Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Zahiril Adzim. Show all posts
Showing posts with label Zahiril Adzim. Show all posts
Zahiril Adzim Bukan Jadi Ustaz Di Majlis Agama
Pelakon Zahiril Adzim menjelaskan kehadirannya di majlis-majlis keagamaan adalah sekadar untuk berkongsi pengalaman tentang agama Islam dari sudut seorang manusia dan bukan untuk mengajar orang ramai tentang ajaran itu.
Zahiril, 30, berkata, dia sendiri menyedari masih belum layak untuk mengajar dan bercakap tentang Islam secara lebih mendalam kerana pengetahuan yang terbatas.
"Saya tahu perlu ada tauliah untuk memberi ceramah agama namun saya bercerita mengenai pengalaman sebagai manusia yang dalam proses berubah ke arah yang lebih baik.
"Kalau orang panggil suruh saya bercakap dan duduk sebaris dengan ustaz-ustaz pun saya sudah gementar kerana saya sedar ilmu agama saya sendiri tidak tinggi, namun niat saya kuat untuk mengajak golongan muda ikut majlis ilmu seperti itu," ujarnya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Selasa.
Zahiril diminta mengulas tentang segelintir pihak yang mempertikaikan kelayakannya untuk bercakap tentang Islam di majlis agama baru-baru ini.
Zahiril terlibat dengan forum 1 Love-Do We Care Enough? anjuran pelakon Yatt Hamzah dan berkongsi pengalaman pada majlis yang diberi nama Hamba Allah Sepenuh Masa atau Separuh Masa?=
Sementara itu, Zahiril berkata, dia turut berasa pelik apabila hatinya terbuka untuk melakukan perkara berkaitan agama Islam tanpa berfikir panjang.
"Selalunya saya seorang yang suka berfikir panjang sama ada saya ini layak atau tidak dalam satu-satu perkara, contohnya ramai yang panggil saya untuk beri ceramah dalam bidang teater yang mana memang menjadi kepakaran saya tetapi saya menolak.
"Saya akan beri tugas itu pada orang lebih layak tetapi ketika dipelawa untuk bercakap tentang agama, hati saya terbuka dan terus bersetuju walaupun saya sedar ilmu agama tidak tinggi," ujarnya.
Dalam pada itu, Zahiril turut mengakui dia kini dalam proses untuk berubah mendalami agama itu.
"Saya masih terus berlakon kerana ini mata pencarian dan rezeki saya, tetapi saya juga sedang merancang untuk mencari mata pencarian lain yang lebih tetap.
"Sampai bila saya nak berlakon? Sekarang pun sudah banyak pelakon-pelakon baru muncul. Saya merancang untuk menjual pakaian fesyen jalanan islamik buat golongan muda yang ingin bergaya tetapi masih mementingkan ciri-ciri lelaki Islam.
Perubahan Mendadak Shera Aiyob Yang Mengejutkan Zahiril Adzim
Pasangan suami isteri berstatus selebriti, Zahiril Adzim dan Shera Aiyob telah hangat menjadi bahan bualan oleh para peminat di laman sosial sejak kebelakangan ini.
Isteri kepada Zahiril Adzim iaitu Shera Aiyob kini sudah mengenakan tudung sepenuhnya selepas kesemua gambar beliau tidak bertudung sudah dipadam di laman sosial.
“Tidaklah, tiada apa berlaku sebelum saya membuat keputusan ini. Tetapi perasaan itu memang ada sudah lama, cuma baru sekarang ia berlaku. Memang saya bersyukur sangat mungkin ini janji yang sudah tertulis yang saya akan mengenakan tudung sekarang,” ujarnya.
Tambah Shera Aiyob, suaminya tidak pernah memaksa dirinya untuk berubah kerana Zahiril Adzim percaya perubahan perlu datang dari diri sendiri.
“Dia tidak ada cakap apa-apa, cuma saya tahu memang dia juga nantikan keadaan ini sudah lama. Mungkin ini doa dia dan saya juga. Kali pertama saya mengenakan tudung ketika keluar rumah dia cuma tanya, betul ke? Bila saya cakap ya, dia hanya senyum,” ujarnya.
Zahiril Adzim Beri Penjelasan Terpaksa Solat Di Parkir PWTC
Pelakon Zahiril Adzim menjelaskan tindakannya menunaikan solat di parkir Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebelum ke majlis Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) pada 7 November lalu bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.
Zahiril, 29, berkata, dia terpaksa menunaikan solat Maghrib di kawasan letak kereta tersebut berikutan sudah kesuntukan masa selepas berkejar-kejar dari lokasi penggambaran untuk menghadiri majlis berkenaan.
"Saya terpaksa menunaikan solat Maghrib di parkir kerana waktu solat sudah suntuk dan saya sudah mengagaknya. Jadi selepas selesai penggambaran saya pulang ke rumah untuk ambil isteri saya dan ketika itu saya sudah siap-siap ambil air sembahyang.
"Selepas sampai sahaja di PWTC saya cari tempat tersorok untuk bersembahyang kerana kalau saya bergegas ke surau sudah tentu penuh, lagi pun saya takut air sembahyang terbatal jika ada yang ingin bergambar ketika dalam perjalanan ke surau," ujarnya kepada mStar Online.
Zahiril berkata demikian ketika diminta mengulas apabila gambarnya sedang bersembahyang di kawasan parkir sebelum bermula majlis ASK 2014 tersebar dan dibualkan di laman sosial.
Gambar dirakamkan oleh peminat yang melihat situasi itu menyebabkan Zahiril dituduh mahu menunjuk-nunjuk kerana tidak menunaikan solat di surau yang disediakan di PWTC.
Jelas Zahiril, dia sendiri terkejut apabila diberitahu tentang gambar itu tersebar dan diperkatakan di laman sosial.
"Saya rasa ia tidak elok untuk disebarkan kerana akan menimbulkan fitnah seperti ini, saya pun tidak perasan siapa yang mengambil gambar tersebut. Kalau benar saya mahu menunjuk-nunjuk baik saya sembahyang di red carpet sahaja.
"Saya sudah cari tempat paling sunyi yang tidak ada orang ramai, namun saya tahu ada pengawal keselamatan berhampiran kerana takut kalau ada apa-apa berlaku ketika sedang solat," katanya.
AKIBAT SIBUK BERLAKON - ANAK TAK KENAL ZAHIRIL ADZIM
Memang sesuatu yang agak menyedihkan apabila anak sendiri 'lupa' dan tidak mengenali bapanya sendiri. Semuanya gara-gara terlalu lama di lokasi penggambaran iaitu hampir sebulan meninggalkan rumah.
Itulah yang berlaku terhadap Zahiril Adzim dengan anak sulungnya yang diberi nama Nadi Anaqi, yang kini berusia sembilan bulan. Entah bagaimana, Nadi tidak mesra dan tidak mengenali Zahiril akibat ayahnya sibuk berlakon filem berjudul 'Pekak'.
"Pernah beberapa bulan lepas saya terlalu sibuk di lokasi penggambaran sehinggakan tidak berjumpa anak saya selama sebulan. Lebih menyedihkan, apabila saya pulang ke rumah anak saya sudah tidak mengenali diri ini.
"Sebab masa tu bila saya balik dari kerja dia dah tidur dan bila saya keluar ke lokasi dia masih tidur.
"Jadi bila tamat penggambaran, saya gunakanlah peluang bersama dia. Tapi malangnya semasa saya dukung dia, dia menangis, dia tak kenal lagi saya. Masa tu saya sentap (terasa hati) sangat.
"Isteri saya perasaan perubahan air muka saya dan dia cuba tenangkan saya. Ketika tu anak saya baru berusia 3 bulan", ujar Zahiril dipetik sebagai berkata.
Namun sekarang, kalau anaknya nampak Zahiril dari jauh dia akan melompat-lompat kerana mula mesra kembali. Ia membuat Zahiril makin seronok dengan kehidupan sebagai bapa. Malah dia kini juga akan fikirkan anak dahulu meskipun terpaksa bekerja keras dalam lakonan.
ZAHIRIL ADZIM & FAMILY
Gambar menarik Zahiril Adzim dan isterinya Shera Aiyob yang baru mendapat anak lelaki pada Jun lalu. Pastinya hari raya ini bertambah meriah dengan kehadiran 'Nadi Anaqi' yang memberi maksud 'keindahan yang menawan'.
Jom tengok...!
3 GAMBAR TERKINI ANAK ZAHIRIL ADZIM
Gambar terkini anak Zahiril Adzim dan Shera Aiyob yang diberi nama Nadi Anaqi.
Awalnya... ramai yang senyum bila baca nama anak Zahiril ni, kata mereka nama tersebut sedikit pelik dan unik. Namun kini rata-rata peminat sudah boleh menerima pemilihan nama tersebut setelah mengetahui mempunyai maksud 'keindahan yang menawan hati'.
Jom tengok...!
Zahiril Adzim Bercuti Panjang Kerana Isteri
PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim akan berehat daripada dunia lakonan bagi memberikan tumpuan kepada isterinya, Shera Aiyob yang kini sedang hamil empat bulan.
Zahiril, 28, berkata, pada tahap ini komitmennya kepada Shera sangat penting selain ingin memastikan kandungan isterinya itu berada dalam keadaan baik.
"Tiada apa yang lebih penting selain memastikan isteri dan anak dalam kandungan berada di dalam keadaan baik.
"Sebab itu saya mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada kerjaya lakonan untuk bersama-sama isteri," ujarnya kepada mStar Online.
Zahiril dan Shera menamatkan zaman bujang mereka pada 20 November 2011 dengan sekali lafaz di Ipoh, Perak.
Dalam pada itu, Zahiril berkata, selain ingin menjaga isterinya, dia mengambil keputusan untuk berehat kerana telah terlibat dalam banyak projek drama dan filem sehingga tiada masa untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Dia juga mahu memperlahankan seketika aktiviti lakonannya selepas beberapa tahun bekerja kuat untuk membina nama sebagai pelakon.
"Sejak mula saya jarang berehat dan terus bekerja untuk membina nama sebagai seorang pelakon.
"Kini tiba masanya saya memperlahankan sedikit aktiviti lakonan dan memberikan tumpuan kepada isteri dan anak sulung yang bakal lahir," katanya.
Sementara itu, Zahiril mengakui berasa kurang selesa berlakon dengan isterinya sebagai pasangan kekasih ketika digandingkan dalam filem Juvana yang akan ditayangkan pada Khamis ini.
Pun begitu dia mengakui lebih mudah untuk menghayati watak tersebut kerana setiap perkataan yang diluahkan adalah jujur dan penuh kasih sayang.
"Semasa penggambaran filem itu berlangsung kami baru sahaja berkahwin dan rasa segan memang ada tetapi yang bagusnya setiap dialog yang diluahkan adalah jujur dan terasa lebih mudah.
"Selain itu juga kami dapat meluangkan masa bersama-sama selain berbincang tentang watak kami di rumah," jelasnya.
Raya pertama Nabil, Zira, Zahiril, Syera
“SEBELUM berkahwin, saya hanya perlu fikir diri sendiri, selepas berkahwin pula, saya akui hidup lebih teratur,” itu jawapan serupa dilontarkan dua karyawan seni, Zahiril Adzim dan Nabil Ahmad yang belum mencecah setahun bergelar suami.
Kemanisan dan keterujaan berumah tangga masih lagi dirasai oleh pelawak, pelakon dan penyampai radio Suria FM pemilik nama penuh Ahmad Nabil Ahmad bersama isterinya, Nazirah Ayub.
Perkara yang sama turut dialami Zahiril dan pasangannya, pelakon dan hos Nur Syahirah Aiyob atau nama glamornya, Syera Aiyob.
Ceria bercanda dan tawa sepanjang mengadakan sesi fotografi bersama Kosmo! di Putrajaya, baru-baru ini, mereka berempat teruja menceritakan pengalaman masing-masing pertama kali menyambut Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.
Jika dahulu, bujang dan masih anak dara, kini setelah bergelar suami isteri, rutin harian dan jadual kerja juga harus berubah agar masa dapat diluangkan bersama.
Ikuti cerita dan pengalaman dua pasangan ini setelah beberapa bulan bertukar status diri.
Masa berkualiti Nabil, Zira
Bagi Nabil, setelah bergelar suami tanggal 30 September tahun lalu, dia kini lebih gemar menghabiskan masa di rumah bersama isteri kesayangannya, Zira.
“Selepas selesai bersiaran di konti, saya akan terus pulang ke rumah. Ini kerana sesi saya hanya pada sebelah pagi.
“Namun, jika ada penggambaran, maka selepas bekerja saya akan terus ke lokasi. Kadangkala, saya akan bawa Zira bersama,” tutur Nabil yang mengendalikan segmen Ceria Pagi Di Suria bersama Halim Othman di Suria FM.
Menambah keceriaan Nabil dan Zira, setelah hampir setahun berkahwin, Zira kini telah pun berbadan dua. Usia kehamilannya kini hampir mencecah lima bulan.
“Kami kerap bersahur dan berbuka sama-sama kerana semenjak kendalikan segmen pagi di Suria FM, waktu kerja saya bermula seawal pukul 5 pagi. Jadi, lebih mudah ingin menyusun masa bersahur kerana setiap pagi Zira akan masak untuk saya.
“Setelah bersahur bersama-sama, saya akan terus ke konti. Namun apa yang pasti, jika sebelum ini saya kerap ke majlis berbuka puasa seorang diri, kini sudah ada teman,” ungkap Nabil yang mengakui dia dan Zira pernah berbuka puasa sebelum waktunya tanpa sengaja akibat kekeliruan.
Cerita Nabil tentang cuti raya pula, tahun ini merupakan giliran untuk pulang ke kampung nenek Zira di Sungai Siput, Perak. Ini kerana dia tidak mengambil cuti memandangkan segmen kelolaannya di Suria FM itu adalah dari Isnin hingga Jumaat.
“Aidilfitri jatuh pada hari Ahad, maka Jumaat sebelumnya, selepas habis kerja, saya pulang ke kampung sehinggalah menjelang raya pada hari Ahad.
“Pada hari Isnin (hari raya kedua), saya sudah mula bekerja seperti biasa.
“Jika tahun ini beraya di rumah nenek Zira, maknanya tahun hadapan, kami akan pulang ke rumah keluarga saya pula bersama bayi kami,” ujar Nabil penuh keterujaan menantikan kelahiran cahaya mata sulungnya itu.
Rehat Zahiril, Syera
Lain pula kisah rumah tangga Zahiril atau nama penuhnya, Mohd. Zahiril Adzim Mohd. Mukhtar dan Syera Aiyob.
Perancangan awal mereka adalah ingin meluangkan masa bersama sepanjang Ramadan dan berehat seketika daripada rutin karier masing-masing.
“Sepatutnya kami ingin berehat sepanjang Ramadan, kerana maklumlah ini Ramadan pertama kami sambut bersama sebagai suami isteri.
“Namun, oleh kerana ada penggambaran yang masih belum diselesai walau sudah dimulakan sebelum bulan Ramadan, jadi kami tidak kisah untuk menghabiskan kerja,” tutur Zahiril dan Syera ketika ditanya mengenai jadual kerjaya mereka.
Namun kata Zahiril, walaupun mereka bekerja sepanjang Ramadan , jadual dirinya sendiri lebih sibuk berbanding Syera.
Pada kebiasaannya, usai penggambaran di lokasi, dia terus pulang ke rumah untuk meluangkan masa berbuka puasa bersama Syera.
“Alhamdulillah, saya masih lagi ada masa untuk berbuka bersama keluarga saya dan keluarga Syera sendiri di Ipoh walaupun sibuk bekerja. Selain itu, saya juga tidak banyak melepak di luar, dan jika berbuat demikian sekalipun, kebiasaannya saya akan bawa Syera bersama.
“Ini kerana, kebanyakan kawan saya kawan dia juga dan begitu sebaliknya,” beritahu Zahiril yang berbangga kerana juadah bersahur dirinya kini disediakan Syera.
Mengenai raya mereka pula, tutur Zahiril, pada hari raya pertama, mereka berkunjung ke rumah Zahiril dan seterusnya hari raya kedua di Sungai Siput pula iaitu rumah keluarga Syera.
“Memandangkan raya tahun ini merupakan pengalaman pertama, jadi kami berdua sudah sepakat untuk bercuti selama seminggu atau paling lama, dua minggu.
“Kami masing-masing beraya dengan tiga pasang baju raya. Tema warna baju raya saya dan Syera pada tahun ini ialah coklat,” ujar Zahiril.
Zahiril takut stereotaip
TERJEBAK dalam pencarian Juwita, gadis hilang yang cuba dikesan sendiri oleh kakaknya yang bernama Anggun, Zahiril Adzim sedar dia tidak boleh sekadar berpeluk tubuh. Mahu tidak mahu, permasalahan yang menghantui Anggun harus dicampuri agar satu lagi marabahaya boleh dihindari.
Misi Zahiril, selain mengekori langkah Anggun, dia tidak mahu menambah tekanan kepada naskhah yang sudah cukup memenatkan minda ramai pada hematnya itu.
“Semasa baca skrip, saya sudah dapat rasai, ia sebuah drama yang berat. Semua watak ada permasalahan dan pencarian. Sebagai Haider, seorang pemuzik serta bekas tunang Anggun yang sudah berhijrah ke Kuala Lumpur. Apabila Juwita hilang, saya jadi sandaran Anggun untuk menemaninya sepanjang pencarian Juwita di kota.
“Saya kena temankan ke mana sahaja langkah Anggun, jadi dengan dan muka dan emosinya yang tertekan, saya tak mahu menambahkan lagi tekanan sebaliknya jadi elemen untuk menterbalikkan emosi. Saya mahu beri warna kepada naskhah itu,” katanya menyimpan ragu, takut-takut kerja lakonnya dilihat stereotaip.
Pernah melakonkan watak komedi dalam Paan & Paiz di TV3, kata Zahiril, itu percubaan pertama dirinya untuk bermain watak kelakar dari awal hingga ke akhir cerita.
“Itu sebenarnya satu eksperimental daripada saya, orang asyik tengok saya dengan watak-watak berat, jadi saya cuba alihkan perhatian. Kalau ada yang suka, okey, tak suka pun saya okey,” katanya yang kini muncul dengan Mana Hilangnya Juwita.
Mengisi slot yang ditinggalkan Jangan Ambil Padang Kami, sesuatu yang menarik mengenai drama berkenaan ialah pendekatan ia dipromosikan untuk meyakinkan penonton. Sekadar meletakkan tema penculikan remaja sebagai umpan tarikan, benarkah drama terbitan Padi Pictures Sdn. Bhd. itu menjanjikan tontonan luar biasa untuk sesebuah drama tempatan?
“Untuk kami yang berada di lokasi penggambaran, kami hanya mahu penuhi kemahuan pengarah sahaja, kemahuan penonton belum tahu lagi bagaimana. Apabila ia dipromosikan sebegitu rupa, tambahan pula menggantikan slot drama yang jadi ikutan ramai sebelum ini, sedikit sebanyak perkara itu satu desakan kepada para pelakon.
“Skripnya bercerita tentang kehilangan dan pencarian Juwita. Saya terfikir juga, hanya dengan satu penculikan bagaimana ia hendak bercerita sehingga 15 episod. Bila baca skrip, siapa Juwita juga tidak diberi gambaran yang jelas. Puaslah kami bertanya siapa dan mana Juwita, pertanyaan itu sudah macam mainan kami di lokasi. Dari situ saya dapati, seorang diculik nampak kecil tapi impaknya besar di mata masyarakat. Jadi Mana Hilangnya Juwita ada rasional,” katanya turut terhimpit nama besar semasa di lokasi.
Tambahnya: “Bila berlakon dengan nama-nama besar seperti Lisa Surihani, Datin Paduka Umie Aida serta Erra Fazira, saya tak mahu sekadar jadi tempelan di situ.
“Seperkara lagi, apabila sesebuah drama sanggup meletupkan kereta, bagi saya itu satu percubaan yang bersungguh-sungguh. Secara tak langsung ia menaikkan tahap produksi drama itu sendiri. Kalau pun jauh lagi untuk cecah tahap CSI, tapi Mana Hilangnya Juwita cuba ke arah itu supaya tidaklah nanti orang kata, drama Melayu ‘setakat itu’ sahaja,” katanya yang sudah sebulan terbabit dengan penggambaran drama berkenaan.
Bersiaran sebanyak 15 episod, drama arahan Joeza Rasidi yang mula disiarkan 9 Julai lalu itu menjadikan isu penculikan sebagai tema. Setelah menyedari adiknya hilang tanpa dikesan, Anggun sanggup meredah risiko untuk mencari jawapan. Dia berdepan dengan sebuah dunia yang tidak terjangka selama ini.
Selain Zahiril sebagai Haider yang bergandingan dengan Lisa Surihani, drama yang menemui penonton setiap Isnin pukul 10 malam di Astro Ria itu turut dibarisi pelakon handalan lain seperti Erra Fazira, Datin Umie Aida dan Azhan Rani. Ia turut dibantu oleh Syazwan Zulkifly, Raja Ilya dan Diana Johor.
Zahiril Adzim Dan Shera Aiyob Sah Suami Isteri Dengan Sekali Lafaz
Pasangan kekasih comel, Zahiril Adzim & Shera Aiyob telah selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz awal tengahari tadi.
Majlis pernikahan pasangan ini di’adakan di rumah pengantin perempuan di Ipoh, Perak dan akad nikah di’jalankan sendiri oleh bapa Shera Aiyob, Aiyob Shaharuddin.
Shera Aiyob menerima wang hantaran sebanyak RM18,000 & mas kahwin RM1,001 — pasangan ini tampil sedondon dengan warna tema putih serta pakaian rekaan oleh Hatta Dolmat.
Zahiril Adzim & Shera Aiyob akan mengadakan majlis persandingan hari ini juga di Kinding Hills Grand Ballroom, Ipoh dan untuk pihak lelaki, majlis sambut menantu akan di’adakan di Shah Alam.
Menjelang Perkahwinan, Zahiril Takut Terguris Hati Ibu
PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim, 27, yang bakal dinikahkan dengan pengacara Shera Aiyob, 25, pada 20 November ini akui takut jika membuatkan ibunya, Zailan Yussoff berkecil hati.
Oleh sebab itu, dia akan cepat-cepat memenuhi setiap permintaan ibunya lebih-lebih lagi banyak perkara yang perlu difikirkan menjelang majlis perkahwinannya dengan Shera.
“Boleh dikatakan persiapan perkahwinan hampir siap sepenuhnya. Kebanyakannnya diuruskan oleh Shera dan ibu saya.
“Tetapi apabila ibu menghubungi dan meminta pertolongan, saya akan segera laksanakan kerana tidak mahu mengecilkan hati ibu. Walaupun sudah berkahwin nanti, saya akan tetap mengutamakan ibu berbanding isteri,” katanya lagi.
Tambahnya: “Bagaimanapun, saya akan adil dan menjalankan tanggungjawab saya kepada isteri dengan sebaiknya.
“Saya sudah bersedia untuk berhadapan apa sahaja yang akan berlaku dalam rumah tangga kami selepas ini. Dalam masa sama, saya sangat teruja dan sedikit gementar sebelum tiba hari pernikahan kami.”
Selain itu, pelakon filem Bunohan ini turut mempersiapkan dirinya dengan membaca buku berkenaan petua untuk menjadi pasangan bahagia seperti buku ‘Anai-anai Dalam Perkahwinan’ yang ditulis oleh ibunya sendiri.
Majlis pernikahan Zahiril dan Shera bakal berlangsung di rumah pengantin perempuan di Ipoh, Perak pada waktu pagi dengan tema perkahwinan dalam taman.
Pada hari yang sama, pasangan ini akan disandingkan di sebuah dewan berhampiran rumah Shera di Ipoh selepas selesai majlis pernikahan.
Zahiril akan menghadiahkan 11 dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM18,000 dan mas kahwin RM1, 001 manakala Shera akan membalas dengan 13 dulang hantaran.
Sebuah lagi resepsi iaitu majlis sambut menantu sebelah pihak lelaki akan diadakan di Shah Alam yang hanya dihadiri oleh keluarga dan saudara-mara terdekat.
Pasangan ini bertunang pada 1 Mei lalu.
Zahiril Adzim Gelisah Bergelar Seorang Suami
“Jauh di sudut hati saya memang tak sabar nak kahwin. Tapi semakin dekat dengan tarikh perkahwinan, saya makin gelisah. Sebabnya, kita sebagai lelaki ni akan memikul tanggungjawab yang besar. Dosa isteri, walaupun besar atau kecil kita kena tanggung. Insyaallah, saya sedang buat persediaan daripada sudut agama. Daripada segi kewangannya pula, saya akan susun betul-betul. Pada saya, apabila bergelar sebagai suami isteri, kita harus bersabar dan jangan mengeluh,” kata Zahiril Adzim apabila diajukan soalan mengenai persiapan daripada segi fizikal dan mental menjelang perkahwinannya bersama Shera Aiyob, hos Wanita Hari Ini.
Zahiril Adzim yang ditemui pada Isnin lalu di GSC Pavillion memaklumkan persiapan perkahwinannya kini hampir selesai, sekitar 70%.
“Ibu dan kakak saya yang membeli barang dan menguruskan segala persiapan kerana mereka tahu yang saya ni amat sibuk orangnya. Setakat ini, sekitar 70% persiapan sudah selesai termasuklah barangan hantaran. Perhiasan hantaran pula ditaja oleh Dedulang Sirih yang merupakan sebuah syarikat milik kakak saya. Insyaallah, pihak saya akan menghantar 9 dulang hantaran, namun ia masih belum dimuktamadkan lagi,” ujar pelakon utama filem Klip 3GP, sebuah filem yang akan ditayangkan diseluruh pawagam mulai 13 Oktober ini.
“Yang pastinya, perkahwinan kami pada 20 November 2011 ini akan diadakan dalam suasana penuh kesederhanaan,” tambah Zahiril Adzim kepada OHBULAN!
Zahiril Akui Belum Boleh Memilih
PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim yang bakal menamatkan zaman bujangnya dengan pelakon Shera Aiyob pada November depan mengakui masih belum boleh memilih watak dalam drama atau filem mengikut kehendaknya.
Tambah Zahiril, dia mengakui dirinya masih lagi baru untuk terlalu memilih watak biarpun kadang kala dia sedar watak yang dibawanya mampu menjejaskan namanya.
“Setiap pelakon kalau boleh ingin berlakon watak yang memberi kepuasan kepada mereka, terutamanya pelakon yang belajar tentang dunia lakonan,
“Setiap kelakuan, intonasi suara dan pergerakan semuanya mempunyai makna tersendiri,
“Namun buat masa sekarang saya masih baru dan lakonan ini adalah punca rezeki utama saya, jadi saya tiada pilihan selain menerima apa sahaja tawaran berlakon biarpun kadang kala ada watak yang saya tidak suka,” ujarnya.
Tambah Zahiril, apa yang mampu dilakukan ialah menjadikan sesebuah watak tersebut sesuatu yang lain.
“Saya sedar ada juga watak yang saya terima boleh menjatuhkan saya, jika saya menerima watak sebegitu biasanya saya akan cuba untuk beri sesuatu yang membaiki watak tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, dia sedang merancang untuk membuat perniagaan sebagai pendapatan sokongan.
“Memang saya merancang untuk berniaga, memandangkan pendapatan bidang lakonan yang tidak menentu, buat masa ini saya beri sokongan pada Shera yang ingin membuka butik pakaiannya tidak lama lagi,” katanya.
Zahiril Adzim Berdebar Tunggu Tarikh Tunang

PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim, 27, bakal mendirikan rumah tangga bersama pengacara Wanita Hari Ini, Shera Ayob, 24, pada tahun ini.
Menurut Zahiril yang enggan memberitahu tarikh perkahwinannya itu, dia hanya mahu fokus pada persiapan hari pertunangannya yang akan berlangsung pada Mei depan dahulu sebelum memikirkan tentang hal perkahwinan.
"Walaupun sekadar majlis pertunangan sahaja, ia adalah satu perkara yang perlu diambil serius dan saya agak berdebar-debar menunggu hari tersebut.
"Justeru itu, selain beberapa filem lakonan saya yang bakal dikeluarkan seperti Senjakala dan Bunohan, saya juga akan memberi fokus mengenai persiapan pertunangan ini.
"Alhamdulillah, setakat ini kami sudah pun berjumpa dengan kedua-dua belah keluarga kami," katanya yang ditemui pada majlis pratonton filem Senjakala di Lotus Five Star, di sini.
Tambah Zahiril, kedua-dua pihak memutuskan untuk bertunang dalam jangka masa beberapa bulan sahaja sebelum meneruskan perancangan ke jenjang pelamin.
"Setakat ini, saya sudah pun bersedia menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami Shera," tuturnya.
Zahiril dan Shera telah pun menjalinkan hubungan cinta selama lebih enam bulan.
Zahiril dan Shera nak bertunang

KECOH pun tak, bising pun tak juga tetapi dalam diam-diam pelakon kacak Zahiril Adzim dah nak bertunang. Wanita bertuah pilihan hati jejaka itu rupanya orang Sri Pentas, TV3.
Siapa lagi kalau bukan Shera Ayoub yang cantik manis dan merupakan pengacara Wanita Hari Ini. Baguslah tu, pasangan ini tidak segan silu berkongsi kisah cinta dengan peminat.
Joyah bukan apa, sebelum ni ada pasangan artis mati-mati tak mengaku bercinta bila ditanya wartawan. Tapi pada masa sama berkepit mesra ke sana sini mengalahkan pasangan yang dah berkahwin.
Namun lain pula dengan Zahiril, 27. Penuh macho mengaku sedang hangat bercinta dengan Shera yang muda dua tahun daripadanya.
Yang lebih seronok, mereka dah rancang nak bertunang pertengahan tahun ini walaupun baru berkawan enam bulan lalu selepas kedua-duanya terbabit dalam filem Sesuatu Yang Tertinggal.
Bagi Joyah zaman dah berubah, nampaknya artis yang baru nak naik sekarang memang terbuka minda. Kalau artis dulu-dulu hendak bercinta pun main sorok-sorok.
Hari ini sudah terang lagi dan bersuluh. Agaknya itulah gaya cinta artis zaman sekarang yang dah tak kisah pun saham jatuh ketika nama baru nak popular.
Bagi peminat yang nak baca lagi cerita cinta Zahiril dan Shera itu, jangan lupa beli majalah paling popular di Malaysia, URTV yang wajah depannya diva popular Ziana Zain. Khabarnya majalah tu laris betul macam pisang panas ketika ini.
Zahiril Adzim Mahu Cepat Kahwin Dengan Shera Aiyob

PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim (gambar) mengaku tidak mahu melengahkan perkahwinannya dengan pengacara Shera Aiyob setelah bertunang pada tahun ini.
Pelakon drama 6 Progresif, Biar Putih Tulang Jangan Putih Mata, Kami The Series, Seandainya Aku Siti dan Merah Puteh ini sedang merancang untuk bertunang dengan pengacara Wanita Hari Ini itu dalam satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Pasangan ini telah menjalin hubungan sejak tujuh hingga lapan bulan lalu. Setakat ini, tiada lagi majlis merisik dan perbincangan melibatkan kedua-dua keluarga tetapi menurut Zahiril keluarganya dan keluarga Shera telah bertemu di sebuah pasaraya.
“Keluarga saya belum lagi membicarakan tentang perkara ini (kahwin) dengan keluarga Shera. Bagaimanapun, saya percaya pada jodoh dan kalau boleh tidak mahu melengah-lengahkan perkara yang baik.
“Kalau bercinta lama-lama pun, tetapi tidak berakhir ke jinjang pelamin pun tidak menjadi juga. Saya percaya kepada tiga perkara dalam hidup iaitu rezeki, ajal dan jodoh. Jadi apabila merasakan dia adalah jodoh saya, buat apa nak buang masa lagi.
“Umur kami pun semakin bertambah, saya sudah 27 tahun dan dia berumur 25 tahun,” kata pelakon filem Kami The Movie dan Karaoke ini.
Bagaimanapun, seperti Shera, duta Amnesty International Malaysia ini turut mengambil pendekatan untuk mengunci mulut tentang majlis pertunangan mereka atas alasan banyak hati yang perlu dijaga.
“Dakwaan kami akan bertunang pada 1 Mei adalah tidak benar dan akan memberitahu tentang majlis tersebut pada masa yang sesuai.
“Lagipun perkara seperti ini melibatkan keluarga kedua-dua belah pihak. Selagi orang tua kami tidak memberikan kata putus, kami tidak boleh berkata apa-apa kerana banyak hati yang perlu dijaga. Insya-Allah, jika tiada aral kami akan bertunang pada tahun ini.
“Kalau boleh kami tidak mahu bertunang lama-lama kerana bimbang dugaan akan datang bertimpa-timpa. Insya-Allah, saya rasa sudah bersedia untuk berkahwin,” katanya yang sedang menjalani penggambaran drama Juvana arahan Faizal Ishak dan terbitan produksi Kabir Bhatia untuk TV3.
Selain menerima Shera sebagai jodohnya, pelakon yang turut berdebar menunggu kemunculan filem terbarunya, Senjakala di pawagam pada 14 April ini akui tertarik dengan sikap wanita itu yang pandai berdikari dan tidak suka mengongkong.
‘Ajaran Cinta’ Zahiril Adzim

PETALING JAYA: Pelakon Zahiril Adzim (gambar), duta Amnesty International Malaysia (AIM), akan menjayakan program Ajaran Cinta di Galeri Annexe, Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 13 Februari ini.
Program yang menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk tayangan filem pendek Maruah dan dokumentari Zarganar: This Prison Where I Live ini bermula dari pukul 10 pagi sehingga 6 petang.
Sebagai duta AIM, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia, Zahiril bukan sahaja mengajak orang ramai hadir untuk menonton beberapa filem dan mengikuti pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan nanti.
“Program ini merupakan idea bersama antara saya dan Amnesty International Malaysia. Ikutkan, saya telah lama terlibat dalam memperjuangkan hak asasi manusia menerusi karya teater dan penulisan sebelum ini.
“Tetapi apabila menyertai Amnesty, saya semakin terbuka dan mendapat banyak pendedahan tentang hak asasi.
“Jika berpeluang, saya akan mempromosikan perkara ini agar para remaja lebih peka tentang hak asasi dalam kehidupan mereka,” katanya yang bergelar duta AIM pada Disember tahun lalu.
Pelakon teater Banduan Akhir di Sel Akhir ini akan muncul pada pukul 10 pagi semasa tayangan filem pendeknya berjudul Maruah dan sesi soal jawab selepas selesai tayangan tersebut.
Tambahnya: “Saya mahu mengajar cinta sesama manusia, kepada agama dan alam. Walaupun seseorang itu tidak mempunyai agama (free thinker), tetapi sekurang-kurangnya dia mempunyai perasaan cinta. Jadi ia dapat mengurangkan isu keganasan.”
Kata kekasih pengacara Shera Aiyob lagi, dia juga akan menjadikan program itu dan AIM sebagai platform untuk meluaskan ilmunya.
“Jika berpeluang menyertai persidangan dunia melibatkan Amnesty, saya mahu menyertainya dan bercita-cita untuk berjumpa dengan salah seorang duta Amnesty di dunia ini iaitu Yoko Ono yang juga bekas isteri mendiang John Lennon,” ujar pelakon drama 6 Progresif lagi yang turut menantikan kemunculan lima buah filemnya.
Filem-filem tersebut adalah Senjakala, Bunohan, Tolong Awek Ku Pontianak, Ada Sesuatu Yang Tertinggal dan Klip 3GP.
Selain itu, dia akan terlibat dengan penggambaran drama Juvana.
Saya tidak mahal! - Zahiril

PELAKON kacak yang menggenggam trofi pelakon lelaki harapan terbaik pada festival filem Malaysia ke-22 di Sabah baru-baru Zahiril Adzim, 25, nampaknya semakin mencurah-curah rezekinya.
Walaupun ada kata-kata sinis kononnya lepas menang anugerah, harga untuk Zahiril sudah semakin mahal bahkan ramai penerbit kononnya takut untuk menggunakan khidmat Zahiril, hakikat sebenarnya tidaklah begitu.
Zahiril yang ditemui oleh teman Marilyn di set penggambaran drama bersiri terbarunya berjudul Lembing dan Layang sebuah drama sejarah memberitahu, dia sedikit kecewa apabila ramai penerbit menganggap harganya kini mahal.
"Saya ada dengar selalunya selepas artis menang anugerah macam ada badi, penerbit takut nak ambil berlakon kononnya harga dah naik dan macam-macam lagi.
"Sedangkan saya tidak pernah mengubah harga kerana berlakon merupakan minat. Tetapi kalau ada yang nak bagi lebih saya terima sahaja sebab dah rezeki," ujarnya sambil ketawa.
Meskipun begitu, rezeki Zahiril tetap melimpah ruah dan tawaran lakonan tidak putus-putus. Bertuah badan!
Dalam usia yang masih muda sudah menang anugerah besar berbaloilah dengan bakat lakonannya yang tidak pernah menghampakan penonton. Marilyn pun suka tengok Zahiril berlakon!
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]













