Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Zarina Zainuddin. Show all posts
Showing posts with label Zarina Zainuddin. Show all posts

Zarina jadi tuan rumah

MERAIKAN 1 Syawal di kediamannya di Subang Jaya, Selangor adalah satu pengalaman baharu buat pelakon Zarina Zainuddin. Tidak pernah membayangkan suasana berhari raya di rumah sendiri kerana lazimnya dia pulang meraikan Lebaran di kampungnya di Parit, Perak. Bagaimanapun disebabkan tahap kesihatan neneknya, Siti Jamilah Syed Mohd. Ali yang kurang memberansangkan membuatkan pelakon itu mengalah demi keselesaan wanita tersebut. Apatah lagi nenek kesayangannya itu kini di bawah tanggungannya sejak lima bulan lalu selepas terkena serangan strok. "Sambutan Aidilfitri tetap meriah buat keluarga saya dengan kehadiran adik beradik yang bertandang ke rumah. Cuma mungkin berbeza keseronokannya dibandingkan beraya di kampung. "Tapi itu bukan masalah. Yang penting dapat berkumpul sambil meminta ampun antara satu sama lain," katanya yang tetap pulang ke kampung halamannya selepas beberapa hari kehadiran Syawal. Sebagai tuan rumah untuk sambutan hari raya kali ini kata Zarina, dia menyediakan menu istimewa antaranya ketupat, lemang, rendang tok, rendang pedas ayam kampung, masak kuah lodeh dan sambal kacang selain nasi minyak sebagai hidangan utama. Tumpu keperluan anak Dalam soal persiapan hari raya pula kata Zarina, segala urusan berkaitan kerja-kerja mengemas rumah dan menukar langsir dilakukan lebih awal, begitu juga dengan persiapan raya untuk keempat-keempat permata hatinya. Bagi Zarina, keperluan si kembar Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, Muhammad Naim Azrai serta Muhammad Adam Azrai menjadi keutamaan buatnya. Untuk diri sendiri, dia hanya menyediakan dua pasang baju kurung yang ditempah untuk dipadankan dengan anak-anak. "Kemeriahan raya itu milik anak-anak sebenarnya. Kalau mereka gembira maka saya pun tumpang bahagia. Sebab itu saya lebih mengutamakan kehendak mereka. "Tambahan pula masa sekarang ini anak-anak bujang saya sudah pandai meminta fesyen pakaian yang mereka kehendaki. Kena juga mengikut peredaran semasa. "Tak mengapalah sebab hari raya pun hanya setahun sekali," kata Zarina mengulas tentang ragam anak-anak bujangnya.

Zarina Zainuddin Bahagia Hidup Bermadu

Pelakon Zarina Zainuddin menyifatkan kehidupan bermadu iaitu berkongsi kasih suami bukanlah satu perkara buruk seperti yang digambarkan oleh kebanyakan wanita. Zarina, 43, berkata, selama 20 tahun menjadi isteri kedua kepada seorang ahli perniagaan, hubungan beliau dengan madunya sentiasa baik. "Sebagai isteri kedua, saya kena sedar bahawa kedudukan isteri pertama harus diberi keutamaan. Saya akur dengan perkara itu. "Apa yang penting hati perlu dibersihkan agar diri kita menjadi lebih positif dalam sesuatu perkara. Saya pun tidak mahu suami pening kepala gara-gara kena melayan karenah isteri masing-masing. "Mungkin ramai wanita menyifatkan hidup bermadu sangat buruk tetapi Alhamdulillah, kami bahagia hidup bersama dan kami tahu peranan masing-masing," katanya. Zarina berkata demikian selepas diminta berkongsi pengalamannya hidup bermadu sejak 20 tahun lalu. Tambah pelakon itu, hubungan yang akrab bersama madunya membuatkan mereka turut menjadi rakan kongsi menjalankan perniagaan kecantikan bersama-sama. "Mungkin ada yang nampak pelik tetapi saya dan madu saya benar-benar serasi malah kami membuka perniagaan bersama. "Kami juga pernah bercuti bersama. Cuma apabila dia bersama suami, saya akan jauhkan diri dengan anak-anak untuk memberi peluang mereka bercerita. "Kadang-kadang rasa bagus juga hidup begini kerana apabila suami bersama isteri pertama saya dapat meluangkan masa untuk diri sendiri pula," tuturnya. Dalam pada itu, Zarina berkata, dia juga tidak mempunyai halangan jika suaminya mahu menambah isteri ketiga. Zarina kini memiliki empat orang anak lelaki termasuklah sepasang kembar berumur 17 tahun, Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, Muhammad Naim Azrai,10 dan Muhammad Adam Azrai yang berusia tujuh tahun.

Senyap itu emas - Zarina Zainuddin

JUJURNYA sudah ramai wartawan hiburan yang bertanyakan siapa gerangan suami pelakon ini. Ada juga yang menanyakan kehidupan selepas berkahwin serta membesarkan empat orang anak sepanjang mendirikan rumah tangga kira-kira 19 tahun lalu. Pun begitu, semua pertanyaan itu dijawab baik olehnya. Langsung tidak pernah membuang muka kerana dia tahu kerja wartawan hiburan. Namun begitu dia punya alasan kukuh untuk tidak bercerita lanjut tentang mana-mana soalan yang boleh memberi kesan terhadap keseluruhan kehidupannya. “Minta maaf ye... cerita tentang suami saya semuanya off the record," ringkas Datin Seri Zarina Zainuddin ini penuh hemah pada pertemuan di rumahnya di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini. Pelakon filem Ular terbitan KRU Studios ini juga tak mahu wujud salah faham andai dia menjawab soalan yang menyentuh peribadinya itu. Lantaran itu, dia memutuskan untuk bersikap berdiam diri. “Orang cakap senyap itu emas. Ungkapan ini sudah kuat untuk menjelaskan tentang situasi saya. Memang orang cakap, golongan artis milik masyarakat, benda itu betul. Saya boleh bercerita apa saja tentang diri saya. “Tapi bila masuk tayang siapa lelaki bertuah dalam hidup saya itu, saya tak boleh. Minta maaf banyak-banyak. Sebab apa? Ada sebabnya. Dan pada masa yang sama, saya berharap agar wartawan boleh faham situasi saya sekarang ini," ulas Zarina lagi. Apa yang membuatkan pelakon drama Songkok Hitam yang akan bersiaran di TV2 pada 1 September ini enggan mendedahkan siapa suaminya itu? Wanita ini menjawab: “Hubungan saya sekeluarga sangat baik. Kami rapat dan saling mengambil berat antara satu sama lain. Saya kena banyak berfikir tentang hati orang sekeliling saya. “Kalau silap cakap, saya kena bertanggungjawab. Saya kena jawab dengan keluarga. Jadi lebih baik saya rahsiakan perkara ini demi kebaikan semua," katanya jujur. Dalam pada itu, Zarina cukup bertuah kerana suaminya memberi izin kepadanya untuk kembali aktif dalam bidang lakonan yang diminatinya itu. Syarat diberikan sang suami juga mudah, asalkan dia tak terlibat sudah. “Saya bersyukur sebab suami memahami minat saya. Restu yang diberikan itu sangat penting buat seorang isteri yang kerjanya berlakon. Restu juga buat saya selamat dalam semua urusan," katanya penuh makna sambil tersenyum. Kenangan raya Tidak sah kalau tak menanyakan perihal kenangan raya buat pelakon yang sudah menghambakan diri dalam industri seni sejak 20 tahun lalu. Pasti wanita ini punya banyak kenangan. “Saya masih ingat lagi masa mula-mula jadi artis. Saya naik bas, kereta api sebab masa tu tak ada kereta lagi. Balik ke Parit, Perak berbaloi bila nampak wajah opah. Hilang semua rasa letih. Sebab selalu balik Parit, mak saya yang di Ipoh pula merajuk, masam muka dengan saya. Tapi bila saya terangkan baik-baik, akhirnya dia mengalah. “Saya seronok balik Parit sebab suasananya berlainan. Rumah kecil saja tapi bila semua dah berkumpul, memang kecoh. Nak-nak bila pagi raya itu, saya nampak sanak saudara tidur bersepah-sepah," cerita ibu kepada Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai ,16, Muhammad Naim Azrai, 9, dan Muhammad Adam Azrai, 6 tahun penuh teruja. Dalam pada itu, Zarina mengakui cara menyambut rayanya berbeza apabila penduduk Kampung Baru Layang-Layang Kanan, Parit Perak mula menyedari dia adalah artis. “Saya pernah dapat kad raya tiga guni. Semua kad raya itu saya lekatkan di dinding. Ada juga yang saya gantung. Bila orang datang raya, cakap nak jumpa artis, best sangat. Ada yang cakap, ‘dulu kamu hitam, sekarang dah pandai bergaya’. “Memanglah dulu saya hidup susah. Sekarang ini saya dah ada produk kecantikan sendiri. Dahulu masa anak dara, saya selalu lulur badan. Sebab bila selalu buat, badan kita bertambah cantik," katanya. Zarina juga tak dapat melupakan saat reunion bekas pelajar Sekolah Menengah Dato’ Abdul Rahman Yaakob, Bota Kanan, Perak yang menemukan kawan-kawan lama setiap kali lebaran menjelma. “Cukup seronok kalau dapat jumpa kawan-kawan lama. Kami bawak anak-anak dan mengeratkan silaturahim sedia ada," katanya. Tumpu perniagaan Dalam pada itu, Zarina juga kini giat mengusahakan produk kecantikan dan dandanan diri khusus untuk wanita iaitu Adura Cosmetics. Sebagai pengarah urusan di Adura Marketing (M) Sdn. Bhd., Zarina mengakui, dia mendapat kepuasan kerana mempunyai platform untuk membantu kaum sejenisnya memelihara kecantikan diri. “Alhamdulillah, empayar perniagaan saya semakin mendapat kepercayaan daripada masyarakat. Sebab itu, saya perlu bersabar dalam mengusahakan produk kecantikan, lebih-lebih lagi persaingan yang semakin sengit semenjak kebelakangan ini," katanya di hujung perbualan.

Zarina Zainuddin Mahu Tulis Kisah Hidup


DRAMATIS dan ahli perniagaan Zarina Zainuddin, 41, (gambar) kini kembali aktif di bidang lakonan selepas menghilangkan diri sejak sekian lama. Zarina mengakui minatnya yang mendalam dalam bidang seni membuatkan dia mengambil kesempatan untuk bergiat aktif dalam bidang seni.

Dia yang kini sudah mempunyai empat orang anak lelaki iaitu kembar sulung, Muhammad Razil Azrai (Azil) dan Muhammad Raizal (Azal) Azrai, masing-masing bersusia 15 tahun, Muhammad Naim Azrai, 8, dan Muhammad Adam Azrai, 5, mengakui bahagia dengan kehidupan berkeluarga sekarang ini.

Biarpun sibuk menguruskan kerjaya lakonan dan perniagaannya, pelakon filem Momok Jangan Panggil Aku ini tidak sekali-kali melupakan tanggungjawab terhadap keluarga. Malah dia sentiasa meletakkan keluarga sebagai keutamaannya. Drama terbaru lakonan Zarina ialah Ana Lu’lu di TV3.

bi>Apakah yang ada dalam fikiran anda sekarang?

Terlalu banyak…

Siapa manusia yang paling anda kagumi?

Suami saya kerana menjadikan saya sebagai seorang isteri, wanita dan ibu yang bersemangat dan penuh wawasan.

Apakah yang paling anda takuti?

Diserang penyakit. Saya mahu hidup dalam suasana yang tenang dan sihat walafiat.

Apakah sifat-sifat yang menonjol dalam diri anda?

Pemurah dan cepat memaafkan kesilapan orang.

Apakah sifat-sifat yang anda tidak sukai pada orang lain?

Tamak dan hasad dengki sesama manusia.

Pernah anda membenci sesiapa?

Ya pernah, tapi saya sudah memaafkannya.

Perkara paling hebat yang pernah anda lakukan?

Menjaga nenek saya yang strok sehingga ia pulih seperti sedia kala.

Pernah anda dibenci? Oleh siapa?

Ada kot...?

Bakat apakah yang paling anda ingini?

Menyanyi. Saya pernah merakamkan album bersama arwah adik saya Noliana Sulaiman di bawah bimbingan Ramli MS tak lama dulu.

Jika anda dapat menukar satu perkara tentang diri anda, apakah yang akan anda tukar?

Saya mahu kembali ke alam remaja. Apakah pencapaian anda yang paling besar?

Setakat Top5 anugerah skrin TV3 melalui drama ‘Becha Usang’ dan pengusaha produk Addura Marketing (M) Sdn Bhd.

Pada situasi mana anda menganggap anda gagal?

Gagal menjayakan sesuatu watak dengan cemerlang. Kerja yang paling best pernah anda lakukan?

Buat kerja pemasaran dengan syarikat saya.

Perkara yang paling anda hargai yang ada pada seorang kawan?

Susah senang bersama.

Siapakah penulis kegemaran anda?

Mama Juwie

Siapa hero fiksyen anda?

Tiada

Bagaimanakah anda mahu dikenang?

Melalui cerita kisah hidup yang akan saya tulis.

Moto kehidupan anda?

Hidup mestilah bersabar.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails