Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Fahrin Bakal Adakan Sidang Media Tangguh Saman Linda


KONTROVERSI saman-menyaman pelakon dan pengacara, Fahrin Ahmad dan penyampai radio SuriaFM, Linda Onn masih lagi menjadi tanda tanya apabila perkara tersebut dikatakan semakin dilengah-lengahkan Fahrin.

Terbaru, Fahrin mengakui menangguhkan saman tersebut selepas mendengar nasihat dan pandangan dari rakan artis dan persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

"Sebenarnya saya mengambil kira pandangan beberapa pihak yang mengambil berat isu kami yang mahukan ianya diselesaikan di luar mahkamah.

"Saya bersetuju untuk menangguhkan saman ke atas Linda dan menunggu maklum balasnya terhadap cadangan Seniman itu.

"Saya tidak mahu perkara ini akan menjadi labih lama dan bakal mengheret keluarga kedua-dua belah pihak ke mahkamah sekali" ujarnya.

Fahrin yang ditemui pada jamuan Online Satay Party pada Jumaat lalu memberitahu perkara tersebut akan dibuat secara rasminya pada penghujung bulan ini.

"Saya tahu ramai yang tertanya-tanya status saman ini. Saya akan buat satu sidang media untuk jelaskan perkara tersebut selepas 15 haribulan atau akhir bulan ini," ujarnya.

Menurut Fahrin, dia mahu mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan perkara ini selain dibawa ke mahkamah. Apa yang dilakukan atas dasar profesionalisme bukan secara peribadi.

"Sudah berkali-kali saya memberitahu bahawa apa yang berlaku (saman) atas dasar profesionalisme dan mahu menjaga nama baik saya bukan kerana masalah peribadi.

"Apa yang saya harapkan adalah, Linda tampil meminta maaf dan sekadar mengakui perkara tersebut disalah tafsirkan. Saya hanya mahu nama saya dibersihkan dari segala dakwaan yang boleh menjejaskan kredibiliti saya di mata klien, penaja dan masyarakat," ujarnya.

Belum Jumpa Yang Seperti Black - Mas Idayu


KEJAYAAN penyanyi Mas Idayu dalam mendidik dan mengilap bakat protogenya, Black, pada Mentor musim lalu amat membanggakan apabila Black bukan sahaja menjuarai program tersebut malah memenangi vokal terbaik pada Anugerah Juala Lagu yang berlangsung baru-baru ini.

Justeru itu, dia juga sekali lagi terpilih sebagai barisan baru program realiti tv Mentor untuk musim ke-4 bersama-sama Ziana Zain, Mus May, Dayang Nurfaizah, Joe Flizzow dan Azmeer.

Namun ia bukan semudah yang disangka, kejayaan Black telah menjadi penanda aras kepada mentornya ini untuk mencari protoge yang benar-benar sesuai dan mempunyai kelebihan tersendiri.

"Sehingga kini walaupun sudah beratus-ratus yang datang tapi belum ada yang mampu meyakinkan saya. walaupun sudah ada yang disenarai pendek tapi saya masih lagi tidak berpuas hati.

"Ramai yang datang tidak mengikut citarasa saya. Ada yang suara boleh tahan tapi pakaian dan penampilan pula yang jadi penghalang. Kalau boleh kita mahu cari yang boleh jual," katanya.

Menurut penyanyi dangdut popular ini, dia tidak memilih protoge dari segi rupa paras, nyanyian atau jantina tetapi kredibiliti .

"Saya tidak hanya mahu yang pandai menyanyi sebab sudah terlalu ramai yang pandai menyanyi. Saya mahu yang ada aura dan x factor seperti Black mula-mula datang ujibakat dulu.

"Ketika Black dulu saya dapat rasakan aura dan bakatnya boleh digilap," ujarnya penyanyi ini.

Ketika ditanya tentang sifatnya yang garang membuatkan calon-calon gugup apabila berhadapan dengannya, Mas Idayu berkata dia akan memberi masa kepada calon agar menenangkan diri terlebih dahulu sebelum menyanyi.

"Saya tahu ramai yang takut tapi saya bagi masa untuk bertenang dan biasakan diri dengan saya sebelum menyanyi.

"Ramai juga yang kata mahu belajar dengan saya sebab saya garang dan pandai mendidik," ujarnya.

Atilia Mahu ‘A’ Cintanya Di Akhir Garisan


Atilia selalu menghabiskan masanya di beyoga setiap hari. - Foto oleh AZHAR MAHFOF

SETELAH diceraikan dengan talak satu oleh bekas suaminya, Ariff Johan Abdul Aziz pada Januari tahun lalu, penyanyi terkenal Raja Puteri Atilia Raja Haron atau Atilia, 36, tidak pernah serik untuk bercinta lagi.

Sudah ditakdirkan jodohnya dengan Ariff yang dibina selama 10 tahun itu berakhir dengan penceraian. Tetapi pasangan itu masih berkawan baik.

Namun penyanyi yang mempelopori rentak jazz kontemporari itu berkata dia masih mendambakan cinta yang kekal sehingga di akhir garisan.

Saat ditanya sudahkah hatinya terisi setelah menyolo lebih setahun lamanya, anak sulung penyanyi versatil 1980-an Salamiah Hassan itu hanya mengangguk.

Atilia tanpa berselindung memberitahu jejaka yang cukuplah dikenali sebagai A itu telah bergelar kekasihnya sejak setahun lalu.

“Saya sudah lama mengenali A iaitu 12 tahun lalu kerana kami sama-sama meminati bidang muzik.

“Pada mulanya kami hanya berkawan tetapi pada tahun lalu baru hubungan kami serius,”
Ditanya bilakah pasangan itu merancang untuk berkahwin, penyanyi lagu Sangkar itu mengakui sedang bersedia untuk ke fasa itu.

“Insya-Allah, kami merancang untuk berkahwin pada hujung tahun ini atau tahun depan,” ujarnya mengenai buah hatinya yang merupakan pemilik sebuah syarikat produksi.

Terus-terang, wanita yang gemar beryoga di beyoga setiap hari itu menyenangi lelaki berusia 33 tahun itu kerana dia begitu memahami kerjanya dan mempunyai minat yang sama dengannya iaitu muzik.

Namun, dia enggan bercerita lebih lanjut mengenai lelaki itu setelah merasakan tidak manis tambahan lagi keluarga A belum mengetahui tentang hubungan mereka.

“Biar kami beritahu kepada keluarganya dahulu. Lepas tu baru saya boleh mendedahkan siapakah gerangan A,” tuturnya.

Sebetulnya, Atilia pula merupakan seorang yang terlalu privasi dan lebih selesa bercakap tentang soal karier. Tetapi dia tidak mampu menyembunyikan cerita cintanya itu lagi memandangkan gambar mereka berdua sudah menceritakan segalanya.

Tidak Sabar Menanti Album Indah

Menyentuh tentang karier, Atilia yang baru selesai menerbitkan Konsert Malam Nada Biru 2 yang menampilkan Najwa dan Yuna baru-baru ini sedang sibuk menyiapkan album keduanya berjudul Indah.

Album tersebut dijangka akan muncul di pasaran mulai April depan. Sebanyak 10 buah lagu termasuk dua buah lagu duet dengan penyanyi Indonesia dimuatkan dalam dalam album yang diterbitkan sendiri olehnya.

“Album kedua saya ini lebih friendly kerana bekerja dengan ramai komposer seperti Paul Morisson, T.K (Tok Khoon) dan Moharis Yaakup dan kebanyakan lagu-lagu itu ditulis oleh saya sendiri seperti Selainnya, Indah dan Terindah Pilihanku.

“Kolaborasi dengan band Maliq n D’Essentials menerusi lagu Harus Bagaimana dan band Sore (Silly Little Thing) merupakan suatu perkara yang saya idamkan. Tambahan lagi, saya akan memasarkan album ini di Indonesia selepas melancarkan single pertama Silly Little Thing pada 1 April ini di Jakarta.

“Selain dua band itu, saya turut berduet dengan Noh Hujan (Old Love),” katanya.

Dia turut menjangkakan album itu akan lebih diterima oleh pendengar berbanding album Sangkar kerana dia menyanyikan semula lagu Gelombang secara duet dengan ibunya, Salamiah selain memuatkan lagu Angel yang dipopularkan oleh filem Talentime.

Dalam perkembangan lain, Atilia juga sedang merancang untuk mengadakan Konsert Malam Nada Biru 3 dengan menampilkan penyanyi lelaki pada Jun depan.

Zed Beri Kaunseling Sampai Ammar Minta Maaf


SETELAH diberi kaunseling oleh aktor Zed Zaidi selaku Biro Seniman Muda, artis 'bermasalah' Ammar Alfian Azzi akhirnya akur dengan kesilapannya dan ingin menuntut maaf kepada wartawan hiburan.

Satu sesi untuk tujuan tersebut akan diadakan hari ini bertempat di Dewan Kelantan, PWTC jam 3 petang.

Ammar dikecam baru-baru ini kerana keberaniannya melemparkan kata-kata kesat dan ugutan bunuh kepada wartawan hiburan Malaysia di Facebook.

Rasa ketidakpuasan hati pelakon Tari Tirana itu diluahkan dalam laman sosial Facebook pada Jumaat, 5 Februari sekitar pukul 8 malam.

"Setelah dinasihati oleh saya dan beberapa sesi kaunseling susulan oleh team Seniman yang lain seperti Yusof Kelana dan Harun Salim Bachik, Ammar setuju untuk meminta maaf kepada wartawan khususnya wartawan hiburan.

"Ammar perlu berbuat demikian kalau dia ingin terus berada dalam industri ini," jelas Zed yang begitu serius meleraikan beberapa isu berhubung artis bermasalah kebelakangan ini.

Zed optimistik masalah-masalah yang berkaitan artis juga akan dapat ditangani tidak lama lagi. Antaranya isu Wardina berhubung 'artis tidak layak dijadikan ikon', isu Linda-Fahrin dan kes Nabil disaman.

"Saya perlu ambil tindakan pro aktif memandangkan masa pun dah berubah. Kalau dulu, artis buat aduan baru kita ambil tindakan. Sekarang tidak lagi, sebaik kita terbaca sesuatu masalah di akhbar, kita akan terus bertindak.

"Persatuan perlu menjaga kebajikan artis. Sebagai Biro Seniman Muda, saya anggap ini satu tanggungjawab besar dan satu peluang untuk membela dan memperjuangkan artis-artis Malaysia terutama artis muda yang bermasalah," jelasnya yang akan berangkat menunaikan umrah pada 16 Mac.

Bagi Zed, artis muda kena lebih rasional apabila berhadapan dengan situasi sukar.

"Saya peka dengan masalah artis muda terutama yang lahir dari program realiti TV. Memandangkan artis muda berlambak di luar sana, tentu saja ada isu yang timbul dari situasi begini," kata pelakon yang dilahirkan pada 1980, di Gombak Selangor.

Zed, yang nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil berkata, ramai dari artis-artis muda datang dari luar bandar.

"Kemungkinan mereka mengalami 'culture shock' dan tidak pandai menjawab soalan provokasi media.

"Sebab itu saya hendak adakan program khas seperti etika bersama wartawan supaya dapat beri pendedahan dan kesedaran ini. Artis muda juga perlu ditanamkan sikap suka berjimat supaya tidak susah di belakang hari."

Bagi Zed, pengalaman bergelar artis memang seronok, tapi banyak perkara yang perlu dikorbankan seperti privasi, masa, komitmen dan kita perlu ada ketahanan mental serta fizikal apabila dikritik.

Zed akui cabaran sebagai seorang artis terlalu besar dan walaupun jawatan yang disandangnya adalah secara sukarela tapi aktor kacak ini begitu komited.

"10 tahun bergelar artis banyak mendewasakan saya. Bila bergelar artis, berbuat baik pasti di sanjung bagai pemimpin politik tapi bila keburukan yang datang dibongkar, kita dihina. Inilah di namakan asam garam dunia artis," jelas pemuda yang diberi nama komersial Zed Zaidi oleh pengarah Zulkifli M.Osman.

Bagi Zed, segala rintangan dan cabaran dalam dunia artis perlu dihadapi dengan tenang.

"Cara yang paling senang untuk menghadapi semua ini adalah dengan mendiamkan diri, 'full stop'!.

"Nasihat saya, bertenang dan muhasabah diri apabila menghadapi dugaan dan cabaran dalam bidang ini. Ambil segala masalah ini sebagai satu peluang dan berfikirlah secara positif," kata Zed lagi.

Isu Nabil, Irma Ditangkap Khalwat Hanya Fitnah


SATU-PERSATU kontroversi yang menimpa pelakon komedi Ahmad Nabil Ahmad. Selepas isu disaman RM2 juta oleh syarikat filem SDAF Pictures, terbaru dia berhadapan dengan isu berkhalwat dengan kekasihnya, aktres Irma Hasmie.

Menurut laporan sebuah akhbar, Nabil dan Irma menafikan mereka berkhalwat selepas didakwa sering dilihat bersama di apartmen Irma di Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Ketika dihubungi mStar Online, Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Mohd. Hidayat Abd Rani turut mengakui tiada rekod khalwat membabitkan pasangan itu.

“Selepas saya memeriksa di Hotline, tiada rekod yang mengatakan kedua-dua pelakon itu telah ditangkap khalwat.

"Saya sendiri terkejut dan tidak mengetahui langsung mengenai perkara itu,” katanya ringkas ketika dihubungi semalam.

Pasangan yang bercinta sejak akhir 2008 itu turut menegaskan mereka tidak pernah duduk berdua-duaan di dalam rumah.

Apabila Nabil datang ke apartmen Irma, dia hanya berada di luar rumah kerana menghantar makanan atau membawa keluar teman wanitanya itu. Nabil berkata walaupun begitu, dia masih mengetahui batas-batas agama.

Lady Gaga Lebih Rela Mati Dari Tidak Berkasut Tinggi


PENYANYI Lady Gaga selalu tampil bergaya pada setiap penampilan. Gaga turut mengakui lebih baik dia mati daripada dilihat dirinya tidak memakai kasut tinggi.

"Lebih baik aku mati daripada peminat melihatku tidak memakai kasut tinggi," jelasnya, seperti dipetik Entertainmentfix.

Bagaimanapun, Kasut tinggi, bukanlah satu-satunya hal yang menjadi perkara wajib dalam penampilannya. Bagi Lady Gaga topi dan wig adalah perhiasan diri yang membuatkannya yakin kepada diri.

"Saya tidak akan menyerahkan topi dan rambut palsu milikku walau apa pun terjadi apapun," katanya.

Dari kacamata penyanyi Poker Face itu, selebriti yang tidak bergaya hanya menghancurkan industri hiburan. Dia juga menyarankan semua selebriti mengikut jejak langkahnya.

Hakim Lawat Lokasi Norman, Memey Didakwa Berkhalwat


Norman dan Memey ketika ditemubual wartawan di Mahkamah Syariah Gombak Timur semalam. - Foto oleh RAYMOND OOI

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam melawat pejabat pelakon Norman Hakim di Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, tempat pelakon itu didakwa berkhalwat dengan aktres Memey pada Oktober 2008.

Hakim Sallehan Yatim yang mendengar perbicaraan khalwat pasangan itu, tiba di pejabat itu pada 3.45 petang dengan diiringi Pegawai Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi, peguam syarie Mohd Fakhrul Abu Hassan, dan beberapa pegawai mahkamah.

Sallehan, diberi penerangan hampir 30 minit oleh mereka bagaimana pasangan itu ditangkap termasuk bagaimana kunci pintu jeriji dibuka mengguna pemotong dan juga melihat jarak pintu dengan jeriji ketika mengetuk pintu itu.

Lawatan itu bertujuan untuk mengetahui dengan lebih jelas keadaan lokasi yang dikatakan tempat pasangan itu ditemui berkhalwat.

Antara yang dilawatinya juga bilik kecil, tempat Norman dan Memey ditemui, dan beberapa bilik yang turut digeledah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ketika kejadian.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dengan Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 21, didakwa berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini pada 3 pagi, 30 Okt 2008.

Norman dibicarakan mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey didakwa mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen yang sama.

Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh Muhamad Nazri, saksi ketiga pendakwaan Pegawai Penguatkuasa JAIS, Nafarul Azian Che Nan, 34, menjelaskan beliau memberikan keterangan bercanggah sebelum ini kerana pada malam kejadian dirinya tidak cukup tidur.

Katanya disebabkan tidak cukup tidur itu, beliau tidak memberi tumpuan pada hari serbuan dan juga kerana mempunyai tugasan luar yang perlu disiapkan.

Semasa memberikan keterangan pada 5 Feb lepas, Nafarul Azian dikatakan memberi beberapa keterangan yang bercanggah semasa diperiksa oleh pihak pembelaan.

Dalam keterangannya hari ini, beliau berkata siasatan akan dilakukan sebaik saja menerima sebarang maklumat atau aduan berkaitan sesuatu kejadian khalwat.

"Setiap maklumat daripada mana-mana pengadu perlu disiasat mengikut syak. Kepastian hanya boleh didapati sebaik saja siasatan selesai dilakukan," katanya.

Kesilapan Besar Saya Sebab Pilih Ellie - Erma


Erma bersama trofi yang dimenanginya sewaktu Anugerah Skrin baru-baru ini.

BUKAN ingin membuka pekung tetapi sekadar meluahkan perasaan kesalnya atas tindakan seseorang yang sudah pun dianggap sebagai adiknya sendiri.

Pengarah dan penerbit teater Antara..., Erma Fatima memberitahu dia masih belum mampu untuk memaafkan kesilapan yang telah dipalitkan oleh Ellie Suriati kepadanya.

Semuanya tercetus gara-gara Ellie merasakan dirinya ibarat ‘kuda tunggangan’ Erma. Lantas, Ellie mengambil keputusan menarik diri sebagai pengarah teater itu.

"Apa yang berlalu sangat menyakitkan saya, saya pernah rasa perasaan macam ini masa filem Embun dahulu, terlalu banyak kontroversi yang terjadi. Dulu pun saya kena bertubi-tubi macam ini.

"Jika ditanya sama ada ingin memaafkan dia (Ellie). Buat masa ini memang tidak mungkin untuk saya maafkan dia, tapi tidak bermakna juga saya sudah tutup pintu kemaafan kepada dia. Cuma pengajarannya sekarang saya perlu lebih berhati-hati walaupun dengan orang yang saya kenal," katanya.

Menurut Erma, dia berdiam diri selama ini tidak bermakna dia bersetuju dengan tindakan Ellie, tetapi kerana tidak mahu membuka aib pelakon tersebut.

"Saya tidak cipta kontroversi dan tidak pernah menggunakan kontroversi untuk lariskan produk saya. Dia yang mulakan kontroversi ini dan saya tahu dia SMS kepada semua wartawan beritahu perkara ini.

"Saya tahu semua ini tapi saya tidak mahu buka mulut sebab tidak mahu panjangkan kontroversi ini sehingga teater tersebut berakhir," ujarnya yang tidak perlukan publisiti murahan untuk menaikkan teater itu sewaktu dipentaskan pada 26 hingga 28 Februari lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Kakak kepada aktres Umie Aida itu turut mengakui bahawa dia telah membuat kesilapan besar kerana memilih Ellie Suriati sebagai pengarah teater tersebut.

"Ya, ini kesilapan besar saya sebab memilih dia. Sebelum ini saya sudah tahu perangai dan emosi dia dalam rumah tangganya tapi saya tidak sangka dia bawa emosi itu dalam soal kerja," katanya.

Dalam pada itu, Erma memberitahu kenyataan Ellie yang menuduh naskah Antara sebagai terpesong daripada akidah adalah tidak berasas kerana perkara tersebut telah pun diulas oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) baru-baru ini.

"Saya tidak puas hati dengan salah satu kenyataan dia yang mengatakan bahawa dia tidak mahu terlibat dengan teater ini disebabkan naskah tersebut terpesong.

"Jika dia bijak dia faham dengan kenyataan daripada pihak JAKIM yang telah menjawab semua persoalan tentang teater ini," katanya ketika mengulas tentang kontroversi tersebut.

Ammar Mengaku Kurang Ajar, Mohon Maaf Kepada Media


Ammar ketika memohon maaf berhubung isu mengugut bunuh wartawan hiburan di PWTC, semalam. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNI

TERLAJAK perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Aktres ‘bermasalah’ Ammar Alfian Aziz akhirnya membuat pengakuan maaf secara terbuka di Bilik Kelantan, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Pelakon drama Tari Tirana itu memohon maaf berhubung ugutan bunuh wartawan hiburan di Facebook selepas lebih sebulan mendiamkan diri.

Beberapa hari selepas dia dihentam media, Ammar mengadu kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) melalui aktor Zed Zaidi selaku Biro Seniman Muda.

Dari situ, dia mendapatkan kaunseling dan seterusnya bersetuju untuk membuat pengakuan maaf secara terbuka dalam sebuah sidang media khas yang dianjurkan oleh Seniman.

Ditanya mengapa mengambil masa yang lama untuk memohon maaf, jejaka berusia 22 tahun itu berkata dia terpaksa berbuat demikian atas alasan tersendiri.

“Saya menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang serius. Jadi, apabila difikir semula yang saya perlu memohon maaf dengan ikhlas, sebab itu saya terpaksa mengambil masa yang lama.

“Lagipun, saya sibuk dengan penggambaran drama Atilia,” katanya dengan muka yang serba-salah.

Menjelaskan isu melemparkan kata-kata ugutan dan kesat serta berbaur lucah kepada wartawan hiburan di Facebook, Ammar mengaku waktu itu dia terlalu mengikut kata hati sehingga menjadikan laman web sosial itu sebagai tempat untuk meluahkan perasaan marah dan kecewanya.

Semuanya berlaku gara-gara artikel ‘Artis cemburu tak bertempat’ yang terang-terangan ditujukan kepadanya.

Walaupun ugutannya seolah-olah merujuk semua wartawan hiburan, namun dia sebenarnya hanya menujukan kata-kata itu kepada wartawan yang terlibat.

“Saya masih baru dan mentah. Sebelum ini orang mungkin hanya mengenali saya menerusi drama Tari Tirana. Setelah apa yang berlaku, saya berasa malu dan terus mengeluarkan kata-kata kesat kepada wartawan.

“Sepatutnya, wartawan itu perlu bertanya kepada saya sebelum mengeluarkan cerita. Apabila cerita itu keluar di Facebook, saya menyedari yang kawan-kawan saya juga terdiri daripada rakan-rakan wartawan.

“Saya faham yang saya telah membuatkan mereka tersinggung. Perkataan membunuh itu keluar disebabkan saya berasa marah dan fikiran saya bercelaru ketika itu. Bagi saya, orang gila sahaja yang nak buat semua itu (membunuh),” jelasnya.

Menyentuh tentang dakwaan yang mengatakan dia cemburu dengan kekasihnya, pelakon Puteri Sarah Liyana, lelaki yang berasal dari Johor Baru itu menafikannya.

“Saya tak pernah cemburu Sarah bergambar dengan Nabil malah saya hormat dengan kerjanya. Saya juga tidak pernah cemburu dan sakit hati dengan Nabil. Selepas perkara itu berlaku, saya masih menegur dan bergurau senda dengan Nabil.

“Sepatutnya saya tidak perlu berada di majlis itu. Tetapi apabila ibu Sarah mengajak saya turut serta, saya tidak boleh menolak lagi.

“Tambahan pula, saya hendak menemui Zed Zaidi di majlis yang sama,” ulasnya.

Ammar berkata kehadirannya ke situ semalam sekadar untuk berdamai dengan wartawan hiburan dan berjanji tidak akan kurang ajar lagi.

“Saya mengaku silap kerana ‘culture shock’ dan memang kurang ajar. Sepatutnya saya perlu lebih profesional. Jadi, saya ingin membuang yang keruh dan mengambil yang jernih.

“Dengan ini, saya menyusun 10 jari dan memohon maaf kepada semua wartawan hiburan dengan kata-kata kesat yang saya perkatakan.

“Saya harap, tiada sesiapa yang mempersoalkan keikhlasan saya lagi. Kalau tak ikhlas, saya tak akan tampil minta maaf di sini.

“Saya janji perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi. Saya masih hijau dan baru hendak belajar,” katanya lagi.

Disebalik kontroversi yang berlaku, Ammar turut berterima kasih kepada wartawan kerana telah memberikan publisiti kepadanya.

“Selepas apa yang berlaku, keesokannya saya mendapat tawaran berlakon drama bersiri Atilia dan telefilem Ceritera serta peragaan di dalam dan luar negara. Saya pun terkejut juga,” ujarnya sambil meluahkan perasaan lega.

Dalam sidang media itu, Ammar hadir ditemani Zed Zaidi, Presidennya, Harun Salim Bachik, Setiausaha Agungnya, Yusof Kelana, dan Biro Aduannya, Jehan Miskin.

Namun begitu, kekasih hatinya tidak kelihatan. Kata Ammar, Puteri Sarah sedang sibuk dengan penggambaran sebuah drama untuk TV3 di Port Dickson.

Shakira Gembira Hidup Seperti Gipsi


PENYANYI popular, Shakira mengakui dia tidak boleh menyesuaikan dirinya hanya di satu tempat walaupun melibatkan komitmen kerjanya sehingga keseluruh dunia.

"Lihat kehidupan saya sekarang, tidak ubah seperti orang nomad. Semenjak saya jadi terkenal, saya sentiasa berjalan. Antara perkara yang saya gemari apabila melancong adalah dapat mengenali budaya dan tradisi masyarakat yang berbeza. Tetapi saya rasa seperti seorang gipsi.

Shakira juga turut bertanyakan kepada juara tenis Rafael Nadal sama ada dia berminat untuk membintangi video muzik terbarunya "Gypsy".
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails