Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Julfekar Tamatkan Zaman Duda Dengan Sekali Lafaz
Komposer Julfekar sah bergelar suami kepada penyanyi Nurul Yasmin Abdul Aziz atau Min Yasmin, 25, dengan sekali lafaz dalams atu majlis di Masjid Kota Damansara, di sini, pada Jumaat.
Majlis akad nikah yang berlangsung kira-kira pukul 3.40 petang disempurnakan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Kota Damansara, Mohd Arip Johdi.
Min Yasmin diwalikan oleh bapanya Abdul Aziz.
Pada majlis itu Julfekar atau nama sebenarnya Julfekar Ahmad Shah, 49, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM1,000, manakala wang hantaran dirahsiakan.
Pihak lelaki turut memberikan tujuh dulang hantaran antaranya minyak wangi, beg tangan, sejadah, Al-Quran, kasut, kek dan cincin,
Ia dibalas sembilan dulang hantaran oleh pengantin perempuan antaranya sirih junjung, buah-buahan, Al-Quran, dompet dan tali pinggang, sejadah, kasut, cincin, baju kemeja dan kek.
Pasangan mempelai kelihatan anggun mengenakan busana berwarna putih daripada butik N'dah.
Ini merupakan perkahwinan kedua buat Julfekar dan yang pertama buat Min Yasmin.
Komposer tersebut turut mempunyai empat orang anak hasil perkahwinannya terdahulu.
Che Ta Rugi Hampir Setengah Juta, Mahu Saman Pengusaha Produk
Pelakon Rozita Che Wan (Cik Ta) terpaksa menanggung kerugian hampir setengah juta ringgit gara-gara dua pihak telah menggunakan nama dan gambarnya bagi mempromosikan produk kecantikan dan kesuburan tanpa kebenaran.
Rozita atau nama sebenarnya Rozita Abu Bakar@Che Wan, 40, berkata, akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian kerana kehilangan kontrak bagi tawaran untuk menjadi duta beberapa produk gara-gara namanya dikaitkan dengan produk berkenaan di laman sosial Instagram dan Facebook.
"Saya mendapat tahu ada pihak menggunakan nama dan gambar saya yang disampaikan oleh wakil sebuah syarikat yang ingin mengambil saya menjadi duta produk mereka.
"Bagaimanapun syarikat tersebut enggan menjalinkan kerjasama dengan saya jika saya dikaitkan dengan produk berkenaan," katanya kepada mStar Online.
Rozita ditemui pada sidang media tergempar berhubung perkara itu yang diadakan di Amp Walk di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, Rozita berkata peguamnya, Ahmad Fuad Hasim akan menghantar notis tuntutan kepada syarikat berkenaan agar tidak menggunakan namanya termasuklah menurunkan iklan mereka dalam masa terdekat.
Jelas Rozita, pihaknya akan memberi tempoh selama 14 hari untuk pihak berkenaan berbuat demikian sebelum mengambil tindakan saman di mahkamah.
”Kalau boleh saya tidak mahu membawa kes ini ke mahkamah dan sebab itu saya memberikan mereka notis untuk memadam semua iklan yang dimuat naik di laman sosial mereka.
"Sekiranya mereka tetap berdegil baharulah tindakan susulan akan diambil," katanya.
Sementara itu, Rozita memberitahu, dia mengetahui ada pihak menggunakan gambarnya sebagai promosi produk tersebut sejak beberapa bulan lalu.
Rozita turut menegaskan dia tidak pernah terlibat atau mewakili mana-mana produk kecantikan kecuali Safi Rania Gold dan Longevite.
"Penjelasan ini diharap dapat memberi peringatan kepada pengusaha produk-produk yang lain supaya kes seumpama ini tidak di pandang ringan," ujarnya.
Min Yasmin Harungi Kontroversi Sebelum Kahwin Julfekar
Penyanyi Min Yasmin berasa lega akhirnya hubungan cintanya selama empat tahun dengan komposer Julfekar, 49, diakhiri dengan ikatan yang sah sebagai pasangan suami isteri.
Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 25, berkata, terlalu banyak dugaan dan rintangan yang terpaksa dilalui untuk mempertahankan hubungan tersebut sebelum kedua-duanya diijabkabulkan.
"Alhamdulillah, saya rasa terlalu lega dan bersyukur akhirnya kami disatukan sebagai suami isteri. Terlalu banyak dugaan sepanjang perhubungan selama empat tahun ini.
"Saya tidak ambil kira kontroversi atau pandangan buruk masyarakat terhadap dia atau kepada hubungan kami," katanya kepada mStar Online selepas selesai majlis pernikahan mereka yang berlangsung di Masjid Kota Damansara, di sini, Jumaat.
Pada majlis itu Julfekar atau nama sebenarnya Julfekar Ahmad Shah, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM1,000, manakala wang hantaran dirahsiakan.
Majlis resepsi akan diadakan pada 13 April ini di Dewan N'Dah Mahligai, Shah Alam dekat sini.
Dalam pada itu tambah Min, kontroversi paling teruk dihadapinya apabila mereka dikatakan sudah berkahwin secara sembunyi beberapa tahun lalu.
Ketika ditanya tentang perbezaan umur hampir 25 tahun di antara meraka Min berkata dia tidak pernah menganggap perkara itu sebagai satu masalah.
"Saya tidak kisah umur dia berapa, asalkan dia bukan suami orang. Walaupun jarak umur kami agak jauh tetapi dia pandai untuk mengambil hati dan membaca fikiran saya," katanya.
Sementara itu, Julfekar berkata, keistimewaan wanita tersebut adalah daripada cara dia membawa diri selain kematangan yang jauh daripada usia sebenarnya.
Malah ujar Julfekar, Min merupakan seorang yang mampu membuka hatinya untuk kembali semula berumah tangga.
"Dia berfikiran terbuka dan matang, kalau saya minta dia buat sesuatu dia pasti akan lakukan dengan baik, malah lebih cekap daripada saya.
"Dia juga pandai membawa diri ke mana sahaja dan tidak terlalu cerewet, cuma ada juga kadang-kadang dia cepat panas baran kerana darah muda," ujarnya.
Pasangan ini masih belum menetapkan lokasi berbulan madu, namun merancang untuk bercuti di sebuah pulau.
Sementara itu, ditanya tentang kerjaya Min selepas berkahwin, jawabnya, dia lebih sibuk dengan pelancaran album terbaharu yang tertangguh akibat insiden MH370.
"Kebiasaannya orang berkahwin selepas berada di hujung kerjaya, namun kerjaya nyanyian saya baru sahaja bermula.
"Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan keluar dengan album terbaharu yang sepatutnya dilancarkan pada bulan lepas namun terpaksa dibatalkan kerana menghormati insiden MH370," ujarnya.
Kekasih Muncul Bikin Adira Terkejut
Membuktikan hubungan cinta mereka masih kekal, kekasih kepada Adira iaitu Shahrul Nasrun hadir memberi semangat kepada penyanyi itu pada malam pratonton Konsert Stanza Cinta yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, di sini, malam Khamis lalu.
Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 23, berkata, dia sendiri terkejut kerana tidak dimaklumkan teman lelakinya yang juga Pengerusi Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia itu hadir pada malam pratonton tersebut.
"Saya tidak tahu dia ingin datang menyaksikan konsert ini, tiba-tiba sahaja semasa segmen kedua, pengurus pentas memberitahu ada seorang lelaki ingin jumpa saya.
"Biasanya saya memang tidak beritahu dia saya berada di mana, cuma mungkin dia tahu tentang konsert ini dan sengaja datang untuk memberi semangat," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun, Adira menafikan kehadiran kekasihnya itu adalah untuk membuktikan kepada masyarakat gosip mereka putus cinta tidak benar.
"Saya tidak ada apa-apa masalah pun dengan dia dan hubungan kami masih seperti dahulu.
"Orang bercakap demikian kerana saya padam gambar dia di laman Instagram, namun sebelum saya padam saya sudah memberitahu dia terlebih dahulu.
"Lagi pula hanya gambar kami berdua sahaja yang saya padam, masih banyak lagi gambar dia seorang dalam Instagram saya," katanya.
Adira bertindak demikian bagi mengelakkan pergaduhan antara peminat yang tidak senang dengan gambar tersebut.
Sementara itu, ditanya tentang hubungannya dengan aktres Lana Nordin yang turut dikatakan mempunyai hubungan dengan Shahrul, Adira berkata dia tidak mempunyai masalah dengan pelakon wanita itu.
"Saya pernah terserempak dengan Lana dalam satu majlis, kami bertegur seperti biasa dan tiada masalah.
"Ketika khabar angin itu timbul saya ada bertanya dengan Shahrul tentang perkara berkenaan tetapi dia sudah menjelaskan perkara tersebut," katanya.
Dalam pada itu, ditanya tentang kerjasama dengan bekas kekasihnya penyanyi Hafiz Suip dalam persembahan berkenaan Adira berkata, dia tidak menyimpan sebarang perasaan cinta kepada penyanyi itu lagi.
Jelasnya, apa yang berlaku antara dia dan Hafiz di atas pentas hanya atas dasar kerja semata-mata.
"Saya bakal bekerjasama dengan Hafiz untuk beberapa projek akan datang, tetapi ia bukan satu masalah.
"Kami sudah jadi kawan baik dan saya tiada sebarang perasaan lagi terhadapnya. Babak bersentuhan yang dilihat di atas pentas hanya untuk menarik perhatian penonton," katanya.
Konsert Stanza Cinta turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular seperti Amy Search, Noh Salleh, Jaclyn Victor, dan Haziq yang berlangsung selama dua hari iaitu 4 dan 5 April ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
Nikah 2 Mei, Misha Omar Mula Edar Kad Kahwin
Penyanyi Misha Omar mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga bersama tunangnya, juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) Firos Ezzwan Rossly, 32, pada 2 Mei depan.
Misha atau nama sebenarnya, Samihah Omar, 32, berkata, dia dan pasangannya sudah mula mengedarkan kad jemputan kahwin dan akan dihadiri kira-kira 500 orang tetamu.
"Kad kahwin sudah pun diedarkan bermula hari ini (Sabtu). Majlis pernikahan akan berlangsung di sebelah pagi manakala acara resepsi pula diadakan pada sebelah malam.
"Kedua-dua majlis itu akan berlangsung di Hotel Renaissanse Kota Bharu, Kelantan," katanya.
Misha ditemui pada sidang media khas mengumumkan tarikh perkahwinannya itu di Holy Smoke cafe di sini pada petang Sabtu. Turut hadir, tunangnya, Firos bersama pengurus yang juga merupakan kakak Misha, Mimie Omar.
Majlis resepsi di pihak lelaki pula akan berlangsung pada 12 Mei ini di Hotel Concorde Kuala Lumpur.
Terdahulu Misha berkata, dia yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 21 Februari ini terpaksa menangguhkan perkahwinan itu bagi menghormati kematian ayahnya, Omar Ismail pada 30 November tahun lalu.
Dalam pada itu, kedua-dua pihak juga bersetuju menyerahkan hantaran lima dulang berbalas lima tanpa barangan berjenama dan wang tunai.
Shila Amzah Rangkul Tempat Ke-3 'I Am A Singer 2014' Di China
Penyanyi Shila Amzah sekali lagi mengharumkan nama negara apabila dia berjaya mendapat tempat ketiga pada pertandingan akhir I Am A Singer 2014 yang berlangsung di Changsha, China, malam Jumaat.
Juara program itu pula dimenangi oleh Han Lei dari China manakala naib juara disandang oleh penyanyi Hong Kong iaitu G.E.M.
Pada pertandingan akhir program yang disiarkan secara langsung menerusi HunanTV Channel itu, Shila bersaing dengan empat lagi peserta termasuk rakan senegara Gary Chaw, Zhang Jie (China), Phil Chang (Taiwan) dan Zhou Bichang (China).
Bagi pusingan pertama, Shila berduet dengan penyanyi China, Huang Qishan menerusi lagu When You Believe nyanyian asal Whitney Houston dan Mariah Carey.
Pada pusingan kedua pula Shila beraksi solo dengan menyampaikan lagu popular KPop berjudul Mama nyanyian Exo-M.
Sebelum mara ke pusingan akhir, Shila menyertai program berkenaan pada minggu ketujuh (21 Februari lalu) dengan menyampaikan lagu Xiang Ni De Ye dan mendapat tempat kedua.
Kemudian penyanyi itu meneruskan saingan minggu kelapan menerusi lagu Zui Chang De Dian Ying dengan kedudukan tempat keempat, minggu kesembilan dengan lagu Listen (tempat ketiga) dan minggu ke-10 dengan lagu Forever Love (tempat ketiga).
Terdahulu, Shila pernah menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China.
Bidan Bakal Jaga Liyana Jasmay Sehingga Habis Pantang
Pelakon Liyana Jasmay sudah membuat persiapan lengkap bagi menyambut kelahiran anak sulungnya yang dijangka pada Jun depan.
Liyana, 23, berkata, dia juga sudah mempunyai bidan yang akan menjaganya sepanjang proses berpantang selepas bersalin nanti.
"Alhamdulillah, saya dan kandungan sihat dan tiada sebarang masalah, Insya-Aallah saya akan melahirkan bayi ini pada Jun depan.
"Selepas bersalin ada bidan yang akan jaga saya dan tinggal di rumah ini sehingga saya habis pantang. Saya juga tidak mahu keluar rumah ketika dalam pantang selama 44 hari.
"Walaupun ada segelintir wanita bersalin yang tidak begitu ambil berat hal ini, namun saya menganggap ia sebagai sesuatu yang penting terutama untuk kesihatan masa akan datang," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.
Tambah Liyana, dalam proses pantang itu juga, dia akan berusaha mengembalikan semula berat badan asalnya sebelum tampil di khalayak.
Sementara itu, Liyana berkata, dia akan mengadakan sebuah majlis doa selamat sempena menyambut kelahiran bayi pada Sabtu ini.
Katanya, dalam majlis tersebut juga, dia bakal mendedahkan jantina anak yang di kandungnya itu.
Sementara itu, katanya, suaminya Fathuddin Mazlan adalah insan yang paling teruja menanti kelahiran bayi mereka.
"Suami saya paling teruja, dia paling sibuk membeli barang-barang bayi dan menghias bilik tersebut," katanya.
Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan keluarga selepas kelahiran anak sulungnya itu, Liyana berkata, dia hanya menyerahkan kepada Allah dan tidak pernah merancang apa-apa perkara.
Bagaimanapun dia mahu bayi tersebut membesar dan mendapat kasih sayang secukupnya.
"Saya tidak pernah ada perancangan keluarga, biar Allah yang tentukan rezeki itu.
"Tetapi kalau boleh biar anak sulung ini besar sedikit sebelum dia dapat adik (kelahjiran kedua)," ujarnya.
Liyana merancang untuk bersalin di Pusat Perubatan Prince Court, dekat sini.
Kilafairy Terima Kritikan Dibandingkan Dengan Hanez Suraya
Pelakon Kilafairy sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan dan diperbandingkan lakonannya dengan pelakon pilihan pertama Hanez Suraya yang turut berlakon dalam teater Projek Kahwin. Ia bakal akan dipentaskan pada 6 hingga 14 Jun depan di Panggung Sari, Istana Budaya.
Bagaimanapun, Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisha Jangir Khan, 22, berkata, sebagai pendatang baharu dalam industri hiburan, dia menganggap ia sebagai satu cabaran kepada dirinya.
"Perkara pertama ketika menerima tawaran ini ialah bersedia terima kritikan dan akan diperbandingkan dengan lakonan Hanez Suraya.
"Tetapi saya anggap ia sebagai cabaran, kalau tak bagus, saya akan cuba lagi dan perbetulkan kesilapan pada masa akan datang," katanya kepada mStar Online.
Katanya, dia turut mengakui menerima tawaran untuk beraksi di pentas Istana Budaya sebagai satu peluang dan landasan untuknya lebih dikenali.
Dia turut mengakui, teater ini juga sebagai laluan untuk dia belajar tentang tarian, vokal dan lakonan melalui kelas yang dianjurkan pihak produksi Mask Team.
"Boleh dikatakan ini rezeki saya paling besar dan serius tahun ini. Lagipun bukan senang pendatang baru seperti saya ini untuk berada di Istana Budaya,
"Oleh itu juga, saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju berlakon dalam teater ini," katanya.
Kilafairy bakal tampil dengan watak Nisa dalam pementasan teater tersebut mulai 6 Jun hingga 11 Jun 2014. Sementara pelakon Hanez Suraya yang memengang watak yang sama akan beraksi dalam empat pementasan terakhir iaitu pada 12 hingga 14 Jun 2014.
Teater Projek Kahwin arahan Muhammad Azri Ali mengupas tentang isu perkahwinan di Malaysia di sudut positif dan negatif.Teater ini turut dibintangi Izzue Islam serta dijayakan barisan pelakon seperti Shah Iskandar, Imam Muda Asyraf, Sherry Alhadad, Zulin Aziz Fazleena Hishamuddin dan Kaka Azraff.
Sementara itu, Kilafairy berkata dia tidak berasa bersalah apabila diminta menggantikan tempat Hanez Suraya berikutan pelakon wanita itu pada awalnya membuat keputusan menarik diri.
"Saya difahamkan yang Hanez mulanya mahu tarik diri dan barulah saya ditawarkan untuk watak tersebut. Jadi saya tidak ada rasa bersalah. "Saya juga tidak anggap ia sebagai beban, InsyaAllah saya akan berikan lakonan yang terbaik," katanya.
Dalam perkembangan lain, anak kepada penyanyi Rohana Jalil kini sibuk dengan perniagaan butik dan menguruskan studio fotografinya.
Dia juga bakal merakamkan single keduanya tidak lama lagi.
Zul Huzaimy Sangkal Cintai Isteri Orang
Pelakon Zul Huzaimy menyangkal laporan sebuah portal hiburan yang mendakwa teman wanitanya masih bergelar isteri orang.
Zul atau nama sebenarnya Zul Huzaimy Marzuki, 36, berkata, dia hairan bagaimanapun gosip berkenaan timbul dan menegaskan gosip berkenaan sama sekali tidak berasas.
"Saya tidak nafikan wanita berkenaan adalah teman wnaita saya tetapi dia bukanlah isteri orang seperti yang didakwa. Ia sama sekali tidak benar," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.
Dalam pada itu, Zul enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan terbaharu itu dan menyifatkan ia sebagai perkara remeh.
Jelas pelakon itu lagi, dia juga tidak kisah tentang apa juga pandangan orang lain terhadap kehidupan peribadinya kerana ia tidak memberi kesan kepadanya.
"Biarlah orang hendak kata apa pun kerana saya lebih tahu siapa dia dan saya tidak mahu komen lanjut mengenai perkara itu," ujarnya.
Bagaimanapun Zul tidak menafikan dia mula bercinta dengan wanita berkenaan sejak setahun lalu namun masih belum terfikir ke arah perkahwinan buat masa ini.
Pelakon itu sebelum ini pernah berkahwin dengan Nor Dalilah Muhammad, 31, pada tahun 2005. Bagaimanapun, perkahwinan mereka gagal dipertahankan dan bercerai talak dua pada 1 Julai 2010 di Mahkamah Rendah Syariah, Kajang.
Dalam perkembangan lain, Zul berkata dia kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Karambit bersama Eman Manan untuk siaran RTM.
'Orang Tua' Kahwin, Julfekar Enggan Fikir Komen Negatif
Komposer Julfekar Ahmad Shah, 49, enggan memikirkan pandangan negatif yang dilemparkan selepas dia membuat keputusan berkahwin kali kedua pada usia lanjut dengan penyanyi Min Yasmin yang baharu berusia 25 tahun.
Menurut Julfekar, biarpun masih tidak percaya dengan keputusan untuk mendirikan rumah tangga itu, namun dia menganggap perkara itu sebagai jodoh yang sudah ditetapkan oleh Allah.
"Saya masih lagi seperti tidak percaya dengan keputusan ini sama ada patut atau tidak saya yang sudah tua ini berkahwin lagi.
"Perkara pertama yang saya fikir ialah pandangan tentang orang tua yang berkahwin dengan orang muda, tetapi ini semua saya ketepikan dan anggap ia sudah jodoh yang ditetapkan dan saya tidak boleh menolaknya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Julfekar bakal bernikah dengan Min Yasmin di Masjid Kota Damansara di sini pada pukul 2.30 petang Jumaat (esok).
Sementara majlis resepsi akan berlangsung pada 13 April ini di Restoran N'Dah Mahligai, Shah Alam, dekat sini.
Menerusi perkahwinan pertamanya dengan Zaini Mohd Zain, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan yang berumur antara 23 tahun hingga 30 tahun.
Tiga daripada anak Julfekar telah berumah tangga dan dia juga mempunyai dua orang cucu berusia setahun dan dua tahun.
Dalam pada itu, Julfekar berkata, majlis tersebut bakal dihadiri oleh bekas isterinya sementara anak-anak dan menantunya pula mengambil tanggungjawab sebagai pembawa dulang hantaran.
"Saya bersyukur anak-anak dan bekas isteri saya suka dengan Min, malah mereka yang suruh saya berkahwin supaya ada orang yang akan menjaga pakai dan minum saya.
"Mereka juga banyak membantu dalam membuat persiapan perkahwinan, empat orang anak saya dan tiga orang menantu akan bawa dulang hantaran nanti," katanya.
Sementara itu, ditanya tentang keistimewaan wanita tersebut sehingga membuka pintu hatinya untuk kembali mendirikan rumah tangga, Julfekar berkata, Min seorang yang penyabar dan berfikiran matang.
Katanya, wanita itu sentiasa berada di sisinya biarpun dia berada dalam kesukaran.
"Kami kenal sejak tahun 2009 lagi ketika dia menjadi pembantu peribadi saya. Dia banyak memberi semangat kepada saya terutama ketika saya berada dalam kesusahan.
"Biarpun kami mempunyai perbezaan usia yang sangat ketara, namun cara pemikiran dia tidak seperti wanita yang seusianya," kata Julfekar.
Sementara itu, ditanya tentang penjagaan kesihatan dia tidak pernah mengamalkan mengambil ubat-ubatan, sebaliknya menghindari pemakanan yang boleh menjurus kepada sesuatu penyakit.
Bagaimanapun, dia mengakui tidak menghadapi sebarang penyakit yang serius pada usia ini.
Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan keluarga dan cahaya mata, Julfekar memberitahu, dia hanya menyerahkan kepada takdir.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
