Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Maya kagumi Remy


Aktres simpan hasrat berduet satu album dengan Lelaki Melayu Terakhir

RISIKO berlakon bersama yang sering dilalui pelakon terutama sebagai watak hero dan heroin ialah kemungkinan untuk terjebak dalam cinta lokasi. Atau pendeknya ‘cinlok’. Benar atau tidak, kepastiannya hanya yang empunya diri saja tahu setiap inci kebenarannya. Sedangkan orang luar bebas meletakkan persepsi dan menjatuhkan hukuman terhadap itu dan ini.

Gandingan serasi yang dilabel perkara sama ialah dua nama besar yang sedang pantas mencipta kredibiliti tersendiri di arena seni iaitu Maya Karin dan Remy Ishak. Ia kononnya dihidu sewaktu mereka buat pertama kali digandingkan dalam teater Natrah arahan Erma Fatima hujung tahun lalu yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya. Teater yang mendapat sambutan hebat termasuk dihimpit kontroversi itu sedikit sebanyak memberi tempias kepada sisi hubungan baik Maya dan Remy. Keakraban jelas tidak boleh diselindungi lagi. Kronologi seterusnya, Remy juga menyertai syarikat pengurusan Satu Entertainment yang disertai Maya.

Ironinya, sebelum Natrah, mereka pernah berlakon sama dalam filem Anak Halal arahan Osman Ali beberapa tahun dulu. Namun tiada watak intim atau romantik membabitkan mereka. Sejurus selesai memberi komitmen terhadap teater terbabit, mereka sekali lagi dipertemukan pengarah yang sama menerusi filem Cun yang dijangka tayangannya pada tahun depan.

Sejak 25 November lalu hingga 5 Disember depan, jodoh kembali menyatukan mereka bagi pementasan Natrah untuk musim kedua. Ia dipentaskan di lokasi sama.
‘Cinta lokasi’ antara mereka menerusi Natrah 2 bertaut semula atas paksi sebuah persembahan teater. Cinta di alam realiti bagaimana pula? Klise bunyinya. Masing-masing sudah pun berkali-kali menafikannya.
“Sepatutnya ada satu filem yang menyatukan kami lagi. Bagaimanapun, ia masih bergantung sampai sekarang. Lalu, jalan terbaik, masing-masing meneruskan projek lain yang ditawarkan,” kata Maya yang menekankan dirinya masih belum bertemu pengganti ketika B*POP bertemunya di Istana Budaya ketika sesi fotografi bersama Remy.

Keserasian antara mereka memang tiada syak lagi. Buktinya, jelas kelihatan ketika fotografi ini dijalankan. Masing-masing tidak kekok berpandangan sesama sendiri sekali gus memberi mood yang diingini B*POP. Sekali pandang, macam pasangan kekasih. Kata duta L’oreal itu, keserasian dan ion positif yang pernah mengalir sebelum ini dipanjangkan lagi buat kesekian kalinya demi tuntutan watak teater Natrah 2.

“Soal keserasian itu bukan sesuatu yang dibuat-buat. Adakalanya ia sukar untuk dijelaskan dengan perkataan. Bayangkan sepanjang tempoh berlatih, kami perlu meletakkan tembok atau jurang ke tepi demi memberi kelancaran terhadap watak yang dipegang. Dalam teater ini, babak saya memang banyak dengan Remy dan Umie Aida.

“Dulu masa Natrah musim pertama, kami memang rapat. Selesai Natrah dan Cun, kami seperti membawa haluan masing-masing. Bayangkan sebelum bersambung untuk Natrah kali ini, ada masanya kami tak jumpa langsung dalam dua tiga bulan. Sekarang, hampir setiap hari bersua. Bila putus hubungan, nak tanyakan sudah makan atau minum pun tak sempat.

“Tapi sekalipun sudah lama tak bersua, persahabatan kami masih mekar. Apabila dapat bertemu kembali masih tetap OK.... malah ada orang yang hari-hari jumpa pun masih janggal saat bersua. Remy boleh dikatakan antara hero pujaan saya dan saya selesa berlakon dengannya,” kata Maya sambil memberitahu dia juga pantas mencipta keserasian dengan Rusdi Ramli dan Aaron Aaziz (gandingannya dalam filem Ombak Rindu).

Perbualan dengan Maya pagi itu turut menyelami persepsinya terhadap jejaka kegilaan ramai itu yang pernah diberi jolokan sebagai Lelaki Malaya Terakhir oleh Erma Fatima sendiri. Sambil berseloroh, Maya juga tidak menolak peluang andai suatu hari nanti, dia dan Remy berduet dalam lagu pula. Umum pastinya tahu, bakat Remy sebagai penyanyi turut mendapat pujian komposer popular.

“Kalau ada ruang sebegitu, kenapa tidak kami mencubanya. Kena pada lagu yang sedap, siapa tahu kolaborasi kami boleh menarik perhatian ramai. Sebagai rakan seperjuangan, saya sendiri yakin dengan bakat Remy. Bakatnya luar biasa dan perjalanan seninya masih jauh. Dia juga mampu terbang tinggi jika kena pada gayanya. Ada lagi aspek yang boleh ditonjolkannya.

“Mengenalinya secara peribadi, dia boleh saya katakan seorang yang rumit. Kadang-kadang terlebih serius dalam bekerja. Kadang-kadang terlalu tekun bekerja hingga mengabaikan soal makan, minum, persekitaran dan kawan. Sampai angkat telefon pun susah jadinya. Tetapi secara keseluruhannya, dia seorang lelaki jujur lagi baik,” kata Maya yang kembali mewarnakan rambutnya dengan warna coklat keperangan.

'Terima jika Maya jodoh saya'

BERALIH cerita kepada Remy, berbanding Maya yang sudah hampir sedekad meneruskan legasi seninya, Remy pula bakal menginjak tahun kelima pembabitan seninya menjelang tahun depan. Sepanjang tempoh pembabitan seni mereka, masing-masing juga pernah mencipta nama menerusi pengiktirafan menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Adat bergelar selebriti, kebiasaannya sering menjadi tumpuan diserang gosip dan kontroversi. Remy sendiri akui, dia semakin cuba membiasakan diri dengan elemen itu kerana semuanya terjadi tanpa diundang. Begitu juga gosipnya dikatakan bercinta, tidak langsung menjadi ancaman atau penghalang baginya meneruskan kerjaya termasuk melunaskan komitmen teater Natrah 2.

“Sejujurnya, Remy tidak terlalu memikirkan gosip. Tak ambil berat sangat hal sebegitu. Soal itu diletak ke tepi. Sebab jika terlalu difikirkan, ia pada akhirnya berkesudahan dengan memberi masalah pada diri sendiri. Remy lebih senang mengekalkan situasi bekerja dan profesional. Apa yang penting, keserasian antara Maya semakin baik di dalam teater Natrah.

“Banyak cara boleh kita lakukan untuk memastikan keserasian itu berada di posisinya. Di luar bidang kerjaya, kami masih mencuri peluang untuk berjumpa dan lepak bersama. Itupun kalau masing-masing tak sibuk. Remy memang tak nafikan baik dengan Maya. Ukhuwah itu berjalan lancar. Rapat itu juga tidak semestinya kami bercinta.

“Tapi bab cinta atau jodoh dengan Maya atau sekalipun dengan mana-mana wanita lain, bukan kuasa Remy untuk menentukan. Kalau ditakdirkan suatu hari nanti bertemu jodoh dengan Maya, Remy terima ketentuan-Nya. Yang jelas, keserasian yang terjalin antara pelakon menjadi nilai tambah atau tarikan untuk penggiat seni ‘mengambil kesempatan’ memberi tawaran berlakon,” kata duta jenama Dashing itu.

Ditanya lanjut mengenai Maya, dia yang bakal ke set penggambaran filem Bara Jiwa (asalnya judul Akuarium Cinta) arahan Osman Ali mulai 12 Disember ini berkata, Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 itu cukup sempurna sebagai wanita dambaan lelaki. Kata Remy lagi, wanita bermata cantik itu mempunyai kriteria yang dicari ramai lelaki di luar sana.

“Bukan saja luaran, peribadi (dalaman) dia juga sangat baik. Apa yang boleh saya katakan lagi, dia mempunyai sedikit sifat keanak-anakan. Bukan di tahap gedik atau menggelitis tetapi boleh dianggap manis. Ia tak dibuat-buat. Susah sebenarnya Remy nak terangkan. Ia terjadi secara spontan malah tidak disedari langsung empunya badan,” katanya yang turut menantikan tayangan filem Nur Kasih.

Kebelakangan ini, nama Remy juga mula dilabel sebagai seorang playboy. Selepas dikaitkan dengan Ummi Nazeera dan Maya Karin, nama teman seperjuangannya, Tiz Zaqyah pula mula dikaitkan dengannya. Gelaran itu tidak langsung membuatkan Remy melenting, sebaliknya dia tidak melayan sangat tuduhan negatif itu. Akui Remy, dia bebas berkawan dengan sesiapa dan itu tidak bererti dirinya dengan mudah dikelaskan sebagai playboy.

“Buat masa ini, Remy selesa berkawan dengan Maya, hal sama juga jadinya dengan Tiz. Bagi Remy... itu perkara biasa, jika hubungan baik di set penggambaran dipanjangkan ke alam realiti. Tak kiralah pelakon lelaki atau perempuan, Remy tak nafikan hubungan itu secara automatik terbawa-bawa hingga ke luar set penggambaran. Tak bermakna bila habis penggambaran bererti hubungan dengan pelakon yang terbabit turut berakhir.

“Tapi biasalah, dalam dunia hiburan ini, yang sering menjadi perhatian dan cakap-cakap orang, apabila ia membabitkan hubungan dengan artis perempuan. Ia berpanjangan menjadi gosip yang ada kalanya membebankan kepala otak. Ikutkan, Remy rapat juga dengan pelakon seperti Bront Palarae, Farid Kamil, Ady Putra dan pelakon drama Arjuna. Tapi biasalah kalau dengan artis lelaki ia tidak diperbesarkan,” ungkapnya.

Menarik Maya Karin

• Pandangannya terhadap skeptikal kepada seseorang bergelar janda, Maya akui menerusi pengamatan dan pemerhatian, dia tidak terlalu tertekan mengenai status dirinya. Ia dilalui dengan hati terbuka dan menganggapnya seperti penukaran fasa hidup yang terpaksa ditelan.

• Mengenai Natrah 2, Maya semakin merasai emosi yang pernah ditanggung watak Natrah. Roh Natrah seakan sudah menyerap ke dalam dirinya. Pementasan kali ini membuatkan Maya lebih mendalami wataknya.

• Dalam perkembangan lain, Maya juga teruja menantikan kehadiran album ketiganya yang kini sudah 80 peratus siap. Berkonsepkan pop progresif, pembikinan album itu bermula sejak dua tahun setengah yang lalu. Kali terakhir Maya muncul dengan album ialah pada 2003. Lapan lagu sudah siap dan dijangka 10 lagu bakal dimuatkan dalam album terbarunya. Antara komposer yang terbabit ialah Audi Mok, Azlan & The Typewriter dan Omar K.

• Selepas mengacarakan Nona, Maya kini difahamkan sedang menunggu lampu hijau untuk mengacarakan program berkaitan Alam Sekitar. Bagaimanapun semuanya masih dalam peringkat perancangan.

Menarik mengenai Remy Ishak

• Remy akui sebenarnya sukar menjadi pelakon. Baginya, tugas sebagai pelakon ialah menjual jiwa dan perasaan demi melahirkan mood terbaik seperti yang diingini pengarah untuk dikongsi dengan penonton.

• Sebagai manusia biasa, Remy tidak mampu menghalang pandangan sesetengah orang yang pantas melabelkan dia bercinta dengan si polan itu atau ini biarpun ia tak lebih sekadar berkawan.

• Dalam Natrah 2, Remy membawakan watak sebagai Mansor Adabi

• Akui Remy, tidak banyak perubahan dilakukan dalam pementasan teater Natrah 2. Perkembangan watak sama saja seperti terdahulu, cuma pengisian dalaman terhadap watak boleh dicantikkan lagi. Pengalaman lalu banyak mengajarnya.


•Tiket menyaksikan Natrah 2 boleh dibeli pada harga RM30, RM50, RM70, RM100 atau RM150. Untuk pertanyaan, hubungi box-office (03-40265558) atau layari www.ticket2u.biz atau www.istanabudaya.gov.my.

Info Maya Karin

NAMA PENUH: Maya Karin Roelcke
TARIKH LAHIR: 29 Oktober 1979
TEMPAT LAHIR: Bayreuth, Jerman
KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik
PENGACARA: Wavelength, Ratu Sehari, Channel [V], Beauty Secret From The East dan Nona

Info Remy Ishak

NAMA PENUH: Mohammad Zalimei Ishak
TARIKH LAHIR: 11 April 1982
TEMPAT LAHIR: Negeri Sembilan
HOBI: Mengembara dan seni fotografi

Diana takut rancang soal kahwin


SELAGI bernama manusia, pasti setiap hati berdetik untuk menamatkan zaman bujang dan merancang detik-detik sejarah itu dengan baik agar semuanya berjalan dengan lancar. Bagaimanapun buat gadis manis bernama Diana Danielle, dia takut untuk merancang soal perkahwinan dirinya.

Diana yang ditemui ketika sambutan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-19 di Musa Fashion & Dine, Avenue K, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu bahawa dia tidak pernah pun menetapkan tarikh hari bahagianya.

Jelas pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson itu, dia tidak mahu merancang kerana tidak mahu terlepas cakap. Ada kegusaran dalam hatinya memikirkan sesuatu yang masih lagi jauh dalam perancangan hidup yang dilaluinya kini.

“Banyak perkara yang berlaku sebelum ini membuatkan saya lebih berhati hati.

“Mungkin saya akan kahwin esok, siapa tahu? Tetapi saya memang tidak ada perancangan untuk berkahwin Januari seperti yang dicakapkan umum. Kerana semua perkara ini melibatkan jodoh,” kata pelakon yang pernah dikhabarkan kelihatan keluar bersama pelakon dan pengarah, Farid Kamil. Bukan hanya kelihatan berdua, mereka juga dikatakan intim dan dilihat seperti merpati dua sejoli.

Pelakon dan penyanyi yang baru menghabiskan program persediaannya dalam jurusan Biosains di Universiti Nottingham, Semenyih, Selangor berkata, dia bimbang jika terlalu awal membuat perancangan kerana tidak tahu apa apa yang bakal terjadi kelak.

“Saya paling takut buat perancangan. Tidak pernah meletakkan sasaran tentang kahwin,” luah pelakon utama filem Magika ini. Mungkin juga faktor usia membuatkan dia masih lagi berjauhan dengan perancangan tersebut.

Dalam majlis yang diadakan sehari sebelum tarikh lahirnya pada 22 November 1991, 100 peminat daripada laman peminat Diana di Facebook telah dipilih bersama-sama menyambut hari kelahirannya.

Tambah Diana lagi, dia terkejut dan terharu kerana terdapat peminatnya dari Singapura, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang sanggup hadir pada malam tersebut.

“Pada mulanya saya ingat yang datang hanyalah dari kawasan sekitar Kuala Lumpur sahaja tetapi ada yang datang dari jauh rupanya.

“Mereka buat saya terkejut dan sangat gembira kerana dapat meraikan hari lahir saya,” senyumnya.

Jelas Diana lagi, majlis itu telah dirancang kira-kira dua minggu sebelum ia berlangsung.

“Semuanya diuruskan oleh peminat. Pemilihan mereka dibuat berdasarkan kuiz slogan yang diadakan di Fan Page Facebook saya.

“Sebenarnya saya rasa lebih bermakna kerana dapat memberi peluang kepada peminat untuk menyambut hari lahir saya,” katanya.

Jujurnya, sebelum ini, dia kurang gemar untuk menyambut hari jadinya.

“Tetapi acara hari ini membuatkan saya berasa untuk mengadakan majlis seperti ini sekali lagi,” luahnya penuh kegembiraan.

Dalam waktu yang sama, Diana sempat meluahkan hasrat untuk memasuki kelas lakonan kerana merasakan mutu lakonannya masih kurang baik.

“Memandangkan pada tahun hadapan saya bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, saya merancang untuk mengikuti kelas lakonan ketika cuti semester,” ujarnya.

Rahsia kebahagiaan Lisdawati, Fauzi


KISAH keretakan rumah tangga atau penceraian di kalangan artis sudah menjadi lumrah dalam industri hiburan tempatan. Lebih buruk lagi, terdapat juga artis yang berpisah dengan pasangan meskipun usia perkahwinan boleh dikatakan masih baru lagi.

Bagaimanapun, bagi pasangan Fauzi Nawawi dan Lisdawati, situasi yang berlaku itu nyata tidak pernah menghantui kehidupan mereka sebagai pasangan suami isteri yang menjalani kehidupan bahagia di samping dua orang cahaya mata.

Biarpun ada beberapa gosip pernah melanda pasangan berkenaan sebelum ini, namun ia langsung tidak menjejaskan keutuhan rumah tangga yang telah dibina atas dasar cinta sejak tiga tahun yang lalu.

Menurut Lisdawati, dalam menjalani kehidupan berumah tangga, setiap pasangan perlu bijak dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan tidak memperbesarkan sesuatu hal yang remeh.

“Mustahil kalau tidak berlaku perselisihan faham dalam kehidupan berumah tangga. Sekiranya timbul sebarang masalah, saya dan suami biasanya akan duduk berbincang dan selesaikannya dengan sebaik mungkin.

“Pada kami, itu adalah langkah yang terbaik daripada terus menyalahkan diri masing-masing. Selain itu, kami juga tidak sesekali memperbesarkan perkara remeh yang boleh menjadi perselisihan yang lebih besar,” ujarnya.

Sepanjang berkahwin selama tiga tahun sejak 2007, Lisdawati dan Fauzi telah dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Nur Aini Farhana dan Nur Aina Faznesya yang masing-masing berusia dua tahun dan setahun.

Ujarnya lagi, apa yang paling penting dalam melayari kehidupan berumah tangga adalah mengamalkan sikap bertolak ansur. Malah, dia sangat bersyukur kerana Fauzi bukan jenis suami yang terlalu mengongkong memandangkan kerjaya masing-masing sebagai pelakon.

“Fauzi seorang ayah yang cukup tegas terhadap anak-anak kerana tidak mahu mereka menjadi terlalu manja. Namun, dia sebenarnya seorang lelaki yang sangat penyayang dan kelakar,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, Lisdawati juga turut menasihati pasangan artis yang baru berkahwin supaya menanamkan sifat kepercayaan terhadap pasangan masing-masing dan tidak terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan.

Rumah Baru

Melalui hasil titik peluh mereka selama ini dalam bidang lakonan, kini hasrat untuk memiliki dan menetap di rumah sendiri akhirnya tercapai setelah berhasil membeli sebuah rumah yang terletak di Sunway Cheras.

Menurut Lisdawati, dia dan suami sebenarnya sudah merancang untuk membeli rumah ketika mula-mula berkahwin dahulu. Kemudian mereka membuat simpanan selama tiga tahun sebelum berhasil memiliki rumah yang dikatakan berharga RM500,000.

“Mula-mula kami mahu menyewa rumah sahaja, tetapi bila difikirkan semula adalah lebih baik wang sewaan itu dikumpulkan untuk membeli rumah sendiri. Lalu kami ambil keputusan untuk menetap sahaja di rumah ibu saya di samping membuat simpanan.

“Pada masa yang sama, kami telah membuat tinjauan di beberapa buah kawasan perumahan seperti di Ampang dan Setapak. Namun akhirnya kami bersetuju untuk membeli rumah di sini,” ujarnya.

Tambah Lisdawati lagi, mereka sepakat untuk membeli rumah berkenaan berdasarkan kepada kawasannya yang agak strategik serta mahukan sebuah tempat yang tenang dan jauh daripada hiruk-pikuk kesibukan kota.

Mengenai majlis yang dianjurkan pada Hari Raya Aidiladha baru-baru, Lisdawati menjelaskan ia adalah sebuah majlis kenduri kesyukuran sempena menetap di rumah baru.

Biarpun sudah empat bulan mereka menetap di situ, namun disebabkan kesibukan, mereka tidak sempat untuk membuat sebarang kenduri sebelum ini.

“Pada sebelah petang selepas solat Asar, suami menjemput jemaah surau di situ untuk majlis kenduri kesyukuran. Pada malamnya pula diadakan acara berzanji dan majlis potong jambul anak-anak kami,” ujarnya.

Saham tinggi Shahz Jaszle


USIANYA baru menjangkau 23 tahun tetapi gaya pertuturannya lebih matang daripada usia sebenar. Itu pandangan pertama saat bertemu dengan aktor Shahz Jaszle atau mesra disapa sebagai Shahz, satu nama yang semakin ranum dan harum dalam dunia seni.

Sungguh namanya semakin mekar di hati peminat drama tempatan, namun dia tidak terkecuali menjadi mangsa kontroversi dunia siber. Gara-gara meletakkan gambarnya yang dirakam bersama aktres jelita Maria Farida sebagai gambar utama di laman sosial Facebook miliknya, Shahz dikatakan mempunyai hubungan istimewa dengan janda berusia 40 tahun itu.

Meskipun tersentak sebentar dengan kontroversi tersebut, Shahz percaya setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya dan ternyata terdapat arus positif sebalik kontroversi tersebut.

Bukan sahaja namanya semakin popular dan dikenali ramai, malah dek kontroversi tersebut kehadirannya dalam dunia seni semakin dirasai, malah tawaran lakonan juga mulai semakin lebat.

"Hanya kerana sekeping gambar yang saya letak sebagai gambar profil di BlackBerry Messenger (BBM) umum kecoh dan beri persepsi yang bukan-bukan. Walaupun gambar itu hanyalah satu gambar yang biasa, orang mula kecoh mungkin kerana usianya, sedangkan sebelum itu sudah banyak kali saya letak gambar saya bersama teman artis wanita yang lain tidak pula menjadi isu.

"Sebenarnya ketika itu saya tidak sedar apa yang berlaku sehingga seorang teman saya beritahu yang gambar saya yang dirakam bersama Maria Farida bersepah di laman Internet. Saya terkejut kerana tidak sangka gambar sedemikian pun boleh jadi satu isu dan lama kelamaan saya rasa ia satu hal yang lucu kerana kami hanyalah teman artis bukannya ada sebarang hubungan istimewa,"tuturnya ketika ditemui pada sesi fotografi sempena Pertandingan Kek Coklat di Hotel Crowne Plaza Mutiara, baru-baru ini.

Aktres jelita yang turut terlibat dalam drama lakonan Shahz iaitu Asmara, turut terkejut apabila kontroversi gambar itu semakin besar.

"Saya ada hubungi dia beritahu hal gambar itu dan dia pun terkejut apabila ia menjadi satu isu. Jalan yang terbaik ialah jangan beri sebarang komen, jika tidak hal yang kecil semakin diperbesarkan," luahnya yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Tidak tertekan dengan kontroversi gambar itu atau mengambil pusing mengenai kata-kata berbaur negatif kepadanya, Shahz menjelaskan selepas apa yang berlaku baru dia sedar dan tahu asam garam bergelar artis.

"Saya tidak rasa apa cuma banyak belajar cara-cara untuk mengelakkan sesuatu kontroversi daripada berlaku. Saya harus berjaga-jaga dengan setiap apa yang saya lakukan, ke mana kaki saya melangkah. Satu kesilapan sahaja, orang akan mula menjadikan ia satu isu besar.

"Sejak itu, setiap gambar yang ingin saya letak di laman Facebook atau di mana-mana laman sosial, saya akan fikir dua, tiga kali. Teman-teman saya juga menasihati saya supaya jangan meletakkan gambar yang bukan-bukan takut hal yang sama akan berulang,"kata anak kelima daripada tujuh adik-beradik itu lagi.

Sungguhpun begitu, Shahz atau nama sebenarnya Shahrizal Jaszle Jasmin tidak menafikan yang dia lebih mudah tertarik kepada wanita yang lebih usia daripanya, malah akuinya dia kini telah bercinta hampir setahun dengan kekasihnya yang juga lebih tua daripadanya.

"Sebelum bercinta dengan kekasih saya sekarang, bekas kekasih saya juga lebih tua daripada saya. Bagi saya, bercinta dengan orang yang lebih tua lagi seronok sebab mereka lebih matang dan berfikiran luas.

"Saya jatuh cinta dengan orang yang lebih tua kerana personaliti dan cara dia membawa diri. Wanita yang lebih usianya tahu bagaimana mahu selesaikan sesuatu masalah kerana mereka berfikiran jauh serta senang diajak berbincang.

"Pengalaman bercinta dengan kekasih yang lebih muda lebih susah, sebab pada usia begitu, mereka baru nak belajar pelbagai perkara dan adakalanya mereka sukar dan tidak faham situasi. Saya tidak kata semua wanita yang muda begitu, kerana ada juga yang berfikiran matang, apa yang saya ceritakan hanyalah daripada pengalaman saya sendiri," balasnya yang tidak kisah andai jodohnya tiba awal.

Chef ke aktor

Ramai yang tidak sedar, Shahz telah berkecimpung dalam dunia seni sejak tahun 2006 iaitu pada usia 19 tahun. Bermula dengan program Naratif Remaja terbitan RTM sehinggalah drama bersiri Tari Tirana yang benar-benar melonjakkan namanya, Shahz telah melalui pelbagai cabaran sebelum namanya dikenali.

Cita-cita asalnya adalah untuk bergelar seorang Chef. Malah Shahz berpeluang mengambil sijil kursus hotel dan katering di Kolej Komuniti, Selangor, sebelum terjun ke dunia lakonan.

"Tidak pernah terlintas untuk jadi pelakon sebelum ini. Mulanya saya hanya menemani seorang teman untuk sesi uji bakat program Naratif Remaja. Krew produksi meminta saya cuba sekali, kemudian saya terpilih. Jadi, sejak itu saya mula terlibat dengan dunia lakonan dan dalam masa yang sama mendapat tawaran peragaan.

"Sambil saya belajar, berlakon sikit-sikit, saya juga pernah kerja sebagai pelayan di restoran TGI Friday. Selepas mendapat tawaran berlakon drama Luna Fantasiku, baru kerjaya lakonan saya semakin stabil dan mendapat tawaran drama Tari Tirana," katanya yang turut berlakon dalam drama Bionik.

Andai kata, dia tidak bergelar seorang pelakon pada hari ini, jelas Shahz berkemungkinan besar dia telah bergelar seorang chef. Namun, dia bersyukur rezeki seninya memberinya satu petanda yang dia harus kekal sebagai pelakon.

Bagaimanapun terdapat harga yang harus dibayarnya, privasi dirinya semakin hilang. Ke mana sahaja dia pergi, pasti diperhatikan. Malah, masa remajanya juga dihabiskan dengan bekerja keras.

"Bila saya mula meraih pendapatan sendiri menerusi lakonan, privasi saya hilang. Kewujudan saya dalam masyarakat disedari tetapi pandangan mereka tidak sama seperti dulu. Jika dulu saya bebas ke mana-mana tanpa ada orang hiraukan saya tetapi sekarang sedikit berbeza.

"Masa bersama teman-teman juga semakin kurang, saya sudah jarang keluar dengan mereka. Waktu kerja tidak menentu, tiada istilah cuti dalam kamus kerja saya hari ini. Waktu tidur memang lari, jadi saya akan tidur jika terdapat waktu terluang. Sebagai orang baru, saya berpijak di bumi yang nyata, rezeki saya hari ini tidak datang bergolek tanpa usaha keras dan restu kedua ibu bapa saya kerana mereka sering berpesan setinggi mana kejayaan saya, jangan lupa asal usul," ucapnya yang meminati lakonan Fauziah Ahmad Daud, Datuk Rahim Razali dan Fauziah Nawi.

Hasrat berlakon ditentang ayah

Penglibatannya dalam dunia seni mencambahkan minatnya dalam bidang pembikinan drama dan filem. Mahu terus kekal dalam dunia seni, Shahz telah membuat perancangan untuk menambahkan ilmu di dada dan bergelar seorang pengarah satu hari nanti walaupun pada peringkat awal keluarga terutama ayahnya menentang keras hasratnya bergelar seorang pelakon.

"Saya mahu buktikan kepada ayah saya yang keputusan memilih bidang seni sebagai rezeki tidak salah. Saya boleh lakukannya dan akan menjadi seseorang yang mempunyai nama serta ilmu. Jadi, saya akan cuba yang terbaik kerana keluarga saya beranggapan bidang seni tiada masa depan.

"Tetapi selepas melihat rezeki yang datang, mereka memberi sokongan. Apa yang harus saya lakukan adalah menimba sebanyak ilmu yang boleh dan saya merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang perfileman sama ada di Indonesia atau di Australia," ujarnya penuh semangat.

Meminati filem aksi dan berharap akan terlibat dalam sebuah filem sedemikian, Shahz dilihat membina profil kerjayanya dengan baik. Tidak menerima banyak tawaran sekali gus dan pernah menolak tawaran yang dirasakan tidak sesuai, Shahz menegaskan dia bukanlah seorang aktor yang menerima apa sahaja tawaran yang datang.

"Saya tidak mahu profil yang saya bina jatuh kerana saya berlakon dalam sebuah drama atau filem yang tidak sesuai dengan saya. Sebagai aktor saya tahu had diri saya sendiri. Jika watak itu terlalu berat dan tidak mampu saya bawa, saya akan tolak tawaran tersebut, begitu juga jika watak yang diberikan memang tidak kena langsung dengan saya.

"Perkara pertama yang akan teliti adalah jalan cerita apabila dapat skrip, kalau ceritanya bagus, memang saya akan buat. Saya bukan demand tetapi penapisan itu perlu untuk profil kerjaya. Sebenarnya saya langsung tidak menyangka akan diberi watak utama dalam beberapa buah drama, jadi tugas saya adalah menjaga kualiti lakonan dan belajar," balasnya yang banyak menerima nasihat daripada pelakon senior.

Penat bukan untuk Chef Wan


SEORANG yang ramah dengan khalayak dan tidak sombong walau bergelar Datuk. Mempunyai budaya kerja yang pantas dan profesional, Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan adalah seorang manusia yang tidak kenal erti letih.

Baru pulang dari London sempena 'World Travel Month' , Chef Wan yang merupakan duta Ikon MAS Travel telah mempunyai jadual yang tersusun rapi sehingga bulan April tahun hadapan.

Berkesempatan bertemu Chef Wan ketika sesi penggambaran program Wan Malaysia di Pulau Pinang, Kosmo! sempat menanyakan perkembangan dan program yang sedang dihoskannya.

Program masakan berbentuk travelog tersebut akan membawa penonton menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia dan melihat keunikan lokasi pelancongan serta mempelajari seni kulinari dari dapur homestay ala kampung hingga ke hotel terkemuka.

Chef Wan telah melalui pengalaman selama 27 tahun sebagai chef selebriti dan telah merantau ke seluruh dunia selama lebih 25 tahun. Menyifatkan dirinya seorang yang bersifat antarabangsa, dia juga sempat melihat cara orang luar bekerja.

“Saya menyedari bahawa Malaysia mempunyai budaya yang indah dan majmuk tetapi kurang diketengahkan di mata dunia. Malaysia juga mempunyai pelbagai makanan seperti Melayu, India, Cina dan lain-lain.

“Bersesuaian dengan tema 1Malaysia dan nama Wan sendiri, program Wan Malaysia akan memperkenalkan keindahan Malaysia,” ujar Chef Wan.

Tambahnya, dia kini cenderung bekerja kerana kecintaan terhadap bidang yang diceburi dan bukan lagi faktor harta dan wang ringgit.

“Saya berharap dapat menjadi inspirasi kepada anak-anak muda untuk mencapai cita-cita. Percaya kepada diri sendiri untuk mencapai cita-cita. Jika Chef Wan boleh lakukan kenapa mereka tidak?

“Selain itu, saya mahu program Wan Malaysia ini menjadi cerminan kepada Malaysia yang kaya dengan budaya pelbagai bangsa,” tambah Chef Wan yang akan menyambut hari lahir yang ke-53 pada 6 Januari depan.

Menggunakan tagline 'Menikmati Malaysia, Menjamu Selera Asean', program ini bertujuan memberi pendidikan mengenai sejarah dan budaya di samping memperkenalkan hospitaliti Malaysia melalui program homestay, mengetengahkan semangat setia kawan dan membuatkan generasi muda lebih memahami budaya.

Wan Malaysia mempunyai tiga segmen dengan segmen pertama, Chef Wan akan melawat lokasi pelancongan terpilih serta mempromosi tempat tersebut. Ketika mengikuti penggambaran yang dijalankan di Pulau Pinang pada 16 November lalu, Chef Wan telah memperkenalkan Tropical Spice Garden dan Penang Batik Factory.

Segmen kedua, Chef Wan membawa penonton menikmati hospitaliti melalui program homestay terpilih sekitar Malaysia. Di Pulau Pinang, homestay Pulau Betong beruntung menjadi pilihan.

Tambahnya, semua aktiviti tradisional yang dilakukan di homestay seperti menganyam ketupat, membuat kerepek danmenenun songket serta beberapa aktiviti yang dapat menarik perhatian pelancong luar untuk lebih mengenali Malaysia

Bagi memberi pilihan dan kelainan buat penonton, segmen ketiga turut memperkenal hotel-hotel bertaraf lima atau enam bintang sebagai lokasi demonstrasi masakan. Di Pulau Pinang, lokasi pilihan ialah di Hotel Shangri-la's Rasa Sayang. Juadah yang menjadi menu pilihan untuk demonstrasi masakan akan dapat dinikmati oleh pengunjung hotel tersebut.

Ketika ditanya pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang pengambaran Wan Malaysia, Chef Wan berkata, hospitaliti yang ada pada masyarakat Malaysia ialah memori paling manis.

“Walaupun mereka hidup susah dan serba kekurangan tetapi mereka mempunyai hati yang besar dan penuh dengan kasih sayang. Mereka sudi berkongsi dan itu yang menyentuh perasaan.

“Walaupun hanya disaji nasi dan sambal, saya akan terima,” katanya yang kelihatan sayu dan terharu dengan sambutan penduduk kampung yang menyambutnya ketika membuat pengambaran di homestay.

Selepas tamat penggambaran Wan Malaysia yang akan ditayangkan di saluran 105, Astro Prima bermula 30 November ini, Chef Wan akan muncul pertama kali di program bual bicara 'Chef Wan'. Bersiaran selama satu jam, rancangan ini bakal menjadi platform Chef Wan berbicara mengenai pengalamannya yang luas sebagai chef selebriti.

Chef Wan juga akan memulakan rakaman musim kedua ‘Best Wan’, program yang mendapat rating tertinggi di saluran Asian Food Channel (AFC). Program 13 episod itu akan menjelajah ke Sabah dan Sarawak untuk mendalami kepelbagaian budaya di sana.

Tidak cukup dengan jadual yang padat, Chef Wan baru sahaja mendapat tawaran daripada Channel 4 di United Kingdom.

“Untuk terpilih muncul di Channel 4 bukan perkara mudah. Jimmy Olivier dan Nigella antara individu terkenal muncul di saluran itu. Tiada seorang pun orang Asia pernah muncul di saluran tersebut.

“Ini peluang untuk melihat rakyat Malaysia muncul di Channel 4. Saya akan menggunakan platform tersebut bagi memperkenalkan Malaysia,” tambahnya yang baru menimang cucu September lalu.

Tidak pernah penat memperkenalkan nama Malaysia di mata dunia, Chef Wan akan menganjurkan Festival Makanan Malaysia sempena The World Cook Book Fair di Paris. Pesta buku yang terbesar di dunia itu akan dihadiri lebih 2,000 peserta yang terdiri daripada penulis buku masakan, pengkritik, chef selebriti dan editor-editor buku masakan.

Kritikan sosial Mamat Khalid


WALAUPUN filem Estet hanya berjaya mengutip RM500,000 selepas dua minggu tayangannya, itu bukan satu penghalang buat pengarah filem Mamat Khalid untuk muncul dengan sebuah karya baru.

Jika Estet sebuah filem yang memaparkan perpaduan kaum dan bersifat kenegaraan, filem terbaru arahannya dengan judul Hantu Kak Limah Balik Rumah sungguh berbeza dengan apa yang dipaparkan dalam Estet.

Digarap dengan penuh humor, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah merupakan sekuel daripada Zombi Kampung Pisang. Mengambil latar dan karakter yang sama, yang diubah adalah jalan cerita yang tidak lagi berkisar tentang zombi sebaliknya mengenai hantu.

"Berbeza dengan zombi yang saya dapati agak sukar untuk penonton kaitkan dengan realiti kerana zombi bukan budaya Malaysia tetapi penonton masih suka dengan elemen kejutan yang diberikan, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah pula sebuah filem anti tahyul dan subjek yang saya pilih adalah hantu.

"Kalau bercakap tentang hantu rasanya rakyat Malaysia sudah terbiasa kerana sejak kecil lagi kita disogokkan dengan cerita-cerita seram yang kita tidak pernah alami," ujar Mamat ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem tersebut di Wangsa Maju, baru-baru ini.

Meskipun satu panggung penuh dengan gelak tawa tanpa henti, sudah menjadi identiti Mamat atau nama sebenarnya Mohamad bin Mohamad Khalid, dalam setiap filemnya pasti diselitkan dengan kritikan sosial. Setiap dialog yang dilontarkan oleh pelakon bukanlah hanya dialog penyambung cerita semata-mata tetapi membuatkan penonton berfikir sejenak.

Antara perkara yang disentuh adalah kesedaran sivik, kepercayaan melampau terhadap perkara tahyul yang sememangnya satu perkara biasa di Malaysia serta pemikiran masyarakat yang sukar diubah.

"Saya akui skrip filem Hantu Kak Limah Balik Rumah memang berunsur komedi tetapi ia bukan skrip kosong, semuanya berisi. Macam kisah tahyul, saya rasa ramai orang percayakan bomoh dan dalam filem ini saya tampilkan pelbagai jenis bomoh.

"Filem ini merupakan sebuah filem saya yang jujur dan disampaikan melalui komedi. Saya cuba menunjukkan bahawa masyarakat kita kuat dengan budaya tahyul. Walaupun sudah maju ke depan, namun tahyul masih menguasai pemikiran.

"Selain itu, saya sentuh perihal masyarakat hari ini yang semakin bersikap penting diri dan pemikiran yang sukar diubah sebagai contoh watak lakonan Pekin, dia seorang bekas penagih dadah. Walaupun telah berjaya dia tetap dicap penagih dadah buat selama-lamanya tanpa masyarakat sekeliling pasti akan kebenarannya.

"Harapan saya penonton dapat menangkap dialog yang diselitkan yang menyentuh isu masyarakat. Terimalah dengan hati terbuka dan jangan marah sehingga mengganggu konsentrasi. Matlamat utama filem ini hanyalah untuk berhibur. Secara jujur saya sendiri lebih sukakan filem Hantu Kak Limah kerana durinya lebih tajam berbanding Zombi," tutur Mamat lagi.

Tambah anak kelahiran Ipoh, Perak itu, jika ada yang menonton filemnya tetapi masih tidak faham maksud kritikan sosial yang disampaikan, dia tidak kisah kerana dia sedar bukan semua orang ke panggung untuk berfikir sebaliknya hanya mahu berhibur.

"Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah adalah untuk semua peringkat umur, bagi kanak-kanak saya ada selitkan lawak-lawak daripada segi perbuatan kerana mereka mungkin tidak faham dialog-dialog yang dilontarkan pelakon seperti seorang yang lumpuh boleh berlari laju sambil

menjinjing kerusi rodanya hanya kerana takut hantu.

"Bagi penonton yang berusia 30 tahun ke atas, jika mereka tidak faham-faham juga setiap kritikan yang diselitkan, tidak tahulah nak cakap macam mana sebab saya buat dengan cara yang santai dan paling mudah difahami berbanding filem saya yang lain. Apa pun ia sebuah filem, kalau mereka datang menonton hanya untuk berhibur dan tidak mahu berfikir, saya faham," ucapnya tentang filem yang menelan belanja RM1.5 juta itu.

Kata Mamat, walaupun penonton yang datang menonton filem Hantu Kak Limah Balik Rumah tidak menonton filem Zombi Kampung Pisang, mereka masih boleh memahami jalan ceritanya.

"Saya yakin orang yang pertama kali menontonnya pasti akan faham kerana filem ini berdiri sendiri, persamannya hanyalah latar filem dan karakter. Itu pun ada yang telah dikembangkan wataknya dan ada watak yang tiada langsung," terangnya.

Sekuel ketiga Kampung Pisang

Selepas Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat merancang untuk membikin sebuah lagi filem sekuel yang akan melengkapkan trilogi kampung berjudul Zombi Kampung Pisang Ultimatum. Namun, ia terpulang kepada pihak penerbitan iaitu Tayangan Unggul untuk membenarkan pelaksanaannya.

"Selepas membikin Zombi Kampung Pisang saya menerima banyak kritikan, ada yang tidak suka solekannya, wataknya dan jalan cerita. Kalau jadi sekuel ketiga ini, apa yang kurang, saya baiki.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh beritahu lagi apa pengisiannya kerana buat masa ini fokus adalah terhadap filem Hantu Kak Limah Balik Rumah," ujar Mamat lagi.

Hantu Kak Limah Balik Rumah mengisahkan Hussin (Awie) yang telah lama bekerja di Singapura mengambil keputusan balik ke kampung halamannya, Kampung Pisang. Apabila pulang ke rumahnya, Hussin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya iaitu Kak Limah. Filem yang akan ditayangkan pada 9 Disember depan dibintangi oleh Awie, Johan Raja Lawak, Ummi Nazeera, Pekin, Shoffi Jikan dan Delimawati.

Merungkai misteri Eman


KEBANYAKAN daripada kita barangkali terlupa, aktor yang saya temui baru-baru ini pernah melalui zaman kegemilangan yang bukan kecil.

Pastinya ada juga yang terlepas pandang dengan pelakon ini dengan membuat pelbagai tafsiran yang tidak tepat mengenainya hanya kerana tidak pernah mengenalinya dengan dekat.

Lantas kerana terjemahan segelintir pihak yang bersumberkan akal yang dangkal menjadikan dia dilupakan dan dipinggirkan.

Apa salah Eman Manan kalau dia mahu menjadi pelakon yang pemilih?

Di mana kesilapan Eman yang lebih selesa menjalani kehidupan yang jauh daripada arus populariti, tidak memandu kenderaan mewah, tidak menggatal dengan aktres-aktres muda yang cantik dan seksi?

Kita mudah menjatuhkan hukuman. Itu sifat orang kita (maaf kalau pandangan ini kurang disenangi).

Hakikatnya, hero Melayu yang pernah dipuja ramai ini sudah lali dengan pandangan kurang elok sesetengah orang padanya.

Pertemuan dengan Eman atau nama sebenarnya, Abd. Manan Embong baru-baru ini merungkai banyak persoalan yang sudah lama bersarang di fikiran.

Pada pertemuan yang berlangsung cukup santai itu, Eman menjawab dakwaan dia seorang pelakon yang kental egonya.

Memberanikan diri, kepada Eman saya meminta dia menjawab juga isu kononnya dia pernah dimasukkan ke Pusat Serenti kerana pengambilan dadah.

Tidak ketinggalan, persoalan mengenai alam perkahwinan serta dakwaan kononnya dia 'artis miskin' turut dijawab oleh Eman.

Saya gembira kerana semua soalan itu dijawab oleh Eman dengan rasa terbuka dan tanpa perlu menjadi artis hipokrit atau plastik!

Sebagai seniman, Eman mengakui, apa saja peluang lakonan yang diterima semuanya bersandarkan kepada keinginannya berteraskan elemen realisme.

Eman tidak gemar dengan kepura-puraan dan kerana itu dia tidak akan berlakon naskhah yang tidak masuk akal.

Pendek kata, dia rela menolak tawaran jika skripnya tidak menepati piawaiannya.

Anak seni yang berasal dari Terengganu ini mengakui, dia sanggup hidup susah kerana enggan 'menggadai' bakat lakonannya hanya semata-mata memenuhi tuntutan kehidupan yang memerlukan duit.

Berpegang pada prinsip itulah menyebabkan timbul cerita-cerita kurang manis yang sering sampai ke telinga wartawan.

Apabila tiada tawaran berlakon, tiada duit. Lalu, kesimpulan yang dibuat kepada Eman oleh mereka yang kurang senang dengan prinsip seni seniman itu ialah, dia 'artis miskin'.

Apa lagi, Eman tidak memandu dan sering menumpang kawan-kawan.

Realiti pada senario ini berbalik pada sikapnya yang tidak suka berpura-pura.

Kata Eman, mengapa dia harus memikul beban kalau tidak mampu untuk memiliki semua perkara itu.

Bahkan, andai dalam poketnya hanya ada sejumlah wang hanya sekadar untuk menampung keperluan harian dia sudah bersyukur.

"Baru semalam saya menolak tiga tawaran berlakon daripada tiga produksi yang berlainan. Saya bukan ego tetapi dalam usia begini saya rasa perlu memilih kerana buat masa ini duit bukanlah segala-galanya.

"Saya lebih mementingkan kepuasan dalam berlakon. Sebab itu apabila membaca skrip yang klise, biarpun tawarannya tinggi menggunung saya sanggup menolaknya," jujur Eman berkongsi caranya 'berurusniaga' dengan tauke drama atau filem.

Kata Eman lagi, dia tidak pernah ambil peduli kalau ada produser melabelkannya sebagai pelakon yang ego tidak bertempat kerana enggan menjadi hamba kepada duit semata-mata.

"Saya suka berlakon dengan naskhah yang manis dan apabila divisualkan ia nampak lebih manis.

"Naskhah yang manis ialah naskhah yang ada jiwa di dalamnya, naskhah yang ada emosi, naskhah yang kaya dengan budayanya.

"Jika saya menerima tawaran daripada sesebuah syarikat penerbitan soalan pertama saya bukan berapa mereka mahu membayar saya.

"Tetapi saya akan bertanya kepada pereka naskhah siapa dan setelah saya membaca naskhah itu saya akan berikan kata setuju atau tidak.

"Biarlah saya hanya muncul setahun tiga empat drama yang penting ia meninggalkan kesan di hati para penonton," akui Eman Manan.

Lantaran pendiriannya itu, pembaca tidak perlu terkejut jika Eman memberitahu, sepanjang 29 tahun bergelar anak seni, dia hanya membintangi tidak sampai 100 drama televisyen.

Jumlah filem lakonannya pula hanyalah 15 buah.

Bagi seorang pelakon hebat yang beberapa kali ditabalkan sebagai pelakon terbaik negara, jumlah lakonannya amat kecil berbanding 'budak-budak baru' dalam gelanggang filem.

Kerana kurang berlakon, maka benarlah Eman tidak punya wang yang banyak dalam akaunnya?

Disebabkan 'kesempitan' itu juga, Eman tidak mampu memiliki kereta?

"Memang betul. Suatu ketika saya tidak punya kereta kerana saya tidak ada wang untuk semua itu. Wang yang saya miliki hanya untuk menampung keperluan harian saya.

"Tapi semua itu tidak meninggalkan kudis bagi saya. Biarlah apa pandangan orang kerana bagi saya bekerja dengan bakat yang saya miliki.

"Biarlah saya tidak kaya dengan material, memadai dengan bakat yang saya miliki, jiwa saya tenang," Eman menyuarakan suara hatinya.

Bukan penagih dadah

SEINGAT saya, kira-kira 10 tahun lalu, tersebar luas berita di kalangan peminat dan media kononnya juga Eman seorang artis yang terlibat dalam najis dadah.

Lebih membuatkan ramai yang mudah terpengaruh dengan cerita itu ialah, ada orang dalam industri hiburan yang pernah melihat Eman dimasukkan ke Pusat Serenti untuk dipulihkan.

Eman yang pada mulanya ketawa mendengar persoalan itu, tiba-tiba terdiam dan berfikir panjang sebelum menjawab dengan penuh tegas.

"Bukan anda sahaja yang mendengar mengenai cerita itu, saya juga. Macam-macam versi mengenai saya, dadah dan Pusat Serenti.

"Saya sendiri tidak tahu dari mana puncanya. Banyak sangat Pusat Serenti yang menjadi tempat saya. Ada yang kata saya ditempat di Pusat Serenti Bukit Mertajam, Pahang dan Terengganu.

"Ketika gosip itu heboh, sebenarnya saya tinggal di Terengganu menjaga arwah ayah saya yang sakit. Setiap hari saya akan mendukung arwah ayah untuk bawa dia melihat kawasan kebunnya.

"Tetapi siapalah saya untuk menutup mulut mereka yang menyebarkan fitnah ini. Saya hanya manusia biasa yang tidak punya kuasa untuk melakukan itu.

"Saya berpegang kepada prinsip dan apakah kerana satu fitnah saya harus tumbang?" tegasnya sambil memberi ingatan kepada penyebar berita palsu supaya menghentikan kerja bodoh itu.

Menurut Eman, walaupun menyedari dia tidak mampu menghentikan fitnah yang disebarkan namun ia menerima semuanya dengan hati terbuka.

Namun sesuatu yang tidak dapat dilupakan kerana fitnah itu juga, periuk nasinya hampir terjejas teruk.

"Sewaktu fitnah itu bermula, saya ditawarkan oleh sebuah syarikat penerbitan untuk membintangi drama 52 episod untuk sebuah stesen televisyen. Namun apabila nama saya disenaraikan stesen itu menolaknya.

"Bayangkan ketika itu, saya tidak berduit walapun saya amat memerlukan wang ketika itu. Namun saya tidak mampu melawan takdir.

"Bukan itu sahaja, malah selepas itu ketika saya sedang menjalani penggambaran drama saya juga hampir ditendang daripada produksi itu namun kebenaran mengatasi segala-galanya," cerita Eman berkongsi kesengsaraan yang pernah dilaluinya.

Bagi Eman, walaupun gosip itu hampir menutup periuk nasinya, dia tidak pernah menyesal apalagi mencari punca cerita untuk mendakwa mereka yang menyebarkannya.

"Itu semua kerja Tuhan. Biarlah ia berlalu. Saya tidak mahu mencari siapa salah kerana kebenaran membuktikan segala-galanya," kata Eman sambil tersenyum penuh makna.

Lara Hati Putri Mardiana Rindukan Anak


TIDAK pernah terlintas di benak fikirannya untuk menagih simpati atas kekosongan yang menghuni hati apabila berjauhan dengan anak-anak sendiri.

Jauh sekali untuk pelakon bernama Putri Mardiana ini cuba meraih publisiti murahan menerusi kesedihan yang dicanangkan.

Namun, itulah kepahitan yang harus ditelan oleh wanita yang mesra disapa Nina ini tatkala berbicara tentang anak.

Kini selepas hampir dua tahun berpisah dengan bekas suami, Shahnaz Norwawi, naluri keibuannya tidak mampu menangkis kerinduan yang bersarang terhadap Alia Wirdani, 7, Amir Firman, 5 dan Airell Zuhair, 4, yang dijaga oleh bekas mertuanya di Bentong, Pahang.

“Memang bunyinya klise. Malah, sudah berkali-kali isu ini diluahkan tetapi perasaan rindu terhadap anak-anak saya tidak pernah pudar walau sesaat pun.

“Bayangkan betapa luluhnya hati setiap kali selepas berjumpa dengan mereka. Sebaknya saya apabila terpaksa menghantar mereka pulang ke Pahang dan berpisah dengan mereka semula. Setiap kali itu juga saya pasti menangis.

“Saya tidak salahkan mana-mana pihak kerana saya bencikan perbalahan. Saya mahu hubungan dengan bekas suami dan mertua terjalin dengan baik demi anak-anak. Cukuplah, jika saya tahu kebajikan anak-anak terbela sekalipun mereka berjauhan dengan saya,” katanya.

Melanjutkan perbualan, Nina mengharapkan agar kes perbicaraan terhadap hak penjagaan anak yang bakal bersidang sedikit masa lagi menyinarkan sedikit harapan buatnya kelak.

Hingga detik itu, mahu tidak mahu pelakon berdarah kerabat diraja Kelantan ini harus cekalkan semangat dan bekerja-keras demi mengukuhkan kewangannya yang selama ini menjadi faktor pemisah dengan anak-anaknya.

“Ketika berpisah dengan bekas suami kira-kira dua tahun lalu, kedudukan kewangan saya masih tidak kukuh kerana baru hendak bermula dalam bidang lakonan. Justeru, anak-anak terpaksa diserahkan di bawah jagaan keluarga mertua.

“Walaupun naluri saya meronta-ronta mahu menjaga anak sendiri biar susah atau senang sekalipun tetapi saya harus realistik dan tidak boleh mementingkan diri sendiri.

“Kesejahteraan anak-anak adalah keutamaan saya. Mahu tidak mahu saya akur dengan keputusan yang dibuat ketika itu. Cuma saya berharap apabila perbicaraan hak penjagaan anak berlangsung nanti, ada sinar harapan untuk saya,” luahnya sayu.

Kekosongan hati kembali terisi

Bagai pengubat lara hatinya terhadap anak-anaknya yang jauh di mata, kekosongan jiwa Nina kembali terisi sejak bertemu semula dengan teman lama yang sudah 10 tahun terpisah.

Sudah suratan, pertemuannya dengan bekas teman kuliah Mohd Hasnul Amril (Anol) secara tidak sengaja di sebuah restoran kira-kira enam bulan yang lalu memutikkan bibit-bibit cinta buat janda jelita ini.

“Saya betul-betul tidak sangka, pertemuan saya dengan Anol selepas 10 tahun berpisah membawa makna baru dalam hidup.

“Sebelum ini, kami pernah berkawan ketika menuntut di Malaysian Institute of Art. Namun, hubungan kami hanya sebagai kawan saja ketika itu. Apabila saya meninggalkan kampus kerana masalah keluarga, kami terus terpisah dan membawa haluan masing-masing.

“Mungkin sudah suratan, kami bertemu kembali pada Jun lalu dan keikhlasannya menerima saya seadanya membuatkan saya selesa menerimanya,” katanya.

Jelasnya, cinta yang baru bersemi sejak enam bulan lalu itu bukan saja membahagiakannya, malah turut mendapat restu daripada anak-anak dan keluarga.

“Mungkin kerana keikhlasan kami berkawan, baik keluarga saya mahupun keluarganya merestui hubungan kami. Malah, apabila Anol bertemu dengan anak-anak saya, mereka tidak kekok untuk menyapa Anol dengan panggilan daddy.

“Melihatkan kemesraan itu, saya percaya anak-anak saya senang untuk menerima kehadiran Anol dalam hidup saya dan mereka,” katanya dalam nada ceria.

Akui bekas pramugari ini, hatinya tertawan dengan jejaka berusia 29 tahun itu kerana keikhlasan dan kematangannya mencurahkan kasih sayang.

“Saya seorang yang manja, suka dibelai dan diberikan perhatian. Ketika arwah ayah masih ada, saya terlalu rapat dan manja dengannya.

“Apabila berkahwin, saya dapat bermanja dengan bekas suami pula tapi selepas bercerai saya akui kesunyian dan hilang tempat bermanja.

“Sejak mengenali Anol, keadaan mula berubah. Saya lihat dia cukup ikhlas mencurahkan kasih sayangnya. Pendek kata, saya bahagia dan gembira di sampingnya,” katanya.

Diusik pula mengenai perancangan untuk mengakhiri status janda yang digalas itu, Nina tidak menolak kemungkinan untuk berumahtangga semula.

Walaupun pernah kecundang dalam perkahwinan yang lalu, anak ketiga daripada empat beradik ini sama sekali tidak gusar untuk bergelar isteri buat kali kedua.

“Saya tidak bimbang atau ragu-ragu untuk berkahwin semula seandainya jodoh saya tertulis bersama Anol. Namun, buat masa ini belum ada perbincangan yang serius ke arah itu.

“Biarlah saya kukuhkan kerjaya dulu kerana terlalu banyak perkara yang ingin dicapai dan begitu juga dengan Anol yang ingin memantapkan lagi perniagaannya.

“Berdasarkan cerita dan pengalaman orang yang pernah gagal dalam perkahwinan pertama, kebiasaannya perkahwinan kali kedua mereka akan berkekalan. Saya harapkan perkara yang sama andai ada jodoh dengan Anol,” katanya.

Menyelak jurnal seninya pula, aktres yang membina nama menerusi filem Santau (2009) ini mengakui jadual hariannya terus dihujani pelbagai tawaran lakonan.

Selain kemunculan dalam filem terbaru iaitu Ngangkung yang kini ditayangkan di pawagam, Nina bakal melabuhkan tirai 2010 menerusi filem seram arahan Ahmad Idham iaitu Damping Malam yang menjengah pawagam pada 30 Disember depan.

Terbaru, Nina kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 13 episod Klik arahan Hashim Rejab untuk siaran Astro Ceria (Saluran 611). Selain itu, wajahnya kini boleh ditonton di TV9 menerusi drama Takut Bini Sayang Suami.

AJL25: Tomok Tunggu 10 Tahun


KUALA LUMPUR: Setelah setahun bergelar Juara One In A Million 3 (OIAM), Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail akhirnya memiliki sebuah album solo yang berjudul Tomok.

Kata Tomok, walaupun setahun menunggu kemunculan album baru, dia gembira kerana sebanyak empat buah lagu daripada albumnya seperti, Berlari, Arjuna, Rindu Terhenti dan Bagaikan Bidadari telahpun diputarkan di radio dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pendengar-pendengar radio.

"Apa yang menggembirakan saya lagi, lagu 'Berlari' telah berjaya ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25). Dan pencapaian ini telah saya idam-idamkan sejak 10 tahun lalu ketika bersama New Boyz.

"Tiga lagu lain juga mendapat tempat di hati peminat-peminat. Mungkin inilah masanya saya mendapat apa yang diinginkan selama ini. Pengorbanan yang dilalui sebelum ini berbaloi.

"Tambah pula dalam penghasilan album solo ini saya juga terbabit sebanyak 90 peratus.Ternyata OIAM3 banyak mengubah jalan hidup dan karier saya.

"Kiranya album ini adalah jiwa saya dan memang saya ingin memberi satu perubahan dalam album ini.

"Selain itu, album ini juga sangat bermakna saya dapat berkerjasama dengan nama-nama besar seperti Aubrey Suwito, Audi Mok, dan Aidit Alfian," kata Tomok pada pelancaran album 'Tomok', di sini, Jumaat.

Album Tomok kali ini dilihat lebih matang dan berbeza dengan diri Tomok terdahulu. Malah, lagu-lagu yang dibawakan diibaratkan seperti nafas baru Tomok dalam industri muzik tempatan.

Bagaimanapun, Tomok menjelaskan bahawa penghasilan album tersebut tidak bermakna dirinya tamat bergelar salah seorang ahli kumpulan new Boyz.

Sebaliknya, ini sebagai permulaan untuk Tomok membero fokus pada nyanyian solonya dan kemudian sebuah projek baru akan dibuat bersama New Boyz pula.

"Sekarang ini saya sibuk dengan promosi album dimana pihak pengurusan Monkeybone akan mengadakan konsert jelajah ke seluruh Malaysia.

"Lagipun, sebelum menyertai OIAM3, Tomok dan ahli-ahli New Boyz telah berbincang dimana saya akan fokus dengan album solo dahulu dan mereka menerimanya. Apapun saya akan muncul dengan New Boyz bila tiba masanya nanti," jelas penyanyi yang turut menyumbang beberapa lirik lagu dalam albumnya itu.

Sementara itu, Tomok telah menimbulkan persoalan kerana dia tidak mengikut seperti yang dikatakannya dimana dia ingin menggunakan nama sebenarnya, Shah Indrawan dan bukan Tomok untuk projek solonya itu.

Bagaimanapun, penyanyi itu menjelaskan dia mempunyai alasan sendiri untuk mengekalkan nama Tomok itu.

"Memang pada mulanya saya nak tukar nama untuk album solo pertama saya ini. Tapi bila difikirkan semula, saya tidak perlu menukar nama Tomok kerana nama itulah yang menaikkan nama saya sebelum ini.

"Walaupun ia dibayangi dengan nama New Boyz, saya tak kisah kerana saya tak pernah malu pun sepanjang saya dan New Boyz bersama," jelasnya yang akan mengadakan konsert jelajah selepas AJL25.

Ayu Raudhah Dapat Layanan Istimewa Di Singapura


PETALING JAYA: Bukan hendak sebarangan memuji pihak produksi di Singapura, namun itulah hakikatnya yang diluahkan oleh aktres Ayu Raudhah apabila dia mendapat layanan kelas pertama di sana.

Layanan tersebut turut diberikan kepada pelakon Malaysia lain yang menjalani penggambaran filem Empayar yang akan dihasilkan dalam bentuk DVD.

Pelakon Malaysia lain yang turut serta dalam filem terbitan Ace Pictures itu termasuk Liza Abdullah, Riezman Khuzaimi dan Roslan Salleh.

“Cara pihak produksi dari Singapura melayan kami sangat istimewa. Mereka kerap bertanyakan tentang keadaan kami dan apa yang kami perlukan.

“Apabila di lokasi penggambaran, mereka akan meminta kami berada di dalam kereta dahulu sementara latar set disiapkan. Malah hotel penginapan dan makanan yang disediakan juga bagus dan sedap,” kata Ayu kepada mStar Online.

Ayu dan pelakon lain menjalani penggambaran di Singapura selama dua hari bermula 17 hingga 20 November lalu.

Filem ini mengisahkan tentang gangster atau dikenali sebagai pailang di Singapura. Ayu melakonkan watak Melissa, yang bercinta dengan gangster di sana.

“Saya berlakon di samping hero dari Singapura merangkap penerbit filem ini iaitu Osman Sulaiman. Ceritanya berkonsepkan seperti filem Godfather.

“Di depan Melissa, lelaki itu sentiasa berkelakuan baik dan langsung tidak menunjukkan tentang kegiatannya yang sebenar,” cerita Ayu, yang melakonkan watak wanita baik dan manja.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails