Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Fida Cipta Rekod Jelajah Semenanjung 72 Jam


PETALING JAYA: Pelakon Rafidah Ibrahim (Fida) akan menganjurkan program jelajah Semenanjung Malaysia selama 72 jam tanpa henti pada minggu kedua bulan Ogos depan.

Program yang dinamakan ‘Rifters Jelajah Amal Tanpa Henti’ itu merupakan idea Fida dan rakan kelab peminatnya, Rifters untuk mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records.

“Saya dan peminat akan berkunjung ke kampung-kampung untuk menghantar makanan sempena bulan Ramadan nanti.

“Setakat ini, kawan-kawan saya dari Rifters telah meninjau beberapa lokasi untuk dikunjungi,” katanya yang turut sibuk mempromosikan filem Man Sewel Datang KL.

Selain itu, Fida juga baru sahaja selesai berlakon drama Kasih Alia untuk slot Akasia di TV3.

“Drama Kasih Alia akan disiarkan di TV3 selepas selesai drama Dewa Cinta yang sedang disiarkan sekarang.

“Selain berlakon, saya turut menyanyikan lagu tema drama itu berjudul Teriakan Kalbu,” ujarnya lagi.

Juara Bintang Pantene ini juga tidak sabar dan teruja untuk menyertai program 'Artis Pencinta Alam' di Hutan Belum, Pulau Banding, Grik pada 8 hingga 10 Julai ini.

“Saya mula suka masuk hutan sejak menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2004.

“Apabila berpeluang, saya mahu menyertai aktiviti berkaitan alam semula jadi untuk menyegarkan mata, hati dan minda seolah-olah pergi ke spa,” katanya yang pertama kali ke Pulau Banding.

Bagi pendapat Fida, program tersebut mampu pergi jauh sekiranya seseorang artis itu benar-benar mencintai alam dan seronok melakukan aktiviti tersebut.

Noh & Mizz Nina Selamat Diijabkabulkan


PETALING JAYA: Selepas lapan bulan bertunang, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh,27, akhirnya sah bergelar suami kepada penyanyi Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman,31.

Majlis pernikahan mereka dilakukan di kediaman keluarga Nina di Ukay Heights, Ampang, dekat sini.

Pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa Nina, Tan Sri Azman Hashim kira-kira pukul 10.20 malam, Jumaat.

Manakal bapa Noh, Salleh Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia Sdn Bhd, Datuk Adnan Alias bertindak sebagai saksi kepada kedua-dua pengantin.

Turut serta menyaksikan upacara akad nikah itu ialah ibu Nina, Puan Sri Arishah Tuanku Maamor dan ibu Noh, Dayang Soraya Abang Fadzail.

Pada majlis itu, pihak lelaki menyerahkan wang hantaran sebanyak RM11,111.11 dan mas kahwin pula sebanyak RM888.88 berserta tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada sirih junjung, set barang kemas, iPad 2, cincin dan kek lapis Sarawak.

Ia dibalas tujuh dulang hantaran oleh pihak perempuan yang terdiri daripada sirih junjung, sepasang kasut, dompet, sepasang baju bersanding, coklat, “Playbook” dan cincin.

Menurut Noh, dia bersyukur kerana akhirnya pernikahan mereka berjalan dengan lancar dan berharap ia akan kekal sehingga akhir hayat.

"Saya berdoa supaya kami kekal selamanya. Selepas ini kami merancang untuk berbulan madu di United Kingdom, Rome dan Maldives selama dua minggu.

"Percutian ini juga dikira sebagai masa rehat memandangkan jadual kerja kami begitu padat dengan aktiviti seni sebelum majlis ini (nikah)," katanya.

Bagaimanapun Nina belum memikirkan untuk memperoleh anak dalam masa terdekat.

"Kalau nak diikutkan, kami merancang untuk menerima seorang anak selepas dua tahun perkahwinan kami bagi mengukuhkan kerjaya.

"Tetapi jika rezeki itu datang lebih awal, kami tidak menolak," ujar Nina.

Pada majlis nikah itu, Noh mengenakan pakaian rekaan Shaiful Baharim manakala Nina mengenakan pakaian rekaan Lady Jane.

Pada 3 Julai ini, resepsi untuk keluarga dan tetamu-tetamu kehormat akan diadakan di Hotel Shangri-La bertemakan Ungu Elegan.

Kemudian, pasangan ini akan diraikan pada sebuah resepsi berkonsep Jepun bersama pihak media dan rakan-rakan pada 6 Julai ini manakala majlis sambut menantu (sebelah lelaki) akan diadakan di Miri, Sarawak pada 15 Julai depan.

Pasangan ini bertemu sewaktu sama-sama bekerjasama menyanyikan lagu Kurnia ciptaan Noh pada 2008 dan cinta mula berputik setahun selepas itu.

Tomok Dan Rahayu Selamat Bernikah


KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, penyanyi Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 27, kini sah menjadi suami kepada pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) Rahayu Abbas, 32, pada pukul 9.30 malam di Dewan Serbaguna AU2 Taman Keramat, Kuala Lumpur, malam Jumaat.

Pasangan ini dinikahkan oleh Pegawai Pentadbir Agama dan Pendaftar Kanan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Daim Jaluli berwalikan bapa Rahayu, Abas Mohd Saidon.

Rahayu menerima sembilan dulang hantaran termasuklah wang hantaran sebanyak RM12697.11, mas kahwin berjumlah RM300, cincin, sirih junjung, set barang kemas, sepersalinan baju, jam tangan dan beg, set minyak wangi, senakhah Al-Quran, sebiji kek dan Telekung.

Manakala pihak lelaki pula menerima sebanyak 11 dulang hantaran iaitu jam tangan, , coklat, sebiji kek, sepasang kasut, set minyak wangi, dompet, sepersalinan baju Melayu, sejadah, senaskhah Al-Quran dan sirih junjung.

Menurut Tomok, dia gembira selama lapan tahun bercinta, akhirnya dia menjadi suami kepada Rahayu atau nama panggilannya, Ayu, dan berharap agar cinta mereka akan mekar sehingga akhir hayat.

"Selama ini kami susah senang bersama. Walaupun masing-masing sibuk dengan karier, Alhamdulillah, kami akhirnya disatukan juga.

"Maklumlah, bila jadi artis , macam-macam dugaan yang timbul termasuklah gosip-gosip yang muncul. tapi semua itu kami dapat atasi bersama," katanya selepas pernikahan pasangan tersebut.

Ditanya pula kepada Ayu adakah sukar bergelar insan istimewa kepada seorang artis seperti Tomok, katanya, dia tidak ada masalah tentang hal itu.

"Mula-mula masa saya berkenalan dengan Tomok, saya tahu dia seorang penyanyi yang digilai ramai. Dan ada sahaja yang cuba datang dekat kepadanya.

"Tipulah kalau tidak pernah ada rasa cemburu di hati. Tetapi saya memberi kelonggaran kepadanya, kerana faham Tomok seorang selebriti. Selain itu daripada itu, kami percayakan dengan diri masing-masing" tuturnya yang tampak jelita hasil solekan jurumekap Saidatul Nisa.

Kedua-dua mempelai kelihatan cukup berseri apabila mengenakan pakaian nikah berwarna krim rekaan Hatta Dolmat.

Dianggarkan seramai 200 tetamu termasuklah keluarga, dan rakan media memeriahkan majlis nikah bertemakan urban kontemporari berwarna ungu dan emas tu.

Sementara itu, pasangan ini akan melangsungkan tiga resepsi perkahwinan iaitu sebelah pihak perempuan di lokasi yang sama (2 Julai), majlis bersama-sama rakan media di Saloma Bistro, Kuala Lumpur (6 Julai) dan resepsi sebelah pihak lelaki di rumah keluarga Tomok di Alam Damai, Cheras (9 Julai).

Jemputan Perkahwinan Nurul Syuhada Terhad


PETALING JAYA: Pengacara Majalah Tiga, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, 27, akan mengadakan majlis pernikahannya dengan seorang pegawai bank , Raja Amir Raja Azwa,29, pada 23 Julai depan untuk tetamu jemputan sahaja.

Sumber pihak TV3 yang dihubungi memberitahu majlis persandingan akan diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur dengan dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak dan pihak media terpilih.

Manakala, upacara pernikahan akan dijalankan seminggu lebih awal.

“Kad undangan sudah diedarkan tetapi majlis tersebut untuk ahli keluarga, kenalan rapat dan pihak media tertentu sahaja. Ia disebabkan tempat agak terhad," ujar sumber itu mStar Online, di sini, Khamis.

Dalam pada itu, majlis sebelah pihak perempuan dijangka akan berlangsung pada September atau Oktober depan di Rembau, Negeri Sembilan iaitu kampung halaman Nurul.

Sementara itu, Nurul Syuhada yang dihubungi untuk bercerita tentang majlis itu tidak dapat memberi komen lanjut kerana perkara itu perlu mendapat kebenaran daripada pihak TV3 terlebih dahulu.

Sebelum ini pengacara tersebut memberitahu telah mengenali bakal suaminya sejak dua tahun lalu dan rombongan merisik telah dilakukan pada Januari lepas.

Dia juga pernah dikaitkan dengan angkasawan kedua negara, Mejar Dr Faiz Khalid tetapi hubungan mereka tidak bertahan lama.

Rozita Che Wan Rehat Seminggu Akibat Jatuh Tangga


PETALING JAYA: Pelakon jelita Rozita Che Wan mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat terjatuh dari tangga rumahnya malam Rabu lalu.

Menurut Rozita, disebabkan kejadian tersebut ligamen kakinya itu koyak menyebabkan dia tidak boleh bergerak.

"Saya baru sahaja pulang daripda penggambaran terakhir drama Annissa dalam pukul 9 malam pada Rabu lepas. Masa menaiki tangga, saya tergelincir menyebabkan saya terjatuh.

"Pada awalnya saya fikir hanya jatuh biasa tapi ketika hendak tidur kaki mula sakit yang teramat sangat," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.

Tambahnya, dia segera menghubungi abang kandungnya untuk ke Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya dekat sini, bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.

"Semasa hendak mendapatkan rawatan itu, kaki saya terlalu sakit dan saya tak boleh berjalan. Saya terpaksa didukung oleh abang saya untuk ke kereta sebelum dibawa ke hospital.

"Semasa doktor buat pemeriksaan x-ray dia hanya mendapati ligamen kaki saya hanya terkoyak. Nasib baik ia tak patah," katanya yang memberitahu kakinya masih lagi dibalut pada ketika ini.

Katanya, disebabkan kecederaan tersebut dia diberi rehat selama seminggu dan terpaksa bercuti daripada sebarang penggambaran drama.

"Doktor kata ia tidak teruk tapi saya perlu kurangkan berjalan dan tidak boleh bekerja sehinggalah saya betul-betul sembuh.

"Saya terpaksa membatalkan beberapa sesi fotografi dengan beberapa majalah dan tangguhkan beberapa penggambaran drama dalam masa seminggu ini," katanya.

Rozita bakal memulakan penggambaran untuk drama khas Hari Raya iaitu Pontianak Baru Kampung Batu, Kiah Pekasam dan Jaguh Kampung.

Lisa Surihani Alami Lebam Gara-Gara 'Sekali Lagi'


PETALING JAYA: Demi menjayakan watak Shiela yang menerima padah akibat derhaka kepada bapanya dalam filem Sekali Lagi, pelakon Lisa Surihani sanggup “dicederakan” sehingga mengalami lebam di lengan.

Menurut Lisa, kejadian itu berlaku sewaktu melakonkan adegan dia diheret dan ditolak ke bawah tangga oleh pelakon Zul (Handy Black) yang melarang dia melihat jenazah ayahnya, lakonan Bob Lokman buat kali terakhir.

“Untuk menjayakan watak Shiela yang dianggap derhaka kepada bapanya, saya membenarkan abang Zul untuk melakukan sepenuh hati dengan mengheret dan menolak saya ke bawah tangga rumah.

“Tetapi akibatnya, saya mendapat lebam teruk di lengan dan terpaksa menahan kesakitan itu,” katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, dia tidak sanggup untuk memukul pelakon kanak-kanak Mia Sara Nasuha yang menjadi anaknya bernama Amy yang nakal dan tidak mendengar nasihat.

“Saya patut pukul Amy (Mia) tetapi perasaan saya menjadi bercampur-baur untuk melakukan adegan itu kerana menganggap Mia seperti anak angkat saya.

“Jadi, saya meminta kebenaran daripada pengarah filem itu, Hashim Rejab untuk menukar adegan daripada memukul Amy kepada menghempas kerusi untuk menunjukkan emosi kemarahan itu,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun,di sebalik aksi dan babak mencabar yang dilakonkan itu, dia beranggapan filem tersebut memberikan mesej tentang kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Kata Lisa, filem tersebut turut mengajarnya untuk menyayangi keluarga dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu.

“Dalam filem ini saya berkahwin pada usia muda serta tidak mendengar nasihat ayah,” ujarnya lagi yang turut sibuk mengacarakan program Mari Menari musim kedua untuk Astro.

Filem Sekali Lagi… turut dilakonkan oleh Bront Palarae, Kartina Aziz, ShaSha Zurazie, Alex Yanz dan Tasya. Ia akan ditayangkan di pawagam mulai 30 Jun ini.

Sazzy Mulai Seronok Punyai Anak Kembar


PETALING JAYA: Sejak melahirkan anak kembar, Iman Lilly dan Tiara Rose pada 29 April lalu, pelakon dan pengacara, Sazzy Falak mengakui sudah mula merasai beberapa perubahan dalam rumah tangganya.

Kata Sazzy, perubahan cara pengurusan masa dan kerja yang berlaku dalam dirinya serta suami, Nazril Idrus membuatkan mereka seronok menjalani fasa baru kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah.

"Biasalah, perubahan ketara dalam hidup saya dan suami ialah menjadi ibu dan bapa. Kami perlu komited terhadap kedua-dua anak kembar kesayangan kami selain sibuk menguruskan kerjaya.

"Saya pun tak sangka, jika dulu, kalau anak orang yang saya dukung itu nangis, saya akan kembalikan anak tersebut kepada ibunya atau orang lain. Tapi kini saya mampu menjaga mereka dengan bantuan suami. Saya suka perubahan ini," katanya.

Tambah Sazzy, dia juga bersyukur perjalanan hidupnya berjalan dengan teratur di mana kesemua keinginannya seperti mengukuhkan kerjaya, alam perkahwinan bersama suami dan kini membina sebuah keluarga tercapai satu persatu.

"Alhamdulillah, kehadiran anak kembar kami sesuai dengan masanya dan ketika kelahiran mereka, saya sudah pun bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.

"Ini kerana saya dapat melalui dan mengukuhkan kerjaya saya dan kemudian mengharungi keseronokan berdua dengan suami sepanjang tiga tahun perkahwinan dan selepas itu, muncul pula Iman dan Tiara. Saya rasa perjalanan hidup saya begitu sempurna," ujarnya.

Sementara itu, Sazzy bakal muncul dengan filem terbarunya, Tolong! Awek Aku Pontianak yang akan ditayangkan pada 7 Julai depan.

Dalam filem arahan James Lee itu, Sazzy memegang watak seorang puntianak bernama Maya mencintai seorang lelaki lurus, Bob, yang dilakonkan oleh Zahiril Adzim.

Kata Sazzy, ini merupakan kali pertama dia membawakan watak seorang pontianak dan gembira kerana dapat berlakon dengan Zahiril yang pertama kali digandingkan.

"Alhamdulillah, saya mempunyai kumpulan produksi yang hebat terutama James Lee, yang banyak membantu saya dalam penghayatan watak.

"Sebenarnya, agak susah untuk saya menonton lakonan saya sendiri kerana takut jika gagal menjayakan watak yang digalas. Memang saya sangat kritikal dengan hasil kerja yang dibuat," tuturnya.

Selain Sazzy dan Zahiril, filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. tersebut turut dibintangi oleh Liyana Jasmay, Nurul Wahab, Faezah Elai, Bell Ngasri, Sufian Mohamed dan Ruminah Sidek.

Salih Yaacob Mengaku Tiga Isterinya Terasa Hati


PETALING JAYA: Pelawak Salih Yaacob menyedari tiga isterinya yang lain agak kurang senang apabila isteri keempatnya, Samihah Sheikh Amy (Emi), 25, yang baru dikahwini lebih menonjol berbanding mereka.

Menurut Salih, walaupun isteri pertama sehingga ketiganya iaitu Norlizah Mamat, 46, Norraha Hamat, 42 dan Norfara Wahida Sulaiman, 32, tidak meluahkan perasaan tersebut tetapi sebagai suami dia dapat merasai perkara itu.

"Saya sedar mereka rasa kurang selesa apabila Emi lebih menonjol. Bukan senang nak jaga hati mereka tetapi saya akan perjelaskan setiap hal yang saya lakukan di luar.

"Lagipun, bukan saya yang mahu tonjolkan Emi, pihak media yang kerap bertanyakan tentang dia, saya jawab macam biasa. Malah mereka (media) juga ada membuat temu bual dengannya," kata Salih yang ditemui selepas pelancaran program Salih Yaccob Show, I Follow di PJLA Theater, Jaya One, di sini, Rabu.

Tambah Salih, sejak bergelar isteri keempat, Emi agak terkejut kerana sering diberi perhatian dan kerana itu dia enggan mengambil gambar dengan pihak media.

Persoalan kononnya Salih mengamalkan “pilih kasih” terhadap isterinya yang lain mula timbul apabila dia dilihat kerap membawa Emi bersamanya ke majlis-majlis hiburan termasuklah dalam program Maharaja Lawak di Johor dan Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

"Saya juga ingin menjelaskan bahawa tindakan saya membawa Emi ke majlis-majlis pelancaran atau acara yang membabitkan dengan kerja saya kerana dia kini merupakan pengurus peribadi saya. Tiada kaitan dengan isu pilih kasih seperti yang diperkatakan.

"Sebelum ini Fara yang menguruskan saya, tetapi disebabkan dia kini sibuk dengan anak, tugas itu diberikan kepada Emi.

"Saya harap kenyataan saya ini jelas dan tidak lagi timbul sebarang keraguan terhadap saya dan keluarga," jelas Salih.

Shaheizy Sam Rehat Berlakon Tahun Depan


PETALING JAYA: Baru menempa populariti tahun ini, pelakon Shaheizy Sam sudah memikirkan untuk berehat daripada dunia lakonan kerana mahu melakukan persiapan untuk bergelar seorang pelakon yang lebih baik.

Pelakon filem Ngangkung dan Kongsi ini dijangka berehat daripada dunia lakonan pada awal tahun depan.

“Saya tidak suka mencari kelemahan dalam lakonan saya kerana sudah menjadi lumrah seseorang itu tidak akan berpuas hati dengan hasil kerja yang dilakukan.

“Jadi, saya memilih untuk berehat sementara daripada lakonan dan menyegarkan diri untuk meningkatkan mutu lakonan saya pada masa akan datang. Saya tidak mahu tahap lakonan saya semakin menurun akibat tidak mempunyai banyak persiapan ekoran jadual kerja yang terlalu padat,” katanya selepas tayangan perdana filem Sekali Lagi…di TGV, Sunway Pyramid, di sini, Isnin lalu.

Jelasnya, dia tidak gemar mengkritik lakonan sendiri kerana bimbang akan kecewa jika lakonannya dalam sesebuah filem atau drama itu tidak sempurna.

“Saya akan menonton hasil lakonan saya jika berkesempatan tetapi saya akan berhenti untuk menonton lagi jika ia menjatuhkan keyakinan saya.

“Tetapi saya rasa sudah tiba masanya untuk saya berkorban bagi mendapat yang terbaik. Saya juga bersedia untuk menghadapi pelbagai perkara suatu hari nanti kerana hidup ini ibarat roda,” kata Sam lagi yang kurang rehat kerana sibuk dengan penggambaran filem Nongkrong.

Selepas selesai filem ini, dia akan terlibat dengan penggambaran filem Saya Amat Mencintaimu (SAM) terbitan Skop Production.

“Saya juga akan melakukan kerja penerbitan menerusi syarikat sendiri selepas ini,” ujarnya.

Bercerita tentang lakonannya dalam Sekali Lagi… di samping heroinnya Lisa, Sam akui tiada masalah untuk mewujudkan keserasian dengan pelakon itu.

“Saya mudah serasi dengan Lisa walaupun pertama kali berlakon dengannya. Mungkin sebab kami telah lama kenal sejak zaman sekolah lagi.

“Cuma saya sedikit gementar kerana terlalu menjaga hati dia,” ujarnya.

Tambahnya lagi: “Seronoknya bekerjasama dengan pelakon filem ini termasuk Bront Palarae, kami diberi kebebasan untuk mengubah dan menambah idea dalam skrip agar lebih mencantikkan jalan ceritanya.”

‘Saya Tidak Tahu Karnival Itu Anjuran PKR’ - Wardina


AMPANG: Pengacara Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot,32, atau Wardina menjelaskan tidak mengetahui Program Karnival Mesra Rakyat yang diadakan di Desa Mentari, Petaling Jaya dekat sini 26 Jun lalu adalah anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Wardina berkata, kehadirannya pada majlis tersebut atas jemputan seorang individu yang memintanya memberi ceramah berkaitan keibubapaan.

“Saya sepatutnya hadir pada sebelah siang tetapi disebabkan sibuk dengan aktiviti lain, saya dijemput menghadiri pada sebelah malamnya kerana diberitahu ramai orang sedang menunggu.

“Dalam jemputan itu saya diminta memberi ceramah mengenai institusi kekeluargaan tanpa dimaklumkan majlis berkenaan adalah anjuran pertubuhan politik termasuklah kehadiran wakil rakyat pembangkang,” katanya di Kelab Darul Ehsan di sini, Rabu.

Wardina berkata demikian bagi menjelaskan tuduhan kononnya dikatakan terlibat dengan pertubuhan politik pembangkang termasuklah menyokong perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Turut hadir peguamnya Muhammad Hanif Harun dan Iylia Iqbal Ibrahim.

Jelas Wardina, sewaktu dia tiba di majlis itu kelihatan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali dan dia telah diminta duduk sebelah wakil rakyat tersebut.

“Pada majlis itu saya hanya sempat memberi ceramah selama kira-kira sepuluh minit dan sebelum acara tamat, saya terus meninggalkan majlis selepas mendapat sedikit bayaran daripada pihak penganjur,” ujarnya.

Menurut Wardina, dia terkejut apabila kehadirannya telah dimanipulasikan sehinggalah ada pihak menuduh kononnya dia cenderung kepada PKR selain menyokong perhimpunan haram, Bersih.

Tambahnya, lebih memalukan gambar-gambar silamnya yang tidak bertudung telah disiarkan di beberapa blog dengan lemparan kata-kata yang kurang enak selepas insiden berkenaan.

“Saya ingin menjelaskan yang saya tidak terlibat dengan mana-mana pertubuhan politik apatah lagi menyokong demonstrasi jalanan.

“Malah saya lebih sedih apabila gambar-gambar lama saya tidak bertudung disiarkan menerusi bloq yang mana ia boleh memalukan saya dan keluarga sedangkan saya sudah berubah,” ujarnya.

Ditanya adakah dia mempunyai hubungan baik dengan mana-mana pemimpin politik pembangkang, kata Wardina sebagai seorang selebriti dia berhak berbaik dengan sesiapa sahaja.

Wardina turut menjelaskan, tekanan yang berlaku disebabkan insiden berkenaan membuatkan dia terpaksa mengambil keputusan berehat daripada menjadi pengacara Malaysia Hari Ini di TV3 selama dua bulan.

Kata Wardina, tindakan itu bukanlah hukuman yang dikenakan stesen televisyen berkenaan sebaliknya ia adalah keputusan dia sendiri untuk membolehkan isu itu kembali reda selain mahu menceriakan semula kehidupannya.

“Saya tidak akan menjadi ceria jika saya dibebani dengan masalah. Jadi, adalah lebih baik saya berehat seketika dan perkara itu telah dipersetujui oleh pihak TV3,” katanya.

Sementara itu peguamnya Iylia Iqbal Ibrahim meminta pemilik bloq yang menyiarkan gambar-gambar Wardina tidak bertudung agar mengeluarkannya segera dalam tempoh dua minggu sebelum tindakan ke atas mereka diambil.

Katanya, tindakan itu perlu untuk menjaga reputasi Wardina yang terjejas dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan gara-gara salah faham tersebut.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails