mengenai selok belok industri muzik tempatan.
"Saya tahu, bergelar juara bukanlah satu jaminan besar untuk kita berada di bawah sesebuah syarikat rakaman. Seperti biasa, saya akan berfikiran positif dan menganggap belum sampai masanya lagi untuk saya berada di bawah mana-mana syarikat rakaman lagi," katanya.
Tambah Salma, dia tidak kisah untuk menguruskan kariernya sendiri walaupun sehingga kini, hanya menerima sebanyak lima undangan persembahan (yang berskala besar).
"Memang bergelar penyanyi bukannya mudah tetapi saya seronok melalui perjalanan ini. Ia sebuah pengalaman yang baru. Walaupun persembahan pentas tidak banyak untuk saya tetapi sedikit sebanyak saya dapat mengubah sedikit cara kehidupan lama.
"Kiranya saya patut bersyukur kerana jika dahulu saya pernah menerima bayaran sebanyak RM50 untuk satu persembahan tetapi kini saya terima lebih daripada itu.
"Menguruskan kerjaya sendiri juga bukanlah satu penyeksaan, cuma saya perlu bekerja keras sedikit untuk mendapatkan undangan persembahan pentas," ujarnya.
Sementara itu, Salma berkata, dia juga terpaksa berkorban untuk berjauhan dengan anak perempuannya, Putri Nurul Huda, 4, demi mengukuhkan kerjaya nyanyiannya.
"Buat masa ini, anak saya dijaga oleh ibu di kampung, Tawau, Sabah. Memang saya rindu sangat kepadanya. Tapi, apakan daya, saya perlu bekerja keras untuk masa depan dia," tuturnya.
Kemenangan Salma dirancang?

RUMAH dah siap tapi pahat masih berbunyi. Begitulah yang terjadi pada pemenang pertandingan realiti Mentor baru-baru ini. Ramai yang memuji kekuatan vokal Salma, memang power habis tu.
Tapi beberapa hari kemudian ada orang kuat pertandingan itu yang membisikkan sesuatu pada telinga Syed. Kata mereka memang kemenangan Salma sudah dijangka sebab seperti ada percaturan untuk memenangkan protege kepada Erra Fazira itu.
Kata mereka sepatutnya masa separuh akhir lagi Salma sepatutnya tak masuk peringkat akhir sebab mendapat undian yang rendah. Tapi entah macam mana Salma terpilih juga. Mungkin sebab ramai peminat.
Banyak lagi cerita yang tak berapa nak sedap yang Syed dengar. Terkeluarlah cerita orang ni kawan baik kepada orang ni, orang ni nak orang tu menang dan macam-macam teori yang tak habis-habis diperdebatkan secara tertutup.
Entah, Syed tak tahu nak percaya atau tidak memandangkan pertandingan itu dah masuk usia lima tahun. Takkan lah mereka sanggup nak main kotor belakang pentas bukan. Jadi janganlah bersangka buruk sebab orang belakang tabir tu semuanya profesional dan hebat-hebat belaka.
Syed anggap semua ini cerita angin lalu sebab semua peserta yang masuk ke peringkat akhir tu memang mantap. Bila orang masih bercakap hal ini, ini menandakan Mentor memang rancangan yang bagus sebab ramai pengikut.
Jadi Syed tak ambil pusing dengan khabar angin tersebut. Dalam pada itu ramai yang menjangkakan Iqa dan Shiha mampu pergi jauh. Semoga mereka berjaya seperti mentor mereka juga.
Ibu tunggal anak satu

SALMA yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini memang masih ‘keras’ di hadapan kamera. Malah, tutur katanya juga masih tersekat-sekat menandakan yang dia masih tidak yakin untuk berhadapan dengan pihak media.
Masih banyak ilmu yang perlu dikutip daripada mentornya, aktres terbilang tanah air, Erra Fazira yang terlebih duhulu ‘makan garam’ dalam dunia seni.
Sungguhpun begitu, Salma seorang yang cepat ramah, memudahkan lagi perjalanan sesi fotografi yang berlangsung pada lewat petang itu.
Seakan-akan mengerti soalan utama yang ingin diajukan kepadanya, Salma hanya melempar senyuman. Ternyata, segala aktiviti seorang selebriti masih terlalu baharu buatnya.
Saat namanya sedang meniti di bibir peminat program Mentor musim kelima dan diangkat sebagai salah seorang protégé yang berbakat besar, tiba-tiba sahaja status dirinya menjadi hangat. Bergelar janda pada usia 21 tahun bukanlah impian Salma atau nama sebenarnya Salmah A. Asis.
Bagaimanapun status diri tidak mahu dijadikan halangan untuknya mengejar impian bergelar seorang penyanyi sekali gus mengubah nasib keluarganya di Kampung Titingan, Tawau, Sabah. Salma tidak mengelak, sebaliknya dia lebih senang menceritakan semua hal sebenar yang selama ini disimpan rapi.
“Ya, saya pernah berkahwin selama setahun lebih dan bercerai pada tahun 2008. Itu sahaja yang saya mampu jawab buat masa ini,” jawabnya.
Tegasnya, dia tidak pernah berniat untuk menyembunyikan status diri daripada orang ramai kerana sedar lambat-laun orang akan tahu juga berita itu.
“Sejak awal lagi, saya mahu orang tahu tentang perkara ini tetapi biarlah secara perlahan-lahan, memang tiada niat nak sembunyikan status diri. Saya sedar lambat-laun orang akan tahu juga akhirnya, sebab itu saya rasa lega bila orang tahu mengenainya sekarang.
“Jika saya simpan lama-lama, nanti daripada orang menyokong saya dan meminati saya terus orang tidak suka kerana merasakan yang diri mereka tertipu. Jadi, lebih baik saya cakap yang benar sekarang ini,” tuturnya lagi.
Hasil daripada perkahwinan itu, Salma dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berada di dalam jagaan keluarganya di Tawau. Apabila disoal lebih lanjut mengenai anak dan kisah rumah tangganya, Salma enggan menjawabnya kerana baginya cerita peribadi tidak penting untuk kerjayanya.
“Saya sudah lama bercerai, jadi saya tidak mahu perbesarkan hal ini. Kini, fokus saya hanya pada Mentor, sebaik sahaja habis Mentor, saya berjanji akan menjawab semua soalan tetapi bukan sekarang,” ungkapnya.

Meskipun belum bergelar seorang penyanyi secara rasmi, Salma telah diuji terlebih dahulu dengan asam garam dunia hiburan. Katanya, dia menganggap segala yang terjadi sebagai cabaran buatnya untuk menuju kejayaan.
“Saya tidak kisah orang mahu cakap apa mengenai diri saya, memang benar saya pernah berkahwin, bercerai dan mempunyai anak dalam usia yang muda.
“Itu sudah sejarah diri saya, kenapa saya mahu lari? Saya harus kuatkan diri untuk anak dan keluarga saya di kampung,” ujar anak kelapan daripada sembilan adik-beradik itu lagi.
Sambung belajar
Impian Salma untuk menjadi penyanyi bukannya kerana dia mahukan glamor tetapi niatnya hanya satu iaitu untuk mengubah nasib dan tangga ekonomi keluarganya.
Disebabkan oleh desakan ekonomi keluarga, Salma hanya sempat bersekolah setakat tingkatan empat dan tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bukan tidak berminat untuk meneruskan pelajaran tetapi hatinya tidak sanggup melihat ibunya menangis saban hari kerana gagal menyediakan kelengkapan persekolahannya.
“Keluarga saya susah, saya pergi sekolah tanpa wang saku. Berlapar itu perkara biasa, tetapi bila lihat ibu menangis, saya bernekad untuk mencari kerja. Balik dari sekolah dengan pakaian seragam sekolah saya pergi cari kerja tetapi malangnya tidak dapat sebarang kerja kerana masih bersekolah..
“Esoknya, saya pergi cari kerja lagi dengan pakaian biasa dan saya dapat kerja kerana saya tipu yang saya sudah tidak bersekolah.
“Pulang ke rumah saya beritahu ibu, saya cakap buat apa saya sekolah kalau keluarga tidak cukup makan. Sejak itu bermacam-macam pekerjaan saya buat, kerja kilang, jurujual kedai dan terakhir menjadi kerani,” luahnya lagi.
Sungguhpun banyak pengalaman kerja, dirinya berasa kerdil apabila menjejakkan kaki di Kuala Lumpur.
Katanya, rata-rata orang di Kuala Lumpur boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik sedangkan dia masih sukar untuk memahami patah ayat jika ditutur dalam bahasa Inggeris.
“Saya jadi malu dan rasa diri ini kecil sangat sebab semua orang di sekeliling saya faham dan boleh bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Sebab itu, habis sahaja Mentor, saya mahu masuk ke kelas bahasa Inggeris,” ujarnya yang berniat untuk menyambung pelajaran di mana-mana kolej swasta selepas program Mentor tamat.
Erra Fazira

Bercerita lanjut mengenai program Mentor, Salma memberitahu, dia menyertai Mentor secara kebetulan kerana pada hari yang sama dia sedang menjalani uji bakat untuk sebuah pertandingan nyanyian di Kota Kinabalu.
Lokasi uji bakat yang berlangsung dalam satu bangunan, menyebabkan Salma sekadar mencuba nasib.
“Saya tidak pernah sertai mana-mana program realiti, sebenarnya untuk ke Kota Kinabalu dari Tawau sangat jauh kerana mengambil masa selama 10 jam dengan menaiki bas.
Tujuan utama saya waktu itu untuk uji bakat pertandingan nyanyian di Kota Kinabalu, kebetulan pula mereka buat uji bakat Mentor pada hari yang sama, jadi saya cuba sahaja.
“Tidak sangka, dalam ramai-ramai, saya terpilih. Ketika mengisi borang memang saya pilih Erra Fazira untuk jadi mentor saya kerana saya minat sangat dengan dia.
“Sekarang, bila dapat bekerjasama dengan dia, saya rasa macam mimpi pula,” jawabnya sambil tersenyum.
Sebelum ini, isu Salma tidak yakin diri dengan kecantikan sendiri, diperdebatkan dalam Mentor.
Menurutnya lagi, tuan empunya diri, dia bukannya tidak bersyukur dengan apa yang dimiliki, tetapi isu itu timbul selepas (hos belakang tabir Mentor) Abang Nas Ahmad membangkitkannya.
“Saya tidak rasa kecewa tetapi rasa sedih sedikit. Saya terima dengan apa yang saya ada, jika dulu saya tidak pandai menggunakan alat solek, tetapi sejak masuk Mentor saya sudah boleh bersolek sendiri dan Kak Erra pun banyak mengajar saya tip-tip untuk mencantikkan diri,” ujarnya.
Ucapnya lagi, dia berharap Mentor menjadi medan untuknya merealisasikan impian bergelar seorang penyanyi. Tidak kiralah bergelar juara atau tidak, dia mahu hayatnya di dalam industri seni tidak mati sebaik sahaja program realiti itu tamat.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
