Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Adi (6ixth Sense) Mohon Status PR Selepas Kahwin
Penyanyi berasal dari Indonesia, Adi (6ixth Sense) bercadang untuk memohon status penduduk tetap (PR) di negara ini selepas melangsungkan perkahwinan dengan wanita tempatan pada tahun depan.
Adi atau nama sebenarnya Adi Priyo Sambodo berkata perkara tersebut sudah lama dirancang, namun terpaksa ditangguhkan kerana dia masih tidak jelas dengan prosuder yang perlu dilalui.
"Saya memang ada perancangan untuk buat permohonan tersebut tetapi banyak produser yang masih saya tidak tahu. Ada segelintir rakan-rakan menyuruh saya mohon selepas berkahwin.
"Insya-Allah, lepas berkahwin tahun depan saya akan lakukan, lagi pun bakal isteri saya orang tempatan dan mungkin lebih memudahkan untuk saya buat permohonan itu," ujarnya kepada mStar Online.
Sementara itu, bercerita tentang kekasihnya yang mahu dikenali sebagai Annes, Adi berkata dia sudah setahun menjalinkan hubungan cinta dengan wanita berusia 21 tahun itu.
Katanya, dia sudah pun berjumpa keluarga wanita tersebut dan merancang untuk berumah tangga pada tahun depan.
"Annes dari Kuala Lumpur dan kami bercinta sudah setahun dan memang merancang untuk berkahwin pada tahun depan jika tiada halangan.
"Kami pilih tidak bertunang sebab bertunang banyak dugaan. Jadi, terus nikah saja," ujarnya.
Artis Bukan Pilihan Juliana Evans Dijadikan Kekasih
Pelakon Juliana Evans tidak berhasrat untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana artis biarpun pernah dikaitkan dengan Zizan Razak dan SonaOne sebelum ini.
Pemilik nama sebenar Juliana Sophie Johari Evans, 26, ini berkata, keputusannya itu bukan kerana dia serik sebaliknya berasa tidak selesa dengan perhatian diberikan sekiranya bercinta sesama artis.
"Saya kalau boleh tidak mahu bercinta dengan golongan selebriti kerana sedar perhatian yang kami bakal terima akan memberi tekanan kepada hubungan tersebut.
"Hasrat saya itu juga bukanlah kerana serik kerana kegagalan cinta masa lalu tetapi saya memang ingin mencari lelaki golongan biasa sebagai teman hidup," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Juliana, sebagai manusia biasa dia hanya mampu merancang dan sekiranya tetap dipertemukan jodoh dengan artis dia akan terima.
"Ini hanya hasrat dan perancangan saya, tetapi segala-galanya boleh berubah dan jika itu sudah jodoh saya kena terima," jelasnya.
Dalam pada itu, Juliana memberitahu, dia juga sebenarnya tidak selesa bercakap soal peribadi terutama mengenai hubungan cinta kepada umum.
"Saya sedar menjadi seorang selebriti ramai yang ingin mengetahui tentang saya termasuk hal-hal berkaitan peribadi. Pun begitu saya tidak begitu selesa kerana bimbang ia menjadi salah faham," katanya.
Malah kata Juliana, kerana prinsipnya itu dia juga berharap dapat bertemu dengan jejaka yang mempunyai pendirian serupa selain merendah diri.
"Jika bercakap tentang jejaka idaman semua ingin yang baik-baik tetapi pada saya cukuplah sekadar dia merendah diri dan dapat menerima saya seadanya," ujarnya.
Masalah Pertuturan, Maya Karin Selesa Berlakon Tanpa Dialog
Pelakon Maya Karin selesa berlakon tanpa dialog panjang seperti dalam filem terbaharunya Nota biarpun terpaksa menzahirkan peranannya menerusi ekspresi dan bahasa tubuh.
Maya atau nama sebenarnya Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 36, berkata, ini kerana sebutan bahasa Melayunya masih tidak sempurna biarpun sudah banyak terlibat dalam pelbagai filem sebelum ini.
"Bukan saya tidak selesa bercakap dalam bahasa Melayu tetapi kadang-kala sebutan saya itu masih 'pelat' dan apabila pengarah memberitahu peranan saya dalam Nota tidak banyak dialog saya gembira.
"Namun bukan mudah untuk berlakon tanpa skrip kerana ekspresi dan bahasa tubuh perlu tepat dalam menggambarkan sesuatu keadaan," katanya kepada mStar Online.
Filem Nota arahan pengarah dari Jepun, Yasu Tanaka turut menampilkan barisan pelakon seperti Hans Isaac dan Ramli Hassan. Ia bakal ditayangkan di pawagam pada 13 Ogos ini.
Dalam pada itu, Maya berkata, pengalaman berlakon di bawah arahan Yasu sangat berbeza kerana dia begitu teliti dalam apa yang dimahukannya untuk filem berkenaan.
"Nota adalah sebuah filem berbeza dalam pembikinannya kerana Yasu telah merancang semuanya sebelum penggambaran bermula selain pendekatan digunakan berbeza dan saya sebagai pelakon teruja dapat bekerja di bawah arahannya," katanya.
Sementara itu, berkongsi pengalaman menjalani penggambaran di Taman Negara Bako, Sarawak, Maya berkata ia mencabar walaupun dia menyukai aktiviti lasak.
"Saya gemar bercuti dan melakukan aktiviti lasak termasuk berkunjung ke tempat seperti Taman Negara tetapi apabila bekerja saya dapati ia sangat sukar.
"Tetapi ia masih pengalaman menyeronokkan dan sebagai pelakon telah menjadi tanggungjawab saya untuk melunaskan amanah diberi," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Maya masih giat mempromosikan album terbaharunya, Teka-Teki selain bakal mengadakan persembahan istimewa di Melbourne, Australia pada September depan.
Hampir Setahun Muncul Semula, Mana Album Baru Amelina?
Penyanyi Amelina tidak tertekan apabila sering diasak dengan pertanyaan daripada peminat berhubung album terbaharunya selepas hampir setahun membuat kemunculan semula dalam bidang muzik.
Amelina atau nama sebenarnya, Nurazlina Amir Sharifuddin, 40, berkata, dia menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusannya iaitu Wake The Baby kerana mereka mempunyai strategi tertentu dalam memberikan produk terbaik kepada peminat.
"Memang ramai peminat tanya bila nak lancarkan album terbaharu tetapi saya tidak tertekan dengan perkara itu kerana ingin memberikan yang terbaik selepas 15 tahun tidak tampil dengan buah tangan baharu.
"Saya meletakkan kepercayaan kepada pihak pengurusan kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk saya dan setakat ini semuanya berjalan lancar," ujarnya.
Dalam pada itu, Amelina berkata, dia sebenarnya sudah pun tampil dengan single pertamanya berjudul Cinta Harus Seksi pada Jun lalu hasil ciptaan komposer Ajai.
Bagaimanapun katanya, promosi lagu berkenaan agak perlahan bagi menghormati bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri.
"Insya-Allah selepas Hari Raya saya akan mempromosikan lagu tersebut dengan lebih giat lagi seperti di stesen radio, program televisyen selain persembahan pentas dan setakat ini respon diberikan peminat yang telah mendengarnya sangat baik," jelasnya.
Sementara itu, Amelina berkata, biarpun belum ada produk baharu namun undangan persembahan pentas tidak putus-putus sejak dia kembali ke arena muzik.
Malah katanya, purata dalam seminggu dia akan mendapat tiga ke empat tempahan nyanyian dan menganggap ia permulaan baik untuknya.
"Alhamdulillah setakat ini rezeki untuk mengadakan persembahan masih ada dan rata-rata mahu saya menyanyikan lagu-lagu hitnya bagi mengimbau kenangan," katanya.
Sikap Penyayang Buka Hati Wartawan Harakah Terhadap Abby Abadi
Bakal suami Abby Abadi, Muhammad Faizal Zakaria memberitahu sikap penyayang dan dermawan yang ada pada bekas anggota kumpulan Elite itu membuatkan dia tertarik hati untuk memperisterikan wanita berkenaan.
Muhammad Faizal, 41, yang bertugas sebagai wartawan kanan di media pembangkang iaitu Harakah berkata, sepanjang perkenalan mereka, Abby sering membantu golongan memerlukan dan dia melihat ia adalah kualiti paling baik wanita itu.
"Ramai yang tidak tahu Abby sebenarnya seorang penyayang dan sikap suka membantu dan menderma kepada golongan susah, itu membuatkan saya tertarik hati kepadanya," kata Muhammad Faizal kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abd Manan, 38, dan Faizal bakal disatukan sebagai suami isteri pada 14 Ogos ini di Masjid Keramat dekat sini manakala majlis kenduri kesyukuran akan diadakan pada 16 Ogos.
Dalam pada itu, Faizal berkata, dia tidak pernah menilai Abby berdasarkan cakap-cakap negatif terhadap bakal isterinya itu sebelum ini kerana ia tidak adil.
"Saya bukan jenis mudah menilai orang daripada apa yang saya baca atau dengar dan mengenali Abby dia adalah seorang wanita yang berbeza daripada apa yang diperkatakan," katanya.
Tambahnya lagi, soal status Abby yang juga seorang janda juga bukan isu kerana dirinya sendiri sendiri pernah mengalami kegagalan rumah tangga sebelum ini.
"Saya ada tiga orang anak hasil perkahwinan terdahulu, begitu juga Abby. Ini adalah jodoh kami dan Insya-Allah ia akan saling melengkapi kami," ujarnya.
Mengimbau perkenalan bersama Abby, Faizal berkata, hubungan mereka pada awalnya sekadar profesional di antara wartawan dan selebriti namun ia mula berputik selepas kembali bertemu pada akhir tahun lalu.
"Saya seorang wartawan dan banyak membuat follow-up dengan Abby selain pernah bertemu dengannya ketika menghadiri program yang melibatkannya atas kapasiti kerja.
"Selepas pilihan raya umum pada 2013 berakhir kami pun tidak lagi berhubung namun kembali bertemu setahun kemudian dalam sebuah program pada Disember tahun lalu dan mula rapat sehinggalah mengambil keputusan untuk berkahwin," jelasnya.
Terdahulu Abby pernah berkahwin dengan aktor, Norman Hakim dan dikurniakan tiga cahaya mata sebelum bercerai pada tahun 2008.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 12, Marissa Dania Hakim, 10, dan Maria Danisha Hakim yang berusia tujuh tahun.
Abby kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada 2013 sebelum bercerai selepas 11 bulan berumah tangga.
Lan Pet Pet Malu Foto Bantu Mangsa Kemalangan Jadi Viral
Pelawak dan pelakon Lan Pet Pet berasa malu apabila gambarnya yang sedang membantu mangsa kemalangan di Alor Star, Kedah pada Sabtu lalu menjadi viral dan tersebar di laman sosial sejak Ahad lalu.
Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 46, berkata, bantuan yang dihulurkan kepada seorang lelaki berbangsa India itu bukan bertujuan untuk meraih publisiti sebaliknya ia berlaku secara tidak sengaja.
"Saya tidak tahu ada pihak merakam gambar saya ketika saya cuba membantu lelaki berkenaan dan saya hanya mengetahuinya apabila diberitahu oleh isteri.
"Saya jadi malu kerana tidak mahu disalah anggap cuba menunjuk-nunjuk tetapi gambar itu pun sudah tersebar luas. Saya tidak boleh buat apa-apa," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Menceritakan kejadian tersebut, Lan berkata, semasa kejadian dia memandu melalui Jalan Putra sebelum melihat sebuah kenderaan secara tidak sengaja terlanggar sebuah motosikal ditunggang mangsa dari arah belakang.
Tanpa berfikir panjang, Lan memberhentikan keretanya di arah bertentangan jalan dan segera membantu lelaki yang menaiki motosikal itu.
"Semasa saya lihat dia dilanggar tiada siapa datang membantu dan dia cuba mengesot ke bahagian tepi jalan.
"Saya tidak sampai hati melihat keadaannya dan terus meluru keluar untuk membantu mengangkatnya sebelum ada pihak lain datang memberi pertolongan," ujarnya.
Tambah Lan lagi, ketika itu ibunya turut bersama dan menunggu di dalam kereta ketika keadaan lalu lintas sesak ekoran orang ramai baru pulang dari tempat kerja.
Tindakan Lan itu turut mendapat pujian daripada pengguna laman sosial yang memuji sikapnya itu biarpun mangsa bukan orang Melayu.
Sementara itu, Lan Pet Pet berkata, sebagai rakyat Malaysia dia tidak pernah memilih warna kulit untuk menghulurkan bantuan dan apa dilakukannya adalah ikhlas.
"Arwah Ayah saya ketika hayatnya sering berpesan supaya menjadi seorang manusia yang mampu memberi manfaat kepada orang lain.
"Pada saya, apa yang saya lakukan itu tidak perlu diperbesar-besarkan kerana ia memang menjadi tanggungjawab kita sesama manusia," ujarnya.
Zizan Razak Terus Beri Kenyataan Berbelit Soal Kahwin
Apa sudah jadi dengan Zizan Razak? Seringkali memberi kenyataan berbeliit-belit.
Terbaharu Zizan , 31, enggan berkongsi kisah khususnya mengenai pasangan hidup walaupun sebelum ini dia pernah membuat kenyataan bakal berkahwin dengan wanita senegerinya, Terengganu.
Zizan berkata, pengalaman dan kegagalan cintanya dengan Emma Maembong juga menjadi punca dia tidak mahu terlalu memberi publisiti terhadap hubungan cintanya.
"Soal siapa yang akan berkahwin dengan saya sebenarnya saya nak rahsiakan. Buat masa ini biarlah ia menjadi rahsia dan kalau sampai jodoh saya akan beritahu.
"Ia adalah rahsia saya bersama keluarga dan ia adalah bagi melindung privasi saya. Biarlah wanita itu menjadi tanda tanya sama ada dia wujud atau tidak," ujarnya kepada mStar Online, ketika ditemui di pelancaran filem Polis Evo di Hard Rock Cafe, di sini, Isnin.
Zizan diminta mengulas perkembangan hubungannya dengan seorang wanita berasal dari Terengganu selepas dilaporkan bakal berkahwin dengan wanita itu pada tahun ini.
Bagaimanapun, Zizan menegaskan, dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan hal perkahwinan dengan wanita tersebut seperti yang diperkatakan.
"Semua yang pernah dilaporkan bukan keluar dari mulut saya, malah gambar wanita yang tersebar itu pun saya tidak pasti mereka ambil dari mana?
"Perkara ini tidak perlu dirisaukan kerana apabila sampai jodoh nanti sampailah. Saya minta pihak media dan peminat-peminat untuk mendoakan yang terbaik buat saya dan pasangan nanti," ujarnya.
Mengulas lanjut tentang pasangan hidup, Zizan berkata, buat masa ini dia tidak menolak jika dijodohkan dengan sesiapa sahaja wanita yang dipilih Allah sebagai teman hidupnya.
Namun katanya, pengalaman lalu mengajarnya untuk tidak terlalu mementingkan kecantikan rupa paras, sebaliknya lebih mementingkan keturunan dan agama wanita itu.
"Kalau jodoh saya dengan siapa-siapa pun saya terima asalkan mak, ayah dan orang ramai suka dan saya juga suka kerana sudah tentu saya bangun pagi nak tengok muka dia.
"Namun saya tak nak cari yang Pan Asia lagi dah dan saya anggap setiap wanita cantik memiliki kesempurnaan dan kecantikan semua aspek," ujarnya.
Shaheizy Sam Nafi Sudah Buat Persiapan Kahwin
Pelakon Shaheizy Sam menafikan dia sedang melakukan persiapan kahwin termasuk merancang untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat seperti diperkatakan segelintir pihak.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 33, berkata, buat masa ini dia terlalu sibuk dengan kerja dan tidak mempunyai masa untuk melakukan sebarang aktiviti luar dari bidang seni.
"Demi Allah saya tiada buat sebarang persiapan untuk berkahwin sekarang ini, itulah yang saya selalu cakap kepada peminat, kalau nak baca cerita saya di blog-blog boleh tetapi kalau nak percaya sila bertanya saya dahulu.
"Saya tidak pernah salahkan mana-mana pihak yang buka cerita itu kerana mungkin mereka mahu saya berkahwin segera. Namun, kalau benar sudah ada tarikh nak berkahwin nanti saya akan beritahu," ujarnya kepada mStar Online, ketika ditemui pada sidang media pelancaran filem Polis Evo di Hard Rock Cafe, di sini, Isnin.
Shaheizy diminta mengulas tentang khabar angin dia bakal menamatkan zaman bujangnya dan kini sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan.
Sementara itu, ditanya tentang wanita yang sering dikaitkan dengannya iaitu pelakon Syatilla Melvin, dia berkata wanita tersebut hanyalah sekadar teman rapat.
"Saya ada dengar orang bercakap bahawa dia sudah bersedia untuk berkahwin tapi tak tahulah. Kalau bercakap tentang kesediaan saya, saya sudah dua tahun saya bersedia.
"Setakat ini hubungan saya dan dia sama seperti kawan-kawan perempuan lain seperti saya berkawan dengan Fazura, Yana Samsudin dan bekas kekasih saya Puteri Najwa. Syatilla boleh disifatkan sebagai kawan rapat tapi bukan istimewa buat masa ini," ujarnya.
Dalam pada itu Sam turut berkata, dia sudah menyerahkan soal keputusan untuk berumah tangga kepada ibunya Khaty Fauziah kerana dia tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal tersebut kerana terlalu sibuk dengan kerja.
"Saya ini terlalu sibuk dan banyak aktiviti, saya tidak boleh fokus untuk fikir soal kahwin. Apa yang saya fikir sekarang ialah untuk cari duit untuk ibu saya sahaja.
"Jadi saya serahkan soal jodoh pada ibu saya dan biar dia yang buat keputusan untuk kahwinkan saya dengan siapa sahaja dan bila-bila masa yang dia rasakan sesuai," ujarnya.
Sementara itu, bercerita tentang lakonannya dalam filem Polis Evo, Sam yang memeggang watak sebagai Khai berkata, dia terpaksa membuat bentuk badan sasa bagi menjayakan karakter sebagai seorang anggota polis.
Tindakan tersebut sebagai tanggungjawabnya seorang pelakon seperti mana yang dilakukan oleh pelakon-pelakon di Hollywood.
"Saya buat bentuk badan agar nampak benar-benar seperti seorang anggota polis dan bagi saya ia adalah perkara biasa yang dilakukan pelakon-pelakon di Hollywood.
"Mereka sanggup untuk mengubah keadaan fizikal untuk sesuatu watak itu, saya lakukan ini kerana saya rasa ia sesuatu yang penting," ujarnya.
Selain itu, Sam berkata, dia berbanga apabila berpeluang membawakan watak sebagai anggota polis dan merasai apa yang pernah dilalui oleh Allahyarham bapanya iaitu bekas Timbalan Ketua Polis Negeri Selangor, Abdul Samad Jaaman.
Filem Polis Evo turut dibintangi oleh Zizan Razak, Nora Danish dan Publo Amirul dan bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 17 September depan.
Zahiril Adzim Bukan Jadi Ustaz Di Majlis Agama
Pelakon Zahiril Adzim menjelaskan kehadirannya di majlis-majlis keagamaan adalah sekadar untuk berkongsi pengalaman tentang agama Islam dari sudut seorang manusia dan bukan untuk mengajar orang ramai tentang ajaran itu.
Zahiril, 30, berkata, dia sendiri menyedari masih belum layak untuk mengajar dan bercakap tentang Islam secara lebih mendalam kerana pengetahuan yang terbatas.
"Saya tahu perlu ada tauliah untuk memberi ceramah agama namun saya bercerita mengenai pengalaman sebagai manusia yang dalam proses berubah ke arah yang lebih baik.
"Kalau orang panggil suruh saya bercakap dan duduk sebaris dengan ustaz-ustaz pun saya sudah gementar kerana saya sedar ilmu agama saya sendiri tidak tinggi, namun niat saya kuat untuk mengajak golongan muda ikut majlis ilmu seperti itu," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Selasa.
Zahiril diminta mengulas tentang segelintir pihak yang mempertikaikan kelayakannya untuk bercakap tentang Islam di majlis agama baru-baru ini.
Zahiril terlibat dengan forum 1 Love-Do We Care Enough? anjuran pelakon Yatt Hamzah dan berkongsi pengalaman pada majlis yang diberi nama Hamba Allah Sepenuh Masa atau Separuh Masa?=
Sementara itu, Zahiril berkata, dia turut berasa pelik apabila hatinya terbuka untuk melakukan perkara berkaitan agama Islam tanpa berfikir panjang.
"Selalunya saya seorang yang suka berfikir panjang sama ada saya ini layak atau tidak dalam satu-satu perkara, contohnya ramai yang panggil saya untuk beri ceramah dalam bidang teater yang mana memang menjadi kepakaran saya tetapi saya menolak.
"Saya akan beri tugas itu pada orang lebih layak tetapi ketika dipelawa untuk bercakap tentang agama, hati saya terbuka dan terus bersetuju walaupun saya sedar ilmu agama tidak tinggi," ujarnya.
Dalam pada itu, Zahiril turut mengakui dia kini dalam proses untuk berubah mendalami agama itu.
"Saya masih terus berlakon kerana ini mata pencarian dan rezeki saya, tetapi saya juga sedang merancang untuk mencari mata pencarian lain yang lebih tetap.
"Sampai bila saya nak berlakon? Sekarang pun sudah banyak pelakon-pelakon baru muncul. Saya merancang untuk menjual pakaian fesyen jalanan islamik buat golongan muda yang ingin bergaya tetapi masih mementingkan ciri-ciri lelaki Islam.
Krisis Rumah Tangga, Raja Mukriz Kesal Sikap Teman Sharifah Shahora
Pengarah sinematografi, Raja Mukhriz kesal apabila isterinya Sharifah Shahora berdamping dengan sahabat yang berfikiran negatif sehingga menyebabkan pergolakan rumah tangga mereka mengambil masa untuk diselesaikan.
Raja Mukriz atau nama sebenarnya Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin, 43, berkata, sahabat isterinya juga gagal memberi nasihat yang baik untuk merapatkan semula hubungan mereka sebaliknya bertindak meracun fikiran sehingga masalah menjadi bertambah rumit.
“Saya rasa perkara paling bahaya apabila kawan-kawan dia tak support dia untuk melihat masalah rumah tangga kami dapat diselesaikan. Pada saya, kawan-kawan macam ini ialah kawan yang tidak sihat,” ujarnya kepada mStar Online.
Raja Mukriz ditemui pada majlis rumah terbuka Aidifitri anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini pada Selasa.
Ini merupakan pengakuan pertama Raja Mukriz selepas dia bertindak mengunci mulut mengenai masalah rumah tangganya itu.
Pada 2 Jun lalu, Sharifah Shahora membuat pendedahan di laman sosial Instagram dan Twitter mengenai kecurangan suami yang mempunyai hubungan dengan seorang wanita bernama Yanie.
Perbuatan Raja Mukriz dapat dihidu selepas Sharifah Shahora terbaca beberapa mesej kiriman wanita berkenaan sehingga membuatkan rumah tangga mereka menjadi kontroversi, ibarat retak menanti belah.
Bagaimanapun selepas beberapa minggu kejadian itu, kehancuran hati Sharifah Shahora terubat selepas berjaya dipujuk suami.
Dalam pada itu Raja Mukriz telah menasihati isterinya agar membataskan persahabatan dengan individu yang disifatkannya sebagai rakan yang tidak sihat.
Malah Sharifah Shahora sendiri menyedari perkara itu selepas mereka berbincang bagi mencari jalan menyelesaikan masalah rumah tangga itu.
Ditanya apakah pengajaran selepas kejadian itu Raja Mukriz berkata, ia memberi hikmah tersendiri kerana mereka sebenarnya saling perlu memerlukan dalam hidup selepas lapan tahun berkahwin.
Ketika krisis rumah tangga itu ujar Raja Mukriz, dia telah berusaha memujuk Sharifah Shahora dengan memberikannya bunga yang diletakkan di atas meja bersama sekeping nota tertulis “esok bunga ini akan kembang.
Keluarga mereka juga kata Raja Mukriz turut memberi sokongan untuk melihat hubungan mereka kembali jernih yang akhirnya perkara baik itu mendatangkan hasil.
"Saya bukan seorang yang romantik. Masa nak pujuk dia, saya bagi bunga padanya yang diletakkan atas meja bersama sekepimng nota dengan harapan hatinya sejuk. Syukurlah… akhirnya masalah rumah tangga kami dapat diselesaikan dan hubungan kami menjadi bertambah baik," katanya.
Sementara tu dalam perkembangan lain Raja Mukriz turut tersenarai dalam top-5, Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM 27) yang akan berlangsung pada 5 September depan bagi kategori Pengarah Harapan menerusi filem Ophilia.
Dia tidak menyangka mendapat peluang itu selain menganggap ia adalah rezeki selepas penyatuan semula kasih sayangnya dengan isteri.
“Semua calon dalam kategori ini hebat-hebat belaka dan saya syukur dengan pencalonan ini,” ujarnya.
Sharifah Shahora dan Raja Mukhriz mendirikan rumah tangga pada 26 Oktober 2008 dan mempunyai dua orang anak masing-masing berusia tiga dan tujuh tahun.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
