Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Scha. Show all posts
Showing posts with label Scha. Show all posts

"Bawa Anak Kecil Bercuti Beri Tekanan" - Scha Alyahya

Pelakon Scha Alyahya menyifatkan bercuti ke luar negara bersama anak kecil tanpa bantuan pembantu rumah akan membuatkan mood percutian akan berubah menjadi satu tekanan. Scha, 32, berkata, beberapa bulan lalu, ketika bercuti di Eropah bersama Awal Ashaari dan anak, Lara Alana yang berusia 11 bulan, dia dan suami mempunyai situasi sukar apabila terpaksa melayan ragam anak kecil mereka itu sehingga membuatkan rancangan untuk berjalan di beberapa tempat terpaksa dibatalkan. "Sebenarnya saya tidak mahu bawa Lara bercuti bersama kami, tetapi Awal pula tidak sampai hati. "Ini kali pertama kami bercuti dengan anak tanpa pembantu rumah dan keadaan kami menjadi kucar kacir. "Mana nak jaga anak, nak jaga beg luggage lagi. Tak sangka ia menjadi satu pengalaman yang sangat sukar," katanya kepada mStar Online. Tambah Scha kekalutan itu juga membuatkan hasratnya dengan suami yang ingin membeli belah di Paris dan London terpaksa diabaikan. Malah mereka juga membatalkan perancangan bercuti di Amsterdam. "Memang serik dibuatnya. Untuk percutian akan datang, saya akan pastikan membawa pembantu rumah bersama atau sesiapa sahaja agar memudahkan pergerakan," ujarnya. Dalam pada itu, kata Scha, pengalaman itu membuka matanya mengenai perubahan sikap Lara yang berbeza-beza sekiranya berada di luar negara.

Scha Bimbang Anak Terdedah Bahaya Gara-Gara Media Sosial

Pelakon Scha Al Yahya berasa bimbang mengenai keselamatan anaknya, Lara Alana kerana kehidupan peribadi bayi tersebut terlalu terdedah menerusi media sosial yang diwujudkannya. Scha, 31, juga sedar mendedahkan bayi berusia empat bulan itu kepada umum mempunyai banyak bahaya dan boleh mendatangkan risiko. "Pada mulanya saya tidak setuju apabila Awal ingin buka akaun Instagram dan Facebook Lara kerana bimbang keselamatan dia. "Saya risau dia lebih dikenali ketika di luar, tetapi Awal menganggap ia sebagai perjalanan kehidupan anak kami," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama komedi 3 Campur 2, di Souled Out, di sini, Khamis.
Scha berkata demikian ketika diminta mengulas tentang media sosial Instagram dan Facebook yang dibuka atas nama kanak-kanak itu. Perkara tersebut mengundang pelbagai reaksi masyarakat yang menganggap sebagai mendedahkan privasi bayi tersebut kepada risiko terhadap keselamatan. Sementara itu, jelas Scha, laman sosial Facebook yang dibuka itu bagi mengelakkan akaun palsu yang dibuka oleh pihak tidak bertanggungjawab. Tambahnya, pihak tersebut menggunakan nama Lara Alana bagi menarik pengikut supaya laman itu dapat dijual kepada pihak lain. "Banyak sangat akaun Facebook palsu yang mana mereka buka untuk dapat keuntungan. Itu sebabnya kami sengaja buka akaun Lara sebenar agar peminat tidak tertipu," ujarnya. Dalam pada itu, Scha berkata, setakat ini tiada perkara tidak diingini berlaku selepas akaun media sosial itu diwujudkan.

Awal, Scha saling membantu

MELIHAT reaksi wajah pasangan itu ketika bercerita mengenai ragam anak pertama mereka Lara Alana, jelas membuktikan bahawa Lara membawa semangat baharu dalam kehidupan mereka. Kosong pengalaman dalam penjagaan anak, namun hal itu tidak sedikit pun mematahkan semangat Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya memastikan permata mereka mendapat kasih sayang secukupnya. Mereka terpaksa berkorban masa, tetapi sebagai ibu bapa itulah lumrah yang menjadi tanggungjawab berat untuk dipukul sepanjang membesarkan anak. Bagaimanapun pada sisi lain, karier seni masing-masing tidak dilupakan dalam usaha meneruskan kelangsungan kehidupan. Bercerita lanjut mengenai ragam yang terpaksa dihadapi oleh pasangan ini, Scha berkata, dia terpaksa berkorban masa dan tenaga sejak kehadiran Lara dua bulan lalu. Di samping itu, mahu tidak mahu dia juga terpaksa belajar selok-belok dalam menjaga bayi pertama mereka. "Sejak saya melahirkan Lara, Awal banyak melakukan segala perkara. Bermula dengan memandikan Lara sehingga menidurkan dia, saya rasa dia lebih banyak menjaga Lara. Kini giliran saya pula menjaga Lara memandangkan Awal sibuk dengan kerjanya. "Apa yang menjadi cabaran utama kepada saya ialah ketika hendak memandikan Lara. Pada mulanya saya sangat takut untuk memandikan Lara memandangkan saya tidak mempunyai pengalaman langsung dalam hal sedemikian. Namun kini, saya sudah biasa dan menjadi rutin saya untuk memandikannya," katanya ketika ditemui pada pelancaran koleksi terbaharu jenama kulit Ecco di Bee Solaris Dutamas, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Scha menambah, mereka juga berkorban masa apabila terpaksa bangun setiap dua jam pada tengah malam untuk memastikan Lara tidak menangis kehausan susu. Sementelah, dia berusaha untuk memberi anaknya susu badan. "Perkara yang banyak menguji kesabaran kami ialah ketika terpaksa bangun malam untuk memastikan Lara tidak menangis. Kami sangat risaukan Lara apabila dia mula menangis dan hauskan susu. Sememangnya ia bukan tugas yang mudah. "Di samping itu, jika dahulu kami hanya mengambil masa dua jam sahaja untuk bersiap, kini kami terpaksa mengambil masa empat jam untuk bersiap disebabkan banyak barang yang perlu dibawa termasuk barangan keperluan Lara," katanya yang mengakui telah bersedia berhadapan dengan situasi tersebut. Ditebak soalan mengenai kritikan yang diterima pasangan ini ketika mengambil keputusan untuk membawa anak mereka yang masih kecil untuk melancong ke Perth, Australia baru-baru ini, pasangan ini mengakui sudah meminta pandangan profesional mengenai hal tersebut. "Pada mulanya saya agak gusar untuk membawa Lara bercuti ke Perth baru-baru ini memandangkan dia masih kecil. Tetapi setelah meminta pandangan daripada doktor, ia tidak menjadi permasalahan kepada bayi untuk untuk pergi bercuti. Malah ia dikatakan mampu untuk menguatkan sistem imun badan bayi. "Jadi, kami rasa ia tidak menjadi permasalahan untuk membawa bayi menaiki kapal terbang dan bercuti kerana ia sememangnya bagus untuk bayi tersebut. Namun demikian, saya tidak menafikan mengenai risiko keselamatan. Ahamdulillah segala berjalan dengan lancar. "Lagipun ketika hamil, saya dan suami banyak menghabiskan masa bercuti dan pernah ke beberapa tempat peranginan termasuk Indonesia, London, Thailand dan Terengganu, perkara itu telah menjadi kebiasaan kepada saya," ujar Scha yang bercadang untuk membawa anak mereka bercuti ke Amsterdam menjelang awal tahun depan.
Tiga bulan Meninggalkan cerita kebahagiaan mereka dengan kehadiran Lara, Scha ditanya tentang kesediaannya kembali aktif selepas menjadi ibu. Kata Scha, tidak pernah terlintas langsung di dalam hatinya untuk berhenti dalam bidang lakonan mahupun pengacaraan. Bagaimanapun, akuinya dia telah meletakkan satu tempoh bagi dirinya untuk memberi keutamaan kepada anaknya terlebih dulu sebelum kembali aktif di dalam bidang seni. "Buat masa sekarang saya tidak terfikir untuk menerima sebarang tawaran lakonan kerana saya perlu memberi sepenuh perhatian kepada Lara. Lagipun, kami masih lagi belum menemui penjaga yang sesuai untuk menjaga anak kami. Saya tidak mahu menganggu suami saya kerana dia juga sibuk dengan kerjayanya. "Insya-Allah pada masa akan datang saya akan mencari pengasuh untuk menjaga anak kami dalam masa terdekat. Mungkin selepas memperolehi pengasuh yang sesuai saya akan terus bergiat aktif kembali. Namun buat masa sekarang, untuk tempoh tiga bulan ini, saya dan Awal akan menjaga anak kami sendiri secara bergilir-gilir," katanya yang masih mengacara program Muzik-Muzik untuk TV3. Scha menambah, walaupun bercadang untuk mencari pengasuh untuk anaknya, dia tetap akan mengawasi permata hatinya itu dari semasa ke semasa. "Saya mahu anak saya membesar di depan mata dan saya mahu dia mendapat kasih sayang yang secukupnya daripada kami," kata Scha tegas.

LARA ALANA - WAJAH COMELNYA BUAT HATI TERTAWAN

Jika sebelum ini, wajah anak sulung Scha Alyahya dan Awal Ashaari yang dipaparkan oleh mereka agak sipi dan kurang menampakkan wajahnya, terbaru... wajah comel Lara Alana yang lahir 22 Julai lalu akhirnya didedahkan kepada umum. "Salam Jumaat semua. Name given is Lara Alana Ahmad Awaluddin. Have a blessed Friday all 2weeks schaalyahya schawal babyschawal," ujar Scha di laman instagramnya. Jom tengok!

'LARA' NAMA BABY SCHA AL-YAHYA & AWAL ASHAARI

'Lara' merupakan nama yang diberikan oleh Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya untuk puteri sulung mereka yang lahir baru-baru ini. Namun tidak diketahui jika masih ada nama sambungan selepas nama tersebut. Memang cantik nama tu... tahniah diucapkan buat mereka.

Awal Ashaari Akan Dedah Wajah Anak Selepas Scha Habis Pantang

Pelakon dan pengacara Awal Ashaari hanya akan mendedahkan wajah dan nama anak perempuan mereka kepada umum selepas isterinya, aktres, Scha Al-Yahya tamat tempoh 44 hari berpantang. Awal menerusi laman sosial Instagram miliknya memaklumkan perkara itu menerus hastag #abispantangbarubolehkenal selepas berkongsi sekeping gambar anaknya yang tidak didedahkan wajah. Rata-rata peminat menyatakan rasa tidak sabar untuk melihat pasangan berkenaan memperkenalkan anak mereka. Salah seorang pengikut Awal yang dikenali sebagai @cik_eyyma berkongsi pendapat dengan mengatakan: "Bayi bawah 40 hari tidak digalakkan untuk gambarnya buat tatapan umum dan ini menurut Al-Quran dan Hadis.
Manakala @aynissa pula memberitahu:"Anak dia, ada la sebab tidak mahu tunjuk. Sabar, nanti dia akan tunjuk juga". Bagiamanapun ada segelintir peminat yang menganggap Awal tidak sepatutnya merahsiakan identiti anaknya itu dan cukup sekadar tujuh hari dia berbuat demikian. Sebaliknya ada yang menyarankan agar peminat yang tidak sabar untuk melihat anak pasangan tersebut supaya menziarahi ke rumah pelakon itu untuk bertemu sendiri dengan bayi berkenaan. Kata @cnahasina1086: "Kalau rasa hendak tengok sangat bayi Awal dan Scha pergi sahaja melawat ke rumah atau pun tunggu sahaja seleas 40 hari baru buka kembali Instagram mereka.
Awal hanya memuat naik gambar anaknya yang hanya memperlihatkan bahagian badan sahaja. "Daripada mengutuk lebih baik doakan kebaikan untuk mereka. Semoga bayi mereka menjadi anak yang solehah". Scha selamat bersalin kira-kira pukul 5.50 petang pada 22 Julai lalu di Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur dan bayi perempuan seberat 3.17 kilogram itu dilahirkan secara normal. Awal yang dihubungi tidak menjawab panggilan telefon untuk bercerita lebih lanjut mengenai bayi berkenaan. Scha dan Awal berkahwin pada 4 Mei 2012 di Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya dan ia turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria.

Awal Ashari Lebih Cerewet Berbanding Isteri

Pelakon dan pengacara Awal Ashaari mengakui cerewet dalam memilih dan membeli barangan kelengkapan untuk anak pertama berbanding isterinya, Scha Al-Yahya. Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 32, berkata, dia bersikap demikian kerana ingin memberi yang terbaik buat anak sulung mereka selain teruja bakal bergelar bapa pada akhir Julai depan. "Antara kami berdua saya paling cerewet dalam membeli barangan untuk anak kerana saya terlalu teruja bakal bergelar bapa sehingga kadang-kala Scha marah sebab menganggap ia membazir. "Bagaimanapun apa yang saya lakukan adalah untuk anak kami dan mahu memberikan terbaik kepadanya apabila dia lahir kelak," katanya kepada mStar Online. Awal ditemui pada majlis pertunjukan fesyen oleh pereka fesyen terkenal Rizalman Ibrahim iaitu Rizalman for Zalora di White Box Publika di sini, Selasa. Dalam pada itu, Awal berkata, setiap hari dia dan Scha akan meluangkan masa untuk membaca bahan bacaan tentang tip penjagaan anak sama ada menerusi internet atau pun buku.
Jelas Awal, menerusi pembacaan mampu membuatkan mereka lebih yakin dan bersedia untuk menguruskan anak itu nanti selain meminta pandangan daripada pihak berpengalaman. "Selain membaca saya juga banyak meminta nasihat dan pandangan daripada keluarga atau rakan-rakan yang sudah mempunyai anak kerana dengan cara itu kita dapat memahami bagaimana ingin menguruskan sesuatu perkara tentang bayi," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Awal berkata, dia kini sedang sibuk menguruskan restoran pertamanya di The Curve, Damansara yang dijangka dibuka selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. Jelas Awal, dia memilih untuk membuka restoran berkenaan kerana minat mendalam dalam bidang perniagaan selain sebagai persediaan untuk masa hadapan. "Kini tanggungjawab semakin besar dan saya tidak boleh bergantung kepada karier sebagai selebriti sahaja dan perlu melakukan sesuatu sebagai jaminan masa depan. "Alhamdulilah setakat ini perancangan untuk membuka restoran tersebut berjalan dengan baik dan berharap ia akan mendapat sambutan daripada orang ramai," ujarnya.

Tidak mahu mewahkan anak - Scha

TIDAK dinafikan berita kehamilan pelakon Scha Al-Yahya benar-benar menggembirakan ramai peminatnya . Ini kerana bukan sahaja peminat Scha yang cukup teruja tetapi peminat kepada suaminya juga iaitu Awal Ashaari rasanya cukup tertunggu berita baik ini. Kelihatan anggun dan sihat di kala kandungannya sudah memasuki 24 minggu, Scha tidak menolak di awal tiga bulan kehamilan dia mengalami alahan yang amat teruk. Jujurnya melihat kehidupan pasangan stailo ini, sudah ada yang menggambarkan anak kepada kedua selebriti ini juga bakal menjadi perhatian. Mana tidaknya jangkaan pasti merasakan anak pertama pasangan ini nanti tentunya akan dibesarkan dalam kemewahan. Menyangkal kenyataan itu, menurut Scha permata hatinya itu tidak akan sama sesekali berada pada medium kemewahan sepanjang proses pembesarannya kelak. Mengakui agak tegas dalam soal ini, bagi Scha dia tidak menolak suaminya itu nanti akan sedikit berbeza dari sikapnya. Enggan terus memanjakan anaknya dengan kemewahan, Scha dengan tegas sudah memberitahu Awal agar tidak membesarkan anak mereka nanti setanding anak-anak pasangan artis Hollywood. Jika ada yang mahu mengatakan anak yang bakal lahir ini nanti bakal menandingi "Suri Cruise", bagi Scha soal itu tidak semestinya perlu tampilkan anak mereka dengan pakaian mewah sentiasa. Sebaliknya, memadai dengan menyesuai padan pakaian tidak berjenama juga boleh dilakukan. "Ibu mertua serta keluarga saya sendiri sudah menasihati agar tidak mengajar anak dengan hidup bermewah-mewah sejak dari kecil. "Saya sendiri sudah diasuh untuk belajar mendapatkan sesuatu dengan usaha sendiri. Dengan ajaran yang sama, saya mahu anak saya juga begitu. Memang kalau lihat dari sekarang juga memang nampak Awal yang akan manjakan anak ini dan saya akan jadi sedikit garang dengan anak-anak," katanya. Menolak sudah membeli belah sakan untuk menyambut kehadiran orang baharu nanti, bagi Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 31, buat masa ini masih belum ada persiapan secara besar-besaran. Sungguhpun Scha sudah menetapkan pendiriannya begitu, Awal bagaimanapun nampaknya sudah teruja untuk mendapatkan sedikit barangan bayi. "Buat masa ini kami tidak buat persiapan lagi, memang Awal sudah mahu membeli tetapi saya kata nanti dahulu, belum masanya lagi. Buat masa ini kami baru dapatkan kereta sorong bayi, itu pun berwarna hitam. Selain itu juga kami sudah membelikan pengepam susu. "Selain itu, sewaktu ke United Kingdom tempoh hari Awal ada beli bantal busuk berjenama Dior. Memang saya kata kepada Awal hanya itu sahaja yang boleh dibeli buat masa sekarang. Sebab saya memang tidak mahu beli barangan yang mewah," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran wangian terbaharu Avon di Kuala Lumpur. Walaupun Scha sudah nampak comel dengan badan yang agak berisi kini, namun kandungannya itu belum dapat dipastikan jantina. Jujurnya Scha tidak merasakan jantina anaknya sebagai suatu perkara yang penting memandangkan dia lebih mementingkan kesihatan anaknya itu nanti. "Memang sudah dua kali kami membuat imbasan, tetapi kedudukan kandungan terlalu ke bawah. Jadi, doktor tidak dapat memastikan jantina kandungan lagi buat masa sekarang. Kalau ikutkan saya memang tidak kisah, lelaki ke perempuan ke, sama sahaja bagi saya. Tetapi untuk Awal, memang jelas dia mahukan anak lelaki. "Kalau ikutkan memang badan saya agak berisi sekarang, mungkin sebab saya selera makan. Sewaktu trimester pertama memang saya tidak lalu makan dan hilang empat kilogram. Alhamdulillah sekarang memang saya kuat makan, jadi badan itu sedikit naik," katanya. Terus berkongsi kisah sepanjang kehamilan, menurut Scha tiga bulan pertama kandungan keadaannya agak teruk. Malah ada suatu ketika dia turut merasakan amat tertekan sehingga mengganggu sedikit emosinya, menjadi tidak keruan. Pun begitu, menganggap momen ini sebagai satu anugerah terindah, bagi Scha pada mulanya dia tidak menyangka dirinya hamil. Ini kerana, tiga bulan sebelum disahkan hamil dia pernah mengidapi endometriosis. "Memang pada awal tiga bulan keadaan saya amat teruk. Saya tidak boleh terima gangguan, malah telefon saya juga diletakkan dalam mood senyap. Pada suatu ketika saya terasa amat tertekan. Oleh kerana begitu takut, saya tanyakan kawan-kawan saya tentang soal ini, nyata kata mereka ia hanya satu fasa biasa bagi ibu mengandung. "Saya disahkan mengandung selepas membuat endoskopik ekoran saya disahkan menghidap endometriosis. Sangat tidak sangka. Kami memang terkejut pada mulanya, tetapi dalam masa yang sama sangat teruja," katanya yang pernah menyimpan impian untuk bergelar ibu sebelum berusia 30 tahun.

Awal Ashaari Terasa Hati Dengan Scha Al Yahya

Pengacara Awal Ashaari mengakui pernah berkecil hati dengan perubahan sikap isterinya, Scha Al-Yahya yang kini sedang mengandung anak sulung. Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 32, berkata, bagaimanapun dia memahami perubahan sikap Scha memandangkan isterinya itu sedang mengalami perubahan hormon sepanjang tempoh sembilan bulan mengandung. "Awal-awal dulu, adalah terasa sedikit dengan sikap Scha yang berubah-ubah, tetapi saya faham sebab perubahan itu berlaku. "Cuma rasa pelik, karakternya yang lasak dan agresif sebelum ini telah berubah 100 peratus kepada wanita yang bersifat lembut dan feminin. "Malah Scha juga bertukar kepada seorang wanita yang penyabar. Tetapi apabila bercakap perkara ini dengannya, dia akan marah dan tidak percaya dengan apa yang saya katakan mengenai perubahannya itu," katanya kepada mStar Online. Tambah Awal, dia juga teruja melihat perubahan Scha atau nama sebenar Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 31 malah berasa seperti berkahwin dengan wanita lain pula. Dalam pada itu, Awal berkata, dia dan Scha masih lagi belum membuat sebarang persiapan bagi menyambut kehadiran anak sulung mereka yang dijangka bakal dilahirkan pada bukan Jun ini. "Scha memang tak mahu membeli barangan bayi buah masa ini. Dia berasa lebih elok jika persiapan dibuat ketika usia kandungan sekitar lapan hingga sembilan bulan. "Selepas bersalin nanti, Scha juga mahu berpantang di kondominium ibunya sendiri kerana senang tidak perlu bergerak jauh berbanding rumah sendiri yang sana sini banyak tangga," selorohnya. Dalam perkembangan lain, Awal kini sedang merancang untuk membuka sebuah kafe di sekitar Damansara dalam masa terdekat ini.

Scha Al-Yahya Dibedah, Buang Ketumbuhan Dalam Rahim

Sebuah akhbar mingguan melaporkan pengacara dan pelakon popular, Scha Al Yahya baru sahaja menjalani pembedahan membuang ketumbuhan Endometriosis dalam rahimnya pada awal September lalu. "Doktor maklumkan ketumbuhan itu belum sampai tahap serius, tetapi jika tidak dibuang, ia boleh membesar dan membahayakan nyawa. Atas nasihat doktor, saya setuju dibedah dan tidak mahu berlengah lagi," ujar Scha yang juga isteri kepada pengacara, Awal Ashaari. Walau pun disarankan agar berehat selama sebulan, namun pelakon drama 'Jodoh' ini berehat selama dua minggu sebelum menyambung tugas-tugasnya seperti biasa.

Awal suami prihatin

“SCHA banyak makan tapi tetap kurus. Nak buat macam mana," kata pelakon Scha Al-Yahya, 30, berhubung berat badan yang semakin menyusut sejak kebelakangan ini berbanding awal pembabitannya kira-kira enam tahun lepas. Bahkan perubahan berat badan bekas pramugari itu semakin ketara selepas mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Awal Ashaari pada 4 Mei tahun lalu. Menafikan dirinya mengamalkan diet harian yang ekstrem, Scha menegaskan bahawa dia antara wanita yang mempunyai tahap metabolisme tinggi. Sibuk dengan rutin kerja seni secara tidak langsung juga mempercepatkan proses penghadaman. Lantaran itu dia tidak pernah mengehadkan pemakanan hariannya. Lazimnya Scha turut menyimpan stok makanan untuk dikunyah sekiranya dia keluar bekerja. “Orang nampak Scha semakin mengecut dan Awal semakin ‘segar’ di kaca televisyen. Orang yang perasan mungkin tertanya-tanya kenapa boleh jadi macam itu. “Seperti kebanyakan pasangan yang berkahwin pasti ada ada perbezaan fizikal. Kalau suami tak naik badan pasti si isteri. “Tapi dalam konteks perkahwinan Scha dengan Awal perkara itu macam terbalik pula. Dan lepas itu orang cakap Awal tak pandai jaga Scha sebab terlalu melidi. “Sedangkan sebenarnya Awal memang seorang suami yang prihatin. Dia amat menitikberatkan soal pemakanan Scha. Dia selalu ingatkan Scha tentang waktu makan. Jangan sesekali langgar takut kena penyakit lain pula," katanya dalam temubual baru-baru ini. Pemegang Diploma Teknologi Maklumat dari Kolej Pusat Teknologi dan Pendidikan Lanjutan (PTPL), Shah Alam, Selangor ini juga mendedahkan bahawa Awal lebih prihatin bab diet berbanding dirinya. Setiap kali tiba waktu makan bersama, Awal hanya menjamah juadah dengan kadar yang minimum. Sementara Scha pasti akan makan sehingga lauk habis dan betul-betul kenyang.

Scha ingin doa dapat anak depan Kaabah

PASANGAN sama cantik sama padan, Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari bakal mengerjakan umrah buat pertama kalinya selepas mendirikan rumah tangga tahun lalu. Sudah mendaftar dengan sebuah agensi perkhidmatan umrah, akui Scha ketika ditemui pada sesi rakaman program Raya Sakan Bersama FBI di TV9, perkara utama yang ingin dimohon mereka di depan Kaabah adalah supaya dikurniakan anak. Scha juga mengakui berasa takut dan dalam masa yang sama teruja kerana buat pertama kalinya dia bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu. Scha dan Awal melangsungkan perkahwinan pada 4 Mei 2012. Sudah setahun lebih mereka mendirikan rumah tangga tetapi belum dikurniakan cahaya mata. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Scha tentang perancangannya menunaikan umrah bersama Awal. KOSMO!: Bilakah Scha dan Awal merancang untuk mengerjakan umrah? SCHA: Kami merancang mengerjakan umrah pada minggu kedua atau ketiga Ramadan ini. Berapa lamakah kalian akan berada di sana nanti? Kemungkinan kami akan berada di sana selama 10 hari. Sudah mendaftar dengan agensi untuk mengerjakan umrah? Kami sudah mendaftar dengan sebuah agensi, tetapi Awal masih melihat beberapa lagi agensi. Dia memang cerewet dan kalau boleh dia mahukan agensi yang benar-benar bagus. Bagaimana boleh merancang untuk mengerjakan umrah bersama? Satu hari, saya tiba-tiba terdetik untuk mengerjakan umrah dan menyatakan hasrat tersebut kepada dia (Awal). Tanpa banyak soal, Awal bersetuju dan kami terus merancang untuk mengerjakannya bersama pada tahun ini. Adakah ini pertama kali kalian akan mengerjakan umrah? Awal sudah pernah mengerjakan umrah, sebaliknya saya baru pertama kali. Adakah kalian berdua sahaja ke sana nanti? Keluarga saya dan Awal akan turut sama mengerjakan umrah.
Apa perkara utama yang ingin dipohon? Tidak dinafikan memang kami pergi ke sana untuk berdoa mendapat cahaya mata. Selain itu, kami juga ingin berdoa agar lebih dimurahkan rezeki. Bagaimana persiapan anda untuk ke sana? Buat masa ini saya ada membeli beberapa buku panduan mengerjakan umrah. Kami juga akan menghadiri kursus untuk mendapat gambaran dan sedikit ilmu sebelum menjejakkan kaki ke sana. Bagaimana anda ingin gambarkan perasaan apabila mengerjakan umrah nanti? Sejujurnya, saya akui takut sebab pertama kali pergi ke sana dan dalam masa yang sama teruja untuk mengerjakan umrah. Saya juga teringin melihat keadaan di sana. Selain mengerjakan umrah, bagaimana pula dengan jadual seni anda? Buat masa ini, saya memang bercadang untuk mengehadkan aktiviti seni pada bulan puasa ini. Tetapi kalau ada aktiviti yang saya tidak boleh tolak, saya akan ambil. Contohnya, rakaman-rakaman yang sudah terikat seperti Melodi Raya, Kecohnya Beraya dan Raya Sakan Bersama FBI. Bagaimana dengan persiapan puasa tahun ini? Saya dan Awal memang akan bangun sahur setiap hari. Tetapi kalau Awal ada aktiviti seni pada sebelah pagi, dia akan beritahu saya yang dia tidak mahu bangun sahur. Apa menu wajib berbuka puasa anda berdua? Kalau untuk berbuka puasa, saya memang wajib ada ayam percik, air tebu dan popia basah. Awal pun sama cuma dia tidak makan nasi. Dia suka ratah lauk sahaja. Apakah drama atau filem lakonan Scha yang akan datang? Filem Papadom 2 dan filem aksi, Dampak akan keluar lepas raya nanti.

Sedia bergelar ibu - Scha

PERCINTAAN kira-kira tiga tahun antara Scha Al Yahya bersama suami tersayang, Awal Ashaari yang berakhir di jinjang pelamin Mei tahun lalu, sehingga sekarang belum menunjukkan tanda-tanda pasangan itu bakal bergelar ibu dan bapa. Ini mungkin disebabkan kedua-duanya sibuk menjalani kehidupan seharian sebagai pelakon dan pengacara demi kebahagiaan bersama. Bertemu dengan Scha baru-baru ini, dia mengakui bahawa tidak sempat untuk ‘bermesra’ bersama Awal. Setelah 10 bulan berkahwin, Scha akui penantian demi penantian terpaksa diharungi walaupun dia suka dengan kanak-kanak. “Scha dengan Awal memang tidak merancang. Kami bersedia bila-bila masa sahaja untuk bergelar ibu dan bapa. Mungkin belum rezeki lagi. Tunggu sajalah," katanya. Menurut Scha, kesibukan antara dia dan suami juga membataskan segalanya sehingga hanya sempat meluangkan masa kira-kira 10 minit setiap hari. “Semua orang tahu kerjaya kami macam mana. Nak tak nak, kami terpaksa harunginya bersama. Kami hanya dapat berjumpa betul-betul apabila sebelum tidur sahaja. Berbual dalam 10 minit dan tidur. “Memang masing-masing susah hendak berjumpa. Kadang-kadang pagi saya pergi kerja, dia tidur. Bila saya balik petang, dia pula keluar pergi kerja," katanya selepas pratonton filem Awan Dania The Movie, baru-baru ini. Menyentuh spekulasi yang mengatakan Scha telah hamil, pelakon itu menafikan khabar angin tersebut dan mengaku dia bersedia untuk mempunyai anak bila-bila masa. “Biasalah bila dah kahwin, mesti akan ada orang tanya. Tapi bila dah dispekulasikan, baguslah, orang doakan juga. “Umur pun masing-masing dah lanjut. Saya tidak akan menolak jika hamil kerana saya sudah bersedia untuk bergelar ibu," tambah pelakon berusia 30 tahun itu. Menjawab persoalan ‘kehilangan’ kelibatnya dalam dunia seni setelah berkahwin, Scha berkata, dia memang berhenti selama enam bulan selepas berkahwin untuk menumpukan perhatian kepada keluarga. Tambah Scha, dia senyap daripada berlakon bukan bererti dia sudah meninggalkan dunia hiburan tetapi buat apa yang patut sebagai seorang isteri. “Saya cuma sibuk dan uruskan hal keluarga. Saya tidak mahu peminat keliru dan salah faham. Saya buat semua itu untuk keluarga dan diri sendiri terutama sekarang sudah bergelar isteri. Kewajipan itu penting! “Kasih sayang kepada suami itu yang perlu dan saya cuba membahagikan masa antara kerja dan suami. Saya juga akan buat segala kerja rumah apabila ada masa lapang," katanya. Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Jodoh itu juga mengharapkan sesuatu yang lebih bagus dalam hidupnya selepas berkahwin. Ditanya mengenai tawaran berlakon sekarang yang dilihat kebanyakannya muncul dalam televisyen, Scha menafikan bahawa dia adalah pelakon televisyen kerana dia turut mendapat tawaran berlakon di dalam filem seperti KL Drift, Papadom 2, Histeria dan terbaru Awan Dania The Movie. Dalam pada itu, Scha berkata, dia kini sudah menarik nafas lega kerana filem Awan Dania The Movie yang disimpan hampir tiga tahun ditayangkan di pawagam. Memegang watak Dania dalam filem terbarunya, dalam Awan Dania The Movie, Scha masih lagi mengekalkan watak asal, namun kehadiran watak baru iaitu Rusdi Ramli sebagai Kapten Remy membuatkan Scha sedikit kekok untuk membawa wataknya. “Ini pertama kali saya berlakon bersama Rusdi. Saya sebenarnya malu dengan dia. Mana tidak, dia seorang yang berkarisma dan berkredibiliti. Dengan ton suara dia yang seksi, renungan dia serta cara dia berkata-kata yang sedap didengar. Tapi itu hanya pada awal sesi penggambaran sahaja kerana sikapnya merendah diri membuatkan saya selesa berlakon dengan Rusdi," katanya apabila ditanya mengenai pengalaman berlakon bersama Rusdi Ramli. Mengulas mengenai kelainan pada watak Dania, Scha memberitahu, perwatakan Dania itu sendiri masih sama cuma ada perbezaan ketara dari segi jalan cerita garapan pengarah kali ini lebih matang. “Dania tetap Dania. Memang tidak ubah dari perangai di dalam siri, di dalam filem ini pun dia seorang yang kelam kabut, gelabah, bising dan suka buat kacau. Melihat balik filem ini, ia lebih kepada percintaan dan Dania pula sering menimbulkan pergaduhan dengan kawan baiknya, Tania," ujarnya. Selain itu, Scha berkata, filem itu merupakan kerjasamanya yang pertama dengan Rashid Sibir. Pada awalnay dia berasa sangat gementar tetapi kebaikan Rashid cepat membuatkan dia selesa. Seronok Berbalik kepada pembabitannya dalam dunia seni, Scha kini dilihat semakin versatil kerana sedang sibuk mengacara rancangan carta lagu popular Muzik-Muzik 28 dan bergandingan dengan penyampai radio Hot FM, AG. Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir Alyahya menyifatkan peluang itu sebagai satu mimpi yang menjadi kenyataan, namun bagi Scha, ia bukanlah sesuatu yang mudah dan perlu menyeimbangkan kerjayanya. “Ini adalah kali pertama kali saya berkerja dengan Media Prima dan saya sangat seronok sekali dapat mengacara rancangan Muzik-Muzik. “Tidak sangka hasrat untuk mengembangkan kerjaya sebagai pengacara pada tahun 2013 termakbul selepas menerima tawaran itu. Memang saya sudah berniat untuk mencari peluang menjadi pengacara televisyen sejak tahun lalu. “Apabila dirisik untuk uji bakat Disember lalu, saya nekad dan mahu mencuba. Akhirnya TV3 meletakkan kepercayaan untuk saya mengacarakan rancangan itu. Oh, termakbul juga impian saya," katanya gembira. Semua itu memang rezeki Scha selepas berkahwin dan apa yang penting sekarang adalah keserasian gandingan julung kalinya bersama AG. “Saya berharap sangat AG dapat bertolak ansur dan saling membantu. Saya juga perlu pandai selarikan diri untuk dapatkan keserasian. Komitmen program ini lama iaitu sehingga setahun, jadi saya harap dapat meningkatkan mutu mengacara dan mempelbagaikan perwatakan agar sebati dengan Muzik-Muzik," kongsinya. Memperluaskan perniagaan Sememangnya ramai artis-artis tanah air kita hari ini yang semakin rancak memperluaskan empayar masing-masing dalam bidang perniagaan. Begitu juga dengan Scha, walaupun sibuk berlakon dan mengacara, dia tetap berusaha menguruskan perniagaan secara kecil-kecilan dalam bidang fesyen di kedai Schapoholic miliknya. Terletak di Tingkat 1, Pusat Membeli-Belah The Curve, Mutiara Damansara yang telah beroperasi hampir dua tahun, Scha kini sudah bersedia melebarkan sayap perniagaannya dan akan membuka cawangan kedua Schapoholic di Wangsa Walk Mall tahun ini. “Alhamdulillah, setakat ini sambutan yang diterima amat memberangsangkan serta hebat dengan kehadiran ramai pelanggan," ujarnya. Antara barangan yang terdapat di kedai Scha adalah seperti tas tangan, cekak rambut, blaus, aksesori seperti rantai dan cincin dan pelbagai lagi. Harga yang sangat berpatutan juga mampu buat anda puas membeli belah di kedai Scha.

Scha Mahu Lebih Menonjol Sebagai Pengacara

PETALING JAYA: Pelakon Scha Al Yahya berazam untuk lebih menonjol sebagai seorang pengacara dan tidak akan menolak jika ada mana-mana syarikat produksi yang ingin memberinya peluang itu. Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 30, berkata, dia tidak pernah berasa kekok bergelar pengacara kerana sifatnya yang memang gemar bercakap. "Saya memang suka bercakap di depan kamera dan tidak keberatan untuk menerima sebarang tawaran sebagai pengacara sekiranya berpeluang kerana begitu menyukai bidang itu. "Malah apabila TV3 menawarkan saya untuk menerajui program Muzik-Muzik saya tidak fikir panjang kerana saya memang menantikan peluang untuk bergelar pengacara," jelasnya kepada mStar Online. Scha sebelum ini pernah mengacarakan program Sehati Berdansa bergandingan dengan pelakon Fahrin Ahmad. Dalam pada itu, Scha berkata, selain lakonan dan bidang berkenaan, dia dan suami, Awal Ashaari juga sibuk menguruskan perniagaan mereka iaitu Schapoholic yang menjual pakaian dan aksesori wanita. Menurut Scha, perniagaan itu semakin berkembang dan mereka telah pun membuka cawangan kedua di Wangsa Walk Mall di Wangsa Maju dekat sini selepas mendapat permintaan ramai. "Syukur perniagaan semakin berkembang dan cawangan terbaharu ini kami dapat tapak yang lebih besar berbanding kedai pertama yang hanya kios sahaja dan sambutan sangat menggalakkan," katanya. Kios pertama Schapobolic milik pelakon itu terletak di pusat membeli belah, The Curve, Kota Damansara di sini. Dalam perkembangan lain, Scha memberitahu dia bakal muncul dengan drama berjudul Hero Malaya dan sebuah telefilem, Lady Gagap untuk slot Cerekarama di TV3.

Scha Tak Menolak Jika Hamil

Susulan laporan dalam sebuah blog hiburan yang mengatakan pelakon cantik, Scha Al Yahya dikatakan hamil, MH Online mendapatkan komen daripada pelakon filem 'Awan Dania The Movie' ini. "Saya ada membaca artikel tersebut dan apa yang boleh saya katakan, sehingga kini saya belum ada rezeki untuk hamil. Doa-doakanlah agar saya dan Awal cepat dapat zuriat," ujar Scha yang ditemui ketika Program Bercuti Bersama Dania ke Pulau Langkawi. Ditanya perancangan untuk memiliki cahaya mata, Scha mempunyai penjelasan tersendiri; "Disebabkan kesibukan masing-masing, saya dan Awal tidak memikirkan sangat tentang anak. Namun, saya tidak akan menolak jika hamil kerana saya sudah bersedia untuk bergelar ibu."

Scha Tiada Masalah Sering Terima Watak Wanita Kasar

KUALA LUMPUR: Pelakon Scha Al Yahya menganggap watak wanita kasar yang sering diberikan kepadanya bukanlah satu masalah kerana ia adalah kekuatan pada dirinya. Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 30, berkata, dia tidak melihat perkara itu sebagai negatif kerana yakin pihak pengarah atau penerbit mempunyai sebab-sebab tertentu memberikan watak seperti itu. "Masalah watak stereotaip ini bukan sahaja saya seorang yang alami kerana pelakon lain turut berhadapan perkara sama namun saya sebagai pelakon melihatnya dari sudut positif. "Saya sentiasa diberikan peranan sama mungkin disebabkan itu adalah kekuatan saya dan barangkali watak serius dan romantik sesuai dengan pelakon lain," jelasnya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Scha berkata, meskipun tidak kisah sentiasa diberikan watak sama dia tetap menyimpan hasrat untuk mempelbagaikan korektornya sebagai pelakon. Katanya, jika diberi peluang dia sentiasa bersedia untuk menyahut cabaran tersebut demi memantapkan lagi kariernya dalam bidang lakonan. "Saya tiada watak tertentu yang diidamkan namun jika diberi peluang berilah apa pun saya akan lakukan kerana itulah kerja saya sebagai pelakon. Sementara itu, Scha berkata, dia agak gementar apabila pertama kali turun ke set penggambaran filem Awan Dania The Movie di bawah arahan Rashid Sibir. Jelasnya, perasaan itu timbul kerana dia berasa malu dengan Rashid yang sangat dikaguminya. "Selama beberapa hari juga saya berperasaan begitu tetapi syukur Abang Rashid sangat mesra dan sentiasa membantu para pelakon untuk menghayati watak diberikan. "Tambahan Awan Dania versi filem berlainan dengan apa yang ditonjolkan dalam drama bersirinya membuatkan saya perlu fokus kepada visi yang dimahukan oleh pengarah," jelasnya. Selain Scha, filem yang bakal ditayangkan pada 14 Mac ini turut menampilkan pelakon seperti Elly Mazlein, Jehan Miskin, Rusdi Ramli, Ruminah Sidek, Hans Isaac dan Dee (Jangan Ketawa).

Scha Alyahya berbadan dua.

Maksud kami berbadan dua disini ialah Scha sedang mengandung. Korang sendiri boleh nampak. Tak banyak yang hendak diceritakan Cuma kami ingin kongsikan berita terbaru beliau.

Hajat Scha Mahu Jadi Pengacara Muzik Muzik Tercapai

PETALING JAYA: Pelakon Scha Al Yahya menyifatkan peluang mengacarakan program carta lagu popular Muzik Muzik (MM) 28 sebagai mimpi yang menjadi kenyataan. Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 30, berkata, dia tidak menyangka hasrat untuk mengembangkan kerjaya sebagai pengacara pada 2013 termakbul selepas menerima tawaran itu. "Memang pada tahun lepas saya sudah berniat untuk mencari peluang menjadi pengacara televisyen (TV) pada 2013. "Apabila TV3 merisik untuk uji bakat pada Disember lepas, saya mahu mencuba. Impian saya termakbul apabila diberikan peluang mengacarakan MM28," katanya kepada mStar Online. Scha ditemui pada pelancaran program itu di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, petang Khamis.
Scha bakal bergandingan dengan penyampai radio Hot FM iaitu AG dalam MM28 yang disiarkan bermula Sabtu ini pada pukul 5 hingga 6 petang di TV3. Isteri kepada pengacara Awal Ashaari ini berkata, perkara terpenting mengenai gandingan julung kali bersama AG adalah membina keserasian antara mereka. "Saya berharap AG dapat bertolak ansur dan saling membantu. Saya juga perlu pandai selarikan diri untuk dapatkan keserasian. "Komitmen program ini lama iaitu sehingga setahun, jadi saya harap dapat meningkatkan mutu mengacara dan mempelbagaikan karakter agar sebati dengan MM28," kongsinya yang mendapatkan pandangan Awal sebelum menerima tawaran terbabit. AG pula berkata, dia percaya aspek keserasian antara mereka akan diperoleh sepanjang rakaman mingguan program itu.
"Saya harap Scha akan membantu kerana ini gandingan pertama kami. Namun, saya percaya keserasian kami akan meningkat dari masa ke semasa pada rakaman mingguan yang bermula hari ini (Khamis)," katanya. Dalam pada itu, penerbit program berkenaan Azman Ghaffar berkata, pemilihan Scha dan AG tidak membimbangkan produksi kerana pengalaman mereka. "Kami tidak risau dengan keserasian kerana ia akan diperoleh nanti. Mereka berbakat dan banyak pengalaman mengacara sebelum ini,” katanya. Masih mengekalkan carta 20 lagu terbaik dan pencalonan baharu pada setiap minggu, MM28 tampil dengan konsep infotainment dalam berkongsi perkembangan semasa industri muzik di dalam dan luar negara. Bermula musim ini, tiga segmen baharu iaitu Buzz Buzz, HOTdan Gosip Fifiturut diperkenalkan.

Tohmahan mencuri gagal jejaskan Awal, Scha

KETIKA menemui pasangan selebriti suami isteri ini pada majlis Cabaran Switch For Xtra anjuran Petronas di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya kelihatan seperti masih dalam dalam fasa berbulan madu. Sedangkan mereka sebenarnya sudah enam bulan bergelar suami isteri sejak 4 Mei tahun lalu. Tidak gusar dengan keadaan sekeliling yang pernah menuduh mereka panjang tangan dalam sebuah majlis pembukaan gedung pakaian terkemuka pada tahun lepas, kedua-dua Awal dan Scha menyatakan perkara itu tidak sedikit pun menutup periuk nasi mereka. Malah, mereka bersyukur apabila rezeki masing-masing semakin mencurah-curah sejak berkahwin. Kata Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 32, sejak kontroversi berkenaan melanda mereka berdua, tawaran mengacarakan majlis tetap banyak diterimanya. Malah, syarikat pengurusan majlis yang sama dengan gedung pakaian terkemuka yang telah menyebabkan isu mencuri itu timbul masih menjemput mereka untuk ke acara tertentu. "Selepas kontroversi itu berlaku, saya dan Scha masih dijemput oleh syarikat yang sama tetapi kami tidak pergi sebab sudah berasa jauh hati," ujarnya yang menyertai Cabaran Switch For Xtra bersama Scha, Faizal Ismail dan Hanis Zalikha. Tambahnya, dia yakin dirinya dan Scha berada pada pihak yang benar kerana mereka tidak pernah membuat sebarang kesalahan. Sehingga sekarang ini, Awal dan Scha masih memikirkan bagaimana kontroversi berkenaan boleh dikaitkan dengan diri mereka. "Saya bersyukur sangat, selepas berkahwin dan dilanda kontroversi itu, rezeki saya semakin banyak," katanya.
"Kontrak sebagai pengacara program Melodi juga disambung setahun lagi dan program, Awal Lagi pula akan masuk musim kedua pada bulan April nanti," ujarnya. Awal memberitahu, tidak ada mana-mana syarikat atau individu yang bekerja dengan mereka membatalkan kerjasama yang telah dirancangkan disebabkan isu mencuri itu, sebaliknya kontroversi berkenaan dijadikan bahan jenaka. "Semasa program Melodi, Zizan (Zizan Razak) pernah menegur baju saya lawa. Saya cakap, saya curi baju berkenaan, kami semua tergelak," ujarnya. Perkara yang sama turut diakui oleh isteri Awal yang juga pengacara dan pelakon, Scha, 30, apabila isu mencuri turut menjadi bahan jenaka tatkala dia menghadiri sesuatu majlis. "Ketika hadir pada satu majlis, teman wartawan ada membuat lawak suruh saya curi barang di tempat itu. Jadi, setakat ini ia hanya jadi gurauan dan tidak pernah diambil serius oleh sesiapa pun," ujarnya. Namun pemilik nama sebenar, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al- Yahya ini menjelaskan, ketika awal kontroversi itu berlaku, dia mengakui cukup tertekan. Ini kerana melibatkan soal maruah dirinya dan Awal. "Saya tidak pernah mencuri, demi Allah saya tidak pernah buat benda itu, saya tidak faham macam mana benda-benda itu boleh dikaitkan dengan nama kami," katanya yang berharap tahun baharu ini tidak timbul lagi isu berkenaan. Mengakui periuk nasinya juga tidak pernah terjejas, Scha bersyukur kerana masih menerima tawaran berlakon drama dan telemovie yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Anak Selesai bercerita mengenai kelangsungan hidup mereka selepas dilanda kontroversi dituduh mencuri, Awal dan Scha menyatakan jauh di sudut hati, mereka teringin untuk menimang cahaya mata. Namun, disebabkan nasihat beberapa temannya supaya tidak terlalu tertekan dan mengharap untuk mendapatkan anak, Awal dan Scha lebih memilih pendekatan untuk tidak merancang. "Kami tidak rancang apa-apa kalau ada rezeki ada, setakat ini saya jaga pemakanan dan gaya hidup sihat," ujar Scha.
Tambahnya, beberapa temannya ada memberikan nasihat agar tidak terlalu mengharap agar kehamilan itu berlaku secara semulajadi. "Kata mereka, kalau kami tertekan hendak anak sangat nanti tidak jadi pula akan beri kesan kepada kesuburan kami, jadi kami memilih untuk bergembira dan menikmati kehidupan kami berdua dulu," jelasnya yang tidak kisah memiliki badan gemuk apabila mengandung kelak. Bagi Awal pula, dalam hatinya memang teringin untuk memiliki anak tetapi selagi belum ada rezeki mereka berdua akan membuat aktiviti yang disukai mereka. "Kalau hendak pergi melancong atau ke mana-mana kami akan buat sekarang, nanti bila sudah ada bayi susah pula hendak buat," ujarnya yang menganggap Allah sudah menentukan masa yang tepat untuk mereka mempunyai anak nanti. Scha pula menambah, walaupun masih dalam fasa pengantin baharu, dia sentiasa berdoa agar dapat mempunyai anak sendiri seperti rakan artisnya yang berkahwin pada tahun yang sama dengan mereka seperti pasangan Diana Danielle dan Farid Kamil. Berlakon Bercerita mengenai kerjaya mereka pula, Awal memberitahu, bahawa dirinya masih lagi mencintai dunia lakonan dan dia tidak pernah berhenti dalam bidang itu walaupun kini kelibatnya jarang-jarang dilihat dalam drama atau filem. "Sebelum ini sibuk dengan persiapan perkahwinan, menjadi pengacara dan sebagainya, jadi saya banyak tolak tawaran berlakon, saya tidak pernah lupa bidang itu sebenarnya," jelasnya yang bakal muncul dalam telemovie baharu, Syurga Seorang Isteri pada 2 Februari nanti. Kata Awal, tahun ini dia akan cuba untuk mengimbangi kembali kerjaya pengacaraan dengan lakonan agar tidak disalah anggap bahawa dirinya sudah melupakan kerjaya berkenaan. "Ramai yang anggap saya sudah berhenti berlakon, jadi tawaran pun sudah kurang, tahun ini saya akan bahagikan masa untuk kedua-dua bidang itu agar ia selari," ujarnya. Tambahnya, selepas ini dia akan memulakan penggambaran drama bersiri, 24 episod untuk slot Akasia di TV3 dan mengharapkan pengarah dan penerbit tidak salah anggap bahawa dirinya sudah berhenti berlakon. Bagi Scha pula, dia sekarang sedang giat mempromosikan filem terbaharunya, Awan Dania The Movie yang bakal ditayangkan pada bulan Mac nanti dan bakal memasuki set penggambaran untuk beberapa telemovie dan drama baharu.

Scha Amalkan Tip Untuk Segera Bergelar Ibu

KUALA LUMPUR: Pelakon Scha Al-Yahya tidak sabar untuk bergelar ibu dengan mengamalkan beberapa tip agar zuriat untuk kebahagiaan rumah tangganya bersama Awal Ashaari. Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 29, berkata, meskipun menganggap rezeki itu hanya ditentukan Tuhan, namun dia turut memainkan peranan berusaha ke arah itu kerana tidak mahu menunggu lama untuk bergelar ibu. "Terus terang cakap, saya memang teringin untuk mendapatkan zuriat. Siapa yang tak nak bukan? "Sebagai seorang yang pentingkan penjagaan kesihatan, saya ada membuat beberapa ujian saringan dan menjaga pemakanan yang betul serta mengamalkan tip-tip yang disarankan doktor walaupun tidak membuat sebarang perancangan untuk dapatkan anak. "Apa-apa pun saya serahkan semua itu kepada Tuhan dan sekiranya tiada rezeki, sekurang-kurangnya saya berusaha," katanya.
Tambah Scha, melihat usianya yang semakin meningkat, dia juga tidak akan melengah-lengahkan masa untuk bergelar ibu, namun tidak terlalu memaksa diri untuk mengelak daripada tertekan. "Doktor sudah pesan, berada dalam keadaan tertekan menyukarkan kita untuk hamil. Selain itu saya turut bersenam agar diri sentiasa cergas," ujarnya. Sementara itu, Scha kini menjadi duta kepada produk minyak wangi Avon termasuklah haruman yang terbaru iaitu City Rush. Kata pelakon filem Awan Dania The Movie ini, dia telah mengambil alih tugas pelakon Fazura yang juga menjadi jurucakap minyak wangi Avon sebelum ini sejak menandatangani kontrak pada April tahun lalu. "Selepas menandatangani kontrak, saya telah ke Filipina pada tahun lalu untuk melakukan sesi penggambaran foto kesemua produk minyak wangi Avon termasuklah City Rush. "Menarik tentang City Rush, ia dicipta untuk wanita yang bekerjanya dan mempunyai personaliti yang yakin pada diri sendiri. "Ia juga merupakan salah satu haruman Avon yang saya gemari selain Herve Leger dan Far Away," ujarnya Minyak wangi City Rush yang berharga RM99 boleh didapati di mana-mana butik kecantikan Avon seluruh negara.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails