Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Aaron Aziz. Show all posts
Showing posts with label Aaron Aziz. Show all posts

Tiga Anak Punca Aaron Aziz Berjaya Pertahankan Rumah Tangga

Pelakon Aaron Aziz memberitahu tiga anaknya merupakan kekuatan utama dalam hubungan rumah tangga dia dengan isteri Diyana Halik, 34, sehingga ia mampu bertahan hampir 12 tahun. Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 39, berkata, ketiga-tiga anaknya menjadikan dia lebih banyak bersabar selain menjadi peringatan agar sentiasa melalui kehidupan susah dan senang bersama isterinya itu. "Hubungan kami tidak pernah diganggu oleh orang ketiga kerana bagi saya kuota untuk berkahwin tiga seperti yang selalu diperkatakan itu sudah dipenuhi oleh tiga orang anak saya. "Pada saya anak-anak yang membuatkan hubungan kami kuat dan menjadikan saya lebih banyak bersabar," ujarnya kepada mStar Online. Pasangan yang berkahwin pada 3 Ogos 2003 itui dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Danish Anaqi, 10, Dwi Ariana, 8, dan Dahlia Arissa, 4. Dalam pada itu, Aaron tidak menafikan rumah tangganya turut melalui fasa pergolakkan dan diuji dengan pelbagai masalah. Bagaimanapun masalah tersebut dapat diselesaikan apabila ia tidak diperbesar-besarkan sehingga mencetuskan masalah yang lebih berat. "Setiap perkahwinan lima tahun atau 50 tahun sekalipun pasti akan ada masalah, ini kerana setiap perkahwinan akan sampai satu tahap yang akan diuji. "Begitu juga kami, tapi saya dan Diyana mempunyai sifat yang kontra yang mana saya cepat marah dan kual membebel, manakala Diyana lebih banyak diam dan merajuk yang kadang-kadang sampai seminggu. "Namun, perjalanan hubungan kami daripda tidak ada apa-apa hingga ke sekarang membuatkan kami lebih menghargai antara satu sama lain," ujarnya. Aaron turut mengakui ramai kawan terdekat yang meminta pendapat dan nasihat daripadanya untuk melayari rumah tangga. Katanya, apa yang diamalkan dalam hubungan rumah tangganya selama ini ialah sentiasa berpegang kepada cinta, kasih dan amanah. "Saya selalu lihat bagaimana hubungan ayah dan ibu saya, jadi saya aplikasikan dalam rumah tangga kami. Ada ramai kawan-kawan yang minta nasihat dan tip untuk mulakan fasa rumah tangga. "Saya hanya berpegang kepada tiga prinsip iaitu pegang pada cinta, jika tiada cinta kita pegang pada kasih dan jika sudah tiada kasih, kita perlu jaga amanah yang dipertanggungjawabkan," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Aaron bakal tampil bergandingan dengan pelakon Siti Saleha dalam filem televisyen berjudul Cinta Paling Agung yang bakal ditayangkan di Astro First Eksklusif sempena Aidilfitri bermula 17 Julai ini. Menerusi karya arahan sutradara terkenal Indonesia, Hanung Bramantyo itu Aaron memainkan watak sebagai Khairi iaitu seorang lelaki yang telah berkahwin dengan Amyza dan mempunyai seorang anak bernama Hanna. Rumah tangga Khairi dan Amyza bergolak apabila timbul orang ketiga iaitu Dewi lakonan pelakon Indonesia Zaskya Ada Meca.

Aaron Aziz Kesal Baju Melayu Tiruan Guna Namanya

Pelakon Aaron Aziz kesal dengan tindakan segelintir peniaga yang mengambil jalan mudah dengan meniru jenama Baju Melayu Aaron Aziz yang dikeluarkan oleh Jakel. Aaron berkata, tindakan itu boleh menjejaskan jenama Baju Melayu itu yang asli berikutan kualiti yang digunakan oleh baju tiruan tidak memuaskan. “Saya kesal apabila mendapat tahu ada Baju Melayu jenama Aaron dikeluarkan oleh pihak lain yang cuba mengambil kesempatan pada musim perayaan ini. “Saya ada lihat mereka menggunakan nama 'Aaron Jakel' atau 'Zizan Jakel' dan menjualnya dengan harga yang sangat murah dan tidak berkualti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jom Beraya bersama Aaron Aziz dan Zizan Razak, di Wisma Jakel, di sini, Sabtu. Sementara itu, Aaron yang dilantik menjadi duta bagi tahun kedua jenama pakaian itu berharap agar peminat-peminatnya tidak terpedaya dengan jenama tiruan tersebut. Katanya, perkara tidak bertanggungjawab itu seharusnya tidak mendapat sokongan daripada pembeli terutamanya peminat-peminatnya. “Mereka mengambil kesempatan terhadap usaha orang lain, saya dan tenaga kerja yang lain bersusah payah untuk menjenamakan produk ini, sebaliknya mereka dengan mudah mengaut keuntungan,” katanya.

Berita Aaron Aziz Meninggal Dunia Berita Palsu!

Tergelak besar sekejap bila kami mendengar berita ini. Pelakon kesayangan ramai Aaron Aziz diberitakan meninggal dunia. Yang buat kami tergelak, beliau dikatakan meninggal sewaktu mengalami kemalangan ketika sedang bermain luncur salji di Zermat Ski Resort, Switzeland. Ya, berita kematian memang tak boleh dibuat main - kami serius! Pagi ini, sedang kami semua kelam kabut menyediakan berita-berita terbaik untuk tatapan para pembaca MD pagi ini, penulis mendapat satu panggilan telefon dari seorang teman, katanya, "Nak tanya ni, betul ker Aaron Aziz meninggal dunia? Masa main salji kat Switzeland. Ada kat internet", kata si teman. "Hah?! Mana dapat cerita ni???, terkejut penulis dibuatnya. Tiba-tiba meja hiburan kami jadi kecoh dengan berita itu. Namun setelah dipastikan, berita kematian pelakon Aaron Aziz yang tersebar di internet adalah palsu belaka. Dari pemantau kami menerusi Twitter dan Instagram milik Aaron - dua hari lalu pelakon filem KL Gangster 2 ni memaklumkan dia berada di Doha.
Dan kali terakhir pelakon ini mengemaskini di lama Instagramnya ialah semalam, di mana Aaron meluahkan rasa rindunya kepada anak perempuan.
Kami doakan Aaron dalam keadaan baik-baik saja.

Aaron sudah keluar hospital, bersedia ke Cape Town

Pelakon popular Aaron Aziz, 37, sudah dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Prince Court di sini, semalam. Isterinya, Diyana Halik berkata, Aaron dibenarkan pulang ke rumah selepas pelakon itu mendapat suntikan sebanyak tiga kali. "Doktor telah memberi tiga suntikan steroid di bahagian lehernya dan memberitahu suntikan itu boleh bertahan selama sebulan. "Sebab itu dia dibenarkan pulang ke rumah semalam. Memandangkan suntikan itu boleh bertahan sebulan, insya-Allah, bolehlah dia pergi Cape Town untuk program Fear Factor musim kedua. "Dia akan ke sana awal Oktober ini," jelasnya kepada Utusan Online di sini hari ini menerusi aplikasi Whatsapp. Aaron yang popular menerusi filem Ombak Rindu dimasukkan ke hospital Selasa lalu kerana menghidap sakit sendi tengkuk yang menyebabkan leher senget sebelah dan tidak boleh banyak bergerak pada bahagian terbabit. Menurut Diyana, Aaron mula berasa sakit sejak seminggu lalu namun dia menahannya kerana mahu menyelesaikan penggambaran sebuah telefilem. "Memandangkan suntikan itu hanya bertahan selama sebulan, jadi selepas balik dari Cape Town nanti, dia perlu menjalani rawatan fisioterapi untuk susulan," katanya. Berita Aaron dimasukkan ke hospital menjadi perhatian ramai kerana sehari sebelum ditahan di wad pelakon filem KL Gangster 2 itu memuat naik gambar imbasan sinar-X tulang belakangnya di laman sosial Instagram. - UTUSAN ONLINE

FDAM Mohon Maaf, Akan Pulangkan Wang Aaron Aziz

Persatuan Sutradara Filem Malaysia (FDAM) akan memulangkan semula lebihan wang daripada pembayaran RM1,500 yang dibuat oleh pelakon Aaron Aziz untuk menjadi ahli persatuan itu selepas timbul salah faham berhubung taraf kerakyatannya di negara ini. Presiden FDAM, Othman Hafsham, 72, berkata, jumlah amaun itu sepatutnya dibayar bagi mereka yang bukan warganegara Malaysia. "Saya mewakili pihak FDAM memohon maaf atas kesilapan mengenai hal pembayaran yuran Aaron. Orang yang menjaga hal-hal itu mungkin tidak peka dengan status Aaron yang kini sudah mendapat taraf penduduk tetap di negara ini. "Diharap Aaron dapat hadir ke pejabat kami untuk menerima semula baki wang yuran berkenaan. "Bagaimanapun, saya cuba menghubungi Aaron sejak pagi tadi (Rabu), tetapi tidak berjawab," katanya yang dihubungi mStar Online pada Rabu. Beritahu Othman, sepatutnya, bagi warganegara Malaysia, yuran ahli yang dikenakan hanyalah RM300 sahaja manakala yang bukan warganegara perlu membayar RM1,000. Menerusi laman Instagram milik Aaron pada Selasa lalu, dia memaparkan sekeping resit pembayaran selepas mendaftar sebagai ahli persatuan tersebut yang dilakukan pada 14 April lalu. Aaron juga meluahkan rasa tidak puas hati dengan bayaran yang tinggi dikenakan terhadapnya. Malah, Aaron juga terkilan apabila pihak FDAM tidak meneliti statusnya sebagai penduduk tetap negara ini selain menuduhnya sebagai pekerja asing yang tidak tahu peraturan selepas mendapat peluang mengarah filem Romeo Kota, terbitan Excellent Pictures tanpa menjadi ahli persatuan itu. Terdahulu, pihak FDAM mendakwa Aaron belum mendaftar sebagai ahli sewaktu memulakan pengarahannya sehingga menyebabkan pihak penguat kuasa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan FDAM menyerbu lokasi penggambaran filem itu pada 3 April lalu. Sementara itu, penerbit Excellent Picture iaitu Ahmad Idham mengakui tentang kedudukan Aaron yang tidak menjadi ahli persatuan berkenaan ketika menawarkannya mengarah filem berkenaan. Kata Idham, dia turut memohon maaf kerana tidak peka dengan perkara tersebut kerana beranggapan Aaron hanya boleh mendaftar selepas dia diberi peluang mengarah sebuah filem bagi tujuan rujukan pihak FDAM. "Memang saya tahu Aaron bukan ahli FDAM sebelum ini dan saya mengambil dia sebagai pengarah atas penilaian saya terhadapnya yang begitu efisien dalam kerja. "Lagipun biasanya sebelum ini pihak FDAM mahu melihat profil pengarah yang mana mereka haruslah berpengalaman mengarahkan sekurang-kurangnya sebuah karya sebelum diberi kad ahli FDAM. . "Maka saya menganggap Aaron juga akan mendaftar selepas menyiapkan penggambaran Romeo Kota. Tapi tak sangka pula ketika di set penggambaran, kami diserbu tanpa sebarang notis," ujarnya. Tambah Idham, dia berharap perkara seperti ini tidak akan berulang lagi kerana ia sedikit sebanyak boleh mengganggu kerja-kerja produksi dan meminta mana-mana pihak persatuan seni negara ini peka sebelum bertindak.

Aaron Aziz Sahut Cabaran Jadi Pengarah Filem

Pelakon Aaron Aziz akhirnya menyahut cabaran untuk bergelar pengarah apabila penerbit Ahmad Idham menawarkannya untuk mengarahkan filem terbaharu terbitan Excellent Pictures berjudul Romeo Kota. Aaron berkata, dia yang pada mulanya hanya ditawarkan berlakon dalam filem berkenaan bersetuju dengan pelawaan itu selepas menyedari ia peluang besar untuk kariernya. "Pada awalnya pembabitan saya dalam filem ini adalah sebagai pelakon sahaja namun apabila dipelawa oleh Ahmad Idham untuk duduk di kerusi pengarah saya bersetuju. "Ini adalah peluang saya meningkatkan ilmu bukan sahaja dalam bidang lakonan tetapi pengarahan dan berterima kasih kepada pihak penerbit kerana memberikan kepercayaan kepada saya," jelasnya kepada mStar Online. Aaron memberitahu penggambaran filem yang menggandingkannya dengan Nabil (Raja Lawak) sebagai watak utama itu sedang dijalankan bermula 26 Mac lalu di sekitar Lembah Klang. Filem yang mengangkat genre aksi dan komedi itu mengisahkan mengenai dua anggota polis yang menyamar untuk menyelesaikan satu kes jenayah di sebuah kolej. Dalam pada itu, Aaron berkata, walaupun penat dan tertekan untuk mengimbangi peranannya sebagai pengarah dan pelakon dalam filem itu namun dia dapat mengawal situasi dengan baik. Malah katanya, banyak perkara yang dapat dipraktikkan hasil daripada pemerhatian dan pembelajaran ketika bekerja di bawah pengarah lain sebelum ini. "Pengalaman mengarahkan beberapa buah drama dan projek kecil lain seperti klip video membuatkan saya yakin untuk mengarahkan filem ini. "Walaupun penat saya akan memastikan hasil kerja pertama saya ini akan dapat dibanggakan," ujarnya. Tambah Aaron, Ahmad Idham juga banyak membantunya ketika di lokasi terutama sekali dari segi aspek teknikal filem tersebut. Dalam perkembangan lain, Aaron berkata, selain Romeo Kota, dia akan kembali ke set penggambaran sebuah drama bersiri terbitan Global Station untuk siaran Astro. Selain itu, Aaron berkata, drama bersiri Adam dan Hawa yang mendapat sambutan hangat penonton bakal difilemkan namun memberitahu ia masih dalam peringkat perbincangan.

Aaron Aziz Enggan Mengacara Secara Langsung

Pelakon Aaron Aziz enggan mengambil sebarang tawaran mengacara program berbentuk siaran langsung kerana mengalami masalah stage fright iaitu takut berada di atas pentas, berdepan dengan orang ramai. Aaron berkata, walaupun sudah 13 tahun bekerja dalam industri seni tanah air, dia masih lagi mempunyai sikap pemalu untuk melakukan sesuatu di depan orang ramai dan pada masa sama resah apabila berdepan dengan kamera secara langsung. "Memang diakui saya seorang yang ada masalah stage fright dan lebih senang dengan kerja-kerja lakonan berbentuk rakaman. "Begitu juga dengan pengacaraan, saya tidak akan menerima tawaran mengacara secara langsung. Boleh resah dibuatnya," selorohnya. Aaron ditemui pada Majlis Tayangan Episod Kemuncak Fear Factor Selebriti Malaysia di The Square, Publika, di sini pada malam Sabtu. Fear Factor Selebriti Malaysia dihoskan oleh pelakon Aaron dan mula menemui penonton sejak 29 Disember lalu. Tambah Aaron, bagaimanapun buat sementara ini dia hanya mengacarakan Fear Factor yang mungkin akan disambung musim seterusnya pada tahun depan dan enggan mengambil sikap terburu-buru dalam memilih tawaran yang diberi sekiranya ada. "Buat masa ini, cukup untuk Fear Factor dahulu. Bukan mudah untuk mengacara, seperti dalam program realiti ini, saya perlu faham dan perjelaskan setiap peralatan yang digunakan peserta kepada penonton. "Bagi saya banyak latihan yang diperlukan untuk menjadi pengacara yang bagus dan biarlah saya tumpukan pada lakonan sahaja," tuturnya. Dalam pada itu, Aaron juga menerima segala kritikan daripada penonton sepanjang mengendalikan program tersebut dan menganggap ia sebagai satu pelajaran untuknya mengacara dengan lebih baik. "Diakui memang saya menerima pelbagai respons tentang pengacaraan saya sama apa yang baik atau buruk. Dan tidak kisah dengan kritikan itu. "Malah segala kritikan yang diberi saya ambil serius dan mengubah cara pengacaraan agar jadi lebih baik," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Aaron kini sibuk mengarahkan sebuah filem berjudul Romeo Pota di bawah terbitan syarikat miliknya iaitu Aaron Aziz Production.

Aaron aziz jadi guru

TIDAK dinafikan program yang berunsurkan hiburan serta pendidikan, Oh My English! bukan sahaja diminati oleh kanak-kanak, malah ia juga ditonton oleh golongan dewasa. Melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan pada musim pertama, pihak Astro telah meneruskan keseronokan belajar bahasa Inggeris yang menampilkan 20 episod untuk Oh My English! musim kedua. Memfokus terhadap gelagat guru-guru dan murid-murid yang belajar bahasa Inggeris dalam kelas tingkatan 3 merah, musim kedua bakal menampilkan dua orang guru serta pelajar-pelajar baharu yang pasti akan menggamatkan lagi suasana. Empat orang karakter baharu yang diperkenalkan kali ini ialah Aaron Aziz sebagai Cikgu Malik, Tiz Zaqyah (Cikgu Ayu), Shafie Naswip (Azlan) dan Iezahdiyana (Hani). Berbekalkan barisan pelakon yang mantap dan jalan cerita yang padat dengan jenaka, Oh My English! musim kedua masih lagi menerapkan unsur ilmiah yang menjadi fokus utama program ini. “Oh My English! telah dilancarkan buat kali pertama pada Mei 2012, dan sejak itu telah menerima respons yang sangat luar biasa bagi sebuah program pendidikan. “Rancangan ini telah memenangi hati masyarakat Malaysia. “Bukan itu sahaja, malah tajuk program ini juga telah menjadi ungkapan harian yang popular dalam kalangan golongan belia Malaysia. “Justeru, sokongan peminat ini memberikan kami inspirasi dan menguatkan lagi azam kami untuk menyampaikan kandungan yang lebih baik bagi musim kedua,” jelas Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-kanak Astro, Yasmin Megat. Selain itu, Oh My English! musim kedua juga bakal menampilkan beberapa penampilan khas yang pasti membuatkan penonton lebih teruja. Antara yang bakal muncul ialah Lisa Surihani, Rozita Che Wan, Yus Jambu dan Datuk Aznil Nawawi. Aaron yang ditemui pada sidang akhbar di Sekolah Wawasan, USJ 15, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini meluahkan rasa keterujaannya dapat bekerjasama dengan kru produksi Oh My English!. “Saya memang sangat gembira dan apabila ditawarkan, saya tidak pernah terfikir akan diberi watak sebegini. Tidak dinafikan, ia pengalaman yang berbeza dan sangat seronok. “Maka, saya terus bersetuju kerana tidak dinafikan anak-anak saya juga sangat menggemari program ini. Saya buat ini untuk melunaskan permintaan anak-anak saya dan juga untuk memberi hiburan kepada kanak-kanak di luar sana,” beritahu Aaron. Jangan lupa saksikan tayangan perdana musim kedua Oh My English! pada hari Ahad, 31 Mac ini pukul 7.30 malam di saluran Astro TVIQ (saluran 610) dan Mustika HD (saluran 134).

Aaron Aziz Tidak Kecil Hati Dikritik Kerana 'Fear Factor'

PETALING JAYA: Pelakon Aaron Aziz tidak berkecil hati apabila ada pihak menyifatkan gaya pengacaraannya dalam program Fear Factor Selebriti Malaysia hambar. Aaron berkata, beliau terbuka menerima pandangan daripada peminat yang disifatkan mengambil berat terhadap dirinya dan akan memperbaiki kekurangan itu pada masa hadapan. "Fear Factor adalah program yang paling besar pernah saya terlibat sebagai pengacara dan pastinya ia memberikan sedikit tekanan sehingga kekurangan dapat dilihat dengan jelas. "Bagaimanapun saya tidak berkecil hati dengan komen-komen peminat kerana ia sebagai peringatan untuk buat lebih baik selepas ini," jelasnya kepada mStar Online. Aaron ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Kerat 14 yang menggandingkannya dengan pelakon Siti Saleha. Ia bakal ditayangkan pada 14 Februari ini. Dalam pada itu, Aaron berkata, pengacaraannya kelihatan hambar mungkin turut disebabkan kesihatannya yang terjejas sehingga dimasukkan ke sebuah hospital di Cape Town, Afrika Selatan ketika penggambaran. Kata Aaron, walaupun belum pulih sepenuhnya dia terpaksa mengagahkan diri untuk menyambung penggambaran bagi mengelakkan jadual yang telah diatur pihak produksi tidak tergendala. "Hampir lima hari saya dimasukkan ke hospital kerana mengidap pneumonia tahap awal dan jika melenggahkan penggambaran ia akan memberi kesan kepada semua pihak dan saya perlu mengagahkan diri. "Alhamdulillah sokongan semua kawan-kawan dan krew telah melancarkan proses penggambaran," jelasnya. Bagaimanapun kata Aaron, pihak produksi tidak memberi sebarang ulasan buruk terhadap cara pengacaraannya sebaliknya berpuas hati dengan persembahannya. Sementara itu, bercakap mengenai karektornya dalam Kerat 14, Aaron memberitahu dia menerima tawaran itu kerana watak tersebut berbeza dengan apa yang pernah diterimanya sebelum ini. Selain Kerat 14, Aaron juga bakal muncul dengan beberapa lagi filem pada tahun ini seperti Lari, KL Gangster 2 dan Dampak.

Aaron nafi isteri pilih heroin lakonan

SEBARANG cerita yang melibatkan Aaron Aziz semua orang ingin tahu sehinggakan timbul kisah yang peminat fanatik aktor kacak itu marah-marah apabila Aaron dikatakan ‘tangkap muat’ dengan menerima tawaran berlakon drama dan filem yang dirasakan tidak sesuai dengan status dirinya sebagai ‘Hero Pujaan Malaya’. Mengambil contoh filem Datin Ghairah dan terbaharu, Ngorat yang dikatakan tidak sesuai dibintangi Aaron, peminat juga mahukan Aaron lebih selektif dalam pemilihan drama mahupun filem selepas ini. Itulah penangan pelakon yang membawakan watak Adam dalam drama hebat yang kini ditayangkan di Astro, Adam & Hawa. Akibat daripada populariti yang diraih Aaron, 36, tempiasnya turut terkena isteri Aaron, Diyana Halik, 30, yang juga ibu kepada tiga anak mereka, Danish Anaqi, 8 tahun, Dwi Arinna, 6 tahun dan Dahlia Arissa, 2 tahun. Cerita mengenai Diyana yang dikatakan sering mengawal Aaron dan kuat cemburu bukan lagi perkara baharu. Perkara itu menjadi bertambah hangat apabila kelmarin, akhbar Kosmo! Ahad dalam ruangan gosipnya menampilkan kisah seorang isteri kepada aktor yang dilabelkan sebagai menjadi ‘pujaan Malaya’ ketika ini. Isterinya itu dikatakan sudah berani memberi cadangan bagi menentukan calon heroin yang sesuai bergandingan dalam produksi lakonannya. Dalam perkataan yang mudah, isteri aktor itu membuat cadangan aktres yang boleh bergandingan dengan suaminya itu. Biarpun tidak menyebut nama Aaron dan Diyana, namun umum boleh mengagak gosip ditujukan kepada pasangan Aaron dan Diyana. Enggan membuat sebarang telahan palsu, Kosmo! menghubungi Aaron untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu. Kosmo!: Ada peminat yang kurang senang apabila Aaron berlakon dalam filem-filem ringan seperti Datin Ghairah dan Ngorat. Boleh Aaron komen? AARON: Sebagai pelakon saya bukan diva yang suka memilih watak. Saya juga tidak mahu orang menganggap hanya memilih watak-watak yang serius sahaja. Watak dalam filem Ngorat adalah satu watak berlainan yang harus saya cuba. Adakah selepas ini Aaron akan berlakon lagi dalam drama mahupun filem-filem ringan walaupun peminat tidak suka? Ya, saya akan terima. Saya juga tidak mahu timbul cerita yang mengatakan saya memilih watak. Walau bagaimanapun, saya akan lihat terlebih dulu watak dan jalan cerita sama ada ia sesuai dengan saya. Setiap drama dan filem lakonan Aaron semuanya mendapat sambutan hebat. Bagaimanakah penerimaan Aaron terhadap perkara itu? Saya anggap itu sebagai rezeki namun tidak bermakna semua drama mahupun filem lakonan saya akan mendapat sambutan hebat. Apa yang boleh saya cakapkan, drama-drama dan filem-filem lakonan saya sukses disebabkan pelbagai faktor seperti jalan cerita, skrip, arahan dan juga daripada semua tenaga produksi. Sekarang ini, drama lakonan Aaron iaitu Adam & Hawa begitu mendapat sambutan selepas drama Nora Elena pada tahun lepas. Apakah perasaan Aaron tentang perkembangan tersebut? Saya rasa drama itu popular hasil daripada impak novel itu sendiri yang popular dan laris di pasaran. Jika dahulu isteri anda dikhabarkan mengawal anda, kini timbul cerita mengatakan Diana menentukan siapakah heroin yang layak berlakon di samping anda. Benarkah? Tidak adalah. Sebenarnya ia terpulang kepada pihak produksi yang menentukan siapa pelakon-pelakonnya. Memang ada penerbit yang bertanya kepada saya mahu berlakon dengan heroin mana tetapi kata putus tetap dibuat oleh saya bukan Diana. Dengarnya anda akan berlepas ke Akrika Selatan keesokan harinya untuk program rancangan realiti Fear Factor Asia (FFA). Kongsikan. Saya akan berada di Afrika Selatan untuk rakaman program rancangan realiti Fear Factor Asia sehingga 17 November ini. Saya bukan sahaja bertindak sebagai pengacara program ini tetapi turut melakukan aksi-aksi lasak dan berbahaya. Semalam saya baru selesai buat aksi di dalam kontena yang dipenuhi oleh ular untuk promo program ini. Selain daripada itu apakah aktiviti anda lagi? Saya baru selesai menjalani penggambaran filem Lari arahan Ahmad Idham. Filem baharu saya iaitu Dampak dan Cicakman 3 bakal menyusul di pawagam tidak lama lagi. Pada bulan Disember nanti, saya akan mengikuti kunjungan ke Vietnam dan Korea sempena kejayaan Anugerah Bintang popular (ABP).

Harga enam angka Aaron

KALAU ada muka Aaron Aziz, sabun basuh pinggan pun laku, inikan pula iklan komersial. Entah apa yang dipakai hero Temasik ini, Diva pun tak tahu, mungkin dah rezeki dia. Mujurlah hati Diva sudah ditawan sang arjuna, kalau tidak Diva pun pasti tertawan dengan ketampanan Aaron! Jangan ketawa! Diva nak kongsi satu cerita baharu lagi pasal Aaron yang meledak lagi dengan kisah cinta di televisyen, Adam Hawa. Kali ini bukan pasal kekasih atau heroin baharu Aaron tapi jenama baharu yang sedang dalam proses nak angkat Aaron jadi dutanya. Kalau tak silap Diva, produk berkenaan daripada rangkaian wangian untuk jenama Uber-Men. Wah! Sudahlah ada Loreal Paris Men Expert, minuman Drive dan Yourgurt, sekarang tambah lagi satu. Dengarnya habuan Aaron untuk jadi duta wangian Uber-Men ini cecah enam angka! Kalau sudah namanya popular, goyang-goyang minyak wangi saja terus wangi poket untuk setahun!

Aaron Aziz Ambil Masa Tujuh Tahun Kumpul Kekayaan

KUALA LUMPUR: Walaupun memiliki raut wajah yang kacak serta tawaran berlakon yang tidak pernah putus, pelakon Aaron Aziz tetap melalui cabaran dan dugaan apabila terpaksa mengambil masa selama tujuh tahun untuk berada mengumpul kekayaan. Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 36, berkata, tempoh itu bukannya mudah untuk dilaluinya apatah lagi dia seorang warga negara Singapura. "Saya bersyukur dengan segala kejayaan yang dimiliki sekarang ini. Tambahan pula apabila mendapat kerakyatan sebagai penduduk tetap Malaysia baru-baru ini, ia lebih memudahkan saya untuk melakukan pelbagai perkara. "Untuk menjadi seperti sekarang, banyak halangan yang saya lalui. Syukur sekali lagi, kini saya dapat mengumpul sejumlah harta bagi menampung diri dan keluarga," katanya. Tambah Aaron, kedudukan kerjayanya sebagai pelakon yang semakin dikenali membolehkan dia memiliki beberapa buah kereta antaranya ialah Nissan GTR serta Nissan Teana. Malah dia dan isteri, Diyana Halik, turut merancang untuk membeli rumah memandangkan sebelum ini mereka hanya menyewa di Damansara, dekat sini. Dalam pada itu, Aaron juga mahu membuat pelaburan harta tanah agar dapat menjamin masa depan keluarga terutama anak-anaknya iaitu Danish Anaqi, 8, Dwi Ariana, 6 dan Dahlia Arissa yang berusia dua tahun. "Saya bercerita ini bukan mahu menunjuk-nunjuk. Tetapi ini adalah satu pengajaran untuk diri saya dan artis-artis lain. "Diyana selalu pesan, tidak selamanya kita (sebagai pelakon) berada di kemuncak kerana pada bila-bila masa sahaja, populariti itu akan pudar, lebih-lebih lagi dengan kehadiran ramai artis baru. "Jadi, jika sudah ada sedikit wang lebih, eloklah kita lakukan sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat kepada kita pada masa akan datang. "Lagipun, sebagai pelakon, nak bina aset bukannya mudah. Apa-apa pun terpulanglah kepada setiap individu. Saya percaya masing-masing memiliki cara tersendiri dalam hal penyimpanan wang," tuturnya. Beritahu Aaron lagi, dia ingin bekerja sebaik mungkin di negara ini agar dapat memberikan keselesaan hidup kepada isteri dan anak-anak. "Saya bukannya orang senang dan saya tidak mahu isteri dan anak-anak merasai kesusahan hidup yang pernah saya alami dahulu. Kalau boleh biarlah mereka ditinggalkan sedikit harta sebelum saya pergi," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Aaron telah menyumbangkan suaranya menerusi watak Laksamana Aaron bagi filem animasi Supersquad The Movie yang bakal ditayangkan di pawagam pada Disember 2013. Selain itu, pelakon itu juga sedang dalam persiapan untuk penggambaran rancangan Fear Factor pada Oktober depan.

Aaron rai peminat setia

MEMANG seperti yang dijangka, ribuan borang penyertaan pihak kami terima apabila nama Aaron Aziz dipilih sebagai artis untuk acara makan malam bersama sepuluh orang peminat setianya. Memang banyak borang penyertaan yang diterima sehingga menyukarkan proses pemilihan pemenang. Ternyata aura dan kuasa Aaron Aziz masih berada di puncak tertinggi. Gelaran artis paling popular yang disandang olehnya itu benar-benar memuncakkan nama anak kelahiran Singapura ini ke tempat tertinggi. Sikap ramah dan mesra Aaron wajar dipuji. Kalau ada yang beranggapan bapa kepada tiga cahaya mata itu berubah sikap, telahan anda silap. Dia masih menjaga tutur kata, mesra melayan kerenah peminat dan yang paling penting menghargai mereka yang banyak menaikkan namanya. Tanggal 10 Ogos lalu menjadi saksi apabila sepuluh orang peminat yang bertuah menerusi penyertaan majlis makan malam bersama pelakon itu diadakan di Hotel Le Meridian, Kuala Lumpur sempena majlis berbuka puasa. Bilik kecil yang hanya mampu memuatkan 20 orang dalam satu masa penuh sesak dengan kehadiran peminatnya walaupun bukan termasuk dalam senarai pemenang. Itulah kuasa Aaron Aziz. Mampu menarik perhatian peminat walaupun dalam acara tertutup sebegitu. Acara makan malam anjuran Pancaindera dan Lord's Tailor itu cukup meriah apabila kesemua pemenang bertuah mengenakan t-shirt tajaan jenama sut terkemuka negara. Kesemua peminat resah tatkala kelibat pelakon filem Ombak Rindu itu masih belum muncul walaupun waktu berbuka sudah dilewati. Resah mereka mula reda dengan kehadiran Aaron bersama isteri Diyana Halik dan anak perempuan kedua mereka, Dwi Ariana. Ruang makan mula menjadi kecoh apabila para peminat mula bertanyakan macam-macam perkara kepada bintang berkenaan. Tenang melayan satu persatu soalan yang diajukan, gejolak di hati sepuluh peminat tersebut makin dirasakan. Ada yang memberi hadiah, ada juga yang tidak henti-henti bertanyakan soalan dan tak kurang juga yang tidak lekang dengan kamera merakamkan setiap inci wajah kacak hero kegemaran ramai itu. Sempat meluangkan masa kira-kira dua jam bersama peminat, banyak perkara menarik yang ingin dikongsikan bersama pembaca. Mereka tidak segan silu menghulur gajet seperti iPhone, iPad dan Galaxy Note untuk ditandatangani oleh Aaron. Kalau calang-calang orang mungkin tidak akan membenarkan gajet mereka diconteng. Tetapi demi Aaron, itu bukan masalah yang besar. Tidak cukup dengan itu, ada yang sanggup membawa majalah dan ada yang minta pelakon itu menurunkan autograf dibaju mereka. Inilah yang mewarnakan suasana majlis berbuka puasa tempoh hari. Mungkin masa dua jam tersebut tidak cukup untuk mereka yang datang dari jauh semata-mata untuk berbuka puasa bersama Aaron. Tetapi percayalah kenangan yang ditinggalkan oleh pelakon itu tidak ternilai dan tiada gantinya. Apa-apa pun Pancaindera mengucapkan terima kasih kepada pemilik Lord's Tailor menerusi Robert Loh, Loh Lee Lee dan Kenny Loh yang sudi bekerjasama dengan kami menjayakan majlis yang cukup berjaya ini.

Aaron Aziz Sudah Lama Jadi Pengarah Drama

PETALING JAYA: Pelakon kacak Aaron Aziz berkata pembabitan sebagai seorang pengarah drama bukan perkara baru kerana dia sudah lama melakukan tugas tersebut sejak beberapa tahun lalu di Singapura. Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 36, berkata cabang pengarahan hanya sekadar hobi yang diminatinya dan ia adalah perkara baru bagi kalangan peminat di negara ini. “Peminat di Malaysia baru mengetahui saya boleh mengarah selepas menghasilkan klip video lagu Untuk Dia nyanyian kumpulan Sleeq dan Najwa Latif beberapa bulan lalu. “Sebenarnya saya sudah lama terlibat dalam bidang pengarahan. Sejak berlakon di Singapura lagi saya sudah mengarahkan beberapa projek drama dan klip video,” katanya. Aaron berkata, dia membuat keputusan untuk mengarahkan klip video lagu itu kerana Sleeq merupakan artis naungan di bawah syarikat miliknya, Aaron Aziz Production. “Sudah kebetulan mereka (Sleeq) adalah artis yang bernaung di bawah syarikat saya, jadi apa salahnya saya mengarahkan klip video lagu itu. “Saya hanya mengambil sesuatu tugas pengarahan jika berkelapangan. Buat masa ini, saya tumpukan pada komitmen lakonan dulu,” katanya. Mengenai sambutan Hari Raya, bapa kepada tiga anak ini berkata, mereka sekeluarga sempat menghabiskan masa selama seminggu di Singapura. Terbaru, drama bersiri 80 episod lakonan Aaron berjudul Adam dan Hawa akan ditayangkan pada setiap Isnin hingga Khamis bermula 10 malam ini di Astro Mustika HD (saluran 134 ).

Ikut selera anak - Aaron Aziz

Aaron Aziz bawa keluarga beraya di Singapura, Hong Kong Gamat seketika kedai kasut kanak-kanak Treehouse di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, petang Selasa lalu apabila tiga anak pelakon Aaron Aziz memilih sepatu masing-masing untuk digayakan pada Syawal ini. Paling gembira tentunya si bongsu, Dahlia Arissa, yang begitu ceria melihat pelbagai deretan kasut untuk si comel di depan mata. Pantas saja tangannya menyambar kasut warna putih yang bertatah permata berkilauan di hujungnya. Apa saja kehendak anak saya, akan cuba saya turutkan” - Aaron Aziz, Pelakon Lain pula dengan si kakak iaitu Dwi Arianna yang lebih selesa memilih kasut rona hitam dihiasi bunga. Nampak cantik dan memang bergaya sakan. Manakala si abang, Danish Anqi, tidak membeli apa-apa kerana tidak menepati cita rasanya. Begitulah gelagat anak-anak Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 ini apabila dibawa membeli belah keperluan Hari Raya. Masing-masing ada cita rasa dan keinginan sendiri sehingga si ibu, Diyana Halik, pening melayan kerenah mereka. Manakala tugas Aaron hanyalah membayar apa yang diambil anak-anak. “Apa saja kehendak anak saya, akan cuba saya turutkan. Walaupun ada antara apa yang mereka mahukan itu barangan berjenama dan mahal, tapi saya tak kisah asalkan ia berkualiti dan tahan lama. Dari segi kebebasan memilih, saya memang serahkan bulat-bulat pada mereka. Cantik di mata mereka, cantiklah pada kami berdua. “Kadang-kadang kami terpaksa campur tangan juga bila pilihan mereka sama saja setiap tahun. Maknanya kami kena bawa mereka ke kedai berlainan untuk mendapat pilihan lebih banyak,” cerita Aaron. Lima bulan jadi Adam Mukhriz Jika suatu ketika dulu, dia pernah melalui situasi membosankan setiap kali menjelangnya Hari Raya, namun selepas berumah tangga, semuanya berubah dan dia kini lebih menghargai kemeriahan Syawal. Mujurlah kata Aaron, anak-anaknya berpeluang merasai nikmat berhari raya. “Memandangkan kampung kami di Singapura, jadi secara tidak langsung ada perasaan rindu pada datuk dan nenek serta sepupu mereka, membuatkan mereka tidak sabar untuk bertemu,” ujar Aaron yang bakal muncul dengan drama bersiri terbaru berjudul Adam dan Hawa. Bercerita mengenai drama yang disiarkan 27 Ogos ini di saluran Astro Mustika, Aaron berkata, antara cabaran terpaksa dilaluinya apabila dia perlu menjaga kesinambungan watak selama lima bulan. “Bayangkan sepanjang tempoh itu, saya perlu menjaga kesinambungan watak sebagai Adam Mukriz. Saya kena lebih fokus supaya karakter itu tidak lari dalam setiap episod, memandangkan penggambarannya dibuat dalam tempoh yang lama,” kata Aaron yang akan bercuti ke Hong Kong bersama keluarga pada Hari Raya nanti.

Getaran Aaron, Rozita

Status bukan halangan DUA wajah popular ini tidak pernah digandingkan dalam fotografi, drama atau filem sebelum ini. Awalnya, hero popular, Aaron Aziz dan pelakon seksi, Rozita Che Wan malu-malu, maklumlah kali pertama bertentang mata. Tapi, lama kelamaan mereka nampak serasi dan selesa bekerjasama. Seorang berstatus suami orang, seorang lagi berstatus ibu tunggal. Siapa kata, status suami atau ibu tunggal, tidak mampu pergi jauh dalam dunia persada seni tanah air? Nyata, Aaron dan Rozita dapat membuktikan, status bukan halangan untuk popular. Aaron, finalis Pelakon Lelaki TV Popular dan Pelakon Lelaki Filem Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, manakala Rozita dipilih kelompok lima popular dalam kategori Pelakon Wanita TV Popular. Aaron juga antara artis yang diramal bakal diangkat sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH 2011.
Bagaimanapun, bukan mudah untuk mengecapi apa yang dimiliki hari ini. Mereka menyusuri perjalanan yang penuh berliku, sebelum mendapat tempat di hati peminat sebagai artis popular. Secara jujurnya, Aaron berkata, dia terlalu tertekan apabila ada yang meramalkannya bakal diangkat sebagai Bintang Paling Popular tahun ini. Terlalu besar harapan yang diberikan sehingga sukar untuk memikulnya. “Saya tidak meletakkan harapan tinggi, biarpun ramai yang meramalkan saya beroleh kemenangan besar tahun ini. Saya bimbang, saya tidak mampu memenuhi impian peminat. Saya lebih selesa berada di kelompok lima popular setiap tahun, menang atau kalah, saya tidak memikirkannya. “Saya sedar impak filem Ombak Rindu terlalu kuat mencengkam, tetapi bebanannya juga terlalu besar. Ketakutan saya hari ini jika saya tidak mampu mempertahankan apa yang saya peroleh. Apapun, saya bersyukur jika saya menang, jika kecundang, saya tidak kecewa. Cuma mungkin, saya rasa terkilan kerana tidak dapat memenuhi impian peminat. Jadi, saya berharap peminat tidak terlalu mengharapkan kemenangan saya.”
Anak kelahiran Singapura itu mengakui apa yang dimiliki hari ini adalah atas pengorbanannya. Sebelum bergelar pelakon, dirinya pernah bekerja sebagai pengurus restoran yang menyediakan pelbagai perkhidmatan. Bagaimanapun, gaji hanya cukup-cukup makan. “Di awal kemunculan sebagai pelakon di Singapura, saya masih belum mampu menarik nafas lega. Jika produksi Malaysia menyediakan makan untuk artis dan kru, berbeza pula dengan produksi Singapura ketika itu, makan tidak disediakan. Apabila tiba waktu makan, produksi akan berhenti dan pandai-pandailah mencari makan. Ada masa saya terpaksa ikat perut sebab tidak berduit. “Ketika saya mencari rezeki di Malaysia, isteri, Diyanah Halik dan anak sulung, Danish Anaqi terpaksa ditinggalkan di Singapura. Orang tidak tahu ada masanya saya menumpang tidur di rumah kawan, ada ketika saya tidur dalam kereta. Saya selalu menumpang mandi di stesen minyak dan hanya bersiap dalam kereta. “Duit belanja untuk isteri dan anak tidak seberapa ditinggalkan. Isteri kena berjimat cermat ketika itu. Lagipun bayaran diterima dalam Ringgit Malaysia, apabila ditukar kepada dollar Singapura, jadi sedikit. “Bagaimanapun, berkat kesabaran saya dan isteri, akhirnya kehadiran saya mula diterima. Saya masih ingat drama Emil Emelda menaikkan nama saya sehingga diterima hari ini. Saya terhutang budi pada produser, Datuk Yusof Haslam dan Erma Fatima, mereka adalah insan yang memberi ruang mengembangkan bakat saya di Malaysia. Inilah dinamakan bersusah-susah dulu, bersenang kemudian,” katanya yang baru saja menandatangani kontrak sebagai artis naungan Astro selama dua tahun dengan dengan pilihan menyambung setahun lagi. Turut bersama dipelawa menjadi artis kontrak Astro ialah Zizan Razak dan Johan, pada awal Mac lalu. Aaron yang terlebih dulu mencipta nama dan pernah memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Pesta Perdana Singapura dan Personaliti Paling Popular Singapura pada 2003, 2004 dan 2005, bagaimanapun terkejut dengan berita mengenai dirinya semakin demand. Dia menafikan dirinya meletakkan harga tidak masuk akal selepas dua filemnya, KL Gangster dan Ombak Rindu mendapat kutipan box-office. “Saya terkejut apabila tersebar cerita kononnya saya letak harga RM10,000 untuk satu episod drama. Tidak logik saya meminta harga setinggi itu. Saya tidak pernah demand, bayaran untuk saya masih sama. Saya kena fikir, saya mahu bekerjasama dengan produser untuk jangka masa panjang. Kalau hari ini, saya letak harga setinggi itu, sudah tentu produser serik nak ambil saya berlakon lagi. Lambat laun, saya rugi, saya tidak mendapat karya yang bagus,” kata bapa kepada tiga cahaya mata yang mengimpikan membuka yayasan untuk membela nasib insan tidak bernasib baik. Bukan mudah jaga anak remaja' BAGI Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta pula terpukul dengan kisah anaknya, Aniq Ezzra, 14, yang merajuk dan melarikan diri dari rumah. Malu pun ada mengenangkan kejadian berkenaan, tapi anaknya, Aniq hanya merajuk seketika. Menghilangkan diri pun hanya beberapa jam saja. Apabila ditanya adakah anaknya merajuk dek khabar angin mengatakan dia bakal berkahwin dengan ahli perniagaan ternama bergelar Datuk Sri? Che Ta hanya tersenyum, lantas menjawab: “Saya tak kenal pun ahli perniagaan itu, saya tidak pernah berjumpa, jauh sekali bertentang mata dengannya. Saya tidak kecil hati, saya sudah biasa kena gosip dengan Datuk itu, Tan Sri ini, sedangkan hakikatnya, saya tak kenal pun siapa mereka. “Sebab itulah, saya jarang bergandingan dengan artis lelaki apabila sesi fotografi. Saya takut kena gosip bukan-bukan. Dengan Aaron pun, saya takut, tapi saya lega apabila isterinya ada bersama ketika fotografi. Saya sudah muak dengan cakap-cakap orang, cukup-cukuplah dengan gosip yang lalu. “Anak saya merajuk dan melarikan diri, hanya kerana kes kecil. Tidak dinafikan, saya ada meninggi suara menyuruhnya pergi menggunting rambut berdekatan rumah. Saya malas mahu menemaninya. Secara kebetulan, malam itu saya sudah berjanji membawa Aniq dan abangnya, Ammar Effendy, 16, keluar makan bersama Zain Saidin. Abangnya duduk di asrama dan keesokannya akan dihantar pulang, jadi saya ingat mahu meluangkan masa dengan mereka. “Bagaimanapun, lain pula jadinya apabila Aniq tidak pulang hingga malam. Apabila menjenguk ke salun berhampiran, Aniq tiada. Saya mula gusar, saya bersama Zain mencarinya merata-rata. Kami menghubungi kawan-kawannya, tapi mereka juga tidak bertemu Aniq. Apabila sudah tidak tentu arah, saya buat laporan polis. “Tidak lama kemudian, kawan-kawannya memberitahu ternampak Aniq di rumah seorang kawan mereka. Saya terus pergi dan polis juga sampai sejurus kemudian. Saya mula sedar bukan mudah nak jaga anak remaja. Sebagai ibu, saya mahu menjadi kawan mereka. Kita tidak boleh berkasar atau memarahi mereka sebarangan lagi. Kalau mahu memarahi mereka, ada caranya,” katanya. Bercerita mengenai buah hati terbarunya, Zain Saidin, Che Ta berkata, dia sayangkan Zain sebagai kawan. Bagaimanapun, belum terbit perasaan cinta padanya, biarpun hubungan mereka rapat. “Saya tengok Zain lurus dan baik orangnya. Dia juga sangat rapat dengan anak-anak saya sehingga adik beradik saya menggelarnya `kawan anak saya’. Zain pandai mengambil hati anak-anak saya sehinggakan banyak aktiviti dilakukan bersama. Zain lagi rapat dengan anak-anak berbanding saya. “Hubungan kami akrab sebagai kawan. Bagi saya, dia terlalu muda buat saya yang berusia 39 tahun ini. Jadi, ada baiknya saya berkawan baik dengannya tanpa membabitkan perasaan cinta. Jarak usia saya dengan Zain jauh iaitu 12 tahun. Zain kini berusia 27 tahun. Saya lihat Zain masih ada sifat kebudak-budakan, apatah lagi ketika bersama anak-anak saya. “Tidak dinafikan, saya mencari seorang lelaki yang menyayangi saya dan anak-anak. Diakui ada lelaki yang hanya mahukan saya, tetapi anak-anak saya ditolak ketepi. Mana mungkin saya hidup tanpa anak-anak? Walaupun Zain ada ciri-ciri lelaki pilihan, tapi saya tidak fikir dia sesuai untuk saya. Usia kami jauh, saya fikir bila usia mencecah 50 tahun, saya kelihatan tua sedangkan Zain masih muda. Saya tidak berani ambil risiko, kalau boleh saya mahu sehidup semati dengan bakal suami. Saya tidak mahu lagi melalui kehancuran dalam berumah tangga. “Bagaimanapun, kita juga kena percaya pada jodoh. Jika ditakdirkan Zain jodoh saya, kenalah terima, tetapi saya kena banyak mengalah. Apapun, saya selesa dengan Zain,” katanya jujur. Che Ta juga mengakui Zain, antara teman rapatnya yang istimewa. Dia sering melakukan kejutan. Terbaru, pada hari jadinya ke-39, Zain melakukan `surprise party’ di restoran makanan segera pada 9 Mac lalu. “Saya sebenarnya tidak suka meraikan hari jadi. Saya tidak sanggup melihat angka yang ditulis di atas kek. Angka makin meningkat. Pada malam itu, Zain beriya-iya mengajak saya keluar, saya bagi seribu satu alasan, tetapi dia tetap mengajaknya. Secara kebetulan, pada malam itu, drama terbaru, Bunga Bunga Syurga baru nak disiarkan episod pertama. “Zain sanggup menunggu sehingga jam 10 malam untuk membawa saya keluar. Apabila tiba di restoran berkenaan, saya dikejutkan dengan kek hari jadi bersama kenalan rapat. Saya terharu kerana jarang meraikan hari jadi,” katanya. INFO: Aaron NAMA: Aaron Mustapha Aziz USIA: 36 Tahun TARIKH LAHIR: 23 Februari 1976 ASAL: Singapura ISTERI: Diyana Halik ANAK: Danish Anaqi, 8, Dewi Ariana, 6, dan Dahlia Arissa, 2. ANTARA DRAMA: Sumaiyah, Emil Emelda, Janji Diana, Sadiq & Co, Cinta Gila, Cinta Lelong, Rahsia Cinta dan Bulan Bertemu Matahari, Dilemma Wanita, Cahaya Kasih, Malam 7 Likur, Hana Hani Strawberi & Oh Ibu ANTARA FILEM: Evolusi KL Drift 1 & 2, Shh... Dia Datang, Bohsia... Jangan Pilih Jalan Hitam, Pisau Cukur, Datin Ghairah, Dua Alam, KL Gangster, Ombak Rindu, KL Gangster 2, Kerat 14 & Tyckooun. PENCAPAIAN: Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Pesta Perdana Singapura dan Personaliti Paling Popular Singapura (2003, 2004, 2005). INFO: Rozita NAMA: Rozita Abu Bakar @ Che Wan USIA: 39 Tahun TARIKH LAHIR: 9 Mac 1971 ASAL: Alor Setar, Kedah ANAK: Ammar Effendy, 16, & Aniq Ezzra, 14 FILEM: 4 Madu, ANTARA DRAMA: Cinta Terhalang, Manjalara, Sesuci Cinta Sofia, Jelatang, Susuk 2, Anissa, Ayyad, Hati, Cerciter Cinta, Iparku Diva, Goyang Syafiq, Kiah Beraya Solo, Kiah Pekasam, Hilang, Dewi Di Sebalik Cermin, Sesuci Cinta Sofiya, Hati Yang Terpinggir, Bila Suami Jadi Suri, Pontianak Beraya di Kampung Batu.

Aaron Aziz Tidak Halang Anak-Anak Jadi Pelakon

PETALING JAYA: Pelakon popular, Aaron Aziz tidak akan menghalang jika anak-anaknya ingin mengikut jejak langkahnya sebagai pelakon atau cabang lain dalam dunia seni. Aaron berkata, dia tidak berhak untuk menentukan masa depan anak-anaknya kerana mereka berhak membuat keputusan terhadap masa depan masing-masing. "Sebagai seorang bapa saya tidak akan menghalang apa juga cita-cita mereka kerana itu adalah kehendak dan pilihan mereka. "Apa yang boleh saya boleh buat adalah menyokong setiap keputusan mereka apabila mereka besar nanti," ujarnya kepada mStar Online. Tambah Aaron, pihak produksi juga ada beberapa kali memberitahu ingin mengambil anaknya sebagai pelakon kanak-kanak namun merasakan masih terlalu awal untuk memberikan mereka bekerja. "Banyak dah orang mintak nak ambil mereka berlakon tetapi rasanya mereka masih kecil untuk bekerja. Mungkin suatu hari nanti saya benarkan," katanya. Dalam pada itu, Aaron tidak menafikan ada memberi pendedahan kepada tiga anaknya iaitu Danish Anaqi, 8, Dwi Ariana, 6 dan Dahlia Arissa, 2 tahun, apabila sering membawa mereka ke lokasi penggambaran. Aaron berkata, selain memberi pendedahan kepada anak-anaknya, dia juga mahu mereka memahami apa yang dilakukannya sebagai punca rezeki selain dapat menghabiskan masa bersama mereka.
"Kadang-kadang jadual saya sangat sibuk sehingga tiada masa bertemu anak-anak jadi cara paling baik adalah bawa mereka sekali ke lokasi penggambaran. "Setakat ini mereka tidak merungut jika mereka ikut bersama malah jika sesebuah filem itu telah keluar, mereka boleh ingat lokasi yang mereka turut serta," katanya. Pun begitu kata Aaron, anak-anaknya hanya mengikutnya ke lokasi apabila hujung minggu atau cuti sekolah sahaja. Sementara itu, Aaron yang baru sahaja mendapat taraf penduduk tetap di negara ini berkata, dia sebolehnya ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam bidang lain yang lebih terjamin. Atas dasar itu juga, Aaron memberitahu dia memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan yang terbaik selain sentiasa memantau aktiviti persekolahan mereka. "Bukan kata jadi pelakon ni tak elok tetapi biasalah sebagai seorang bapa kita ingin melihat anak-anak lebih berjaya daripada diri kita dan berasa bangga dengan mereka. "Walaupun saya rapat dengan mereka tetapi dalam bab-bab disiplin dan belajar mereka cukup takut dengan saya," ujarnya.

Zed Ucap Tahniah Aaron Dapat PR Malaysia

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi mengucapkan tahniah kepada aktor Singapura Aaron Aziz selepas sah bergelar penduduk tetap (PR) negara ini, awal bulan ini. Aaron, isteri Diyana Halik dan tiga anak pasangan itu diberikan hak taraf PR oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Zed dalam kenyataannya kepada Harian Metro pada Selasa dipetik sebagai berkata, dia menerima berita itu pada tiga atau empat hari lalu dan menyifatkan ia sebagai rezeki buat keluarga aktor itu biarpun baru tujuh tahun dia menetap di negara ini. “Tahniah Aaron kerana bergelar PR negara ini. Saya doakan semoga kehidupannya bertambah baik dan dimurahkan rezeki selalu. “Tanpa sebarang niat saya mengucapkan tahniah kepada Aaron kerana bergelar PR. Untuk pengetahuan, persahabatan kami tiada masalah biarpun kontroversi pernah menimpa kami baru-baru ini” katanya. Pada April lalu, industri hiburan dikejutkan dengan tindakan Zed yang mempertikaikan kemenangan Aaron selepas tamat Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) di Genting Highlands.
Sementara itu, Aaron berkata dia bersyukur selepas doanya sewaktu menunaikan umrah pada bulan lalu dimakbulkan Allah. “Terima kasih Zed atas ucapan itu. Lega rasanya dengan kejayaan ini (bergelar PR) dan kami (keluarga) tidak perlu bersusah payah pergi dan pulang ke Singapura lagi. “Saya anggap berita ini rezeki anak dan isteri serta doa di Makkah dimakbulkan,” kata aktor dari Pasir Ris, Singapura itu. Aaron berkata, permohonan mendapatkan taraf PR bermula pada Ogos tahun lalu dan kini barulah ia berjaya.

Aaron Aziz Sudah Sedia Tunaikan Haji

PETALING JAYA: Pelakon Aaron Aziz sedang membuat persiapan untuk menunaikan rukun Islam kelima iaitu mengerjakan ibadah Haji pada bila-bila masa sahaja selepas melalui pengalaman mengerjakan Umrah. Aaron berkata, dia sudah bersedia untuk menunaikan tanggungjawabnya itu sebagai seorang Islam namun kekangan waktu kerana jadual kerja yang padat membuatkan dia terpaksa menangguhkan perancangan itu. "Alhamdulillah saya sudah bersedia untuk melaksanakan ibadah Haji, cuma kalau boleh sebelum pergi, biarlah saya bercuti daripada kerja-kerja lakonan selama sebulan sebagai persiapan diri. "Bagaimanapun perancangan itu tidak dibuat dalam tahun ini," katanya yang dihubungi mStar Online di sini Rabu. Tambah Aaron, dia merancang untuk membawa kesemua anaknya iaitu Danish Anaqi, 8, Dwi Arinna, 6, dan Dahlia Arissa, 2, serta isteri, Diyana Halik menunaikan Umrah pada awal tahun depan. "Saya baru sahaja pulang daripada menunaikan Umrah di Mekah pada 30 Mei lalu bersama isteri selama dua minggu. "Apabila pulang ke tanah air saya memeluk ketiga-tiga anak dengan erat melepaskan rindu, begitu juga dengan mereka. "Malah saya berjanji kepada anak-anak akan membawa bersama-sama menunaikan Umrah pada tahun depan, dan tak sangka mereka sangat teruja," ujarnya. Bercerita tentang pengalaman Aaron sepanjang pemergiannya menunaikan Umrah buat kali kedua, katanya dia begitu tenang dan langsung tidak memikirkan apa-apa termasuklah hal-hal kerja. "Sepanjang berada di Mekah, fikiran saya sangat tenang dan tak fikirkan apa-apa pun termasuklah anak-anak. Biasanya kalau bekerja di luar Kuala Lumpur lebih daripada seminggu sahaja, rasa rindu terhadap mereka membuak-buak. "Dalam pada itu, pengalaman yang dilaluinya juga begitu berbeza berbanding kali pertama saya tunaikan Umrah pada Julai tahun lalu. "Antaranya ialah cuacanya lebih panas berbanding tahun lepas iaitu di antara 40 hingga 50 darjah Celsius, dan Alhamdulillah ia tidak menyukarkan saya dan isteri melakukan ibadah. “Paling bermakna lagi, saya dapat mencium Hajar Aswad walaupun beribu-ribu orang berebut untuk melakukannya," tutur Aaron. Mengenai perkembangan terbaru, anak kelahiran Singapura ini masih lagi sibuk dengan penggambaran drama “Adam dan Hawa” (siaran Astro) dan kemudian, persediaan untuk filem aksi “Dampak” yang bakal memulakan penggambaran pertengahan Jun ini.

Aaron tunai umrah lagi

SELEPAS bergelar bintang paling popular baru-baru ini, aktor Aaron Aziz kini menunaikan umrah buat kali kedua bersama isterinya, Diyana Halik pada 18 Mei lalu. Menurut Aaron yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Yourgurt di Kuala Lumpur sehari sebelum berangkat ke Mekah, pemergiannya selama 12 hari ke sana juga disebabkan penggambaran drama Adam & Hawa di sana. "Saya dan kru penggambaran akan menunaikan umrah terlebih dahulu, selepas itu kami akan memulakan penggambaran di luar kota Mekah," ujarnya. Jika umrah yang dilakukan tahun lalu Aaron berdoa supaya segala urusan pertukaran status penduduk tetap di Malaysia dipermudahkan, umrah kali ini pula, katanya, dia ingin berdoa dan mengucapkan tanda syukur atas kejayaan yang dinikmatinya hari ini. "Sebenarnya selepas umrah yang pertama, saya dan isteri merancang untuk menunaikan umrah setiap tahun. Namun, jadual saya tahun ini sangat sibuk, Alhamdulillah tidak sangka akan menunaikan umrah sekali lagi walaupun terikat dengan kerja. "Tujuan saya menunaikan umrah kerana saya ingin berterima kasih dengan Allah atas rezeki, kerjaya dan keluarga yang membuatkan saya bahagia," katanya yang akan membintangi filem Cicakman 3. Selepas selesai dengan penggambaran drama Adam & Hawa sebanyak 80 episod pada pertengahan bulan Jun depan, Aaron akan sibuk di set penggambaran drama aksi berjudul Dampak. - HARYATI KARIM
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails