Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Keprihatinan, tanggungjawab Sheila


APABILA penghibur ternama, Datuk Sheila Majid mengumumkan mahu mewujudkan sebuah persatuan baru bagi membela nasib artis dan pemuzik tempatan, ada yang mula berkerut dahi lalu mempersoalkan tindakannya.

Pada pendapat sesetengah pihak, apakah tidak cukup dengan persatuan yang sedia ada sehingga mahu menubuhkan pula Badan Penggiat Seni Muzik Rakaman Malaysia atau Recording Performance of Malaysia (RPM).

Bagi Sheila, biar apa pun yang diperkatakan, beliau mempunyai matlamat dan visinya tersendiri menerusi RPM. Malah badan muzik yang sedang dalam proses penubuhan itu juga bukan bertujuan untuk menyaingi dengan mana-mana persatuan lain.

“Apabila memperkatakan tentang persatuan muzik dan hiburan di negara ini, ramai artis sebenarnya yang keliru dengan matlamat penubuhannya.

“Maaf cakap, sehinggakan ada yang tidak mahu ambil tahu tentang persatuan ini kerana tidak tahu apakah fungsi sebenar ia ditubuhkan. Begitu juga dengan saya yang sendiri berdepan dengan dilema apabila memperkatakan tentang persatuan di negara ini.

“RPM ditubuhkan dengan satu tujuan iaitu untuk membantu artis tempatan dan ahli muzik bagi mendapatkan royalti menerusi saluran serta cara yang betul selain untuk melonjakkan pendapatan mereka,” demikian kata Sheila sewaktu ditemui usai sidang akhbar The Legendary Concert di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Sheila, selama bergelar penghibur hampir tiga dekad, sudah terlalu banyak permasalahan yang membelenggu artis dan pemuzik tempatan.

Sudah pasti perkara pokok yang sering diperkatakan adalah tentang royalti daripada persembahan yang dilakukan.

Untuk itu katanya, RPM bakal ditubuhkan bagi menyokong dua persatuan muzik lain iaitu Public Performance Malaysia (PPM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) dalam soal urusan royalti.

“PPM dipertanggungjawabkan untuk mengutip royalti hak cipta rakaman bunyi yang mewakili syarikat rakaman di negara ini sementara MACP pula hanya untuk komposer dan penulis lirik.

“Fokus RPM pula kepada artis dan ahli muzik yang terlibat dalam sesebuah lagu serta album. Royalti akan dikutip jika ia dimainkan di tempat umum atau dalam persembahan terbuka.

“Melihatkan kepada senario pasaran muzik tempatan yang kurang memberangsangkan lewat kebelakangan ini selain keadaan ekonomi tidak menentu, pendapatan penyanyi dan ahli muzik ada kalanya tidak konsisten.

“Jadi dengan penubuhan RPM ini kelak, ia diharap dapat membantu menambahkan lagi pendapatan mereka selain daripada royalti yang diperolehi daripada PPM dan MACP,” ujar penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Sinaran dan Legenda ini penuh optimis.

Positif

Buat masa ini, jelas Sheila, dia begitu berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh penyanyi dan pemuzik sewaktu mengadakan taklimat di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 22 Februari lalu.

Pada awalnya, dia hanya mensasarkan sekitar 70 orang tetamu tetapi apa yang mengejutkan kehadiran pada sesi itu mencecah 250 orang.

Respons positif daripada karyawan seni tempatan itu membuatkan Sheila mampu menarik nafas lega sekali gus membuktikan usahanya untuk sama-sama membantu golongan seni membuahkan hasil.

Apa yang lebih membanggakan ibu kepada empat cahaya mata ini apabila rata-rata yang hadir semuanya adalah komposer dan penyanyi generasi muda yang mula sedar akan kepentingan mereka sebagai anak seni.

“Sebagai permulaan, kami telah menyerahkan tanggungjawab kepada Ana Raffali dan Jaclyn Victor untuk memberitahu serta menerangkan fungsi RPM ini kepada rakan-rakan lain.

“Kami mahu semua bangsa menyertai RPM ini tanpa perlu rasa prejudis dan sedar akan kepentingan persatuan ini untuk karier dalam jangka masa panjang,” jelas penghibur berusia 47 tahun ini dengan penuh harapan.

Sempat juga Sheila diusik apakah dia akan menjawat posisi presiden RPM apabila ditubuhkan secara sah kelak. Sambil ketawa kecil, penyanyi yang juga popular dengan lagu Ku Mohon dan Kerinduan ini menolak dakwaan tersebut sekeras-kerasnya.

Katanya, bagi memastikan perjalanan organisasi itu berjalan lancar nanti, mesyuarat agung tahunan akan diadakan terlebih dahulu dalam memilih calon yang layak untuk menduduki jawatan yang ditawarkan.

“Saya tidak mahu menjadi seorang yang gila kuasa. Buat masa ini, saya selesa kalau digelar sebagai penggerak kepada penubuhan badan ini.

“Biarlah ia ditentukan oleh ahli lembaga persatuan apabila mesyuarat diadakan nanti. Saya tidak kisah sesiapa pun yang dilantik tetapi biarlah melakukan tugas dengan jujur dan amanah.

“Kami perlu mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan sebelum RPM beroperasi sepenuhnya. Memang besar harapan saya untuk melihat RPM ini terus mendapat sokongan daripada seluruh karyawan seni.

“Malah saya mengalu-alukan kepada semua artis untuk bertanyakan dengan lebih lanjut tentang RPM dan mahu mereka sedar bahawa badan ini sebenarnya adalah untuk kebaikan mereka,” jelas isteri kepada Hashridz Murshim Hassim atau Acis ini lagi.

Dilema Sheila

Selama hampir tiga dekad menakluk industri seni, impak dan penangan muzik Sheila memang bukan kecil-kecil anak.

Tanyalah kepada sesiapa pun, pasti ramai yang bersetuju sehingga ke hari ini tiada siapa yang dapat menggugat kedudukan Sheila sebagai salah seorang penghibur terbaik negara.

Apa sahaja yang dilakukannya akan mendapat perhatian dan begitu juga dengan persembahannya yang tidak pernah ketandusan penonton.

Lalu apabila nama Sheila diumumkan sebagai salah seorang daripada empat artis yang bakal terlibat dalam The Legendary Concert bermula Mei ini, semestinya ia adalah berita gembira buat peminat tegar penghibur unggul itu.

Apatah lagi, pelantun lagu Warna dan Tua Sebelum Waktunya ini berkongsi pentas bersama tiga legenda lain iaitu Zainal Abidin, Amy Search dan Jamal Abdillah.

Setiap kali melibatkan diri dalam mana-mana konsert atau persembahan, soalan pertama yang diajukan adalah repertoire yang dipersembahkan.

“Saya ada soalan untuk anda (pihak media). Jika mendiang Whitney Houston mengadakan konsert tanpa menyanyikan lagu I Will Always Love You, tidakkah anda rasa peminatnya akan berang?,” soal Sheila kepada pihak media sebagai gambaran bahawa lagu-lagu popularnya bakal didendangkan dan menjadi keutamaan pada lima siri konsert itu nanti.

Anak jati Kuala Lumpur ini tidak menafikan sering kali berhadapan dengan dilema apabila memikirkan lagu-lagu yang hendak disampaikannya dalam setiap persembahan.

Bimbang katanya, jika tidak menyanyikan lagu-lagu popularnya, akan timbul rasa kecil hati dan kecewa kepada penontonnya.

“Untuk persembahan The Legendary Concert ini, setiap artis diberikan masa selama 30 hingga 35 minit. Jadi bayangkan kesukaran yang perlu saya hadapi untuk memilih lagu-lagu terbaik.

“Tidak lengkap jika saya tidak menyanyikan rangkaian lagu-lagu seperti Sinaran, Legenda, Dia, Antara Anyer dan Jakarta, Warna, Embun, Gemilang, Aku Cinta Padamu dan Ku Mohon.

“Dalam masa yang sama, saya tahu ada peminat yang mahukan lagu-lagu lain yang jarang dinyanyikan seperti Di Himpit Keraguan, Gerimis Semalam, Ratu, Gangguan, Kerinduan, Tua Sebelum Waktunya dan banyak lagi.

“Insya-Allah, saya akan menyenaraikan lagu-lagu terbaik agar peminat saya terhibur sepanjang konsert itu nanti,” jelas Sheila yang pernah diiktiraf sebagai Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik 1997 menerusi album Ratu itu lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails