Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Wan Sharmila. Show all posts
Showing posts with label Wan Sharmila. Show all posts

Wan Sharmila Nafi Nikah September Ini

Pelakon Wan Sharmila terkejut apabila dilaporkan bakal berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya pada September ini. Wan Sharmila, 33, berkata, dia langsung tidak mengetahui mengenai perkara tersebut dan menegaskan tiada sebarang majlis perkahwinan bakal berlangsung dalam masa terdekat ini. "Jujur saya terkejut kerana hanya tahu mengenai perkara ini apabila awak bertanya soalan itu kepada saya dan belum sempat membeli akhbar sebab sekarang ini saya berada di lokasi penggambaran. "Apa-apa pun cerita itu tidak benar dan saya tidak merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad. Menerusi laporan akhbar mingguan pada Ahad, Wan Sharmila dikhabarkan sudah pun membuat persiapan majlis pernikahan dan perkahwinan dan bakal suami pelakon drama bersiri Tari Tirana itu juga dikatakan bukan orang seni sebaliknya bertugas sebagai juruterbang.
Wan Sharmila enggan bercakap mengenai soal peribadi. Dalam pada itu, ditanya adakah benar dia sedang menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki berkenaan, Wan Sharmila mengambil sikap untuk tidak bercakap mengenai soal peribadi. Jelas Wan Sharmila, dia bimbang kenyataannya akan disalah ertikan oleh sesetengah pihak sehingga menyebabkan masalah lain timbul di kemudian hari. "Maafkan saya kerana tidak boleh menjawab soalan itu kerana saya tidak mahu bercakap soal peribadi," katanya ringkas. Wan Sharmila sebelum ini pernah berkahwin dengan Fazli Baharom pada 2007 sebelum bercerai dengan talak satu pada 23 Oktober 2009 di Mahakamah Rendah Syariah Johor Bahru. Dalam perkembangan lain, Wan Sharmila berkata, dia kini sibuk di lokasi penggambaran beberapa buah drama termasuk Menantu Mak Uteh untuk siaran TV9.

Wan Sharmila kunci mulut

WAN SHARMILA melemparkan senyuman mesra pada pertemuan kami sewaktu dia sibuk menjalani penggambaran telefilem sempena Aidiladha di Kuang, Kuala Selangor, Pelita Tanpa Sumbu. Polos tanpa sebarang calitan solekan dan manis berbaju kurung, ia bagai melampias rasa hatinya yang kini dihuni rasa bahagia tak terperi. Kisah pelakon itu kini bercinta bukan lagi rahsia. Namun, apa yang masih digali ialah tentang identiti si pencuri hati pelakon yang senang disapa Lala ini. Walau didesak berkali-kali, pelakon cantik ini tetap tidak mahu berkongsi banyak tentang perihal kisah cintanya dengan orang ramai. Katanya yang sering membisu sambil diselangi ketawa kecil, dia tidak mahu terlalu banyak berkongsi kisah cintanya. Mungkin pengalaman bercerai sebelum ini telah membuat Wan Sharmila, atau nama sebenarnya, Wan Sharmila Wan Mohamed mengambil keputusan untuk mengunci mulut daripada bercerita, namun dirinya tidak menyangkal sudah punya teman istimewa yang hanya diketahui sebagai D. "Memang saya akui, saya kini sudah bertemu kekasih hati dan saya tidak ingin bercerita lebih tentang dirinya. Namun, semuanya belum lagi ditetapkan dan kami masih lagi dalam proses perkenalan. "Dia juga tidak mahu membuat penampilan di hadapan orang ramai dan sentiasa memahami karier saya. Saya tidak mahu terlalu mendedah perihal peribadi kerana biarlah orang mengenali saya dengan perkara lakonan atau pengacaraan saya. "Biarlah saya bekerja secara profesional," bicaranya.
Tambahnya yang menggalas status janda sejak hampir empat tahun lalu, jika benar-benar punya jodoh bersama jejaka tersebut, dia akan mengakhiri zaman solonya. Akui aktres bertubuh genit ini, kini dia memang sedang bahagia, namun tidak mahu terlalu memikir kerana khuatir diri akan merana jika terlalu mengharap. "Biarlah perhubungan ini mengikut perjalanan yang sepatutnya dan saya tidak mahu terlalu tergesa-gesa membuat keputusan. Saya ingin menjadi seorang yang profesional dan tidak mahu campurkan urusan kerja dan peribadi," tuturnya ringkas. Masih ada tawaran Dua atau tiga tahun lepas, nama Wan Sharmila sentiasa meniti di bibir peminat drama tempatan dek watak antagonis yang kebanyakan dilakonkannya. Bagaimanapun, kini nama Wan Sharmila seperti telah sunyi daripada lakonan yang telah menjadi periuk nasi bagi empunya diri sejak lima tahun lalu. Ungkapnya, walaupun seperti jarang kelihatan muncul dalam drama mahupun telefilem yang popular, namun pada hakikatnya, dia masih punya rezeki dalam bidang lakonan. "Alhamdulillah, tawaran berlakon memang masih ada, namun kini, tidak dinafikan memang agak kurang. Bagaimanapun, tidaklah sampai saya ingin berhenti daripada karier ini. "Ia terpulang kepada program yang saya libatkan diri. Jika ramai yang tonton serta rancangan tersebut popular, maka ia kelihatan seperti saya banyak tawaran," tutur wanita kelahiran Johor Bahru, Johor ini. Bagaimanapun, ketika ditebak persoalan tentang kesunyian dirinya dalam lakonan, wanita berusia 32 tahun ini tidak menyangkal dakwaan dirinya semakin kurang diberi tawaran. "Mungkin juga percambahan pelakon baharu menyebabkan saya kurang dilihat tampil dalam drama atau telefilem popular. Saya menyedari perkara itu dan telah bersedia serta perlu untuk terima keadaan tersebut dengan seadanya. "Oleh kerana itu juga saya kurang menyertai program atau karnival untuk bertemu peminat kerana tiada produk yang hendak saya promosikan. Mungkin kini jika ada masa terluang, saya mampu penuhi majlis-majlis mungkin untuk mempromosi drama contohnya kerana punyai masa," tuturnya yang hanya membuat aktiviti biasa yang berfaedah jika tiada tawaran.
Pengacaraan Ceritanya, selain lakonan, dia juga kini memberi fokus terhadap bidang pengacaraan yang pernah diceburinya sejak tiga tahun lalu dengan mengendalikan beberapa program seperti Klik Klik Asia dan Dialek di RTM. "Kini saya sedang memberi fokus mengendalikan program berkonsepkan permainan (gameshow) iaitu Seiring Sejalan bersama pelakon Fizz Fairuz yang telah pun memasuki musim kedua. "Saya terima rezeki yang datang kerana bagi saya jika ada peluang tidak salah untuk mencuba. Selagi kita sayang pada sesuatu pekerjaan yang dilakukan, maka akan hadir rezeki di situ kelak," ceritanya yang mengakui masih banyak perlu dipelajarinya dalam bidang pengacaraan Tambahnya lagi, bidang pengacaraan juga merupakan satu pengalaman yang berbeza buat diri. Ini kerana sebelum ini dia banyak ambil tawaran berlakon, jadi bidang pengacaraan merupakan satu pengalaman yang baharu yang sangat menarik. Ungkapnya lagi, dia mendapat kepuasan yang berbeza daripada lakonan dan pengacaraan. Walaupun begitu, dia akui masih lemah dalam bidang ini dan masih dalam proses pembelajaran.

Hati Sharmila ditawan D

PELAKON Wan Shamila yang dikenali kerana kontroversi melakonkan adegan ranjang dengan Fizz Firuz dalam filem Bisikan Syaitan dan gemar memperagakan pakaian yang “terlampau mendedah" mahu melakukan anjakan dalam hidupnya selepas menemui lelaki untuk dijadikan suami. Lebih kontroversi lagi apabila Wan Shamila bukan menyesali berlakon dengan rela adegan ranjang dalam Bisikan Syaitan tetapi bersyukur kerana adegan itu dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF). Banyak mempertikaikan kenyataan Wan Shamila itu yang seolah-olah tidak ada masalah untuk berlakon adegan ranjang. Wan Shamila yang menjanda empat tahun lalu kini mahu melakukan perubahan, antaranya tidak mahu lagi berpakaian “terlampau dedah". Dia berazam tidak mahu lagi terlibat dalam kontroversi kerana itu boleh menjejaskan kredibilitinya pada masa depan. “Saya tahu masyarakat akan melabelkan seseorang artis. Jadi apabila ada artis yang ada rekod tak baik, masyarakat akan memandang serong ke atas kita. “Begitu juga dengan saya. Orang kenal Wan Sharmila sebab berpakaian seksi. Malangnya saya berterusan dilabel sebegitu padahal saya sudah tidak berpakaian seksi lagi. “Wajarkah perbuatan sebegitu. Macamlah saya tak ada cerita lain yang membina. Kesannya pada periuk nasi si artis itu sendiri," tegasnya dengan kesal. Dalam pada itu dia bersyukur kerana ada dalam kalangan masyarakat semakin menyedari kehadirannya dan menghargai dirinya menerusi drama dan filem lakonannya sebelum ini. Biarpun sekarang ini ada ramai pelakon baru yang berbakat yang mampu menenggelamkan Wan Sharmila namun dia tidak pernah rasa tergugat. Bahkan Wan Sharmila menganggap perkara itu sebagai satu perkembangan sihat. Dalam pada itu banyak juga cerita kurang enak tercetus selepas Wan Sharmila mendedahkan dia mempunyai kekasih baru. Niat awal sekadar untuk berkongsi cerita di laman sosial namun akhirnya telah disalahertikan. Laman Instagram yang menyiarkan gambar zaman kanak-kanak kekasihnya telah mencetuskan kontroversi. Ini ada ada segelintir yang membuat andaian bahawa kekasihnya orang kenamaan dan tinggal di London. Bahkan ada yang mendakwa kekasih itu adalah daripada golongan kenamaan yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat padahal semua dakwaan tersebut tidak tepat sama sekali. Pada mulanya dia tidak mengambil peduli tentang perkara tersebut. Tetapi Wan Sharmila mula bertindak selepas teman lelakinya mahu penjelasan daripadanya berhubung perkara tersebut. “Saya tidak senang kalau timbul isu yang boleh mengganggu hubungan kami. Dan saya juga tak boleh duduk diam jika ada anasir luar yang cuba merosakkan hubungan kami. “Sebenarnya saya mahu menjalani hubungan istimewa tanpa ada sebarang masalah. Salahkah saya berkongsi kebahagiaan yang sedang dinikmati dalam Instagram saya sendiri?. “Mengapa perlu ada pihak tak berpuas hati melihat kebahagiaan saya? Apa salah saya sehingga tak boleh ada teman lelaki? “Mungkin disebabkan cerita-cerita hitam saya sebelum ini yang menyebabkan masyarakat berterusan memandang serong terhadap saya. Tapi adilkah saya diperlakukan sebegitu? “Saya merayu agar jangan timbulkan sebarang spekulasi yang boleh merosakkan hubungan cinta kami. Berilah saya ruang untuk serius dalam hubungan ini," katanya. Enggan menyentuh cerita silam membabitkan kegagalan rumah tangganya kira-kira empat tahun lalu, Wan Sharmila mengakui pengalaman tersebut paling berharga untuk dijadikan panduan hidup pada masa depan. Baginya manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Oleh itu Wan Sharmila nekad untuk tidak mengulangi kesilapan yang boleh merosakkan ikatan sedia ada. Ketika ditanya adakah teman lelaki itu adalah calon suami Wan Sharmila paling sesuai untuk menamatkan zaman janda, dia masih cuba berhelah. “Masih terlalu awal untuk dijangka. Cuma saya boleh kata yang saya sedang bahagia," katanya ringkas yang menimbulkan persoalan adalah dia sekadar menjalinkan hubungan tetapi tidak memikirkan perkahwinan. Siapa D? MEMINTA pelakon mengulas tentang identiti teman lelakinya, Wan Sharmila terdiam seketika. Dia nyata agak keberatan untuk berkongsi bahagian paling berharga padanya itu dan meminta Pancaindera memahami keadaan. “Saya hanya boleh beritahu kekasih saya berpangkal nama D. Itu saja. Yang selebihnya saya betul-betul minta maaf. Hubungan kami terlalu awal untuk dihebahkan. “Bimbang pula kalau ada apa-apa perkara yang berlaku di kemudian hari. Tapi saya berjanji kalau sudah okey dan cukup masa saya akan kongsi secara terbuka. “Sebenarnya saya bersyukur kepada Allah sebab doa saya termakbul untuk bertemu dengan seorang kekasih yang menghargai, menyayangi dan sentiasa ada dalam apa juga keadaan. “Saya menganggap D adalah hadiah Tuhan kepada saya. Cukup istimewa dan kalau boleh saya tak mahu mencalarkan hatinya. Sebab itu saya agak keberatan untuk mendedahkan hubungan kami buat sementara waktu ini. “Tunggu saja tiba hari yang sesuai," kata yang terus berteka-teki tentang lelaki itu.

Wan Sharmila semakin berani?

RAMAI yang mengadu pada Miss J tentang strategi pelakon berstatus janda Wan Sharmila untuk lebih dikenali sejak akhir-akhir ini. Dengarnya Wan Sharmila sudah semakin berani berpakaian seksi. Semua pakaian Wan Sharmila mesti ada daya tarikan tersendiri. Satu lagi, Miss J dengar yang Wan Sharmila juga dikatakan sanggup melakukan 'apa' sahaja supaya namanya lebih dikenali di kalangan pemain industri hiburan. Ada beberapa orang kuat dalam industri yang telah digodanya. Benarkah? Wan Sharmila sangat 'terdesak' untuk jadi popular. Apa sahaja tawaran yang ada di depan mata pantas dicapai. Sampai sanggup melakon melakonkan babak ranjang dengan Fizz Fairuz dalam filem Bisikan Syaitan. Nasib baik babak itu awal-awal lagi dah kena potong dengan pihak LPF. Tapi apa pun itu hanya apa yang Miss J dengar. Mungkin suara itu sebelah pihak sahaja. Miss J tak boleh tuduh sembarangan pada Wan Sharmila. Miss J yakin yang Wan Sharmila pun ada penjelasan tersendiri berhubung perkara ini. Jangan cepat buat andaian kalau tidak betul. Berdosa tau...

Rela jadi jahat - Wan Sharmila

BAGI mereka yang tidak mengenali Wan Sharmila, pastinya tidak tahu bahawa dia pernah berkahwin sebelum ini. Pemilik nama penuh Wan Sharmila Wan Muhamad ini pernah berumahtangga tetapi malangnya ikatan perkahwinan itu tidak kekal lama. Menurut Wan Sharmila, biarpun sudah kira-kira tiga tahun hidup sebagai wanita bujang, dia tidak berasa terdesak untuk mencari pengganti kerana mahu terus fokus kepada karier terlebih dahulu. "Buat masa ini, saya lebih selesa dengan kehidupan seperti ini, sangat selesa. Apa yang penting, tiada halangan untuk pergi ke mana-mana dan dengan sesiapa saja saya boleh berkawan," katanya yang mengakui gelaran janda tidak langsung memberi masalah kepada dirinya. Bagaimanapun jangan salah anggap. Meskipun pernah melalui episod kegagalan dalam pernikahan, Wan Sharmila masih percaya kepada institusi perkahwinan. "Tidak bermakna saya enggan berkahwin semula. Keinginan untuk ada pasangan, berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri itu tetap ada, cuma mungkin tidak dalam waktu terdekat ini," jelasnya yang mengakui masih belum mempunyai teman pengganti. Sebelum ini juga, Wan Sharmila mengakui bukan tiada individu yang cuba mendekatinya, tetapi amat sukar buatnya untuk menjalinkan hubungan secara serius kerana tertanya-tanya apakah pihak lelaki itu serius bersamanya. "Tidak dinafikan, kadangkala memang ada lelaki yang cuba mendekati tetapi sukar bagi saya untuk menerima mereka kerana saya akan sering tertanya-tanya kejujuran mereka. "Saya juga bukanlah semakin muda, jadi saya mahukan suatu hubungan yang serius dan lelaki yang boleh dijadikan suami bagi menjaga kehidupan saya di masa akan datang," jelasnya lagi. Melihat pada susuk fizikal pelakon wanita ini, pastinya ada pihak akan mengandaikan bahawa dia baru berumur awal 20-an tetapi sebenarnya, wanita bertubuh kecil molek ini sudah berusia 31 tahun. Selain itu, wanita yang banyak membintangi drama dengan penampilan remaja ini sudah layak dianggap antara pelakon berbakat tanah air berbekalkan pengalaman yang telah ditimbanya selama ini. Suka jadi jahat Terdapat pelbagai watak dalam dunia lakonan, dan pastinya kebanyakan pelakon mahu membawakan watak utama sebagai hero dan heroin dalam sesebuah drama mahupun filem. Tetapi berbeza bagi wanita bertubuh kecil molek ini yang mengakui bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk membawakan watak jahat dalam mana-mana drama. Malahan menurut Wan Sharmila, setelah beberapa tahun sering membawakan watak jahat, ia bagaikan sudah sebati dengan dirinya kerana baginya, ia merupakan suatu tugas yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. "Saya bukanlah seorang pelakon yang terlalu memilih untuk membawakan mana-mana watak, tetapi hampir kebanyakan tawaran lakonan yang diberikan kepada saya merupakan watak jahat. "Sebagai pelakon, itu sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memikul tugas tersebut dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin. "Selain itu, saya juga tidak mempunyai masalah untuk membawakan watak jahat yang diberikan kerana ia sudah sebati dengan diri saya," ujarnya. Sungguhpun begitu tambah Wan Sharmila, itu tidak bermakna dia merupakan seorang wanita jahat atau kasar kerana watak sedemikian hanya dihidupkannya dalam layar kaca. "Walaupun saya berkata sudah selesa membawakan watak jahat, itu tidak bermakna saya seorang yang mempunyai keperibadian seperti itu. "Ini menunjukkan bahawa lakonan saya sebagai wanita jahat berkesan dan diterima secara baik oleh penonton, jika tidak masakan saya berterusan ditawarkan membawa watak sedemikian," katanya yang pernah berlakon dalam drama Sindarela dan Emil Emilda. Apabila sudah lama melakonkan watak tertentu, pastinya seseorang pelakon itu mengidamkan untuk membawa watak tersebut ke suatu dimensi berbeza, itu jugalah yang diingini wanita yang dilahirkan di Johor Bahru ini. Tambah Wan Sharmila, jika diizinkan, dia mahu membawakan watak seorang wanita jahat yang sejahat-jahatnya. "Walaupun sudah banyak melakonkan watak seperti itu, tetapi sehingga kini saya masih belum berpeluang melakonkan watak yang benar-benar jahat mengikut keinginan saya. "Selain itu, saya juga berminat untuk bekerjasama dengan Nabila Huda, anak kepada penyanyi legenda tanah air, Amy Search. "Sebelum ini kami berdua juga pernah berbincang, mahu berganding dalam mana-mana drama sebagai adik-beradik yang jahat," katanya berseloroh. Pelakon yang turut membintangi drama Kisah Kaisara, Tipah Vavavoom dan Rona Roni Makaroni ini turut mengakui dia tidak mempunyai masalah jika masyarakat melabel dia sebagai wanita jahat kerana watak lakonannya. "Jika diberi gelaran sebegitu, saya menganggap ia satu pujian kerana lakonan saya dalam drama berkesan dan menjadi sehingga meninggalkan impak sedemikian kepada penonton," tambahnya. Tambah pelakon ini lagi, jika terdapat tawaran bersesuaian, dia juga mempunyai keinginan untuk membawakan watak wanita yang baik kerana pengalaman membawakan watak berbeza pasti membantu meningkatkan lagi mutu lakonannya di masa hadapan. Cabaran jadi ibu Sungguhpun sudah berusia 31 tahun dan juga pernah menjadi isteri sebelum ini, tetapi Wan Sharmila mengakui bahawa antara cabaran besar dalam karier lakonannya adalah untuk menjayakan watak sebagai seorang ibu. "Walaupun saya tidak mempunyai masalah untuk membawakan watak sebagai seorang gadis remaja dan juga watak jahat, tetapi watak sebagai ibu sungguh mencabar saya. "Ini mungkin kerana saya tidak mempunyai benyak pengalaman bersama kanak-kanak. Jadi, untuk menjayakan watak itu, saya merujuk kepada rakan-rakan sebaya saya yang sudahpun bergelar ibu. "Tetapi jika mahukan saya membawa watak sebagai kanak-kanak, itu tidak menjadi masalah buat saya kerana perangai saya memang sedemikian," katanya sambil ketawa kecil. Wan Sharmila juga menegaskan dalam memikul watak sebagai ibu, mimik muka dan intonasi suara banyak memainkan peranan dan itulah aspek yang sedikit mencabar dirinya sebagai pelakon.

Tiada Kekasih Punca Wan Sharmila Tidak Berkahwin Semula

PETALING JAYA: Pelakon Wan Sharmila berkata kegagalan bertemu dengan lelaki yang sesuai menjadi penghalang untuk dia berkahwin semula selepas tiga tahun bercerai. Pemilik nama sebenar Wan Sharmila Wan Mohamed, 31, berkata, aspek kehidupan peribadinya masih hambar kerana dia belum mempunyai kekasih sehingga kini. “Kehidupan peribadi (hubungan cinta) masih hambar seperti dulu. Saya masih tidak jumpa lelaki yang sesuai. “Saya memang hendak bina keluarga dan memiliki anak-anak sendiri kerana saya suka pada kanak-kanak. Saya tidak pasti sampai bila harus menunggu?” kongsinya ketika ditemui mStar Online. Aktres yang berasal dari Johor Bahru, Johor itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya berjudul Spy M di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, petang Khamis. Wan Sharmila dan suaminya yang juga penerbit dan pemilik syarikat produksi Radius One iaitu Fazli Baharom bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru, Johor pada 23 Oktober 2009 selepas tiga tahun berkahwin.
Pelakon yang mesra disapa Lala ini berkata, kegagalan bertemu dengan lelaki baru bukan disebabkan dia bersikap cerewet tetapi ia dipengaruhi kesibukan kerja yang membataskan waktunya berkenalan dengan ramai orang. “Memang ada ramai yang cuba mendekati tetapi tidak semudah itu saya hendak menjalin hubungan. Bukan kerana saya cerewet cuma dalam mencari pasangan kita perlukan teman yang serasi dan sesuai. “Sebolehnya saya elakkan suami orang tetapi yang bujang pula ramai yang tak menepati kriteria. Saya tidak kisah umur dan status, asalkan saya berasa selesa dengan lelaki itu,” luahnya. Mengenai drama komedi aksi Spy M, Lala berkata, dia tidak dapat melaksanakan aksi-aksi lagak ngeri (stunt) dalam dalam drama perisikan itu kerana baru selesai menjalani pembedahan beberapa bulan lalu akibat penyakit yang enggan didedahkan.
“Saya memegang peranan sebagai Salsabila iaitu anak kepada Milah lakonan Sharifah Shahira. Ini adalah drama aksi kedua saya selepas Apa Celop. “Sayangnya, saya tidak dibenarkan pengarahnya Ramli Long untuk melakukan babak aksi kerana masih dalam proses pemulihan daripada pembedahan akibat satu penyakit kira-kira tiga bulan lalu. “Saya tidak boleh berlakon lasak kerana akan cepat penat dan tenaga masih kurang. Namun, saya kembali aktif berlakon cuma tidak boleh yang berat-berat,” terangnya yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Debunga Lalang. Drama Spy M yang turut dibintangi antaranya Sharifah Shahira, Amyza Aznan, Jason Chong, Zalif Sidek dan Ahmad Danial akan ditayangkan bermula 3 Disember depan pada setiap Isnin pukul 9 malam, dalam slot Aksi di TV3.

Tak pandai cipta gosip - Wan Sharmila

DALAM kalangan pelakon wanita tanah air, dia jarang sekali menjadi bahan gosip panas - baik di dada akhbar mahupun televisyen. Jika ada pun, ia tidak menimbulkan kontroversi besar-besaran sehingga heboh diperkatakan di peringkat nasional. Sememangnya pada tahun lepas, namanya menjadi sedikit 'panas' ekoran kontroversi impak kemunculannya memperaga gaun kuning pendek yang dikatakan agak seksi ketika membuat kemunculan sempena acara fesyen MASiF 2011 pada 15 hingga 17 September. Namun selepas itu, namanya seolah-olah suram sehingga timbul persoalan adakah ia disebabkan popularitinya sudah semakin pudar. Ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, Wan Sharmila atau nama ringkasnya, Lala bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut. Bagi dirinya, dia lebih selesa menumpukan perhatian kepada kerjaya lakonannya berbanding gosip murahan. "Saya ini jenis yang tidak pandai cipta gosip, lebih-lebih lagi kalau melibatkan diri saya sendiri. "Kalau hidup saya penuh dengan gosip, mungkin saya bukan Lala yang orang kenal sekarang sebaliknya saya akan jadi orang lain," katanya yang mengakui lebih suka berdiam diri dan memberikan fokus kepada lakonan. Diam tidak diam, penglibatannya dalam dunia lakonan sudah mencecah angka lima tahun. Namun menurutnya, sejak hari pertama dia melibatkan diri dalam dunia lakonan, dirinya tidak putus-putus meraih tawaran berlakon walaupun kadangkala watak yang ditawarkan sekadar picisan. "Saya rasa bersyukur hingga ke saat ini walaupun tidak diberikan watak yang besar atau popular, namun peluang untuk muncul di kaca televisyen sentiasa ada dan itu sudah memadai bagi saya sebab tidaklah saya terus tenggelam dari mata penonton," katanya. Akuinya, kesibukan jadual harian kadangkala menyebabkan dirinya tidak mempunyai waktu rehat yang mencukupi. "Selagi ada tawaran (berlakon), saya tidak akan tolak sebab bukan senang nak bina nama dan kepercayaan pengarah untuk menggalas sesuatu watak," ujarnya. Dalam pada itu, seringkali apabila menonton drama Melayu yang menampilkan lakonan figura ini, pasti penonton sudah dapat meneka watak yang dilakonkannya. Jelak jadi gedik Namun menurut pemilik nama penuh Wan Sharmila Wan Mohamed ini, semuanya bergantung kepada rezeki meskipun kadangkala dia berasa jelak dengan watak sebegitu. "Tidak dinafikan watak yang diberikan kadangkala memberi kesan kepada kita bila orang ingat watak yang dibawa dengan karakter sebenar saya sama sahaja," katanya. Terbaharu, Lala, 31, tidak lagi diberi watak perempuan gedik, sebaliknya dia menghidupkan karakter yang mencabar menerusi filem arahan Faizul A. Rashid, Bisikan Syaitan. Ia bakal mula ditayangkan pada 25 Oktober ini.
"Ini merupakan kali pertama saya melakonkan aksi-aksi mencabar dan ia ternyata berbeza daripada lakonan saya sebelum ini yang memerlukan saya untuk menjadi gedik. "Sebenarnya, saya sudah lama teringin untuk membawa watak berat seperti ini, cuma tidak pernah diberi peluang. "Apabila pengarah memberitahu saya bakal melakonkan watak ini pada tahun lepas, saya sangat teruja dan Alhamdulillah, saya mampu mengharunginya," ujarnya. Dalam filem itu, dia yang memegang watak sebagai seorang gadis naif bernama Kamilia bergandingan dengan pendatang baharu, Azam Pitt sebagai pasangan kekasih. Kamilia merupakan mangsa perjanjian syaitan angkara antara abangnya sendiri, Kamil (lakonan Fizz Fairuz) dan kakak iparnya, Suraya (Nabila Huda). Bercerita tentang Azam Pitt, menurut pelakon genit ini, dia tidak mempunyai sebarang masalah apabila digandingkan bersama jejaka tersebut memandangkan sebelum ini mereka pernah bergandingan dalam drama TV. "Saya sudah ada pengalaman bekerja dengan Azam tetapi kali ini lain sedikit memandangkan saya dan dia bergandingan sebagai sepasang kekasih. "Namun, kami banyak berbincang untuk mendapat keserasian watak yang dibawakan," ujarnya mengakhiri bicara.

Gedik Lala berkualiti tinggi

USAH dipersoal lakon drama Wan Sharmila Wan Muhamad yang cuba menempatkan diri dalam kategori pelakon kelas A. Bunga yang mesra disapa Lala itu masih menanti untuk diangkat namanya. Bijak berlakon, bijak juga dia menjaga tingkah. Lala yang bebas cerita hangat, banyak berkerja untuk memperbaiki kualiti lakonannya. Hanya yang terbaik menjadi tatapan orang sekeliling, tetapi sekali sekala dia turut dikritik pemerhati industri gara-gara gaya seksinya. Kata Lala, dia sudah lupa berapa bilangan drama yang pernah dilakonkannya. "Sudah lima tahun saya terlibat dalam dunia lakonan. Berapa bilangan drama pun saya tidak pernah kira. Mungkin sepuluh, 20 atau lebih dan judulnya ada yang saya terlupa," ungkap Lala jujur. Jenuh Lala mengisi portfolio dirinya yang semakin menebal, namun variasi profil lakonannya tidak banyak. Jika tidak ditawarkan watak gedik, pasti wajahnya terlihat dalam karakter jahat atau sisi gelap yang hitam permainannya. Jarang sekali dia diberi peranan wanita baik. Mahu jadi bisu Antara senarai judul yang masih melekap termasuklah drama Tari Tirana, Sindarela, Tipah Vavavoom, Emil Emilda, Sutun, Rona Roni Makaroni, Nora Elena dan Si Jundai. Terdetik juga rasa muak dalam hati anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu tatkala diberikan watak sama. Namun dek semakin sebati dengan aksi sebegitu, Lala menganggap ia sebagai satu kelebihan pula buat dirinya. "Walaupun usia sudah menjangkau 31 tahun, saya masih lagi diberikan watak-watak orang muda. Watak gedik, penggoda dan antagonis seakan sebati dengan saya. "Dahulu pernah juga terasa bosan dengan watak sebegitu. Tapi kini saya sudah sedar bahawa semua itu adalah rezeki yang tidak boleh ditolak. Itu adalah kelebihan sebenarnya. "Kalau boleh saya mahu melakonkan watak seorang wanita bisu yang teraniaya. Tetapi dalam masa yang sama dia adalah seorang yang jahat. Masih menunggu juga kalau ditawarkan watak sebegitu," katanya dalam karakter sedikit serius. Berdiam diri dan membuka hati adalah lebih baik baginya apabila sering diberikan rezeki menggalas watak sama. Juga jauh di sudut hatinya untuk melihat aksi sendiri di layar lebar pula. Kini ungkapan dalam hatinya itu seolah-olah sudah kedengaran. Biarpun sudah lama menunggu, tetapi senyuman Lala kini semakin melebar apabila bakal muncul dalam sebuah filem genre seram arahan Faizul A. Rashid yang berjudul Bisikan Syaitan. Lala kini sedang menghitung hari menunggu filem itu ditayangkan pada tanggal 25 Oktober ini. Hatinya sudah bergejolak mahu melihat aksi sendiri yang lain berbanding biasa itu. "Syukur Alhamdulillah kerana inilah masa yang saya tunggu-tunggu untuk berlakon dalam filem pula. Ini dikira kejayaan baharu juga buat saya. Perjanjian syaitan "Kali ini saya menghidupkan karakter Kamila. Dia seorang gadis yang baik, banyak berfikir tetapi pasif. Dia menjadi mangsa kepada perjanjian abangnya, Kamil (Fizz Fairuz) dengan kuasa jahat. "Pendek kata, tak ada babak yang menggembirakan pun dalam filem ini. Hampir kesemuanya tentang kesedihan Kamila. Itu cukup mencabar bagi saya," ujarnya. Filem terbitan Lightbulb Pictures itu turut menampilkan pelakon hebat lain termasuklah Nabila Huda, Fizz Fairuz dan Azam Pitt. Bisikan Syaitan dianggap filem pertamanya biarpun pernah muncul dalam beberapa babak dalam naskhah berjudul Raya Tak Jadi sebelum ini. Menerima segalanya sebagai takdir untuk dirinya, Lala tidak merungut soal rezeki. Apa yang penting dia mahu terus bekerja dalam bidang yang diminatinya itu. Sedikit merendah diri, kata Lala, penampilannya mungkin tidak menepati spesifikasi berlakon filem. "Saya positif sahaja dan tak mahu fikir kenapa tidak ditawarkan berlakon dalam filem. Mungkin wajah saya tak cukup eksklusif untuk filem. "Saya terima jika itu kekurangan buat saya kerana saya ada kelebihan lain kerana niat utama saya ialah untuk mencari rezeki," katanya yang bakal muncul dalam drama Spy M, slot aksi di TV3.
Kalau berbicara soal kerja dengan Lala, ternyata banyak isi yang mahu diluahkan sehingga terlupa untuk bertanya cerita lain yang lebih sensasi. Kisah gaun kuning sendat dan singkat yang pernah dikenakan ketika terlibat dalam drama bersiri Tari Tirana pernah menjadi bahan bualan peminat. Tidak lupa juga cerita rumah tangganya yang dibina dengan pemilik Radius One, Fazli Baharom sejak 2007 berakhir tiga tahun kemudian. Secebis kisah hidupnya itu ditelan bulat-bulat. Tidak banyak cerita, Lala bijak membiarkan kisah itu sejuk begitu sahaja. Berlakon sudah berpuluh-puluh judul, tetapi namanya tidak timbul-timbul. Kalau satu persatu nama baharu mula menyerlah dek cerita sensasi dan murahan, Lala selesa untuk menjaga namanya. Menolak menggunakan sifir untuk terkenal dengan mencipta cerita murahan, Lala sebaliknya sedaya upaya mengelak kisah sebegitu, namun tidak bermakna dia mengelak banyak permintaan wartawan. "Bukan saya pinggirkan diri daripada wartawan, cuma tiada apa yang sensasi dan menarik tentang diri saya untuk ditulis. "Kalau sesetengah artis lain berfikiran cerita kontroversi boleh bikin cepat popular, tetapi bukan diri saya untuk buat kecoh. Lagi pun saya tidak reti membuat kontroversi "Mungkin cara ini akan membuatkan saya kekal begini, tetapi sekurang-kurangnya sampai hari ini rezeki saya tidak pernah putus," katanya menutup sementara bibirnya yang petah menyusun kata-kata.

Wan Sharmila letak syarat

POLOS wajahnya tanpa solekan saat pertemuan pertama kami tempoh hari sempena sesi penggambaran muka depan Pancaindera keluaran minggu ini. Sambil menyua tangan untuk berjabat salam, dia kemudiannya ceria memperkenalkan diri. “Hai, saya Wan Sharmila!" sepertinya dia bukan seorang pelakon yang dikenali ramai. Pun begitu, ia sekali gus menyerlahkan keperibadian Wan Sharmila Wan Muhammad yang lebih selesa bersikap merendah diri walau sudah menempa nama sebagai seorang pelakon yang tidak kurang hebatnya. Usai disolek mampan, jelitanya makin terserlah. Hampir lupa bahawa wanita ini sudah pun mencapai usia 31 tahun. Namun air mukanya sedikitpun tidak mencerminkan usia sebenarnya itu. Muda sungguh! Tuan punya badan juga turut mengiyakan hal ini saat diaju pertanyaan mengenai mereka yang mungkin keliru dengan usianya saat pertama kali bertemu. “Jangan bimbang, saya dah biasa dah dengan situasi bila mana orang sering tersalah meneka usia sebenar saya. “Banyak yang ingat saya ni masih remaja lagi kalau tengok dari luaran. Mereka kata saya nampak muda dan macam budak-budak. “Bila saya beritahu usia sebenar, mereka terkejut. Tapi untung juga ya. Kalau selalu begini, bolehlah saya selalu nampak muda!" seloroh wanita ini yang senang dipanggil Lala. Atmosfera ceria terus mewarnai sesi penggambaran kami sepanjang hari itu. Lanjut memuji paras rupanya, terlintas di fikiran mengapa wanita secantik Lala masih belum bertemu cinta. Bukan apa, dengan pakej yang dimilikinya, tentu sahaja Lala boleh mendapatkan mana-mana lelaki yang dimahukan andai kata dia benar mahu mencari calon suami buat mengisi kekosongan di hati. Apalagi setelah hampir tiga tahun dia hidup menjanda lantaran perkahwinannya dengan penerbit dan pemilik Radius One, Fazli Baharom, tidak mampu bertahan lama. Ketika ini cuma senyuman yang terukir di bibir Lala bagai tahu dia akan ditebak dengan soalan begini. Mengaku bahawa bukan seorang dua yang cuba mengetuk pintu hatinya, Lala bagaimanapun lebih suka untuk berhati-hati apabila soal jodoh menjadi akar umbi bicara. “Kalau ditanya bila saya nak kahwin, mahu saja saya katakan, kalau boleh esok saya nak kahwin! Tapi realitinya siapa yang nak kahwin dengan saya? Teman lelaki pun saya tak ada, inikan pula nak bercakap soal kahwin. “Adalah yang cuba-cuba nak mendekati saya, tapi terus-terang saya cakap, setiap kali saya cuba keluar dengan mana-mana lelaki, saya tak boleh lari daripada memikirkan bermacam-macam benda negatif. “Contohnya, betul ke dia ni serius atau nak main-main saja? Betul ke dia ni orang yang tepat? Macam-macam yang saya fikirkan. Sudahnya saya ibarat wanita yang fobia dengan lelaki. “Tapi jauh di sudut hati, memang saya mahu kahwin lagi. Lagipun usia saya semakin menginjak. Saya pun tak mahu menunggu lama lagi," katanya. Lala isteri kedua Anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini mengaku sungguhpun dia adalah seorang yang peramah dan gemar ketawa, namun ia bukanlah satu tiket untuk dia mudah mendekatkan diri dengan lelaki. Tambahan pula dengan sikapnya yang lebih gemar untuk duduk di rumah jika ada kelapangan dan tidak terikat dengan sesi penggambaran drama dan sebagainya. “Jadi bayangkanlah, macam manalah saya nak ada teman lelaki kalau saya asyik berkurung di rumah kalau tak ada kerja? “Tak tahulah. Hendak kata saya ni anti-sosial tidak juga sebab saya suka berkawan. Tapi mungkin juga kerana saya ni jenis yang lebih suka duduk di rumah. “Kebanyakan masa saya selalunya berseorangan dan banyak buat hal sendiri. Nak jumpa kawan serumah pun susah. Sebab kami masing-masing mempunyai waktu kerja yang tak sama dan sibuk," katanya. Terbuka berkongsi rasa mengenai sejauh mana ikhlasnya dia jika satu hari kelak dia ditakdirkan menjadi isteri kedua, Lala sedikit pun tidak menunjukkan reaksi kurang senang. “Eh, saya sanggup!" pantas mulutnya memberi respons. Bagi Lala, menjadi isteri kedua bukanlah satu kesalahan buat kaum wanita andai itu takdir dan jalan yang telah ditentukan oleh Tuhan ke atas dirinya. Meski memberi kata setuju, tidak bermakna semua lelaki hidung belang di luar sana boleh sewenang- wenangnya cuba memikat pelakon drama bersiri Tari Tirana ini. Jangan sangka status suami orang mudah diterima Lala andai syarat yang diletakkan wanita ini tidak berjaya dilengkapi dan ditepati dengan baik. “Saya sanggup menjadi isteri nombor dua kalau lelaki terbabit boleh berlaku adil. “Saya juga tidak mahu wujudnya masalah antara saya dengan madu kalau lelaki itu benar-benar mahu saya menjadi isteri keduanya. “Maksudnya, kalau nak kahwin, tak perlulah nak sorok-sorok. Biarlah semuanya berjalan dengan lancar sebab saya ni memang jenis yang tak suka ada masalah, "katanya. Positif dengan kehidupan bermadu dan berkahwin dengan suami orang, Lala punya alasan untuk tidak mengendahkan persepsi masyarakat yang mungkin akan memandang serong padanya. Kata Lala, andainya itu berlaku, dia tidak mampu menghalang mulut orang dari berkata kerana masing-masing punya prinsip sendiri. “Alahai...sedangkan saya jadi janda pun orang dah pandang semacam, inikan pula kalau betul saya ni kahwin dengan suami orang. “Kalau terlalu memikirkan apa orang cakap, susahlah kita nak hidup. Betul tak? Buat saja apa yang kita rasa kita nak buat," katanya. Pun begitu, ini cuma anggapan `kalau’ Lala jadi isteri kedua orang. Setakat ini, akui Lala, belum pernah suami orang cuba mendekati dirinya apalagi cuba menyuntingnya menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat. “Macam yang saya cakap tadi, mungkin mereka ingat saya ni budak-budak. Sebab itulah tak ada yang berani nak mendekati saya," katanya yang mengaku sedang mencari lelaki yang boleh membimbingnya menjadi individu yang lebih baik. Takut digam Menyelami perjalanan karier Lala sebagai seorang pelakon sejak empat tahun serius berkecimpung dalam bidang seni lakon tanah air, tidak banyak perubahan yang dapat dilihat. Kebanyakannya hampir sama watak yang dibawa. Dalam erti kata lain, balik-balik watak antagonis sahaja yang dibawa Lala. Semacam tiada variasi. Akui Lala, dalam hal ini, sebagai seorang pelakon, dia sebenarnya tiada pilihan. Walau seringkali orang menganggap seseorang pelakon itu boleh membuat pilihan sendiri, hakikatnya banyak perkara yang perlu ditimbang-tara. “Saya tak pasti pelakon lain bagaimana. Tapi biasanya saya tak pandai untuk menolak andai tawaran yang saya terima itu memang memerlukan saya memegang watak jahat. “Mungkin pada pandangan pihak penerbit dan pengarah, Wan Sharmila sesuai bawa watak gedik dan jahat, itu penilaian mereka. “Saya pula tak pandai nak caras watak orang lain. Kalau itu watak yang diberikan, maka itulah yang saya terima," katanya. Dalam pada itu, kata pelakon Si Jundai ini, meski hatinya memberontak untuk mencuba watak lain, dia terpaksa akur dengan `budaya’ dalam industri yang mungkin tidak difahami orang luar. “Bidang ini lain. Kalau sekali kita menolak tawaran tanpa sebab yang kukuh, seseorang pelakon itu berkemungkinan besar akan berhadapan dengan masalah `digam’ tanpa sedar. “Iyalah, kalau memilih sangat, nanti orang kata kita ni cerewet. Padahal bukan pelakon popular sangat. “Saya selagi boleh tak mahu mencari masalah dengan orang atau menyusahkan pihak penerbit dan sebagainya. Lagipun saya bukan diva," katanya merendah diri.

Seksi Wan Sharmila


Wan Sharmila mohon maaf isu gaun singkat ketika pertunjukan fesyen

PADA hujung talian, terselit sedikit nada ragu malah sempat Wan Sharmila bertanya mengenai topik yang bakal diajukan sebelum bibirnya melontarkan kata persetujuan untuk menjayakan sesi fotografi bersama B*POP. Hadir tepat pada waktu dijanjikan, masih terkesan sisa kebimbangan pada raut wajahnya.

Berkali-kali dia menagih kepastian, memohon diberi teguran jika gaya diberikan melampaui batas.
Wan Sharmila begitu berhati-hati pada sesi fotografi kali ini, tidak seperti selalu di mana dia ceria dan mudah memberikan gaya yang dituntut jurugambar.
Semua itu impak daripada penampilannya pada acara Music, Art, Style International Festival (MASiF) 2011, baru-baru ini.

Gara-gara gaun pendek yang mendedahkan bahagian belakang badannya, Wan Sharmila dikritik hebat terutama menerusi laman sesawang yang mengecamnya dengan pelbagai tuduhan.

Akur keterlanjuran yang berlaku tidak boleh ditarik semula, anak kelahiran Johor Bahru berusia 30 tahun ini selesa mengalah tanpa berbahas panjang untuk membela diri. Enggan isu yang hangat menjadi mainan di laman maya itu terus diperbesarkan, Wan Sharmila menyusun sepuluh jari memohon maaf jika ada pihak yang tersinggung atas sikap tidak sensitifnya itu.

Wan Sharmila juga tidak mahu meletakkan kekhilafan itu di bahu sesiapa, biarpun jauh di sudut hati, dia terguris dipalit pelbagai kecaman menyakitkan. Sesekali bibirnya meluahkan perkataan kesal, terutama apabila statusnya sebagai seorang janda dijadikan alibi oleh segelintir pihak untuk ‘menghalalkan’ penampilan seksinya itu.
“Itu hanya pandangan segelintir pihak dan saya tidak menyalahkan mereka jika masih belum mengenali siapa Wan Sharmila yang sebenar,” luahnya perlahan.

Tidak memohon simpati atau berharap masyarakat akan segera menyebelahinya, Wan Sharmila cuma mendambakan peminat industri hiburan bersikap adil dan tidak pantas menilai seseorang berdasarkan penampilan luaran.

Wan Sharmila juga menyeru masyarakat supaya mengambil sedikit masa untuk mengenali dan mengkaji peribadinya sebelum menjatuhkan hukuman kepadanya.

“Salah saya juga kerana mengambil ringan semua perkara. Saya jenis menyarung apa saja pakaian yang saya rasa selesa. Begitu juga apabila diusulkan untuk menggayakan rekaan itu. Saya menerimanya tanpa banyak soal jawab.

“Langsung tidak terlintas di fikiran gaun itu boleh mencetuskan kontroversi dan membangkitkan kemarahan sesetengah pihak.

Percayalah bukan niat saya untuk merosakkan nama baik penggiat seni, sebaliknya saya cuma melunaskan apa yang saya fikirkan betul untuk diri saya,” katanya.

Menerima teguran itu sebagai pembuka mata supaya dia lebih peka dalam penampilan, Wan Sharmila berkata, apa yang dilihat peminat itulah dirinya yang sebenar.

Dia tidak perlu hipokrit semata-mata untuk menjaga hati orang lain, sedangkan dalam dirinya bergolak pelbagai rasa kerana terpaksa tunduk kepada kemahuan masyarakat.

“Maaf jika saya tidak mampu menjadi seperti yang dimahukan peminat. Usah terlalu memaksa saya untuk berubah kerana saya cuma menjadi diri sendiri. Saya sedar sebagai artis banyak hati yang perlu dijaga. Tetapi saya juga ingin mencari keselesaan dalam diri, jadi saya berharap niat saya ini tidak disalahertikan.

“Janganlah kerana berstatus janda, ada yang menganggap saya mendapat lesen untuk bergaya seksi. Saya tetap sama seperti dulu, cuma mungkin apabila dikenali sedikit orang mula menilai penampilan saya,” katanya.

Dilihat sebagai seorang artis yang menjauhi publisiti, Wan Sharmila yang baru muncul dalam filem Raya Tak Jadi berkata, hal itu tidak pernah berlaku.

Akur publisiti penting untuk membantu memacu kerjayanya, Wan Sharmila berkata, dia memahami tuntutan media yang mencari isu sensasi dan panas sebagai pelaris penerbitan.

“Mungkin saya tidak memenuhi kriteria yang dicari. Saya juga tidak seperti segelintir artis lain yang dikurniakan paras yang cantik, barangkali kerana itu saya jarang mendapat tempat di media cetak. Bukan tidak terasa tetapi kesibukan dengan penggambaran membuatkan saya jarang memikirkan soal itu. Saya tidak mahu cuma gah di sana sini tetapi langsung tidak memberi sumbangan kepada industri.

“Biarlah saya cari kepuasan dengan bekerja kerana percaya dari situ, lambat laun orang akan mencari dan ingin lebih mengenali siapa saya sebagai seorang pelakon,” katanya.

Hati belum terbuka

SUDAH dua tahun, Wan Sharmila melayari hidup sendirian selepas bahtera perkahwinan yang dibinanya bersama penerbit, Fazli Bahrom menemui noktah.

Luka yang dulunya berdarah sudah lama terubat namun entah mengapa, hingga saat ini Wan Sharmila masih betah hidup sendirian tanpa ditemani lelaki sebagai kekasih.

Bukan tidak pernah memikirkan soal pengganti tetapi kata Wan Sharmila, hatinya belum terbuka untuk menerima lelaki sebagai pengganti kasih yang hilang.

“Bohong jika saya tidak rasa sunyi atau langsung tidak memikirkan soal jodoh. Saya bukan muda lagi, sudah 30 tahun. Selepas berdepan kegagalan, saya mengakui agak selektif mencari pengganti kerana enggan terluka lagi. Memang rumah tangga itu satu perjudian namun saya harus mencari yang terbaik dalam hidup.

“Setakat ini saya belum menemui jejaka yang membuat hati saya bersedia menerima cinta baru. Biarlah dulu, lagi pun saya baru dua tahun sendiri dan saya selesa begini,” katanya.

Wan Sharmila akui, dia percaya kepada jodoh yang ditakdirkan Allah tetapi enggan terlalu mengejar kerana waktu untuk dirinya mengecap bahagian akan tiba juga nanti.

Wan Sharmila Puas Hati Bermekap Tebal


SISI antagonis Wan Sharmila, 30, semakin menyerlah menerusi lakonannya di kaca televisyen.

Antara drama yang menyerlahkan lakonan antagonis Sharmila adalah Kashaf Imani, Nora Elena dan Jangan Hantar Aku Ke Neraka.

Mengikut maklum balas penonton yang diterima, kebanyakannya menggemari lakonan antagonis Sharmila sehingga berjaya membuahkan perasaan benci terhadapnya.

Ini menunjukkan satu kejayaan yang mampu mengukirkan senyuman lebar buat Sharmila lebih-lebih lagi sekiranya para peminat mengingati watak yang dilakonkan.

“Kebetulan saya sesuai untuk membawakan watak jahat. Bukan saya tidak pernah membawakan watak baik, tetapi penonton akan mengatakan saya hipokrit atau ‘plastik’.

“Saya lebih berpuas hati dengan lakonan apabila karakter yang dilakonkan itu mendapat maklum balas yang bagus daripada penonton.

“Saya selalu cuba melakukan yang terbaik untuk melakonkan setiap watak yang diberikan. Sedangkan penonton tidak tahu yang saya juga pernah kena marah dengan pengarah,” katanya.

Bukan sahaja tidak pernah berputus asa untuk membaiki lakonannya, wanita berkulit hitam manis ini juga tidak pernah jemu mencantikkan diri agar sedap mata memandang.

“Saya tahu diri ini tidak cantik, jadi sebab itu saya kena lebih mencantikkan diri kerana saya selalu berhadapan dengan orang ramai.

“Apabila saya berdandan, saya gemar memakai warna-warna terang dan ceria seperti gincu merah dan baju merah jambu.

“Untuk keluar rumah atau menghadiri acara bertemu peminat, saya selesa mengenakan solekan sendiri tanpa bantuan jurumekap artis.

“Ini kerana saya pernah menjadi penari dan mengetahui selok-belok solekan. Jadi, saya perlu bersolek sendiri. Walaupun bersolek sendiri, tidak bermakna saya perlu menghabiskan banyak wang untuk membeli alat solek,” katanya kepada OopStarz!

Daripada sudut fesyen, Sharmila berani mengenakan fesyen yang seksi dan jarang dicuba oleh sesetengah wanita.

Walaupun pernah ditegur gara-gara berpakaian menjolok mata, Sharmila tidak pernah serik untuk memakai pakaian mengikut keselesaannya.

“Saya masih lagi memakai skirt pendek dan gaun pendek tetapi saya akan berhati-hati untuk memakai pakaian seperti itu mengikut kesesuaian tempat.

“Ini kerana saya mahu menjadi diri-sendiri dan tidak boleh menjadi orang lain. Selain itu, pakaian yang dipakai perlu bersesuaian dengan usia saya.

“Lagipun pereka fesyen sendiri mengatakan saya tidak berseri jika tidak seksi,” ujarnya.Beralih kepada teman hidup, Sharmila yang berstatus janda ini akui belum menemui pasangan yang sesuai.

“Sekarang ini, saya lebih selesa berkawan dan selalu berjumpa di kalangan kawan-kawan rapat. Ini kerana saya jarang berjumpa dengan orang,” ujarnya.

Wan Sharmila Mahu Buka Pusat Jagaan Kanak-Kanak


KUALA LUMPUR: Pelakon Wan Sharmila, 29, berhasrat membuka pusat penjagaan kanak-kanak kerana perasaan cintanya kepada golongan itu.

Dia bagaimanapun tidak mahu terburu-buru mengejar impiannya itu kerana banyak perkara lain [perlu diberi perhatian sebelum mengambil keputusan membuka pusat berkenaan.

"Antara impian saya dalam hidup adalah untuk mempunyai sebuah pusat jagaan kanak-kanak kerana saya suka kepada kanak-kanak tetapi banyak perkara perlu diberi perhatian seperti mengambil kursus dan sebagainya," katanya.

Wan Sharmila yang baru sahaja muncul dengan filem pertamanya, "Raja Tak Jadi" memberitahu, selain minat kepada kanak-kanak, perancangan untuk membuka pusat itu juga adalah sebagai persediaan pada masa hadapan.

"Kerjaya sebagai pelakon tidak menentu dan itu adalah sebagai persediaan untuk masa hadapan saya dan lebih baik kita buat perniagaan yang kita minat," ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Sharmila memberitahu dia kini selesa menguruskan kerjaya seninya sendiri tanpa bantuan pembantu peribadi.

"Sebelum ini saya ada pembantu peribadi tetapi saya agak tidak selesa kerana perkara ang boleh saya uruskan terpaksa mengharapkan bantuan orang lain.

"Sekurang-kurangnya jika saya lakukan sendiri saya menjadi lebih bertanggungjawab tanpa menyusahkan orang lain," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai kehadiran lelaki di dalam hidupnya, Wan Sharmila memberitahu ketika ini dia lebih selesa bersendirian dan ingin menumpukan kepada kerjaya lakonannya.

Katanya, ekoran pengalaman dalam kemusnahan rumah tangga dua tahun lalu, dia menjadi lebih berhati-hati dalam memilih pasangan.

"Buat masa ini saya berkawan dengan ramai orang tapi masih belum ada yang istimewa kerana saya lebih selesa bersendirian dan ingin menumpukan kepada kerjaya lakonan," katanya.

Bakal muncul dengan filem “Syaitan Nirrajim” yang baru selesai penggambaran bersama pelakon Nabila Huda dan Fizz Fairuz, dia kini turut sibuk menjalani penggambaran drama sitkom “Naik Lif, Turun Tangga” sebanyak 13 episod untuk siaran TV3.

"Alhamdulilah selepas 'Raja Tak Jadi', saya mendapat peluang berlakon di dalam filem kedua, 'Syaitan Nirrajim' dan rezeki semakin baik dalam bidang lakonan. Fokus saya pada kerjaya buat masa ini," ujarnya.

Wan Sharmila Fobia Kahwin Semula


KUALA LUMPUR: Kegagalan perkahwinan yang dilalui oleh pelakon Wan Sharmila Wan Muhammad, 30, telah memberi kesan yang mendalam apabila dia berasa fobia untuk berkahwin semula.

Menurut Wan Sharmila, penceraiannya dengan bekas suami, Fazli Bahrom pada 23 Oktober 2009 meninggalkan kenangan pahit dan hal tersebut membuatkan dia lebih selesa hidup solo selain mempunyai jadual yang padat.

"Diakui saya sedikit fobia dan belum berani untuk mendirikan rumah tangga buat masa sekarang kerana kegagalan rumah tangga yang dibina sebelum ini memberi keraguan untuk saya berkahwin buat kali kedua.

"Sampaikan apabila melihat rakan-rakan yang baru hendak berkahwin membuatkan saya pula yang rasa takut dengan perkahwinan mereka itu," katanya.

Tambah Wan Sharmila, memegang status janda tidaklah berat untuk ditanggung seperti yang diperkatakan ramai kerana sehingga hari ini dia tidak pernah merasakan dirinya pernah berkahwin dan pernah bercerai.

Bagaimanapun, dia tidak menolak untuk berkahwin semula jika satu hari nanti dia dijodohkan dengan seorang lelaki yang sesuai dengannya.

"Walaupun mempunyai perasaan fobia, sebagai seorang perempuan sudah semestinya saya mahu memiliki seorang suami yang boleh membimbing saya dan pada masa sama saya juga teringin untuk memiliki zuriat.

"Cuma sekarang ini saya belum mempunyai teman lelaki walaupun ada yang cuba datang untuk mendekati saya. Sekarang ini, karier adalah fokus utama," ujarnya yang membintangi drama “Si Jundai” yang disiarkan pada Isnin hingga Khamis, pukul 4 petang, menerusi slot Legenda, TV3.

Ketika ditanya adakah pelakon itu akan kembali bersama bekas suaminya, pelakon wanita itu memberitahu lebih selesa jika hubungan mereka sekadar berkawan sahaja.

Kepuasan bagi Wan Sharmila


DALAM menghabiskan masa lapang jadual hariannya, pelakon jelita, Wan Sharmila Wan Muhamad lebih gemar memanfaatkan kekosongan itu dengan bersantai bersama teman baiknya di puncak Trades Hotel, Kuala Lumpur.

Baginya, duduk melihat panorama kota raya yang dihiasi hutan batu itu merupakan satu kepuasan dalam menghilangkan lelahnya berkejar-kejar ke set penggambaran saban minggu.

Berbeza dengan insan lain yang lebih gemar menghabiskan masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti, teraju utama drama Taritirana ini lebih selesa bersantai di Pool Bar hotel berkenaan.

“Di sinilah tempat saya menghilangkan segala tekanan dan merehatkan diri. Rasa seolah-olah hilang segala apa yang terbeban di kepala.

“Boleh dikatakan setiap minggu saya akan meluangkan masa untuk datang ke sini sehingga pekerja di sini pun sudah kenal saya,” ujar lembut anak jati Johor Bahru, Johor itu ketika ditemui S3 di tempat lepaknya itu, baru-baru ini.

Tambah aktres yang mula dikenali dengan watak Tirana itu, apa yang membuatkannya terpukau dengan tempat bersantai itu kerana dia dapat menikmati makanan kegemarannya selain bertukar-tukar cerita bersama dengan teman-teman.

Baginya, kunjungan ke bar berkenaan tidak akan lengkap sekiranya dia tidak memesan kepak ayam, sushi dan kek yang telah menjadi menu wajibnya.

“Apa yang menarik di sini saya boleh makan apa sahaja yang saya mahu. Kepak ayam dan sushi di sini sememangnya sedap.

“Selain itu, sambil-sambil makan saya boleh bertukar-tukar cerita dengan kawan-kawan saya dan yang paling saya suka, di sini kawasannya agak privacy.

“Jadi bolehlah saya hendak buat apa dan duduk macam mana. Nak gelak kuat-kuat pun orang tidak kisah,” ujarnya sambil tersenyum.

Selain itu, ujar Wan Sharmila, setiap kali singah di Pool Bar, dia pasti akan ditemani rakan serumahnya, Tisya.

“Kami memang rapat dan di sini jugalah tempat kami meluangkan masa bersama.

“Biarpun tinggal serumah tetapi hendak berjumpa di rumah amat susah kerana masa kerja kami yang tidak sama.

“Kadang-kadang bila saya balik dia sudah tidur dan esoknya saya bangun dia sudah keluar bekerja.

“Untuk dapat masa seperti ini adakalanya kami terpaksa menghantar Blackbery Messenger (BBM) untuk bertanya masa sesuai datang ke sini,” jelas aktres yang akan tampil dengan drama Si Jundai disusuli dengan tawa manja.

Bagaimanapun, jelas anak bongsu daripada dua beradik itu lagi, selain daripada bersantai, bertukar cerita dan makan, aktiviti yang pasti tidak akan dilepaskan setiap kali bertandang ke hotel berkenaan adalah mendapatkan perkhidmatan urut.

“Dekat sini ada pakej, kalau kita datang selain makan kita boleh berurut. Sambil-sambil duduk begini kita boleh panggil atau pun pergi ke spa di tingkat atas untuk berurut,” jelasnya yang pernah mengikut kelas tarian Linda Jasmin.

Baginya, aktiviti santai seperti itu lebih memberi kepuasan kerana dia bukanlah jenis yang suka aktiviti sukan.

“Saya bukan jenis yang suka aktiviti luar seperti bersukan atau aktiviti lasak bahkan untuk menonton wayang dan membeli-belah juga saya kurang gemar.

“Jadi aktiviti saya lebih untuk lepak-lepak begini. Saya rasa lebih tenang dan seronok apabila dapat duduk bersama dengan kawan baik saya yang seorang ini,” katanya sebelum menamatkan perbualan tengah hari itu.

Wan Sharmila ditipu mekanik


BAGAI jatuh ditimpa tangga, mungkin itulah pepatah yang tepat untuk menggambarkan nasib yang menimpa pelakon tinggi lampai Wan Sharmila Wam Muhamad.

Sudahlah kereta yang dimilikinya meragam sehingga terpaksa dihantar ke bengkel, empunya bengkel pula mengambil kesempatan di atas kelemahannya sebagai seorang perempuan.

Episod duka pelakon drama Kisah Kaisara itu bermula apabila dia menghantar keretanya yang rosak ke sebuah bengkel dan berurusan secara terus dengan mekanik bengkel berkenaan.

Akibat tertarik dengan gaya dan penampilan mekanik itu, Wan Sharmila, 30, kerugian beribu ringgit apabila dia seolah-olah terpukau dan terus mempercayai segala omongan yang keluar daripada mulut mekanik itu.

Sudahlah kerosakan keretanya tidak dibaiki dengan sempurna, mekanik yang mengaku bujang itu rupanya telah beristeri.

Bayangkanlah jika kita berada dalam situasi yang dilalui pelakon kelahiran Johor Bahru, Johor itu, pastinya perkara sebegitu mampu untuk meledakkan amarah dalam diri.

Walau apa pun, itu hanyalah watak yang akan dilakonkan oleh Wan Sharmila dalam salah satu daripada 13 episod drama arahan Shahrul Ezad, Langsai.

Langsai yang akan menemui penonton bermula 12 April ini merupakan sebuah drama yang diangkat daripada kes-kes yang dilaporkan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Drama yang diterbitkan oleh 3Line Media Sdn. Bhd. dengan kerjasama Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) selaku penaja utama dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan disiarkan di TV1.

Drama berkenaan juga memfokuskan isu-isu kepenggunaan bagi meningkatkan kesedaran pengguna dengan hak, kuasa dan suara yang dimiliki pengguna.

“Walaupun kita kini di zaman Internet tetapi masih ramai di kalangan kita yang tidak tahu tentang hak dan kuasa yang kita ada sebagai pengguna,” jelas Wan Sharmila ketika ditemui pada pelancaran drama berkenaan baru-baru ini.

Tambahnya, drama berkenaan dapat menimbulkan kesedaran agar lebih berhati-hati apabila hendak mengeluarkan wang supaya tidak terpedaya dengan ayat-ayat manis peniaga.

“Apa yang penting jadilah pengguna yang bijak dan tahu apa yang harus kita lakukan apabila tertipu.

“Kita semua harus sedar bahawa sebagai pengguna kita mempunyai hak untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan seperti apa yang telah dijanjikan,” tegas pemegang watak Tirana dalam drama bersiri Tari Tirana itu.

Sementara itu, pengarah drama berkenaan, Shahrul Ezad Mohameddin berkata, apa yang dilihatnya adalah drama akan memberikan kesan yang lebih cepat kepada masyarakat bagi tujuan mendidik mereka ke arah yang lebih positif.

“Sebab itulah Langsai ini dihasilkan. Langsai akan memperlihatkan secara realitinya berkenaan apa yang sering terjadi dalam masyarakat kita apabila menyebut berkenaan dengan isu-isu kepenggunaan.

“Sebenarnya masih ramai di kalangan kita tidak tahu tentang hak-hak dan kuasa yang ada pada kita sebagai pengguna dan diharap setelah menonton Langsai, sedikit sebanyak ia boleh mengurangkan kes-kes penipuan yang melibatkan pengguna.

Tambah pengarah drama Emil Emilda itu lagi, dalam menyampai mesej kepada penonton, drama garapannya kali ini menampilkan jalan cerita yang ringkas ditambah dengan unsur-unsur jenaka.

Baginya, drama yang ringkas dan berjenaka akan lebih mudah untuk diterima oleh penonton selain lebih santai.

“Kalau kita buat dengan berat, selalunya mesej sukar disampaikan dan penonton kurang berminat untuk mengikuti drama kita.

“Jadi lebih elok ia dia buat secara ringkas agar dalam kita bergelak-tawa mesej itu dapat diterima dengan mudah,” ujarnya.

Katanya lagi, sepanjang tempoh pembikinan

Langsai yang akan di siarkan di TV1 jam 7.30 malam itu, dia tidak mengalami sebarang masalah malah merasakan lebih bebas dan tenang dalam mengarahkan drama berkenaan.

Wan tidak tolak jodoh


BERTENTANG mata dengan aktres bertubuh genit, Wan Sharmila baru-baru ini di pelancaran drama terbaru lakonannya, Da'Bomba sungguh mengejutkan. Tubuhnya yang dulu sedikit berisi kini semakin kurus, wajahnya juga semakin cengkung.

Pelbagai persoalan timbul, mungkinkah dia masih bersedih atas penceraiannya dengan bekas suami yang juga pengarah dan penulis skrip di syarikat produksi Radius One Sdn. Bhd., Fazli Baharom yang berlaku pada Oktober tahun lalu?

Namun, pelakon yang selesa disapa Wan sekadar tersenyum. Menafikan penurunan berat badannya itu impak kekecewaannya terhadap keruntuhan rumahtangga yang dibina selama empat tahun, sebaliknya Wan menegaskan kini sedang berdiet untuk mendapatkan berat badan yang ideal.

"Saya bukannya sedih atau kecewa seperti yang disangka ramai. Saya masih makan seperti biasa, malah saya juga gembira dengan kehidupan yang saya lalui sekarang.

"Cuma kini saya dalam proses diet. Berat saya pernah cecah 48 kilogram (kg), kemudian naik 54 kg, yang terkini adalah 45 kg dengan ketinggian 156 sentimeter," ujarnya.

Wanita berusia 29 tahun itu menuturkan bahawa sebelum ini dia merancang untuk berdiet tetapi tidak menyangka berat badannya akan turun secara mendadak dan menyebabkan orang sekelilingnya risau dia menjalani diet secara tidak sihat.

"Sebenarnya saya diet kerana selepas drama bersiri Tari Tirana saya sudah tidak dapat watak remaja. Saya banyak dapat watak ibu dan watak yang matang, mungkin bila kurus saya nampak remaja sikit walaupun usia sudah tua (ketawa).

Saya tidak rancang nak turun sampai muka nampak cengkung macam ini. Ingatkan nak turunkan sikit sahaja. Saya tahu memang saya nampak tidak sihat tetapi saya sedang berusaha untuk bersenam dan berdiet secara sihat," jelasnya.

Berpatah arang

Nampaknya selepas bergelar janda, rezeki Wan dan bidang lakonan semakin bertambah. Jika dulu, dia umpama pelakon residen di produksi Radius One Sdn. Bhd. sehingga matanya tertutup dek produksi luar, kini baru dia sedar bahawa rezeki lakonannya semakin terbuka luas.

Menurutnya, semasa masih bergelar isteri kepada Fazli dulu, dia ada juga mendapat tawaran daripada produksi lain.

"Saya tidak kata dulu saya terikat atau dikongkong cuma masa tidak mengizinkan kerana waktu itu saya banyak terikat dengan drama bersiri di Radius One. Justeru, saya tidak sempat untuk berlakon dengan produksi yang lain.

"Saya juga tidak suka buat banyak drama dalam satu-satu masa, bimbang tidak dapat ditangani nanti. Malah, jika seseorang pelakon terikat dengan drama bersiri memang agak susah untuk kita curi-curi masa," tuturnya.

Ditanya lagi, adakah dia sudah berpatah arang dengan produksi Radius One selepas tidak lagi menjadi isteri orang penting produksi tersebut? Wan menjawab: "Drama terakhir saya bekerja dengan mereka adalah Tari Tirana, selepas itu mereka tidak panggil saya lagi.

Bagi saya, walaupun kami bukan lagi suami isteri tetapi saya masih mampu untuk berlakon secara profesional. Hubungan kami juga masih baik sebagai rakan. Apa yang berlaku sudah menjadi sejarah, apa pun saya harus bekerja untuk teruskan hidup."

Sinonim dengan watak remaja meskipun usia hampir mencecah angka 30 tahun, Wan mengakui selepas bercerai dia lebih banyak menerima watak yang lebih serius dan matang.

"Syukur, selepas bercerai rezeki saya masih ada dan makin banyak berbanding dulu. Ada ketika saya harus tolak beberapa tawaran kerana jadual penggambaran bertembung. Kebanyakan penerbit juga tidak melihat saya Wan Sharmila yang sering melakonkan watak remaja.

"Mereka secara terbuka memberi saya watak yang lebih mencabar dan watak-watak yang tidak pernah saya bawakan sebelum ini," ujarnya.

Malah, kini dia juga lebih berdikari dalam segala hal yang membabitkan urusan kerjayanya berbanding dahulu dia hanya bergantung kepada Radius One.

"Banyak benda yang saya belajar daripada menguruskan jadual sendiri sehinggalah bab memilih skrip. Saya tidak ada pengurus atau pembantu peribadi untuk menguruskan saya jadi saya memang terlalu sibuk buat masa ini.

"Sehingga ada masanya tersalah tarikh ke lokasi penggambaran. Bukan itu sahaja, saya juga terpaksa memandu dari Kuala Lumpur ke Johor untuk penggambaran dan memandu semula ke Kuala Lumpur kerana komitmen yang lain," tuturnya.

Thailand

Tidak mengenal erti penat, kata Wan dia lebih puas menguruskan diri sendiri daripada bergantung kepada orang lain.

"Saya rasa lebih selesa urus diri sendiri, tetapi jika masa depan saya perlukan seorang pengurus peribadi saya tidak akan menolak setakat hari ini belum lagi," terangnya jujur.

Bercakap tentang perkahwinan, meskipun pernah bercerai itu tidak sesekali membuatkan Wan serik berkahwin sekali lagi. Walaupun sibuk dengan kerjaya, kata Wan jika bertemu dengan orang sesuai, dia tidak akan menunggu lama untuk menamatkan zaman solonya.

"Kalau ada, saya tidak menolak. Umur saya bukannya muda lagi. Saya juga mengharapkan yang terbaik," ungkapnya dalam senyuman manis.

Terbaru, Wan terlibat dalam drama Da'Bomba. Drama yang diterbitkan oleh SRS Production sebanyak 13 episod itu mengisahkan kehidupan kejiranan di kuarters bomba dan penyelamat.

Menyelitkan unsur komedi, dalam drama tersebut, Wan membawakan watak isteri kepada ketua balai yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 16 tahun.

Selain Wan, drama tersebut turut dibintangi Elly Suriaty, Anita Baharom, Sharifah Shahora, Rozie Othman, Aida Aris, Azza AF, Rem, Ezani, Razak Ahmad, Hamdan Ramli dan Khairil Anwar.

Selain itu perkhabaran terbaru yang diterima Wan kini berada di Thailand menjalani penggambaran untuk sebuah program terbitan TV1 berjudul Klik Klik Asean. Bertindak sebagai hos program 13 episod itu membawa Wan ke Vietnam, Thailand, Kemboja dan Bali, Indonesia.

Visi Cinta Baru Wan Sharmila


AKTRES genit ini pernah dirundung duka ekoran keruntuhan mahligai cintanya. Namun, dia tidak sekali-kali mempersoalkan ketentuan yang tersurat. Sebaliknya, Wan Sharmila Wan Mohamed atau lebih mesra disapa Wan lebih terbuka menelan kenyataan itu dan tidak pula gentar untuk bercinta lagi.

Kini, dia punya visi baru dalam mendefinasikan cinta yang lebih bererti, katanya. Bukan cinta lelaki yg didambakan tika ini, itu pengakuannya yang selesa bergerak solo, tapi cinta pada karier seni yang kian berkembang.

Bagai bertepatan dengan konsep yg dipadankan, memetik inspirasi diva antarabangsa Mariah Carey di era kemasyhuran lagu Vision of Love, Wan juga senang berkongsi visi cinta barunya itu bersama Mingguan mStar.

Buktinya, Wan makin ligat mengisi hati tidak berpenghuni itu dengan pelbagai tawaran lakonan.

Bukan sekadar sibuk berlakon, aktres dari selatan tanah air ini juga makin dihujani tawaran watak yang lebih variasi dan matang, seiring dengan visinya yang ingin 'bercinta' dengan pelbagai watak.

"Memang saya ingin bercinta. Malah, kini saya sedang mengenali cinta baru ini dengan lebih dekat dan mendalam.

"Cinta saya hari ini adalah kepada karier lakonan. Hari ini, saya telah mula menerima tawaran watak-watak yang berbeza dan lebih matang.

"Jika sebelum ini saya sinonim dengan watak-watak remaja dan ringan, tapi hari ini saya mula menerima watak-watak baru yang lebih mencabar dan matang.

"Semua tawaran baru ini hadir berkat daripada peluang membintangi drama Tari Tirana. Dalam drama itu, saya melakonkan watak yang lebih berat melibatkan emosi.

"Mungkin daripada situ, karyawan kita mula nampak kemampuan saya dan memberi peluang untuk menjayakan watak-watak yang lebih mencabar," katanya.

Bercerita lanjut, Wan berkata sejak awal pembabitannya dalam dunia lakonan, dia selalu berangan-angan untuk membintangi drama atau filem bermutu tinggi yang meninggalkan impak kepada penonton.

Dia mengakui alangkah bertuahnya jika disambar berlakon dalam karya berkualiti seperti sentuhan pengarah Kabir Bhatia dan Erma Fatima.

Katanya, penglibatan dalam karya bermutu adalah medium terbaik untuk orang baru sepertinya meningkatkan mutu lakonan dan meraih populariti.

"Saya selalu berangan berlakon dalam drama atau filem berbeza daripada aspek skrip dan jalan cerita kerana saya percaya jika membintangi karya istimewa seperti itu ia akan membantu meningkatkan mutu lakonan.

"Ramai pengarah hebat seperti Erma Fatima dan Kabir Bhatia yang menghasilkan baik drama mahupun filem berkualiti.

"Kalaulah saya dapat berlakon dalam karya arahan pengarah berkualiti ini tentu saya dapat belajar banyak perkara dalam aspek lakonan.

"Malah, sebagai bonus ia mungkin membantu melonjakkan reputasi saya ke tahap lebih tinggi sebagai pelakon," katanya yang mengidamkan watak yang boleh menyentuh perasaan penonton.

Wan Sharmila Alah Kerongsang Tudung


SEMENJAK aktres genit kelahiran Johor Bahru, Johor ini mula meniti langkah di pentas lakonan tanah air, dia begitu sinonim dengan watak-watak remaja yang berwarna-warni dan penuh ceria.

Namun, atas prinsip ingin memberikan warna terhadap watak yang dijayakan serta memperkembangkan bakat seni yang ada, Wan Sharmila Wan Mohamed atau Wan Sharmila (Wan) menyahut cabaran terbaru sebagai guru sekolah pula.

Bukan sahaja watak itu memberi anjakan terhadap watak lazim yang dibawakannya sebelum ini, peranan sebagai guru bernama Siti Hawa untuk telefilem terbaru Bianglala Di Kaki Langit itu juga bakal menyaksikan wanita berusia 28 tahun ini bertudung buat pertama kalinya.

Menurut Wan, pengalaman membawakan watak Siti Hawa bukan sahaja memaparkan imej lakonan yang lebih matang, malah ia juga pengalaman sulungnya bertudung sepanjang terlibat dalam telefilem arahan Rayromani itu.

"Ini adalah pertama kali saya bertudung dalam lakonan. Malah, watak sebagai guru sekolah juga amat berbeza daripada mana-mana watak yang biasa saya bawa sebelum ini.

"Untuk menjayakan watak Siti Hawa saya perlu tampilkan lakonan yang lebih matang, tenang dan baik serta sopan.

"Pada awalnya saya akui agak kekok dan janggal apabila terpaksa bertudung sepanjang penggambaran. Bayangkanlah saya terpaksa menyarung tudung selama berjam-jam selagi penggambaran tidak habis," katanya.

Selain bertudung buat pertama kali, Wan juga sempat berkongsi satu lagi insiden lucu yang berlaku terhadapnya gara-gara bertudung untuk watak itu.

Dia telah mendapat alahan yang agak serius di bahagian kulit bawah lehernya kerana alah pada kerongsang tudung.

"Saya mendapat alahan pada bahagian leher. Kulit pada bahagian bawah leher menjadi kemerahan, gatal dan timbul ruam.

"Tapi jangan salah faham, bukannya kulit saya mendapat alahan kerana terpaksa bertudung, tapi disebabkan oleh kerongsang tudung yang saya pakai.

"Ketika penggambaran hendak bermula, saya terus beli saja kerongsang yang ada di depan mata, mungkin kulit saya alah pada besi kerongsang itu. Habis kulit leher saya merah dan naik ruam," ceritanya dengan bersungguh-sungguh.

Bercerita lagi tentang watak itu, selain kejanggalan yang dirasainya kerana memainkan watak wanita bertudung, Wan turut berasa kekok apabila memainkan watak seorang guru sekolah menengah.

Apa tidaknya, saiz fizikalnya yang kecil itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa kekok di hatinya apabila terpaksa mengajar pelajar-pelajar sekolah menengah yang rata-ratanya lebih besar dan tinggi daripadanya.

"Saya rasa kekok juga memainkan watak guru kepada pelajar-pelajar yang lebih bear dan tinggi daripada saya.

"Selain itu, ada juga rasa lucu apabila watak Siti Hawa itu memerlukan saya menjadi seorang wanita yang sopan, baik, berbudi-bahasa dan rasa seperti sangat tua daripada usia saya.

"Namun, ia satu pengalaman yang menarik dan lari daripada watak-watak yang biasa saya bawa sebelum ini seperti gadis remaja, pelajar sekolah, gadis yang ceria dan tergila-gila," tambahnya sambil berseloroh.

Persepsi Wan Sharmila


Impian yang ada dalam genggaman itu sangat dihargai, malah anak jati Johor Bahru ini tidak lelah mengasah bakal lakonannya. Usaha keras berhasil apabila dia yang sebelum ini muncul sebagai pelakon pembantu mendapat kepercayaan menghidupkan watak utama dalam siri Tari Tirana yang menghiasi slot Lestary TV3.

Biarpun itu petanda baik dalam kembara seninya, Wan Sharmila Wan Mohamed tidak berani meletakkan sebarang harapan. Ini kerana dia masih hijau dan dalam proses pembelajaran.

"Saya minat berlakon dan menari sejak di bangku sekolah. Ketika menari secara profesional saya berpeluang muncul sebagai model dan ada agensi menyarankan saya berlakon. Ketika itulah saya jumpa abang Ezad.

"Laluan saya tidak semudah disangka. Banyak onak duri terpaksa ditempuhi hingga pernah satu ketika saya hampir berputus asa dan mahu berundur. Mujur saya dikelilingi mereka yang sentiasa berfikiran positif dan tidak jemu-jemu memberi sokongan.

"Saya mula mendapat perhatian selepas muncul dalam Kisah Kaisara arahan Aziz M Osman. Selepas dapat sambutan, Abang Ezad tawarkan saya watak dalam Sindarela, Rona Roni Makaroni dan Tari Tirana.

"Saya terhutang budi padanya kerana percayakan bakat saya, begitu juga Abang Ezad. Bekerja dengan Abang Ezad menuntut saya bekerja keras. Berkawan baik tidak bermakna saya boleh main tangkap muat. Dia tawarkan watak kepada pelakon yang diyakininya," kata bintang Sutun, Emil Emilda, Merah Putih dan Air Mata Azizah ini.

Barangkali tidak ramai tahu Tari Tirana adalah kombinasi ideanya dan Ezad. Bekas penari Noraniza Idris ini pernah mengikuti kelas tarian koreografer terkenal, Linda Jasmin.

Di situlah tercetusnya idea menghasilkan cerita gadis yang suka menari dan sanggup melakukan apa saja untuk merealisasikan cita-citanya.

"Ketika mengikuti kelas cikgu Linda, saya kagum dengan tubuhnya yang cantik. Kebetulan ketika itu saya berisi. Saya bercerita dengan Ezad dan kami nampak ada potensi untuk visualkan satu kisah menarik mengenai dunia tarian ke layar kaca.

"Idea ini sudah lama, malah Ezad mahu arah drama ini sebelum Sindarela, tetapi apabila meletakkan nama saya sebagai pelakon utama, cadangan itu ditolak TV3.


"Ezad sanggup menangguhkan projek ini semata-mata mahu kekalkan saya sebagai tonggak cerita. Apapun saya bersyukur kerana selepas Sindarela, TV3 memberi laluan kepada Tari Tirana," katanya yang berkampung di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya, sejak Jun lalu bagi menjayakan 23 episod siri ini.

Mengulas lanjut watak Tirana, dia berkata, pengarah mahukan penampilan manja dan hampir dengan dirinya. Tidak hairan mengapa watak berkenaan sangat dekat di hati, malah tidak jauh berbeza dengan keperibadian sebenarnya yang periang dan mencintai tarian.

"Ada yang pertikai kebolehan saya menari dan mengharapkan sesuatu yang lebih hebat. Hakikatnya, apa yang cuba kami sampaikan Tirana tidaklah hebat sangat menari tetapi sanggup berusaha keras kerana minat.

"Saya seronok menjayakan watak Tirana, apatah lagi kebanyakan rakan penari dalam siri ini boleh menari dan ada yang pernah menari secara profesional.

"Jika ada babak tarian, saya akan berlatih selama dua hari sebelum penggambaran. Pengalaman menari sebelum ini banyak membantu saya di lokasi," kata anak bongsu daripada dua beradik ini.

Mengulas kritikan penonton yang mengatakan siri berkenaan tidak mempamerkan budaya Melayu dan merosakkan remaja, bekas hos Ringgit Remaja ini berkata, apa yang cuba dipaparkan Ezad adalah realiti muda-mudi masa kini.

"Abang Ezad visualkan apa yang dia bayangkan dalam perjalanan hidup Tirana. Dia mungkin mahu cerita ini lebih berwarna-warni dan 'real' untuk tarik perhatian penonton.

"Bagi saya, bukan menjadi kesalahan jika tampilkan remaja lebih 'trendy' seperti dalam Tari Tirana biarpun di luar lokasi saya tidak pernah berpakaian macam Tirana.

"Kalau ada yang tidak suka, terutama penonton berusia, itu perkara biasa. Soal jahat atau penampilan seksi ada sebabnya. Ia boleh dijadikan sempadan dan jangan diikut. Saya percaya masyarakat pandai menilai baik buruk sesuatu perkara," katanya.

Sinonim dengan watak gadis manja, mengada-ngada dan periang mengundang persepsi negatif segelintir masyarakat yang mengguris hatinya. Jauh di sudut hati dia tertanya-tanya mengapa dicop gedik, sedangkan dia sekadar memenuhi kehendak watak dan skrip.

"Saya tidak boleh tutup mulut orang tetapi bohonglah kalau saya cakap tak kecil hati. Terus terang, saya sedih bila mereka terus cop saya gedik tanpa cuba mendekati saya.

"Saya jenis manja dan periang, mungkin orang salah tafsir bila melihat cara saya bercakap dan bergurau. Tidak mustahil juga jika persepsi itu timbul bila ada yang terpengaruh dengan watak yang saya jayakan sebelum ini, lebih-lebih lagi dalam siri Sindarela.

"Kebetulan pula kebanyakan tawaran yang datang menjurus watak sama dan sebagai pendatang baru saya tidak boleh terlalu memilih watak. Lagi pula saya dalam proses belajar mendalami selok-belok bidang ini.

"Bila Tari Tirana ditayangkan, banyak kritikan saya terima. Sampai satu tahap, saya tidak dapat menahan air mata kerana terlalu sebak. Saya berusaha buat sebaik mungkin tapi masih ada yang mempertikaikannya.

"Kadangkala saya serba salah bila tahu ada juga rakan artis beranggapan serupa. Bila saya diam mereka kata saya sombong, tetapi bila ramah cop saya gedik. Sebab itu kadangkala saya diam di lokasi dan hanya selesa berbual dengan mereka yang memahami saya," katanya yang mengharapkan pengertian ramai supaya tidak terus membuat tuduhan melulu.

Tidak cukup dicop gedik, dia pernah dikritik hebat kerana penampilannya yang seksi. Apabila perkara ini diajukan kepadanya, sambil ketawa Wan Sharmila berkata, dia tidak pernah berasakan dirinya seksi.

Sudah jadi kebiasaannya berseluar atau berskirt pendek apabila keluar rumah. Pun begitu teguran berkenaan dipandang serius, malah dia kini lebih berhati-hati supaya tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.

"Mungkin saya boleh jadi diri sendiri bila bersama keluarga tetapi di depan khalayak saya perlu bijak memilih pakaian sesuai. Setiap kritikan orang ramai saya jadikan pedoman dan cuba memperbaiki diri dari semasa ke semasa," kata pemilik suara nyaring ini.

Berbual dengannya memang menghiburkan, malah dia berusaha menjawab soalan sebaik mungkin biarpun kurang selesa bila menyentuh perihal kehidupan peribadi.

Diminta mengulas desas-desus rumah tangga yang dikatakan bergolak, Wan Sharmila dengan lembut menolak kerana menjadi prinsipnya dari awal kemunculan untuk tidak berbicara soal peribadi.

"Saya tidak pernah rahsiakan status, tetapi cukuplah masyarakat sekadar tahu saya sudah berkeluarga. Selebihnya biarlah bercerita soal kerjaya kerana saya tidak mahu cerita rumah tangga lebih diberi perhatian berbanding karier saya.

"Saya harap media faham dan menghormati permintaan saya," katanya yang terbabit dengan penggambaran musim terbaru Kisah Kaisara 24 Oktober ini yang akan ditayangkan di laman sesawang Kotex.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails