Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Anas Ridzuan (Mentor) Terkejut Dituduh 'Besar Kepala'
PETALING JAYA: Penyanyi Anas Ridzuan mengakui terkejut dan menolak persepsi segelintir pihak yang menuduh dia mula berubah sikap dan 'besar kepala' kerana faktor kejutan budaya sejak bergelar artis.
Anas, 23, berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana dia bukannya naif dengan dunia hiburan tanah air walaupun namanya baru sahaja dikenali selepas menyertai program Mentor 6, beberapa bulan lalu.
“Saya tidak rasa bahawa saya mengalami kejutan budaya seperti yang diperkatakan itu. Bukannya saya baru dan naif dalam bidang hiburan ini?
“Memang nama saya mula dikenali selepas menyertai Mentor 6 tetapi sebelum itu lagi saya sudah terbabit dalam bidang seni menerusi teater dan beberapa aktiviti berkaitan.
“Malah, saya sendiri belajar dalam jurusan seni persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum ini. Sekurang-kurangnya saya ada asas dan dikelilingi rakan-rakan yang bekerja dalam bidang seni,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Timbul desas desus kononnya pemenang tempat ketiga program realiti nyanyian ini kurang disenangi segelintir pihak termasuk pihak produksi dan stesen televisyen (TV) apabila dia dikatakan mula bersikap besar kepala dan tidak berdisiplin.
Ditanya mengenai perkara itu, Anas berkata, dia mengakui tuduhan itu timbul kerana kesilapan yang pernah dilakukannya kerana gagal menghadiri rakaman sebuah rancangan TV sebelum ini.
“Saya sedar perkara ini timbul berpunca daripada kesilapan saya sebelum ini. Saya pernah tidak hadir pada sebuah rakaman program TV kerana urusan peribadi di kampung.
“Saya pernah jelaskan kepada pihak terbabit tetapi saya tahu tindakan itu meninggalkan persepsi yang buruk kepada reputasi saya.
“Namun, saya belajar daripada kesilapan itu dan cuba memperbaikinya. Saya harap jangan timbul lagi salah faham kepada mana-mana pihak mengenai komitmen dan kesungguhan saya dalam bidang ini,” katanya.
Mengenai kerjaya, Anas berkata, dia sedang sibuk mengumpulkan lagu-lagu baru selepas kemunculan lagu pertama berjudul Hanya Dirimu.
Rozita Che Wan Tidak Gentar Dengan Gosip Murahan
PETALING JAYA: Pelakon Rozita Che Wan tidak pernah berasa gentar dengan pelbagai gosip murahan yang melanda dia sejak kebelakangan ini kerana anak-anak mengetahui siapa sebenar dirinya.
Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta, 39, berkata, anak-anaknya iaitu Ammar Effendi, 15, dan Aniq Ezra, 14, sentiasa memberikan sokongan apabila ada cerita kurang enak tentang dirinya tersebar.
"Anak-anak sangat memahami situasi hidup saya yang sering berhadapan dengan pelbagai gosip namun mereka sering mempertahankannya kerana mereka memahami kedudukan saya dan dengan siapa saya berkawan.
"Malah kadang-kadang anak-anak ketawa membaca gosip tentang saya kerana mereka tahu siapa ibu mereka yang sebenar," ujarnya kepada mStar Online.
Rozita dihimpit kontroversi terbaru apabila sekeping gambar separuh bogel yang dikatakan miliknya telah tersebar tetapi pelakon tersebut tampil menafikannya.
Selain gosip itu, dia juga pernah dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan beberapa artis muda seperti Zain Saidin, Beego dan Shahir (AF).
Dalam pada itu, Che Ta berkata, dia tidak bimbang berkemungkinan anak-anaknya diejek oleh rakan sekolah kerana mereka sudah bijak menilai sesuatu cerita itu sama ada ia gosip ataupun kisah sebenar.
"Setakat ini tidak ada pula mereka mengadu diejek oleh rakan-rakan di sekolah dan saya tidak rasa mereka tidak mempedulikan perkara itu," jelasnya.
Sementara itu, Che Ta turut mengakui, jodohnya agak 'liat' namun tidak terlalu terdesak untuk mengakhiri zaman jandanya dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan lain, Che Ta kini sibuk menjalani penggambaran musim terbaru Kiah Pekasam yang berjudul Kiah Spy Jepun terbitan Zeel Productions.
Selain itu, kelibatnya dapat disaksikan menerusi program bual bicara berjudul Primadona yang ke udara bermula malam Khamis (malam ini) pukul 9 malam di AStro Prima.
Selain Che Ta, Primadona turut dihoskan oleh Erra Fazira, Ziela Jalil dan Raja Azura.
Diana Danielle Pinta Tidak Ditohmah Menjelang Nikah
PETALING JAYA: Aktres jelita Diana Danielle meminta semua pihak agar tidak “merosakkan” majlis perkahwinannya bersama aktor dan pengarah filem Farid Kamil pada Sabtu ini dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan yang tidak baik.
Tanpa mahu memperincikan tuduhan-tuduhan itu, wanita berusia 21 tahun ini berharap majlis akad nikah yang bakal berlangsung di Hotel Flamingo, Ampang dekat sini, akan berjalan lancar walaupun ia diadakan pada waktu yang agak pelik daripada kebiasaan iaitu pada pukul 8 pagi.
Diana juga berkata dia tidak gemar apabila ada pihak mempersoalkan kononnya perkahwinan itu tidak mendapat restu keluarga termasuklah ibunya Norsiah Ramli.
“Saya tak nak dengar cakap orang sebab mereka bukan keluarga saya. Saya tak suka orang buat andaian tanpa mereka mengenali kami,” katanya yang mengakui serba salah mengadakan majlis pernikahan itu pada awal pagi.
Diana ditemui sebelum tayangan filem Skyfall anjuran produk kecantikan Nanowhite di Cathay e @ Curve, Mutiara Damansara di sini, petang Khamis.
Pada majlis itu, Diana turut menyampaikan sebuah lagu di hadapan peminat.
Aktres kacukan itu juga turut diraikan menerusi acara memotong kek bersempena ulang tahun hari lahirnya ke-21 yang disambut lebih awal oleh pihak penganjur.
Hari lahir Diana jatuh pada 22 November.
Pada 15 Oktober lalu, Farid membuat kejutan apabila mengumumkan berita pernikahan mereka pada majlis tayangan filem arahannya berjudul Pe3 di TGV Sunway Pyramid di sini.
Sebelum itu, pasangan tersebut membuat kejutan apabila bertunang dalam diam pada 2 September lalu selepas tiga tahun bercinta.
Berikut adalah temu bual mStar Online bersama Diana.
Boleh Diana ceritakan mengenai perkembangan persiapan terakhir menjelang majlis pada Sabtu ini?
Ya, tinggal dua hari sahaja lagi. Saya boleh katakan semuanya (persiapan) hampir siap sepenuhnya. Saya sudah tidak sabar hendak berjumpa sanak saudara, keluarga dan kawan-kawan yang akan datang ke majlis itu nanti.
Tidakkah anda berasa serba salah dengan pemilihan masa majlis yang agak pelik daripada kebiasaannya iaitu pukul 8 pagi?
Saya berasa serba salah juga kerana memilih waktu jemputan pada pukul 7.30 pagi. Namun, saya memikirkan tentang mereka (tetamu) juga. Majlis itu akan diadakan di luar dewan (kawasan tasik hotel) dan tiada khemah. Negara kita ini panas jadi kalau saya buat pukul 10 pagi, tentu semua datang pukul 12 tengah hari dan panas jadinya. Buat sebelah pagi suasananya lebih nyaman untuk semua.
Perasaan anda pada waktu ini menjelang saat-saat akhir majlis pernikahan?
Saya tidak rasa apa-apa pun lagi. Mungkin belum lagi. Malam ini (malam Khamis) saya akan mandi bunga dengan mama, hanya kami berdua.
Komen Diana mengenai dakwaan kononnya persiapan majlis pernikahan ini anda lakukan tanpa melibatkan ibu sendiri.
Mama ada campur tangan dalam hal-hal kecil seperti jemputan dan baju tetapi persiapan utama dilakukan oleh saya bersama dua orang perancang perkahwinan.
Ada pihak mendakwa anda terpaksa melakukan persiapan sendiri kerana majlis itu tidak mendapat restu keluarga?
Saya tak nak dengar cakap orang sebab mereka bukan keluarga saya. Saya tak suka orang buat andaian tanpa mereka mengenali kami. Saya lakukan persiapan itu sendiri untuk menimba pengalaman dan tak nak susahkan mama. Dia terlalu stres dan penat ketika persiapan majlis pertunangan tempoh hari, apatah lagi dia bukan sihat sangat. Untuk saya paksa dia buat persiapan sepenuhnya untuk majlis besar seperti ini, saya tidak rasa dia boleh buat.
Komen Diana berhubung tindakan anda akan menggunakan wali hakim untuk pernikahan nanti?
Benar saya akan menggunakan wali hakim tetapi saya tak nak komen sangat mengenai perkara itu. Ia bukan masalah besar pun. Saya kurang suka orang bertanya mengenai perkara itu.
Mengapa Diana tidak panggil bapa saudara daripada keluarga sebelah ibu sahaja sebagai wali?
Dari segi syarak, bahagian keluarga perempuan tidak layak untuk jadi wali.
Taufan Sandy: Liyana Jasmay Pindah Ke Hotel
PETALING JAYA: Pelakon Liyana Jasmay mengambil langkah berjaga-jaga menginap di Hotel Lexington, Midtown, sejak Rabu lalu untuk mengelakkan berdepan dengan Taufan Sandy yang sedang melanda di New York, Amerika Syarikat.
Liyana, 24, yang tinggal di Kips Bay berkata, keputusan berpindah ke hotel itu dibuat supaya lebih mudah untuk dia berhubung dengan keluarganya.
"Kami tiada bekalan elektrik sehingga Sabtu ini dan talian telefon juga tiada.
"Jadi saya mengambil keputusan untuk menetap di sebuah hotel untuk berhubung dengan keluarga," katanya menerusi Twitter miliknya pada Khamis.
Liyana sedang melanjutkan pengajian dalam bidang pengarahan dan lakonan selama enam bulan di Akademi Filem New York (NYFA) sejak Julai lalu
Pelakon itu ditemani ibu, Habsah Simpon, sepanjang berada di negara tersebut dan turut dikunjungi kakaknya, Faradilla, saat berdepan situasi berkenaan. Keluarga mentua kakaknya juga sama-sama berada di New York ketika itu.
Menerusi laporan Berita Harian pada Jumaat pula, Liyana memberitahu, alternatif keluar dari rumah dan tinggal di hotel perlu dilakukan kerana mahu mendapatkan isyarat telekomunikasi dalam memastikan interaksi antaranya dan keluarga di Kuala Lumpur (KL) berterusan.
Pelakon itu menceritakan pengalaman detik cemasnya apabila mendengar dentuman kuat dan ia datangnya daripada sebatang pokok yang tumbang.
“Kawasan tempat tinggal saya, termasuk beberapa lagi tempat, turut terjejas. Kami terpaksa bergelap di rumah, malah lebih teruk ia turut mengganggu isyarat telekomunikasi. Kawasan tempat tinggal saya sudah seperti bandar kosong yang ditemani angin.
“Malah bahagian bumbung dan tingkap bilik tidur saya sendiri hampir ditimpa pokok tumbang. Saya memang berada dalam bilik ketika itu. Saya terkejut kerana pada mulanya tidak menyangka bunyi dentuman kuat itu sebenarnya datang daripada sebatang pokok yang tumbang.
“Bunyi itu membuatkan kami terjaga daripada tidur dan ketakutan. Keesokan harinya apabila kami periksa, pokok itu tumbang bersebelahan rumah. Tak dapat saya bayangkan kalau pokok itu jatuh atas tingkap, yang kesemuanya dibuat daripada kaca,” katanya.
Kata Liyana , dia bersyukur apabila diri dan keluarganya selamat, serta tidak berdepan musibah besar dan pada masa yang sama bersyukur kerana tidak berdepan situasi cemas itu bersama ibunya saja. Sebaliknya, ada ahli keluarga lain bersama.
“Cuba bayangkan kalau saya dengan Mama saja berada di sini. Tapi Mama sendiri sangat tabah. Kami berdoa supaya sentiasa dilindungi Tuhan, begitu juga mereka yang berdepan situasi sama," ujarnya.
Tambah Liyana, ketika ini, pengajiannya tergendala seketika akibat bencana itu dan dijangka kembali ke ibu kota pada Disember depan, sekali gus menguruskan persiapan hari bahagianya, yang dijadualkan pada Januari 2013.
A. Aida Sudah Bersedia Dedah Kisah Rumah Tangga Di Mahkamah
KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit drama A. Aida sudah bersedia untuk mendedahkan kisah rumah tangganya di mahkamah selepas membuat keputusan untuk menuntut fasakh daripada suaminya, Deputi Superintenden (DSP) Suffian Sulaiman.
A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 42, berkata, secara dasarnya dia enggan untuk memohon bercerai secara fasakh kerana menyedari kisah buruk rumah tangganya akan terdedah namun dia tidak mempunyai pilihan lain selepas Suffian enggan bercerai secara baik.
"Dia yang memaksa untuk saya memilih cara ini dan walaupun agak berat tetapi saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan untuk semua kisah rumah tangga saya dibongkar di mahkamah kelak," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui di luar Mahkamah Syariah Jalan Duta di sini pada Jumaat.
Terdahulu A. Aida yang ditemani oleh peguam syarie, Zulkifli Che Yong memfailkan tuntutan fasakh mengikut Seksyen 52, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Kebenaran Penceraian Secara Fasakh) di kaunter mahkamah syariah di sini pada pukul 12 tengah hari.
Kes tersebut bakal disebut buat pertama kali pada 26 November depan.
A. Aida turut memberitahu dia yakin kebenaran akan berpihak kepadanya apabila kes itu disebut di mahkamah kelak dan berharap kemelut rumah tangganya akan berakhir dengan cepat.
Dalam pada itu, A. Aida memberitahu perbincangan secara “sulh” yang diadakan bersama suaminya pada 30 Oktober lalu mengenai hak penjagaan anak mereka iaitu Muhamad Rahul, yang berusia empat tahun berakhir dengan baik apabila Suffian bersetuju memberikan hak penjagaan itu kepadanya.
Bagaimanapun kata A. Aida, segala proses mengikut perundangan masih belum dibuat dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.
"Alhamdulillah mengenai soal anak dia menerusi perbincangan secara Sulh yang diadakan telah bersetuju untuk memberikan hak penjagaan anak kepada saya dan persetujuan itu akan direkodkan kepada mahkamah secepat mungkin," ujarnya.
Pada 18 Oktober lalu, A. Aida menarik balik permohonan untuk bercerai secara baik selepas tidak bersetuju terhadap beberapa perkara yang dituntut oleh suaminya.
A. Aida menganggap tuntutan yang dibuat oleh Suffian sebagai keterlaluan dan melampaui batas.
Penerbit drama bersiri popular, Halimah Jongang itu berkahwin dengan Suffian yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Logistik, Bukit Aman Kuala Lumpur, pada 20 April 2007.
Suffian yang merupakan sorang duda sebelum ini turut mempunyai beberapa orang anak hasil perkahwinan terdahulu.
Sebelum berkahwin dengan Suffian, A. Aida pernah bernikah dengan bekas vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng pada tahun 1994 dan berpisah pada tahun 2003.
Hasil perkahwinan itu mereka mendapat dua orang anak iaitu Wan Az Aleesa, 16, dan Wan Azevanatassha yang berusia 11 tahun.
Dia juga pernah berkahwin dengan sorang anggota polis berpangkat biasa tetapi rumah tangga itu tidak kekal lama.
Amah Kebas Barang Kemas Milik Aznil Nawawi
PETALING JAYA: Seorang pembantu rumah warganegara Indonesia melarikan sejumlah barang kemas milik personaliti popular Aznil Nawawi.
Kejadian itu disedari Aznil kira-kira pukul 2 petang Jumaat.
Aznil menerusi Twitter miliknya meminta orang ramai yang mengenali pembantu rumah bernama Soimah itu agar memberkasnya atau menghubungi balai polis berhampiran.
Aznil turut mengedarkan gambar pembantu rumah tersebut melalui laman sosial berkenaan dan juga Facebook miliknya.
Pada awal Ogos lalu akhbar melaporkan rumah Aznil di Taman Yarl dekat sini telah di pecah masuk penjenayah yang menyebabkan selebriti itu kerugian kira-kira RM40,000 apabila barang-barang kemas berupa cincin, gelang emas, anting-anting dan rantai kaki dilarikan.
Semasa kejadian Aznil tiada di rumah melainkan ibu dan pembantu rumahnya.
Azhar Sulaiman Bijak Simpan Rahsia Rumah Tangga
PETALING JAYA: Pelakon Azhar Sulaiman lebih senang tidak berkongsi mengenai kisah rumah tangganya sama ada yang baik atau pun buruk sebagai cara menjaga keharmonian perkahwinan yang dibina dengan Chempaka Emalin Pahamin sejak 16 tahun lalu.
Azhar, 41, berkata, sebagai seorang selebriti dia perlu bijak menyimpan hal-hal peribadi mengenai rumah tangganya supaya ia tidak menjadi permainan di media massa.
"Rumah tangga siapa yang tiada masalah dan begitu juga saya tetapi sebagai seorang selebriti kita harus bijak menyimpan cerita terutama yang buruk daripada diketahui umum.
"Apa juga perihal di rumah jangan dibawa keluar dan bercerita kepada orang lain kerana ia akan mengundang masalah lain," ujarnya kepada mStar Online.
Hasil perkahwinan Azhar dan Chempaka mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Kasih Leia Ixora, 13, serta si kembar, Andika Rees Pahamin dan Kasih Iris Leona yang masing-masing berusia 10 tahun.
Dalam pada itu, Azhar berkata, ada segelintir artis yang gemar bercerita mengenai perihal rumah tangga kepada krew produksi atau pun jurusolek yang sebenarnya mengundang padah kepada mereka sendiri.
Kata Azhar, walaupun mereka tidak mahu kisah peribadi diketahui umum tetapi secara dasarnya mereka sendiri telah menyebarkan perkara tersebut kepada pihak ketiga.
"Saya pernah jumpa segelintir artis yang kononnya tidak mahu pihak media menghidu kisah rumah tangga mereka yang bermasalah tetapi dia bercerita dengan orang sekeliling semasa di set penggambaran.
"Daripada situ cerita ini akan tersebar sehingga ia dapat dihidu oleh pihak media. Bagi saya mereka tidak boleh menyalahkan wartawan yang mahu menulis cerita tersebut kerana golongan berkenaan hanya menjalankan tugas," ujarnya.
Sementara itu, Azhar bersyukur apabila khidmatnya sebagai seorang pelakon masih diperlukan dan memberitahu akan terus berlakon walaupun telah mempunyai pekerjaan tetap dalam bidang seni bina.
Malah kata Azhar, rezekinya dalam bidang lakonan pada tahun ini sangat memberangsangkan dengan pelbagai tawaran diterima.
"Tahun ini sangat baik untuk saya dan berharap 2013 akan menjanjikan perkara-perkara yang lebih teruja," katanya.
Azhar bakal muncul dengan drama bersiri terbaru berjudul Persona Sukma arahan Hazali Ramli di samping pelakon seperti Ruzana Ibrahim, Julia Zigler, Erry Putra dan Amanda Misbun.
Drama bersiri 26 episod itu terbitan Bright Networks Sdn. Bhd.
Ia akan disiarkan bermula Sabtu dan Ahad ini pada setiap pukul 7 malam di TV1.
Milea Aimilia Tertarik Lelaki Berusia, Sedia Bermadu
PETALING JAYA: Pelakon Milea Aimilia mengakui tertarik dengan lelaki tua dan tidak menjadi halangan baginya jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan individu berusia 10 atau 20 tahun lebih tua daripadanya.
Milea atau nama sebenarnya Noor Melia Aimiellia Zaidi, 19, berkata, dia juga tidak mempunyai masalah untuk menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki yang sudah berumah tangga dan bersedia untuk hidup berpoligami.
"Entah kenapa saya memang cukup tertarik dengan lelaki yang lebih berusia. Bagi saya mereka sangat maskulin, seksi dan matang. Antara contoh terdekat ialah tokoh politik Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
"Malah saya sedia hidup bermadu seandainya takdir ditulis begitu. Mungkin ramai yang berasa pelik dengan kenyataan ini tetapi bagi saya, daripada lelaki itu curang di belakang, lebih baik saya hidup berpoligami.
"Lagipun seronok rasanya hidup bermadu dan tinggal sebumbung. Saya percaya bahawa lelaki mempunyai perasaan cinta terhadap lebih daripada seorang wanita dan asalkan mereka adil dan masing-masing mempunyai persefahaman, tidak ada masalah," katanya.
Milea ditemui pada sesi fotografi bagi rancangan 'game show' terbaru saluran ntv7 Panik, di Sri Pentas Bandar Utama, dekat sini, Rabu.
Bagaimanapun tambah pelakon itu, walaupun tidak kisah dengan cara hidup berpoligami, namun dia sering menasihati dirinya supaya tidak mengganggu lelaki yang sudah berumah tangga.
"Ibu saya selalu berpesan, walaupun dia tidak kisah dengan siapa jodoh saya nanti tidak kiralah lelaki bujang, duda atau isteri orang, tetapi dia memberi amaran supaya tidak menggatal dengan orang.
"Malah, saya sendiri cuba elak daripada menggoda lelaki yang dah berkahwin, walaupun terdapat empat hingga lima lelaki yang berstatus Datuk cuba memikat saya," tuturnya.
Sementara itu, pelakon filem Karipap Karipap Cinta ini mengakui sejak namanya menjadi perhatian gara-gara kontroversi video bogel, dia agak sukar untuk menerima tawaran berlakon daripada pihak produksi namun bersyukur apabila diterima oleh Primeworks Sdn Bhd.
"Sebenarnya, saya bersyukur kerana Primeworks tidak pernah memandang rendah saya kerana kontroversi yang tercetus. Mereka mengambil saya berlakon untuk beberapa episod sitkom dan drama Senario serta yang terbaru, Panik," katanya.
Dalam rancangan Panik, Melia bergabung tenaga dengan Ika Nabila, Juffri Rayyan William dan Ezany Nizariff dalam satu kumpulan untuk menentang kumpulan saingan yang dibarisi pelakon Danny (X-Factor), Marlon (V.I.P), Anis Al-Idrus dan Shakila Khoriri.
Rancangan yang diterbitkan sebanyak enam episod ini akan ditayangkan setiap Rabu bermula 5 Disember depan ini, 8.30 malam di ntv7.
Chef Wan Enggan Ulas Rumah Tangga Anak
PETALING JAYA: Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan menganggap pihak media yang sentiasa memburu cerita panas mengenai rumah tangga anak dan menantunya diibaratkan seperti ikan piranha.
Kata Chef Wan, beliau tidak akan sesekali membuka pekung di dada selain telah mengarahkan anaknya Mohd Nadzri (Chef Riz) dan menantunya Ana Dahlia agar berdiam diri daripada memberi sebarang kenyataan yang boleh disalahertikan.
“Berdiam diri adalah cara terbaik dalam menghadapi isu ini kerana ia adalah urusan peribadi perkahwinan mereka, bukan urusan anda semua (pihak media)," katanya kepada mStar Online menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dikirimkan.
Chef Wan memberitahu, beliau juga tidak mengamalkan sikap menceritakan apa juga konflik dalaman keluarga kerana ia hanya akan mengundang fitnah dan spekulasi kepada khalayak yang tidak mengetahui perkara sebenar.
"Kenapa anda bertanya kepada saya dan bukan mereka? Sibuk hal rumah tangga orang, tanya pada bapa mertua buat apa?
"Anda tahu yang anda tidak akan dapat apa-apa kenyataan daripada saya. Saya enggan memberikan apa-apa komen," tegasnya.
Bagaimanapun Chef Riz dalam akhbar Kosmo! pada Rabu mengaku rumah tangganya dengan Ana sedang bergolak dan dia berusaha untuk menyelamatkannya namun enggan mengulas lanjut.
Khabar angin mengenai konflik perkahwinan Chef Riz dan Ana mula diperkatakan sejak beberapa bulan lalu apabila aktres itu dikatakan bersikap curang.
Dalam laporan mStar Online bertarikh 19 Oktober lalu, Ana menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya dan menganggap tuduhan tersebut timbul kerana sikap iri hati pihak tertentu.
Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, bernikah dengan Chef Riz, 31, pada 11 Disember 2011.
Pada majlis pernikahan itu Ana menerima wang hantaran sebanyak RM20,000 dan mas kahwin RM1,001 berserta sebentuk cicin.
Sebelum berkahwin dengan Chef Riz, Ana merupakan seorang janda.
Neelofa Pinta Kelincahannya Dalam 'MeleTop' Tidak Dipertikai
PETALING JAYA: Pelakon Shaheizy Sam menolak dakwaan kononnya dia dan aktres Yana Samsudin tidak dibenarkan pihak pengurusan Metrowealth (MIG) untuk menyampaikan lagu duet Begini Caranya pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik (MM) ke-27 terbitan TV3 pada 11 November ini.
Dalam kenyataannya kepada Kosmo pada Khamis, Sam berkata, keputusan untuk menarik diri daripada pertandingan itu adalah daripada dirinya dan Yana sendiri.
Katanya, ia tiada kaitan dengan tuduhan kononnya mereka tidak mendapat pelepasan daripada MIG.
"Tidak sama sekali. Saya sebenarnya seorang pelakon dan bukan penyanyi. Saya berasa tidak sesuai untuk membuat persembahan pada acara tersebut.
"Lebih afdal jika kami berikan peluang itu kepada penyanyi yang lebih layak atau mempunyai lebih pengalaman," katanya.
Isu mengenai penarikan diri Sam dan Yana daripada menyampaikan lagu itu diumumkan pihak TV3 pada sidang media pengumuman lagu-lagu yang tersenarai ke peringkat separuh akhir MM27, baru-baru ini.
Tempat mereka digantikan komposer lagu itu, Ajai dan Marsha Milan Londoh.
Yana pula berkata, dia tidak dapat memberikan komen lanjut kerana tiada kepastian mengenai status sebenar perkara itu.
"Apa yang saya tahu, Sam sendiri tidak mahu. Saya sebagai rakan duet pun mengikut keputusan dia kerana tidak seronok pula jika saya menyanyi dengan orang lain.
"Tiada mana-mana pihak pun yang bertanya kepada kami. Mungkin mereka (TV3) terus berurusan dengan pihak MIG untuk memastikan hal ini," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo menafikan pihaknya campur tangan dalam keputusan penarikan diri kedua-dua artis itu.
Malah dalam kenyataannya kepada Berita Harian, penerbit filem dan drama itu turut terkejut apabila timbul dakwaan kononnya syarikat pengurusan itu menghalang pembabitan kedua-dua pelakon itu untuk menyertai pertandingan berkenaan.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
