Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Shuib (Sepah). Show all posts
Showing posts with label Shuib (Sepah). Show all posts

Dimarah isteri gara-gara adegan intim - Shuib Sepah

TERAJU utama filem Amir dan Loqman Pergi Ke Laut (ADLPKL), Shuib (Sepahtu) akui malu dan rasa tertekan melakonkan beberapa babak intim bersama dengan pelakon sensasi, Zarina Anjoulie. Pelakon dan pelawak ini bertindak merahsiakan adegan intimnya itu berikutan mahu menjaga perasaan isterinya, Siti Sarah Raisuddin dan tidak mahu mengeruhkan keadaan. Ketika Sensasi Hits berpeluang bertemu dengan empunya badan ketika majlis tayangan perdana filem terbaharu arahan Mamat Khalid itu di Cathay Cineplexes, Mutiara Damansara, Shuib turut berkongsi pengalaman dan perasaannya sepanjang penggambaran berlangsung. “Kebiasaannya, setiap kali pulang dari penggambaran, saya akan berkongsi cerita dengan dia di rumah. Tetapi untuk babak dengan Zarina, saya tidak cerita kepadanya. Bukanlah niat saya mahu berahsia. “Cumanya, ada ketika jika kita rasakan perkara tersebut akan mendatangkan kemudaratan, lebih baik diamkan sahaja. Sebab saya tahu dia akan bising kalau ada babak yang nampak daring," tutur Shuib memulakan perbualan. Dedah Shuib lagi, isterinya juga agak marah selepas melihat adegan lakonannya bersama Zarina ketika proses dubbing dilakukan. “Ketika proses dubbing, dia ada melihat previu filem ini dan masa itu jugalah dia marah-marah. Dia cakap, patutlah saya nampak gembira sangat bila setiap kali pergi lokasi penggambaran. “Berbanding filem Man Sewel Datang KL dulu, ada juga babak intim bersama Julia Ziegler, cumanya Sarah ikut sekali ke set penggambaran, jadi dia taklah bising sangat. Elok lah dia tahu awal, sebab lambat laun dia akan tahu juga kan," tutur Shuib sambil tertawa. Namun, kemarahan isterinya itu tidaklah berpanjangan. Ini kerana, Zarina sendiri bersikap merendah diri dan datang kepadanya dan memohon maaf beberapa kali andai lakonannya bersama Shuib keterlaluan. Dalam filem tersebut, Shuib memegang watak sebagai Loqman yang terjebak dengan kumpulan gengster. Manakala Zarina pula memainkan peranan sebagai Balqis yang merupakan teman wanita kepada ketua kumpulan gengster yang dilakonkan oleh Soffi Jikan. “Jujur saya katakan, memang malu bawa watak intim dengan pelakon wanita seperti Zarina. Waktu abang Mamat arahkan kami berlakon adegan seperti itu, saya banyak kali tanya pada pengarah betul ke saya nak kena buat macam itu? “Tapi dia sebagai pengarah, tahu apa yang terbaik untuk dapatkan babak yang menarik, jadi saya turutkan sahaja," ulas Shuib lagi yang akui seronok berlakon di bawah arahan Mamat Khalid biarpun baharu pertama kali bekerjasama dengan pengarah tersebut. Sebelum bersetuju untuk membuat beberapa adegan panas berkenaan, Shuib turut ambil masa berfikir sejenak untuk ambil masa bagi benar-benar bersedia. Namun, dia akur dek kerana tugasan sebagai pelakon dan perlu memberi sepenuh komitmen dan perlulah profesional tanpa di pengaruhi emosi. “Ia menjadi sangat malu sebab saya kena lakonkan aksi intim di hadapan puluhan kru produksi. Memang perasaan berat hati itu ada dan bercampur baur dengan rasa bersalah. “Semua orang tahu siapa Zarina Anjoulie. Dari penampilan dia sahaja, orang boleh beranggapan macam-macam. Saya pula sudah berkahwin, takut juga kalau apa-apa terjadi. Sebab itu saya beritahu kalau ada yang terkesan disebabkan adegan itu, abang Mamat lah kena tanggung," ujar dengan nada seloroh. Karya terbaharu Mamat Khalid itu membawakan nuansa komedi samseng. Ia mengisahkan dua orang sahabat baik iaitu Amir dan Loqman yang mahu keluar daripada sebuah kumpulan gengster dengan cuba merompak kedai kerana perlu membayar RM30,000 sebagai syarat keluar daripada kumpulan berkenaan. Filem terbitan Astro Shaw ini turut menampilkan Soffi Jikan, Shuk (Balas), Nadia Mustafar, Kaza dan Rashidi Ishak. Filem ini akan menemui penonton mulai hari ini di seluruh pawagam tanah air.

Shuib (Sepahtu) Rahsiakan Adegan Intim Untuk Elak Isteri Cemburu

Pelawak Shuib (Sepahtu) tidak memberitahu isterinya iaitu penyanyi Siti Sarah Raisuddin tentang adegan intimnya bersama aktres kontroversi Zarina Anjolie yang dilakonkan dalam filem Amir & Luqman Pergi Ke Laut. Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 30, berkata, dia enggan bercerita tentang babak tersebut berikutan bimbang akan menggores perasaan isterinya. "Kebiasaanya setiap kali balik penggambaran saya akan berkongsi cerita dengan dia di rumah, tetapi babak intim dengan Zarina Anjolie saya tidak cerita, biar dia tahu masa tonton cerita tersebut sahaja nanti. "Kadang-kadang kalau perkara tersebut memudaratkan baik tidak perlu bagi tahu, biasanya dia akan bising kalau ada babak yang agak daring," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pratonton Filem Amir & Luqman Pergi Ke Laut, di pawagam Cathay Cineplex e@Curve di sini, malam Selasa lalu. Dalam filem arahan Mamat Khalid tersebut ada beberapa babak intim apabila Shuib yang memegang watak Luqman digoda oleh Balkish yang dilakonkan oleh Zarina. Tambah Shuib, sebagai seorang pelakon dia bersedia untuk melakonkan babak yang diminta oleh pengarah secara profesional. Saya bukan berlakon berdua sahaja, ada puluhan krew yang menyaksikan lakonan kami dan sebagai pelakon ia adalah tanggungjawab saya untuk buat apa yang diminta oleh pengarah. "Pada asalnya memang saya rasa agak malu dan takut, saya dah bagi tahu apa akibat yang terjadi tentang babak itu nanti abang Mamat akan tanggung," ujarnya berseloroh. Sementara itu, Shuib mengakui pertama kali bekerja di bawah arahan Mamat Khalid, dia agak tertekan sepanjang pengambaran dilakukan. Katanya, sebagai pelawak agak sukar untuk dia memberi lakonan secara serius seperti yang diinginkan oleh pengarah tersebut. "Saya rasa terseksa dan setiap hari takut untuk pergi lokasi kerana selalu kena marah dengan abang Mamat. "Saya bukan pandai sangat berlakon, kalau setakat berlakon dan buat lawak itu boleh tetapi filem ini memerlukan saya berlakon jadi orang lain," ujarnya.
Bagaimanapun, Shuib berkata, dia berpuas hati dengan hasil lakonannya dalam filem tersebut. Filem Amir & Luqman Pergi Ke Laut turut menampilkan Sofi Jikan, Shuk Balas, Nadia Mustafar, Kaza dan Rashidi Ishak. Sementara itu, Mamat Khalid berkata, penghasilan filem tersebut adalah melalui pemerhatiannya kepada filem gengster di Malaysia. Katanya, filem ini mempunyai kritikan sosial yang tajam kepada masyarakat yang sering menganggap kehidupan gengster sebagai sesuatu yang indah seperti digambarkan dalam filem. "Penonton Malaysia banyak didedahkan dengan cerita-cerita gengster tidak kira tempatan dan antarabangsa. Namun begitu, filem ini mendedahkan di sebalik dunia gengster tersebut apa yang mereka perlu hadapi. "Watak dalam filem ini adalah berdasarkan kumpulan gangster yang pernah saya tahu di Ipoh dan latar tempat pun kebanyakan saya lakukan di Ipoh juga," katanya. Filem ini berkisarkan tentang perjalanan dua orang sahabat baik iaitu Amir (Shuk) dan Luqman yang ingin keluar daripada sebuah kumpulan gengster dengan cuba merompak kedai-kedai kecil kerana perlu membayar RM30,000 sebagai syarat untuk keluar daripada kumpulan berkenaan. Bagaimanapun, cubaan mereka sering kali gagal kerana sifat mereka yang lurus bendul, malah tidak tahu cara untuk melakukan sebarang kegiatan jenayah. Filem terbitan Astro Shaw ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 25 September ini.

Shuib sangat sabar dengan kerenah saya - Jep Sepahtu

BERHASIL menumpaskan nama-nama besar pelawak lain sehingga dinobatkan sebagai Artis Lawak Lelaki Paling Popular pada Anugerah Lawak Warna yang berlangsung di Istana Budaya, minggu lalu memberikan kenangan tersendiri buat pelawak Jep Sepahtu. Jep atau nama sebenarnya, Mohd. Nadzri Zainal Abidin berkata, ia merupakan anugerah pertama yang diraihnya secara solo sepanjang bergelar artis. Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya bersama Jep. Kosmo: Ini merupakan kali pertama anda merangkul sebuah anugerah yang besar. Boleh ulas tentang kejayaan ini? JEP: Sudah tentu ia satu kejutan kepada saya, apatah lagi ia kategori popular sementelah pemilihan dibuat menerusi undian peminat. Saya sangat bersyukur dengan kejayaan ini meskipun terpaksa bersaing dengan calon-calon yang tidak kurang hebatnya seperti Datuk AC Mizal, Johan, Zizan dan Yus Jambu. Adakah kejayaan tersebut memberi tekanan kepada anda selepas ini? Bagi saya, sama ada menang anugerah atau tidak, tekanan yang dilalui itu sama sahaja. Orang ramai melihat kerja menjadi pelawak ini senang, tetapi hakikatnya bukan mudah untuk buat orang ketawa. Bagaimanapun, saya beruntung kerana mendapat rakan gandingan iaitu Shuib dalam kumpulan lawak Sepahtu. Rasanya tanpa kehadiran dia, mungkin saya tidak berada dalam landasan sekarang. Setelah kumpulan Sepah berpecah, anda dan Shuib telah menubuhkan Sepahtu. Apakah perkembangan Sepahtu sejak ia diwujudkan pada tahun 2011? Secara jujurnya, saya mengakui saya seorang yang sangat cerewet. Kalau ada sesuatu yang tidak kena saya akan berterus-terang sahaja, tetapi cerewet saya itu bersebab. Sebagai contohnya, kalau kami berbincang mengenai jenis persembahan yang akan ditampilkan kepada penonton, saya akan tolak idea yang diberikan Shuib kalau saya rasa ia tidak sesuai. Namun begitu, saya bukanlah menolaknya sesuka hati sahaja, tetapi saya akan sertakan sekali dengan sebabnya. Saya rasa sikap cerewet itu perlu untuk kebaikan bersama.
Adakah sikap berkenaan pernah menimbulkan pergeseran dengan Shuib? Kalau pergeseran kecil itu memang selalu berlaku, tetapi masing-masing tidak pernah ambil hati. Lagipun Shuib juga berhak menolak idea saya sekiranya tidak sesuai untuk dipersembahkan. Sebenarnya Shuib seorang yang sangat sabar dengan kerenah saya. Ia menjadi faktor paling utama kami dapat terus bertahan sehingga sekarang. Apakah pandangan anda terhadap Anugerah Lawak Warna yang buat kali pertama dianjurkan? Pertama sekali saya cukup berbangga dengan pihak Astro kerana menganjurkan anugerah ini. Ia telah meletakkan dunia komedi tempatan ke satu tahap yang lebih tinggi. Ceritakan perkembangan aktiviti seni anda selepas cuti Aidilfitri? Dalam tempoh terdekat ini saya akan menyertai rancangan Super Spontan untuk musim kedua. Bersama Sepahtu pula kami akan terbabit dalam sebuah pertandingan realiti, namun belum boleh diumumkan lagi. Tentang tawaran lain pula memang banyak yang diterima, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana faktor masa. Kalau boleh saya tidak mahu bersikap tamak dengan mengambil apa sahaja tawaran kerana ia boleh menjejaskan reputasi saya sebagai pelakon dan pelawak.

Siti Sarah Serah Tugas Jaga Anak Pada Ibu Mertua

Penyanyi Siti Sarah Raisuddin, 30, tidak akan melakukan kerja menjaga dua anaknya jika pulang ke rumah ibu mertua. Isteri kepada Pelawak Shuib (Sepah) ini berkata, dia akan memberi peluang kepada ibu mertuanya iaitu Nooraini Mohamed untuk menjaga cucu-cucunya itu. "Kami jarang balik ke Johor dan setiap kali balik, memang saya tidak akan jaga anak -anak saya dan tugas itu saya serahkan kepada ibu mertua saya. "Ibu memang mahu buat semua kerja-kerja seperti mandikan anak, beri makan dan melayan kenakalan mereka," katanya kepada mStar Online. Tambah Siti Sarah, biarpun sibuk dengan kerja seharian namun dia dan Shuib akan cuba untuk pulang ke Johor Bahru sekerap mungkin memandangkan suaminya merupakan anak tunggal. "Kalau ada masa memang kami akan balik sekerap mungkin, kerana keluarga suami saya tidak ada cucu lain melainkan anak-anak kami," katanya. Kata Siti Sarah, jika mereka terlalu sibuk, keluarga mertua akan datang melawat. "Saya bersyukur dapat keluarga mertua yang memahami, walaupun Shuib anak tunggal namun mereka tidak pernah mendesak atau meminta kami balik kampung selalu kerana mereka faham situasi kerja kami. "Selain itu dengan adanya ruang bertemu keluarga mertua, saya juga dapat melepaskan rasa rindu terhadap arwah ibu saya yang meninggal dunia baru-baru ini," katanya Siti Sarah dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 27 Februari 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Uwais Alqarni yang kini berusia setahun tujuh bulan dan Dzahira Talita Zahra berusia tiga bulan.

Rezeki anak perempuan Shuib

KELAHIRAN anak kedua kepada pasangan selebriti, Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepah dan isterinya, Siti Sarah Raisuddin kini melengkapkan lagi keluarga mereka apabila hajat pasangan itu untuk memiliki sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan telah dimakbulkan. Kehadiran cahaya mata kedua pasangan romantis itu dilahirkan Sarah pada 17 Mei lalu pada pukul 4.46 petang dan kegembiraan itu dikongsi sendiri oleh Shuib melalui laman sosial Twitternya. Shuib menambah, walaupun puterinya tidak dilahirkan secara normal kerana terdapat beberapa komplikasi tetapi anaknya itu sihat dan cukup sifat, malah kandungan berat badan bayinya yang seberat 3.6 kilogram amat melegakan hatinya. Sebelum ini, Shuib dan Sarah telah dikurniakan cahaya mata sulung pada 4 Disember 2011. Kosmo! yang menemui Shuib sewaktu penggambaran rancangan realiti Redah Kasi Pecah Ekstravaganza di Pulau Pinang, baru-baru ini berbicara dengannya tentang zuriat baharu mereka. Kosmo!: Tahniah Shuib dan Sarah untuk kelahiran bayi kedua. Boleh ceritakan sedikit pengalaman anda semasa Sarah melahirkan anak kedua kalian? SHUIB: Terima kasih. Pengalaman mendapat anak kedua berbeza dengan anak pertama saya iaitu Uwais Alqarani. Kali ini, Sarah melahirkan anak kedua dengan cara pembedahan, jadi sepanjang 48 jam sewaktu proses mahu melahirkan berjalan, saya sentiasa bersama dengan Sarah sehingga bayi selamat dilahirkan. Kalau dahulunya saya tidak dapat melihat sepenuhnya proses tersebut tapi kali ini saya dapat lihat dari awal sehingga akhir. Masya-Allah, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya saat berpeluang melihat keseluruhan proses kelahiran. Alhamdulillah, saya sudah dapat sepasang cahaya mata dan inilah saat yang saya nanti-nantikan. Boleh anda jelaskan maksud di sebalik nama bayi perempuan anda? Kami sepakat memberi anak perempuan kami dengan nama Dzakira Talita Zahra. Dalam bahasa Arab, ia bermaksud dalam bahasa Arab, gadis yang berzikir bagai bunga. Bagaimana reaksi Sarah apabila anda mendapat tawaran untuk menyertai rancangan realiti Redah Kasi Pecah Ekstravaganza ini memandangkan dia baru saja selamat bersalin? Sebenarnya saya sudah dapat tawaran ini sebelum Sarah melahirkan anak kami, jadi saya sudah pun berbincang dengan isteri saya dan syukur Sarah bersalin sebelum penggambaran bermula. Malah, saya juga menganggap ini adalah rezeki anak perempuan kami. Buat masa ini, Sarah berpantang dan anak-anak dijaga di rumah keluarganya. Lagipun, saya suka dengan aktiviti lasak sebegini, jadi isteri saya tidak menghalang dan menyokong saya. Dia begitu memahami. Selain daripada menyertai rancangan realiti Redah Kasi Pecah Ekstravanganza, apakah perkembangan terbaharu anda? Sepahtu akan melancarkan album kami yang bukan berbentuk komedi sebelum Aidilfitri ini. Album tersebut diterbitkan oleh Sheikh Qalam dan antara komposer yang terlibat dalam album ini ialah Taja Meet Uncle Husssain, Aidit Alfian dan KRU.

KELUARGA BAHAGIA SHUIB SEPAH

Gambar terbaru keluarga bahagia Shuib Sepah, Siti Sarah dan anak mereka yang bernama Uwais Alqarni yang kini berusia lebih 15 bulan. Enjoyzzz...!

Shuib tanpa Sepahtu?

SHUIB mencipta nama melalui kumpulan lawak, Sepah yang asalnya dianggotai bersama dengan Mamat dan Jeff. Selepas itu, dia meneruskan kerjayanya sebagai pelakon dalam kumpulan duo Sepahtu bersama Jeff apabila Mamat keluar dan bergerak sendirian dalam bidang tersebut. Dalam filem Man Sewel Datang KL yang diarahkan oleh Rahman Adam pula, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad muncul tanpa bergandingan dengan Jeff. Kemunculan Shuib itu mencetuskan tanda tanya sama ada Sepahtu sudah berkubur ataupun sebaliknya. Menurut suami kepada penyanyi Siti Sarah Raisuddin itu, meskipun menganggotai Sepahtu tetapi tidak bermakna dia terikat dengan Jeff. Sebaliknya, dia bebas muncul sendirian dan tidak kisah digandingkan dengan sesiapa juga dalam filem-filem yang dilakonkannya. "Saya tidak kisah berlakon dengan sesiapa juga dalam filem termasuklah isteri saya dalam filem Man Sewel Datang KL. Walaupun tanpa Jeff tetapi saya akan cuba bawa diri sendirian. Apa yang penting saya akan cuba capai piawaian saya dalam apa juga watak yang diberikan kepada saya. "Saya tidak memilih apa juga tawaran tetapi apa yang saya pentingkan ialah kualiti. Saya juga tidak kisah walaupun terpaksa berlakon tanpa Sepahtu. Setakat ini, tawaran berlakon terus saya terima sama ada secara solo ataupun bersama Sepahtu," katanya sewaktu ditemui baru-baru ini. Pada pertemuan selepas pratonton Man Sewel Datang KL terbitan Work More Production arahan Rahman Adam itu, Shuib menjelaskan dia telah membintangi lima buah filem sama ada secara solo atau bersama Sepahtu biarpun ia belum ditayangkan di pawagam. Lima filem lakonan Shuib itu ialah Sepah The Movie, Amir Dan Lokman Pergi Ke Laut, Oh Mak Kau, Mail Lambung The Movie dan Tycoon yang kebanyakannya genre komedi. Pada masa sama dia juga baru habis menjalani penggambaran drama bertajuk Betul Ke Bohong. Sementara itu, Shuib berasa terkejut apabila dia diberitahu Johan daripada kumpulan duo, Jozan akan bergabung dengannya dan Jeff dalam kumpulan Sepahtu bagi menggantikan tempat Mamat baru-baru ini. Jelasnya, berita itu bukan sahaja tidak betul malah dia juga bimbang ia mungkin disebarkan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab yang mahu melihat kumpulan Jozan yang turut dianggotai oleh Zizan itu berpecah. "Saya memang tidak tahu apa-apa tentang berita itu dan ini adalah kali pertama saya mendengarnya. Setakat ini tidak ada perbincangan yang Johan akan menyertai Sepahtu. Saya tidak tahu daripada mana datangnya berita itu kerana Johan masih bersama Zizan dalam Jozan. "Malah setakat ini cuma saya dan Jeff sahaja yang ada dalam Sepahtu selepas Mamat tidak bersama kami lagi. Mungkin ada pihak yang sengaja menimbulkan cerita itu bagi memecah-belahkan lagi Jozan mahupun Sepahtu," jelasnya. Pada pertemuan dengan para wartawan itu, Shuib dan Siti Sarah turut hadir pada pratonton filem pertama yang menggandingkan mereka dalam Man Sewel Datang KL yang akan ditayangkan seluruh negara mulai 31 Mei ini. Jelas Shuib dia kini lebih senang bergerak dalam bidang lakonan bersama Jeff biarpun adakalanya rakan duonya itu tidak digandingkan bersama, contohnya dalam Man Sewel Datang KL kerana atas pilihan penerbit dan ia tidak bererti dia kini menjadi pelakon atau pelawak solo. "Saya tidak kisah digandingkan dengan sesiapa juga dalam filem termasuklah apabila penerbit mahukan saya dan Siti Sarah berlakon dalam filem ini. Ketika itu kami baru berkahwin tidak sampai seminggu kerana ini adalah sumber pendapatan saya dan saya mahu serius," ujarnya. Man Sewel Datang KL yang antaranya dilakonkan oleh Rafidah Ibrahim, Rosnah Mat Aris, Zaibo dan Julia Ziegler itu mengisahkan tentang Man Sewel lakonan Shuib yang merupakan anak tunggal seorang peladang kelapa sawit yang mahu mencuba nasib di Kuala Lumpur. Sewaktu berada di ibu kota itu, Man Sewel melalui pelbagai pengalaman yang lebih ke arah kejutan budaya sehingga dia leka seketika dengan keseronokan dan melupakan ibunya di kampung sebelum tersedar dengan kesilapannya serta kembali semula kepada kehidupan asalnya di kampung.

Shuib Sepahtu Kini Bapa, Siti Sarah Selamat Lahirkan Bayi Lelaki


Tajuk yang obvious adalah sangat obvious. Kami kira hujung minggu ini sebagai satu hujung minggu yang baik.

Tiada gossip yang melampau sensasi sifatnya dan dunia hiburan menerima kehadiran orang baru menerusi pasangan Siti Sarah & Shuib Sepahtu.

Kurang 60 minit yang lalu, Siti Sarah selamat melahirkan bayi lelaki yang merupakan anak pertama pasangan ini di’sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Shuib Sepahtu atau nama sebenar Shahmira Mohamed & Siti Sarah Raisuddin berkahwin sekitar Februari 2011 yang lalu dan mengumumkan kandungan hampir dua bulan sekitar April 2011.

Tahniah buat pasangan Siti Sarah & Shuib Sepahtu dan anda boleh saksikan gambar pertama bayi lelaki yang masih belum bernama selepas ini.

Shuib (Sepah) Mahu Jadi Pengarah


KUALA LUMPUR: Pelawak Shuib (Sepah) memasang impian untuk menjadi seorang pengarah drama atau filem beberapa tahun lagi.

Menurut Shuib, dia mahu mengembangkan sayapnya ke bidang pengarahan apabila mempunyai pengalaman yang cukup dalam bidang lakonan.

“Saya bercadang untuk membuka sebuah produksi untuk menerbitkan drama atau filem suatu hari nanti.

“Buat masa ini saya ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang lakonan dan belajar banyak perkara lagi,” katanya.

Tambah Shuib, dia yang gemarkan filem bergenre aksi komedi itu memberi tempoh masa selama tiga tahun untuk dirinya mendalami ilmu dalam bidang ini.

Dalam pada itu, ahli kumpulan Sepah ini bakal membintangi filem pertamanya berjudul Man Sewel Datang KL.

Dia yang membawa watak Osman Sewel menganggap ia bukan sesuatu yang mudah seperti yang digambarkan.

“Watak saya sebagai Man Sewel memang agak berat, ianya adalah watak yang paling besar serta paling utama dalam dalam filem tersebut.

“Pada awalnya, saya sendiri tertekan kerana tidak berjaya menjiwai watak Man Sewel, walaupun sudah beberapa kali mencuba,” katanya.

Filem terbitan Work Move Production Sdn Bhd ini mengisahkan seorang lelaki bernama Osman yang datang ke Kuala Lumpur bagi mencari rezeki.

Bagaimanapun, ketika berada di Kuala Lumpur berbagai halangan yang terpaksa ditempuhinya sehingga dia terpaksa mengambil keputusan pulang kembali ke kampung.

Filem ini dijangka akan ditayangkan pada November ini.

Shuib (Sepah) Mengaku Bertunang Dengan Siti Sarah


SEPANG: Ahli kumpulan Sepah iaitu Shahmira Muhammad, 26 atau Shuib akhirnya mengakui sudah mengikat tali pertunangan dengan penyanyi Siti Sarah Raisudin pada 16 November lalu.

Bekas juara program Raja Lawak musim ketiga itu membuat pengakuan tersebut bagi menjawab desas-desus berita perkahwinannya yang dikatakan bakal berlangsung pada Januari depan.

Menurut Shuib yang ditemui pada acara Amazing Race ala Bujang Sepah di Golden Palm Tree Resort, Sepang, Jumaat, perkara tersebut terpaksa dirahsiakan daripada pengetahuan media demi menghormati permintaan kekasihnya itu.

"Saya akui kami sudah bertunang pada 16 November lalu di Kuala Selangor dan perkara itu terpaksa dirahsiakan demi menghormati permintaan Sarah.

"Kegagalan pertunangannya yang lalu membuatkan Sarah lebih selesa jika perkara itu tidak dihebohkan selagi belum tiba masanya," katanya yang sudah mengenali Sarah sejak setahun dua bulan yang lalu.

Tambah Shuib, perancangan awal mereka untuk melangsungkan perkahwinan pada 16 Januari depan juga terpaksa ditangguhkan ekoran jadual kerjanya yang terlalu padat kini.

"Kalau ikut perancangan awal, kami akan berkahwin pada 16 Januari depan tapi jadual kerja saya yang terikat dengan penggambaran hingga 15 Januari depan menjadikan perancangan itu terpaksa ditangguhkan.

"Kami masih belum dapat tentukan tarikh perkahwinan buat masa ini tapi mungkin selepas saya tamat penggambaran," katanya yang mengakui persiapan sedang rancak disiapkan oleh keluarga masing-masing.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails