Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Zaibo. Show all posts
Showing posts with label Zaibo. Show all posts

Zaibo Lalui Pengalaman Terguris Dengan Anak Tiri


PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zaibo menjelaskan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang baru dua tahun mendirikan rumah tangga bukannya mudah apatah lagi dia mempunyai sembilan orang anak tiri.

Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd Hamid, 56, berkata, kadang-kala perasaan terguris dengan sikap anak-anak yang masih belum matang itu wujud tetapi ia harus dibuang agar seorang bapa itu tidak berperangai seperti budak-budak.

“Saya mengaku, di awal perkahwinan, saya agak sukar untuk berhadapan dengan keletah anak-anak tiri yang masih kecil kerana saya tiada pengalaman mempunyai anak sebelum ini. Anak-anak yang dah dewasa tiada masalah kerana mereka pandai membawa diri dan ada pula yang sudah berkahwin

“Tetapi syukurlah saya mempunyai isteri yang banyak membantu serta mengajar saya bagaimana untuk mengendalikan anak-anak berdasarkan kepada pengalaman yang dia lalui,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Rabu.

Zaibo menamatkan zaman bujangnya dengan ibu tunggal beranak sembilan iaitu Siti Hawa Shawal,47, pada 3 Disember 2010.

Hubungan mereka sebagai sahabat yang terjalin selama 15 tahun itu bertukar sebaliknya apabila kedua-dua mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Siti Hawa mempunyai anak berusia di antara empat hingga 26 tahun hasil perkahwinan terdahulu.

Zaibo berkata, daripada sembilan orang anak tirinya, lima di antara mereka sudah bekerja dan masih belajar di pusat pengajian tinggi sementara empat yang lain masih bersekolah.

Katanya, sikap anak-anak yang sentiasa perlu diberi nasihat adalah satu perkara biasa tetapi ia sebenarnya agak baru dalam dirinya apabila bergelar “bapa segera”.

Zaibo menambah dia bertuah kerana telah mengenali keluarga isterinya sejak sekian lama dan perkara itu adalah kelebihan untuk dia mendekati anak-anak dengan lebih rapat.

“Saya gembira dalam masa empat bulan selepas kahwin, hubungan saya dengan anak-anak tiri saya menjadi rapat terutama sekali empat orang anak yang berusia dari empat hingga 11 tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain menurut Ziabo, pada masa ini dia banyak menghabiskan masa dengan tinggal di rumah isterinya di Rengit, Batu Pahat, Johor dan akan pulang ke Kuala Lumpur sekiranya terdapat tawaran berlakon.

Selain belajar hidup cara orang kampung, Zaibo turut bercampur dengan masyarakat di kampung berkenaan selain mengambil serta menghantar anak-anak ke sekolah pada setiap hari.

“Suasana selepas berkahwin amat berbeza. Percaya atau tidak, saya dan isteri akan bergilir-gilir buat kerja dapur. Selepas pergi ke pasar, kadang-kadang saya yang masak. Kalau saya penat, dia pula yang sibuk di dapur. Menarik sangat pengalaman kami ini,” katanya.

Zaibo sebak di pagi Syawal


SETELAH 54 tahun meraikan Syawal sebagai orang bujang, akhirnya pada lebaran kali ini, pelakon komedi yang dikenali dengan nama Zaibo menyambutnya dengan penuh keriuhan apabila isteri dan sembilan orang anak berada di sisinya.

Zaibo atau nama sebenarnya, Zainal Ariffin Abd. Hamid, 54 memberitahu, sejak awal Ramadan lagi, dia telah merasai bahang keseronokan Aidilfitri kali ini apatah lagi isterinya, Hawa Shawal, 45 sentiasa bersamanya melainkan ketika pelakon itu sedang menjalani penggambaran.

Akui Zaibo, dia berasa sebak di pagi Syawal tahun ini kerana tidak pernah menjangka akan menyambut hari raya dengan isteri dan anak-anak yang sentiasa mengasihi dirinya.

“Selepas mencecah usia 50 tahun, sebenarnya saya sudah menutup pintu hati untuk berkahwin dan reda jika ditakdirkan hidup membujang hingga ke akhir hayat.

“Namun, kuasa Tuhan, saya diberi peluang untuk menikmati hidup bersama isteri dan bapa kepada anak-anak walaupun mereka adalah anak tiri.

“Sebab itulah, pada pagi raya sebelum menunaikan solat aidilfitri, hati saya begitu sebak kerana masih tidak mempercayai bahawa saya menyambutnya dengan sebuah keluarga yang besar,” ceritanya dalam nada sayu.

Bercerita lanjut mengenai sambutan raya kali ini, Zaibo berkata, hari terakhir Ramadan melabuhkan tirainya, dia sibuk membantu isterinya, Hawa di rumah mereka yang terletak di Batu Pahat, Johor.

Ujarnya, daripada kerja-kerja pemasangan langsir, menyusun atur perabot rumah dan bermacam-macam lagi dibuatnya dengan penuh semangat.

“Saya teruja sangat-sangat. Walaupun letih membuat itu ini, tetapi saya tidak kisah kerana ini kali pertama saya beraya bersama keluarga sendiri.

“Paling teruja apabila pergi membeli-belah pakaian anak-anak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada minggu terakhir Ramadan lalu.

“Memang seronok. Sebelum ini shopping bersendirian, sekaran saya perlu membelikan bermacam-macam benda untuk persiapan keluarga,” katanya yang benar-benar teruja menceritakan keseronokannya kepada S3.

Tambah anak kelahiran Alor Setar itu, dia tidak akan pulang ke kampung halamannya pada perayaan ini kerana mahu menikmati saat-saat penuh makna bersama keluarga tercintanya.

Zaibo Tamat Zaman Bujang Pada Usia 54 Tahun


BATU PAHAT: Pelawak Zainal Ariffin Abd Hamid atau Zaibo menamatkan zaman bujangnya pada usia 54 tahun apabila selamat bernikah dengan Siti Hawa Shawal, 45, di Pejabat Agama Islam, Batu Pahat, Jumaat.

Dengan dua kali lafaz, pelakon veteran yang dikenali dengan gelaran Pak Selamat menerusi sitkom Spanar Jaya itu bernikah dalam satu majlis tertutup yang ringkas di kampung pengantin perempuan dengan dihadiri oleh rakan dan saudara terdekat.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana akhirnya saya menemui teman hidup pada usia sekarang. Inilah yang dikatakan jodoh,” ujar Zaibo yang mengenali isterinya selama 10 tahun lalu.

Siapa sangka, hubungan yang pada mulanya sekadar abang dan adik akhirnya membawa pasangan ini ke jinjang pelamin.

“Pada mulanya, saya menganggap dia sebagai adik saya dan begitu juga dia tetapi Tuhan mempunyai perancangan lain untuk kami. Kami mula rapat beberapa tahun lalu dan memutuskan untuk berkahwin pada Ramadan lalu,” kata pelakon teater Caught In The Middle, Tun Mahathir, Penyu Menangis, TokPerak, Anak Tanjung, I remember ....The Rest House dan Demi Zaitun itu.

Ini merupakan perkahwinan pertama buat Zaibo dan yang kedua bagi Hawa.

Hasil perkahwinan pertama, Hawa dikurniakan sembilan orang anak berusia antara 3 hingga 26 tahun.

Bagaimanapun, pelakon popular itu enggan menghebahkan jumlah wang hantaran mahu pun dulang hantaran yang diberikan kepada isterinya.

“Saya boleh katakan, penyanyi Aishah menguruskan semua hantaran manakala selebriti Habsah Hassan dan Rubiah Suparman turut memberikan sumbangan lain. Biarlah hantaran yang diberikan kepada isteri saya menjadi rahsia,” ujar aktor kelahiran Perlis yang pernah berlakon lebih 15 buah filem termasuk Soalnya Siapa?, Putera, Soal Hati, Senario Asam Garam, Cuti-cuti Cinta, Magika, Lu Pikirlah Sendiri dan Pontianak Harum Sundal Malam 2.

Ditanya tentang destinasi bulan madu, Zaibo menjawab: “Itu sangat rahsia. Bagaimanapun, saya akan sibuk dengan penggambaran filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki dan terlibat dengan program masakan Pelik Tapi Sedap musim kedua bermula minggu depan.”

Zaibo telah menetapkan untuk mengadakan majlis perkahwinan ringkas tanpa upacara persandingan.

Biarpun begitu, selepas upacara akad nikah, pasangan itu diraikan dalam satu resepsi kecil di rumah pengantin perempuan pada sebelah petangnya di mana tetamu dihiburkan dengan persembahan kuda kepang.

“Saya rasa gembira kerana telah bergelar seorang suami sekarang. Gelaran ini datang dengan maruah dan saya akan menggalas tanggungjawab perkahwinan dengan sebaiknya,” janji pengacara Pelik Tapi Sedap ini yang turut muncul dalam drama Tari Tirana dan Under One Roof.

Zaibo kahwin dalam diam?


Satu Johor kecoh kononnya ternampak pelakon komedi popular, Zaibo, 54, selalu sangat berkepit ke sana kemari dengan seorang wanita berusia awal 40-an.

Niezam dapat banyak panggilan telefon daripada orang Johor.

Salah seorang dari Rengit. Orang Rengit tu bagi tahu dia syak Zaibo dah kahwin senyap-senyap sejak beberapa bulan lalu.

Kalau tak kahwin pun mungkin tengah dok bercintan-cintun dengan wanita berkenaan.

Menurut peminat Kring Kring yang lain pula, Zaibo dengan wanita berkenaan begitu mesra. Mereka selalu ke pasar dan beli ikan sama-sama.

“Kami orang Johor ni minta Niezam tolong siasat segera. Dia orang macam laki bini. Mesti dah kahwin tu. Jangan la sorok-sorok kalau ye pun,” komen seorang pembaca.

Yalah... tak apa nanti akan disiasat perkara tu. Tak ada masalah sangat kalau setakat nak pasang teropong nak intai abang Zaibo kita ni.

Pagi Jumaat lepas Niezam telefon Zaibo dan minta dia jelaskan betul ke tak dia kahwin diam-diam?

Niezam kata kat dia, jangan nak sorok-sorok kalau benda yang baik. Nanti tak berkat, kahwin setahun, dua, terus bercerai sebab kena sumpah dengan peminat.

Tanpa mahu berselindung, kata Zaibo dia mengaku memang sedang berkawan baik dengan seorang janda anak sembilan.

Tapi hubungan tu tidak lebih-lebih. Hubungan tu macam adik dan abang angkat sahaja.

“Saya memang berkawan baik dengan wanita Rengit tu. Sejak kebelakangan ni bila tak ada shooting memang saya selalu ke sana. Dia adik angkat saya. Kami dah kenal dekat 10 tahun dah,” kata Zaibo.

Menurut Zaibo lagi pada mulanya dia berkawan baik dengan kakak kepada wanita itu yang merupakan seorang petugas di sebuah universiti di Johor.

Ketika ada banyak program di Singapura, Zaibo menumpang di rumah kenalannya itu di Johor Bahru. Dari situlah Zaibo dan keluarga wanita berkenaan menjadi rapat sampai sekarang.

“Saya minta kepada sesiapa yang nampak saya berdua-duaan di pasar atau di mana-mana kedai makan ke, jangan salah faham pula. Dia bukan isteri saya tapi adik angkat sahaja,” ujarnya.

Harap-harap selepas ini kepada sesiapa yang tertanya-tanya mengenai persoalan status Zaibo tu, akan berpuas hati dengan penjelasan ini ya. Jangan nak pening-pening lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails