Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Nelydia Senrose. Show all posts
Showing posts with label Nelydia Senrose. Show all posts

Nelydia Senrose Tidak Musuhi Qi Razali

Pelakon Nelydia Senrose menegaskan tidak pernah memusuhi bekas teman lelakinya, Qi Razali walaupun hubungan cinta di antara mereka telah berakhir baru-baru ini. Nelydia, 21, berkata, dia tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian namun tetap dengan pendiriannya untuk tidak mendedahkan punca sebenar perpisahan mereka. "Kami berdua ingin fokus kepada kerjaya masing-masing dan perpisahan ini bukan bererti kami bermusuh dan masih berkawan. "Apa pun sebab kami berpisah biarlah ia menjadi rahsia kami berdua kerana tidak mahu memperbesar-besarkan hal tersebut," katanya. Nelydia ditemui pada majlis RTM Screening yang diadakan di Cathay E@Curve di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun kata Nelydia, dia tidak menolak sekiranya jodohnya dengan Qi panjang namun buat masa ini dia ingin memberi fokus kepada kerjayanya sahaja. Dalam pada itu, Nelydia berkata, perpisahan dengan Qi banyak mengajarnya untuk tidak terlalu terbuka tentang soal peribadi kerana ia boleh mengundang kepada sepkulasi negatif kepada segelintir pihak. "Bercerita salah, sorok pun salah tetapi saya fikir pada masa hadapan cukuplah benda-benda peribadi hanya untuk pengetahuan diri sendiri. "Bukan apa bila terlalu banyak didedahkan kepada umum ia banyak menimbulkan spekulasi dan kebanyakan daripadanya tidak tepat," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Nelydia berkata, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Lara Terindah selain bakal muncul dalam dua filem iaitu Kimchi Untuk Awak dan Bukan Kerana Aku Tak Cinta.

"Bincang Hal Kahwin Selepas Ibu Balik Umrah" - Nelydia Senrose

Pelakon Nelydia Senrose memberi ruang kepada ibunya untuk menunaikan umrah sebelum dia membuat keputusan mengenai rancangan perkahwinannya bersama Qi Razali. Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 21, berkata, ibunya akan berangkat ke Mekah pada 29 Mei ini dan perbincangan mengenai hal kahwin akan dilakukan apabila ibunya pulang.
“Mama saya akan menunaikan umrah dalam masa terdekat ini jadi saya tidak mahu menggangu persiapan mama untuk ke sana. “Apabila mama pulang dari menunaikan umrah nanti, InsyaAllah kedua-dua belah pihak keluarga akan berbincang dengan lebih lanjut,” katanya kepada mStar Online. Nelydia ditemui pada majlis sidang media drama komedi bersiriStrawberi & Karipap Musim Kedua di Marmalade Café, Bangsar Village, di sini pada Selasa. Drama komedi 13 episod arahan Nizam Zakaria itu masih mengekalkan Nelydia sebagai Aunty Lisa bersama pelakon lain seperti Zizan Nin, Mia Sara, dan Rykarl Iskandar. Ia diterbitkan oleh Global Station. Dalam pada itu, Nelydia berkata, dia juga mengirimkan doa kepada ibunya agar mendoakan hubungan dia dengan Qi Razali supaya terus kekal dan dapat disatukan sebagai suami-isteri.
“Biar mama doakan jodoh saya apabila berada di sana dan jika ada jodoh maka adalah tapi saya rasa mama memang akan doakan untuk kebahagian anak-anaknya. “Hubungan saya dengan Qi tiada masalah dan kami sudah lama berkawan jadi mesti kami mahukan ia berakhir dengan cerita indah dan bahagia,” katanya. Selain itu, drama yang dilakonkan ini turut menampilkan kakak kepada Nelydia iaitu Uqasha Senrose dan pelakon cilik baru, Jelita Kako. Drama ini merupakan gandingan kali kedua pasangan adik beradik ini dalam satu produksi dan cerita yang sama. Drama komedi Strawberi Karipap musim kedua ini akan bersiaran pada setiap hari Ahad, pukul 11.00 pagi secara eksklusif menerusi saluran Astro Ceria (611) dan siaran serentak di Maya HD (135).

Isu Bakal Bertunang Buat Nelydia Senrose Tertekan

Pelakon Nelydia Senrose memberitahu dakwaan bakal mengikat tali pertunangan dalam masa terdekat dengan kekasihnya Qi Razali membuatkan dirinya tertekan dengan pertanyaan daripada pelbagai pihak. Nelydia, 21, berkata, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri daripada memberi sebarang kenyataan tentang isu tersebut bagi menjaga hati keluarga kedua-dua belah pihak. “Ada baiknya saya tidak komen apa-apa kerana berita buat saya tertekan kerana ramai sangat yang bertanya hal itu. Lagi pula ia bukan keluar daripada mulut saya. “Ia bukan kerana saya ingin memberi hak eksklusif pada mana-mana stesen televisyen tetapi saya mahu menjaga hati keluarga masing-masing, namun apa yang boleh saya cakap maklumat yang diberi di blog hiburan bahawa kami confirm akan bertunang adalah tidak benar,” ujarnya kepada mStar Online. Nelydia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu pertunangannya dengan pelakon Qi Razali yang dikatakan bakal dilangsungkan dalam masa terdekat. Dia ditemui pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015, yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, Sabtu. Nelydia memenangi kategori Hero dan Heroin Pilihan menerusi drama Setitik Kasih Darmia bersama pelakon Sharnaaz Ahmad. Sementara itu, Nelydia turut menafikan dia kini sedang memerlahankan kerjayanya untuk persiapan pertunangan tersebut. “Ramai yang bertanya tentang perkara itu, namun saya rasa tidak perlu untuk bercakap apa-apa dulu yang tidak pasti. “Saya masih sibuk berlakon, selagi ada yang tawarkan watak yang baik saya akan ambil,” ujarnya. Sementara itu, mengulas tentang kemenangannya sebagai Hero dan Heroin Pilihan, Nelydia berkata, keserasian antara dia dan Sharnaaz Ahmad mudah dicapai dalam setiap drama. Katanya, Sharnaaz merupakan pelakon yang berkualiti dan mempu melakonkan setiap watak dengan baik. “Ini kali kedua kami menang pasangan serasi dan keserasian antara kami kadang-kala disalah erti hingga ke luar set penggambaran. “Bagi saya Sharnaaz pelakon yang bagus dan berkualiti. Dia faham dan tahu apa yang saya cuba sampaikan kepadanya walau tidak terdapat dalam skrip,” katanya.

QI RAZALI BAKAL BERTUNANG DENGAN NELYDIA SENROSE

"Setelah lebih dua tahun bercinta saya rasa sudah sampai masanya untuk saya memikirkan langkah seterusnya hubungan kami ini. InsyaAllah, dalam masa terdekat ini saya akan menghantar rombongan meminang Nelydia," demikian kata Qi Razali atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali. Keputusan untuk bertunang itu diambil tambahnya adalah untuk mengelak kontroversi dan dia juga tidak mahu berlengah lagi kerana usianya kini sudah menjengah 38 tahun.
"Kami berdua memang belum puas lagi mengejar cita-cita tetapi diharapkan dengan ikatan pertunangan akan menjadi titik tolak kepada perancangan untuk kehidupan berumahtangga yang kalau boleh tak mahu dilengahkan lagi. "Keputusan ini memang telah saya dan Nelydia bincangkan dan diharapkan selepas bergelar tunang dapat mengurangkan cerita yang kurang enak mengaitkan Nelydia dan pihak tertentu," ujarnya dipetik sebagai berkata. Tahniah diucapkan!

Hubungan Nelydia & Uqasha Semakin Akrab

Hubungan pelakon Nelydia Senrose dengan kakaknya iaitu aktres Uqasha Senrose semakin akrab semenjak wanita itu mengambil keputusan untuk berhijab beberapa bulan lalu. Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 20, berkata, dia adalah orang paling gembira apabila mendapat tahu penghijrahan Uqasha selain menghormati keputusan tersebut. "Alhamdulillah itu adalah antara satu keberkatan dan hikmah perubahannya itu apabila hubungan kami bertambah akrab dan saya sangat gembira dan bersyukur atas perubahannya itu," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Nelydia berkata, Uqasha ada berkongsi cerita mengenai perubahan berkenaan kepadanya namun ia hanya sekadar perkongsian di antara mereka adik-beradik. Jelas Nelydia, kakaknya itu tidak selesa penghijrahannya itu diperbesarkan kerana dia masih dalam proses perubahan ke arah kebaikkan selain bimbang disalahertikan oleh sesetengah pihak.
"Saya pada mulanya tidak tahu dia sudah memakai tudung dan ketika bertanya mengenai perkara itu dia mengakui tetapi tidak bercakap banyak mengenainya. "Apabila bertemu sendiri dengannya baharulah dia berkongsi cerita dan saya hormat keputusannya itu," kata Nelydia. Sementara itu, Nelydia berkata, berbanding tahun lalu, sambutan Ramadan kali ini baginya adalah lebih tenang kerana dia mengambil cuti daripada terlibat dalam sebarang penggambaran. Kata Nelydia, dia membuat keputusan itu kerana ingin menghabiskan masa lebih dengan ahli keluarganya di kampung. "Tahun lalu sangat sibuk sehingga tiada masa untuk berbuka bersama keluarga. Jadi tahun ini saya mengambil cuti supaya dapat bersama mereka," katanya. Dalam perkembangan lain, Nelydia berkata, dia sangat teruja apabila suaranya dipilih bagi memegang watak sebagai Margo dalam filem Despicable Me 2 versi Bahasa Malaysia. Dia juga berharap peminat akan menyukai penampilannya dalam filem berkenaan dan akan mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat.

"Tiada Siapa Boleh Campur Urusan Lakonan Saya" - Nelydia Senrose

Pelakon Nelydia Senrose menjelaskan keputusan menerima tawaran bagi melakonkan adegan romantik atau mesra dalam sesebuah drama atau filem merupakan keputusannya sendiri tanpa melibatkan pihak lain termasuklah kekasihnya Qi Razali. Nelydia, 20, berkata, sebagai wanita yang sudah dewasa, dia tahu menjaga batasan ketika berlakon asalkan ia tidak menjejaskan maruah diri dan keluarga. "Segala keputusan menerima sesebuah tawaran adalah daripada diri saya sendiri. Dia (Qi Razali) tiada hak untuk tentukan limit kepada saya. Dia pun tak pernah meletakkan apa-apa batas kepada saya apabila saya berlakon. Tak perlu ada orang untuk mengajar saya untuk masuk campur urusan lakonan saya. Soal personal saya, ia letak tepi,” katanya kepada mStar Online. Nelydia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang adegan mesra antara dia dengan pelakon utama drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta Sharnaaz Ahmad yang dikatakan keterlaluan. Adegan-adegan tersebut didakwa menimbulkan perasaan cemburu oleh kekasihnya Qi Razali apabila melihat gambar-gambar lakonan mereka dimuat naik oleh pelakon lelaki tersebut di laman sosial Instagram. Katanya, dalam hubungan percintaan salah faham merupakan sesuatu yang normal, bagaimanapun perkara tersebut sudah diselesaikan secara baik.
Dalam pada itu, Nelydia turut mengakui ada beberapa babak lakonannya bersama Sharnaaz yang agak keterlaluan. Namun, katanya ia hanyalah sebagai memenuhi tuntutan watak yang tertulis dalam novel asalnya. "Ya, saya akui ada babak lakonan kami yang agak keterlaluan, tetapi itu hanya kehendak novel yang memerlukan kami memberikan yang terbaik", katanya. Bercerita tentang pengalaman melakonkan watak Mastura dalam drama tersebut, Nelydia berkata ada babak yang membuatkan dia malu untuk melakonkannya. Katanya, babak yang memerlukan dia mengusap perut dan bercakap dengan bayi yang dikandungnya itu membuatkan dia segan dengan diri sendiri. "Saya tidak pernah mengandung, banyak kali diulang kerana saya sukar untuk fokus dan segan dengan diri sendiri," ujarnya. Drama bersiri 60 episod itu dibarisi pelakon seperti Iqram Dinzly, Datuk Jalaluddin Hassan, Lisdawati, Chew Kin Wah, Adeline Tsen dan Tony Eusoff. Ia telah disiarkan sejak 9 Disember 2013 di Astro Mustika

Nelydia Senrose Ada Sebab Padam Gambar Qi Razali Di Instagram

Pelakon Nelydia Senrose mempunyai sebab dan alasan tertentu membuang gambar-gambar dia bersama kekasihnya pelakon dan pengacara Qi Razali di laman sosial Instagram. Nelydia, 20, yang enggan berkongsi punca dia memadam gambar tersebut sebaliknya memberitahu ia adalah bagi menjaga hati banyak pihak. “Saya ada alasan saya sendiri kenapa saya membuang gambar-gambar kami di Instagram itu. “Apa yang boleh saya katakan ialah tindakan itu untuk menjaga hati banyak pihak dan ia hanya sementara, kalau keadaan sudah reda saya akan muat naik semula gambar kami,” katanya. Nelydia berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakannya memadam gambar-gambar dia dan kekasihnya Qi Razali yang dimuat naik di Instagram. Perkara tersebut telah menimbulkan persoalan kononnya hubungan percintaannya sudah berakhir selepas dikaitkan dengan kontroversi bercinta dengan pelakon Sharnaaz Ahmad. Sementara itu, Nelydia menafikan dakwaan putus cinta itu, sebaliknya dia mengakui masih menjalani hubungan sebagai pasangan kekasih dan mengenali hati budi masing-masing. “Keputusan saya padam gambar tiada kena mengena dengan hubungan percintaan saya dengan Qi. Kami masih bersama seperti dahulu dan dalam proses mengenali hati budi masing-masing,” ujarnya. Sementara itu, kekasihnya, Qi yang ditemui pula berkata, mereka belum merancang untuk mendirikan rumah tangga buat sementara waktu bagi memberi keutamaan kepada kerjaya masing-masing. Bagaimanapun, dia mengakui ada merancang untuk melangkah ke fasa baharu terhadap hubungan itu dalam masa terdekat. “Dia (Nelydia) masih muda dan baru ingin mengasah bakat untuk mencapai satu tahap dalam kerjayanya. “Saya tidak cakap bila berkahwin akan menyekat rezeki kami, tetapi ia sedikit sebanyak akan menganggu fokus dia kepada kerjayanya kerana beri tumpuan pada keluarga. “Namun saya ada merancang sesuatu yang rasmi tidak lama lagi,” katanya.

Qi Razali mahu lamar Nelydia

SEBELUM ini, pengacara dan pelakon Qi Razali, 36, pernah mengeluarkan kenyataan sanggup menunggu kekasihnya, Nelydia Senrose, 19, untuk menggapai apa jua impian memandangkan pelakon drama Nur Jannah itu masih muda. Bagaimanapun, ketika ditemui pada sesi fotografi program travelog Destinasi Bajet keluaran ntv7 bersama Kosmo! kelmarin, Qi yang mempunyai jarak usia sebanyak 17 tahun dengan kekasihnya itu mendedahkan bakal mengikat tali pertunangan dengan Nelydia pada tahun hadapan. “Saya faham nama dia (Nelydia) dalam bidang lakonan tengah naik. Dia juga masih belajar. Dia ada impian dan saya sentiasa sokong apa jua impiannya. “Namun begitu, usia saya sudah menjangkau 36 tahun. Kalau boleh saya tidak mahu berkahwin ketika umur saya memasuki 40 tahun. Jadi, dalam tempoh setahun dua ini akan ada langkah seterusnya dalam hubungan kami,” jelas Qi yang kini serius menjalin hubungan cinta bersama Nelydia sejak bulan Februari lalu. Sekali gus kenyataannya itu seolah-olah membuktikan dia akan merisik atau mengikat tali pertunangan bersama Nelydia. Mengulas lanjut, akui pemilik nama penuh Qushairi Mohammed Razali lagi, dia sangat gembira dengan perhubungannya sekarang dan memang merancang untuk berkahwin. Nelydia ketika dihubungi bagi menjawab kenyataan kekasihnya itu memberitahu, Qi belum menyuarakan hasratnya untuk merisik atau meminangnya dalam masa terdekat. “Dia (Qi) tidak ada cakap hendak merisik atau bertunang pada tahun depan. Mungkin dia bercakap dari sudutnya. Kami buat masa ini masing-masing sibuk dan terikat dengan kerjaya masing-masing,” luahnya. Disoal adakah dia terima jika selepas ini Qi menyuarakan hasrat untuk meminangnya pada tahun hadapan, ujar Nelydia, Qi harus berjumpa dengan keluarganya terlebih dahulu. “Saya tidak boleh cakap sudah bersedia atau tidak. Saya serahkan pada keluarga sebabnya saya masih di bawah tanggungan keluarga. Segala kata putus daripada keluarga saya akan ikut,” jelasnya yang turut mengakui mahu perhubungannya bersama Qi ke fasa yang lebih serius.

CINCIN 'TUNANG' QI & NELYDIA?

Bukan cincin tunang, tetapi ia dihadiahkan oleh Qi Razali sempena hari lahirnya. Demikian penjelasan Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 19, mengenai gosip percintaan dengan pengacara yang pernah putus cinta dengan Yuna itu. Malah sebelum ini ada pihak yang menyalahkan Nelydia sebagai orang ketiga yang didakwa menjadi punca perpisahan Qi dan Yuna. Namun ia dinafikan sendiri oleh Qi dengan alasan punca utama perpisahannya adalah disebabkan jarak yang berjauhan dan ia tiada kaitan dengan Nelydia.
"Cincin itu dihadiahkan oleh Qi sempena hari lahir saya. Ia tidak bermaksud apa-apa, selain hadiah semata-mata. "Kami tidak dapat meraikannya bersama kerana Qi terlibat dengan penggambaran di Argentina. Jadi cincin ini diberi sebagai ingatan," ujar Nelydia sebagai berkata. Bila ditanya apakah benar mereka bakal mendirikan mahligai bahagia, jawab Nelydia dia masih dalam proses mengenali hati budi. Bagaimanapun, dia mengakui semakin selesa bersama Qi meskipun terlalu awal untuk mengetengahkan soal perkahwinan.
"Buat masa ini, saya belum bersedia dalam memikirkan soal perkahwinan kerana banyak yang perlu saya fikirkan untuk menjadi seorang isteri. "Perkahwinan bukan perkara yang mudah, banyak lagi yang perlu saya belajar. Namun sekiranya sudah sampai jodoh saya bersama Qi, saya akan terima," jawab Nelydia sama seperti jawapan artis-artis lain yang mengambil jalan selamat. Selanjutnya Nelydia mengakui sikap sikap Qi yang memahami serta mengambil berat tentang dirinya itu membuatkannya tertarik. Katanya Qi tidak pernah mengongkongnya, malah dia juga banyak memberi semangat dan nasihat.
"Dia juga sangat menghormati apa yang saya lakukan," katanya yang sebelum ini popular melalui drama Spa Q. Selanjutnya, Nelydia mengakui dia tidak mahu media terlalu menyiarkan kisah cintanya itu dan cukuplah masyarakat dah tahu yang mereka bercinta. Katanya dia lebih selesa sekiranya media melaporkan kerjaya mereka berbanding kisah peribadi. Jelas Nelydia, usianya masih muda dan banyak perkara yang ingin dilakukan. Selain karier, dia juga harus membahagikan masa untuk pembelajaran. "Memang cabaran besar untuk saya membahagikan masa berlakon dan juga belajar. "Saya risau sebenarnya tentang pembahagian masa kerana banyak komitmen saya setiap hari, kalau boleh saya ingin memberi fokus utama terhadap pelajaran. Namun saya harap segalanya dipermudahkan," jelasnya kepada media.

Nelydia Senrose Belum Sedia Jadikan Qi Razali Suami

Pelakon Nelydia Senrose belum bersedia untuk bergelar isteri kepada kekasihnya Qi Razali dalam usia yang begitu muda. Nelydia, 19, atau lebih senang disapa Nely berkata, ini kerana masih banyak perkara terutama sekali tanggungjawab sebagai isteri tidak diketahuinya. "Memang saya mengaku belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. "Bukannya mudah, banyak perkara yang harus kita tahu dan faham mengenai tanggungjawab seseorang isteri. Namun tidak ada masalah untuk mempelajarinya jika jodoh saya dan Qi sudah sampai. "Cuma kalau boleh saya inginkan sedikit masa untuk mematangkan diri," katanya kepada mStar Online. Nelydia ditemui pada majlis pra-tonton dan pelancaran drama bersiri Strawberi & Karipap di GSC The Gardens, di sini pada Isnin. Tambah adik kepada Uqasha Senrose ini, dia dan Qi, 35, pernah berbincang mengenai ikatan perkahwinan mereka namun dia bersyukur kerana memiliki seorang teman lelaki yang memahami situasinya itu. Dalam pada itu, Nelydia juga berpuas hati kerana kisah cintanya dengan Qi tidak terlalu diberi pendedahan oleh media seperti kakaknya yang bercinta dengan aktor Pekin. "Kalau boleh kami mahu kisah percintaan kami tidak terlalu didedahkan pada umum. Cukuplah sekadar masyarakat tahu tentang perhubungan kami. Lebih elok jika kisah kerja kami sahaja yang dipaparkan," tuturnya. Sementara itu, dalam Strawberi & Karipap, Nelydia bergandingan dengan Zizan Nin, Sein, Nur Fathia, Mia Sara dan Rykarl Iskandar. Strawberi & Karipap bakal bersiaran bermula 1 September ini setiap Ahad pada pukul 11 pagi menerusi saluran Astro Ceria.

Nelydia gembira dengan pengakuan Qi

SEBELUM ini pasangan pelakon Qi Razali dan Nelydia Senrose selalu berteka-teki mengenai status hubungan mereka, biarpun ramai yang sudah tahu tentang keakraban kedua-duanya. Apabila ditanya tentang sejauh mana hubungan yang terjalin antara mereka, baik Qi mahupun Nelydia lebih suka memberi jawapan selamat dengan mengatakan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar teman rapat. Bagaimanapun, akhirnya Qi yang terkenal dengan program Jalan-Jalan Cari Makan itu telah mendedahkan bahawa dia kini merupakan kekasih kepada Nelydia. Ia sekali gus menepati tanggapan ramai yang menganggap mereka sememangnya menjalinkan hubungan cinta. Nelydia yang ditemui semasa penggambaran telemovie khas Setia Hujung Nyawa Raya terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. baru-baru ini berkata, pada mulanya dia agak terkejut dengan pendedahan tersebut, tetapi tidak kisah apabila hubungan mereka kini diketahui ramai. "Saya cuma dapat tahu tentang pengakuan Qi menerusi laporan media, jadi pastinya ia satu kejutan. "Namun begitu, saya tidak menyalahkan dia kerana hakikatnya kami kini pasangan kekasih. "Qi tidak pernah berbincang dengan saya sebelum dia membuat kenyataan itu, tetapi saya lega kerana akhirnya dia yang membuka mulut. "Lagipun saya rasa sudah tiba masanya untuk kami bersikap lebih terbuka dan peminat perlu tahu tentang hubungan kami sekarang," ujarnya. Ketika ditanya mengenai tindakan mereka yang berahsia tentang hubungan yang terjalin sebelum ini, Nelydia menjelaskan, dia dan Qi tidak berniat untuk merahsiakannya.
Pelakon itu turut menyangkal dakwaan yang mengatakan populariti mereka yang sedang meningkat akan merudum sekiranya perkara itu diketahui oleh peminat. "Saya akui sebelum ini kami belum bersedia untuk memberikan jawapan sebenar mengenai hubungan kami. Sebenarnya perasaan risau pun ada jika hubungan kami ini tidak menjadi. "Mengenai populariti pula saya percaya peminat sekarang lebih bijak menilai seseorang artis itu. Malah saya gembira kerana mereka juga banyak memberikan sokongan terhadap hubungan kami," ujar pelakon yang baru mencecah usia 19 tahun itu. Sementara itu, memandangkan kedua-duanya kini sudah mengaku sebagai pasangan kekasih, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Spa Q itu turut ditanya kalau dia dan Qi pernah berbincang tentang perkahwinan mereka. Berjauhan Menurut Nelydia, setakat ini mereka belum berbincang mengenainya meskipun Nelydia sedar usia kekasihnya itu sudah menjangkau 35 tahun. Ujarnya, buat masa ini dia lebih selesa untuk menjalinkan hubungan cinta dengan Qi sebelum merancang untuk berkahwin. "Ketika ini saya dan Qi sibuk dengan kerjaya masing-masing dengan tawaran yang semakin mencurah-curah. "Mungkin itu salah satu faktor yang membuatkan kami tidak sempat untuk membawa hubungan ini ke fasa yang lebih serius. "Pada masa yang sama, dengan usia saya sekarang perkahwinan bukanlah keutamaan kerana fokus saya sudah tentu kepada bidang lakonan dan pelajaran," jelas penuntut dalam bidang Psikologi di Kolej SEGi, Subang Jaya, Selangor itu. Bagaimanapun, pelakon itu mendedahkan, dia tidak mampu menolak sekiranya ditakdirkan mendirikan rumah tangga pada usia muda. Setelah hampir sebulan menjalani ibadah puasa, umat Islam di Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 8 Ogos ini. Namun begitu, Nelydia menyatakan sambutan Aidilfitri tahun ini kurang berseri kerana dia tidak dapat meraikannya bersama kekasih hatinya yang kini berada jauh di perantauan. "Ketika ini Qi sedang berada di Buenos Aires, Argentina untuk menjalani program kanak-kanak Art Attack. Dia berada di sana selama dua bulan dan dijangka pulang pada bulan September ini. "Sepanjang tempoh tersebut kami terpaksa berjauhan dan tidak dapat beraya buat kali pertama sebagai pasangan kekasih. "Apa yang mampu saya lakukan sekadar berdoa agar dia selamat dan sihat sepanjang berada di sana," ujarnya yang mengakui sedikit sedih kerana hasrat untuk beraya bersama-sama tidak tercapai.
Cuti seminggu Mengakui memendam perasaan rindu yang mendalam terhadap kekasihnya itu, Nelydia berkata, kerinduannya itu dapat diisi dengan memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjaya lakonannya. "Secara kebetulan jadual lakonan saya sekarang agak padat, jadi tidaklah terasa terlalu rindu. Kalau ada masa terluang kami akan saling berhubung antara satu sama lain menerusi panggilan telefon," ujarnya. Bercerita tentang aktivitinya sepanjang bulan puasa, Nelydia memberitahu pada tahun ini dia lebih sibuk berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana terbabit dengan penggambaran dua telemovie iaitu Setia Hujung Nyawa Raya dan Syurga Tanpa Bidadari. "Tahun ini memberikan cabaran yang cukup besar kerana saya banyak terbabit dengan penggambaran di kawasan terbuka pada waktu siang sehingga membuatkan badan cepat letih. "Bagaimanapun, saya mengharungi segala cabaran itu dengan kudrat yang ada. Pernah juga terfikir untuk tolak berlakon pada bulan puasa, tetapi rasa sayang pula kerana tawaran yang diterima memang menarik," ujarnya. Ujarnya, kesibukan di lokasi penggambaran membuatkan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak dapat dilakukan. "Sehingga kini baju raya pun saya tak sempat nak beli, malah jadual lakonan saya hanya akan tamat pada hari terakhir umat Islam berpuasa. "Selepas itu barulah saya akan pulang menyambut hari raya ke kampung halaman di Bachok, Kelantan selama seminggu sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk kembali menjalani penggambaran," ujarnya.

Nelydia nafi berbikini di Tioman

KECOH apabila sekeping gambar pelakon muda, Nelydia Senrose yang kononnya memakai bikini telah dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya baru-baru ini. Gambar yang mengundang spekulasi itu telah dirakamkan di Pulau Tioman sempena percutian bersama keluarganya dan tanpa disengajakan telah mencetuskan reaksi negatif peminat bintang drama Setia Hujung Nyawa itu. Mengulas spekulasi yang timbul kata pemilik nama sebenar Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 19, dia menafikan bahawa pemilik sebahagian sosok badan dalam gambar itu adalah dirinya. Sebaliknya, ujar figura yang dikenali dengan nama ringkas Nely itu, dia sendiri yang merakamkan gambar itu dan tujuan utamanya untuk menunjukkan pemandangan di sebalik badan wanita berbikini itu. Kosmo! bertemu dengan pelakon kelahiran negeri Kelantan itu sempena majlis penayangan rancangan menarik Ramadan dan raya Media Prima di Hotel Aloft, Kuala Lumpur baru-baru ini untuk mendapatkan kenyataan lanjut. Ikuti temu bual berikut. Kosmo!: Timbul reaksi negatif baru-baru ini berkenaan sekeping gambar Nely berbikini di Pulau Tioman. Mungkin Nely ada penjelasan tersendiri? NELYDIA SENROSE: Demi Allah itu bukan saya. Subjek utama gambar itu adalah pemandangan di depan. Kebetulan ada seorang gadis warga negara asing berada di depan saya dan secara tidak sengaja dia pun termasuk sama dalam gambar saya. Orang ingatkan itu saya tapi sebenarnya bukan. Bagaimanakah Nely dimaklumkan mengenai hal itu? Pengarah Ahmad Idham menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan akan cerita yang timbul. Saya tidak terfikir untuk kaburkan imej gadis berbikini itu kerana merasakan tiada apa-apa isu pun yang akan timbul. Saya diberitahu gambar itu telah menjadi kecoh kurang sejam saya memuat naik. Mungkin Nely tahu tapi sengaja memuat naik gambar itu untuk mencetuskan kontroversi? Sudah tentulah tidak. Kenapa saya perlu memalukan keluarga saya untuk perkara sebegini? Kita tahu orang sekarang pandai menilai, buat apa kita hendak buat perkara yang bukan-bukan. Ini cuma sekeping gambar yang lain disampaikan lain yang diterima.
Apakah tujuan Nely ke Pulau Tioman ketika itu? Untuk bercuti dengan keluarga sempena musim cuti persekolahan. Cuba fikirkan ketika musim cuti sekolah, amatlah mustahil untuk saya memakai bikini. Pergi pun dengan rombongan guru-guru, jadi kalau saya buat kuranglah rasa hormat saya kepada mereka. Fikir logik pun tidak akan saya memakai sebegitu. Adakah Nely akan berbikini sekiranya berada di tempat lain selain Malaysia. Tidak sama sekali. Saya menjaga bahagian tubuh badan saya. Adakah Nely mengambil keputusan untuk mengeluarkan gambar itu daripada akaun Instagram? Tidak. Kenapa saya perlu berbuat sebegitu kerana itu bukan saya. Bagaimanakah reaksi keluarga dan teman lelaki anda (Qi Razali)? Mereka terkejut dan bertanyakan hal itu kepada saya sendiri untuk pengesahan. Mama pun tahu saya tidak akan memakai bikini untuk tatapan orang. Qi pun tahu itu bukan saya dan percayakan saya. Bagaimanakah perkembangan hubungan Nely dan Qi sekarang? Alhamdulillah kami masih berkawan baik. Dalam keadaan yang okey. Buat masa sekarang tidak berani merancang apa-apa, biar ia datang dengan sendirinya. Apakah perkembangan terkini Nely? Saya baru saja selesai menjalani penggambaran filem arahan Ahmad Idham, Cinderella dan sibuk di lokasi drama bersiri Syurga Tanpa Bidadari, yang akan ditayangkan di TV3 mulai 14 Ogos nanti. Saya juga akan memulakan penggambaran telefilem khas sempena hari raya Aidilfitri, Setia Hujung Nyawa Raya, pada Julai ini.

Qi Razali Selesa Berkawan Dengan Nelydia Rose

Pengacara dan pelakon Qi Razali tidak menolak sekiranya hubungan kawan yang terjalin di antara dirinya dengan pelakon Nelydia Rose akan bertambah serius pada masa hadapan kerana selesa bergaul dengan wanita itu. Qi atau nama sebenanrnya Qushairi Razali, 35, berkata, kematangan dan sikap kelakar Nelydia membuatkan dia senang berkawan baik dengan pelakon itu. "Andai kata dia adalah jodoh saya, saya akan terima dengan terbuka. Bagaimanapun buat masa ini saya dan Nelydia hanya rapat sebagai sahabat kerana selesa berkawan dengannya yang cukup matang dalam pelbagai perkara selain kelakar," ujarnya ketika dihubungi mStar Online. Dalam pada itu, Qi berkata, dia berharap peminat dan masyarakat tidak terlalu cepat membuat andaian mengenai hubungan mereka kerana mahu menjaga hubungan baik di antara mereka. Kata Qi, pada usianya sekarang dia tidak tergesa-gesa untuk memulakan hubungan baru dan mahu melalui proses yang betul. "Perlahan-lahan dan tidak perlu tergesa-gesa dan biarlah ia berlaku dengan cara yang betul tambahan pula dia masih muda," katanya. Bercakap mengenai perkembangan terbaru dirinya, Qi berkata dia kini sedang sibuk dengan penggambaran musim terbaru program Jalan-Jalan Cari Makan selain beberapa projek lain. Malah katanya, dia akan muncul dalam dua buah filem tahun ini berjudul Bencinta dan Anak Jantan selain beberapa projek drama.

Nelydia Senrose Di Tuduh Rampas Qi Dari Yuna

Selepas umum melihat keakraban yang terjalin antara Nelydia Senrose & Qi Razali, juga merupakan bekas kekasih Yuna Zarai, Nelydia tidak terlepas dari dituduh sebagai punca perpisahan antara Qi Razali dan Yuna. Semua sedia maklum bahawa Nelydia dan Qi Razali kini sedang berkawan rapat. Pasangan ini sudah banyak kali dilihat keluar berdua di tempat awam & kami sendiri pernah terserempak beberapa kali dengan mereka. Sehubungan dengan ini, menguatkan lagi persepsi masyarakat bahawa Nelydia lah yang menjadi punca keretakan perhubungan antara Qi dan Yuna. Nelydia sendiri akui belum pernah lagi bersua muka dengan Yuna. Malah Nelydia sendiri sudah dapat menjangka dia akan berdepan dengan tuduhan sebegini. Nelydia walau bagaimanapun menafikan perhubungan Qi dan Yuna berakhir disebabkan dirinya. “Nely bukan punca Qi dan Yuna berpisah. Nely rapat dengan Qi pun baru je lagi. Hubungan kami sekadar kawan baik” Sebelum ini mereka pernah bergandingan dalam drama bersiri terbitan TV9, Friday I’m in Love. Namun Nelydia akui mula rapat dengan Qi sejak dua bulan lalu tetapi tidak lebih dari seorang teman rapat. Nelydia akui sering menjadikan Qi sebagai bahan rujukan berkenaan pelajaran di kolej. Nelydia menyifatkan Qi sebagai seorang lelaki yang bijak. Usia yang sudah menginjak 37 tahun, menjadikan Qi lebih matang dan sentiasa bijak dalam setiap tindakannya. Nelydia Senrose kini sedang mengikuti kursus Psikologi selama 3 tahun di SEGI College, Subang. Tambah Nelydia, dia tidak menolak jika bertemu jodoh dengan lelaki yang jauh lebih tua darinya asalkan lelaki tersebut matang. Seakan memberi hint hatinya terbuka untuk menerima Qi seandainya Qi adalah jodohnya. -RotiKaya

Nelydia Senrose Perjelaskan Hubungan Dengan Qi Razali

PETALING JAYA: Pelakon Nelydia Senrose menolak desas-desus terbaharu yang mengaitkannya dan pelakon Qi Razali sedang hangat bercinta. Sebaliknya, pemilik nama sebenar Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 19, berkata dia dan bekas kekasih kepada penyanyi Yuna itu hanya berkawan baik. Mereka mulai rapat kira-kira sebulan yang lalu. "Saya dan dia (Qi) hanya kawan baik sahaja pada waktu ini. Tiada hubungan istimewa seperti yang dikatakan. "Sebenarnya kami sudah kenal sejak tahun lalu sebab sama-sama terlibat dalam penggambaran drama Friday I'm In Love tetapi tidak rapat. "Lagi pun dia berpunya (kekasih Yuna) ketika itu dan kami hanya rapat kebelakangan ini," katanya kepada mStar Online pada Rabu. Aktres berdarah kacukan ini berkata, dia enggan mengulas lanjut mengenai persahabatan mereka kerana tidak pasti hala tuju hubungan itu pada masa akan datang. "Saya tak boleh cakap ya atau tidak mengenai tahap hubungan kami sebab tak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang. "Buat masa ini belum ada apa-apa yang serius tapi pada masa akan datang kita tidak tahu," katanya. Ditanya mengenai populariti mendadak yang dikecapnya susulan populariti drama Setia Hujung Nyawa di TV3 pada Januari lalu, Nelydia berkata, ia adalah bonus atas kerja kerasnya selama ini. "Sudah tentu saya bersyukur atas perhatian yang mendadak ekoran kejayaan drama itu. "Ia adalah bonus atas usaha dan kerja keras saya sepanjang penggambaran selama lebih dua bulan," katanya yang berehat seketika daripada tawaran berlakon.

Nelydia Senrose Belum Ada Kekasih

PETALING JAYA: Pelakon muda Nelydia Senrose mengakui kesibukan dengan kuliah dan jadual lakonan menyebabkan dia tidak mempunyai waktu untuk mencari kekasih. Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen, 18, berkata, waktu yang terhad di antara jadual kelas pada setiap hari selain komitmen lakonan membataskan dirinya untuk mengenali teman istimewa. “Saya belum ada kekasih kerana setiap hari saya akan sibuk dengan pengajian dan hanya berjumpa dengan rakan-rakan kuliah sahaja. “Ketika cuti semester pula waktu saya terisi dengan jadual penggambaran. Saya hanya bergaul dengan para pelakon dan krew di lokasi dari siang sampai ke malam jadi masa bila hendak berkenalan dengan orang-orang lain? “Lagi pun, saya masih terlalu muda untuk memikirkan mengenai teman istimewa,” katanya yang sedang menuntut di peringkat ijazah dalam jurusan Psikologi di Segi College.
Nelydia berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran terbaru berjudul Setia Hujung Nyawa di Sri Pentas Bandar Utama di sini, petang Jumaat. Ditanya mengenai popularitinya yang belum menyerlah selepas lima tahun, Nelydia berkata, aspek itu tidak menjadi buruan pada waktu ini kerana dia mahu mengutamakan pengajian dahulu. “Saya tidak kisah jika lambat dikenali kerana apa yang lebih penting pada waktu ini adalah pengajian saya di Segi College yang kini memasuki semester ketiga. “Memang sebilangan besar artis muda bersaing kuat untuk popular tetapi saya percaya ia adalah rezeki masing-masing. Yang penting kena ikhlas bekerja soal cepat atau lambat popular. “Orang akan nampak juga kerja kita kalau kita buat dengan bersungguh-sungguh,” kata anak ketiga daripada tujuh beradik ini.
Mengenai drama bersiri sebanyak 28 episod itu, Nelydia berkata, watak utama sebagai Ersalina di samping aktor Amar Asyraf merupakan cabaran berat yang menuntut persiapan rapi daripadanya sebelum penggambaran bermula. “Saya akui watak yang diberikan berat dan mencabar kemampuan saya. Sebagai Ersalina, saya perlu bermain watak yang kelihatan naif pada luaran tetapi sarat dengan emosi dan cerita di dalam dirinya. “Peluang dalam drama ini sangat istimewa kerana pertama kali saya dapat peranan besar dan bergandingan dengan Amar Asyraf dan pengarah Amie Maziah yang banyak memberikan tunjuk ajar,” katanya. Setia Hujung Nyawa yang turut membariskan antaranya Raja Ema, Zila Bakarin, Hilal Azman, Talha Harith dan Bea Rameshan akan ditayangkan bermula 24 Disember ini pada setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam menerusi slot Akasia di TV3.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails