Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Vince. Show all posts
Showing posts with label Vince. Show all posts
Vince AF1 Kahwin Mac Tahun Depan
Penyanyi Vince memberitahu akan menamatkan zaman bujangnya pada Mac tahun depan dengan seorang pramugari di syarikat penerbangan Malaysia Airline System (MAS), Fiona Edward, 32.
Vince atau nama sebenarnya Vincent Chong, 33, berkata, dia sudah memilih lokasi di sebuah taman di Janda Baik dengan bertemakan perkahwinan dalam taman.
"Saya akan melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun depan, namun tarikh sebenar nanti saya beritahu kemudian kerana masih dalam perbincangan.
"Setakat ini kami merancang untuk mengadakan majlis secara sederhana bersama keluarga terdekat dan rakan-rakan dalam suasana taman dan alam semula jadi," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Sabtu.
Tambah Vince, dia memilih tema tersebut kerana bertepatan dengan jiwanya yang lebih suka kepada alam semulajadi dan sesuatu yang damai.
Dalam pada itu, Vince berkata, persiapan perkahwinan akan diuruskan oleh pihak keluarga masing-masing.
"Kami mahu majlis itu biarlah tertutup dan hanya keluarga dan rakan-rakan terdekat termasuk media.
"Bagi saya, apa yang penting ialah majlis tersbeut berjkalan lancar dalam keadaan yang boleh diingati," katanya.
Bercerita tentang tunangannya, Vince berkata Fiona seorang gadis biasa yang berjaya memikat hati keluarganya.
"Dia seperti gadis normal yang lain, apa yang penting ialah keluarga saya sayangkan dia dan dia sangat rapat dengan keluarga saya.
"Saya seorang yang mementingkan hubungan kekeluargaan, jika saya suka tetapi keluarga tidak suka gadis tersebut saya akan beralah kerana saya yakin kebahagian rumahtangga terletak pada restu ibu bapa," katanya.
Tambahnya, wanita tersebut juga seorang yang sangat memahami dan mudah bertolak ansur.
"Dia sentiasa faham perangai saya yang panas baran dan dia tahu bagaimana untuk sabar dan sejukkan perasaan saya.
"Bagaimanapun dia tidak suka berada di hadapan media atau dikenali sebagai tunang saya," katanya.
Vince dan Fiona bertunang pada 30 September tahun lalu di Bali, Indonesia.
"Saya lamar dia masa hari jadi saya di Bali. Memang saya rancang nak buat kejutan pada dia. Atas bantuan kakak saya, rancangan saya menjadi.
"Ketika tu, mereka keluarkan kek dan saya katakan pada Fiona, hadiah yang saya dapat ni tidak lengkap kalau Fiona tak pakai. Kemudian saya terus buka satu kotak berisi cincin dan saya berikan padanya. Dia terkejut", katanya.
Vince Pernah Murung Kerana Berat Badan
PETALING JAYA: Penyanyi Vince mendedahkan dia pernah mengalami masalah kemurungan akibat penambahan berat badan yang drastik.
Vince atau nama sebenarnya Vincent Chong, 33, berkata, keadaannya itu membuatkan dia berasa begitu rendah diri dan sangat malu untuk berdepan dengan khalayak.
"Pada sekitar Mac tahun lalu, saya mengalami masalah kemurungan yang agak teruk. Entah kenapa jiwa rasa kosong selain beranggapan seperti tidak dihargai lagi seperti dahulu ketika menjadi juara Akademi Fantasia musim pertama (AF1).
"Mungkin saya terlalu mengikut emosi sehingga menyebabkan penyakit itu berlaku. Mujurlah keluarga dan teman-teman rapat sentiasa menjadi tulang belakang untuk kembali yakin seperti dahulu.
"Bayangkan, saya nak keluar pun rasa malu sangat, risau dengan kata-kata orang yang melihat bentuk badan saya," katanya.
Tambah Vince, dia bersyukur apabila penyakit kemurungan yang dilalui tidak lama malah dia sedikit demi sedikit mula menjadi seorang yang positif dengan memulakan amalan cara pemakanan secara sihat.
Malah penyanyi lagu Mengapa Harus Cinta itu berkata, dia juga sering memberikan sasaran untuk dirinya mendapatkan berat badan yang ideal.
"Selain itu saya juga mula mengubah penampilan diri mengikut kesesuaian diri dan usia.
"Buat masa ini saya akan tampil menggunakan topi 'fedora'. Sesuai dengan konsep muzik yang bakal saya tampilkan iaitu genre dance music," ujarnya.
Vince Mahu Badan Lebih Sasa Untuk Diminati
KUALA LUMPUR: Penyanyi Vincent Chong atau Vince, 33, mahu badannya kelihatan lebih sasa sebagai usaha untuk kekal relevan dalam dunia hiburan tanah air.
Bekas juara Akademi Fantasia musim pertama (AF1) ini berkata, artis pada hari ini bukan hanya perlu menjual lagu semata-mata tetapi harus menjadi imej dan penampilan kerana ia adalah pakej dalam menarik perhatian peminat.
"Saya rasa perkembangan muzik hari ini bukan sahaja artis menjual lagu semata-mata tetapi penampilan dan imej juga. Sebab itu saya sedang giat menurunkan berat badan agar kelihatan lebih sasa dan segak.
"Selama ini ramai yang kata saya agak berisi apabila muncul di televisyen, sekali gus membuatkan saya kurang yakin muncul di depan khalayak. Saya ambil inisiatif untuk mengamalkan diet dan bersenam di gimnasium sejak dua bulan lalu," katanya kepada mStar Online di sini.
Dalam pada itu tambah Vince, kemampuannya untuk kekal dalam dunia hiburan sehingga kini pula adalah berkat sokongan yang berterusan daripada para peminat dan pihak media yang antara lain menjadi kekuatan untuk dia terus berjuang dalam industri muzik.
Katanya, perhatian yang berterusan selama hampir sedekad bergelar penyanyi membuatkan dia tidak mahu mengalah dengan senario muzik tempatan yang tidak menentu.
"Keprihatinan dan sikap mengambil berat peminat dan media menjadi kekuatan saya untuk terus berjuang dalam kekalutan industri muzik hari ini. Ketika saya menghilang, anda semua tidak pernah jemu bertanya perkembangan semasa saya.
"Perkara inilah yang mendorong saya untuk tidak mengalah walaupun saya terkesan dengan penjualan dan sambutan dingin album tempatan pada hari ini," katanya.
Mengenai kerjaya, Vince berkata, dia bakal mempertaruhkan lagu terbaru berjudul Hanya Kau dalam masa terdekat.
Katanya, lagu berentak balada itu mengambil masa selama lima bulan untuk disiapkan.
"Saya meletakkan harapan yang besar pada lagu ini. Ia adalah titik penentu saya untuk kembali ke persada muzik selepas kali terakhir muncul dengan album pada 2010.
"Saya mengambil masa yang paling lama iaitu lima bulan untuk menyiapkannya dan setakat ini respons daripada radio dan peminat sangat memberangsangkan," katanya.
Selain itu, Vince turut mengacarakan program bual bicara bola sepak Football Overload di Astro Supersports.
Hampir tersungkur kerana cinta-Vince

DUA tahun kebelakangan ini, nama Vincent Chong Yin-Cern atau Vince sepi seketika sebelum kelahiran album studionya yang ketiga, Kronologi Cinta tahun lalu.
Selama tempoh kehilangannya itu, ramai juga yang bertanya ke mana menghilangnya juara Akademi Fantasia (AF) musim pertama itu.
Adakah dia tidak berminat lagi meneruskan karier seninya atau merajuk dengan industri seni yang dilihat ada kala tidak berlaku adil kepada bakat besar sepertinya?
Jika berdasarkan bakatnya yang bukan sembarangan itu, ramai yang melihat Vince mampu bertahan lama dalam industri.
Seandainya dia tidak lagi meneruskan cita-cita dan minatnya ia memang satu kerugian besar buat industri.
Kehebatan bakat Vince bukan sahaja terletak kepada vokal tetapi bakat penciptaan lagu serta lirik.
Jejaka kacukan Cina-Inggeris itu juga sudah diakui memiliki kualiti vokal yang tersendiri dan dianggap sebagai juara AF paling berkualiti dari segi bakat.
Lalu, sewaktu berbicara dengan anak kelahiran London, England dalam satu pertemuan empat mata di ibu negara baru-baru ini, Vince membuka cerita tentang kehilangannya sebelum tampil dengan Kronologi Cinta.
Cerita Vince, harus diakui dalam tempoh dua tahun itu dia telah melalui perjalanan yang begitu sukar sehingga dia rebah dan hampir tersungkur.
Tanpa berselindung, kata Vince, semuanya adalah penangan hubungan cinta yang tidak kesampaian dan telah merubah hidupnya secara mutlak.
"Ia merupakan tempoh yang cukup sukar buat saya kerana baru saya sedar, cinta sememangnya boleh membunuh kita dalam diam.
"Kerana cinta jugalah, ia mampu menukar watak kita dalam sekelip mata dan saya bersyukur kerana saya tidak terus hanyut serta larut dalam emosi saya sendiri.
"Semuanya kerana bantuan serta sokongan daripada keluarga dan teman-teman rapat yang menjadi kekuatan buat saya untuk bangkit dan meneruskan kehidupan.
"Sekarang, saya sudah berubah dan fokus utama saya kini adalah tentang kerja. Soal cinta? Bukan lagi agenda utama saya," luah Vince penuh jujur menceritakan pengalamannya.
Sambungnya, perhubungan yang dilaluinya bersama seorang wanita Mexico bernama Veronica sewaktu menuntut di Taipei, Taiwan banyak mengajarnya untuk menjadi seorang yang lebih dewasa dan matang.
Bangkit semula
Malah, jujur Vince mengakui, dia hampir membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya bagi hidup bersama dengan wanita itu.
Mungkin kerana Tuhan mahu menyedarkannya bahawa perhubungan itu tidak mampu bertahan lama, barulah Vince membuka matanya dan melihat warna sebenar dalam perhubungannya.
"Perkahwinan adalah untuk seumur hidup dan kalaulah sepanjang tempoh perkenalan itu banyak perkara yang membuatkan kita tidak boleh melakukannya bersama-sama, apakah yang akan jadi nanti?
"Kerana itu, saya cepat sedar dan memutuskan untuk tidak meneruskan perhubungan ini lagi kerana percaya ia tidak akan membawa sebarang kebaikan.
"Ketika itu jugalah, peluang tiba untuk saya bangkit semula dalam industri dan saya tidak mahu melepaskan peluang itu hanya semata-mata mengorbankan perkara yang tidak dapat menjanjikan kebahagiaan," kata Vince panjang lebar dan mahu melupakan kisah pahit percintaannya itu.
Tidak mahu lagi memikirkan soal cinta buat masa ini, keutamaan dan fokus Vince kini adalah hanya pada kerjayanya.
Berdasarkan pengalamannya itu jugalah telah memberi inspirasi kepada anak seni yang berusia 30 tahun ini untuk menumpahkan ke dalam setiap lagu di dalam album Kronologi Cinta.
Bagi Vince, album ketiganya itu memiliki nilai sentimental yang tersendiri dan ia juga bersifat peribadi kerana kisah hidupnya semuanya terkandung dalam setiap lagu.
"Setiap lagu disusun secara kronologi dan saya juga melihat album ini sebagai sebuah novel yang menceritakan segala pengalaman saya.
"Tiada kata yang mampu saya lafazkan melainkan syukur, gembira dan teruja dengan penghasilan album Kronologi Cinta yang benar-benar memuaskan hati saya.
"Pengalaman lalu juga banyak mematangkan saya sebagai seorang pengkarya dan anak seni. Kematangan itu dapat dilihat dengan jelas dalam album Kronologi Cinta," jelasnya tentang album yang diterbitkan dan diedarkan oleh NSR sejak tahun lalu itu lagi.
Duduk berbual selama satu jam bersama Vince dan membincangkan tentang album Kronologi Cinta, terserlah kesungguhan Vince menceritakan satu per satu proses pembikinan albumnya.
Selama ini, kata pelantun lagu Janji-Janji dan Mengapa Harus Cinta? dia hanya disuap apabila pembikinan albumnya ditangani serta disiapkan oleh orang lain biarpun dia juga menyumbang dari segi lagu-lagunya.
Kali ini, semuanya berbeza apabila keseluruhan produksi album Kronologi Cinta melibatkan tenaga dan kreativitinya dari awal hinggalah akhir.
Juga, album ketiganya itu juga menyaksikan sentuhan yang jauh berbeza dengan apa dua buah album studionya sebelum ini iaitu Vince dan Janji Vince.
Tidak mahu lagi tampil dengan bunyi dan muzik yang sama, bagi Vince, sebagai karyawan dia mahu terus menghasilkan produk tanpa menggunakan formula yang sudah diguna pakai.
Menyuntik semangat
Kerana itu, dia cukup puas hati dengan album tersebut dan barulah kini dia tahu serta sedar bagaimana peritnya untuk menerbitkan sebuah album.
"Apabila NSR memberi peluang kepada saya untuk merakamkan album, saya berfikir ia peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan begitu sahaja.
"Mereka memberi sepenuh kebebasan kepada saya untuk mencorakkan album saya dengan keinginan dan kehendak saya sendiri.
"Dalam masa yang sama, album ini juga saya lihat telah menepati kehendak pendengar masa kini menerusi variasi lagu yang ditampilkan.
"Kronologi Cinta juga saya sifatkan sebagai kepuasan untuk peminat dan diri saya sendiri," tuturnya bersemangat tentang album yang memuatkan 10 buah lagu ciptaannya.
Selebihnya adalah lagu ciptaan Sharon Paul dan Kronologi Cinta turut memuatkan tiga buah lagu Inggeris iaitu Getting Closer, Teach Me How To Love dan Dear Jean.
Lagu-lagu Melayu yang terkandung dalam album ini adalah Biarkan, Buah Hati, Layan Saja, Apa Jawapannya, Kan Temu Jua, Cerita Kita dan Akhirnya.
Salah sebuah lagu iaitu Ajarku Cinta menyaksikan gabungan Vince bersama naib juara Bintang RTM 2009, Jo-Anna Sue Henly Rampas.
Ternyata pengorbanan dan perit jerih Vince menerbitkan album Kronologi Cinta berbalas apabila menerima tiga pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) yang berlangsung Ahad ini (2 Mei).
Ia merangkumi Kulit Album Terbaik, Album Pop Terbaik dan Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Lagu.
Bagi kategori Album Pop Terbaik, Vince disaingi oleh album Aku Stacy oleh Stacy, CTKD (Datuk Siti Nurhaliza & Krisdayanti), Dayang Live (Dayang Nurfaizah) dan Tahajjud Cinta (Siti Nurhaliza).
Manakala untuk Vokal Lelaki Terbaik pula, saingan Vince bukan calang-calang iaitu Faizal Tahir, Hazami, Jamal Abdillah dan Riz.
Bagi Vince, tiga pencalonan itu sudah cukup membuktikan bahawa pihak juri masih lagi percaya dengan bakat serta pembaharuan yang dibawakannya menerusi albumnya itu.
"Bagi saya, menang merupakan satu bonus dan kalau tewas, saya tidak melihat ia satu kegagalan kerana setidak-tidaknya produk saya sebaris dengan calon hebat yang lain.
"Ia juga telah menyuntik semangat untuk saya terus menghasilkan produk yang lebih baik selepas ini," ujarnya yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik AIM pada tahun 2005.
Dalam perkembangan lain, Vince juga akan muncul dengan teater muzikal Taming of the Shrew: A Bollywood Cabaret yang akan dipentaskan di PJ Live Arts Theatre, Petaling Jaya, Selangor, pada bulan Jun ini.
Selain itu, Vince juga sibuk menyiapkan dua buah skrip filem masing-masing untuk filem Cina dan Melayu yang masih belum berjudul.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
