Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sedia bergelar ibu - Scha

PERCINTAAN kira-kira tiga tahun antara Scha Al Yahya bersama suami tersayang, Awal Ashaari yang berakhir di jinjang pelamin Mei tahun lalu, sehingga sekarang belum menunjukkan tanda-tanda pasangan itu bakal bergelar ibu dan bapa. Ini mungkin disebabkan kedua-duanya sibuk menjalani kehidupan seharian sebagai pelakon dan pengacara demi kebahagiaan bersama. Bertemu dengan Scha baru-baru ini, dia mengakui bahawa tidak sempat untuk ‘bermesra’ bersama Awal. Setelah 10 bulan berkahwin, Scha akui penantian demi penantian terpaksa diharungi walaupun dia suka dengan kanak-kanak. “Scha dengan Awal memang tidak merancang. Kami bersedia bila-bila masa sahaja untuk bergelar ibu dan bapa. Mungkin belum rezeki lagi. Tunggu sajalah," katanya. Menurut Scha, kesibukan antara dia dan suami juga membataskan segalanya sehingga hanya sempat meluangkan masa kira-kira 10 minit setiap hari. “Semua orang tahu kerjaya kami macam mana. Nak tak nak, kami terpaksa harunginya bersama. Kami hanya dapat berjumpa betul-betul apabila sebelum tidur sahaja. Berbual dalam 10 minit dan tidur. “Memang masing-masing susah hendak berjumpa. Kadang-kadang pagi saya pergi kerja, dia tidur. Bila saya balik petang, dia pula keluar pergi kerja," katanya selepas pratonton filem Awan Dania The Movie, baru-baru ini. Menyentuh spekulasi yang mengatakan Scha telah hamil, pelakon itu menafikan khabar angin tersebut dan mengaku dia bersedia untuk mempunyai anak bila-bila masa. “Biasalah bila dah kahwin, mesti akan ada orang tanya. Tapi bila dah dispekulasikan, baguslah, orang doakan juga. “Umur pun masing-masing dah lanjut. Saya tidak akan menolak jika hamil kerana saya sudah bersedia untuk bergelar ibu," tambah pelakon berusia 30 tahun itu. Menjawab persoalan ‘kehilangan’ kelibatnya dalam dunia seni setelah berkahwin, Scha berkata, dia memang berhenti selama enam bulan selepas berkahwin untuk menumpukan perhatian kepada keluarga. Tambah Scha, dia senyap daripada berlakon bukan bererti dia sudah meninggalkan dunia hiburan tetapi buat apa yang patut sebagai seorang isteri. “Saya cuma sibuk dan uruskan hal keluarga. Saya tidak mahu peminat keliru dan salah faham. Saya buat semua itu untuk keluarga dan diri sendiri terutama sekarang sudah bergelar isteri. Kewajipan itu penting! “Kasih sayang kepada suami itu yang perlu dan saya cuba membahagikan masa antara kerja dan suami. Saya juga akan buat segala kerja rumah apabila ada masa lapang," katanya. Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Jodoh itu juga mengharapkan sesuatu yang lebih bagus dalam hidupnya selepas berkahwin. Ditanya mengenai tawaran berlakon sekarang yang dilihat kebanyakannya muncul dalam televisyen, Scha menafikan bahawa dia adalah pelakon televisyen kerana dia turut mendapat tawaran berlakon di dalam filem seperti KL Drift, Papadom 2, Histeria dan terbaru Awan Dania The Movie. Dalam pada itu, Scha berkata, dia kini sudah menarik nafas lega kerana filem Awan Dania The Movie yang disimpan hampir tiga tahun ditayangkan di pawagam. Memegang watak Dania dalam filem terbarunya, dalam Awan Dania The Movie, Scha masih lagi mengekalkan watak asal, namun kehadiran watak baru iaitu Rusdi Ramli sebagai Kapten Remy membuatkan Scha sedikit kekok untuk membawa wataknya. “Ini pertama kali saya berlakon bersama Rusdi. Saya sebenarnya malu dengan dia. Mana tidak, dia seorang yang berkarisma dan berkredibiliti. Dengan ton suara dia yang seksi, renungan dia serta cara dia berkata-kata yang sedap didengar. Tapi itu hanya pada awal sesi penggambaran sahaja kerana sikapnya merendah diri membuatkan saya selesa berlakon dengan Rusdi," katanya apabila ditanya mengenai pengalaman berlakon bersama Rusdi Ramli. Mengulas mengenai kelainan pada watak Dania, Scha memberitahu, perwatakan Dania itu sendiri masih sama cuma ada perbezaan ketara dari segi jalan cerita garapan pengarah kali ini lebih matang. “Dania tetap Dania. Memang tidak ubah dari perangai di dalam siri, di dalam filem ini pun dia seorang yang kelam kabut, gelabah, bising dan suka buat kacau. Melihat balik filem ini, ia lebih kepada percintaan dan Dania pula sering menimbulkan pergaduhan dengan kawan baiknya, Tania," ujarnya. Selain itu, Scha berkata, filem itu merupakan kerjasamanya yang pertama dengan Rashid Sibir. Pada awalnay dia berasa sangat gementar tetapi kebaikan Rashid cepat membuatkan dia selesa. Seronok Berbalik kepada pembabitannya dalam dunia seni, Scha kini dilihat semakin versatil kerana sedang sibuk mengacara rancangan carta lagu popular Muzik-Muzik 28 dan bergandingan dengan penyampai radio Hot FM, AG. Scha atau nama sebenarnya Sharifah Norazean Syed Mahadzir Alyahya menyifatkan peluang itu sebagai satu mimpi yang menjadi kenyataan, namun bagi Scha, ia bukanlah sesuatu yang mudah dan perlu menyeimbangkan kerjayanya. “Ini adalah kali pertama kali saya berkerja dengan Media Prima dan saya sangat seronok sekali dapat mengacara rancangan Muzik-Muzik. “Tidak sangka hasrat untuk mengembangkan kerjaya sebagai pengacara pada tahun 2013 termakbul selepas menerima tawaran itu. Memang saya sudah berniat untuk mencari peluang menjadi pengacara televisyen sejak tahun lalu. “Apabila dirisik untuk uji bakat Disember lalu, saya nekad dan mahu mencuba. Akhirnya TV3 meletakkan kepercayaan untuk saya mengacarakan rancangan itu. Oh, termakbul juga impian saya," katanya gembira. Semua itu memang rezeki Scha selepas berkahwin dan apa yang penting sekarang adalah keserasian gandingan julung kalinya bersama AG. “Saya berharap sangat AG dapat bertolak ansur dan saling membantu. Saya juga perlu pandai selarikan diri untuk dapatkan keserasian. Komitmen program ini lama iaitu sehingga setahun, jadi saya harap dapat meningkatkan mutu mengacara dan mempelbagaikan perwatakan agar sebati dengan Muzik-Muzik," kongsinya. Memperluaskan perniagaan Sememangnya ramai artis-artis tanah air kita hari ini yang semakin rancak memperluaskan empayar masing-masing dalam bidang perniagaan. Begitu juga dengan Scha, walaupun sibuk berlakon dan mengacara, dia tetap berusaha menguruskan perniagaan secara kecil-kecilan dalam bidang fesyen di kedai Schapoholic miliknya. Terletak di Tingkat 1, Pusat Membeli-Belah The Curve, Mutiara Damansara yang telah beroperasi hampir dua tahun, Scha kini sudah bersedia melebarkan sayap perniagaannya dan akan membuka cawangan kedua Schapoholic di Wangsa Walk Mall tahun ini. “Alhamdulillah, setakat ini sambutan yang diterima amat memberangsangkan serta hebat dengan kehadiran ramai pelanggan," ujarnya. Antara barangan yang terdapat di kedai Scha adalah seperti tas tangan, cekak rambut, blaus, aksesori seperti rantai dan cincin dan pelbagai lagi. Harga yang sangat berpatutan juga mampu buat anda puas membeli belah di kedai Scha.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails