Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Salah saya sendiri - Shikin



FEBRUARI lalu, peminat irama dangdut tanah air dikejutkan dengan berita pergolakan rumah tangga artis popular, Shikin. Namun, tiada sebarang kenyataan yang mampu untuk mengiyakan atau menidakkan kesahihan berita itu.

Tiada sebarang reaksi daripada Shikin, apalagi kawan-kawan rapatnya. Masing-masing tidak mahu memberi komen dan mengambil sikap untuk mengunci mulut mereka.

Sejak itu pelbagai andaian dan cerita tersebar dan Shikin tetap mengambil sikap mendiamkan diri dan cuba untuk menyembunyikan status perkahwinannya itu daripada pengetahuan media .

Bagaimanapun baru-baru ini, kelibat penyanyi tinggi lampai itu kelihatan di majlis pelancaran kelab peminat Cherry Talent Management yang diadakan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya,

Kesempatan tersebut digunakan Hits sebaik-baiknya untuk menyelami hati penyanyi kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan itu bagi mengetahui sejauh mana kebenaran krisis rumah tangga yang dihadapinya.

Tanpa berselindung, Shikin mengakui bahawa khabar angin mengenai keretakan rumah tangganya itu memang benar.

Malah wanita berusia 31 tahun ini mengakui punca keretakan mahligai yang dibina selama tujuh tahun itu daripada dirinya sendiri.

Tidak menyalahkan suami

"Saya tidak menyalahkan suami saya seratus peratus. Saya salahkan diri sendiri kerana selalunya perkara yang kecil boleh jadi perang besar, gara-gara sikap panas baran saya.

"Selepas berkahwin, kita akan mula mengenali sedikit demi sedikit sikap suami kita yang sebenar. Saya tidak nafikan ada di antara sikapnya yang membuatkan saya marah," luahnya terus-terang.

Menurutnya, walaupun emosi amarahnya cepat meledak, dia sedaya upaya untuk mengawalnya demi memelihara kebahagiaan rumah tangga mereka.

"Saya bukannya marah tak tentu pasal. Marah saya bersebab, bukannya macam orang gila. Bagi saya kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang," katanya.

Keretakan rumah tangga Shikin itu bertambah parah apabila masalah itu dipampangkan di akhbar beberapa bulan lalu.

Riak kekecewaannya jelas terpancar di wajahnya apabila hal peribadinya menjadi bualan masyarakat sekeliling hinggakan ada individu yang mengambil kesempatan menambah luka di lubuk hatinya.

Tiada siapa pun yang sanggup mengalami keruntuhan rumah tangga dan atas alasan itu, Shikin cekal untuk memperbaiki hubungannya dengan suami, Ahmad Zuki Mohd. Zain ,35.

"Kami masih lagi tinggal bersama di bawah satu bumbung. Sebagai suami isteri kami cuba memperbaiki hubungan kami demi menyelamatkan istana cinta yang telah dibina sekian lama demi masa depan anak kami," kata penyanyi yang dikurniakan seorang anak perempuan, Qistina Balqis berusia lima tahun itu.

Katanya, apabila gelombang besar berlaku dalam mana-mana perhubungan sekalipun, cukup sukar untuk kembali kepada keadaan sedia kala.

Bagaimana pun, Shikin reda sekiranya takdir yang tertulis memaksa dirinya untuk hidup tanpa suami.

Shikin juga terkilan dengan sikap segelintir rakan-rakan yang menyampaikan cerita kurang enak tentang rumah tangganya.

"Selepas mereka tahu masalah rumah tangga yang saya hadapi, mulalah keluar pelbagai cerita yang tak sedap didengar.

"Ada yang mendakwa terserempak dengan suami saya bersama orang lain dan macam-macam cerita lagi," katanya yang pernah popular dengan lagu A Go Go Datang Lagi.

Dalam perkembangan lain, Shikin memberitahu dia masih lagi menerima undangan menyanyi untuk showcase mini dan majlis makan malam yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur.

"Asalkan lokasi majlis yang diadakan di sekitar Kuala Lumpur, saya akan terima,"" katanya yang menetap di Cheras.

Namun, kelangsungan kerjaya seninya dalam bidang lakonan dihentikan sejurus selepas mendirikan rumah tangga kerana tidak direstui oleh suaminya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails