Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Kesihatan jadi penghalang - Tania Nadira Hudson
Keinginan mencipta nama dalam bidang lakonan kurang lancar
TANIA Nadira Hudson, adik kepada pelakon, Natasha mungkin masih belum cukup popular sebagaimana kakaknya. Namun si manis berusia 25 tahun itu tetap memiliki cita-cita untuk menjadi seperti Natasha.
Bagaimanapun dalam mengejar impiannya itu, langkah gadis pendiam ini tidak selancar disangka apabila dia mengalami pendarahan otak pada Mac lalu. Serangan yang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan Tania terlantar hampir sebulan di hospital seterusnya membantutkan hasratnya untuk aktif dalam bidang lakonan. Akibat daripada itu, dia terpaksa melupakan agenda untuk mengukir nama dalam bidang seni kerana perlu memberi keutamaan kepada kesihatannya. Apatah lagi, penyakit yang dihidapinya itu memerlukan masa hampir tiga tahun untuk pulih sepenuhnya.
Walaupun tidak perlu bergantung kepada ubat, Tania masih perlu berhati-hati menjalani kehidupannya untuk memastikan penyakit itu tidak kembali menyerang. Oleh itu, dia akan sentiasa memastikan mendapat tidur yang mencukupi sekurang-kurangnya lima jam, mengamalkan pengambilan vitamin, menjaga pemakanan, bersenam dan mengelakkan daripada berasa tertekan.
Tania juga tidak boleh menerima tawaran berlakon sewenang-wenangnya kerana bimbang akan menyusahkan pihak produksi jika keadaan kesihatannya terganggu. Ini kerana kata gadis ini, jika berasa tidak sihat, dia terpaksa membatalkan jadual lakonannya.
Namun kata Tania, dia tidak berhasrat untuk menyusahkan pihak produksi atau cuba mengambil kesempatan di atas kekurangannya itu kecuali apabila keadaan terdesak.
“Memanglah susah apabila berpenyakit kerana saya perlu berlakon demi sesuap nasi. Sebenarnya selain pendarahan dalam otak, saya juga menghidap asma tetapi saya anggap apa yang berlaku sebagai satu ujian.
“Bagaimanapun, saya tidak suka menggunakan penyakit untuk meraih simpati. Selagi saya termampu untuk bekerja, saya akan buat tetapi jika keadaan kesihatan tidak mengizinkan, saya akan mendapatkan pelepasan dari pihak produksi.
“Saya tahu keadaan itu akan menyusahkan pihak produksi apabila saya tidak dapat hadir ke sesi penggambaran pada saat akhir. Cuma setakat ini saya masih belum lagi menyusahkan mereka. Bagi memastikan penyakit tidak berulang, apa yang penting saya perlu mendapatkan tidur mencukupi,” kata Tania yang diberi kepercayaan membintangi drama bersiri Tiramisu yang mengisi slot Akasia bergandingan dengan Pierre Andre, Sharifah Amani dan Zain Ruffedge.
Membawakan watak Liyana dalam drama sebanyak 28 episod terbitan Filmscape Sdn Bhd, Tania berkata dia perlu menjadi seorang perempuan yang jahat dan suka terkinja-kinja.
Karakter itu kata Tania amat berbeza dengan peribadi sebenarnya. Namun untuk menjadi pelakon serba boleh, gadis yang juga graduan dalam bidang Pemasaran Fesyen dari sebuah kolej di Ampang, berkata, dia perlu mencuba pelbagai watak untuk membuktikan kredibilitinya.
Tania tidak menafikan kehadiran kakaknya yang terlebih dulu melangkah dalam industri ini memberi kelebihan kepadanya. Tetapi dia tidak suka menggunakan Natasha untuk kesenangan peribadi.
“Kakak hanya boleh membantu memperkenalkan saya kepada produser tetapi seterusnya tanggungjawab terletak pada diri sendiri dan budi bicara penerbit atau pengarah untuk mencorak nasib dalam bidang ini. Saya perlu bekerja kuat tetapi dengan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan ini, saya terpaksa mengambil selangkah ke belakang supaya tidak terlalu menekan diri.
“Walaupun meminati bidang ini tetapi saya tidak mahu terus menjadikan bidang lakonan sebagai fokus utama. Saya juga ada cita-cita yang mahu digapai. Saya mahu menceburi bidang perniagaan terutama berkaitan fesyen memandangkan saya belajar dalam bidang fesyen.
“Namun saya tidak tahu bila hasrat itu dapat direalisasikan. Mungkin beberapa tahun dari sekarang, jadi buat masa ini oleh kerana keadaan kesihatan yang semakin baik, saya mahu berikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang lakonan terlebih dulu,” katanya.
•Drama bersiri Tiramisu disiarkan menerusi slot Akasia di TV3, setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 malam bermula 27 Disember lalu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]