Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
"Tiada Siapa Boleh Campur Urusan Lakonan Saya" - Nelydia Senrose
Pelakon Nelydia Senrose menjelaskan keputusan menerima tawaran bagi melakonkan adegan romantik atau mesra dalam sesebuah drama atau filem merupakan keputusannya sendiri tanpa melibatkan pihak lain termasuklah kekasihnya Qi Razali.
Nelydia, 20, berkata, sebagai wanita yang sudah dewasa, dia tahu menjaga batasan ketika berlakon asalkan ia tidak menjejaskan maruah diri dan keluarga.
"Segala keputusan menerima sesebuah tawaran adalah daripada diri saya sendiri. Dia (Qi Razali) tiada hak untuk tentukan limit kepada saya. Dia pun tak pernah meletakkan apa-apa batas kepada saya apabila saya berlakon.
Tak perlu ada orang untuk mengajar saya untuk masuk campur urusan lakonan saya. Soal personal saya, ia letak tepi,” katanya kepada mStar Online.
Nelydia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang adegan mesra antara dia dengan pelakon utama drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta Sharnaaz Ahmad yang dikatakan keterlaluan.
Adegan-adegan tersebut didakwa menimbulkan perasaan cemburu oleh kekasihnya Qi Razali apabila melihat gambar-gambar lakonan mereka dimuat naik oleh pelakon lelaki tersebut di laman sosial Instagram.
Katanya, dalam hubungan percintaan salah faham merupakan sesuatu yang normal, bagaimanapun perkara tersebut sudah diselesaikan secara baik.
Dalam pada itu, Nelydia turut mengakui ada beberapa babak lakonannya bersama Sharnaaz yang agak keterlaluan.
Namun, katanya ia hanyalah sebagai memenuhi tuntutan watak yang tertulis dalam novel asalnya.
"Ya, saya akui ada babak lakonan kami yang agak keterlaluan, tetapi itu hanya kehendak novel yang memerlukan kami memberikan yang terbaik", katanya.
Bercerita tentang pengalaman melakonkan watak Mastura dalam drama tersebut, Nelydia berkata ada babak yang membuatkan dia malu untuk melakonkannya.
Katanya, babak yang memerlukan dia mengusap perut dan bercakap dengan bayi yang dikandungnya itu membuatkan dia segan dengan diri sendiri.
"Saya tidak pernah mengandung, banyak kali diulang kerana saya sukar untuk fokus dan segan dengan diri sendiri," ujarnya.
Drama bersiri 60 episod itu dibarisi pelakon seperti Iqram Dinzly, Datuk Jalaluddin Hassan, Lisdawati, Chew Kin Wah, Adeline Tsen dan Tony Eusoff.
Ia telah disiarkan sejak 9 Disember 2013 di Astro Mustika
Tidak Mungkin Elaine Daly Cintakan Hans Isaac
Pelakon dan pengacara Elaine Daly menegaskan dia tidak mungkin kembali bercinta dengan Hans Isaac kerana sudah menganggap pengarah dan aktor itu seperti abang kandungnya.
Elaine menjelaskan khabar angin mengatakan mereka kembali bercinta selepas Hans memuat naik gambar mereka bersama keluarga masing-masing menikmati makan malam bukan suatu isu besar.
"Cerita tentang percintaan kami sudah berlalu hampir 12 tahun namun hubungan kami masih akrab seperti adik-beradik malah saya menganggapnya seperti abang.
"Malah kami sering berjumpa dengan disertai oleh ahli keluarga lain kerana hubungan kami semua memang rapat dan teman lelaki saya turut menyertai pertemuan itu," katanya kepada mStar Online.
Elaine ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu musim bunga dan panas jenama Dressing Paula di G Tower dekat sini, Rabu.
Selain Elaine, antara selebriti lain yang turut hadir pada acara itu adalah Daphnie Iking, Atilia dan Julie Woon.
Dalam pada itu, bercakap mengenai kekasihnya, Elaine berkata, dia tidak pernah mengimpikan akan bertemu seorang lelaki yang disifatkan cukup penyayang dan romantik terhadapnya.
Jelas Elaine, biarpun baharu sahaja mengenali lelaki yang berasal dari Afrika Selatan itu namun hatinya tertarik dengan sifat yang ada padanya.
"Saya kagum dengannya kerana dia berjaya membuatkan saya bercakap tentang dia secara terbuka dan saya berada dalam fasa yang sangat bahagia.
"Kebaikannya, sifat romantis dan keterbukaan dia menerima saya seadanya membuatkan saya tahu dia adalah cinta sejati saya," katanya.
Jelas Elaine lagi, dia bertambah kagum dengan teman lelakinya itu kerana fasih berbahasa Malaysia selain mengetahui pelbagai perkara tentang negara ini.
"Dia adalah seorang doktor dan telah menetap di Malaysia selama 10 tahun malah boleh menyanyikan lagu Negaraku dengan baik selain menghafal Rukun Negara.
"Ia membuatkan hubungan itu bertambah mudah kerana dia faham budaya kita sebagai rakyat Malaysia," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Elaine yang juga salah seorang Pengarah Urusan Kebangsaan, Miss Universe Malaysia berkata, dia kini sibuk dengan pelbagai aktiviti untuk pertandingan itu tahun ini.
Malah kata Elaine, pihaknya akan menjelajah ke seluruh Malaysia bermula Mei depan bagi mencari calon pertandingan tersebut.
"Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini dan tahun ini kami akan mencari di seluruh Malaysia calon sesuai untuk pertandingan tersebut.
"Fokus kami bukan sahaja tentang kecantikan tetapi melihat kepada pakej keseluruhan yang dapat diketengahkan pada peringkat antarabangsa," ujarnya.
Malah kata Elaine, satu sidang media khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengumumkan projek terbaharu itu.
Sharnaaz Enggan Mati Tak Tutup Mata Kerana Lisdawati
Pelakon Sharnaaz Ahmad ingin bersemuka dengan aktres Lisdawati dan suaminya Fauzi Nawawi selepas wanita itu selamat bersalin bagi menyelesaikan isu pertelingkahan di antara mereka ketika penggambaran drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta.
Sharnaaz, 29, berkata, dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan sehingga mampu menjejaskan kesihatan Lisdawati yang kini sedang sarat mengandung anak ketiga.
“Pergaduhan saya dan Lisdawati itu biarlah berlalu, tetapi saya rasa ia patut diselesaikan kerana saya tidak mahu kalau saya mati, mata tidak tertutup rapat.
“Tapi tunggu masa yang sesuai mungkin selepas dia beranak dahulu baru bincang,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan episod akhir drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Encorp Strand Mall, di sini, malam Selasa lalu.
Sharnaaz berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kontroversi antara dia dan Lisdawati apabila wanita itu mendakwa diserang dan diugut Sharnaaz ketika penggambaran drama berkenaan.
Dalam kejadian Februari lalu itu, Lisda membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi sebagai langkah keselamatan.
Sementara itu, Sharnaaz berkata, dia enggan memanjangkan dan bercakap tentang perkara tersebut lagi.
Tak Perlu Tunggu Sehingga Bersalin - Lisdawati
Sementara itu, pelakon Lisdawati yang dihubungi berkata, Sharnaaz tidak perlu menunggu sehingga dia bersalin untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
Kata Lisda, banyak cara dan teknologi terkini yang membolehkan aktor itu menghubunginya jika benar-benar berniat untuk berbuat demikian.
"Saya tidak mahu panjangkan hal ini jika dia tidak buka mulut lagi, tetapi kalau dia kata ingin berdamai tidak perlulah nak tunggu sampai saya bersalin.
"Banyak cara kalau ingin berjumpa atau telefon sahaja kalau benar-benar ikhlas untuk bersemuka dan berdamai," katanya.
Tambah Lisda, sebagai pelakon lebih senior dia lebih lama dalam industri dan pernah melalui pelbagai kontroversi lebih teruk daripada itu.
Sementara itu, Lisda, dia tidak dapat hadir pada tayangan episod akhir drama tersebut berikutan keretanya mengalami kerosakan dan terpaksa dihantar ke bengkel.
"Saya sudah siap-siap nak datang tetapi kereta pulak buat hal dan terpaksa ke bengkel untuk dibetulkan, pada mulanya memang saya ingin menonton bersama-sama dan bertemu peminat drama itu," katanya yang kini sarat mengandung lapan bulan.
Drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta mula disiarkan sejak 9 Disember lalu pada setiap Isnin hingga Rabu bermula pukul 10 malam di Astro Mustika (saluran 134).
Juliza Adzlizan Bertudung, Tiada Lagi Baju Seksi
Penyanyi Juliza Adzlizan memberitahu keputusannya untuk tampil sopan dengan imej bertudung bukan kerana melalui kejadian-kejadian aneh seperti segelintir individu atau sengaja mahu mengikut trend terkini.
Sebaliknya, Juliza, 47, berkata, penghijraan tersebut dilakukan selepas dia merasakan sudah bersedia menjadi seorang muslimah yang mengamalkan tanggung jawab dengan sempurna.
"Saya sudah lama berniat untuk bertudung tetapi banyak sahaja kekangan terutamanya daripada segi pemakaian. Banyak koleksi pakaian saya yang kurang sesuai untuk dipakai dengan tudung.
"Jadi saya terpaksa ambil masa beli pakaian yang sesuai sikit-sikit dan tudung, lagipun saya jarang keluar rumah, sepanjang masa saya duduk rumah sahaja buat kek," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.
Tambah Juliza, dia mula merancang untuk bertudung sejak beberapa bulan lalu, terutama sekali ketika menghadiri majlis-majlis keagamaan.
Bagaimanapun, baharu semalam (Selasa) dia mengakui benar-benar yakin untuk muncul dengan imej tersebut.
"Beberapa bulan lalu saya dah pakai tetapi untuk ke majlis-majlis tertentu sahaja, bila saya pakai saya rasa diri saya sempurna dan lengkap.
"Semalam baru saya pakai betul-betul dan yakin dengan keputusan saya ini, bukan apa, saya tidak mahu hanya pakai tudung tetapi amalan agama yang wajib masih lagi tidak bersedia.
"Saya mahu bila saya berubah dalam keadaan yang saya sendiri sudah kuat keyakinan dan bersedia untuk mengamalkan ajaran Islam dengan baik," katanya yang mengakui tidak pernah memikirkan trend tudung yang ingin digayakan.
Tambahnya, keputusan itu turut mendapat sokongan dan reaksi positif daripada suami dan anak-anaknya.
Dalam pada itu, tambah Juliza, sejak tidak aktif dalam industri hiburan, banyak baju-baju seksi yang pernah dipakainya diberikan kepada orang.
Katanya, dia kini banyak membeli baju yang besar seperti baju kurung dan jubah yang senang untuk dipakai.
"Baju-baju lama saya semua sudah saya beri pada orang. Lagi pula saiz baju sekarang sudah tidak muat lagi untuk saya pakai.
"Sejak duduk di rumah badan saya semakin membesar, jadi saya lebih selesa sarung baju yang senang dipakai seperti baju T, baju kurung dan jubah untuk kemana-mana," katanya.
Sementara itu, Juliza berkata dia kini sibuk dengan perniagaan kek secara dalam talian.
Pada mulanya, dia mengambil tempahan secara 'suka-suka', bagaimanapun ia menjadi perniagaan serius apabila kek tersebut mendapat permintaan ramai.
"Saya buat untuk anak-anak sahaja dan bila ada kawan yang ingin tempah saya buat juga. Namun apabila orang bercakap daripada mulut ke mulut kata kek saya sedap, ramai pula yang ingin buat tempahan.
"Tiga bulan pertama sejak Oktober tahun lalu saya sudah buat lebih 100 biji kek dan saya sangat tidak sangka ia menjadi semakin serius ketika ini," katanya yang terpaksa mengambil kelas seni dekorasi kek.
Juliza berkata, dia kini sedang mencari pembantu bagi membuat persiapan untuk tempahan kek pada bulan Ramadan dan Aidilfitri nanti.
Dia mengakui bersyukur kerana minat tersebut mendapat sokongan suami yang banyak membatu melakukan kerja-kerja rumah apabila dia sibuk di dapur.
"Pada awalnya memang suami saya tidak faham dan rimas melihat rumah bersepah bila saya sibuk membuat kek, namun lama kelamaan dia pula yang bantu saya.
"Dia tahu saya hanya sibuk pada akhir minggu sahaja, jadi dia akan balik awal dan banyak tolong buat kerja-kerja rumah," katanya.
Fiza (Elite) Minta Tidak Dicaci Berhubung Isu Cerai
Pelakon Fiza (Elite) meminta semua pihak tidak mencacinya selepas berita dia memfailkan perceraian terhadap suaminya penyanyi Adam (AF2) tersebar.
Fiza atau nama sebenar Siti Zaidatul Fiza Abd Halim, 32, berkata dia menyedari sebagai seorang artis segala berita tentang masalah peribadi akan diketahui umum.
“Saya manusia biasa yang tidak lepas daripada kesilapan. Cuma apa yang kami buat ada yang tidak puas hati dan menghentam, saya tidak salahkan mana-mana pihak kerana nama pun public figure.
“Tetapi saya agak sedih dan terkilan bila baca blog tentang saya, ada yang cakap semua ini salah saya, saya 'masuk air', saya itu dan saya ini, bukan saya minta untuk jadi begini,” katanya melalui status terbaharu laman sosial Instagram miliknya.
Sebuah akhbar mingguan pada Ahad melaporkan Fiza memfailkan permohonan cerai terhadap Mohd Aizam Mat Saman, 31, atau Adam (AF2) selepas rumah tangga mereka dikatakan menghadapi masalah.
Sumber berkata, kes mereka akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam dekat sini pada Isnin depan.
Fiza juga sejak beberapa minggu ini sering meluahkan perasaan melalui laman sosial Instagram miliknya iaitu menggunakan nama 'puterimahsuri81'.
Sementara itu, Fiza berkata, cacian dan tomahan yang diberikan terhadapnya akan memberi kesan terhadap pembesaran anak-anaknya.Fiza meminta agar masyarakat memberi sedikit rasa simpati terhadap dia dan anak-anak untuk melalui masa-masa sukar ini.
“Tolonglah jangan hukum saya dengan pelbagai cacian dan tomahan, perkara dahulu jangan diungkit lagi.
“Saya ada anak-anak, apa akan jadi bila anak saya besar nanti dan tahu hal ini? Berilah sedikit rasa simpati terhadap saya, anak-anak dan keluarga saya,” pintanya.
Adam dan Fiza bernikah pada 26 September tahun lalu hanya selepas dua bulan berkenalan.
Sebelum itu Fiza pernah berkahwin dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 8 September 2006 dan bercerai pada 4 November 2010.
Hasil perkahwinan Fiza dan Ahmed Farriq, mereka mendapat dua orang anak iaitu Ferra Aryana, 5, dan Feeya Adyrra, 4.
Mercedes Hadiah Ulang Tahun Perkahwinan Ifa Raziah
Pelakon dan penyanyi Ifa Raziah menerima sebuah kereta jenis Mercedes C200 daripada suami Mohd Yani Abdul Rahman sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke 10 pada Khamis.
Ifa, 39, berkata, dia tidak menyangka menerima hadiah tersebut kerana tujuan asalnya ke kedai kereta adalah untuk membeli sebuah kereta keluarga.
"Hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan kami ke sepuluh tahun dan tidak sangka suami menghadiahkan saya sebuah kereta Mercedes.
Pada asalnya kami ke kedai kereta adalah untuk membeli kereta keluarga iaitu jenama Hyundai Santa Fe dan tidak sangka dia belikan satu juga untuk saya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Ifa berkahwin dengan Mohd Yani pada 24 April 2004 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Mohammad Shakir Aqili yang berusia sembilan tahun.
Manakala dia juga mempunyai seorang anak perempuan iaitu Sharifah Putri Umairah, 15, hasil perkahwinan pertamanya.
Tambah Ifa, ia merupakan hadiah pertama sempena ulang tahun perkahwinan mereka, manakala kereta keduanya.
"Saya bukan jenis yang suka bertukar kereta, dulu suami saya beri hadiah kereta sempena kelahiran anak pertama iaitu sembilan tahun lalu iaitu BMW 3 Series yang saya pakai hingga sekarang," ujarnya.
Sementara itu, bercerita tentang kehidupan rumah tangga, Ifa mengakui melalui pelbagai dugaan sepanjang 10 tahun hubungan tersebut.
Katanya, sifat tolaransi dan menerima seadaanya pasangan merupakan kunci kebahagian rumah tangga.
"Sepanjang sepuluh tahun ini memang saya bahagia biarpun apa orang kata tentang saya dan suami, saya tidak pernah peduli.
"Apa yang penting ialah percaya satu sama lain dan menerima diri masing-masing seadanya. Ia menjadi kekuatan kami sehingga kini," ujarnya.
Tambah Ifa, salah satu pengalaman pahitnya pula apabila diserbu Jabatan Agama Islam Kedah ketika menginap di sebuah hotel di negeri tersebut atas urusan kerja.
Katanya, perkara itu merupakan peristiwa yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.
"Saya tidak tahu ini kategori kenangan pahit atau manis tetapi ia memang tidak dapat dilupakan kerana kami disangka berkhalwat, walhal kami suami-isteri.
"Pada malam itu memang kecoh, bagaimanapun semuanya selesai apabila pihak yang membuat serbuan mendapat tahu kami pasangan yang sah," ujarnya.
Dalam pada itu, Ifa turut memberi nasihat kepada pasangan muda atau yang ingin mendirikan rumah tangga agar memikirkan kesediaan mereka sebelum mengambil keputusan untuk hidup bersama.
Katanya, sebuah rumah tangga yang dibina bukan untuk seketika sahaja, malah sepanjang hayat.
"Saya pun pernah mengalami kegagalan rumah tangga, kita tidak tahu jodoh kita sampai mana tetapi kalau boleh kita kekalkan apa yang kita ada.
"Bagi yang ingin berkahwin perlu fikir sebaik mungkin kerana bila kita berkahwin bermakna kita bersedia untuk berkongsi hidup dengan orang lain," katanya.
Fauzi Nawawi Terkejut Dituduh Gagal Bayar Sewa Pejabat
Pelakon Fauzi Nawawi terkejut apabila ada pihak cuba memburukkan namanya sehingga tergamak menuduh dia tidak membayar sewa pejabatnya yang terletak di Cheras dekat sini selama lima bulan.
Fauzi atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi, 41, berkata, sehingga kini dia belum pernah berdepan dengan masalah lewat membayar sewa pejabat dan khabar angin negatif itu dianggap sebagai satu gosip yang tidak masuk akal.
"Tak bayar sewa pejabat lima bulan? Macam tak logik jer.
"Macam mana sampai hal pejabat saya pun orang boleh ambil tahu? Mereka pernah sampai ke pejabat saya ke?," soalnya kepada mStar Online.
Pelakon ini diminta mengulas gosip yang kedengaran kononnya dia tidak Pada Rabu lalu, sebuah akhbar menerusi ruangan pojok melaporkan Fauzi tidak membayar sewa pejabatnya selama lima bulan kerana kesempitan wang.
Hal itu dikatakan berpunca kerana dia kurang mendapat tawaran berlakon.
Bagaimanapun, Fauzi menafikan semua tuduhan itu termasuklah memberitahu dia menolak pelbagai tawaran kerana mahu memberi fokus dalam perniagaannya di bawah syarikat Perfect Illusion Corp Sdn Bhd.
"Saya dah kurang mengambil kerja-kerja lakonan kerana sibuk dengan projek tender kerajaan.
"Projek apa? Saya tidak boleh nak kongsikan lagi. Cuma yang pasti saya sedang mencuba nasib di bidang baru.
"Semua ini adalah demi menjamin masa depan keluarga. Untuk isteri serta anak-anak, Insya-Allah," ujarnya.
Bagaimanapun Fauzi berkata, dia mengambil khabar angin negatif itu sebagai perkara positif kerana merasakan masih ada pihak yang ingin tahu tentang dirinya.
"Saya anggap, apabila digosipkan mengenai sesuatu perkara, kiranya saya masih diperlukan dalam industri seni tempatan ini. Kalau tak, kira saya dah tak lakulah kan...," selorohnya.
Pada Usia Tua, Mariani Penat Jadi 'Hantu'
Pelakon veteran Mariani mendedahkan dia sudah penat untuk memegang watak hantu yang sering ditawarkan kepadanya memandangkan usianya sudah semakin lanjut.
Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail, 81, berkata, tidak mudah baginya melakonkan watak itu kerana ia memerlukan tenaga walaupun tidak banyak dialog yang diperlukan.
Lebih menyedihkan, ada juga sesetengah syarikat produksi yang mengambil kesempatan dengan menawarkannya bayaran rendah dan tidak berbaloi dengan hasil kerja yang dilakukan.
“Pada usia sebegini, bukan budak untuk saya membawakan watak hantu. Walaupun tidak banyak dialog, tetapi kadang-kala solekan yang tebal membuatkan saya berasa kaku dan tidak boleh bergerak selain ia memaksa saya mengeluarkan tenaga yang banyak.
“Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini saya banyak tolak tawaran itu. Anak saya, Melissa Saila pun tidak membenarkan saya mengambil tawaran sebegitu lagi,” katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, Mariani berkata, dia kini sudah nekad untuk menetapkan harga bayarannya sebanyak RM1,000 sehari kepada mana-mana produksi yang ingin mengambilnya berlakon sama seperti bayaran yang diberikan kepada sesetengah artis popular lain.
Katanya, harga bayaran yang ditetapkan itu membuatkan tidak banyak syarikat produksi yang ingin menawarkannya berlakon namun dia tetap dengan keputusan untuk tidak menurunkan harganya.
"Nampak macam besar amaunnya tetapi sebagai seorang pelakon yang lama di bidang ini, harga itu sangat kecil. Pada hal artis-artis muda lain mendapat pendapatan yang lebih tinggi daripada apa yang saya minta.
"Dan kerana itu juga tidak banyak produksi yang mahu mengambil saya berlakon, tetapi tidak mengapa. Saya hanya akan bekerja dengan pihak yang menghargai kerja saya sahaja," ujarnya.
Mengenai sambutan hari lahirnya yang ke 81 tahun pada Ahad lalu Mariani berkata, dia tidak menyangka umurnya mampu mencecah angka itu manakala keadaan kesihatannya juga sihat.
"Alhamdulillah saya masih lagi hidup pada usia ini. Syukur kepada Allah. Ketika melahirkan Melissa, usia saya sudah pun 39 tahun dan ketika itu saya risau adakah saya mampu melihat anak bongsu saya itu 20 tahun selepas kelahirannya?
"Sekarang ini Melissa sudah pun 42 tahun dan saya masih lagi bernafas.
"Ramai yang bertanya apa rahsia saya kekal sihat? Entahlah... tiada rahsia, sebaliknya saya sentiasa berfikiran positif dalam segala hal dan elakkan berfikiran burukterhadap orang lain," tuturnya.
Kira-kira 200 tetamu hadir pada majlis ulang tahun kelahirannya yang diadakan di Saloma Bistro Jalan Ampang di sini termasuklah Uwei, Dian P.Ramlee, Rozita Rohaizat, Datuk Mustapha Maarof, Datuk Aziz Satar, Hail Amir, Uji Rashid, Aspalela Abdullah dan Dior.
Ella cari kelainan
ELLA bukanlah satu nama asing di pentas muzik tempatan Penyanyi yang diberi julukan Ratu Rock Malaysia itu juga mempunyai pengaruh yang amat besar memandangkan pengalaman selama 31 tahun yang dimilikinya.
Selaku orang lama yang berpengalaman serta dilengkapi bakat luar biasa, kebarangkalian bagi pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin, 47 ini gagal dalam memasarkan produk seninya adalah rendah peratusannya.
Jika dia tampil dengan single baharu secara solo sekalipun, tidak mustahil Ella masih mampu lagi untuk mendapat perhatian pendengar muzik tempatan, terutamanya sokongan daripada peminat setianya sejak mula dia bergelar anak seni.
Walau bagaimanapun, Ella tetap mahukan kelainan dalam setiap hasil kreatifnya bagi menghargai jasa-jasa peminat yang disifatkan sebagai tulang belakang kejayaan yang dikecapinya kini.
Terkini, Ella yang pernah berduet dengan nama besar antaranya Datuk Ramli Sarip, Amy Search, Awie dan penyanyi Indonesia Deddy Dores tampil pula dengan buah tangan terbaharu apabila memilih seorang lagi penyanyi dari seberang iaitu Anji sebagai rakan duetnya menerusi dua buah lagu.
Lagu yang diberi judul Pilu dan Risalah Hati itu amat mengujakan Ella kerana beranggapan vokal yang dipersembahkan Anji begitu menakjubkan, selain menyuntik keistimewaan terhadap kedua-dua karya ciptaan Adi Priyo daripada kumpulan Sixth Sense itu.
Sudah sekian lama saya tidak muncul dengan single baharu. Disebabkan faktor itu, saya yakin peminat di luar sana menantikan suatu kelainan daripada saya. Sebab itulah saya memilih untuk berduet dengan Anji.
Selain mempunyai suara gemersik yang bersesuaian untuk 'disatukan' dengan vokal saya, Anji turut mempunyai pengaruh tersendiri di pasaran muzik Indonesia. Ia secara tidak langsung mempromosikan nama Ella di sana," katanya kepada Hits menjelaskan strategi pemasarannya.
Gandingan serasi
Mengulas mengenai pemilihan Anji yang dilihat tidak begitu popular di persada muzik Malaysia, Ella berkata, ia bukanlah suatu masalah besar kerana dia lebih percaya sesuatu produk yang berkualiti mampu mengatasi isu tersebut.
Gandingan vokal kami amat serasi. Alunan suara Anju memikat hati saya dan saya begitu pasti bahawa dialah calon tepat untuk menjadi rakan duet saya. Sekalipun saya memilih seseorang penyanyi Indonesia yang ada nama di sini tetapi suara kami tidak serasi, maka tiada gunanya juga kerana hasilnya tidak berkualiti.
Sebab itulah saya memastikan sesuatu karya itu lebih berkualiti berbanding hanya bergantung terhadap populariti seseorang artis atau penyanyi. Apa yang pasti, Anji pada kaca mata saya adalah pasangan duet paling sesuai," jelas Ella menetapkan pendiriannya.
Pada masa yang sama, Ella menyatakan bahawa dia begitu selesa dengan sikap Anji yang begitu terbuka membicarakan soal muzik serta menerima kritikan dengan baik sekiranya ada pendapat antara mereka berdua yang bercanggah.
Anji sangat optimistik. Jika ada yang tidak kena, kami dapat menyelesaikannya dengan kadar segera disebabkan keterbukaan masing-masing menerima pandangan," tambahnya.
Lisa Surihani Tidak Akan Tonton Cerita Seram
Pelakon dan pengacara Lisa Surihani merupakan seorang yang penakut dan tidak akan menonton atau mendengar kisah seram terutamanya cerita-cerita hantu.
Lisa, 28, berkata, dia mengalami perasaan takut sejak kecil dan sering terbawa-bawa perasaan itu ketika bersendirian.
“Saya bukan seorang yang suka dengar cerita hantu dan saya tidak faham kenapa orang tengok cerita sebegitu?
“Sejak kecil lagi saya memang takut untuk menonton cerita hantu kerana ia akan menggangu tidur saya,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran HBO Sentral Bahasa Malaysia, di Hotel Grand Hyatt, di sini pada Isnin.
Lisa Surihani turut diumum sebagai hos pertama rancangan yang memaparkan filem-filem terbaharu di pawagam dalam versi bahasa Malaysia.
Bagaimanapun, Lisa berkata, dia pernah menerima tawaran berlakon filem genre tersebut berjudul Dendam Orang Mati.
“Selalunya saya memang tolak mentah-mentah filem genre seram, namun ada satu filem berjudul Dendam Orang Mati yang saya terima kerana watak saya dalam filem itu sangat mencabar.
“Ia cerita psiko tetapi lokasi penggambaran di tempat-tempat yang memang menakutkan dan saya terpaksa meminta suami (Yusry Abdul Halim) untuk menemani saya ketika di lokasi,” katanya.
Tambah Lisa, dia juga terkilan kerana disebabkan perasaan takut itu juga dia tidak dapat memberikan sokongan kepada kawan-kawan baiknya yang berlakon dalam filem-filem seram.
Dalam pada itu, Lisa yang mengacarakan program HBO Sentral itu mengakui teruja dan berbesar hati kerana menjadi hos pertama rancangan tersebut.
Dia akan memastikan cara penyampaian agar lebih interaktif bagi menyalurkan maklumat tentang filem-filem terbaharu di pawagam.
“Saya seorang pelakon dan peminat filem, jadi saya berbangga apabila Astro memilih saya untuk menjadi hos rancangan ini.
“Mereka mahu saya bawa rancangan ini mengikut cara saya sendiri, namun apa yang sukar apabila saya terpaksa bercakap sendirian di skrin hijau dengan hanya membayangkan apa yang keluar di televisyen,” ujarnya.
Episod pertama HBO Sentral akan bersiaran pada 27 April ini, pukul 7.15 malam di saluran HBO (saluran 411/431).
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
