Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Sheila Majid. Show all posts
Showing posts with label Sheila Majid. Show all posts

Sheila Majid Tidak Ambil Botoks Kerana Haram

KUALA LUMPUR: Penyanyi versatil, Datuk Sheila Majid mengakui tidak pernah mengamalkan pengambilan botoks untuk kelihatan cantik kerana cara itu adalah salah dan haram di sisi agama Islam. Sheila,47, berkata, suntikan botoks mengandungi bahan yang berbahaya dan boleh memberi kesan sampingan kepada semua wanita yang mengambilnya. “Kalau kita ambil botoks, kita tidak tahu apa akan jadi kepada wajah kita pada 20 tahun akan datang. Saya menasihati kepada anda semua tidak menggunakan botoks,” katanya. Sheila berkata demikian apabila ditanya oleh seorang peminat adakah beliau mengambil suntikan botoks untuk kelihatan cantik pada majlis Minggu Setiausaha yang diadakan di Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur, di sini, Rabu. Kira-kira 200 tetamu menghadiri majlis makan tengah hari itu yang dikendalikan oleh pengacara Dee. Dalam masa yang sama penyanyi itu turut berkongsi petua untuk kelihatan cergas dengan melakukan senaman serta memilih makanan berkhasiat setiap hari. Katanya, langkah itu bukan sahaja perlu diterap kepada diri sendiri tetapi juga kepada anak-anak. “Saya mengajar anak-anak saya supaya mengambil makanan yang berkhasiat agar mereka membesar dengan sihat,” ujarnya. Terdahulu beliau muncul dengan lagu Dia membuka tirai persembahannya bagi menghiburkan para setiausaha yang hadir bersama bos masing-masing. Selain lagu itu, Sheila turut menyanyikan lagu Ku Mohon, Can’t Take My Eyes, Legenda, Antara Ayer dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Sinaran dan Warna. Persembahan Sheila berjaya memikat hati kerana keupayaan beliau berkomunikasi dengan para peminatnya.

'Lagu Sekarang Banyak Tiada Jiwa' - Sheila Majid


KUALA LUMPUR: Ratu Jazz negara, Datuk Sheila Majid menganggap kebanyakan lagu yang dicipta pada zaman ini tidak mempunyai jiwa apabila melodinya kedengaran serupa dengan lagu-lagu lain.

Sheila,47, berkata, atas sebab itu dia bersikap cerewet memilih lagu untuk memastikan karya nyanyiannya dapat memberi impak kepada pendengar sekali gus mampu bertahan lama.

"Saya boleh memilih untuk merakamkan apa juga lagu yang diberikan kepada saya tanpa banyak berfikir tetapi saya sedar ia tidak akan bertahan lama dan saya tidak mahu itu berlaku," ujarnya kepada mStar Online selepas sidang media sempena minggu setiausaha, A Day with Living Legend - Sheila Majid di Menara Kuala Lumpur di sini, Selasa.

Sheila memberitahu dia ada menerima banyak lagu daripada pelbagai komposer namun sukar baginya membuat pilihan kerana bahan yang diterima tidak menarik minat.

Beliau memberitahu tidak kisah untuk menunggu lama sesebuah karya sebelum merakamkannya asalkan hasil yang bakal dipersembahkan dapat memenuhi kehendak dan cita rasa semua lapisan peminat.

Dalam pada itu, Sheila tertarik dengan kebolehan Najwa Mahiaddin dan Yuna yang mampu menulis serta mencipta lagu dengan baik dan meminta mereka mencipta lagu untuknya.

"Yuna dan Najwa terkejut apabila saya minta mereka buat lagu untuk saya. Mereka ingat saya bergurau. Tetapi hakikatnya mereka benar-benar berbakat dan sebab itulah saya ingin bekerjasama dengan mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sheila cukup teruja untuk mengadakan persembahan sempena sambutan minggu setiausaha di Restoran Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur pada 25 April ini.

Beliau bakal mengadakan persembahan selama 45 minit pada hari itu nanti dengan beberapa seleksi pilihan lagu popularnya.

Turut berganding dengannya ialah pelawak dan pelakon Dee.

"Ini adalah kali pertama saya akan menyanyi di Menara Kuala Lumpur dan sudah ada beberapa idea untuk persembahan itu nanti," katanya.

Bermula pada pukul 12 tengah hari, tiket untuk menyaksikan A Day with Living Legend - Sheila Majid dijual pada harga bermula RM500 sehingga RM6500 (berkumpulan).

Sebarang pertanyaan mengenainya boleh menghubungi Siti di talian 013-3377710 atau Jojo, 012-6903058.

Keprihatinan, tanggungjawab Sheila


APABILA penghibur ternama, Datuk Sheila Majid mengumumkan mahu mewujudkan sebuah persatuan baru bagi membela nasib artis dan pemuzik tempatan, ada yang mula berkerut dahi lalu mempersoalkan tindakannya.

Pada pendapat sesetengah pihak, apakah tidak cukup dengan persatuan yang sedia ada sehingga mahu menubuhkan pula Badan Penggiat Seni Muzik Rakaman Malaysia atau Recording Performance of Malaysia (RPM).

Bagi Sheila, biar apa pun yang diperkatakan, beliau mempunyai matlamat dan visinya tersendiri menerusi RPM. Malah badan muzik yang sedang dalam proses penubuhan itu juga bukan bertujuan untuk menyaingi dengan mana-mana persatuan lain.

“Apabila memperkatakan tentang persatuan muzik dan hiburan di negara ini, ramai artis sebenarnya yang keliru dengan matlamat penubuhannya.

“Maaf cakap, sehinggakan ada yang tidak mahu ambil tahu tentang persatuan ini kerana tidak tahu apakah fungsi sebenar ia ditubuhkan. Begitu juga dengan saya yang sendiri berdepan dengan dilema apabila memperkatakan tentang persatuan di negara ini.

“RPM ditubuhkan dengan satu tujuan iaitu untuk membantu artis tempatan dan ahli muzik bagi mendapatkan royalti menerusi saluran serta cara yang betul selain untuk melonjakkan pendapatan mereka,” demikian kata Sheila sewaktu ditemui usai sidang akhbar The Legendary Concert di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Sheila, selama bergelar penghibur hampir tiga dekad, sudah terlalu banyak permasalahan yang membelenggu artis dan pemuzik tempatan.

Sudah pasti perkara pokok yang sering diperkatakan adalah tentang royalti daripada persembahan yang dilakukan.

Untuk itu katanya, RPM bakal ditubuhkan bagi menyokong dua persatuan muzik lain iaitu Public Performance Malaysia (PPM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) dalam soal urusan royalti.

“PPM dipertanggungjawabkan untuk mengutip royalti hak cipta rakaman bunyi yang mewakili syarikat rakaman di negara ini sementara MACP pula hanya untuk komposer dan penulis lirik.

“Fokus RPM pula kepada artis dan ahli muzik yang terlibat dalam sesebuah lagu serta album. Royalti akan dikutip jika ia dimainkan di tempat umum atau dalam persembahan terbuka.

“Melihatkan kepada senario pasaran muzik tempatan yang kurang memberangsangkan lewat kebelakangan ini selain keadaan ekonomi tidak menentu, pendapatan penyanyi dan ahli muzik ada kalanya tidak konsisten.

“Jadi dengan penubuhan RPM ini kelak, ia diharap dapat membantu menambahkan lagi pendapatan mereka selain daripada royalti yang diperolehi daripada PPM dan MACP,” ujar penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Sinaran dan Legenda ini penuh optimis.

Positif

Buat masa ini, jelas Sheila, dia begitu berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh penyanyi dan pemuzik sewaktu mengadakan taklimat di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 22 Februari lalu.

Pada awalnya, dia hanya mensasarkan sekitar 70 orang tetamu tetapi apa yang mengejutkan kehadiran pada sesi itu mencecah 250 orang.

Respons positif daripada karyawan seni tempatan itu membuatkan Sheila mampu menarik nafas lega sekali gus membuktikan usahanya untuk sama-sama membantu golongan seni membuahkan hasil.

Apa yang lebih membanggakan ibu kepada empat cahaya mata ini apabila rata-rata yang hadir semuanya adalah komposer dan penyanyi generasi muda yang mula sedar akan kepentingan mereka sebagai anak seni.

“Sebagai permulaan, kami telah menyerahkan tanggungjawab kepada Ana Raffali dan Jaclyn Victor untuk memberitahu serta menerangkan fungsi RPM ini kepada rakan-rakan lain.

“Kami mahu semua bangsa menyertai RPM ini tanpa perlu rasa prejudis dan sedar akan kepentingan persatuan ini untuk karier dalam jangka masa panjang,” jelas penghibur berusia 47 tahun ini dengan penuh harapan.

Sempat juga Sheila diusik apakah dia akan menjawat posisi presiden RPM apabila ditubuhkan secara sah kelak. Sambil ketawa kecil, penyanyi yang juga popular dengan lagu Ku Mohon dan Kerinduan ini menolak dakwaan tersebut sekeras-kerasnya.

Katanya, bagi memastikan perjalanan organisasi itu berjalan lancar nanti, mesyuarat agung tahunan akan diadakan terlebih dahulu dalam memilih calon yang layak untuk menduduki jawatan yang ditawarkan.

“Saya tidak mahu menjadi seorang yang gila kuasa. Buat masa ini, saya selesa kalau digelar sebagai penggerak kepada penubuhan badan ini.

“Biarlah ia ditentukan oleh ahli lembaga persatuan apabila mesyuarat diadakan nanti. Saya tidak kisah sesiapa pun yang dilantik tetapi biarlah melakukan tugas dengan jujur dan amanah.

“Kami perlu mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan sebelum RPM beroperasi sepenuhnya. Memang besar harapan saya untuk melihat RPM ini terus mendapat sokongan daripada seluruh karyawan seni.

“Malah saya mengalu-alukan kepada semua artis untuk bertanyakan dengan lebih lanjut tentang RPM dan mahu mereka sedar bahawa badan ini sebenarnya adalah untuk kebaikan mereka,” jelas isteri kepada Hashridz Murshim Hassim atau Acis ini lagi.

Dilema Sheila

Selama hampir tiga dekad menakluk industri seni, impak dan penangan muzik Sheila memang bukan kecil-kecil anak.

Tanyalah kepada sesiapa pun, pasti ramai yang bersetuju sehingga ke hari ini tiada siapa yang dapat menggugat kedudukan Sheila sebagai salah seorang penghibur terbaik negara.

Apa sahaja yang dilakukannya akan mendapat perhatian dan begitu juga dengan persembahannya yang tidak pernah ketandusan penonton.

Lalu apabila nama Sheila diumumkan sebagai salah seorang daripada empat artis yang bakal terlibat dalam The Legendary Concert bermula Mei ini, semestinya ia adalah berita gembira buat peminat tegar penghibur unggul itu.

Apatah lagi, pelantun lagu Warna dan Tua Sebelum Waktunya ini berkongsi pentas bersama tiga legenda lain iaitu Zainal Abidin, Amy Search dan Jamal Abdillah.

Setiap kali melibatkan diri dalam mana-mana konsert atau persembahan, soalan pertama yang diajukan adalah repertoire yang dipersembahkan.

“Saya ada soalan untuk anda (pihak media). Jika mendiang Whitney Houston mengadakan konsert tanpa menyanyikan lagu I Will Always Love You, tidakkah anda rasa peminatnya akan berang?,” soal Sheila kepada pihak media sebagai gambaran bahawa lagu-lagu popularnya bakal didendangkan dan menjadi keutamaan pada lima siri konsert itu nanti.

Anak jati Kuala Lumpur ini tidak menafikan sering kali berhadapan dengan dilema apabila memikirkan lagu-lagu yang hendak disampaikannya dalam setiap persembahan.

Bimbang katanya, jika tidak menyanyikan lagu-lagu popularnya, akan timbul rasa kecil hati dan kecewa kepada penontonnya.

“Untuk persembahan The Legendary Concert ini, setiap artis diberikan masa selama 30 hingga 35 minit. Jadi bayangkan kesukaran yang perlu saya hadapi untuk memilih lagu-lagu terbaik.

“Tidak lengkap jika saya tidak menyanyikan rangkaian lagu-lagu seperti Sinaran, Legenda, Dia, Antara Anyer dan Jakarta, Warna, Embun, Gemilang, Aku Cinta Padamu dan Ku Mohon.

“Dalam masa yang sama, saya tahu ada peminat yang mahukan lagu-lagu lain yang jarang dinyanyikan seperti Di Himpit Keraguan, Gerimis Semalam, Ratu, Gangguan, Kerinduan, Tua Sebelum Waktunya dan banyak lagi.

“Insya-Allah, saya akan menyenaraikan lagu-lagu terbaik agar peminat saya terhibur sepanjang konsert itu nanti,” jelas Sheila yang pernah diiktiraf sebagai Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik 1997 menerusi album Ratu itu lagi.

Setia Sheila di Kuala Lumpur


DEBAR hatinya cukup kuat setiap kali menjelang Syawal. Dalam kemeriahan orang menyambut ketibaan hari yang dinanti-nantikan, Sheila Majid pula sayu mengenangkan mereka yang serba kekurangan.

Saat orang lain silih berganti baju baru, ada pula yang gembira memakai pakaian lama kerana kesempitan hidup.

Tidak mahu terus larut dalam emosi sendiri, Ratu Jazz negara itu yakin ada hikmah di sebalik apa sahaja yang dilihat. Cuma, dia bersyukur kerana punyai segala-galanya yang mampu mengukir senyuman di bibir manisnya.

Bersyukur kerana masih diberi kudrat untuk memiliki apa yang diimpikan, Sheila yakin dengan usaha yang berterusan sesiapa sahaja mampu untuk mencapai impian mereka.

“Syukur kerana saya masih berkesempatan untuk merai Aidilfitri kali ini. Ini memang pengalaman yang menarik tiap kali menjelang hari raya sebab banyak perkara menarik yang dah berlaku sebenarnya,” kata Sheila tersenyum manis.

Sama seperti tahun terdahulu, Aidilfitri Ratu Jazz Negara ini masih di Kuala Lumpur. Sambutannya tetap meriah biarpun ramai yang menganggap berapa di ibu negara sedikit bosan memandangkan kebanyakan orang akan pulang ke kampung halaman.

Tidak pernah merasakan sambutan Aidilfitri hambar seperti mana yang sering diperkatakan orang, Sheila Majid cukup gembira kerana inilah masanya untuk dia menziarahi sanak-saudara dan keluarga di hari lebaran.

“Memang orang selalu cakap yang hari raya di Kuala Lumpur sedikit bosan. Sejujurnya saya tidak pernah merasakan kebosanan memandangkan inilah kampung saya sejak dahulu lagi.

“Saya tinggal di Kuala Lumpur, berkahwin dengan orang Kuala Lumpur. Jadi segala-galanya di Kuala Lumpur.

“Macam pagi raya yang lalu, saya sempat menyiapkan anak-anak dan terus ke rumah ibu mertua di Damansara. Selesai beraya di sana, saya terpaksa pulang sebab adik beradik yang lain dah datang berkumpul di rumah memandangkan ibu saya tinggal dengan saya,” ujar isteri kepada komposer Acis ini lagi.

Mengambil masa seminggu untuk berhari raya, bagi Sheila anak-anak harus diutamakan bila menjelangnya hari lebaran ini.

Biarpun sudah di puncak awan, tanggungjawab dan kerja keras sebagai isteri dan ahli keluarga tidak pernah dilupakan. Daripada soal suami dan anak-anak sampailah membersihkan rumah, akan dilakukan sendiri oleh Sheila.

Selepas tempoh itu Sheila akan kembali sibuk dengan pelbagai undangan pentas yang sudah diatur sejak awal lagi termasuklah beberapa konsert di Sabah dan persembahan korporat termasuk di Perth, Australia pada bulan Oktober depan.

Pada bulan Ramadan yang lalu Sheila sebenarnya sempat merakamkan sebuah album Memori Aidilfitri yang mengandungi sembilan buah lagu termasuk satu lagu baru cukup dibanggakan.

“Projek ini memang dah lama saya rancang. Saya hanya menyanyikan semula lagu-lagu raya yang lama tetapi diberi nafas baru. Segala-galanya baru termasuklah susunan muziknya sekali.

“Cuma ada sesuatu yang menarik apabila saya menyanyikan lagu lagu baru yang berjudul Tiada Lagi. Lagu yang dicipta oleh Acis dan lirik saya tulis sendiri itu juga mendapat sentuhan Jenny Chin.

“Kalau kita tengok kebanyakan lagu raya hanya ada dua jiwa sahaja. Sama ada lagu gembira atau lagu sedih. Ada orang dengar takbir raya terus mengalir air mata. Ada juga yang gembira bila dengan takbir yang sama,” kata Sheila lagi.

Gema Syawal Sheila Majid


RATU jazz negara, Datuk Sheila Majid, 46, masih cantik dalam usianya itu malah aura yang tersimpan dalam figura genit itu sungguh mempesonakan.

Hingga ke hari ini, namanya masih tersemat utuh dalam kalbu peminatnya yang menggemari stail, muzik dan identiti yang dibawanya sejak album sulung Dimensi Baru pada tahun 1985 lagi.

Kesempatan yang diberikan untuk Kosmo! berbicara dengan penyanyi kesayangan ramai itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membicarakan kemeriahan sambutan lebarannya selain ceritera terkini empunya nama Shaheila Abdul Majid atau serasi dengan panggilan Sheila Majid.

Bagi isteri kepada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hasridz Murshim Hashim Abdullah atau mesra disapa Acis itu, sepanjang hidupnya sambutan raya hanya berkisar di bandar raya Kuala Lumpur.

“Orang banyak tak tahu Kuala Lumpur memang kampung saya dan Acis, sejak lahir saya beraya di sini,” katanya.

Tambahnya, raya di kampung orang tidak sama dan semeriah menyambutnya di ibu kota Kuala Lumpur.

“KL (Kuala Lumpur) memang kampung saya, apa yang penting hari raya memberi peluang untuk berkumpul dan berjumpa sesama sanak saudara tak kisah di mana-mana sekali pun,” katanya yang menyelami makna sebenar hari raya dalam erti kata lebih jelas.

Ujar pelantun lagu Ku Mohon itu lagi, bulan Syawal juga peluang untuk mengeratkan hubungan dan tali persaudaraan sesama anggota keluarga.

“Kalau pagi raya, biasanya selepas pulang daripada sembahyang sunat Aidilfitri kami akan menyambutnya dengan ibu saya (Datuk Paduka Saadiah Adam, 86) dan ke rumah ibu mentua di Damansara.

“Kemudian, lebih kurang pukul 11 pagi kami akan pulang semula ke rumah dan menantikan keluarga tujuh adik-beradik saya yang lain datang ke rumah,” cerita figura yang masih tinggal bersama ibunya hingga kini.

Memilih rendang ayam ibunya sebagai juadah paling istimewa tatkala menyambut hari kemenangan umat Islam itu, Sheila turut berkongsi nikmat perayaan berkembar Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ke-54 pada tahun ini.

“Oleh kerana Syawal menjelang pada masa yang sama kita menyambut Hari Kemerdekaan negara, saya bersyukur dengan kedua-dua sambutan hari kemenangan ini yang disambut serentak dalam keadaan negara kita masih aman damai dan dilimpahi nikmat Yang Maha Esa,” ucapnya.

Menjelang sambutan Aidilfitri, ujar ibu kepada empat cahaya mata itu, segala persiapan dibereskan sejak minggu pertama berpuasa.

“Tahun ini warna tema keluarga saya ialah merah jambu, kalau baju raya saya akan dahulukan anak-anak dan rasanya tahun ini cukup sekadar sepasang baju raya pada hari raya pertama untuk saya,” cerita ibu kepada Wan Nur Khaleda, 20, Megat Abdul Majid, 17, Khadeja Zaireen, 7 dan Khalefa Laila, 4.

Album raya, konsert

Menjelang fasa terakhir bulan penuh barakah, Sheila juga tampil dengan album raya berjudul Memori Aidilfitri yang memuatkan sembilan buah lagu.

“Kebanyakan lagu yang terkandung dalam album raya itu digubah semula daripada lagu-lagu nostalgia Aidilfitri untuk mendekatkannya dengan jiwa generasi muda sekarang,” tuturnya.

Ini termasuk dua lagu raya nyanyian ratu jazz tanah air itu iaitu Hari Mulia dan Tiba Hari Mulia yang diberi nafas baru termasuk beberapa lagu hari raya yang dinyanyikan semula seperti Suasana Hari Raya (Anuar Zain & Elina), Selamat Hari Raya dan Suasana Hari Raya (Sharifah Aini).

Selain itu, sebuah single terbaharu, Tiada Lagi turut terkandung dalam album itu yang sudah pun menemui pendengar di corong-corong radio pada minggu terakhir Ramadan.

Dalam pada itu, penyanyi jelita itu juga terlibat dalam persiapan untuk konsertnya di Sabah dan Perth, Australia menjelang akhir tahun ini.

Tiada konsert terbuka buat masa sekarang memandangkan tahun lalu Sheila terlalu sibuk dengan sambutan ulang tahun ke-25 tahun karier seninya, justeru yang ada hanya persembahan korporat.

“Pada hujung bulan September saya akan mengadakan konsert di Sutera Harbour, Sabah berkonsepkan teater dan persembahan korporat untuk Malaysian Chinese Chambers of Commerce dan kemudian di Ellington, Perth pada bulan Oktober pula,” jelasnya yang masih menjadi duta Institut Jantung Negara dan Prudential selain menjadi jurucakap produk Diamond Water Filter.

Sheila Majid Bebas Memilih 'Show' Selepas 25 Tahun


DATUK Sheila Majid memenangi anugerah antarabangsa bagi kategori ‘Outstanding Female Vocalist Award’ yang dianugerahkan oleh ‘Federation for Asian Cutural Promotion’ (FACP), baru-baru ini di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

FACP mengiktiraf penglibatan persatuan atau individu dari seluruh Asia yang terlibat di dalam bidang seni. Persatuan NGO ini ditubuhkan 30 tahun yang lalu.

Selain itu, penyanyi yang juga ibu kepada empat orang ini juga pernah memenangi banyak anugerah lain dari dalam dan luar negara.

Anugerah ini sekaligus menghargai sumbangan penyanyi ini dalam arena nyanyian selama 24 tahun dalam genre Jazz dan ‘Rhythm and Blues.’

Apabila dimaklumkan yang Sheila dipilih melalui surat, penyanyi ini berasa sangat terharu kerana penglibatannya dalam bidang nyanyian dihargai.

“Saya amat gembira kerana dianugerahi gelaran ini. Mereka adalah satu badan antarabangsa dan saya bersyukur dan berasa dihargai kerana dipilih di antara beberapa orang yang disenaraipendekkan,” tambah Sheila semasa dihubungi.

Sekadar imbasan, pembabitan Ratu Jazz Negara ini dalam bidang nyanyian bermula sejurus menamatkan tingkatan lima.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang ini mengeluarkan album pertamanya pada tahun 1985 berjudul Dimensi Baru. Antara album-album lain penyanyi ini adalah Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon dan Cinta Kita.

Menerusi album keduannya yang bertajuk Emosi, beliau berjaya menembusi pasaran Indonesia pada tahun 1986. Setahun kemudian, Sheila menerima ‘BASF Award for Best Female Artist’ di Indonesia.

“Saya akan mengeluarkan dua single saya pada awal tahun hadapan yang juga menandakan 25 tahun sebagai penyanyi,” jelas Sheila.

Sementara itu, Sheila berkata kini beliau juga sudah mampu memilih 'show' sendiri.

“Saya tidak perlu pergi kepada semua aktiviti yang dilancarkan hanya untuk dikenali,” kata Sheila.

Selain itu, apa yang dianggapnya sebagai pencapaian selama 25 tahun adalah kemampuannya yang berjaya menambat hati bukan saja peminat-peminat Melayu, malah kaum lain juga.

“Saya bertuah kerana ada ramai peminat saya diluar sana yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

“Peminat-peminat saya juga tidak pernah bertindak liar atau berkelakuan kurang sopan,” jelas Sheila lagi.

Penyanyi ini juga ingin menyambut pembabitannya di dalam bidang seni selama 25 tahun ini dengan mengadakan beberapa aktiviti sepanjang tahun depan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails