Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Zamani. Show all posts
Showing posts with label Zamani. Show all posts
Berat Badan Zamani Naik 9kg Lepas Sebulan Jalani Pemulihan
Berat badan bekas vokalis Slam, Zamani Ibrahim, 44, meningkat sebanyak sembilan kilogram selepas lebih sebulan menjalani rawatan di sebuah pusat pemulihan di ibu negara.
Peguamnya, Ahmad Zaharil Muhaiyar berkata, peningkatan tersebut menunjukkan perkembangan positif terhadap tahap kesihatan penyanyi itu selepas menjalani proses pemulihan sejak akhir Januari lalu.
"Alhamdulillah, dia menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dengan kenaikan berat badan sebanyak sembilan kilogram iaitu daripada 45 kilogram kepada 54 kilogram dalam masa sebulan di pusat pemulihan itu.
"Namun ia masih di peringkat awal pemulihan, kami sedang berusaha untuk membantu dia untuk pulih sepenuhnya dan kembali kepada masyarakat dengan imej baru," ujarnya kepada mStar Online.
Ahmad Zaharil ditemui selepas sebutan kes dadah penyanyi tersebut di Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini, pada Isnin.
Tambahnya, Zamani masih dalam tempoh pemulihan dan mempunyai lima bulan lagi berada di pusat pemulihan sebelum bersedia bertemu masyarakat.
"Tugas dan tanggungjawab saya lebih berat kerana masyarakat tidak mahu dia dihukum, sebaliknya masyarakat mahu melihat dia pulih seperti manusia normal lain.
"Oleh itu, apa yang penting adalah melihat peningkatan kesihatan dia supaya bebas terus dari najis dadah itu," ujarnya.
Mahkamah Majistret Ampang pada Selasa menetapkan 10 April depan bagi sebutan semula kes terhadap dua pertuduhan terhadap Zamani kerana memiliki dan mengambil dadah.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan tarikh itu selepas timbalan pendakwa raya, Nurdeenie Abdul Rashid memaklumkan bahawa laporan kimia tertuduh kedua-duanya masih belum diperoleh.
Pada 29 Januari lalu, Zamani dan pembantu peribadinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini terhadap pertuduhan memiliki dan mengambil dadah.
Majistret membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing sebanyak RM6,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.
Terdahulu, Zamani bersama seorang lagi individu ditahan polis kerana dipercayai memiliki dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Keramat dekat sini awal pagi 21 Januari lalu.
Penahanan penyanyi itu kemudiannya mencetuskan kontroversi susulan penyebaran video Zamani dalam keadaan tangan bergari yang dirakamkan anggota polis sambil dia diminta menyanyikan lagu Gerimis Mengundang.
"Saya sihat"
Zamani Enggan Ambil RisikoTerbit Album Baharu
Zamani Cerita Soal Jodoh Dan Badan Cengkung
Sepi hati Zamani
Kelam, suram dan tertekan. Mungkin itu antara campuran perasaan yang terpaksa dihadapi oleh lelaki ini yang mahu lari daripada rasa kecewa yang berbekam di hati.
Namun, kini dia sudah cukup kuat untuk kembali melangkah dalam industri seni tanah air sekali gus memberi cahaya baru kepada kerjaya seni Zamani Ibrahim setelah sekian lama menyepi.
Mengakui dirinya memang diselubungi perasaan sunyi, tetapi dia tetap bersyukur kerana masih ada insan yang sedia memberi perhatian kepadanya.
"Kalau nak bercerita pasal kecewa mengenai perkara lampau, bagi saya itu memang asam garam kehidupan.
"Kalau perkara tersebut kita tidak lalui, tiada warnalah kehidupan kita.
"Saya mengaku, dulu memang rasa agak tertekan dengan apa yang menimpa. Namun, dalam masa yang sama, banyak perkara yang lebih berharga dapat dipelajari daripada pengalaman lampau.
"Memang ada hikmah di sebalik semua kejadian yang berlaku," katanya penuh rendah diri ketika ditemui di studio rakaman Erama TV, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kehadiran Zamani di studio rakaman tersebut merupakan satu langkah baru untuknya bangkit setelah sekian lama menyepi.
Ketika ini, dia sibuk menjalani rakaman untuk single terbarunya, Gerimis Mengundang Lagi yang dihasilkan khas untuk runut muzik filem Gerimis Mengundang yang akan menemui penonton di panggung wayang pada 31 Mei ini.
Mendapat kepercayaan penuh daripada komposer yang sudah menghasilkan lebih 500 lagu, Saari Amri, tidak salah kiranya dikatakan bahawa nama Zamani akan kembali meniti di bibir peminat.
Ini kerana peminat sentiasa menantikan kemunculan semula pelantun lagu Gerimis Mengundang ini.
Ditebak persoalan mengapa dia lebih gemar 'bersembunyi' dan berdiam diri, Zamani mengakui dia memilih untuk 'hilang' sebentar daripada industri.
"Bagi saya, kalau tidak ada apa yang hendak dipromosikan, saya lebih suka senyap. Itu memang cara saya.
"Tapi bila ada benda untuk di promosi, memang saya akan kerah seluruh tenaga untuk memastikan semua perkara berjalan lancar.
"Lagipun, ketika ini ramai artis baru yang lahir dengan album mereka. Apa salahnya beri peluang kepada mereka pula untuk menonjolkan diri dalam industri," katanya lagi.
Zamani dalam masa yang sama sempat berkongsi cerita bagaimana penerimaan warga Indonesia terhadapnya di sana.
Berpeluang muncul dalam rancangan Bukan Empat Mata di Indonesia, ternyata nama Zamani sememangnya sentiasa segar di negara jiran itu.
"Ketika berada di sana, apa yang membuatkan saya terkejut ialah apabila anak-anak muda juga turut mengetahui lagu Gerimis Mengundang.
"Malah pemandu teksi di sana juga mampu menyanyikan kembali setiap rangkap lagu tersebut dengan baik.
"Bagi saya mereka masih lagi ingin dengar lagu-lagu dari Malaysia.
"Cuma kita perlu bersedia menghadapi cabaran untuk menembusi industri mereka di sana," katanya bersemangat.
Zamani semakin parah

SELEPAS Jamal Abdillah dan Salem, Zamani adalah artis lelaki yang mempunyai keunikan vokal tersendiri. Bagaimanapun sebut tentang Zamani macam-macam aduan yang Syed dengar setahun dua kebelakangan ini.
Baru-baru ini timbul cerita kononnya Zamani sudah meninggal, tetapi ia hanya cerita tak berasas. Kes terbaru Syed dengar Zamani telah mungkir janji dengan sengaja untuk merakamkan semula lagu Gerimis Mengundang di Jakarta baru-baru ini.
Sepatutnya Zamani menyanyikan semula lagu popular itu dengan artis popular seberang, Harvey Malaiholo, tetapi tak jadi tanpa sebarang penjelasan.
Walaupun Zamani sudah menyatakan persetujuan untuk merakamkan semula lagu berkenaan dengan pihak Erama Records, dia tak muncul-muncul di lapangan terbang pada hari dia sepatutnya berlepas ke Jakarta untuk sesi rakaman bersama.
Zamani terus hilang, lesap tanpa sebarang khabar. Pengurus dia, Johan Aziz pun tak dapat hendak kesan ke mana artis itu berada pada hari berkenaan.
Makanya Syed difahamkan, sebab masalah dalaman Zamani telah menyusahkan banyak pihak. Tidak mahu terus menanti, Erama Records buat keputusan ambil penyanyi lain, dan pilihan mereka ialah Dayang Nurfaizah.
Bagi Syed, Zamani memang tolak tuah besar. Peluang sudah datang depan mata, disia-siakan begitu saja. Ditolak macam sampah sarap saja.
Bagaimanapun Penerbit Eksekutif Erama Records, Datuk Affendi Hamdan menganggap itu semua bukan satu masalah besar kepadanya.
“Zamani menolak peluang itu tanpa sepatah kata, kami mendapat pengganti yang hebat juga. Gandingan Dayang dan Harvey sangat hebat dan Gerimis Mengundang akan jadi lagu baru yang digilai ramai seperti suatu masa dahulu,” kata Affandi tentang lagu asal ciptaan Saari Amri itu.
Malah kata Affandi, dia memahami masalah yang dihadapi Zamani dan tidak teragak-agak untuk bekerjasama di masa depan, kalau masih ada rezeki.
Nasib baiklah ada yang memahami, kalau tidak mungkin kes Zamani sudah dibawa ke mahkamah.
Setahu Syed sebelum ini dia ni artis yang mudah beri kerjasama, berbakat besar dan diminati ramai. Tahun lepas pun dia ada juga muncul dalam Konsert Pancaindera dan memang peminat dia cukup ramai, kalah artis lain.
Persoalannya sekarang, kenapa sanggup ‘menghancurkan’ kerjaya dan diri sendiri sampai macam tu sekali? Sampai bila Zamani hendak hidup dalam keadaan ‘tidak keruan’ dan abaikan kerjaya dan diri sendiri? Semoga cepat sedar sebelum terlambat.
Saya tak hilang - Zamani

Setelah muncul secara solo dan melahirkan album Syair Si Pari-Pari sekitar tahun 2005 kemunculan bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani ibarat macam biskut - sekejap ada sekejap tidak.
Menyedari hakikat berkenaan, Zamani atau menjelaskan bahawa kesepian dirinya itu bukanlah bererti dia menjauhkan diri daripada industri hiburan tanah air jauh sekali merajuk membawa diri.
Mengakui dirinya kini kurang menyinar seperti mana zaman kegemilangannya bersama Slam sekitar tahun 1990-an dahulu, Zamani lebih selesa dengan sikap low porfile.
"Saya tidak hilang ke mana. Saya masih ada cuma kurang keluar di media dan sebab itu mungkin ada mengatakan saya menghilangkan diri.
"Untuk pengetahuan semua saya masih menyanyi dan ada mendapat jemputan untuk majlis-majlis tertentu cuma ia tidak sehebat dahulu," jelas Zamani ketika ditemui pada sidang akhbar Malam Kesatria Seni di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Ujarnya, kehilangannya juga mungkin disebabkan tiada lagu-lagu baru yang dirakamkan setelah melahirkan album terakhirnya dahulu.
Namun walaupun tidak merakamkan sebarang lagu baru itu bukanlah tanda berakhirnya karier nyanyian yang telah sebati dalam dirinya.
"Saya baru sahaja pulang dari membuat persembahan bersama Hattan di Sarawak bulan lalu dan alhamdulillah ada juga jemputan untuk membuat persembahan selepas ini.
"Selain itu, album mini saya Zamani juga telah berada di pasaran dua bulan lalu," jelas penyanyi yang akan menginjak ke usia 40 tahun pada 25 Mei depan.
Mengakui album mini terbitan Johan Music Sdn. Bhd., edaran Universal kurang promosi, kini pihaknya merancang untuk mengadakan pelancaran semula.
Jelasnya, bagi tujuan itu kemungkinan berlakunya pertambahan lagu di dalam album mini tersebut.
"Kita masih lagi di peringkat perbincangan dan insya-Allah apabila semuanya selesai mungkin akan ada pertambahan satu dua lagu lagi dalam album berkenaan.
"Kini saya baru sahaja habis merakam beberapa buah lagu," jelasnya.
Zamani yang terkejut tatkala ditebak dengan khabar angin minggu lalu yang kononnya dia telah meninggal dunia hanya mampu menjelaskan dia sendiri terkejut dengan berita itu.
"Saya sendiri mendapat tahu melalui abang Johan (komposer) yang menghubungi saya untuk bertanyakan berkenaan perkara itu.
"Ketika dihubungi, saya berada di kawasan rumah di sekitar Ampang dan terkejut apabila diberitahu.
"Apa pun alhamdulliah saya masih sihat dan tidak pernah mengalami sebarang komplikasi kesihatan yang serius," jelas penyanyi yang pernah menjalani pembedahan batu karang itu.
Menurut Zamani, beliau tidak pernah memberikan sebarang kenyataan kepada sebuah akhbar bagi menafikan khabar angin mengenai berita kematiannya.
"Saya tidak pernah memberikan komen berkenaan berita tersebut kepada pihak media sebelum ini. Ini adalah kenyataan pertama saya secara terus kepada media," tegas Zamani.
Merancakkan suasana malam itu, Zamani sekali lagi diterjah berkenaan dengan kekosongan hatinya.
Biarpun hampir mencecah usia 40 tahun, Zamani mengakui hatinya masih lagi belum dimiliki oleh mana-mana wanita.
Katanya, kekebalan pintu hati lelakinya masih lagi kukuh dalam mencari seseorang yang betul-betul sesuai untuk dijadikan suri hidup.
"Saya bukanlah memilih tetapi mencari seseorang yang benar-benar dapat menyayangi dan menerima saya dengan ikhlas.
"Bukan senang untuk mencari calon isteri kerana banyak perkara yang perlu diteliti agar tidak merasa menyesal di kemudian hari," jelasnya yang kelihatan sedikit kurus berbanding dahulu.
Bagaimanapun Zamani mengakui mempunyai beberapa kawan wanita namun perhubungan itu hanyalah sebagai sahabat.
Baginya, mungkin disebabkan terlalu lama menjalani kehidupan tanpa kehadiran seorang wanita sebagai kekasih menyebabkan dia lebih selesa begitu.
"Saya percaya pada jodoh dan sekiranya telah sampai jodoh saya nanti, insya-Allah bertukarlah status saya kepada seorang suami.
"Jangan risau apabila tiba masanya saya akan jemput nanti," jelas Zamani menamatkan perbualan malam itu.
Misteri kehilangan Zamani

SECARA sedar atau tidak, sudah tujuh tahun penyanyi bersuara lemak merdu nan mendayu-dayu ini menghilangkan diri. Kali terakhir ceritanya diperkatakan semasa album solo yang memuatkan lagu Syair Si Pari-Pari popular pada tahun 2001. Tiga tahun kemudian, Zamani lenyap entah ke mana. Sunyi tanpa sebarang khabar berita.
Macam-macam cerita yang timbul apabila dia ghaib dalam persada seni ini. Ada khabar baik dan ada juga cerita yang kurang menyenangkan bermain di bibir peminat mengenai Zamani yang sekaligus memperlihatkan sisi negatifnya. Semuanya memerlukan penjelasan dari empunya badan itu sendiri.
Sukar juga bertemu dengan lelaki ini. Mungkin disebabkan dia belum bersedia untuk membuka mulut mengenai ‘misteri’ kehilangannya.
Hakikatnya, lelaki bernama penuh Zamani Ibrahim ini tidak mahu menyembunyikan tentang keadaannya sekarang.
Kesempatan menjadi salah seorang artis yang diundang menyertai Kembara Mingguan Malaysia minggu lalu digunakan sepenuhnya oleh Pancaindera untuk menanyakan perihal sebenar.
Menerusi perbualan singkat selepas Zamani membuat persembahan di Mini Konsert Pancaindera di Port Dickson itu menghuraikan segala-galanya.
Secara dasarnya, kehilangan Zamani tidak bermakna dia tenggelam. Dia mengakui bahawa dirinya masih ‘bernilai’. Sentiasa ada jemputan persembahan sama ada untuk majlis korporat atau di mana sahaja.
‘‘Saya masih wujud dan aktif menyanyi sekiranya ada undangan. Cuma tidak muncul untuk mencari publisiti di kalangan media. Lagi pun tiada cerita baru mengenai saya. Lebih baik saya memencilkan diri buat sementara.
‘‘Ia juga sebahagian dari stail diri saya sendiri iaitu rendah diri. Mungkin ada yang beranggapan macam-macam terhadap saya disebabkan kurang menonjol itu. Biarlah orang mahu bercakap tentang saya. Itu hak mereka,’’ bicaranya.
Zamani juga cuba menyesuaikan kehidupannya dengan mengamalkan cara bersederhana dalam segala hal. Meskipun sebelum ini dia pernah menjalani era poket penuh hasil undangan nyanyian tetapi kali ini tidak.
Apa yang ada di hadapan mata sama ada makanan dan pakaian disyukuri. Dia juga tidak meminta lebih atau tidak. Bersama rakan baik yang juga pengurusnya, Johan Aziz, mereka banyak berbual dan merangka rancangan masa depan. Tak kan mahu berada di takuk yang sama, bukan?
Berbalah dengan anggota Slam?
Ada khabar mengatakan Zamani dikatakan menjadi punca perpecahan kumpulan Slam pada tahun 2001. Dia sering mengalami masalah disiplin menyebabkan semua jadual Slam terganggu.
Dalam masa yang sama tindakan Zamani yang sering menghadiri persembahan secara solo membuatkan anggota Slam yang lain tidak berpuas hati.
‘‘Saya memang tiada masalah dengan Slam. Mereka adalah nyawa saya. Mungkin dahulu saya ada membuat kesilapan dan telah pun meminta maaf. Tetapi perkara salah faham antara anggota sering berlaku dalam kumpulan.
‘‘Tidak dinafikan, itu semua cerita lama. Saya tidak mahu ungkit. Saya sudah terima balasan dan jujurnya, saya tidak boleh hidup tanpa Slam. Kumpulan itu ada nilai sentimental kepada diri saya. Percayalah,’’ katanya.
Zamani juga mengakui antara faktor dia hilang kekuatan diri dalam industri apabila terpaksa memulangkan mandat ‘Slam’ itu kepada pengasas kumpulan tersebut iaitu Shah. Ia terjadi selepas dia memiliki album solo pertama.
Benar, selepas diarahkan berbuat demikian, dia merasa sungguh kosong. Hilang semua gurau senda, tepuk tampar, perkongsian idea dan nasihat yang dilayari bersama selama ini. Kadang kala juga timbul perasaan bosan apabila kawan yang selama rapat mula mengelakkan diri dari bertemu. Terasa juga diri dipinggirkan.
Lantas, lelaki yang mesra dipanggil ‘Adik’ di kalangan rakan-rakannya itu memutuskan untuk mengundur setapak ke belakang. Alasannya hanya satu, memberi peluang kepada bakat baru muncul dan sekali gus menafikan haknya sebagai artis senior.
Kehidupan Zamani yang menghilangkan diri sejak tujuh tahun itu diisi dengan aktiviti berehat. Umpama seorang gadis sunti, dia hanya keluar rumah sekiranya ada persembahan dan terus pulang sejurus majlis itu tamat.
Pada masa yang sama, Zamani mengambil kesempatan masa yang terluang itu lebih kepada proses mengenali dan bermuhasabah diri. Baginya, dia mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.
Itu juga cara yang terbaik untuk menambah baik kualiti yang ada pada dirinya. Dia tidak sanggup sekiranya orang memandang sebelah mata atas kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan pada masa lampau.
Saat diajukan pertanyaan adakah Zamani tidak bosan dengan gaya hidupnya itu, lelaki ini segera menggeleng kepala. Tegasnya, itu adalah dia dan dirinya cukup selesa dengan keadaan sebegitu.
Hadiah hari jadi
Bicara lelaki yang mempunyai suara tersendiri ini kemudian terarah kepada rancangan sepanjang tahun 2010. Dia mahu mengubat kelukaan dan bangkit dari zaman gelapnya itu.
Pada 25 Mei ini, Zamani bakal melancarkan album mini yang memuatkan lima lagu iaitu Nur Kasih, Angin Cinta, Daftar Cinta, Bila Jendela Terbuka dan Asyik Ku Lagukan di bawah label Johan Music (M) Sdn. Bhd.
‘‘Saya mahu mengukir satu kenangan terindah buat diri sendiri. Sebab itu, saya memilih tarikh 25 Mei. Angka yang cukup signifikan kerana ia bersempena dengan tarikh ulang tahun ke-39. Saya juga cukup bersedia dan yakin untuk menjadi milik masyarakat,’’ ujarnya.
Pada masa yang sama, Zamani juga merancang untuk bersatu kembali dengan kumpulan Slam. Perkara tersebut dalam rangka perbincangan lagi dan hanya diumumkan selepas kata sepakat dicapai.
Penyanyi berbintang Gemini itu juga berharap agar catatan perjalanan seninya berubah selepas pergabungan semula itu. Sekali gus dapat bersaing dan memeriahkan industri seni.
Kahwin oh kahwin
Topik yang paling ceria dalam perbualan kami adalah mengenai bab berkahwin. Wajah Zamani tiba-tiba bertukar kemerahan. Mungkin berasa sedikit malu atau segan untuk berbicara mengenai perihal peribadinya.
Maklumlah usia sudah mencecah 39 tahun dan masih berstatus bujang. Zamani mengakui bahawa dia berkeinginan untuk mendirikan masjid seperti manusia yang lain. Tetapi masih gagal dalam pencarian teman sejiwa.
‘‘Saya pernah putus cinta pada 2002. Boleh dikatakan saya agak kecewa apabila hubungan tersebut tidak sampai ke pelamin, seperti mana yang kami harapkan. Terus terang saya katakan bahawa sejak dari itu saya tidak ada hati untuk bercinta. Ada juga saya berkawan dengan beberapa wanita tetapi tidak di peringkat serius.
‘‘Bukannya memilih tetapi sukar mencari orang yang benar-benar memahami tentang saya. Orang cakap saya pelik sikit tetapi sebenarnya tidak sukar untuk memahami saya,’’ katanya bersungguh-sungguh.
Baginya, lebih baik bersendiri buat sementara waktu daripada gagal dalam perkahwinan dek kerana kurang persediaan.
Zamani belum kahwinlah

Dulu heboh juga orang bercakap pasal penyanyi Zamani Slam sudah bernikah dengan seorang gadis yang berasal dari Kelantan. Selepas ia diperkatakan, Zamani menghilangkan diri beberapa bulan.
Ia semacam mengesahkan khabar itu sebagai ada kebenarannya. Tapi baru-baru ini Mangga Muda ada berjumpa dengan orang yang rapat dengan Zamani. Katanya Zamani masih membujang dan baru jumpa penyanyi itu beberapa minggu lalu. Macam mana timbulnya cerita dia sudah kahwin.
"Saya ada juga dengar pihak wanita itu sendiri yang menyampaikan cerita kepada pihak tertentu pasal pernikahannya dengan Zamani. Sejak itulah berita itu mula tersebar. Semasa Zamani hilang tu... dia sebenarnya cuba menghindari gangguan wanita tersebut.
"Memang ada juga wanita itu ikut Zamani ke beberapa majlis tidak lama dulu, tapi saya tak tahulah sejauh mana hubungan mereka," kata sumber itu kepada Mangga Muda.
Macam tahu pula kisah Zamani dan pernikahan dibualkan, tiba-tiba telefon bimbit sumber itu menerima satu mesej. Antara lain mesejnya berbunyi macam ini: "You tahu ke Zamani dan gadis bernama J nak kahwin hujung tahun ini."
Eh! bila senyap gosip sudah berkahwin, timbul pula gosip bakal kahwin pula. Tak tahulah siapa pula yang sebarkan gosip itu. Agaknya dia mahu isu itu kembali hangat kut.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
