Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Tania Nadira Hudson. Show all posts
Showing posts with label Tania Nadira Hudson. Show all posts

Tania Hudson Mahu Aktif Selepas 'Hilang' Dua Tahun

Pelakon Tania Hudson tidak bimbang kontroversi yang sedang melanda pengurusnya, Marina Juki yang memiliki syarikat pengursan artis - Wirefame akan memberi kesan kepada perjalanan kariernya yang diuruskan wanita berkenaan. Tania sebaliknya berkata, dia percaya dengan komitmen dan kebolehan Marina untuk membawa kerjayanya ke tahap lebih tinggi memandangkan sudah dua tahun dia menyepi daripada sebarang projek terbaharu. "Saya memilih Marina untuk menguruskan kerjaya saya kerana percaya akan kredibilitinya dan yakin dia seorang yang profesional. "Segala kontroversi yang melandanya tiada kena mengena dengan saya dan yakin dia mampu mengendalikan masalah tersebut," katanya kepada mStar Online.
Tania tidak kisah terpaksa memulakan kerjayanya daripada bawah. Wirefame berhadapan dengan masalah apabila salah seorang pengarah syarikat itu, Zizan Razak membekukan akaun bank syarikat berkenaan sehingga menyebabkan beberapa artis lain di bawah pengursan berkenaan tidak mendapat gaji. Dalam pada itu, Tania berkata, dia memilih untuk melantik pengurus memandangkan sudah agak lama dia menyepi daripada sebarang projek dan memerlukan individu yang boleh membantu mendapatkanya publisiti. "Sebelum ini saya tidak pernah mempunyai pengurus dan ini adalah kali pertama saya berbuat demikian bagi memastikan perjalanan karier saya teratur dan berjalan lancar. "Tambahan pula saya ingin melancarkan kembali karier saya selepas dua tahun menyepi dan saya yakin dengan adanya pengurus akan dapat membantu dalam urusan perancangan dan strategi," katanya. Tambah Tania, sepanjang tempoh dia berehat daripadadunia lakonan, dia banyak terlibat dalam pembikinan iklan selain sibuk membantu kakaknya, pelakon Natasha Hudson menguruskan perniagaan.

Dugaan kecil Tania Hudson

SAYA anggap gosip mengatakan saya tidak berkawan itu sebagai perkara kecil," tegas pelakon Tania Hudson, 28, menyentuh gosip peribadinya yang diperkatakan baru-baru ini. Malah pemilik nama sebenar Tania Nadira Mohd. Redzuwan Hudson berpendapat, gosip yang tersebar sebagai tidak berasas dan bertujuan untuk memperbesar-besarkan perkara yang tiada. Baginya banyak perkara yang kabur dalam gosip berkenaan. Jadi dia memutuskan untuk tidak melayan cerita yang dianggapnya mengarut dan tanpa arah tujuan itu. Sementelah sebagai artis Tania sedia maklum kehidupannya sering menjadi perhatian. Meskipun kekhilafan itu adakalanya hanya sebesar zarah tetapi apabila didedahkan di media pasti bertukar menjadi cerita lain. “Inilah risiko yang perlu diambil kalau menceburi bidang seni. Seseorang artis itu sentiasa terdedah dengan pelbagai kemungkinan. “Silap haribulan boleh jadi bahan perbualan, dikeji dan dilabel begitu mudah dalam kalangan khalayak. Sekiranya berlaku kesilapan besar kemungkinan jadi bahan bualan masyarakat. “Sebab itu saya ambil pendekatan positif apabila ada cerita buruk tentang saya dipaparkan di media. Kita tak tahu di mana hujung pangkal cerita gosip ini," katanya. Sebelum ini nama Tania pernah terpalit dengan gosip dikatakan lari dari lokasi pengambaran. Selepas itu Tania didakwa pula sentiasa menyendiri dan sering membawa diri tanpa mempedulikan orang sekeliling. Sikapnya yang sering berseorangan itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang sekeliling sehingga timbul khabar angin mengatakan adik pelakon Natasha Hudson ini tidak berkawan. Raya meriah MENGULAS tentang sambutan raya di kampung neneknya di Tapah, Perak pada tahun ini, nada pelakon drama Mayang Mengurai ini kedengaran ceria. “Hari raya kali ini cukup istimewa kerana dapat berkumpul bersama sanak saudara menghadiri majlis persandingan sepupu terdekat saya. Memang saya tunggu saat-saat begini. Umpama majlis pertemuan semula. Sudah pastilah banyak cerita yang nak dikongsi bersama. “Acara paling saya suka adalah beberapa hari sebelum majlis itu berlangsung. Semua orang kampung datang ke rumah bergotong-royong membuat persiapan. “Ada yang memasak, ada yang memotong bawang dan macam-macam lagi dibuat bersama. Suasana sebegitu memang sukar nak dilihat di Kuala Lumpur pada hari ini," katanya yang bercuti raya selama seminggu. Mengimbas kenangan Aidilfitri yang tidak dapat dilupakan, Tania memberitahu dia paling menyukai zaman kanak-kanak kerana waktu itu dia bebas menerokai apa saja tanpa ada rasa takut. Antara pengalaman paling mengujakan apabila berjalan kaki bersama rakan sebaya di seluruh kampung untuk beraya. “Bayangkan semak samun pun redah," katanya sambil ketawa.

Tania Hudson tak berkawan?

SELEPAS daripada kontroversi Tania Hudson yang dikatakan lari dari lokasi pengambaran sebelum ini, ada orang mengadu pada Miss J yang pelakon itu sekarang dah tak ada kawan. Dengarnya dia sentiasa menyendiri. Tak bergaul dengan orang ramai. Miss J tertanya-tanya juga tentang kebenaran cerita ini sebab takut berlaku kekeliruan yang boleh mencetuskan kontroversi lagi. Tapi teman yang mengadu pada Miss J tentang perihal Tania itu beria-ia memberitahu dia sendiri kasihan melihat pelakon itu di satu set lokasi pengambaran yang dibintanginya baru-baru ini. Makan seorang diri dan membawa diri ke sana ke mari tanpa mempedulikan orang sekeliling. Jadi teman Miss J membuat kesimpulan mungkin Tania sedang dilanda masalah. Sebab melalui raut wajahnya kelihatan seperti sedang berfikir. Mukanya agak cemas dan jarang tersenyum. Entahlah... Miss J kena tanya kebenaran cerita ini kepada empunya diri dulu. Miss J tak boleh buat kesimpulan dan andaian sendiri. Tak baik menuduh lebih-lebih lagi masa bulan puasa ini!

Semangat jitu Tania

NAMA Tania Nadira Hudson semakin terpinggir dan kurang mendapat liputan sejak lebih setahun lalu. Hal itu berlanjutan sehinggalah kemunculannya di set penggambaran drama Surat Dari Langit Biru di Desa Park City, pinggir bandar raya Kuala Lumpur pada petang hari Selasa lalu. Polos tanpa olesan bahan soleken, wajah yang mirip seperti kakaknya, Natasha Hudson itu bagaimanapun nampak sugul dan kurang bermaya. Ditanya mengenai kesihatannya, jawab Tania, 28, dia kini berada dalam keadaan yang sihat tanpa kesan sampingan selepas menjalani pembedahan sekitar empat tahun lalu. "Alhamdulillah, saya kini lebih sihat. Cuma, saya perlu kawal corak hidup dan tekanan sekeliling dengan lebih cermat. Rawatan susulan cuma tiga tahun selepas pembedahan dan sekarang semua kembali normal, tetapi kepala ada berdenyut sekali-sekala. "Saya bersemangat untuk kembali bekerja seperti sebelum ini. Fokus saya adalah karier lakonan yang nampak sudah semakin menyusut sejak akhir-akhir ini," katanya. Tania sebelum ini pernah menjalani pembedahan otak akibat menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) pada tahun 2009. AVM adalah sejenis gumpalan urat yang tidak normal tumbuh pada bahagian otak dan penyakit yang dialami pelakon itu menjadi serius apabila berlaku pendarahan dalaman. Tania menegaskan, ketiadaannya dalam industri selepas kemunculannya menerusi drama bersiri Tiramisu dua tahun lalu bukan kerana merajuk. Sebaliknya, tempoh itu digunakan untuk memerhatikan suasana dunia seni dan pada masa sama, masih aktif di pentas peragaan fesyen. "Jauh sekali untuk saya merajuk kerana berlakon juga sumber pencarian saya selain peragaan. Cuma saya sengaja memberikan rehat untuk diri sendiri sebelum kembali semula dengan lebih aktif dan fokus.
"Saya masih aktif membuat peragaan dan berlakon iklan. Selain itu, ada juga membantu bisnes kek ibu saya (Ratna Hussin)," ujarnya. Kahwin Diajukan soalan nakal sama ada dirinya sudah mempunyai calon suami dan kemungkinan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, balas pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu, dia masih solo. "Belum ada sebarang perancangan untuk berkahwin. Usahkan berkahwin, calon pun belum ada," kongsinya bersulam ketawa. Tambah Tania, harapannya ingin berjaya terlebih dulu dalam kerjaya sebelum memutuskan untuk berumah tangga. "Kalau boleh saya ingin menamatkan zaman solo sebelum mencecah usia 30 tahun tetapi susah nak cakap, sebab jodoh bukan kita tetapkan," ujar Tania. Meletakkan beberapa kriteria lelaki yang diidamkan, kata Tania dia mahukan seseorang lelaki yang berupaya membimbingnya, matang dan lebih berusia daripada dirinya. "Lagi tua seseorang itu lagi matang pemikirannya. Paling tidak pun dia boleh membimbing saya. Selain itu, saya mahukan seorang lelaki yang kelakar, berjaya dalam kerjaya, menghormati saya dan berpegang pada janji. Ikhlas itu penting dalam sesebuah perhubungan," jelasnya. Jahat Berkongsi karakternya dalam drama Surat Dari Langit Biru, kata Tania, dia terkejut ketika ditawarkan untuk melakonkan watak Lisa. Ia merupakan salah seorang pemegang watak antagonis dalam drama itu.
"Pertama kali saya diberikan watak antagonis yang bermulut jahat dan licik, malah Lisa juga bertanggungjawab memporak-perandakan keluarganya sendiri. Biarpun kemunculan saya hanya sekejap tetapi sebenarnya meninggalkan impak mendalam," katanya yang pertama kali berlakon dibawah arahan pengarah terkenal, Rashid Sibir. Drama bersiri 15 episod terbitan Rashbir Media dan mendapat sentuhan skrip Basri Musa itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Johan As'ari, Yana Samsudin, Fizo Omar, Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi, Iqram Dinzly, Nabila Dally dan Ika Nabila. Surat Dari Langit Biru mengisahkan ikatan persaudaraan antara Zarul (Johan) dan Salmi (Yana) yang sangat rapat dan serba sederhana. Menginjak dewasa, Salmi berjaya bergelar seorang doktor. Namun, Zarul terpaksa berkorban masa depannya demi melihat kakaknya itu berjaya. Pada masa sama, bapa mereka, Pak Hassan (Datuk Rahim) mengahwinkan Salmi dengan anak penghulu kampung Heykal (Fizo) kerana telah banyak terhutang budi sedangkan Heykal sendiri menyimpan dendam terhadap keluarga itu. Rumah tangga Salmi tidak bahagia ditambah pula Zarul yang diperangkap oleh Heykal dan adiknya Lisa (Tania) sehingga dihalau keluarga. Lantas Zarul pergi menghilangkan diri. Segalanya bakal terjawab dalam Surat Dari Langit Biru yang akan disiarkan mulai 6 Februari 2013, setiap hari Selasa hingga Khamis pukul 10 malam di TV3.

Tania Hudson Dihendap Peminat Fanatik


DI sebalik ketenangan dan kejelitaan yang terpancar pada wajah milik pelakon Tania Hudson, rasanya tidak ramai yang tahu dia pernah menjalani pembedahan otak akibat menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) tiga tahun lalu.

AVM adalah sejenis gumpalan urat yang tidak normal tertumbuh di otak dan penyakit yang dialami pelakon berusia 26 tahun ini menjadi serius apabila berlaku pendarahan dalaman.

Syukur kerana masih lagi dapat bernafas dan menjalani aktiviti harian seperti biasa, penderitaan lalu banyak mengajar anak kacukan Melayu-Inggeris ini menjadi seorang yang cekal dan berfikiran positif.

“Saya pernah melalui saat-saat sukar dimana penyakit yang dihidapi berlaku sejak kecil lagi. Keadaan itu membuatkan jiwa saya kosong dan kemurungan.

“Bagaimanapun, selepas pembedahan tersebut, barulah saya sedar dan bersyukur Tuhan masih memberi peluang baru serta harapan untuk saya terus hidup. Malah penderitaan yang dilalui itu memberi pengajaran besar buat diri sendiri.

“Saya mula belajar kerana jangka hayat manusia sebenarnya amatlah pendek tanpa kita sedar dan ia berlalu dengan pantas. Maka bersiap sedialah bahawa nyawa kita boleh diambil pada bila-bila masa sahaja. Justeru itu, terimalah dugaan hidup yang sudah atau bakal dilalui dengan pemikiran yang positif. Gunakan peluang yang ada dengan melakukan perkara-perkara yang berguna.

“Yang penting, percayakan pada diri, seperti perumpamaan ini, bila kita ubah cara pemikiran maka kita boleh mengubah dunia,” katanya yang bakal menyambung pengajian di bidang fesyen pada tahun depan.

Tambah pelakon yang pernah membintangi drama Tiramisu ini, pemikiran yang positif juga perlu dimulakan dengan mengikis perasaan negatif dan pada masa sama membina semula keyakinan diri.

Bagaimanapun tambahnya, untuk menjadi seorang yang berfikiran positif bukannya mudah dan sokongan daripada keluarga serta teman-teman rapat amat diperlukan.

Cabaran

Bakal muncul dengan filem terbaru, Ngorat, arahan Prof. A. Razak Mohaideen, tahun depan. Tania akui, perjalanan kerier lakonannya tidaklah selancar kakaknya, Natasha Hudson yang pantas meraih perhatian khalayak.

Namun, dia tidak pernah berkecil hati apatah lagi cemburu dengan apa yang diraih kakaknya, malah Tania tidak kisah jika namanya sering dikaitkan dengan Natasha.Faham dengan situasi diri yang perlukan masa rehat lebih sejak menjalani pembedahan, Tania akur dengan tawaran yang kurang itu.

“Selepas pembedahan tersebut, saya bersyukur kerana dapat hidup dengan lebih normal. Cuma masa rehat dan tidur yang diperlukan agak lama sedikit berbanding orang biasa. Kalau tak, mulalah penyakit asma menyerang, tak pun kepala saya akan sakit.

“Hal tersebut membuatkan kerjaya lakonan saya sedikit terganggu dimana pihak produksi perlu bertoleransi dengan masalah saya lebih-lebih lagi mengenai masa kerja contohnya, tak bolehlah sampai ke Subuh.

“Alhamdulillah, setakat ini mana-mana pihak produksi yang pernah bekerjasama dengan saya memahami keadaan ini.” tuturnya yang juga tidak tahan dengan asap rokok.

Peminat fanatik

Walaupun populariti tidak sehebat kakaknya, Tania tetap dikenali masyarakat malah mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

Jika tidak, tak adalah sampai dia menjadi mangsa hendap oleh seorang peminat fanatik lelaki selama seminggu.

Kata Tania, lelaki yang berusia 20-an itu telah mengikuti Tania tidak kira di mana saja sama ada ketika di luar atau pulang ke rumah.

“Lelaki tersebut mula mengganggu hidup saya selepas terserempak di sebuah bengkel kereta dan memberitahu bahawa dia merupakan peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan saya. Tak sangka pula selepas itu dia muncul di hadapan rumah dan mengganggu saya dan ibu dengan menekan loceng rumah dengan kerap.

“Tindakan lelaki itu menimbulkan perasaan takut dan bimbang tentang keselamatan diri. Saya turut diberi buah-buahan dan telah bercakap dengannya supaya pulang. Selepas beberapa hari melalui keadaan yang sama, saya terus membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya,” katanya.

Kejadian tersebut membuatkan Tania lebih peka dengan persekitaran dan memastikan dia sentiasa ditemani seseorang setiap kali keluar rumah, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Sekarang ini saya lebih berhati-hati dengan keadaan persekitaran. Harap pengalaman yang dilalui ini dapat menjadi pengajaran buat semua terutamanya wanita yang pulang dari kerja pada lewat malam,” tuturnya.

Tania teringin rasai cinta sejati


ANTARA percaya atau tidak, wanita ini mengaku tidak ada pengalaman bercinta dengan mana-mana lelaki secara serius sepanjang 26 tahun usia.

Biarpun persoalan kebenaran kenyataan tersebut dipertikaikan, namun dia tetap tidak berganjak dengan kenyataanya.

“Saya single, belum ada teman istimewa pernah bertakhta dalam hati ini. Sekadar cinta monyet adalah masa umur 20 tahun. Apa pun cinta monyet tak boleh masuk dalam kategori cinta sejati, bukan?” soalnya tertawa saat membicarakan cerita hati wanitanya.

Pun begitu, Tania Liana Mohd. Redzuan Hudson atau lebih mesra dengan nama Tania Hudson ini mengakui bahawa kebanyakan lelaki yang menghampiri tidak meyakinkan untuk menjadi belahan jiwanya.

Alasannya, definisi cinta Tania terlalu tinggi dan mahal dan bukan sembarangan untuk senang-senang diberikan kepada mana-mana lelaki.

“Hati saya menolak untuk ada hubungan serius dengan lelaki, saya cuma selesa untuk berkawan saja.

“Bukan cinta golongan VVIP atau artis yang dikejar tau, cinta orang biasa pun saya terima sebab pengertian cinta terlalu mahal dan kompleks buat saya,” katanya bersungguh-sungguh.

Mengusik Tania seorang pemilih dan sebab itu dia tak punya kekasih lagi walaupun sudah mencecah 26 tahun, kedengaran hilaian ketawa kecil dalam bicaranya.

“Saya tak jumpa dengan orang yang sepatutnya lagi,” ringkasnya.

Mengorek kriteria lelaki tertentu yang diberi keutamaan, Tania memberitahu dia lebih tertarik pada lelaki ikhlas, amanah dan jujur.

Tambahan pula stigma buat artis yang mempunyai darah campuran adalah jenis moden dan mengamalkan gaya hidup terbuka sepertinya, menyebabkan Tania perlu lebih berhati-hati dalam tingkah laku.

“Saya ada asas tersendiri dalam bab memilih lelaki, kalau boleh ada karisma, patuh pada ajaran agama, rajin dan mempunyai sikap yang baik,” jelasnya.

Kalau begitu, sampai umur berapa Tania baru mahu memikirkan soal perkahwinan? Adakah Tania pernah merujuk kakaknya, Natasha Hudson yang punya pengalaman hidup berumah tangga yang luas dan pakar dalam persoalan hati sebelum ini?

“Saya dan kakak berkongsi apa saja cerita tentang kami sebab hanya kami berdua beradik saja. Apa yang dia lalui termasuk perkahwinan, perceraian dan kisah kerjaya dirinya adalah sumber inspirasi buat saya.

“Bila masuk bab kahwin, saya berhajat untuk mendirikan rumah tangga masa umur 30 tahun, mungkin sebab ketika itu saya dah stabil,” azam Tania.

Gerun lelaki psiko

Pelakon telefilem Nadira, Antara Denai, Lagu Kita dan Mayang Mengurai ini juga tidak dapat melupakan bagaimana dia berdepan dengan situasi dikejar lelaki psiko yang mengintip Tania saban hari pada bulan lalu.

Lelaki berusia 20-an yang juga peminat fanatik Tania itu didakwa setia menunggu Tania di rumahnya yang terletak di Subang Jaya, Selangor semata-mata untuk melihat pelakon yang juga model itu.

Pada mulanya Tania menganggap lelaki itu seperti kebanyakan peminat yang lain selepas terserempak di sebuah bengkel kereta namun paras kecurigaan meningkat selepas lelaki itu kerap muncul di hadapannya.

“Saya rimas bila lelaki ekstrem itu asyik mengekori dan cakap benda-benda pelik pada saya. Memang cemas sebab inilah kali pertama mengalami kejadian sebegini walaupun dah 25 tahun duduk di Subang Jaya.

“Dia asyik nak jumpa dan bunyikan loceng di rumah suruh saya keluar. Dia tahu semua aktiviti saya bila saya kemas kini status Twitter saya. Sebab risau keselamatan diri itu yang saya buat laporan polis.

“Sekarang, kes tu dah selesai lepas saya jumpa dengan abang kepada lelaki itu dan minta kerjasama. Alhamdulillah, fasa mimpi ngeri itu dah berakhir dan saya dah bebas buat apa saja,” syukurnya.

Ditanya apa pengajaran yang diperolehi selepas peristiwa itu, Tania mengatakan ada dua tauladan diperolehi.

Pertama, orang perempuan perlu berhati-hati ketika hendak keluar rumah dan seboleh-bolehnya perlu ada teman sebab banyak kes melibatkan penculikan terjadi sejak kebelakangan ini.

Kedua, jangan memberikan perincian aktiviti harian untuk memberitahu rakan-rakan di Twitter kerana itu boleh mendedahkan individu tertentu diserang sesuatu perkara di luar jangkaan.

Tak digugat orang baru

Mengubah topik persoalan kepada fenomena industri masa kini yang meriah dengan kehadiran pelakon baru yang rata-ratanya rupawan, berbakat dan sensasi, dan adakah dia tidak tergugat Tania hanya ketawa kecil.

“Kebanyakan pendatang baru punya cara tersendiri untuk mencipta nama, gunakan kecantikan atau apa saja.

“Memang wujud persaingan di kalangan artis baru dengan lama tetapi itu bukan bermakna yang sedia ada boleh dipinggirkan kerana semua berada dalam industri ini kerana bakat.

“Jadi lebih baik kalau kita buat kerja sendiri dan ambil inisiatif sendiri untuk kembangkan industri hiburan negara.,” hujahnya.

Ditanya bagaimana cara Tania mahu terus diingati di kalangan industri sedangkan kehadiran Tania sendiri seakan-akan seperti ‘untung sabut timbul; untung batu tenggelam’, wanita ini terdiam sebentar.

“Saya dah ada nama dan pengikut tersendiri. Selepas selesai berlakon dalam beberapa drama dan mendapat reaksi positif, saya bertambah yakin dan menjadi anak seni.

“Selebihnya, soal populariti atau tidak, saya serahkan kepada peminat sebab mereka sekarang ini dah pandai menilai keupayaan artis kesayangan mereka,” kata pelakon filem Ngorat ini di hujung perbualan.

Kesihatan jadi penghalang - Tania Nadira Hudson


Keinginan mencipta nama dalam bidang lakonan kurang lancar

TANIA Nadira Hudson, adik kepada pelakon, Natasha mungkin masih belum cukup popular sebagaimana kakaknya. Namun si manis berusia 25 tahun itu tetap memiliki cita-cita untuk menjadi seperti Natasha.

Bagaimanapun dalam mengejar impiannya itu, langkah gadis pendiam ini tidak selancar disangka apabila dia mengalami pendarahan otak pada Mac lalu. Serangan yang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan Tania terlantar hampir sebulan di hospital seterusnya membantutkan hasratnya untuk aktif dalam bidang lakonan. Akibat daripada itu, dia terpaksa melupakan agenda untuk mengukir nama dalam bidang seni kerana perlu memberi keutamaan kepada kesihatannya. Apatah lagi, penyakit yang dihidapinya itu memerlukan masa hampir tiga tahun untuk pulih sepenuhnya.

Walaupun tidak perlu bergantung kepada ubat, Tania masih perlu berhati-hati menjalani kehidupannya untuk memastikan penyakit itu tidak kembali menyerang. Oleh itu, dia akan sentiasa memastikan mendapat tidur yang mencukupi sekurang-kurangnya lima jam, mengamalkan pengambilan vitamin, menjaga pemakanan, bersenam dan mengelakkan daripada berasa tertekan.

Tania juga tidak boleh menerima tawaran berlakon sewenang-wenangnya kerana bimbang akan menyusahkan pihak produksi jika keadaan kesihatannya terganggu. Ini kerana kata gadis ini, jika berasa tidak sihat, dia terpaksa membatalkan jadual lakonannya.

Namun kata Tania, dia tidak berhasrat untuk menyusahkan pihak produksi atau cuba mengambil kesempatan di atas kekurangannya itu kecuali apabila keadaan terdesak.
“Memanglah susah apabila berpenyakit kerana saya perlu berlakon demi sesuap nasi. Sebenarnya selain pendarahan dalam otak, saya juga menghidap asma tetapi saya anggap apa yang berlaku sebagai satu ujian.

“Bagaimanapun, saya tidak suka menggunakan penyakit untuk meraih simpati. Selagi saya termampu untuk bekerja, saya akan buat tetapi jika keadaan kesihatan tidak mengizinkan, saya akan mendapatkan pelepasan dari pihak produksi.

“Saya tahu keadaan itu akan menyusahkan pihak produksi apabila saya tidak dapat hadir ke sesi penggambaran pada saat akhir. Cuma setakat ini saya masih belum lagi menyusahkan mereka. Bagi memastikan penyakit tidak berulang, apa yang penting saya perlu mendapatkan tidur mencukupi,” kata Tania yang diberi kepercayaan membintangi drama bersiri Tiramisu yang mengisi slot Akasia bergandingan dengan Pierre Andre, Sharifah Amani dan Zain Ruffedge.

Membawakan watak Liyana dalam drama sebanyak 28 episod terbitan Filmscape Sdn Bhd, Tania berkata dia perlu menjadi seorang perempuan yang jahat dan suka terkinja-kinja.

Karakter itu kata Tania amat berbeza dengan peribadi sebenarnya. Namun untuk menjadi pelakon serba boleh, gadis yang juga graduan dalam bidang Pemasaran Fesyen dari sebuah kolej di Ampang, berkata, dia perlu mencuba pelbagai watak untuk membuktikan kredibilitinya.

Tania tidak menafikan kehadiran kakaknya yang terlebih dulu melangkah dalam industri ini memberi kelebihan kepadanya. Tetapi dia tidak suka menggunakan Natasha untuk kesenangan peribadi.

“Kakak hanya boleh membantu memperkenalkan saya kepada produser tetapi seterusnya tanggungjawab terletak pada diri sendiri dan budi bicara penerbit atau pengarah untuk mencorak nasib dalam bidang ini. Saya perlu bekerja kuat tetapi dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan ini, saya terpaksa mengambil selangkah ke belakang supaya tidak terlalu menekan diri.

“Walaupun meminati bidang ini tetapi saya tidak mahu terus menjadikan bidang lakonan sebagai fokus utama. Saya juga ada cita-cita yang mahu digapai. Saya mahu menceburi bidang perniagaan terutama berkaitan fesyen memandangkan saya belajar dalam bidang fesyen.

“Namun saya tidak tahu bila hasrat itu dapat direalisasikan. Mungkin beberapa tahun dari sekarang, jadi buat masa ini oleh kerana keadaan kesihatan yang semakin baik, saya mahu berikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang lakonan terlebih dulu,” katanya.


•Drama bersiri Tiramisu disiarkan menerusi slot Akasia di TV3, setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 malam bermula 27 Disember lalu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails