Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Shikin Dangdut. Show all posts
Showing posts with label Shikin Dangdut. Show all posts

Shikin (Dangdut) & Suami Tidak Lagi Tinggal Bersama


PETALING JAYA: Penyanyi dangdut Shikin mengesahkan sudah tidak lagi tinggal bersama suaminya lebih setahun lalu kerana tiada persefahaman antara mereka.

Shikin berkata, mereka bagaimanapun tidak memutuskan untuk bercerai buat masa ini sebaliknya lebih selesa hubungan tersebut kekal sedemikian.

"Keputusan untuk tidak lagi tinggal bersama dibuat secara bersama dan buat masa ini kami selesa begini kerana ia memberi ruang kepada diri masing-masing," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat.

Shikin atau nama sebenar Aishah Dahlan, 32, memberitahu dia menganggap hubungannya dengan Ahmad Zuki Mohd. Zain, 36, sudah tiada jodoh tetapi menyerahkan kepada takdir sekiranya masalah yang berlaku antara mereka dapat dipulihkan.

Oleh sebab itu juga kata Shikin, mereka enggan membuat keputusan untuk memfailkan penceraian selain merasakan agak susah untuk berulang-alik ke mahkamah.

"Saya dan Zull tidak berniat untuk bercerai buat masa ini tetapi saya tidak dapat menjangkakan jika jodoh saya masih panjang dengannya atau tidak pada masa hadapan. Tetapi kami masing-masing selesa dengan keadaan sekarang iaitu untuk tidak tinggal serumah," ujarnya.

Ditanya mengenai punca masalah rumah tangga mereka, Shikin enggan mendedahkan kemelut yang berlaku sebaliknya menganggap ia sebagai takdir.

"Hubungan kami masih baik sehingga hari ini dan rasanya ia akan kekal begitu kerana kehidupan sebagai pasangan suami isteri tidak berjaya di antara kami," ujarnya.

Katanya hubungan mereka lebih kepada sahabat demi anak tunggal mereka iaitu Qistina Balqis yang kini mencecah usia tujuh tahun.

Dalam perkembangan lain, Shikin sibuk dengan undangan membuat persembahan pada majlis-majlis korporat dan tertutup selain kembali menyanyi di sebuah kelab di Kuala Lumpur.

Shikin dan Ahmad Zuki berkahwin pada 27 September 2003 dan masalah rumah tangga mereka telah kedengaran sejak tahun 2010.

Shikin Dangdut Hampir Maut Dalam Kemalangan


PETALING JAYA: Shikin Dahalan atau lebih dikenali sebagai Shikin Dangdut hampir maut dalam satu kemalangan jalan raya yang membabitkan lapan buah kenderaan di Kilometer 44, Lebuh Raya Karak, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari, Shikin yang memandu kereta Honda City miliknya sedang dalam perjalanan menuju ke Gambang, Kuantan untuk membuat persembahan dalam program anjuran Telekom Malaysia pada sebelah malam.

"Saya ada sound check pada pukul 2 petang. Saya dan kawan yang juga penolong saya dalam perjalanan ke sana dari Kuala Lumpur. Tiba-tiba sebuah kereta Proton Persona melanggar kereta saya dari sisi sebelah saya menyebabkan kereta saya berpusing-pusing empat atau lima kali.

"Kemudian, kereta saya pula dilanggar beberapa oleh kenderaan dari belakang yang tidak dapat mengelak. Saya rasa macam dah mati ketika itu," katanya kepada mStar Online di sini.

Menurut Shikin, dia memandu agak perlahan ketika itu berikutan keadaan yang basah sementara kereta Persona itu berada di lorong laju.

Katanya, kemalangan yang melibatkan dua buah kereta Kancil, sebuah Proton Iswara, Proton Wira, Proton Persona dan sebuah bas itu berlaku di satu selekoh.

"Bila kereta berhenti, asap putih kelihatan berkepul-kepul. Kawan saya suruh saya keluar cepat. Bila saya berjaya merangkak keluar, saya terkejut melihat kereta dah remuk.

"Jika bukan kerana beg udara yang terbuka, kami dah tercampak keluar. Sambil berjalan terhuyung-hayang, saya terkejut apabila melihat sebuah kereta Kancil terbabas menuju ke arah saya lalu saya terus melompat ke dalam longkang," katanya.

Sehingga hari ini, Shikin memberitahu, dia masih tidak percaya dia boleh terselamat dalam kemalangan ngeri itu dan bersyukur kepada Tuhan.

Katanya, hanya leher, tangan dan kakinya luka terkena serpihan cermin yang pecah sementara terdapat benjol besar di kepalanya.

Mengimbau keadaan kemalangan pada ketika itu, Shikin berkata, dia melihat seorang bayi tiga atau empat bulan mengalami pendarahan serius, selain ada penumpang yang tersepit manakala seorang wanita mengalami serangan jantung.

"Saya rasa nak muntah melihat keadaan ngeri yang itu dan saya difahamkan tiada yang mati dalam kemalangan tersebut," katanya.

Sementara itu, Shikin berkata, pemandu kereta Persona itu datang meminta maaf dan memberitahunya dia hilang kawalan ketika memandu.

"Wanita itu beritahu saya dia dah pusing stereng tetapi kereta masih bergerak lurus lalu merempuh kereta saya. Dia turut mengalami kecederaan di kepalanya," ujar penyanyi dangdut ini.

Shikin memberitahu, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Bentong pada hari yang sama.

Katanya, dia juga turut mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta sebelum dirujuk ke hospital.

"Bila balik ikut kereta suami kawan saya, saya rasa fobia naik kereta dan asyik memintanya memandu perlahan-lahan," katanya yang kehilangan telefon, rantai dan kasut dalam kemalangan itu.

Salah saya sendiri - Shikin



FEBRUARI lalu, peminat irama dangdut tanah air dikejutkan dengan berita pergolakan rumah tangga artis popular, Shikin. Namun, tiada sebarang kenyataan yang mampu untuk mengiyakan atau menidakkan kesahihan berita itu.

Tiada sebarang reaksi daripada Shikin, apalagi kawan-kawan rapatnya. Masing-masing tidak mahu memberi komen dan mengambil sikap untuk mengunci mulut mereka.

Sejak itu pelbagai andaian dan cerita tersebar dan Shikin tetap mengambil sikap mendiamkan diri dan cuba untuk menyembunyikan status perkahwinannya itu daripada pengetahuan media .

Bagaimanapun baru-baru ini, kelibat penyanyi tinggi lampai itu kelihatan di majlis pelancaran kelab peminat Cherry Talent Management yang diadakan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya,

Kesempatan tersebut digunakan Hits sebaik-baiknya untuk menyelami hati penyanyi kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan itu bagi mengetahui sejauh mana kebenaran krisis rumah tangga yang dihadapinya.

Tanpa berselindung, Shikin mengakui bahawa khabar angin mengenai keretakan rumah tangganya itu memang benar.

Malah wanita berusia 31 tahun ini mengakui punca keretakan mahligai yang dibina selama tujuh tahun itu daripada dirinya sendiri.

Tidak menyalahkan suami

"Saya tidak menyalahkan suami saya seratus peratus. Saya salahkan diri sendiri kerana selalunya perkara yang kecil boleh jadi perang besar, gara-gara sikap panas baran saya.

"Selepas berkahwin, kita akan mula mengenali sedikit demi sedikit sikap suami kita yang sebenar. Saya tidak nafikan ada di antara sikapnya yang membuatkan saya marah," luahnya terus-terang.

Menurutnya, walaupun emosi amarahnya cepat meledak, dia sedaya upaya untuk mengawalnya demi memelihara kebahagiaan rumah tangga mereka.

"Saya bukannya marah tak tentu pasal. Marah saya bersebab, bukannya macam orang gila. Bagi saya kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang," katanya.

Keretakan rumah tangga Shikin itu bertambah parah apabila masalah itu dipampangkan di akhbar beberapa bulan lalu.

Riak kekecewaannya jelas terpancar di wajahnya apabila hal peribadinya menjadi bualan masyarakat sekeliling hinggakan ada individu yang mengambil kesempatan menambah luka di lubuk hatinya.

Tiada siapa pun yang sanggup mengalami keruntuhan rumah tangga dan atas alasan itu, Shikin cekal untuk memperbaiki hubungannya dengan suami, Ahmad Zuki Mohd. Zain ,35.

"Kami masih lagi tinggal bersama di bawah satu bumbung. Sebagai suami isteri kami cuba memperbaiki hubungan kami demi menyelamatkan istana cinta yang telah dibina sekian lama demi masa depan anak kami," kata penyanyi yang dikurniakan seorang anak perempuan, Qistina Balqis berusia lima tahun itu.

Katanya, apabila gelombang besar berlaku dalam mana-mana perhubungan sekalipun, cukup sukar untuk kembali kepada keadaan sedia kala.

Bagaimana pun, Shikin reda sekiranya takdir yang tertulis memaksa dirinya untuk hidup tanpa suami.

Shikin juga terkilan dengan sikap segelintir rakan-rakan yang menyampaikan cerita kurang enak tentang rumah tangganya.

"Selepas mereka tahu masalah rumah tangga yang saya hadapi, mulalah keluar pelbagai cerita yang tak sedap didengar.

"Ada yang mendakwa terserempak dengan suami saya bersama orang lain dan macam-macam cerita lagi," katanya yang pernah popular dengan lagu A Go Go Datang Lagi.

Dalam perkembangan lain, Shikin memberitahu dia masih lagi menerima undangan menyanyi untuk showcase mini dan majlis makan malam yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur.

"Asalkan lokasi majlis yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur, saya akan terima,"" katanya yang menetap di Cheras.

Namun, kelangsungan kerjaya seninya dalam bidang lakonan dihentikan sejurus selepas mendirikan rumah tangga kerana tidak direstui oleh suaminya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails