Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Zul Ariffin. Show all posts
Showing posts with label Zul Ariffin. Show all posts

Sangkal Bercinta Dengan Zul Ariffin, Instagram Zahirah MacWilson Digodam

Pelakon Zahirah MacWilson menyangkal dakwaan kononnya dia mempunyai hubungan istimewa dengan aktor Zul Ariffin selepas gambar mesra mereka di sebuah pusat beli-belah tersebar. Zahirah, 20, berkata, hubungannya dengan Zul sekadar rakan biasa selepas sama-sama terlibat dalam drama Mr London Ms Langkawi sebelum ini. "Saya sebenarnya tidak mengetahui mengenai perkara ini sehingga ada meminta komen saya dan sudah tentu saya terkejut. "Ini kerana saya dan Zul hanya rakan biasa dan kami berjumpa pun secara kebetulan selain tidak berbual panjang pun ketika berjumpa tempoh hari," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Sabtu.
Tambah Zahirah, pertemuan itu berlaku di pusat beli-belah One Utama di sini ketika dia sedang berjalan-jalan dan terserempak dengan Zul yang baharu sahaja keluar dari pusat kecergasan. "Saya tidak tahu apa niat individu tersebut mengambil gambar curi kami dan menyebarkannya tetapi hubungan kami memang sekadar kawan biasa sahaja," katanya. Dalam pada itu, Zahirah mendedahkan akaun Instagram miliknya telah digodam pada pagi Sabtu namun tidak mengetahui sama ada ia ada kaitan dengan gosip yang diperkatakan tentangnya pada hari sama. "Saya sebenarnya tertekan dan sedih Instagram saya digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab dan tidak tahu adakah ia berkaitan dengan gosip itu atau sebaliknya.
"Bagaimanapun saya fikir positif sahaja dan menganggap ia lumrah biasa sebagai seorang artis," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Zahirah berkata, dia kini sedang sibuk dilokasi penggambaran drama bersiri terbaharu iaitu Cik Cinderella & Encik Tengku bergandingan dengan Shukri Yayha.

Rumah Kecil, Tiada 'Open House' - Zul Ariffin

Pelakon Zul Ariffin tidak merancang untuk mengadakan majlis rumah terbuka pada Hari Raya Aidilfitri berikutan keadaan rumah kediaman keluarganya di Taiping, Perak terlalu kecil. Zul berkata, rumah teres tersebut hanya mampu memuatkan dua buah keluarga yang mana tidak selesa untuk menjemput orang ramai atau peminatnya datang beraya. "Saya tidak ada merancang untuk buat rumah terbuka di rumah saya kerana keadaan rumah saya kecil dan biasanya bila dua buah kerata datang sahaja sudah tidak ada tempat nak duduk. "Kalau ingin mendirikan khemah pun agak sukar kerana laluan tersebut kecil dan boleh mengakibatkan kesesakan di kawasan tersebut," ujarnya kepada mStar Online. Bagaimanapun, Zul berkata, dia mungkin akan meraikan peminat menerusi rumah terbuka yang dianjurkan oleh produk yang mengambilnya sebagai duta. "Insya-Allah, kalau tidak buat di rumah saya, mungkin saya dapat bersama di majlis rumah terbuka beberapa produk yang mengambil saya sebagai duta," katanya. Sementara itu, Zul berkata, Hari Raya ini merupakan masa untuk dia berjumpa dan melihat perkembangan kawan-kawan lama di kampung. Katanya, kebanyakkan kawan-kawan lama sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai ramai anak. Bagaimanapun, ketika diusik dengan pertanyaan adakah dia mahu mengikut jejak langkah mereka Zul berkata, dia masih belum berfikir ke arah itu. "Biasanya balik kampung saya akan jumpa kawan-kawan lama, tapi susah juga sebab mereka sudah berkeluarga dan tidak dapat berjumpa lama. "Saya masih selesa hidup bujang dan bebas untuk kemana-mana, saya lihat kawan-kawan saya macam susah untuk bergerak. "Insya-Allah, memang nak berumah tangga tetapi saya belum ada masa untuk fikir ke arah itu lagi kerana sibuk dengan kerja," ujarnya.

Sikap Memilih Punca Zul Ariffin Dituduh Sombong

Pelakon Zul Ariffin menjelaskan sikap selektif terhadap tawaran drama atau filem yang diberikan kepadanya menjadi punca dia kini dikatakan mula bersikap sombong. Zul, 29, berkata, faktor dia tidak mempunyai pengurus turut membuatkan dia lebih berhati-hati dalam memilih projek kerana bimbang tidak dapat melunaskan semua tanggungjawab dalam satu masa. "Bukan mudah sebenarnya menguruskan kerjaya sendiri tanpa bantuan dan sebab itu saya perlu selektif dalam memilih projek kerana tidak mahu menimbulkan sebarang masalah. "Saya juga mengakui jika ada permintaan yang tidak ada kena mengena dengan kerjaya, saya tidak menjawab permintaan tersebut dan mungkin itu juga menyebabkan saya dikatakan sombong," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Zul berkata, populariti yang dikecapinya bukan tiket untuk dia mendabik dada dan bersikap sombong sebaliknya ia adalah satu peringatan kepadanya untuk terus berusaha dalam membina tapak dalam industri.
Zul dan Fathia dilantik sebagai duta utama Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL 2015). Jelas Zul, masih banyak ruang yang harus diperbaikinya dalam membuktikan kepada peminat dan masyarakat bahawa dia serius terhadap kariernya sebagai pelakon. "Populariti itu satu bonus terhadap usaha keras yang saya lakukan selama ini dan Alhamdulillah saya diterima baik oleh peminat. "Tetapi itu juga sebenarnya satu peringatan agar saya tidak leka dan terus komited terhadap minat saya dalam bidang lakonan," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Zul memberitahu dia teruja apabila dilantik sebagai duta utama Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL 2015) bersama-sama aktres Nur Fathia. DFKL 2015 bakal berlangsung pada 20 Mac depan.

GAMBAR ZUL ARIFFIN BERSOSIAL?

Dunia hiburan bertambah hangat hari ini apabila sekeping gambar Zul Ariffin memeluk seorang gadis dari belakang tersebar. Lebih hangat, gambar tersebut didakwa dirakamkan ketika Zul sedang bersosial. Eh... benar ke? Untuk info, gambar tersebut telah disebarkan oleh sebuah forum Dan laman OhBulan di mana Zul dengan wanita misteri ini dikatakan diambil ketika pelakon lelaki berkenaan berada di Langkawi untuk satu sesi penggambaran. Lapor mereka, jika sekali pandang susuk tubuh wanita yang dipeluk tu tak nampak seperti tubuh kekasih Zul iaitu Gayatri. Jadi... siapa agaknya ya? Bagaimanapun, ada juga yang meneka kemungkinan gambar itu adalah gambar lama. Ia disebarkan bertujuan untuk memburukkan Zul yang kini popular dengan drama bersiri Rindu Awak 200%. Sebagai peminat, tepuk dada tanya selera. Heh!

Kekasih Zul Ariffin Mengaku Cemburu, Terkejut Dituduh Sindir Ayda Jebat

Teman wanita kepada aktor Zul Ariffin iaitu Gayatri Su-Lin Pillai terkejut apabila dituduh sengaja memuat naik status sindiran di laman sosial Twitter yang kononnya ditujukan kepada heroin drama bersiri Rindu Awak 200% iaitu Ayda Jebat. Gayatri yang juga Pengurus Besar Astro Shaw berkata, dia sendiri tidak pasti status apakah yang dikatakan itu kerana dia jarang memberi tumpuan kepada media sosial peribadi miliknya atau pun orang lain. "Saya tidak perlu berbuat demikian kerana tidak mempunyai sebarang masalah dengan aktres tersebut. "Tambahan pula saya jarang beri perhatian terhadap media sosial dan saya terkejut juga apabila dikatakan memuat naik status menyindir Ayda," katanya kepada mStar Online. Gayatri ditemui pada majlis sidang media pelancaran lagu tema filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut iaitu Sampai Bila nyanyian Waris dan Mark Adam di Red Box Ria Sogo di sini, Selasa. Filem arahan Mamat Khalid itu akan menemui penonton di pawagam pada 25 September ini.
Gayatri mengulas isu kononnya dia bersikap cemburu terhadap kemesraan Zul dan Ayda yang sama-sama terlibat dalam drama siri berkenaan sehingga menyebabkan hubungan cinta mereka dikatakan mengalami masalah. Dalam pada itu, Gayatri berkata, sebagai seorang manusia biasa dia menganggap sikap cemburu dalam sesuatu hubungan adalah perkara normal dan dia tidak terkecuali daripada perasaan itu. Bagaimanapun kata Gayatri, sebagai seorang penerbit filem dia profesional dan memahami situasi kedua-dua pelakon itu yang perlu mempromosikan drama berkenaan. "Jika saya tidak cemburi pasti ada seauatu yang tidak kena dalam hibungan kami tetapi saya profesional dan begitu juga mereka. Isu itu hanya diperbesar-besarkan oleh orang lain," jelasnya. Sementara itu, Gayatri berkata, hubungannya dengan Zul masih berjalan seperti biasa namun dia enggan bercakap lanjut mengenainya. "Saya jarang bercakap soal peribadi kerana ia tidak akan berkesudahan tetapi apa yang boleh saya katakan hubungan kami masih berjalan seperti biasa," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Gayatri berkata lagu Sampai Bila memang digubah khas oleh DJ Fuzz untuk lagu tema filem Amir & Loqman Pergi Ke Laut. Pihaknya yakin lagu itu akan memberi impak kepada filem tersebut dalam menarik perhatian penonton ke pawagam. "Ia sebuah lagu yang cukup sesuai dengan filem itu dan pihak kami sedang dalam rangka promosi lagu berkenaan," katanya.

Elfaeza Ul-Haq Sedar Zul Ariffin Kekasih Orang

Pelakon yang berasal dari Singapura, Elfaeza Ul-Haq menegaskan dia masih solo dan tidak pernah bercinta dengan mana-mana lelaki termasuk aktor Zul Ariffin seperti didakwa sebuah blog hiburan. Elfaeza, 29, berkata, dia dan Zul tidak mungkin bercinta kerana dia tahu lelaki berkenaan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan penerbit filem, Gayatri Su Pillai. "Saya dan Zul bercinta? Tidak mungkin kerana semua orang tahu dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Gayatri dan kami tidak lebih dari sekadar kawan. "Gosip berkenaan sama sekali tidak benar dan apa yang pihak lain dengar mungkin itu hanya salah faham sahaja," katanya kepada mStar Online. Tambah Elfaeza lagi, mereka berdua sentiasa menghormati hak peribadi masing-masing dan perkara itu menyebabkan mereka selesa dan serasi sebagai kawan. Dalam pada itu, Elfaeza berkata, dia mengenali Zul ketika sama-sama menjayakan sebuah penggambaran drama berjudul Janji Adam dan sejak itu hubungan mereka kekal rapat.
Elfaeza turut mengakui dia dan Zul juga ada beberapa kali keluar makan bersama-sama memandangkan mereka tinggal berdekatan namun turut ditemani oleh rakan-rakan lain. "Zul adalah seorang kawan yang baik dan kelakar malah kami sering berdebat tentang pelbagai perkara sehingga kadang-kala timbul perbalahan tentang sesuatu topik yang diperbualkan. "Kami pernah keluar bersama dan turut ditemani rakan-rakan lain dan ingin saya tegaskan hubungan kami hanya sekadar kawan sahaja malah buat masa ini fokus saya hanya kepada kerja," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Elfaeza berkata, bersempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dia bakal muncul dengan beberapa buah program istimewa

Zul Ariffin Tepis Tuduhan Pernah Jadi Mangsa Kekasaran Abby Abadi

Ketika banyak pihak menghentam Abby Abadi selepas bekas suaminya mendakwa dicederakan pelakon berkenaan, aktor Zul Ariffin pula bertindak mempertahankan bekas kekasihnya itu. Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 28, berkata, sepanjang tiga tahun mereka menjalinkan hubungan cinta, Abby bukan seorang wanita yang digambarkan sedemikian. Malah Zul juga menepis tuduhan kononnya dia pernah mengalami nasib menjadi mangsa kekasaran Abby. "Selama tiga tahun kami bercinta hubungan kami baik-baik sahaja dan dia bukan seorang wanita seperti mana didakwa," katanya kepada mStar Online. Zul ditemui pada majlis Seindah Ramadan & Syawal TV3, yang diadakan di Hotel One World di sini sini, Rabu. Terdahulu, bekas suami Abby iaitu Muhammad Noor Farhan Che Bakar , 24, mendakwa Abby, pernah mencederakan dia dengan membaling kunci motosikal ke wajahnya sehingga mengakibatkan lebam selain pernah mencakar mukanya. Pasangan berkenaan disahkan bercerai pada 11 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini selepas hampir setahun berkahwin.
Dalam pada itu, Zul turut menyangkal dakwaan kononnya dia memutuskan hubungan dengan Abby kerana tidak tahan dikongkong oleh wanita berkenaan. Jelas Zul, perkara itu tidak pernah wujud dalam hubungan mereka sebelum ini selain dia tidak mahu mengungkit kisah lama. "Tidak, itu tidak benar. Seperti saya katakan dia bukan seorang wanita yang begitu," ujarnya. Zul juga enggan mengulas mengenai perceraian bekas kekasihnya itu dan sentiasa mengharapkan yang terbaik buat wanita berkenaan. Sementara itu, mengulas mengenai hubungannya dengan penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai, Zul mengakui jarang berjumpa dengan kekasihnya itu sejak akhir-akhir ini kerana kesibukan. Bagaimanapun kata Zul, percintaan mereka berada dalam fasa baik namun dia tidak berani untuk bercakap tentang perancangan berkahwin buat masa ini. "Hubungan dengan Gayatri masih berjalan seperti biasa tetapi jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai perkara tetapi kami sering berhubung menerusi telefon," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Zul bakal muncul dengan sebuah drama istimewa menerusi slot Akasia di TV3 pada bulan Ramadan ini berjudul Rindu Awak 200 Peratus. Drama 28 episod yang turut menampilkan Ayda Jebat yang akan ditayangkan bermula 14 Julai depan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7 malam.

Zul Ariffin mudah terkejut

KONTROVERSI pernah memamah nama Zul Ariffin. Ketika itu, dia baru sahaja hendak bertatih mengenal mukadimah jurnal seninya. Selepas empat tahun, hari ini lelaki bersosok tegap dari Taiping, Perak itu semakin dikenali atas kredibiliti kerja dan bukannya kisah peribadi. Sesuatu yang menarik, kisah cintanya bersama Gayatri Su-Lin Pillai, seorang penerbit sebuah produksi besar tempatan itu seakan-akan tidak perlu disentuh lagi. Semua tahu, cukup setakat itu keseriusan perhubungan mereka. Soal perancangan atau kisah sehari-harian, rasanya tidak perlu soal hati dan perasaan dijaja sepanjang masa sementelah Zul sendiri mempunyai produk besar untuk dikongsikan. Tiba pada hari dan waktu yang dijanjikan, pelakon yang bakal muncul menerusi sebuah lagi filem baharu berjudul Penanggal itu hadir sendirian ke sesi fotografi yang telah ditetapkan. Wajahnya kemerah-merahan dan sambil menghela nafas panjang, dia masuk sambil mengheret bagasi besar. Zul sebenarnya baru tiba dari Jakarta, Indonesia atas urusan penggambaran telemovie di sana. "Turun dari kapal terbang tadi, saya tahu saya kena bergegas. Nasib baik pakaian yang untuk fotografi ini sudah disiapkan," katanya yang secara tidak langsung memperlihatkan komitmen padu kepada jadual karier. Biarpun namanya belum beraja sebagai aktor pujaan ramai, namun graf karier Zul yang bermula dari lokasi drama kepolisan terbitan Skop Production itu semakin menjalar. Di layar kaca, sudah berpuluh naskhah termasuk telemovie dan drama bersiri telah dilakonkannya. "Walaupun nama saya tidak popular tetapi selagi saya ada kerja dan ada produk untuk ditonton, itu tandanya saya masih di atas landasan yang betul. Karier saya sedang bergerak dan saya gembira dengan perjalanan karier yang begini," katanya optimis. Sambil menghitung usia yang berbaki tiga tahun sebelum bergelar lelaki 30-an, tambah Zul: "Rasanya saya tidak perlu terburu-buru untuk menjadi terlalu popular atau mencipta banyak pencapaian dalam jangka masa pendek. Saya masih baharu dan jika dipanjang umur, saya mungkin berlakon sehingga 10 atau 15 tahun akan datang atau lebih lama daripada tempoh itu. kalau saya sudah mencapai semuanya sekarang, apa lagi yang harus saya kejar. Biarlah saya kayuh perlahan-lahan," katanya selesa dengan penerimaan industri yang sedang diterima. Selain banyak drama di kaca televisyen, aktor yang baru-baru ini muncul menerusi drama bersiri Janji Adam itu lega, kerana tahun 2013 banyak memberi variasi demi kelangsungan kariernya. "Drama itu biasa tapi menariknya juga, tahun ini saya ada dua buah filem berbeza latar masa dan karakter yang boleh dipersembahkan kepada peminat. Saya jadi mat moto besar dalam KL Bikers dan saya jadi lelaki Arab dalam Penanggal," katanya yang masuk ke layar perak buat pertama kali menerusi Evolusi KL Drift 2, tiga tahun lalu. Takut hantu Penanggal sebuah filem karya dan arahan Ellie Suriaty Omar yang memulakan penggambaran pada tahun 2011 itu sudah terlalu hampir untuk disaksikan peminat filem. "Saya boleh katakan Penanggal sebuah filem seram. Penggambaran filem itu sendiri dilakukan di dalam hutan dan banyak adegan malam. Mujur sepanjang penggambaran, tidak pula saya diganggu dengan adegan yang menaikkan bulu roma. Kalau berlaku pun, mujur ketika itu saya tiada di lokasi. Saya sebenarnya seorang yang penakut," cerita Zul tentang pengalaman berlakon filem hantu di sekitar Sayong dan Kuala Kangsar, Perak itu. Di sebalik sosok tegap dan penampilan macho yang terpancar di wajahnya, anak jantan yang meminati motosikal kuasa besar itu membuka kelemahan utamanya. "Saya jenis yang mudah terkejut. Kalau ada babak-babak dalam filem atau drama, bukan cerita hantu pun, saya akan mudah tersentak dan terkejut. Jadi, saya tidak boleh menikmati filem hantu sebagaimana peminat filem hantu. Saya tak suka ditakut-takutkan, penat terkejut dan asyik tutup muka sahaja. Kadang-kadang, saya menyesal dan fikir kenapalah saya boleh terjebak jika pergi menonton filem seram di panggung," katanya yang sering mengelak daripada mendengar rakan-rakan bercerita tentang sebarang kisah seram. Tambahnya seraya ketawa: "Setakat kena kutuk penakut oleh kawan-kawan, itu memang sudah perkara biasa. Saya tak kisah sebab memang saya penakut." Takut menonton filem hantu, mudah terkejut oleh aksi di luar jangkaan, namun terlibat dalam filem Penanggal bersama Ellie ternyata sebuah pengalaman cukup berharga buatnya. "Masa berlakon saya tak perlu nak rasa takut sangat sebab ketika di set ada ramai kru. Boleh dikatakan, pasukan Penanggal juga pasukan terbaik yang diimpikan dalam mana-mana pembikinan filem. Ellie seorang pengarah yang tahu hak dan tuntutan pelakon, dia seorang yang teliti dan cerewet untuk kesempurnaan. "Sebagai pelakon, saya kena kenal rentak Ellie dan kami ambil masa sebulan untuk sesi bacaan skrip dan bila masuk sahaja ke lokasi, saya sudah tidak perlu membaca atau membawa skrip pun. Itu seronoknya berlakon filem Penanggal walaupun saya ada banyak dialog bahasa Arab. Bercakap dan memahami dialog bahasa Arab itu satu hal, satu hal yang lebih susah sebenarnya bagaimana hendak bercakap bahasa Melayu dalam lenggok orang Arab. "Saya melakonkan watak Syed Omar anak kedua dalam sebuah keluarga Arab dalam filem itu. Sebagai anak kedua, dia selalu merasakan abangnya, Syed Yusof lakonan Azri Iskandar sering dilebih-lebihkan oleh ibunya. Saya bukan antagonis dalam filem berkenaan tetapi pemuda yang berdepan dilema anak kedua. Itu fahaman awal yang saya kena pegang," lentur Zul yang melakonkan karakter lakonannya yang menyimpan cinta terhadap Sharifah Zaharah lakonan Fasha Sandha. Bakal menerjah panggung pada 28 November nanti, Penanggal juga meninggalkan impak besar buat Zul. "Syed Omar cuma berdepan dilema anak kedua. Dia selalu merasakan abangnya lebih diutamakan. Saya bukan antagonis dalam filem berkenaan. Itu fahaman awal yang saya kena pegang. "Banyak yang saya pelajari daripada Ellie, salah satu daripadanya ialah peringkat-peringkat lontaran emosi. Kalau marah, kami diberi latihan marah tahap pertama sehinggalah marah tahap kesepuluh. Jadi, setiap kali hendak mulakan lakonan, kami akan tanya, ini marah nombor satu atau lapan atau 10. Kadang-kadang jadi bahan ketawa, tapi metod sebegitu sangat berkesan, apabila tahap emosi itu sudah dikunci, kerja di set jadi mudah," katanya yang banyak bermain emosi marah, tidak puas hati dan cinta yang tidak kesampaian dalam filem seram klasik lakonan Ummi Nazeera sebagai hantu penanggal itu.

Zul Ariffin & Gayatri Bakal Kahwin Waktu Terdekat

Pelakon Zul Ariffin dan kekasihnya Gayatri Su-Lin Pillai, 38, sudah membuat perancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. Zul, 27, bagaimanapun berkata, dia belum bersedia untuk berkongsi mengenai perkara tersebut secara mendalam kerana ia masih lagi dalam perancangan. "Setiap pasangan pasti ingin mengakhiri zaman solo masing-masing dengan sebuah ikatan perkahwinan. Begitu juga kami. Kami berhajat untuk berkahwin dalam masa terdekat ini, tetapi bukan sekarang. "Saya beri laluan kepada artis-artis lain untuk kahwin dahulu," katanya kepada mStar Online. Aktor itu mengakui bercinta dengan Gayatri yang juga Naib Presiden Astro Shaw, sejak Jun 2012 selepas mereka bekerjasama dalam penggambaran filem Penanggal.
Dalam pada itu, dia juga berharap agar tiada pihak cuba membangkitkan isu jarak umur antara mereka kerana keputusan untuk menjalin hubungan dengan Gayatri tiada kena mengena dengan status atau usia wanita itu yang lebih tua daripadanya. Sementara itu, lakonan Zul menerusi filem Penanggal arahan Elly Suriati bakal ditayangkan pada 28 November ini. Beritahu Zul wataknya sebagai Syed Umar dalam filem tersebut merupakan antara yang sukar untuk dia lakonkan. "Elly merupakan seorang pengarah yang sangat tegas walaupun pertama kali mengarah. "Bekerja dengannya juga agak unik kerana setiap pergerakan watak sudah ditetapkannya. "Bagaimanapun ia sebuah naskhah yang harus ditonton dan saya harap peminat menyukai watak saya itu," ujarnya. Penanggal berkisarkan mengenai Murni (Ummi Nazeera) secara tidak sengaja mewarisi ilmu penanggal daripada Mak Ajeng (Normah Damanhuri) dan dia terpaksa melarikan diri ke Kampung Jawa untuk mencari pelindungan Antara pelakon lain yang turut terlibat dalam filem itu termasuklah Fasha Sandha, Azri Iskandar dan Datuk Sharifah Aini.

Zul Ariffin Mahu Dalami Islam Untuk Bimbing Gayatri

Pelakon Zul Ariffin mahu memperbaiki dan memantapkan ilmu agama terlebih dahulu sebelum melamar kekasihnya, penerbit filem Tayangan Unggul iaitu Gayatri Su-Lin Pillai. Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 27, berkata, dia merasakan perkara itu lebih penting kerana selepas berkahwin kelak dia perlu membimbing bakal isterinya itu mendalami ilmu agama Islam. "Saya yang ingin memantapkan terlebih dahulu pengetahuan saya kerana jika ada jodoh di antara kami tanggungjawab saya untuk mendidiknya mendalami ilmu agama Islam. "Bagaimana saya ingin mendidiknya sedangkan ilmu saya juga tidak mencukupi?," katanya kepada mStar Online. Dalam perkembangan sama, Zul berkata, Gayathri sangat terbuka soal agama dan pengetahuan asasnya mengenai Islam sangat baik.
Bagaimanapun kekasihnya itu masih belum membuat keputusan untuk memeluk Islam buat masa ini dan membiarkan wanita itu menukar agamanya dengan kerelaan hati dan bukannya paksaan. "Pengetahuan asasnya tentang Islam bagus dan Gayatri sendiri sudah seperti orang Melayu kerana pergaulannya meliputi pelbagai bangsa malah kadang-kadang saya rasa dia lebih 'Melayu' daripa saya," ujarnya. Sementara itu, Zul tidak menafikan ada berbincang tentang soal perkahwinan dengan kekasihnya itu namun ia adalah perbualan biasa dan tidak merancang untuk mengakhiri zaman bujangnya dalam masa terdekat. "Sudah tentu kami mahu membawa hubungan itu ke tahap lebih serius tambahan pula keluarga kedua-dua belah pihak juga merestui. “Bagaimanapun buat masa ini kami belum ada apa-apa perancangan. Insya-Allah, doakan kami," jelasnya.

Tempias cinta Gaya-Zul

SETAHUN berlalu, cakap-cakap sinis masih yang membidas cinta mereka masih berterusan. Enggan mengambil pusing perkara tersebut, pasangan yang telah menemui sinar itu tetap percaya, bukan mudah untuk mendapatkan perkenan semua pihak dalam soal yang melibatkan hati dan perasaan. Mengambil langkah positif kedua mereka yakin pasti ada hikmah di sebalik hubungan itu biarpun ramai yang berprasangka buruk tanpa sebab. Bagi pelakon Zul Ariffin, 26, dan kekasihnya yang juga penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai, pilihan yang dibuat itu mencerminkan kesungguhan mereka untuk meniti kehidupan bersama suatu hari nanti. ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem lakonannya Bikers Kental di Damansara Selangor, baru-baru ini. Sungguhpun hubungan itu bagaikan cinta di antara dua darjat, bagi Zul pandangan negatif yang terus dilemparkan sesetengah mereka bukan sesuatu yang merunsingkan. Malah melalui percubaan-percubaan seperti itulah dia percaya cintanya kini dengan Gayatri semakin kukuh. "Apapun kami sangat gembira sekarang ini. Semuanya okay. Apa yang boleh saya katakan setahun yang berlalu, hidup saya sangat aman dan damai. "Kami tidak ambil pusing dengan dakwaan orang. Bagi kami apa yang lebih penting ialah mendapat kegembiraan melalui hubungan ini," katanya. Katanya, bukan sahaja dia yang menerima tempias, memandangkan wanita yang dicintainya itu mempunyai pengaruh dalam industri perfileman tanah air. Bagi Zul secara logiknya, Gayatri juga turut merasai bahang. "Apabila saya dengan dia, orang cakap saya ambil kesempatan terhadap dia. Mungkin kerana kedudukannya lebih tinggi daripada saya dalam industri. "Tempias yang dia dapat pula, kalau dulu orang mengaitkan dia dengan kerja dia, dengan filem-filem dia, tapi sekarang dengan hal peribadi pula. "Jadi mungkin agak kekok bagi dia untuk menerima semua ini dalam masa setahun. Pokoknya kini kami berdua memang terkena tempias itu cuma dengan cara yang berbeza," katanya. Ditanya mengapa dia amat terbuka untuk membicarakan kisah cintanya sedangkan dia terus menerima pelbagai kata-kata kurang elok, kata Zul, ada perkara yang mampu dikongsi dan ada pula yang dia sendiri tidak mempunyai jawapan. "Kami berdua memang tidak ada masalah untuk berkongsi. Kalau benda yang baik kami akan berkongsi. "Tetapi jika ditanya soal lain yang saya juga tidak mempunyai jawapan mungkin saya terpaksa menolak. Contohnya soal bila mahu berkahwin. Soalan itu tidak akan ada jawapannya," katanya jujur. Mengakui hubungan mereka kini sudah mendapat restu keluarga masing-masing, tetapi bagi Zul masih terlalu awal untuk dirinya memberitahu bila hubungan itu akan berakhir di jenjang pelamin. Menafikan tahun ini dipilih untuk menamatkan zaman bujang, kata Zul, masih banyak yang perlu mereka selesaikan sebelum meneruskan niat tersebut. "Kami sudah bertemu dengan keluarga antara satu sama lain. "saya bertemu dengan ibu Gayatri ketika sambutan Raya Haji tahun lepas, iaitu ketika ibunya dimasukkan ke hospital. Mungkin bukan masa yang baik untuk kami berdua membicarakan soal ini memandangkan ibu Gayatri masih lagi sakit," katanya. Ditanya kesahihan mengenai dirinya kini yang jarang mendapat tawaran dari pihak produksi lain, dia berkata, sebagai pelakon dia mahu bersikap professional dalam bidang yang diceburi. "Ada juga pihak produksi lain menawarkan tapi semuanya bergantung kepada jadual. Saya tidak pernah memilih untuk berada di Tayangan Unggul sahaja. "Saya mengambil kerja ini sebagai sesuatu yang serius memandangkan saya seorang pelakon. " Tidak timbul soal saya hanya akan mengambil tawaran satu produksi sahaja atau tidak akan mengambil langsung tawaran mereka untuk meredakan gosip saya ini," katanya tegas. Buat masa ini dia hanya mahu menjadi pelakon memandangkan lebih selesa dengan tanggungjawab tersebut. "Saya masuk ke dalam industri ini juga secara tidak sengaja, tumpuan saya hanya mahu menjadi pelakon. "Tetapi siapa tahu masa depan saya akan ke bidang lain juga," katanya yang tidak menolak untuk berada di belakang tabir suatu hari nanti.

Agenda cinta Zul Ariffin

HUBUNGAN cinta antara aktor Zul Ariffin, 27, dengan Penerbit Tayangan Unggul (TU) Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai, 30-an, bukan satu rahsia. Masing-masing tanpa berselindung sudah mengaku mengenai hubungan yang telah terikat selama sembilan bulan itu. Dek kerana terbuka menceritakan hal peribadi ini, baik Zul mahupun Gayatri, kedua-dua mereka menerima kritikan hebat bukan sahaja ekoran perbezaan faktor usia. Tetapi lebih menyedihkan, Zul juga didakwa mendekati dan bermain cinta dengan Gayatri beralaskan agenda tersendiri. Ada yang mendakwa, sasaran Zul dalam hubungan itu bukanlah keikhlasan untuk mencintai wanita berkenaan. Sebaliknya sebahagian daripada modus operandi aktor berkenaan dalam mencari laluan mudah mendapatkan kontrak lakonan di bawah syarikat gergasi berkenaan. Untuk itu, Pancaindera mendapatkan komen Zul berhubung perkara tersebut biarpun pernah dinafikan oleh Gayatri sendiri dalam temu bual bersama media sebelum ini. ZUL didakwa tidak ikhlas mencintai Gayatri. Ada pihak mendakwa Zul mahukan kontrak lakonan dengan TU. Apa komen Zul? Benda pertama saya nak tanya, itu syarikat dia (Gayatri) sendiri ke? Bukan kan? Kalau itu syarikat dia logiklah jika orang nak kaitkan dengan dakwaan macam tu. Orang boleh bercakap dan fikir yang saya boleh dapat laluan mudah atas hubungan yang dibina. Tapi hakikatnya tidak. Dah nama pun bercinta, dah sayang, benda-benda macam ini tak mustahil berlaku bukan? Ini yang orang tak faham dan tak nampak. Sebenarnya orang tak tahu, ini adalah risiko yang saya hadapi. Sebenarnya saya dah boleh agak benda ini akan timbul. Kalau saya dapat tawaran daripada TU, orang akan ingat kerana saya bersama Gayatri. Sedangkan laluan mudah tak pernah wujud walaupun saya adalah teman lelaki dia. Apa risiko yang Zul maksudkan? Saya tahu hal ini ditujukan sebab saya terlibat berlakon dalam penggambaran filem Penanggal yang merupakan terbitan TU. Ingin saya tegaskan, Gayatri tidak pernah terlibat dalam soal pemilihan pelakon, itu adalah prosedur syarikat TU walaupun dia adalah antara orang kuat TU. Saya dipilih oleh satu pasukan yang telah dikhaskan untuk mencari pelakon bagi sesuatu projek TU. Gayatri tak campur. Saya percaya mereka lihat pada bakat dan bukan kerana saya menjalinkan hubungan dengan Gayatri. Zul dituduh berpura-pura dengan hubungan cinta dengan Gayatri. Boleh beri komen jujur? Sebelum ini pun saya pernah terbaca cerita-cerita mengenai isu ini sama ada di blog atau akhbar. Apa yang saya boleh katakan, 70 peratus yang mengata saya di belakang, mereka itu tak pernah sekali pun bertanya saya secara berdepan. Jadi saya bercinta ini sebab nak ambil kesempatan? Nak kikis Gayatri? Eh kalau saya nak kikis, dah lama dah saya buat. Sudahlah... saya dah tak peduli apa orang nak cakap. Lebih baik saya buat hal sendiri. Bagi saya, hal kerja adalah hal kerja. Hal peribadi lain cerita. Jangan campur aduk. Menyentuh pasal suka buat hal sendiri khabarnya, Zul juga sengaja tak muncul di mana-mana majlis hiburan walaupun mendapat jemputan. Nak elak ditanya mengenai hubungan cinta ke? Tak adalah. Saya tak pernah mengelak. Orang bertanya, saya jawab. Adakala saya mengaku memang tak mahu kerap muncul di majlis-majlis seumpama itu. Saya memilih. Kalau saya rasa wajar untuk dihadiri, saya akan hadir, Kalau tak, saya duduk di rumah saja. Apa sebab tak mahu pergi? Penganjur dah ajak. Nama pun artis, kalau dijemput, paling tidak pun tayang muka saja. Tak begitu? Itulah masalahnya, saya tak suka nak tayang muka tanpa tujuan. Saya tak pergi sebab saya memang malas nak pergi. Entahah, saya suka relaks saja dan tengok moodlah kalau nak hadir sesuatu majlis. Promo filem pun nak elak? Eh tak adalah. Kalau membabitkan kerja, saya mestilah akan pergi. Itu wajib. Kerap kali diterjah dengan soal cinta dan hal peribadi. Zul tak bosan ke? Tipulah kalau saya cakap saya tak bosan. Orang selalu tanya bila nak kahwin. Kalau pergi kenduri kahwin, lagilah tak boleh elak. Ada saja yang bertanya. Penting sangatkah nak cepat-cepat kahwin? Lepas kahwin nak buat apa? Nak kejar apa? Takkanlah saya nak jawab tunggu stabil. Kalau nak cakap pasal stabil, realitinya semua orang pun tak akan stabil walaupun lepas kahwin. Kalau saya kahwin, maka kahwinlah saya. Jangan risau pasal itu. Jadi Zul nak katakan yang orang kita ini suka bertanya soalan-soalan kliselah. Begitu? Tengok keadaan juga. Tak nafi ada sesetengahnya memang tipikal dan soalan mereka klise. Biarlah mereka. Saya dengan cara saya sendiri.

Zul kekasih saya! - Gayatri

HUBUNGAN cinta antara pelakon Zul Ariffin, 26, dan penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai, 30-an, bukan lagi rahsia selepas Zul sendiri mengakui mereka sedang bercinta. Bagaimanapun selepas Zul membuat pengakuan bercinta dengan Gayatri kepada Kosmo! pada 25 Disember tahun lepas, Gayatri dilihat seolah-olah melarikan diri daripada memberi sebarang kenyataan mengenai hubungan mereka. Bersua dengan Gayatri yang kebetulan turut menghadiri majlis tayangan perdana filem Lawak Ke Der 2 di Cathay Cineplex, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, wanita ini mempunyai sebab tersendiri mengapa sebelum ini dia melarikan diri daripada pihak media. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Gayatri. Kosmo!: Benarkah Zul merupakan kekasih Gayatri seperti yang didedahkan Zul kepada Kosmo! sebelum ini? GAYATRI: Zul adalah kekasih saya dan kami dalam proses mengenali hati budi masing-masing. Sebenarnya kami telah bersama sejak empat bulan yang lalu. Saya mula kenal dia ketika dia berlakon dalam filem Penanggal dan kami mula rapat selepas penggambaran filem Bikers Kental. Apakah yang membuatkan Gayatri tertarik kepada Zul? Dia seorang lelaki yang baik, kelakar, seorang yang matang dan amat menghormati keluarga saya. Apabila saya sedih, dia selalu ada untuk menyokong dan tenangkan saya. Saya telah membawanya berjumpa keluarga saya. Bagaimanakah dengan jurang usia, adakah memberi kesan dalam hubungan kalian? Soal usia saya tidak fikir sangat. Jika sesuai dengan seseorang dan serasi, usia bukan satu masalah yang besar. Lagipun sekarang sudah ramai lelaki berkahwin dengan wanita lebih berusia, bukannya sesuatu yang pelik Jika sudah suka sama suka, kenapa sebelum ini anda dilihat seperti melarikan diri dan enggan memberi kenyataan tentang hubungan ini? Saya bukan sombong dan tidak melarikan diri. Cuma pada waktu itu bukanlah waktu yang sesuai untuk saya bercerita tentang kisah cinta pada semua orang. Saya terharu kerana dia mengaku cintakan saya dan apa yang dilakukan saya sangat hargainya. Hubungan kalian telah diketahui umum, bagaimana pula dengan kerjaya Zul bersama Tayangan Unggul? Hanya kerana dia kekasih saya dia akan dapat banyak tawaran daripada Tayangan Unggul? (ketawa). Rasanya lagi sukar untuk dia dapat tawaran daripada Tayangan Unggul kerana syarikat mempunyai prosedur yang ketat dalam memilih pelakon. Andai masih ada yang bercakap mengenai Zul menerima tawaran Tayangan Unggul kerana anda kekasihnya? Saya sudah kerja sejak tahun 1996, rasanya semua orang tahu bagaimana cara kerja saya. Apabila saya bekerja tidak ada sebarang kompromi antara kerja dan peribadi kerana itu dua perkara yang berbeza. Saya tidak pernah campur aduk antara kerjaya dan perasaan peribadi.

Bercinta Dengan Penerbit Tak Jamin Zul Ariffin Dapat Tawaran Lakonan

PETALING JAYA: Penerbit filem Tayangan Unggul (TU), Gayatri Su-Lin Pillai menegaskan hubungan cintanya dengan Zul Ariffin bukan laluan mudah bagi aktor berkenaan untuk mendapatkan kontrak lakonan daripada syarikat tersebut. Gayatri, 30-an, berkata, walaupun ramai yang menganggap hubungan cinta mereka yang telahpun terjalin sembilan bulan lalu mempunyai kepentingan peribadi di pihak Zul, namun ia tidak semudah yang disangka kerana Tayangan Unggul mempunyai prosedur yang ketat dalam pemilihan pelakon. "Saya tidak pernah campur aduk antara kerjaya dan perasaan peribadi. Sejak tahun 1996, semua orang tahu bagaimana cara kerja saya. "Tidak ada sebarang kompromi antara kerja dan peribadi kerana itu dua perkara yang berbeza. Dan saya serta Zul faham isitilah profesional yang wujud di antara kami. "Rasanya lagi sukar untuk dia dapat tawaran daripada TU kerana syarikat mempunyai prosedur yang sangat ketat," katanya yang juga merupakan Naib Presiden Astro Shaw. Pada 23 Disember lalu, Zul, 27, mengesahkan bahawa dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Gayatri. Selepas pengakuan Zul, Gayatri pula sukar dihubungi media yang ingin mendapatkan kenyataan balas daripada pihaknya sehingga dikatakan cuba melarikan diri daripada memberikan sebarang kenyataan mengenai hubungan tersebut. Bagaimanapun, Gayatri menyangkal dakwaan kononnya dia cuba melarikan diri, sebaliknya menganggap belum tiba masanya untuk dia membuat pengakuan. "Saya bukannya melarikan diri, cuma ia bukan waktu sesuai untuk menceritakan kisah cinta ini kepada umum. "Bagaimanapun saya terharu dengan tindakan Zul yang mengaku cintakan saya. Apa yang dilakukannya itu sangat saya hargai. "Dan sebagai kenyataan balasnya, benar, Zul adalah kekasih saya dan kami sedang dalam proses untuk mengenali hati budi masing-masing," ujarnya. Gayatri turut memberitahu, jarak usianya yang lebih tua daripada Zul bukan penghalang untuk mereka menjalinkan hubungan malah tidak pernah berfikir mengenainya. "Dia seorang lelaki yang baik, kelakar dan matang. Apabila sedih, dia selalu ada untuk menyokong dan tenangkan saya. Dan saya telah membawa Zul berjumpa dengan keluarga saya. "Soal usia pula tidak pernah saya fikirkan sangat. Jika sesuai dengan seseorang dan serasi usia bukan satu masalah yang besar. Lagipun sekarang sudah ramai lelaki berkahwin dengan wanita lebih usia, bukannya sesuatu yang pelik," katanya.

Bukan ambil kesempatan - Zul Ariffin

PENDEDAHAN secara terbuka yang dibuat oleh pelakon Zul Ariffin berkenaan hubungan cintanya dengan penerbit filem Tayangan Unggul Sdn. Bhd., Gayatri Su-Lin Pillai merupakan tindakan ikhlas yang lahir daripada hatinya. Bagaimanapun bukan semua melihat positif tindakan beraninya itu sebaliknya ada yang menganggap hubungan Zul-Gayatri itu ada udang di sebalik batu. Zul mengakui bahawa dia tidak dapat menghalang masyarakat daripada menimbulkan pelbagai tohmahan dan persepsi negatif terutama apabila ada mengatakan hubungan itu tidak lebih sekadar bertujuan untuk mengambil kesempatan. Ini kerana dalam tahun 2012 sahaja, Zul terlibat dengan dua buah filem yang diterbitkan syarikat produksi tersebut masing-masing filem Penanggal dan Bikers Kental yang bakal menemui penonton pada tahun ini. Perkara tersebut secara tidak langsung menguatkan lagi desas-desus bahawa pelakon tinggi lampai berusia 26 tahun ini sememangnya menjalinkan hubungan dengan Gayatri untuk mendapatkan tawaran berlakon secara tetap dengan Tayangan Unggul. Tetapi menurut Zul, hubungan antara dirinya dengan Gayatri adalah suatu hubungan yang jujur dan lahir daripada hati yang ikhlas tanpa sedikitpun niat untuk mengambil kesempatan dengan kedudukan yang dimiliki wanita tersebut. "Sewaktu saya mendedahkan perkara ini kepada pihak media dan umum, saya memang sudah menjangka akan terdapat cerita-cerita kurang enak seperti ini. "Ini merupakan perkara biasa dalam kehidupan. Setiap orang mempunyai persepsi masing-masing dan saya tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan cakap-cakap mereka. "Tetapi di sini saya mahu menjelaskan bahawa hubungan yang terjalin antara kami memang berdasarkan perasaan kasih dan sayang dan tidak lebih daripada itu," katanya yang mengesahkan hubungan cinta mereka sewaktu pelancaran filem Bikers Kental, baru-baru ini. Hubungan yang telah berlangsung kira-kira tujuh bulan itu terjalin selepas tamat penggambaran filem Penanggal sekitar bulan Mei lalu. Tambah Zul, hubungan antara mereka terjalin secara semula jadi tanpa ada mana-mana pihak yang meluahkan perasaan cinta terlebih dahulu. "Pada awalnya, kami mula rapat selepas tamat penggambaran filem Penanggal, kami kerap berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan berbual berhubung pelbagai isu. "Lama-kelamaan hubungan itu menjadi semakin rapat tetapi kami sendiri tidak tahu bilakah ia bertukar daripada sekadar rakan menjadi lebih serius," katanya yang turut memegang watak utama dalam drama bersiri Debunga Lalang yang mula ditayangkan di TV3 hari ini. Zul turut menegaskan bahawa pengumuman yang dibuatnya baru-baru ini menunjukkan bahawa dia serius bersama Gayatri kerana baginya, kejujuran adalah penting dalam sesebuah perhubungan. Jelasnya, sebelum pengakuan itu dibuat, mereka sudah berbincang berhubung perkara tersebut. "Saya tiada masalah sungguhpun sudah diketahui umum kerana kami jujur dalam hubungan ini dan tiada sebab untuk merahsiakannya. "Oleh itu sewaktu pihak media bertanyakan soalan tersebut pada saya, saya menjawab dengan jujur kerana tidak mahu menipu sesiapa dalam hal ini," katanya jujur. "Selain itu, hubungan antara kami ini juga sudah diketahui oleh pihak keluarga dan mereka juga sudah memberi keizinan untuk saya meneruskan hubungan ini," tambahnya yang sentiasa berkongsi kisah peribadi dengan keluarganya. Tidak mengejar wanita berusia Apabila berbicara soal hubungan cinta jejaka bertubuh sasa ini, tidak dapat tidak seseorang pasti terfikir apakah Zul sememangnya mempunyai cita rasa kepada wanita yang lebih berusia kerana sebelum ini, dia juga hangat menjalinkan cinta dengan pelakon Abby Abadi. Zul menegaskan bahawa dia tidak pernah merancang untuk mengejar atau menjalinkan hubungan cinta dengan wanita yang lebih berusia berbanding dirinya kerana semuanya berlaku secara semulajadi. "Saya tidak pernah mengejar untuk mencari cinta daripada wanita yang lebih berusia tetapi mungkin secara kebetulan perasaan cinta itu timbul kepada individu yang sedemikian. "Mungkin juga kerana wanita berusia ini lebih matang dalam menguruskan perjalanan karier dan pergaulan mereka dan ia membuatkan saya jatuh hati," katanya lagi. Jadi apa yang membuatkan Zul tertarik dengan Gayatri yang tua 12 tahun daripadanya? "Dia matang dan bijak dalam pergaulan bersama orang sekeliling. Lebih penting, saya selesa apabila bersamanya. "Jarak umur bukan isu kerana apabila kami bersama saya berasa seperti bersama rakan sebaya." Zul juga sempat bergurau dengan mengatakan mungkin penampilannya yang kelihatan jauh lebih tua berbanding usianya sebenar turut memainkan peranan sehingga membuatkan wanita berusia tertarik untuk mendekatinya. "Selain daripada penampilan fizikal yang mungkin kelihatan lebih berumur berbanding rakan-rakan sebaya lain, mungkin kerana perwatakan diri saya juga serasi dengan mereka yang membuatkan hubungan itu terjalin dengan lancar," katanya yang mengakui pernah mengambil rehat daripada dunia lakonan selama kira-kira empat bulan sebelum ini.

Zul Ariffin Harap Kisah Cinta Dengan Gayatri Tidak Jejaskan Kerjaya

PETALING JAYA: Pelakon Zul Ariffin berharap keterbukaannya mendedahkan kisah hubungan cinta dengan Naib Presiden Astro Shaw, Gayatri Su-Lin Pillai tidak akan menjejaskan kerjaya mereka. Pelakon berusia 26 tahun itu berkata, dia mengambil keputusan berkongsi perkara itu dengan khalayak kerana tidak mahu timbul sebarang salah faham atau kekeliruan jika mereka dilihat bersama pada masa akan datang. “Bagi saya, tidak jadi isu pun selepas dedahkan hubungan kami. Malah, lagi awal buka cerita, lagi bagus. “Tiada faedah pun kalau saya hendak sorok (hubungan). Perkara ini sudah kami bincangkan banyak kali sebelum saya membuka mulut mengenai kami. “Cuma, saya harap cerita ini (hubungan) tidak akan jejaskan kerjaya kami pula,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Dalam artikel bertarikh 24 Disember lalu, aktor bertubuh sasa ini mengakui bercinta dengan Gayatri sejak tujuh bulan lalu selepas mereka bekerjasama dalam penggambaran filem Penanggal.
Mengenai perkembangan hubungan itu, Zul berkata, keselesaannya dengan wanita itu membuatkan dia tidak teragak-agak memperkenalkannya kepada keluarga. “Saya selesa dengan dia (Gayatri). Malah, saya sudah perkenalkan kepada keluarga pun. “Buat masa ini, ia adalah hubungan yang serius cuma kami belum letak sebarang sasaran dalam waktu terdekat,” jelasnya. Zul berkata, dia juga berharap agar tiada pihak cuba membangkitkan isu jarak umur antara mereka kerana keputusan untuk menjalin hubungan dengan Gayatri tiada kena mengena dengan status atau usia wanita itu. “Sejak dahulu lagi, saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau had umur dalam menjalinkan sesebuah hubungan. Begitu juga sekarang, cinta saya terhadap Gayatri ikhlas,” katanya yang pernah bercinta dengan Abby Abadi sselama dua tahun sebelum ini. Terbaru, Zul bakal muncul dalam drama bersiri Debunga Lalang bermula 2 Januari depan menerusi slot Azalea pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 4 petang di TV3. Dia juga menantikan tayangan tiga filem lakonannya iaitu Penanggal, Balistik dan Bikers Kental pada tahun hadapan.

Zul Ariffin Mengaku Cintakan Gayatri Su-Lin Pillai

KUALA LUMPUR: Teka teki mengenai hubungan cinta antara pelakon Zul Ariffin dan penerbit filem Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai akhirnya menemui jawapan apabila lelaki itu mengesahkan tentang perhubungan tersebut. Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 26, berkata, perhubungan cinta itu sudah tujuh bulan dijalinkan dan ia masih lagi di peringkat awal dalam mengenali antara satu sama lain. "Benar saya dan dia (Gayatri) bercinta. Kami mula rapat sejak penggambaran filem Penanggal sekitar bulan Mei lalu. "Seperti semua tahu, dia seorang yang sangat disenangi ramai dan antara tarikan lain membuatkan saya jatuh hati kepadanya ialah perseonalitinya yang lemah lembut.
"Kami lebih rapat apabila masing-masing sangat serasi dalam membincangkan sesuatu perkara. Malah saya sangat selesa apabila berada disisinya," katanya. Beberapa bulan lalu, gosip Zul yang dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan Gayatri tersebar namun Zul mahupun penerbit filem itu enggan memberikan sebarang komen tentang hubungan tersebut. Walaupun tiada sebarang pengesahan daripada kedua-dua mereka, hUbungan cinta yang dijalinkan itu tetap dipersoalkan. Zul dikatakan mempunyai citarasa ke arah wanita yang lebih matang memandangkan sebelum ini dia juga pernah bercinta dengan Abby Abadi lebih kurang selama dua tahun. Sementara itu, Zul berharap agar tiada yang cuba membangkitkan isu tentang jarak umur antara mereka yang jauh berbeza kerana keputusannya untuk menjalinkan hubungan dengan Gayatri tidak ada kena mengena dengan status atau usia wanita itu. "Sejak dahulu lagi, saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau had umur dalam menjalinkan sesebuah hubungan. "Begitu juga sekarang, cinta saya terhadap Gayatri ikhlas. Apa-apa pun hubungan ini masih lagi baru dan kami belum lagi memikirkan ke arah perkahwinan," ujarnya.

Zul Ariffin: Abby Abadi Memang Lantang Bersuara

Aktor kacak, Zul Ariffin atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 26, akui tidak terkejut dengan kelantangan Abby Abadi dalam menyuarakan pendapat serta pandangan politiknya di beberapa majlis ceramah yang dijayakannya termasuklah di laman sosial terutama akaun peribadi Twitter miliknya. Malah, Zul Ariffin memberitahu sepanjang mengenali keperibadian Abby Abadi sewaktu mereka sama-sama menjalinkan hubungan cinta suatu ketika dulu, dia akui sikap bekas kekasihnya itu tersebut memang begitu. "Selama mengenali Abby, saya tahu dia memang seorang yang sangat berani menyuarakan pendapat mengenai apa yang jua perkara yang diperbincangkan, malah saya tahu dia juga seorang yang lantang apabila memberikan pandangan. Namun, jika dia rasa betul dengan apa yang dilakukan itu, baguslah. "Pada pendapat saya, seseorang itu boleh lantang menyuarakan pendapatnya tetapi mereka juga perlulah bijak dan berpengetahuan sebelum meluahkan kata-kata," katanya kepada murai.com.my ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Astro Shaw, di Hotel One World semalam. Bagaimanapun, Zul Ariffin memberitahu dia sendiri tidak tahu menahu mengenai penglibatan Abby Abadi dalam kancah politik baru-baru ini. "Alhamdululah, saya tahu yang dia sudah mengenakan hijab dan saya gembira tengok dia dengan perubahan tu. Itupun saya tahu menerusi statusnya di Facebook serta gambar-gambarnya yang tersebar luas di akhbar dan internet. "Selebihnya seperti apa yang dia buat sekarang, masuk politik, sibuk berceramah sana sini, itu semua saya memang tidak tahu. Saya hanya dengar-dengar cerita itu dari orang sekeliling sahaja," jelsnya lagi. Ditanya sama ada dia tahu mengenai perang di Twitter yang tercetus di antara Abby dengan rakan artis seperti Dato` AC Mizal dan Umie Aida, baru baru ini, Zul menjawab dia tidak begitu mengetahui perkara itu dengan jelas. "Tentang AC Mizal itu saya ada dengarlah mereka mahu berdebat mengenai isu PDRM, namun terus-terang saya sendiri tidak tahu perkara itu dengan lebih lanjut. Begitu juga dengan perang Twitter dia dengan Umi Aida. Itu pun saya tidak tahu,"jawabnya. Dalam pada itu, Zul sempat diminta mengulas tentang kenyataan Abby yang mengatakan bahawa selebriti sepertinya (berhijrah dan berhijab) yang menyertai pembangkang hanya akan mempunyai kerja selepas kerajaan tumbang. "Saya kurang bersetuju dengan pandangan Abby itu, Pada pandangan saya, showbiz dengan politik adalah bidang yang berbeza dan dia tidak boleh campuradukkan kedua-duanya. Ini kerana saya lihat ramai artis bertudung sekarang ini masih mendapat tempat di dalam industri. Malah, mereka turut ditawarkan watak yang bersesuaian dengan personaliti mereka. "Jika dilihat dalam konteks yang lebih besar, rasanya kerajaan sekarang ini tidak pernah mengabaikan golongan bertudung. Mereka mendapat peluang pekerjaan yang sama seperti orang lain," tambahnya lagi. Zul Ariffin yang kini sedang bercuti selama 2 bulan termasuk sepanjang ramadan ini bakal memulakan sebuah filem baru terbitan Astro Shaw September ini.

Zul Ariffin Kurang Senang Abby Abadi Burukkan Kerajaan

PETALING JAYA: Pelakon Zul Ariffin yang juga bekas kekasih Abby Abadi agak kurang senang apabila wanita itu membuat tuduhan bagi memburukkan pemerintah ketika ini iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN). Zul, 26, berkata, tindakan Abby bersuara mengenai hal-hal politik serta mengkritik kerajaan merupakan tindakan yang benar-benar kurang bijak apatah lagi ia dilakukan tanpa penyelidikan yang betul. "Saya gembira melihat perubahannya dengan imej bertudung dan tidak salah untuk dia menyertai mana-mana parti politik kerana itu adalah haknya. "Bagaimanapun apabila mendapat tahu tentang kelantangannya bersuara memburukkan kerajaan, rasanya dia perlu selidik dahulu dan bukannya bercakap berdasarkan cakap-cakap orang. "Tambah pula dia baru sahaja menyertai dunia politik (PAS), tak mungkin dia dah selidik tentang semua hal. Apa yang dibuatnya sekarang ini terlalu ekstrem," katanya kepada mStar Online.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan menerusi portal The Malaysia Insider pada 25 Julai lalu, mendakwa artis yang berhijrah seperti beliau hanya akan mempunyai pekerjaan sekiranya kerajaan yang sedia ada tidak lagi memerintah. Dalam artikel yang bertajuk "Abby Abadi: Muslim artistes will work only after Pakatan takes power" (Abby Abadi: Artis Muslim Akan Bekerja Selepas Pakatan Ambil Alih Kuasa), pelakon tersebut antara lain mendakwa ruang individu sepertinya untuk berkarya menjadi sempit dan beliau mengharapkan golongan artis yang berhijrah dapat setia bersama PAS jika mahu melihat perubahan. Tambah Zul, hasrat Abby untuk memperjuangkan Islam itu adalah baik tetapi dia hendaklah memahami rakyat di negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk yang menganut pelbagai agama. “Saya gembira dengan perubahan imejnya dengan bertudung tetapi Abby harus ingat, kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum,” katanya. Sementara itu ditanya adakan dia pernah menghubungi Abby, Zul memberitahu, dia enggan mengingati semula hal lama selain sudah membuat keputusan untuk tidak berhubung lagi. "Saya mahu meneruskan kehidupan. Apabila kami saling berhubung ia membuatkan kita masih berada di kenangan silam. "Bagaimanapun, Abby ada menghantar mesej mengucapkan selamat berpuasa kepada saya baru-baru ini," ujarnya.

Zul Ariffin Akui Masih Sayangkan Abby Abadi


KUALA LUMPUR: Pelakon Zulkifli Ariffin, 25, mengakui masih sayangkan bekas kekasihnya, pelakon Abby Abadi walaupun tidak lagi mempunyai sebarang hubungan cinta.

Zul berkata, adalah tidak mungkin dia dapat melupakan hubungannya bersama Abby yang telah berlangsung selama tiga tahun begitu sahaja dan masih menghormatinya sebagai seorang kawan.

"Hubungan saya dengan Abby masih baik dan ada kalanya kami bertanya khabar melalui panggilan telefon atau pun berbalas SMS. Sudah tentu perasaan sayang kepadanya masih ada kerana percintaan kami bukan berlangsung selama tiga hari tetapi tiga tahun lamanya.

"Sudah tentu ia masih berbekas di hati saya," ujarnya kepada media ketika ditemui pada majlis sidang media filem Penanggal di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, ditanya adakah dia akan kembali menjalinkan hubungan cinta dengan bekas penyanyi kumpulan Elite itu, Zul menjawab ringkas. “mungkin...!

Zul juga mendedahkan dia masih mengambil tahu mengenai perkembangan diri Abby dan tiga anaknya menerusi laman Facebook milik bekas kekasihnya itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai punca keretakan hubungan mereka, Zul enggan mengulas lanjut dan menyifatkan ia adalah perkara bersifat peribadi untuk dikongsi kepada umum.

"Saya tidak pernah menyesal mengenali Abby malah dia adalah antara insan yang paling baik pernah saya temui selain daripada keluarga saya.

"Cuma saya sesalkan mengenai kesalahan dan kesilapan yang pernah berlaku sepanjang kami bersama," ujarnya.

Bercakap mengenai perkembangan terbaru mengenai dirinya, Zul berkata dia bersyukur dapat berlakon di dalam filem Penanggal arahan sulung pelakon berbakat Elly Suriati.

Ujarnya, peluang berlakon di bawah arahan pelakon berkaliber itu adalah peluang keemasan buatnya untuk membuktikan diri sebagai seorang pelakon yang baik.

"Elly Suriati sangat berbakat dan begitu profesional ketika berada di lokasi penggambaran dan sentiasa memastikan apa yang dilakukan adalah terbaik.

"Walaupun ada mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang garang tetapi bagi saya jika kita sebagai pelakon mempersiapkan diri sebelum ke lokasi tiada sebarang alasan untuk dimarahi.

"Jika ada pun itu sudah tentu untuk kebaikan bersama bagi menjayakan filem berkenaan," ujarnya.

Zul berkata, cabaran berlakon dalam filem yang turut menggandingkannya bersama Azri Iskandar dan Fasha Sandha itu adalah dia perlu bercakap dalam dua bahasa iaitu bahasa Arab dan Bahasa Malaysia.

Bagaimanapun katanya, atas bimbingan pengarah yang mengadakan kelas bahasa dan persediaan berlakon telah memberikannya semangat dan keyakinan diri untuk melakukannya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails