Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Urus anak bersama suami - Irma Hasmie

MEMORI Ramadan ketika berada di kota Madinah dan Mekah pada tahun 2011 membuatkan hati pelakon dan pengacara cantik, Irma Hasmie, dijentik perasaan sayu dan rindu yang mendalam. Bagi figura berusia 31 tahun itu, perasaan syukur dan nikmat tatkala mengerjakan umrah pada dua minggu terakhir Ramadan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Luahnya, segala memori ketika berada di kota Mekah dan Madinah masih utuh di dalam kotak fikirannya sehingga kini. "Mengerjakan umrah pada dua minggu terakhir Ramadan bersama sahabat baik, Eenaz Mokhtar pada tahun 2011 membuatkan saya berasa sangat rindu. "Itulah kali pertama saya menikmati suasana Ramadan di Mekah dan Madinah bersama saudara Islam dari pelbagai negara menjalankan ibadah seperti tarawih dan qiam," ulas pelakon yang mempunyai diploma dalam jurusan kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu. Walau bagaimanapun, lain pula suasana Ramadan Irma pada tahun ini apabila dia tidak lagi menyambutnya berdua bersama suami, Redza Syah Irfhan seperti tahun lalu. Sebaliknya, kali ini Ramadan dinikmati bertiga dengan kehadiran zuriat sulung mereka, Reza Syah Irfhan. Di samping perlu menjaga Irfhan dan juga melakukan kerja sebagai anak seni, pelakon drama Awan Dania itu mengakui, perlu menguruskan masa dengan baik bagi melaksanakan tanggungjawabnya terhadap penciptanya. "Bulan Ramadan tahun ini saya tetap bekerja seperti biasa tetapi akan banyak luangkan masa di rumah bersama keluarga dan keluarga mertua. "Begitupun, fokus saya lebih kepada mengerjakan ibadah pada bulan Ramadan yang penuh barakah," jelasnya. Rezeki bangun sahur Mengulas lanjut mengenai Ramadannya tahun ini, ujar Irma, dia menganggap bangun sahur setiap hari memberikan banyak keuntungan kepada dirinya, juga kepada umat Islam yang melaksanakannya. Baginya, sahur yang dinikmati bersama suami bukan sahaja memberinya kekenyangan, sebaliknya memberinya kekuatan untuk mengerjakan ibadah di bulan Ramadan. "Nabi SAW pernah berkata, sahur itu berkat, oleh itu janganlah kamu meninggalkannya walaupun dengan meminum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur," tuturnya yang sudah menerbitkan sebuah buku hasil nukilan dirinya sendiri.
Berbicara lanjut mengenai buku hasil tulisannya itu, ujar Irma, dia bersyukur kerana buku berjudul Smile, nukilannya bersama penulis Zambri Mohd. itu sudah diulang cetak sebanyak dua kali. Selain itu, jelas Irma, dia juga baru menceburi dunia perniagaan busana Muslimah, Debumas sejak awal Jun lalu. "Idea untuk membuka perniagaan busana Muslimah ini timbul atas permintaan ramai. "Ini kerana sebelum ini ramai yang datang kepada saya dan beritahu mereka suka jubah yang saya pakai. Mereka tanya beli di mana dan saya kata ia adalah hasil rekaan sendiri. "Jadi, sejak itu saya mula terdetik untuk membuka perniagaan busana Muslimah. Saya reka dan kemudian hantar pada tukang jahit. Setiap rekaan adalah eksklusif dan hanya ada tiga warna. "Setakat ini Alhamdulillah, rekaan jubah saya mendapat sambutan yang mengalakkan. Harganya sekitar RM100 hingga RM200. Kini kami masih dalam proses untuk mengeluarkan stok baharu," katanya. Tiada pengasuh Walaupun tiada pembantu rumah juga pengasuh, namun tidak menjadi masalah besar buat Irma dan suami untuk menjaga anak sulung mereka itu yang kini mencecah usia tiga bulan.
Sebaliknya, mereka bergilir-gilir menjaga bayi mereka. Semuanya berkat permintaan suami Irma yang mahu anak mereka dijaga sendiri tanpa bantuan pengasuh. "Alhamdulillah, saya belajar uruskan anak sendiri. Kami tidak ambil pembantu. "Saya bersyukur kerana memperoleh anak yang baik dan tidak kuat meragam. "Waktu berjaga dia, sebelah pagi selepas subuh sampai waktu tengah hari. Kemudian dia akan mula berehat. "Sebelah malam pula selalunya Irfhan akan bangun untuk menyusu dua atau tiga kali. Selebihnya dia akan tidur. "Jika pada waktu saya mengendalikan program Assalamualaikum, suami akan jaga anak. Tamat program pada pukul 10 pagi saya akan pulang menjaga Irfhan pula," jelasnya. Mengulas lanjut, menurut Irma, Irfhan menyusu badan, jadi dia tidak boleh meninggalkan anaknya dalam tempoh waktu yang panjang. Disebabkan itu juga, dia tidak mengambil sebarang tawaran berlakon kerana mahu memberi tumpuan kepada anaknya yang masih menyusu badan. Ditebak mengenai perkembangan anaknya, ulas Irma, anaknya itu sudah pandai meniarap dan ketawa apabila diagah. Bekerja di Aidilfitri Keinginan untuk menyambut Syawal bersama anak dan suami tidak tercapai apabila Irma diminta bertugas secara langsung untuk TV Al Hijrah. "Pada pagi 1 dan 2 Syawal saya kena bekerja, bersiaran langsung untuk TV Al Hijrah. "Pada 3 Syawal nanti baru saya dapat pulang ke kampung," ujarnya yang mengakui sangat menggemari hidangan rendang ayam ketika raya. Menyingkap mengenai kehidupan seninya sejak bergelar ibu, Irma kini dilihat semakin kurang berlakon. Ditebak sama ada sudah mengambil keputusan meninggalkan dunia lakonan, ujar Irma, dia masih lagi berlakon dan bakal aktif semula berlakon selepas Ramadan nanti. "Saya masih berlakon, cuma saya baru sahaja habis berpantang 100 hari. Insya-Allah, saya akan mula menerima balik tawaran selepas Ramadan nanti. "Memang saya rindu sangat mahu berlakon tetapi saya harus mengutamakan keluarga dan ibadah di bulan Ramadan dulu," ulasnya yang turut mengendalikan program khas bertemakan Ramadan berjudul Satu Perjuangan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails