Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Aaron rai peminat setia

MEMANG seperti yang dijangka, ribuan borang penyertaan pihak kami terima apabila nama Aaron Aziz dipilih sebagai artis untuk acara makan malam bersama sepuluh orang peminat setianya. Memang banyak borang penyertaan yang diterima sehingga menyukarkan proses pemilihan pemenang. Ternyata aura dan kuasa Aaron Aziz masih berada di puncak tertinggi. Gelaran artis paling popular yang disandang olehnya itu benar-benar memuncakkan nama anak kelahiran Singapura ini ke tempat tertinggi. Sikap ramah dan mesra Aaron wajar dipuji. Kalau ada yang beranggapan bapa kepada tiga cahaya mata itu berubah sikap, telahan anda silap. Dia masih menjaga tutur kata, mesra melayan kerenah peminat dan yang paling penting menghargai mereka yang banyak menaikkan namanya. Tanggal 10 Ogos lalu menjadi saksi apabila sepuluh orang peminat yang bertuah menerusi penyertaan majlis makan malam bersama pelakon itu diadakan di Hotel Le Meridian, Kuala Lumpur sempena majlis berbuka puasa. Bilik kecil yang hanya mampu memuatkan 20 orang dalam satu masa penuh sesak dengan kehadiran peminatnya walaupun bukan termasuk dalam senarai pemenang. Itulah kuasa Aaron Aziz. Mampu menarik perhatian peminat walaupun dalam acara tertutup sebegitu. Acara makan malam anjuran Pancaindera dan Lord's Tailor itu cukup meriah apabila kesemua pemenang bertuah mengenakan t-shirt tajaan jenama sut terkemuka negara. Kesemua peminat resah tatkala kelibat pelakon filem Ombak Rindu itu masih belum muncul walaupun waktu berbuka sudah dilewati. Resah mereka mula reda dengan kehadiran Aaron bersama isteri Diyana Halik dan anak perempuan kedua mereka, Dwi Ariana. Ruang makan mula menjadi kecoh apabila para peminat mula bertanyakan macam-macam perkara kepada bintang berkenaan. Tenang melayan satu persatu soalan yang diajukan, gejolak di hati sepuluh peminat tersebut makin dirasakan. Ada yang memberi hadiah, ada juga yang tidak henti-henti bertanyakan soalan dan tak kurang juga yang tidak lekang dengan kamera merakamkan setiap inci wajah kacak hero kegemaran ramai itu. Sempat meluangkan masa kira-kira dua jam bersama peminat, banyak perkara menarik yang ingin dikongsikan bersama pembaca. Mereka tidak segan silu menghulur gajet seperti iPhone, iPad dan Galaxy Note untuk ditandatangani oleh Aaron. Kalau calang-calang orang mungkin tidak akan membenarkan gajet mereka diconteng. Tetapi demi Aaron, itu bukan masalah yang besar. Tidak cukup dengan itu, ada yang sanggup membawa majalah dan ada yang minta pelakon itu menurunkan autograf dibaju mereka. Inilah yang mewarnakan suasana majlis berbuka puasa tempoh hari. Mungkin masa dua jam tersebut tidak cukup untuk mereka yang datang dari jauh semata-mata untuk berbuka puasa bersama Aaron. Tetapi percayalah kenangan yang ditinggalkan oleh pelakon itu tidak ternilai dan tiada gantinya. Apa-apa pun Pancaindera mengucapkan terima kasih kepada pemilik Lord's Tailor menerusi Robert Loh, Loh Lee Lee dan Kenny Loh yang sudi bekerjasama dengan kami menjayakan majlis yang cukup berjaya ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails