Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Zizie Ezette. Show all posts
Showing posts with label Zizie Ezette. Show all posts

ZIZIE IZETTE & BUNG MOKHTAR

Aksi dan gaya VIP Datin Zizie atau nama sebenarnya Zizie Izette Abdul Samad yang mengahwini Datuk Bung Mokhtar menyambut hari raya. Nampaknya Zizie kini makin comel dan penuh bergaya berbanding penampilan solonya dulu sebagai artis. Walaupun masih belum punya anak sendiri hasil perkahwinannya dengan Bung (bagaimanapun Bung mempunyai empat anak hasil perkahwinan pertama), namun Zizie nampaknya terus gigih membantu suami sebagai wakil rakyat. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Heh.

Zizie Ezette Cukup Teruja Ikut Suami Masuk Kampung

Pelakon Zizie Ezette memberitahu walaupun kerap tidak cukup tidur tetapi dia benar-benar teruja untuk membantu suaminya, Datuk Bung Mokhtar Radin berkempen di kawasan Parlimen Kinabatangan, Sabah sempena Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada 5 Mei depan. Zizie atau nama sebenarnya Zizie Izette Abdul Samad, 35, berkata, setiap hari dia dan suami perlu keluar rumah mereka di Sandakan seawal pukul 7 pagi untuk ke Parlimen berkenaan yang mengambil masa satu jam 30 minit dan pulang lewat malam. “Saya mengaku, selepas penamaan calon pada Sabtu lalu, saya hanya tidur dalam masa empat atau lima jam sahaja kerana saya perlu membantu suami untuk berkempen. “Buat masa ini, telah banyak kawasan yang sudah kami senaraikan untuk dilawati termasuklah di kawasan-kawasan pedalaman,” kata Zizie yang ketika ini berada di Sabah ketika dihubungi mStar Online di sini pada Isnin. Dalam PRU-13, Bung Mokhtar yang merupakan penyandang Ahli Parlimen Kinabatangan akan ditentang oleh Abdullah Abdul Sani (PKR), Yambuya Perantis @ Cyril Pongod (Star) dan Ali Latip Taha (Bebas). Pada PRU 2008, Bung Mokhtar memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 6,326. Zizie menambah, pengalaman mengikut suami berkempen bukanlah satu masalah walaupun beliau kurang tidur kerana pengalaman itu hanya akan dapat dirasi empat atau lima tahun sekali sahaja. Ujarnya, sebagai seorang artis, perkara itu turut memberi sumbangan besar kepadanya kerana orang ramai bukan sahaja mahu memberi tumpuan kepada Bung Mokhtar tetapi kepada diri dia juga. “Percaya atau tidak semasa hari penamaan calon, ketika suami berada di dalam dewan, orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mendekati saya yang berada di luar. “Saya mengambil kesempatan itu untuk meminta mereka agar terus memberi sokongan kepada suami dan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihan raya ini. Mudahlah bila isteri dan suami sama-sama popular,” selorohnya. Tambah Zizie, pengalamannya memasuki kawasan kampung bersama suami selama ini tidak membuatkannya kekok dan dia mengakui selesa walaupun ada di antara tempat memerlukan dia memakai selipar, kemeja T dan jean sahaja. Katanya, apa yang menggembirakan, penduduk di parlimen berkenaan kebanyakannya memberi sokongan penuh kepada Bung Mokhtar kerana mereka percaya kepada kerja keras suaminya itu membangunkan kawasan berkenaan. “Percaya atau tidak, suami saya tidak pernah menutup pintu rumahnya di Sandakan. Orang ramai boleh datang keluar masuk untuk meminta bantuan ataupun berkongsi masalah. “Mungkin sebab itulah suami saya benar-benar popular di Kinabatangan ini,” ujarnya yang hanya akan pulang ke Kuala Lumpur selepas PRU-13 selesai.

Bung Mokhtar Yakin Zizie Ezette Dapat Bantu Kempen

Datuk Bung Mokhtar Radin yakin kehadiran isterinya, pelakon Zizie Ezette dapat membantunya dalam kempen mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan. Hadir dengan berpakaian biru warna Barisan Nasional (BN) dan berjaket, Zizie menjadi tumpuan masyarakat semasa suaminya menyerahkan borang pencalonannya melibatkan perlawanan empat penjuru di antara PKR, STAR dan calon bebas pada Sabtu lalu. "Dia mampu menghadapi kempen yang sengit," katanya. Kinabatangan adalah Parlimen paling besar di Sabah. Bung berkata, Zizie tiada masalah membantunya berkempen dan telah menjelajah ke beberapa buah kampung setakat ini. "Kempen saya baru sahaja bermula dan dia akan menemani saya," ujarnya. Dalam pada itu, walaupun sering dianggap tokoh politik kontroversi di Parlimen, Bung kekal sebagai wakil rakyat popular dikalangan masyarakat Sungei kerana sanggup meredah jalan berlumpur dan menggunakan bot usang sebagai cara berkempen dan mendekati penduduk di sana. Bung juga yakin dapat mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal keempat selepas menang pada pilihan raya tahun 1999 dengan majoriti 6,326 undi.

Tercapai Impian: Zizie Kini Bergelar Datin


Bermula awal tahun ini, Zizie Ezette telah mula bergelar datin.

Ini berikutan Datuk Bung Mokhtar Radin menceraikan isteri pertama beliau, Nor Asidah Alimuddin.

Untuk yang tidak tahu, gelaran datin hanya boleh digunakan oleh isteri pertama sahaja.

Laporan berkenaan Zizie ‘naik pangkat’ disiarkan dalam Berita Minggu semalam.

Perceraian itu dikatakan berpunca sikap Bung dan Zizie yang melanggar perjanjian dulu.

“Khabarnya dulu, Bung dan Zizie berjanji pada Nor Asidah tidak akan meuwar-uwarkan berita perkahwinan mereka. Bekas isteri minta mereka kahwin senyap-senyap supaya tidak menimbulkan persoalan.

“Tapi, malangnya berita perkahwinan Bung dan Zizie dapat dihidu wartawan dan menjadi berita besar. Kebanyakan akhbar meletakan cerita perkahwinan mereka di muka depan. Jadi Bung dan Zizie dianggap melanggar janji,” lapor akhbar berkenaan.

Bung berkahwin dengan Nor Asidah pada 24 Ogos 1991 di Sabah.

Perkahwinan dengan Zizie pula berlangusng pada 16 Disember 2009. Kedua mereka (Zizie dan Bung) kemudian telah didakwa di Mahkamah Syariah kerana berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah dan kesalahan pernikahan tanpa kebenaran Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk.

Apa pun, tahniah la Zizie yea…tercapai impian…syukurrrrr.

Bung Mokhtar Sah Ceraikan Isteri Pertama & Zizie Ezette Kini Bergelar Datin


Amaran, ini adalah berita slowpoke — 144 jam punya perlahan untuk kami sampaikan kepada anda semua, kalau ada yang belum tahu.

Zizie Ezette nampaknya maju setapak lagi dalam hidup apabila secara sah bergelar Datin selepas Bung Mokhtar menceraikan isteri pertama.

Perkahwinan Bung Mokhtar bersama Nor Asidah Alimuddin berakhir di’katakan berpunca dari sang suami sendiri yang mungkir janji untuk tidak menghebahkan perkahwinan bersama Zizie Ezette.

Namun perkahwinan Bung Mokhtar & Zizie Ezette menjadi isu besar negara sekitar penghujung 2009 yang lalu dan Nor Asidah Alimuddin menganggap ini sebagai satu mungkir janji.

Kami jadi serba salah sama ada ingin ucapkan tahniah kepada Zizie Ezette atas gelaran datin ini — maklumlah, terbina atas keruntuhan masjid yang satu lagi. Apa pun, semoga berbahagia hendak

Belum ada rezeki - Zizie


PERKAHWINAN mereka pada 16 Disember, 2009 lalu sempat menimbulkan kontroversi. Namun masa berlalu, kini tiada lagi kontroversi. Aktres putih gebu, Zizie Ezette,32, sebaliknya nyata sedang diulit kebahagiaan bersama suami tercinta, Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Bung Mokhtar Radin.

Sementelah, usia perkahwinan mereka kini hampir mencecah dua tahun, Zizie tidak dapat menyembunyikan keinginannya untuk memiliki cahaya mata sebagai pelengkap kehidupan berumah tangga.

Ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Taman Sering Ukay, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini, akui Zizie yang kelihatan anggun dalam persalinan ungu, dia dan suami tidak pernah merancang untuk mempunyai anak pada waktu tertentu.

Malah, ungkap Zizie, dia sendiri sebenarnya sangat teruja menjadi seorang ibu. Bagaimanapun, Zizie dan suami menganggap mereka masih belum ada rezeki untuk menimnang anak buat masa ini.

"Saya akui yang kami pernah menjalani pemeriksaan (perubatan) bersama-sama dan keputusan yang diterima adalah masing-masing tidak ada masalah kesihatan yang mampu menghalang kami untuk memperoleh anak.

"Walaupun kami memang inginkan sangat menimang cahaya mata, tetapi itu semua adalah kehendak dan ketentuan Allah. Bagi saya, mungkin ada hikmah di sebaliknya atas situasi yang kami alami ini," luah pemilik nama sebenar Zizie Izette Abd. Samad ini.

Walaupun mengakui sangat gembira dan selesa dengan kehidupan yang dilalui sekarang, Zizie nyata tidak menolak untuk bergelar ibu.

"Sebenarnya saya sudah bersedia untuk bergelar seorang ibu pada bila-bila masa sahaja," ujarnya.

Suami bukan penghalang

Menyentuh tentang suami, justeru pasti ada yang tertanya-tanya adakah itu faktor di sebalik kenapa Zizie tidak aktif berlakon sekarang ini.

Memulakan karier lakonan sejak usia belasan tahun lagi, sehingga kini sudah puluhan drama serta telefilem yang pernah dilakonkannya.

Bagaimanapun, setelah berkahwin boleh dikatakan kemunculan anak kepada pelakon Khaty Fauziah ini di kaca televisyen dilihat semakin kurang berbanding sebelum berumah tangga dahulu.

Justeru, adakah pelakon yang mula dikenali menerusi filem sulungnya, Kekasih Awal Dan Akhir itu sudah berhenti menjadi anak seni atau tidak lagi mendapat mendapat keizinan suami untuk bergelar pelakon.

Zizie bagaimanapun menjelaskan, dia tidak pernah berhasrat untuk berhenti daripada bidang yang telah menaikkan namanya.

" Saya masih lagi berpegang teguh kepada prinsip untuk tetap setia dengan dunia lakonan. Lagipun, inilah satu-satunya punca rezeki saya selama ini memandangkan saya telah berlakon sejak remaja lagi.

"Suami saya sendiri langsung tidak pernah menghalang dan tetap memberikan sokongan dan keizinan untuk saya terus berlakon. Namun, saya akui sejak berumah tangga ini waktu saya memang agak terbatas," jelas pemenang Aktres Harapan Festival Filem Malaysia Ke-11 (1994) menerusi filem sulungnya itu.

Tambah Zizie, jauh di lubuk hati dia sememangnya sangat rindu untuk berlakon kerana minatnya yang tidak pernah pudar dan dia sangat bersyukur kerana masih ada lagi pihak yang sudi menawarkannya berlakon.

Menurutnya, walaupun suami tercinta masih lagi memberi keizinan untuk terus berlakon, tetapi ada tawaran yang terpaksa ditolak kerana faktor masa atau watak yang diberikan kurang sesuai.

"Walaupun suami seorang berfikiran terbuka dan begitu memahami kerjaya saya sebagai anak seni, namun terlebih dahulu saya akan tetap berbincang dengan suami mengenai tawaran yang diterima.

"Mengenai watak pula kalau boleh saya mahu diberikan watak-watak yang sesuai dengan usia dan status saya sebagai seorang isteri. Misalnya watak seperti wanita korporat, berkerjaya ataupun watak seorang ibu," jelasnya.

Menariknya, kakak kepada pelakon Shaheizy Sam ini memberitahu suaminya juga adalah penggemar setia kepada drama atau telefilem yang dilakonkan dan tidak pernah ketinggalan untuk memberi sebarang komen mengenai lakonannya.

"Saya menganggap suami merupakan pengkritik utama saya dan akan menerima dengan hati terbuka sebarang komen yang diterima. Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan satu panduan untuk saya lakukan yang lebih baik lagi selepas ini," ujarnya.

Ditanya mengenai aktivitinya sepanjang menjadi isteri kepada seorang wakil rakyat, Zizie menjelaskan dia lebih banyak menemani suaminya turun padang untuk beramah mesra dengan penduduk-penduduk di bawah parlimen suaminya itu.

"Saya lebih banyak menghabiskan masa di Sabah memandangkan suami saya perlu menjaga kawasan yang diwakilinya di Kinabatangan. Kalau ada sidang parlimen barulah saya akan pulang ke Kuala Lumpur.

"Memang saya mengaku pada mulanya agak kekok untuk bergelar isteri kepada Yang Berhormat, tetapi kini saya sudah semakin dapat membiasakan diri dan tidak kisah kalau terpaksa menemani suami melawat ke kampung yang terletak di pedalaman," ujarnya lagi.

Kasihan dengan Sam

Bayangkan diri menjadi kakak kepada seorang adik yang sama-sama menceburkan diri dalam dunia lakonan tetapi si adik langsung tidak meraih tawaran lakonan? Itulah yang pernah dialami Zizie dan adiknya, Shaheizy Sam suatu ketika dahulu.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan Sam ketika ini adalah antara pelakon yang paling diminati ramai dan setiap filem lakonannya sering memberikan keuntungan kepada penerbit.

Sebagai seorang kakak, Zizie menyatakan yang dia sememangnya sangat bangga dengan pencapaian yang telah diperolehi oleh adiknya itu dan menyifatkan Sam adalah pelakon yang sangat berbakat.

"Dia sama seperti saya yang sudah mula berlakon ketika masih remaja lagi. Namun, dia agak kurang bernasib baik kerana bakat yang dimilikinya itu masih lagi tidak dipandang ketika itu.

"Sehinggakan saya pernah berasa kasihan melihatnya kerana tidak memiliki sebarang pekerjaan. Sedangkan dia mempunyai kesungguhan dan jiwa yang cukup mendalam terhadap bidang lakonan," luahnya.

Namun, kini selepas masing-masing sudah mencipta nama, Zizie bagaimanapun menegaskan adalah sesuatu perkara yang agak mustahil untuk dirinya bergandingan dengan Sam dalam sebuah produksi yang sama.

Ujarnya lagi, sepanjang dirinya dan Sam bergelar pelakon, hanya sekali sahaja mereka bergandingan bersama-sama iaitu menerusi filem yang berjudul Sama Tak Serupa pada tahun 1995.

"Saya sendiri sebenarnya tidak yakin untuk berlakon dengannya kerana kami berdua mempunyai sikap yang sama iaitu suka menyakat. Saya risau kalau kami tidak dapat mengawal sikap tersebut ketika di set penggambaran," katanya.

Meskipun begitu, menurut Zizie, Sam akan bekerjasama dengan dirinya itu menerusi sebuah filem.

"Filem belum berjudul itu bakal diterbitkan sendiri oleh syarikat produksi milik saya iaitu BZ 2121 Production," ujar Zizie.

Suami pengkritik utama Zizie


BARANGKALI akan ada yang beranggapan selepas aktres jelita berkulit putih gebu ini mendirikan rumah tangga, dunianya sudah jauh berubah.

Kali terakhir lakonannya menghiasi televisyen adalah melalui drama rantaian Suraya yang pernah disiarkan sekitar dua tahun lalu iaitu sebelum dia bergelar seorang isteri.

Selepas itu, dia terus menyepikan diri dan wajahnya kini begitu jarang dapat ditonton di layar kaca sehingga ada yang menyangka Zizie Ezette sudah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan.

"Selagi saya tidak mengeluarkan kenyataan rasmi dari mulut saya sendiri, selagi itulah saya akan terus bergelar pelakon.

"Saya cukup sedar ramai yang bertanyakan hal itu (bersara) kepada saya. Mana mungkin saya boleh meninggalkan dunia lakonan begitu sahaja selepas hampir 20 tahun bergelumang dalam industri.

"Dengan duit lakonan jugalah saya mampu berdiri teguh sehingga ke hari ini serta dapat membantu ibu dan adik-beradik yang lain menjalani kehidupan yang selesa.

"Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini saya selesa dengan kehidupan saya sekarang sebagai seorang isteri dan sentiasa menemani suami saya," katanya penuh bersungguh.

Zizie atau nama sebenarnya, Zizie Izette Abd. Samad ditemui pada majlis rumah terbukanya bersama suami tersayang iaitu Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang diadakan di kediaman mereka di Taman Sering Ukay, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

Aktres yang mula menempa nama menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir pada tahun 1993 itu juga tanpa selindung memberitahu rindunya terhadap dunia lakonan terus membara setiap masa.

Sehinggakan dia sendiri pernah menghabiskan masa yang lama di dalam bilik air dan berlakon di hadapan cermin dengan pelbagai watak yang ingin dilakonkannya.

Tetapi, memandangkan statusnya kini sudah berubah, kata aktres berusia 32 tahun itu, dia perlu mengutamakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri terlebih dahulu.

Begitu juga dengan watak-watak yang ingin dilakonkannya perlulah mendapat keizinan suaminya terlebih dahulu.

"Suami saya tidak membenarkan saya melakonkan watak-watak gedik dan antagonis walaupun saya cuba menyakinkan dirinya bahawa semua itu adalah lakonan semata-mata.

"Bukannya tidak ada tawaran yang saya terima selepas saya bergelar isteri. Cuma, masa yang tidak mengizinkan saya untuk berbuat demikian.

"Alhamdulillah, apa yang boleh saya katakan sejak mendirikan rumah tangga, watak-watak yang mendatangi saya tidak kurang menariknya. Salah satunya adalah drama bersiri Anessa. Tetapi, nampaknya bukan rezeki saya untuk membintangi drama itu," kata anak jati Batu Pahat, Johor itu yang kelihatan semakin elegan dan langsing sejak bergelar isteri.

Dalam masa yang sama, Zizie turut memberitahu suami kesayangannya itu merupakan pengkritik utama khususnya dalam aspek lakonan.

Kata Zizie, kalau ada yang tidak disukainya atau kurang berkenan di hatinya, secara spontan Bung Mokhtar akan memberikan pendapatnya dalam loghat Sabah.

"Disebabkan itulah saya perlu menjadi lebih memilih sekarang dalam memilih watak yang benar-benar sesuai dengan status saya. Tidak mahu nanti suami saya terasa hati pula," ujar pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2003 untuk drama Aduhai Esah ini sambil ketawa kecil.

Semakin selesa

Tarikh 16 Disember ini genaplah Zizie dan Bung Mokhtar bergelar suami isteri. Biarpun dihambat kontroversi di awal perkahwinan mereka, ternyata ia merupakan kekuatan untuk pasangan ini terus melayarkan bahtera perkahwinan mereka.

Zizie yang ditemui pada petang itu tidak putus-putus melafazkan rasa syukur kerana telah dipertemukan dengan seorang lelaki cukup baik, bertanggungjawab dan budiman.

Di awal perkahwinan mereka juga, Zizie pernah memberitahu dia sedikit kekok untuk mengadaptasi dirinya dengan dunia seorang ahli parlimen yang memerlukan dirinya turun padang bertemu rakyat.

Namun, selepas kerap mengikuti suaminya berkempen di Sabah sehingga berbulan-bulan lamanya, Zizie mengakui dia sudah mula dapat membiasakan diri dengan pelbagai situasi.

Malah, Zizie berasa terharu apabila dia sendiri tidak menyangka ada penduduk di kawasan pendalaman khususnya masih lagi mengingati dirinya sebagai seorang pelakon.

"Saya sendiri tidak kisah untuk berpanas dan berhujan dengan suami saya apabila bertemu dengan rakyat dan penduduk di Sabah.

"Apa yang penting, apabila saya turun padang bersama-sama suami, kami tidak meminta untuk diberikan layanan eksklusif mahupun VIP. Biarlah kami sama-sama meredah segalanya dengan mereka.

"Bukan mahu mendabik dada atau sengaja mahu membangga diri, tetapi saya ini boleh menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan dan dengan sesiapa sekali pun.

"Atas alasan itu, apabila saya diundang untuk mengikut suami, saya tidak akan pernah menolaknya," ujar Zizie yang menghabiskan kebanyakan masanya di Sabah untuk setia bersama suami di sisinya.

Dalam pertemuan itu juga, tidak sah seandainya soal cahaya mata tidak diajukan kepada pelakon cantik ini.

Bagai sudah menyangka soalan itu akan ditanya, dengan penuh hemah, Zizie menjelaskan dia dan suaminya masih belum mempunyai rezeki untuk menimang anak.

Dengan penuh jujur dia memberitahu, baik dia mahupun Bung Mokhtar, masing-masing memiliki tahap kesihatan yang baik untuk memiliki anak.

"Bagi saya, semuanya telah diatur dan ditentukan oleh Allah. Mungkin Dia mahu saya dan suami menghabiskan masa berdua sekerap yang mungkin sebelum Dia mengurniakan cahaya mata kepada kami.

"Kami memang mahukan anak dan Insya-Allah, kalau ada rezeki nanti, kami akan menerimanya dengan senang hati," kata pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Sri Angkasa 1994 menerusi drama Alegori itu lagi.

Zizie Ezette Rindukan Dunia Lakonan


KUALA LUMPUR: Hampir dua tahun tidak bergiat aktif dalam dunia lakonan, pelakon Zizie Ezette mengakui rindu untuk kembali ke dunia yang dicintainya itu.

Ditemui ketika majlis rumah terbukanya di Ukay Perdana pada Sabtu, Zizie memberitahu dia sedang menunggu waktu yang sesuai untuk kembali ke persada seni lakonan kerana masih menyesuaikan diri sebagai seorang isteri.

"Saya rindukan dunia lakonan kerana itu adalah minat saya sejak dari dulu lagi cuma kini ada perkara yang lebih penting untuk dilakukan terlebih dahulu iaitu tanggungjawab kepada rumah tangga.

"Tetapi adakalanya saya akan berlakon di hadapan cermin jika rindu untuk berlakon," ujarnya.

Bergelar isteri kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, Zizie turut menegaskan dia tidak akan bersara daripada dunia lakonan dan suaminya tidak pernah menghalangnya untuk kembali aktif berlakon.

Namun katanya, jika kembali berlakon kelak dia akan lebih selektif terhadap watak dan peranan yang diberikan oleh pihak produksi kepadanya bersesuaian dengan status yang dipegangnya kini.

"Saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan kepada pihak media untuk bersara dari dunia lakonan. Suami saya juga tidak pernah menghalang jika saya ingin bergiat aktif kembali tetapi keputusan untuk menumpukan kepada rumah tangga buat ketika ini dibuat oleh saya sendiri," katanya.

Dalam pada itu, bercerita mengenai anak, Zizie berkata dia sudah bersedia untuk menimang cahaya mata tetapi rezeki belum menyebelahi dirinya dan suami.

"Sudah tentu setiap pasangan yang berkahwin mahukan anak dan tidak terkecuali saya. Saya dan suami masih berusaha tetapi dalam soal ini kita hanya mampu merancang, Tuhan juga menentukannya," katanya.

Sementara itu, Zizie yang mempunyai syarikat sendiri yang diberi nama 2121 Vision Pictures memberitahu dia sedang merancang untuk menerbitkan drama dan telefilem sulung dibawah syarikatnya itu.

"Skrip sudah ada tetapi saya tidak mahu terburu-buru untuk menghasilkan drama atau telefilem kerana banyak perkara lain yang perlu diberikan perhatian dalam menjayakan sesuatu projek," ujarnya yang akan mengambil adiknya, pelakon Shaiezy Sam untuk berlakon dalam projek tersebut.

Zizie Izette Sibuk Berniaga Di Perhimpunan Agung Umno


KUALA LUMPUR: Meskipun berstatus selebriti serta isteri kepada Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin, ia tidak menghalang kepada pelakon terkenal Zizie Izette A. Samad (gambar) untuk turut berniaga di Perhimpunan Agung Umno 2010.

Gerai di Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu kelihatan dikerumuni ramai pengunjung termasuk peminat yang mahu bergambar bersama Zizie selain membeli barangan jualannya antara lain seperti busana muslimah, gaun serta aksesori wanita.

Zizie berkata idea untuk berniaga pada perhimpunan agung Umno kali ini timbul kerana minatnya yang suka berniaga di samping mendapat sokongan penuh daripada suami tersayang.

"Kakak ipar saya berniaga di Uptown. Rakan perniagaan dia (kakak ipar) pernah terlibat dengan buka gerai jualan di perhimpunan Umno. Dia tanya saya tak mahu buka gerai di sini ke (PWTC) dan apabila tanya suami, beliau beri sepenuhsokongan, itu yang timbulnya idea untuk berniaga di sini.

Zizie menegaskan bahawa beliau tidak mendapat sebarang layanan istimewa untuk mendapat unit ruang niaga berkenaan. Terdapat sebanyak 320 tapak ruang niaga disediakan sempena perhimpunan agung kali ini.

"Ingin saya tegaskan yang saya dapat ruang niaga ini sama seperti orang lain dan tidak timbul menggunakan jalan mudah (Bung Mokhtar) untuk dapatkan ruang niaga ini," katanya.

Zizie berkata setiap hari beliau akan turun padang dan memantau hasil jualannya, sekaligus mengambil kesempatan untuk merapatkan hubungan dengan peminat.

"Saya akan sentiasa berada di situ dan kalau tiada pun mungkin saya pergi makan atau ada janji temu tetapi saya akan berada di situ setiap hari sehinggalah habis perhimpunan Umno ini dari pagi hingga malam," katanya.

Jika sambutan jualannya pada perhimpunan kali ini memberangsangkan, beliau berminat untuk terus berniaga pada perhimpunan Umno yang akan datang. - BERNAMA

'Saya OK dengan madu'-Zizie


"SAYA masih hidup bermadu. Alhamdulillah hubungan saya dengan madu (Nor Asidah Alimuddin) sudah okey dan baik. Harap tiada lagi pihak yang cuba memburukkan keadaan,” ungkap Zizie Ezette yang bergelar isteri kedua kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin hujung tahun lalu.

Kenyataan Zizie yang ditemui di rumah terbuka anjurannya dan suami pada 2 Oktober lalu di rumah teres dua tingkat berdekatan Bukit Antarabangsa, Hulu Klang itu, sekali gus menafikan desas desus mengatakan pelakon bertubuh montok dan gebu itu satu-satunya isteri Bung.

Ia ekoran cerita yang bertebaran kononnya isteri pertama Bung sudah diceraikan sekitar sebulan lalu. Bung sendiri menafikan perkara terbabit hanya khabar angin. Kata Zizie lagi, dalam hal sebegitu, dia tidak menyalahkan wartawan mahupun orang luar yang membuat andaian.

“Ada kalanya input cerita direka orang di luar sana ada kalanya memberi impak. Keluarga Bung bukannya artis seperti saya. Mereka tidak biasa berdepan hal sebegini. Lainlah bagi saya kerana gosip dan kontroversi itu menjadi lumrah apabila bergelar artis,” katanya yang anggun berkurung biru.

Hakikatnya kini, Zizie yang sudah 10 bulan hidup berumah tangga sedang melalui fasa indah dalam kehidupannya bersama suami tercinta. Anak kesayangan kepada pelakon Mummy Khaty itu barangkali sedang membuktikan betapa indah dan manisnya hidup bermadu.

“Alhamdulillah, hidup saya seperti dirahmati. Hidup saya sudah berubah dengan adanya suami yang baik. Saya bersyukur kerana ditemukan jodoh dengannya. Saya tak nak cakap hidup ini terlampau sempurna dengan hadirnya dia.
Bagi saya kebahagiaan itu bukan terletak kepada paras rupa.
“Saya mungkin seperti berbunyi klise. Tapi apa yang boleh saya tekankan hati yang penting sebenarnya. Kalau nak pandang rupa semata-mata, lambat laun jadi kerepot juga akhirnya nanti. Jujur diakui, suami saya masih ada manisnya daripada pandangan mata sendiri,” kata Zizie yang bercuti dengan suaminya sehari selepas acara rumah terbuka itu.

Teman baik kepada Farahdhiya ini juga sebenarnya sedang membiasakan diri bergelar isteri kepada lelaki yang memikul tanggung jawab sebagai wakil rakyat. Menemani suaminya melawat kawasan bererti masanya banyak dihabiskan di luar. Turun naik kapal terbang itu satu kebiasaan.

“Masa bulan puasa tempoh hari, buka puasa di atas kapal terbang pun pernah. Semuanya tak terjangka. Hari ini boleh berada di Kuala Lumpur, esok bangun sudah berada di Sabah. Ulang alik itu perkara biasa. Tapi suami cakap saya sudah boleh melaluinya dengan baik.

Sebenarnya sebelum berkahwin dengannya, saya hanya mengetahui fungsi ahli politik itu secara dasar saja. Tapi sekarang baru saya tahu rutin sebenar orang sepertinya. Selain menjadi hak saya, dia juga hak kepada masyarakat. Perkara itu perlu saya akur,” katanya yang sudah menetap di rumah teres dua tingkat itu sejak enam bulan lalu.

Mengenai anak, baik Zizie mahupun Bung tidak menolak rezeki jika ditakdirkan mereka dikurniakan cahaya mata. Ikutkan gejolak rasa Zizie, dia sememangnya sudah bersedia untuk bergelar ibu. Lagipun usianya dan suami bukan semakin menurun.

“Saya sendiri bakal menginjak usia 32 tahun manakala suaminya kini sudah mencecah 50 tahun. Kalau nak tunggu 10 tahun lagi, suami saya sudah jadi 60 tahun. Saya terima segala ketentuan Tuhan dalam soal anak. Kita merancang, Tuhan juga menentukannya,” katanya.

Ironinya, Zizie memang belum lagi mengandung. Buktinya, Zizie dengan selamba memegang perutnya yang semakin rata. Jadi mustahil, Zizie sudah mengandung kerana perutnya bukan semakin membesar sebaliknya dia semakin kurus. Rupa-rupanya, Zizie sedang giat menurunkan berat badannya.

“Lepas kahwin memang badan saya makin naik. Bayangkan banyak baju yang ditempah sudah tidak muat. Berat badan ideal saya ialah 56 kilogram. Tapi sekarang berat saya 58 kilogram dan saya perlu turunkan dua kilogram lagi. Saya tak mahu kurus sangat. Saya banyak habiskan masa melakukan aktiviti mengeluarkan peluh termasuklah pengurusan berat badan. Saya turut melakukan aktiviti kickboxing dan yoga di dalam bilik yang panas. Nak cantik kenalah selalu buat aktiviti sebegini,” selorohnya.

Sekalipun sudah bergelar isteri, Zizie menidakkan bahawa itu akan menjadi penghalang untuknya berkongsi bakat dalam dunia seni. Katanya dalam nada semangat, sampai bila-bila pun saya akan kekal berlakon. Namun seiring statusnya kini, Zizie perlu bijak mencari watak yang bersesuaian.

“Malah suami saya pun mendorong saya untuk menjadi penerbit dengan menerbitkan drama atau telefilem sendiri. Memang saya tengah mencari skrip yang baik untuk menjadi buah tangan sulung syarikat saya yang diberi nama 2121 Vision Pictures. Syarikat ini baru saja diselenggara.

“Tapi tak bererti bila sudah berjinak-jinak dalam dunia penerbitan, dunia lakonan akan ditinggalkan. Cuma saya harus menghormati permintaan suami. Pendek kata saya perlu lebih selektif. Tiada lagi watak penggoda atau yang mungkin keterlaluan untuk saya ambil.

“Banyak juga tawaran berlakon yang saya terima dalam tempoh 10 bulan ini. Tapi semuanya saya terpaksa tolak kerana faktor kesuntukan masa dek menemani suami melakukan kerjanya. Lepas ini kenalah saya bakar balik semangat untuk bergelar anak seni,” katanya yang tak menang tangan melayan tetamu yang hadir.

Petikan menarik Datuk Bung Mokhtar


•Dalam hidup ini apa yang diharapkannya ialah kebaikan dan keredaan Tuhan.


•Zizie mempunyai ciri baik bergelar isteri yang bertanggung jawab.


•Soal anak, Bung menyerahkan hal itu kepada Tuhan. Mereka sedang berusaha dan tidak boleh menjangka bila dan berapa anak yang bakal diperoleh.


•Ada orang yang berusaha nak dapat ramai anak tetapi dikurniakan seorang saja dan begitulah sebaliknya.


•Kerjayanya dengan Zizie amat berbeza. Mungkin dalam beberapa konteks ada samanya. Jika Zizie perlu berdepan peminat, beliau pula sentiasa mengambil tahu mengenai masyarakat tanpa mengira waktu.


•Separuh kakinya untuk keluarga dan separuh kaki lagi untuk rakyat.


•Bung akui Zizie pernah berkecil hati pada awalnya apabila perhatian dilebihkan kepada masyarakat. Selepas menerangkan perkara sebenar, Zizie mula memahami tugas suaminya itu.

Hentikan kisah tidak benar-Zizie


RIAK wajah dan bahasa tubuhnya sudah cukup menggambarkan dia sedang menjalani kehidupan yang benar-benar menjadikannya seorang wanita sempurna.

Senyuman dan ketawa yang tidak lekang dari wajah mulusnya itu membuktikan pelakon kulit gebu, Zizie Ezette, 32, cukup bahagia dengan statusnya sebagai seorang isteri.

Meskipun pernikahannya dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, 51, telah mencetuskan perdebatan dan polemik, Zizie enggan ambil pusing tentang perkara itu.

Cuma, Zizie memohon kepada semua pihak agar untuk hentikan menyebar berita yang kurang manis berhubung rumah tangganya kerana tidak mahu ada pihak yang terluka lagi.

Aktres popular itu berkata demikian bagi menjawab dakwaan yang mengatakan dia kini satu-satunya isteri Bung Mokhtar selepas wakil rakyat itu dikatakan telah menceraikan isteri pertamanya.

"Cukup-cukuplah memperkatakan dan mensensasikan kisah rumah tangga kami. Jujurnya, keadaan semuanya telah dan berjalan dengan baik sekali. Saya tidak mahu cerita sebegini akan mengeruhkan kembali keadaan.

"Jika ada yang berterusan mahukan komen saya lagi selepas ini tentang madu saya, minta maaf kerana saya tidak akan menjawabnya. Saya perlu menjaga hati banyak pihak. Apa yang boleh saya katakan, semuanya dalam keadaan yang baik," katanya berkali-kali lalu mematikan terus topik hangat itu.

Zizie berkata demikian ketika ditemui pada malis rumah terbukanya yang diadakan di Taman Sering Ukay, Hulu Kelang, Selangor, malam Sabtu lalu.

Kehadiran dua orang anak Bung Mokhtar pada majlis itu sekali gus membuktikan mereka memang tidak mempunyai sebarang masalah apabila masing-masing begitu mesra antara satu sama lain.

Apabila diminta untuk bergambar bersama, Zizie dengan penuh diplomasi menolaknya dengan mengatakan biarlah dia dan suaminya sahaja yang menjadi titik tumpuan pada malam itu.

Bagi Zizie, apa yang penting buatnya kini adalah untuk meneruskan perjalanan hidupnya bersama suami tercinta yang benar-benar membuatkannya bersyukur dengan kurniaan Yang Maha Esa.

"Alhamdulillah, selepas 10 bulan mendirikan rumah tangga, terasa hidup saya begitu lengkap dengan adanya seorang suami di sisi. Tidak pernah saya membayangkan kebahagiaan yang saya kecapi seperti hari ini.

"Saya harus akui kehidupan saya sekarang memang sudah jauh berbeza ketika saya bujang dulu. Sekarang saya harus menumpukan fokus kepada suami dan menjadi seorang suri rumah sepenuh masa buat masa ini," luah Zizie jujur.

Kekok

Menyambung bicara, Zizie atau nama sebenarnya, Zizie Ezette Abd. Samad ini memberitahu kesibukannya sebagai seorang isteri membuatkannya jarang berada di ibu negara.

Ini kerana katanya, setiap dua minggu dia akan menemani suaminya pulang ke Sabah selama dua minggu.

Dua minggu lalu dihabiskan di Kuala Lumpur.

Zizie juga mengakui di awal perkahwinannya dia agak kekok dengan perubahan hidupnya terutama apabila melihat skop kerja suaminya sebagai seorang wakil rakyat.

"Sepanjang hidup saya, tidak pernah saya tahu rangkuman kerja seorang wakil rakyat itu dan saya pun memang tidak pernah ambil tahu sebelum ini.

"Namun, selepas bernikah dan memerhatikan kerja suami saya, barulah saya tahu kesibukan seorang wakil rakyat itu. Skop kerja mereka tidak ubah seperti seorang selebriti yang perlu bertemu dengan masyarakat hampir setiap hari.

"Secara tidak langsung, dunia kami berdua memang tidak banyak bezanya. Saya bersyukur dalam kesibukannya itu, dia tetap menjaga dan melayan saya dengan baik lalu membuktikan dia seorang suami yang bertanggungjawab," ujar aktres yang mula menempa nama menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir ini bersungguh.

Rezeki

Bukan hendak meninggi diri atau mahu menggambarkan perkahwinannya adalah sempurna, tetapi bagi Zizie, suaminya itu seorang yang cukup baik dan menjalankan tugasnya sebagai suami dengan penuh dedikasi.

Mengenai cahaya mata pula, kakak kepada aktor Shaheizy Sam ini memang sudah benar-benar bersedia untuk bergelar seorang ibu.

"Saya menyerahkan segala-galanya kepada Allah untuk mengurniakan rezeki kepada kami berdua," katanya sambil menafikan dirinya kini sudah berbadan dua.

Pada majlis itu, Zizie memang menarik perhatian ramai terutama pihak media yang kagum dengan penampilannya yang semakin langsing.

Zizie hanya ketawa besar apabila ada seorang wakil media mengusiknya dengan mengatakan dia kurus kerana melakukan penyedutan lemak.

"Saya tidak akan buat perkara-perkara yang membahayakan itu. Saya kini banyak mengikuti kelas senaman dan aktiviti lasak seperti latihan angkat berat, kickboxing dan hot yoga.

"Hasilnya, saya kini menghampiri berat badan ideal saya iaitu 55 kilogram. Berbanding ketika berkahwin, berat badan saya mencecah 65 kilogram sehingga semua baju saya tidak muat lagi. Kerana itu, saya berazam untuk menguruskan badan," katanya optimis.

Gambar Datuk Bung Mokhtar, Zizie di ABPBH 2009

Malam ABPBH 2009 hari bulan yang lepas merupakan malam yang tidak perlu diperkatakan lagi, memang gilang gemilang terbilang dan lang2 lagi. Banyak kejutan dan juga budaya fesyen yang memang masyuk tahap revolusi. Namun yang menjadi menarik perhatian penulis cuma kehadiran Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar dan juga isterinya, Zizie Ezette. Kehadiran mereka berdua tidak disangka-sangka. Pasangan suami isteri ini cukup berseri-seri, kiranya pada malam itu mereka lah pasangan VIP yang menjadi perhatian. Dah kahwin juga pun, takda kontroversi lagi dah. Hikhik.


Poligami Tanpa Izin: Zizie Izette Serah Pada Mahkamah


“KES ini (poligami tanpa izin) terlalu peribadi. Jadi, biarkan pihak mahkamah tentukan pada 18 Mei ini,” kata aktres Zizie Izette kepada berhubung perkahwinannya dengan Datuk Bung Moktar Radin yang didakwa atas kesalahan berpoligami tanpa izin.

Isteri kedua kepada ahli Parlimen Kinabatangan itu bagaimanapun menegaskan perkahwinan mereka yang berlangsung di rumah saudara mereka di Cemerlang Height, Kuala Lumpur pada 16 Disember tahun lalu sah mengikut hukum syarak.

“Pernikahan kami sah mengikut hukum Allah dan syarak, ada wali dan saksi. Cuma kami bernikah tanpa izin dan menyalahi undang-undang syariah Malaysia.

“Bagaimanapun, kami tidak perlu mempertikaikan tentang pernikahan ini kerana ia terikat dengan kuasa undang-undang. Kita tunggu sahaja keputusannya pada 18 Mei ini dan lihat apa yang akan berlaku selepas itu,” ujar pelakon drama popular itu yang turut hadir ke Mahkamah Syariah Gombak Timur bersama-sama suaminya pagi tadi untuk dibicarakan atas kesalahan tersebut.

Bung Moktar dan Zizie telah dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombar Timur hari ini untuk menghadapi dakwaan berpoligami tanpa kebenaran. Kedua-duanya mengaku bersalah. Hakim menetapkan 18 Mei depan untuk menjatuhkan hukuman.

Bagi Zizie, biarlah dia simpan sahaja cerita tentang mengapa perkara itu berlaku kerana tidak elok untuk menceritakan tentang kisah peribadi mereka ibarat membuka pekung di dada.

“Saya rasa tak seronok untuk bercerita tentang perkara ini. Saya tahu mesti ramai yang tertanya-tanya tentang sebab-musababnya,” tuturnya lagi.

Ditanya adakah kes itu mengganggu hubungannya dengan suami, Zizie menjawab: “Kami masih lagi suami isteri…” ujarnya ringkas dan tergesa-tergesa untuk meletakkan telefon kerana mahu bersiap untuk terbang ke New York, Amerika Syarikat pada malam ini atas urusan perniagaan.

Gosip Perkahwinan Zizie-Bung: "Belum kahwin...but let it be!"


PETALING JAYA: "I'm a woman...tak manis perkara begini datang dari saya. Saya harap semua orang faham. Lagi pun dia suami orang. Saya kena hormati itu," itulah luahan hati aktres jelita Zizie Ezette berhubung spekulasi tentang pernikahannya dengan ahli parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang kini menjadi percakapan ramai termasuklah ahli-ahli politik.

Aktres berbakat besar ini bagaimanapun menafikan yang dia sudah berkahwin dengan Bung.

"Belum kahwin....but let it be! (tentang spekulasi yang dia sudah bernikah) Susah bagi saya menerangkan segalanya kerana saya perempuan. Biarlah apa orang nak kata. Saya dah malas nak komen. Terlalu banyak spekulasi sekarang.....," kata aktres yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik sebanyak dua kali ini.

Tanpa berselindung, aktres berusia 31 tahun ini berkata, "Ramai yang tahu saya pernah ada teman lelaki selama 8 tahun tapi putus di tengah jalan.

"Saya pernah buat persiapan untuk berkahwin tapi tak jadi. Saya terima kerana itu ketentuan-Nya.

"I gave everything....Saya beri sepenuh hati tapi tak ke mana. I don't want to start all over again and get hurt," kata Zizie dalam nada yang tenang mengulas tentang kasih tak kesampaian yang pernah terjalin dengan seorang ahli perniagaan yang berusia 40 tahun dulu.

Bagi Zizie, cukuplah pengalaman bercinta dengan lelaki berstatus solo yang tidak memberi sinar harapan pada hidupnya.

"Saya macam malas nak bercinta lagi....I feel numb," kata aktres yang pernah diberi gelaran Bintang Harapan di Festival Filem Malaysia Ke-11, tahun 1994 menerusi lakonan hebatnya dalam filem Kekasih Awal dan Akhir.

Keterbukaan Zizie tentang ceritera cinta yang pernah terjadi dalam hidupnya dengan beberapa lelaki bujang adalah antara episod sedih yang tidak mahu dirungkaikan lagi.

Jodoh pertemuan, kata Zizie, bukan sesuatu yang boleh diatur.

"Saya tidak mahu bercakap pasal perkahwinan kerana saya tak mahu ada lagi spekulasi. Cukuplah...," pintanya mengharap titik nokhtah desas-desus tentang hubungannya dengan Bung Mokhtar.

Ditanya tentang status Bung Mokhtar, Zizie berkata, "Setahu saya, he only has one wife."

"Saya harap semua orang faham dan bagi ruang untuk saya kerana saya tidak layak untuk menceritakan keadaan sebenarnya," kata anak jati Batu Pahat, Johor ini.

Kata kakak kepada aktor Shaheizy Sam ini lagi, "I'm not feeling down....but I'm just so tired. Saya penat menjawab pertanyaan dari pihak media."

Gosip tentang 'pernikahan' Zizie dengan ahli politik dari Sabah itu mula menjadi topik perbualan hangat awal minggu ini di kalangan ahli-ahli parlimen.

Kononnya, pasangan berkenaan telah pun mengadakan majlis resepsi di salah sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ternyata rahsia 'pernikahan' itu masih belum terjawab dan menjadi teka-teki hingga kini.

Selain penafian yang dibuat oleh Zizie, ibunya aktres dan produser drama Khaty Fauziah turut enggan mengulas lanjut.

“Insya Allah, apa-apa pun, kami akan beritahu dalam minggu depan,” kata Khaty seperti yang dipetik dari laporan mStar Online sebelum ini.

Ketika ditanya mungkinkah akan ada sebarang pengumuman pada minggu hadapan, Zizie hanya ketawa kecil.

"Let him (Bung Mokhtar) handle it. Lagi pun perkara ini bukan datang dari mulut saya," kata Zizie yang kedengaran serba-salah kerana terpaksa cakap berlapik takut menyinggung perasaan beberapa pihak.

Jelasnya lagi, "Saya kini sedang menjalani penggambaran drama 'Suraya' untuk enam hari bagi 6 lagi episod.

"Semuanya kena diselesaikan sebelum 23 Disember ini...."

Sepanjang 16 tahun menjadi anak seni, Zizie Ezette telah berlakon puluhan drama TV dan telemovie, serta tiga buah filem iaitu Kekasih Awal dan Akhir (1993), Sama Tak Serupa (1995) dan Black Maria (2003).

Meskipun tiada kata kepastian yang terkeluar dari mulut Zizie sehingga ke sudah, yang pasti ada riak-riak gembira di hujung nada suaranya.

"Saya akan beritahu juga apabila semuanya sudah selesai. Time will tell. Doakan yang terbaik untuk saya," kata Zizie sebelum mengakhiri perbualan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails