Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Kanser Usus Enot Hampir Pulih Selepas Rawatan Tradisional
Keadaan kesihatan pelakon Enot yang menghidap kanser usus sudah 70 peratus sembuh selepas dia menjalani rawatan perubatan secara tradisional.
Enot atau nama sebenarnya, Alliza Abdullah, 37, berkata, dia sudah boleh melakukan kerja-kerja seharian termasuk menerima tawaran berlakon.
"Alhamdulillah boleh dikatakan penyakit saya sudah 70 peratus sembuh selepas mengamalkan rawatan tradisional masyarakat Jepun iaitu dengan cara pemakanan seperti sayur-sayuran dan makanan rebusan sahaja.
"Saya sudah boleh berniaga seperti biasa dan terlibat beberapa penggambaran program televisyen, cuma berlakon sahaja belum ada tawaran kerana produksi tidak tahu saya sudah boleh berlakon semula," ujarnya kepada mStar Online.
Enot ditemui pada majlis pengumuman senarai lima finalis di Anugerah Bintang Popular 2014 (ABPBH2014), di Hotel Royal Chulan, di sini, Selasa.
Enot tersenarai dalam kategori Artis Komedi Wanita Popular buat tahun kesepuluh bersama Didie Alias, Dottie, Ifa Raziah dan Jihan Musa.
Dalam pada itu, Enot berkata, dia kini dalam usaha untuk membuat pemeriksaan doktor bagi mendapatkan pengesahan bebas daripada penyakit kanser tersebut.
Sementara itu, Enot berkata, dia juga dipanggil oleh beberapa pihak bagi memberi ceramah dan berkongsi pengalaman berhadapan dengan penyakit itu.
"Rezeki… saya juga dapat buat ceramah dan berkongsi pengalaman serta beri kesedaran kepada kaum wanita tentang penyakit ini.
"Dahulu saya pun tidak pernah menyangka perkara ini dan ada usaha serta jalan untuk kita pulih semula. Saya harap wanita tidak mudah patah semangat," ujarnya.
Sementara itu, ditanya perkembangan hubungannya dengan rakan baik iaitu Didie Alias yang dikatakan dingin selama ini, Enot berkata, mereka sudah berbaik semula.
Katanya, Didie sering bertanya khabar melalui WhatsApp tentang kesihatannya.
"Selepas berita tentang hubungan kami keluar, Didie ada hubungi saya dan kami seperti biasa gelak-gelak sahaja. Kami sudah faham perangai masing-masing dan tahu hati budi.
"Walaupun dia (Didie) sibuk dengan kerja dan anak-anak, namun dia selalu bertanya khabar melalui telefon dan WhatsApp," ujarnya.
Sikap Memilih Punca Zul Ariffin Dituduh Sombong
Pelakon Zul Ariffin menjelaskan sikap selektif terhadap tawaran drama atau filem yang diberikan kepadanya menjadi punca dia kini dikatakan mula bersikap sombong.
Zul, 29, berkata, faktor dia tidak mempunyai pengurus turut membuatkan dia lebih berhati-hati dalam memilih projek kerana bimbang tidak dapat melunaskan semua tanggungjawab dalam satu masa.
"Bukan mudah sebenarnya menguruskan kerjaya sendiri tanpa bantuan dan sebab itu saya perlu selektif dalam memilih projek kerana tidak mahu menimbulkan sebarang masalah.
"Saya juga mengakui jika ada permintaan yang tidak ada kena mengena dengan kerjaya, saya tidak menjawab permintaan tersebut dan mungkin itu juga menyebabkan saya dikatakan sombong," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Zul berkata, populariti yang dikecapinya bukan tiket untuk dia mendabik dada dan bersikap sombong sebaliknya ia adalah satu peringatan kepadanya untuk terus berusaha dalam membina tapak dalam industri.
Zul dan Fathia dilantik sebagai duta utama Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL 2015).
Jelas Zul, masih banyak ruang yang harus diperbaikinya dalam membuktikan kepada peminat dan masyarakat bahawa dia serius terhadap kariernya sebagai pelakon.
"Populariti itu satu bonus terhadap usaha keras yang saya lakukan selama ini dan Alhamdulillah saya diterima baik oleh peminat.
"Tetapi itu juga sebenarnya satu peringatan agar saya tidak leka dan terus komited terhadap minat saya dalam bidang lakonan," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Zul memberitahu dia teruja apabila dilantik sebagai duta utama Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL 2015) bersama-sama aktres Nur Fathia.
DFKL 2015 bakal berlangsung pada 20 Mac depan.
Isteri Mendiang Loga Sedang Koma
Datin Susan Lovie Boudville, isteri kepada mendiang penyanyi Alleycats, Datuk Loganathan Arumugam, sedang bertarung nyawa untuk hidup akibat menghidap penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).
Susan, 58, sedang koma di Hospital Pulau Pinang selepas pengsan pada 14 Februari lalu.
Beliau disahkan menghidap COPD, sejenis penyakit saluran pernafasan tersekat akibat bengkak atau parut, kira-kira empat tahun lalu.
Menurut anak perempuannya, Dasha Logan, 26, ibunya telah dikejarkan ke hospital selepas pengsan pada malam 14 Februari.
"Dia sedang mandi dan pengsan apabila keluar dari bilik mandi. Abang dan rakan ibu saya berada di rumah ketika kejadian, " katanya, Rabu.
Beliau menambah, saudara mara ibunya telah datang dari Sabah dan Australia selepas dimaklumkan mengenai perkara itu.
Kawan rapat Susan, Mary Carlos-Westwood, 55, berkata dia berasa amat sedih.
"Dia merupakan seorang wanita penyayang dan baik hati yang tidak teragak-agak untuk membantu orang yang memerlukan," katanya, sambil memberitahu mula rapat dengan Susan pada tahun 1999.
Katanya, Susan telah tinggal dengannya di pangsapuri Permai Ria di Tanjung Bungah sejak September 2012 selepas rumah Susan di Jalan Azyze terbakar.
"Dia tinggal dengan kami sehingga 31 Januari apabila anaknya membawanya berpindah ke apartmen Mar Vista," tambahnya.
Susan bertemu Loganathan ketika dia bekerja di Kuala Lumpur.
Loganathan, atau lebih dikenali sebagai Loga, meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 2007 selepas beberapa bulan bertarung dengan penyakit tersebut.
Bersama-sama dengannya adalah Datuk David Arumugam, di mana mereka membentuk kumpulan adik-beradik Alleycats pada tahun 1969 dan menghiburkan peminat di seluruh rantau ini selama 30 tahun.
Umur Bukan Ukuran Sara Ali Cintai Lelaki Lebih Muda
Pelakon Sara Ali memberitahu dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan muda bernama John Shaqeel, 22.
Sara atau nama Siti Sarah Hairi Ali, 25, berkata biarpun tiga tahun lebih tua daripada lelaki tersebut, ia bukan sesuatu yang ukuran untuk mereka bercinta.
"Ya, dia adalah kekasih saya dan kami sudah beberapa bulan bercinta dan sekarang masih dalam proses untuk mengenali satu sama lain.
"Dia lebih muda daripada saya, namun bagi saya umur bukan suatu masalah atau ukuran yang penting kami serasi bersama," ujarnya kepada mStar Online.
Bagaimanapun, Sara berkata, dia masih belum mempunyai perancangan untuk mengikat tali pertunangan atau mendirikan rumah tangga dalam tahun 2015 ini.
"Buat masa ini belum lagi ada perancangan kearah itu, dan kami masing-masing sibuk untuk membina kerjaya dahulu sebelum ke peringkat seterusnya. Doakan yang baik-baik sahaja," ujarnya.
Gambar Sara bersama kekasihnya, John Shaqeel yang dimuat naik di Instagram.
Sementara itu, ditanya tentang perkembangan kerjaya, Sara yang tercalon dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2014) mengakui kontroversi yang melanda tahun lalu membantu kerjaya seninya.
Dia menganggap kontroversi tersebut sebagai publisiti yang sedikit sebanyak mengangkat namanya dalam industri hiburan tanah air.
"Kontroversi yang datang kepada saya satu persatu sejak tahun lalu langsung tidak menjejaskan kerjaya saya sebagai pelakon. Alhamdulillah rezeki saya semakin baik, peminat juga masih menyokong saya.
"Saya percaya berita baik atau buruk kepada seseorang artis adalah publisiti percuma, terima kasih juga kepada yang menaikan nama saya dengan cara itu," ujarnya
Jelas Sara, tahun 2015 ini akan memperlihatkan kerjaya lakonannya semakin berkembang dengan kerjasama beberapa pelakon dan pengarah hebat tanah air.
Dia bersyukur menerima tawaran-tawaran untuk bekerjasama dengan nama-nama besar yang mampu memberi pengetahuan kepadanya dalam bidang seni lakonan.
"Rezeki yang datang memang tidak boleh dijangka, pada awalnya saya hanya ingin mengumpul portfolio sahaja untuk berlakon dengan pengarah yang bagus dan pelakon-pelakon bagus, namun selepas itu tawaran yang datang semua yang saya impikan.
"Mula-mula saya berlakon dengan Fahrin Ahmad, kemudian saya dapat berlakon dengan Remy Ishak dengan pengarah Jamal Khan, selepas itu saya dapat berlakon dengan Beto Kusyairi dan Sabri Yunus pula.
"Ada lagi projek besar akan datang yang saya tidak boleh umumkan, semuanya berjalan dengan baik," ujarnya.
'Saya Tak Tahu Anak Hartawan Mana' - Uqasha Senrose
Pelakon Uqasha Senrose menyifatkan gosip kononnya dia kini sedang diintai oleh seorang anak hartawan sebagai cerita rekaan dan tidak mempunyai asas kukuh.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 23, berkata, dia sendiri tidak pasti siapakah individu dimaksudkan sedang mendekati dirinya dan hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas membacanya di akhbar.
"Saya langsung tidak mengetahui mengenai perkara itu dan pada saya gosip berkenaan adalah mengarut dan tidak mempunyai asas.
"Malah saya sendiri tidak mengetahui anak hartawan mana yang dimaksudkan," katanya kepada mStar Online, Ahad.
Uqasha mengulas mengenai laporan dalam sebuah akhbar mingguan pada Ahad yang mendakwa dia sedang diintai oleh anak hartawan dan mereka dikhabarkan pernah keluar bersama.
Lelaki berkenaan dikatakan adalah tunang kepada seorang pelakon baharu dan pernah dikaitkan dengan beberapa artis wanita lain sebelum ini.
Dalam pada itu, Uqasha berkata, dia berasa pelik kerana sering dijadikan sasaran gosip biarpun perkara berkenaan tidak benar dan berharap dia tidak lagi dikaitkan dengan cerita seumpama itu pada masa hadapan.
"Sudah-sudahlah buat cerita tidak benar mengenai saya. Saya sendiri pun tidak faham," ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai hubungannya dengan pelakon Syafiq Kyle, Uqasha menjelaskan dia tidak pernah menyorokkan status sebenar hubungan mereka kerana mereka masih lagi dalam fasa mengenali hati budi masing-masing.
Malah kata Uqasha, dakwaan kononnya hubungan mereka tidak direstui oleh ibu Syafiq menjadi penyebab dia berdolak-dalih mengenai percintaannya dengan lelaki itu juga tidak benar.
"Hubungan saya dengan ibu Syafiq okey sahaja tidak seperti mana dilaporkan.
"Tentang saya dan Syafiq, kami masih baik. Kami berkawan dan masing-masing sedang mengenali hati budi," jelasnya ringkas.
Lisa Surihani Enggan Ulas, Yusry Beri Bayangan Spekulasi Anak Kembar
Pelakon Lisa Surihani enggan mengulas dakwaan kononnya dia bakal mendapat cahaya mata kembar dan meminta orang ramai mendoakan perkara baik terhadap kandungannya itu.
Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 29, berkata, dia menerima rezeki ditetapkan oleh Allah sebagai rezeki dalam rumah tangga yang dibina selama tiga tahun itu.
"Kalau betul Alhamdulillah tapi kenyataan itu bukan saya yang buat, bagi pihak saya lebih baik kami tidak umumkan apa-apa.
"Saya terima apa juga yang Allah kurniakan dan saya harap orang ramai juga mendoakan yang baik-baik untuk kami," ujarnya kepada mStar Online, di sini, Isnin.
Lisa berkata demikian ketika diminta mengulas tentang spekulasi bakal melahirkan cahaya mata kembar yang dilaporkan oleh sebuah berita minggu, pada Ahad.
Bagaimanapun, Lisa mengakui mempunyai keturunan yang dilahirkan secara kembar termasuk dirinya.
"Saya dilahirkan sebagai kembar, begitu juga ayah dan sepupu saya," ujarnya.
Dalam pada itu, Lisa turut meminta semua pihak memberi ruang kepada dia dan suaminya, Yusry Abdul Halim untuk merahsiakan perkara tersebut sebagai privasi untuk keluarga mereka.
Kata Lisa, suaminya ada memuat naik gambar di laman sosial Instagram dan memberi bayangan terhadap spekulasi itu.
"Saya harap semua orang hormati keputusan kita, jika saya tidak mahu berkongsi tentang sesuatu sudah pasti ada sebab tertentu dan masa yang tidak sesuai.
"Tapi saya rasa Yusry ada bagi hint dalam Instagram dia semalam tentang perkara ini," ujarnya.
Yusry memuat naik gambar dengan kapsyen memberitahu bahawa mereka akan menyambut ulang tahun perkahwinan tahun depan bertiga.
Sementara itu, Yusry pada malam Ahad memuat naik gambar mereka bersama dengan status bahawa akan menyambut ulang tahun keempat pada tahun hadapan secara bertiga.
Pasangan tersebut menyambut ulang tahun perkahwinan ketiga pada Isnin 23 Februari 2015.
"Alhamdulillah, tiga tahu berlalu. Sayang menjadikan saya seorang yang lebih baik. Saya tahu Allah mencipta seseorang untuk saya berkongsi kasih sayang.
"Kamu memberi kebahagian dalam hidup saya, tiada seminit pun setiap hari saya tidak memikirkan tentang kamu. Insyaallah, ulang tahun perkahwinan pada tahun depan kita sambut bertiga," tulisnya.
Syura Enggan Rujuk, Kes Cerai Yatt Hamzah Tangguh
Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Selasa membenarkan bekas suami Syura, Mohd Fadhly Md Yassin,33, menarik semula permohonan pengesahan lafaz rujuk yang telah dibuat secara lisan pada 10 November tahun lalu.
Hakim Syarie, Abdul Halim Muhammad membenarkan permohonan itu selepas Mohd Fadhly menyatakan tidak mahu meneruskan kes tersebut selepas Syura selaku defendan enggan rujuk semula.
"Saya tidak mahu kes ini berlanjutan dan hadir ke mahkamah lagi yang mana akan menyusahkan defendan. Oleh itu saya menarik semula permohonan ini bagi memudahkan kedua-dua pihak," ujar Mohd Fadhly.
Terdahulu Abdul Halim memberi pilihan kepada plantif sama ada untuk menangguhkan kes atau mendapatkan khidmat guaman sebelum membuat sebarang keputusan.
Hal ini berikutan, Fadly kelihatan keliru ketika ditanya mengenai pendiriannya untuk meneruskan kes tersebut atau tidak.
"Awak sepatutnya berbincang terlebih dahulu sebelum datang ke mahkamah dan jangan buat keputusan terburu-buru. Kamu juga boleh mendapatkan khidmat peguam supaya lebih jelas dengan perjalanan mahkamah," jelasnya.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Mac 2006 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. Mereka disahkan bercerai talak satu pada September lalu.
Yatt Hamzah
Kes Perceraian Yatt Hamzah Tangguh 12 Mac
Dalam pada itu, di Dewan 11 kompleks mahkamah sama, mahkamah menangguhkan perbicaraan permohonan perceraian yang difailkan oleh pelakon dan pengacara Yatt Hamzah atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 35.
Hakim Mohd Saifullah Hamzah membenarkan permohonan tersebut selepas suaminya Abdul Mutalib Abdul Shukor, 35, memaklumkan pihaknya akan melantik peguam untuk meneruskan kes itu.
Terdahulu, peguam syarie Noraini Fauzi yang mewakili Yatt selaku plaintif memaklumkan kepada mahkamah, anak guamnya telah memfailkan permohonan untuk bercerai mengikut seksyen 47 undang-undang keluarga islam wilayah-wilayah persekutuan 1984.
Tambah Noraini, pihaknya telah menyerahkan saman kepada defenden pada 10 Februari lalu.
Sementara itu, Abdul Mutalib memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia mahu menarik semula kes kerana ingin mendapatkan khidmat kaunseling berhubung masalah rumah tangganya.
Bagaimanapun, Mohd Saifullah menjelaskan plantif telah pun memfailkan permohonan itu dan kedua-dua pihak perlu berbincang dengan peguam masing-masing bagi meneruskan kes perceraian mereka.
Mahkamah seterusnya menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan kes dan lantikan peguam.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Mac 2009.
Pelakon Eizlan Yusof Cerai Talak Satu
Rumah tangga yang dibina pelakon Datuk Eizlan Yusof dan isterinya, Datin Vie Santie Harun selama tujuh tahun akhirnya musnah apabila pasangan itu disahkan bercerai talak satu.
Perceraian mereka disahkan oleh Makamah Syariah Gombak Timur di sini pada Isnin.
Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan percerian itu selepas mendapati lafaz cerai yang diucapkan oleh pelakon itu terhadap isterinya pada 28 September 2014 adalah sah.
Pasangan tersebut bersetuju hak penjagaan tiga anak mereka diberikan kepada Vie Santie Harun selaku ibu manakala Eizlan mendapat kebenaran untuk bermalam dengan anak-anaknya pada masa yang dipersetujui bersama.
Vie Santie selaku plantif juga bersetuju tidak akan membuat tuntutan mutaah manakala nafkah edah pula akan diberikan mengikut budi bicara Eizlan.
Eizlan, 44, dan Vie Santie, 29, bernikah pada 7 Julai 2007 dengan hantaran RM77,777.77.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Vie Zaara, Zareef Yusof dan V Zaalia yang berumur antara dua hingga enam tahun.
RESEPSI PERKAHWINAN LEEZ & AEPUL
Sekitar resepsi perkahwinan pasangan yang paling banyak mendapat perhatian peminat dunia hiburan iaitu Leez Rosli dan Aepul (Drama Band).
Untuk rekod, mereka berdua bernikah pada bulan Disember 2014 lalu dan telahpun melangsungkan resepsi perkahwinan mereka yang pertama baru-baru ini.
Namun yang kedua ini nampaknya sama meriah dengan yang pertama. Malah Leez juga nampak makin cantik dan berseri-seri.
Liyana Jasmay Tidak Guna Populariti Lariskan Jualan
Pelakon Liyana Jasmay tidak akan menggunakan popularitinya sebagai selebriti untuk melariskan jualan barangan menerusi label miliknya iaitu Mermaid Luxe.
Sebaliknya kata Liyana, 26, dia dan kakaknya, Edriana Jasmay bermula dari bawah dalam memulakan perniagaan melalui laman sosial Instagram dan menyertai bazar bagi memperkenalkan produk mereka.
"Benar status selebriti itu mampu menarik pelanggan tetapi saya mahu mendapat kepercayaan pelanggan dengan bermula dari bawah.
"Alhamdulillah banyak yang saya belajar apabila menjual barangan di Instagram dan bazar kerana dari situ kita dapat melakukan kajian pasaran serta memperbaiki produk ditawarkan agar memenuhi kehendak pelanggan," katanya kepada mStar Online.
Liyana ditemui pada majlis pelancaran klip video lagu tema filem Isyarat Cinta iaitu Tak Harus Memiliki di Restoran Rebung di sini pada Isnin.
Selain Liyana, filem arahan Bade Azmi itu turut menampilkan Adi Putra dan Fizo Omar dan ia akan menemui penonton di pawagam pada 19 Mac depan.
Dalam pada itu, Liyana berkata, dia dan kakaknya memulakan perniagaan itu sejak Disember lalu dan setakat ini menjual beberapa jenis pakaian dan tudung.
Malah kata Liyana, mereka bercadang untuk membuka butik khas pada Ogos depan bagi memudahkan pelanggan mendapatkan barangan di bawah jenama Mermaid Luxe.
"Setakat ini kami ingin tengok sambutan pelanggan dan Alhamdulillah penerimaan cukup baik.
"Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar dan semakin stabil Ogos nanti baharulah kami buka butik," ujarnya.
Sementara itu, Liyana berkata, dia teruja apabila melihat generasi muda yang kini rata-rata bersemangat dalam menjalankan perniagaan biarpun secara kecil-kecilan.
Kata Liyana, melihat senario itu dia dan kakaknya bertambah teruja untuk sama-sama memajukan perniagaan mereka dan sering menyertai pelbagai bazar bagi sama-sama memberi sokongan terhadap peniaga lain.
"Seronok melihat ramai anak muda tampil dengan pelbgai produk menarik untuk dijual kepada pelanggan dan ini adalah perkembangan yang cukup baik.
"Setiap kali saya menyertai mana-mana bazar sokongan dan kerjasama di antara peniaga cukup baik dan membuatkan suasana cukup meriah," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Liyana berkata, syarikat produksinya, Mermaids Studio bakal menerbitkan sebuah super telefilem untuk siaran Astro iaitu Angin Cinta selain sebuah filem berjudul Bella dan Jamie.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]











