Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Mamat Khalid. Show all posts
Showing posts with label Mamat Khalid. Show all posts
Emma Maembong Tidak Lagi Cintai Zizan, Kesali Mamat Khalid
Pelakon Emma Maembong kesal terhadap dakwaan pengarah filem Mamat Khalid kononnya dia sengaja tidak hadir ke majlis tayangan perdana filem Werewolf Dari Bangladesh yang diadakan pada malam Khamis lalu.
Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 23, berkata, pihak produksi tidak menjelaskan situasi sebenar yang berlaku mengapa dia gagal untuk menyertai sesi tayangan perdana tersebut.
"Saya terkilan kenapa dia berkata demikian dan tidak menjelaskan hal sebenarnya mengapa saya tidak dapat hadir ke majlis tersebut.
"Saya dimaklumkan lewat iaitu seminggu sebelum tarikh tayangan itu dan saya berada di Langkawi untuk penggambaran drama, namun saya sudah berusaha minta pelepasan daripada pengarah tetapi tidak dibenarkan kerana banyak scene yang perlu dihabiskan," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Emma Maembong berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pengarah filem Werewolf Dari Bangladesh, Mamat Khalid yang kecewa apabila dua pelakon iaitu Zizan Razak dan Emma Maembong tidak hadir pada majlis tayangan perdana yang di adakan di Cathay Cineplex, The Curve, malam Khamis.
Mamat berkata, kedua-dua pelakon itu memberi pengesahan tidak dapat hadir pada saat-saat akhir dan turut meminta pasangan itu memberi penjelasan terhadap perkara tersebut.
Dalam pada itu, Emma turut bercerita tentang hubungan cintanya dengan pelawak Zizan Razak yang sehingga kini menjadi teka-teki. Malah dia juga mengulas khabar angin tentang orang ketiga dalam hubungan tersebut.
Apa komen Emma tentang tuduhan Mamat Khalid yang kecewa apabila anda tidak hadir pada saat-saat akhir tayangan perdana filem tersebut?
Saya terkejut apabila membaca berita itu, ketika pihak produksi memberitahu tentang tayangan filem itu, saya sudah menjelaskan bahawa saya sedang menjalani penggambaran di Langkawi pada tarikh yang diberikan itu, malah saya telah meminta pihak produski drama Isteri Separuh Masa untuk melepaskan saya sekejap pada hari itu, namun tidak dibenarkan.
Saya meminta pihak abang Mamat sendiri iaitu isterinya berbincang dengan produksi drama supaya membenarkan saya untuk balik sekejap dan hadir ke majlis itu. Saya tidak kisah pun kalau terpaksa bayar sendiri tiket kapal terbang.
Bila perkara itu juga tidak berjaya, saya minta agar tarikh tayangan itu ditunda hari ini (Jumaat) kerana penggambaran sudah abis tetapi mereka tidak mahu.
Adakah Emma terkilan dengan perkara itu?
Saya sangat sedih bila dia tidak jelaskan perkara sebenarnya yang berlaku sedangkan mereka sudah tahu tentang perkara itu awal-awal lagi.
Itu filem pertama saya berlakon dan sudah tentu saya sangat teruja untuk menontonnya walaupun ketika itu saya belum berhijab.
Apa komen Emma jika ia dilihat sebagai satu taktik produksi filem perkara ini dijadikan isu untuk menghangatkan promosi filem yang akan ditayangkan pada 5 Mac depan?
Saya tidak tahu niat mereka, namun bagi pihak saya perkara itu boleh menjejaskan reputasi saya sebagai seorang artis.
Orang akan menyalahkan saya dan beranggapan saya tidak memberikan komitmen terhadap produk sendiri, walhal saya sudah berusaha untuk datang.
Mamat Khalid Jawab Isu Masam Muka Dengan Usop Wilcha
Pengarah filem Mamat Khalid terkejut apabila dikatakan bermasam muka dengan pelakon Shy8 atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha.
Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid berkata, jika benar pelakon itu berasa hati, dia seharusnya memaklumkan perkara berkenaan dengan cara bertentang mata daripada bercerita kepada pihak ketiga iaitu media.
"Saya terkejut apabila ramai yang menghubungi saya untuk meminta penjelasan tentang perkara itu kerana saya tidak ada masalah langsung dengan dia. Baru beberapa hari lepas saya berjumpa dengan dia untuk menyelesaikan proses suntingan filem.
"Pada saya, jika dia ada rasa tidak puas hati seharusnya dia berjumpa dan beritahu sendiri kepada saya berbanding menggunakan media," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem televisyen Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya, di The Garden, di sini, Rabu.
Mamat berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gosip di ruangan pojok akhbar mingguan Ahad lalu mengenai hubungannya dengan pelakon Usop Wilcha yang dikatakan bermasalah.
Mamat sebagai pengarah filem dikatakan tidak memberi kerjasama dan sering kali mengubah skrip ketika penggambaran filem Usop Wilcha Menggonjang Makhluk Muzium (UWMMM) yang diterbitkan sendiri oleh Usop Wilcha.
Dalam pada itu, Mamat berkata, dia tidak mengetahui niat sebenar pelakon itu menceritakan hal dalaman produksi kepada media.
"Kalau ada keluh kesah daripada pihak dia kenapa tidak beritahu sendiri. Sepatutnya saya orang pertama yang tahu perkara ini dan bukan orang terakhir,
"Tentang mengubah skrip itu adalah perkara biasa pada setiap penggambaran, jika saya rasa skrip yang dibuat itu tidak sesuai saya akan minta dia ubah menjadi lebih baik," katanya.
Bagaimanapun, Mamat berkata, dia enggan memanjangkan hal tersebut dan menghalalkan apa juga dakwaan pelakon tersebut terhadap dirinya.
Mamat Khalid Sangkal Tutup Syarikat Kerana Muflis
KUALA LUMPUR: Pengarah filem terkenal Mamat Khalid menafikan dakwaan kononnya dia terpaksa pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak kerana syarikat produksinya Naga VXS “lingkup” sejak dua tahun lalu sehingga diisytiharkan muflis.
Mamat, 50, berkata, penghijrahan tersebut adalah permulaan baharu dalam kariernya selepas berdepan dengan beberapa masalah dalam operasi syarikat berkenaan.
"Operasi Naga VXS sebelum ini ada beberapa sekatan. Saya perlu meneruskan kehidupan dengan memulakan perkara baharu.
"Saya bersyukur kerana diberikan peluang kedua apabila dapat menubuhkan syarikat baharu yang kini diuruskan isteri saya iaitu Intan.
"Sudah setahun syarikat Enjit Semut Productions ditubuhkan. Buat masa ini ia beroperasi di rumah kami di Ipoh, Perak," katanya.
Mamat ditemui pada malam gala tayangan filem arahannya berjudul Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit di GSC Mid Valley di sini, malam Selasa.
Ditanya mengenai dakwaan kononnya dia diisytiharkan muflis gara-gara diperdaya dalam perniagaan, Mamat berkata, tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali.
"Saya bukan diperdaya atau salahkan sesiapa melainkan pengurusan yang tidak betul.
"Ketika perniagaan syarikat itu bermula, kami masih baharu. Banyak yang perlu diperbaiki dan kehidupan harus diteruskan.
"Kalau kita terus mengenang kesilapan lalu, takkan bergerak jadinya. Memilih langkah seterusnya adalah lebih penting," katanya.
Mengenai perasaannya mengenai kemunculan filem terbaharu selepas tiga tahun menyepi, Mamat berkata, 2013 bakal menyaksikan segala usahanya selama tempoh itu dikongsikan kepada khalayak.
"Selain filem ini, saya juga akan muncul dengan Rock Ooo, Apokalips, Zombie Kilang Biskut dan Rentaz.
"Tahun ini segala usaha sepanjang tiga hingga empat tahun lepas akan menemui penonton," katanya yang berharap filem terbaharu itu dapat menyaingi kutipan Hantu Kak Limah Balik Rumah yang memperoleh kutipan kasar RM7.90 juta.
Mamat Khalid Tidak Ulang Lawak Dalam Komedi Terbaharu
IPOH: Pengarah filem terkenal, Mamat Khalid menjelaskan filem terbaru arahannya, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit tidak mengulangi lawak yang pernah digunakan dalam dua judul terdahulu iaitu Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.
Mamat berkata, walaupun masih mengekalkan 'Kampung Pisang' sebagai latar utama karyanya itu, beliau bagaimanapun memberi jaminan filem terbaru tersebut akan lebih segar dari segi plot, penceritaan dan elemen-elemen lawak yang digunakan.
"Saya masih mengekalkan Kampung Pisang sebagai latar filem ini kerana dua filem saya terdahulu menggunakan lokasi sama. Saya mahu penonton rasa dekat dengan karya terbaru ini.
"Bagaimanapun elemen lawak yang pernah digunakan dalam filem 'Kampung Pisang' tidak akan diulang sebaliknya kita memasukkan elemen baru supaya ia lebih segar tetapi pada masa sama masih ada kesinambungan dengan judul terdahulu," jelasnya.
Mamat ditemui ketika majlis tayangan perdana filem itu yang diadakan di Ipoh Parade di sini pada Sabtu lalu.
Husin, Mon & Jin Pakai Toncit bakal menemui peminat di pawagam pada 7 Februari depan.
Tambah Mamat, beliau juga tidak lagi memberi fokus kepada watak Kak Limah seperti mana sebelum ini sebaliknya mengangkat watak Husin lakonan Awie dan Mon (Ezlynn) sebagai tunjang utama.
Bagaimanapun kata Mamat, watak seperti Kak Limah lakonan Delimawati, Usop Wilcha (Syh8), Pak Jabit (Man Kadir) dan pak Abu (Allahyarham Zami Ismail) masih dikekalkan.
"Jika saya angkat lagi watak Kak Limah sekali lagi barangkali ia akan menyebabkan filem ini hambar dan sebab itu saya angkat watak Husin dan Mon yang sebelum ini bukanlah peranan utama.
"Malah saya cuba memasukkan watak baru iaitu Dr Shamsuddin lakonan Rashidi Ishak bagi memberi elemen baru kepada peranan sedia ada," jelasnya.
Dalam pada itu, Mamat berkata, pembikinan filem yang menelan belanja sebanyak RM1.65 juta itu turut menggunakan teknik pengimejan berkomputer (CGI) sebanyak 20 peratus bagi memberikan kesan yang lebih hebat kepada filem tersebut.
Mamat memberitahu, atas dasar itu juga Husin, Mon & Jin Pakai Toncit mengambil masa agak lama untuk disiapkan kerana ingin memastikan CGI yang digunakan dapat dibuat dengan sebaiknya.
"Kami ingin memberikan yang terbaik kepada penonton dan teknik khas yang digunakan adalah sebagai salah satu kelainan dalam filem ini dan kami ingin memastikan semuanya dilakukan dengan baik.
"Tidak mengapa lambat sedikit kerana yang lebih penting ia dapat memberikan kepuasan kepada peminat 'Kampung Pisang'," jelasnya.
Doa Depan Kaabah Mamat Khalid Dimakbul

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKBR), Mamat Khalid mengakui sebab utama kejayaan filem tersebut mencapai kutipan pecah panggung adalah kerana doanya di hadapan Kaabah ketika menunaikan umrah dimakbulkan Allah S.W.T.
Katanya, ketika berkesempatan menunaikan ibadah tersebut Januari 2010 lalu, dia berdoa agar salah satu filem arahannya mencapai kutipan 7 juta dan perkara itu benar-benar terjadi.
“Saya percaya doa itu dimakbulkan tapi ketika itu saya sangat berharap kepada filem Estet tapi rupanya Allah beri untuk filem HKBR.
“Ketika itu saya memang berdoa agar mencapai angka 7 juta dan tidak sangka ia menghampiri ke 8 juta. Saya sangat-sangat bersyukur doa itu termakbul,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Hantu Kak Limah Balik Rumah, di restoren Istana Bambu, Jumaat.
Bukan itu sahaja, menurut Mamat, selepas berjaya menarik penonton ke pawagam, HKBR juga mendapat permintaan tinggi di saluran Astro First.
Tambahnya, kejayaan filem ini membuatkan dia bersemangat untuk meneruskan kesinambungan siri Kampung Pisang sehingga tujuh siri.
“Filem bukan untuk sampaikan mesej tapi memberi kritikan sosial masyarakat kita. Saya menjadikan ia sebagai ruang untuk menegur apa yang kebiasaan dan amalan masyarakat kita.
“Insya-Allah untuk filem siri Kampung Pisang ini saya sudah rangka tujuh filem kesinambungannya. Selepas ini Husin, Mun dan Jin Pakai Toncet bakal menyusul,” ujarnya.

Ketika ditanya adakah watak-watak utama akan dikekalkan dalam ketujuh-tujuh siri Kampung Pisang itu, Mamat berkata seboleh-bolehnya dia mahu mengekalkannya.
“Watak-watak utama dari siri Zombi Kampung Pisang hingga Hantu Kak Limah Balik Rumah dikekalkan dan membuat penambahan kepada beberapa watak baru,” katanya.
Sementara itu, Mamat turut mengakui cabarannya kini semakin besar bagi memberikan yang terbaik dalam setiap filem arahannya.
“Bila kita dah capai satu tahap seperti ini, pasti penonton akan menjangkakan yang lebih tinggi lagi.
“Itu merupakan cabaran berat buat saya untuk menjaga mutu dan kualiti filem –filem selepas ini,” katanya yang bakal keluar dengan filem Apokalips.
Bangga dan puas hati - Mamat Khalid

Kejayaan Hantu Kak Limah Balik Rumah beri kepuasan kepada Mamat
SAMBUTAN filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) yang agak luar biasa membuatkan pengarahnya, Mamat Khalid seperti sedikit terpinga-pinga. Pengarah ini macam tak sangka filem komedi seram yang jalan ceritanya ringkas dan lurus saja boleh mencatatkan kutipan lebih RM6 juta. Apatah lagi filem itu ditayangkan menerusi 46 panggung. Jumlah kutipan kasar mungkin bertambah besar kalau penerbitnya, Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) yakin Hantu Kak Limah Balik Rumah mendapat sambutan tinggi dan ditayangkan sekurang-kurangnya 60 panggung.
Bagaimanapun, Mamat yang tidak mahu mengulas strategi penerbit menayangkan filem arahannya itu.
Sebaliknya, sebagai pengarah, dia memang sangat berbangga kerana filem Hantu Kak Limah Balik Rumah masih mendapat perhatian penonton walaupun sudah tiga minggu ditayangkan. Malahan beberapa panggung di bandar kecil seperti Teluk Intan, Perak baru mula menayangkan filem ini sejak Jumaat lalu.
“Bagi saya, kalau tayangan filem Hantu Kak Limah (Hantu Kak Limah Balik Rumah) berjaya melepasi tempoh empat minggu, ia adalah cukup memadai. Berapa sasaran kutipan filem ini, bagi saya sebagai pengarah tidak penting.
“Apa yang lebih penting bagi saya ialah masih ada yang mahu menonton filem ini dan jumlah mereka ini ramai,” katanya kepada Hip.
Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang berjaya melakar sejarah buat syarikat penerbitan TUSB, turut menjadi filem tertinggi meraih kutipan sepanjang pembabitan mereka dalam industri perfileman.
Ditanya adakah dia akan terus memberikan khidmatnya kepada TUSB atau berniat untuk menimba lebih banyak pengalaman daripada syarikat penerbitan filem lain, Mamat menjelaskan dia sebenarnya tidak memilih syarikat tertentu untuk berkarya.
“Sebenarnya saya teringin untuk berkhidmat dengan syarikat penerbitan lain bagi mengembangkan bakat dan menimba lebih banyak ilmu. Malahan saya juga teringin merasai penggunaan studio lain dan bekerja dengan disiplin yang berbeza.
“Saya tidak memilih mana-mana syarikat, apa yang penting kerjasama itu akan mematangkan lagi kerjaya saya dan meningkatkan lagi kreativiti yang boleh saya sumbangkan kepada industri perfileman tempatan,” katanya.
Selepas ini Mamat akan menumpukan kepada filem terbarunya berjudul Apokalips yang sedang dalam proses memasukkan suara atau dubbing. Apokalips adalah filem arahan yang kelapan selepas Lang Buana, Rock, Man Laksa, Zombi Kampung Pisang, Kala Malam Bulan Mengambang, Estet dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.
Filem itu dipilih daripada genre filem ‘grafik novel’ yang akan memaparkan aksi remaja dan bakal ditayangkan pertengahan tahun ini.
Menurut Mamat, filem Apokalips memberi cabaran tersendiri dalam usahanya untuk meneroka cita rasa sebenar daripada golongan remaja.
Hantu Kak Limah bersambung
KESIHATAN Kak Limah kini sudah pulih seperti sedia kala. Dia tidak lagi mengalami gangguan mental dan mengganggu penduduk kampung.
Kak Limah berniat untuk membawa rombongan penduduk kampung Pisang Ke Singapura.
Dengan menaiki bas, rombongan itu bukan saja dipenuhi dengan penduduk kampung tetapi turut ditumpangi oleh ‘hantu-hantu’.
Itulah antara jalan cerita yang sedang difikirkan oleh Mamat Khalid daripada kesinambungan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.
Ia sekali gus tidak menafikan bahawa filem Hantu Kak Limah Rumah memang ada sambungannya. Bagaimanapun, judulnya tidak dikekalkan. Sebaliknya, buat sementara ini Mamat bercadang menggunakan judul Usop, Abi, Jin Pakai Toncet.
Begitu juga dengan senarai pelakon yang bakal membintanginya, lokasi dan tarikh sebenar penggambaran filem ini hendak dimulakan juga masih belum ditentukan lagi.
“Sebelum ini, saya banyak buat filem dengan mempelbagaikan genre. Ia bertujuan untuk mengenali selera penonton dan mengumpul pengalaman sebanyak yang boleh.
“Alhamdulillah, saya baru saja selesai menyudahkan skrip berjudul Usop, Abi, Jin Pakai Toncet. Ceritanya mengambil kesinambungan daripada filem Kak Limah yang dibuat memang untuk hiburan,” katanya sambil menjelaskan sambungan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dibuat selepas mendapat maklum balas daripada sebahagian besar penonton yang menonton filem itu.
Mamat berkata, selepas mencuba pelbagai genre filem, beliau berasakan sudah mula ‘mengenali hati penonton’.
“Saya menemui rahsia ini menerusi sambutan menggalakkan daripada penonton yang tengok filem Hantu Kak Limah Balik Rumah,” katanya.
Kritikan sosial Mamat Khalid

WALAUPUN filem Estet hanya berjaya mengutip RM500,000 selepas dua minggu tayangannya, itu bukan satu penghalang buat pengarah filem Mamat Khalid untuk muncul dengan sebuah karya baru.
Jika Estet sebuah filem yang memaparkan perpaduan kaum dan bersifat kenegaraan, filem terbaru arahannya dengan judul Hantu Kak Limah Balik Rumah sungguh berbeza dengan apa yang dipaparkan dalam Estet.
Digarap dengan penuh humor, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah merupakan sekuel daripada Zombi Kampung Pisang. Mengambil latar dan karakter yang sama, yang diubah adalah jalan cerita yang tidak lagi berkisar tentang zombi sebaliknya mengenai hantu.
"Berbeza dengan zombi yang saya dapati agak sukar untuk penonton kaitkan dengan realiti kerana zombi bukan budaya Malaysia tetapi penonton masih suka dengan elemen kejutan yang diberikan, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah pula sebuah filem anti tahyul dan subjek yang saya pilih adalah hantu.
"Kalau bercakap tentang hantu rasanya rakyat Malaysia sudah terbiasa kerana sejak kecil lagi kita disogokkan dengan cerita-cerita seram yang kita tidak pernah alami," ujar Mamat ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem tersebut di Wangsa Maju, baru-baru ini.
Meskipun satu panggung penuh dengan gelak tawa tanpa henti, sudah menjadi identiti Mamat atau nama sebenarnya Mohamad bin Mohamad Khalid, dalam setiap filemnya pasti diselitkan dengan kritikan sosial. Setiap dialog yang dilontarkan oleh pelakon bukanlah hanya dialog penyambung cerita semata-mata tetapi membuatkan penonton berfikir sejenak.
Antara perkara yang disentuh adalah kesedaran sivik, kepercayaan melampau terhadap perkara tahyul yang sememangnya satu perkara biasa di Malaysia serta pemikiran masyarakat yang sukar diubah.
"Saya akui skrip filem Hantu Kak Limah Balik Rumah memang berunsur komedi tetapi ia bukan skrip kosong, semuanya berisi. Macam kisah tahyul, saya rasa ramai orang percayakan bomoh dan dalam filem ini saya tampilkan pelbagai jenis bomoh.
"Filem ini merupakan sebuah filem saya yang jujur dan disampaikan melalui komedi. Saya cuba menunjukkan bahawa masyarakat kita kuat dengan budaya tahyul. Walaupun sudah maju ke depan, namun tahyul masih menguasai pemikiran.
"Selain itu, saya sentuh perihal masyarakat hari ini yang semakin bersikap penting diri dan pemikiran yang sukar diubah sebagai contoh watak lakonan Pekin, dia seorang bekas penagih dadah. Walaupun telah berjaya dia tetap dicap penagih dadah buat selama-lamanya tanpa masyarakat sekeliling pasti akan kebenarannya.
"Harapan saya penonton dapat menangkap dialog yang diselitkan yang menyentuh isu masyarakat. Terimalah dengan hati terbuka dan jangan marah sehingga mengganggu konsentrasi. Matlamat utama filem ini hanyalah untuk berhibur. Secara jujur saya sendiri lebih sukakan filem Hantu Kak Limah kerana durinya lebih tajam berbanding Zombi," tutur Mamat lagi.
Tambah anak kelahiran Ipoh, Perak itu, jika ada yang menonton filemnya tetapi masih tidak faham maksud kritikan sosial yang disampaikan, dia tidak kisah kerana dia sedar bukan semua orang ke panggung untuk berfikir sebaliknya hanya mahu berhibur.
"Filem Hantu Kak Limah Balik Rumah adalah untuk semua peringkat umur, bagi kanak-kanak saya ada selitkan lawak-lawak daripada segi perbuatan kerana mereka mungkin tidak faham dialog-dialog yang dilontarkan pelakon seperti seorang yang lumpuh boleh berlari laju sambil
menjinjing kerusi rodanya hanya kerana takut hantu.
"Bagi penonton yang berusia 30 tahun ke atas, jika mereka tidak faham-faham juga setiap kritikan yang diselitkan, tidak tahulah nak cakap macam mana sebab saya buat dengan cara yang santai dan paling mudah difahami berbanding filem saya yang lain. Apa pun ia sebuah filem, kalau mereka datang menonton hanya untuk berhibur dan tidak mahu berfikir, saya faham," ucapnya tentang filem yang menelan belanja RM1.5 juta itu.
Kata Mamat, walaupun penonton yang datang menonton filem Hantu Kak Limah Balik Rumah tidak menonton filem Zombi Kampung Pisang, mereka masih boleh memahami jalan ceritanya.
"Saya yakin orang yang pertama kali menontonnya pasti akan faham kerana filem ini berdiri sendiri, persamannya hanyalah latar filem dan karakter. Itu pun ada yang telah dikembangkan wataknya dan ada watak yang tiada langsung," terangnya.
Sekuel ketiga Kampung Pisang
Selepas Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah, Mamat merancang untuk membikin sebuah lagi filem sekuel yang akan melengkapkan trilogi kampung berjudul Zombi Kampung Pisang Ultimatum. Namun, ia terpulang kepada pihak penerbitan iaitu Tayangan Unggul untuk membenarkan pelaksanaannya.
"Selepas membikin Zombi Kampung Pisang saya menerima banyak kritikan, ada yang tidak suka solekannya, wataknya dan jalan cerita. Kalau jadi sekuel ketiga ini, apa yang kurang, saya baiki.
"Bagaimanapun, saya tidak boleh beritahu lagi apa pengisiannya kerana buat masa ini fokus adalah terhadap filem Hantu Kak Limah Balik Rumah," ujar Mamat lagi.
Hantu Kak Limah Balik Rumah mengisahkan Hussin (Awie) yang telah lama bekerja di Singapura mengambil keputusan balik ke kampung halamannya, Kampung Pisang. Apabila pulang ke rumahnya, Hussin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya iaitu Kak Limah. Filem yang akan ditayangkan pada 9 Disember depan dibintangi oleh Awie, Johan Raja Lawak, Ummi Nazeera, Pekin, Shoffi Jikan dan Delimawati.
Kelantangan saya berfokus - Mamat

TIBA-TIBA sahaja nama Mamat Khalid hangat diperkatakan. Ia gara-gara kelantangan pengarah kreatif itu mempertikai keputusan Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) yang baru lalu.
Kalau hendak diselak kembali helaian diari seninya sepanjang mengabdikan diri sebagai seorang karyawan, memang jarang sekali nama Mamat terpalit dengan kontroversi.
Apakah sebenarnya yang membuatkan anak kelahiran Sungai Rokam, Ipoh, Perak itu tidak puas hati sehingga teruk benar dia dihentam di media massa?
Ada yang berkata Mamat bertindak demikian kerana kecewa dan hampa apabila filem arahannya, Estet gagal membawa pulang hadiah utama pada FFM23.
Dalam erti kata lain, pemilik nama penuh Mohamad Mohd. Khalid itu dilabelkan sebagai seorang yang kemaruk anugerah dan hanya menghasilkan filem untuk menang sahaja.
Tidak kurang juga yang berkata, anak seni berjiwa besar itu merasakan dirinya cukup hebat sehingga tiada filem lain yang layak menang melainkan Estet.
Lebih kecoh lagi, apabila Mamat dikatakan mengambil tindakan drastik untuk tidak mahu lagi menyertai FFM yang akan datang. Dalam erti kata lain, Mamat mahu memboikot festival filem yang cukup dibanggakan oleh karyawan filem tanah air itu.
Kritikan demi kritikan dilemparkan kepada Mamat hanya kerana dia bersuara dan meluahkan ketidakpuasan yang terbuku di hatinya tentang keputusan FFM23.
Benarkah Mamat merajuk sehingga terdengar desas-desus mengatakan dia membawa hatinya yang lara jauh dari kesibukan kota untuk merawat luka yang terpendam.
"Merajuk? Minta maaf. Istilah merajuk atau berkecil hati tiada langsung dalam hati saya hanya kerana apa yang telah berlaku.
"Saya akan meneruskan matlamat dan misi saya untuk menghasilkan filem yang dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia.
"Bagi saya, kelantangan saya bersuara tentang keputusan FFM23 ada sebabnya," ungkap Mamat dalam nada serius membuka bicaranya dalam satu pertemuan bersama Mega, minggu lalu.
Persoalan demi persoalan terus dibangkitkan dan ternyata sedikit pun Mamat tidak berselindung dengan jawapan yang diberikannya.
Sesekali bicaranya masih terselit dengan gurauan yang memang sebati dengan karakternya itu.
Mamat terus ditebak dengan soalan mengapakah dia mengambil tindakan berani untuk bersuara dengan lantang dan mengkritik festival filem edisi terbaru ini.
memilih pemenang
"Kritikan saya sebenarnya adalah berfokus. Saya mempertikaikan tentang jemaah juri yang dilihat menggunakan kepentingan peribadi dalam menentukan para pemenangnya.
"Perkara ini bukan baru kerana sepanjang pengetahuan saya, perkara seperti ini sudah lama berlaku apabila ada juri yang memilih pemenang atas alasan peribadi.
"Adakah itu sesuatu yang adil dalam menilai setiap karya anak seni yang bertanding? Kalau dilihat senarai juri tahun ini, tiada seorang pun pengarah atau penerbit filem yang masih aktif diletakkan dalam panel.
"Saya meluahkan perkara ini bukan kerana tidak puas hati filem saya tewas tetapi isu pemilihan juri itu membuatkan saya harus bersuara meluahkan pendapat saya," katanya sambil menghela nafas panjang.
Bukan mahu menuding jari kepada sesiapa, tetapi kata Mamat dia pernah mengalaminya pada FFM21 ketika filemnya Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) diangkat sebagai Filem Terbaik, dua tahun lalu.
Cerita Mamat, filemnya ketika itu hampir tewas hanya kerana salah seorang juri yang juga merupakan pengarah dan penerbit filem popular tidak menyukainya secara peribadi.
Sedangkan kata Mamat, dia sendiri tidak pernah bekerja mahupun menjalin persahabatan erat dengan individu tersebut.
Bukan hanya Mamat, tetapi nasib serupa juga pernah menimpa Afdlin Shauki tahun lalu sewaktu filem Papadom dinobatkan sebagai Filem Terbaik.
Dikatakan, ketika itu, salah seorang juri yang merupakan tokoh perfileman tersohor negara mahukan filem Momok the Movie untuk diangkat sebagai Filem Terbaik.
"Apabila Afdlin mengetahui tentang perkara sebenar, hatinya memang cukup sedih walaupun dia berbangga dengan kemenangan besar Papadom tahun lalu.
"Jadi, apabila perkara itu berlaku, ia secara tidak langsung akan membuatkan semangat karyawan seni untuk berkarya akan terjejas.
"Jangan lupa, Allahyarham Yasmin Ahmad juga pernah melahirkan kekecewaannya dan mengambil keputusan tidak mahu bertanding dalam FFM kerana sikap sesetengah individu yang tidak profesional.
"Nasihat saya cukup-cukuplah dengan sikap yang sungguh tidak membangunkan industri ini. Tolong jadi lebih profesional," tegas Mamat berkali-kali.
Soal Mamat lagi, kalau benarlah hanya dia seorang sahaja yang tidak berpuas hati dengan keputusan FFM23, mengapakah acara itu masih lagi diperkatakan walaupun sudah dua minggu ia berakhir.
"Sewaktu FFM21 dulu, saya tidak menafikan ada juga pihak yang mempertikaikan kemenangan saya. Tetapi, ia tidak lama kerana selepas itu ia berakhir dengan sendirinya.
"Itu membuktikan saya menang dengan bermaruah," kata Pengarah Terbaik FFM21 ini dengan maksud yang cukup mendalam.
Saat diajukan tentang isu keengganannya bertanding dalam festival akan datang, Mamat hanya berkata: "Saya hanya akan menghantar penyertaan kalau panel juri diumumkan terlebih dahulu.
"Kalau masih lagi dengan konsep yang sama, saya akan tetap dengan keputusan saya untuk tidak mempertandingkan filem saya."
Apa pula alasan Mamat tentang label kemaruk anugerah yang diberikan kepadanya sementelah Estet hanya memenangi Anugerah Khas Juri dan Pelakon Harapan Lelaki untuk Shashi Tharan.
Sambil tersenyum, Mamat menafikan dirinya begitu. Katanya, sejak dari dulu lagi, misi utamanya dalam industri bukan untuk mengejar anugerah.
Cuma, dia tidak menafikan filem KMBM memang dibuat untuk festival kerana dia mahu menampilkan sesuatu yang baru dalam arus permodenan filem tempatan.
"Tanyalah pada mana-mana penerbit dan pengarah, semua pasti akan mengatakan filem mereka adalah yang terbaik dan bagus. Mana ada yang tidak bangga dengan filem mereka," jelasnya lagi.
Mamat menghasilkan filem kerana mahu menonjolkan budaya Malaysia yang pada hematnya cukup unik dan menarik untuk dipertontonkan kepada masyarakat dunia seiring dengan moto Filem Malaysia Ke Persada Dunia.
Baginya, Malaysia memiliki keunikan sendiri yang tiada pada mana-mana negara dan kerana itu, dia berfikir mengapa peluang itu tidak digunakan sepenuhnya oleh pembikin filem tempatan.
"Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang pembikin untuk menghasilkan karya yang dapat dibanggakan oleh rakyat Malaysia secara amnya.
"Memang dari dulu lagi filem arahan saya kecuali Rock semuanya menang Anugerah Khas Juri. Tetapi saya sedikit pun tidak melenting. Malah, saya menerimanya dengan hati yang cukup terbuka.
"Cuma, saya sedikit sedih dan ralat apabila ada pihak yang seolah-olah cuba menidakkan realiti itu," jelasnya dalam nada penuh diplomasi.
Mamat yang mula mengarahkan filem pertamanya, Lang Buana pada tahun 2003 itu turut menafikan sekeras-kerasnya hubungannya dengan KRU kini dingin.
Katanya, keakraban mereka masih lagi seperti dulu dan kontroversi yang berlaku tidak sedikit pun menjejaskan persahabatan mereka yang terjalin sejak sekian lama.
"Selepas FFM berakhir, kami saling berbalas SMS dan saya menjelaskan kepada mereka yang saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan mereka. Hubungan kami adalah seperti abang dan adik.
"Mereka juga faham dan hubungan kami tetap baik seperti sedia kala. Bagi saya, kontroversi dan sensasi adalah asam garam dunia hiburan.
"Kalau tidak ada sebarang isu yang dibangkitkan, industri kita akan sendu dan layu serta membosankan.
"Kekalahan Estet bukanlah pengakhiran karier saya. Selagi saya hidup, selagi itulah saya akan terus berkarya. Apa yang membuatkan saya lebih bersemangat apabila orang-orang penting sekeliling saya memberikan kata-kata perangsang buat saya," ujarnya yang pernah memenangi Lakon Layar Terbaik FFM18 (2005) menerusi filem Puteri Gunung Ledang.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
