Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Aishah. Show all posts
Showing posts with label Aishah. Show all posts

Aishah Mahu Artis Ikut Lunas Islam

Penyanyi Aishah mahu dunia seni dapat digerakkan mengikut lunas-lunas seperti yang dipraktikkan dalam Islam. Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 48, berkata, sekiranya dia memenangi kerusi Parlimen Jempol dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kali ini, dia akan menggunakan kuasa yang ada untuk tujuan berkenaan. "Dunia hiburan punya pengaruh yang besar dan kita dapat sampaikan mesej dakwah itu melalui dunia seni," katanya kepada mStar Online di sini. Aishah ditemui pada majlis pengumuman calon PAS untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Sembilan di Muasassah Darul Syarif, Jalan Batu Kikir, di sini malam Rabu. Pengumuman dilakukan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang turut disaksikan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali. Hadir sama beberapa pemimpin PAS negeri. Aishah yang popular dengan lagu Janji Manismu dan Camar Yang Pulang berkata, dia mahu melihat lebih ramai golongan artis memiliki ilmu agama dan menggunakan populariti yang ada untuk menyebarkannya kepada orang ramai. Malah katanya, jika hiburan itu dihasilkan sehingga berjaya mendekatkannya dengan Islam, ia akan menjadi sesuatu yang lebih baik. Dalam pada itu Aishah berkata dia sudah bersedia untuk berkempen dan meminta para peminat dapat menyokong perjuangannya. "Saya minta sokongan dan saya minta tunjuk ajar daripada semua. Sama-samalah kita bekerja untuk usaha ini (memenangi pilihan raya)," katanya yang kelihatan agak penat sejak menyertai politik sepenuh masa.

PRU13: Aishah Bertanding Di Jempol Atas Kerelaan Hati

Penyanyi Aishah yang sebelum ini dilaporkan terkejut dicalonkan untuk bertanding kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akhirnya mengesahkan untuk bertanding kerusi itu. Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 48, berkata, keputusan menerima tawaran itu bagi mewakili PAS dibuat atas kerelaan dan kehendaknya sendiri. “Ia adalah pilihan saya. Apabila kita mempunyai pengikut tertentu (sebagai bintang pop), dan ia juga merupakan perkara yang baik, mengapa tidak (bertanding)?” katanya seperti dilaporkan portal red carpet.net.my pada Jumaat. Pada Rabu lalu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu telah mengumumkan Aishah yang popular dengan lagu Janji Manis Mu dan Melukut Di Tepi Gantang dinamakan sebagai calon Parlimen Jempol bagi mewakili parti itu dalam PRU13. Akhbar bagaimanapun melaporkan pengumuman Mohamad Sabu satu keputusan ‘bercelaru’ kerana pada Ahad lalu nama Ketua Dewan Pemuda PAS Jempol, Mohd. Fairuz Mohd. Isa diumumkan sebagai calon bagi kerusi tersebut. Dalam pada itu Aishah yang pernah menuntut dalam jurusan sains politik di sebuah universiti di New Zealand berkata, dia sentiasa cenderung dalam bidang berkenaan walaupun mengakui permainan politik kadangkala kotor. “Ia akan menjadi kotor kalau kita yang mahukan ia menjadi kotor. Sebagai rakyat Malaysia, saya berpendapat kita memerlukan politik yang matang dalam membentuk pandangan politik kita. Ia mengambil masa untuk mendidik masyarakat,” katanya. Ibu kepada dua orang anak ini berkata, keutamaan dalam hidupnya telah berubah selepas membuat keputusan meninggalkan dunia seni. Ujarnya, semasa muda dia banyak memberi tumpuan dalam bidang muzik tetapi apabila sudah ‘tua’, bidang politik adalah dunia barunya. “Jika doktor boleh menjadi ahli parlimen dan menteri kabinet, kenapa tidak artis seperti saya?” katanya yang akan memulakan kempen pada minggu depan. Kata Aishah selepas menyertai PAS pada Mei tahun lalu, dia telah terlibat secara aktif bagi memperjuangkan parti itu termasuklah menyertai ceramah-ceramah politik yang dianjurkan. Dalam pada itu Aishah menerusi satu kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mStar Online pada Jumaat berkata dia kini sibuk berkempen di Pasir Salak, Perak.

Aishah jadi penceramah politik?

SUDAH agak lama tidak mendengar cerita penyanyi Janji Manismu, Aishah. Kali terakhir heboh cerita perceraiannya dengan bekas suami, Faizal Sazali Zulkifli tahun lalu, kini Aishah seakan-akan menyepi seribu bahasa. Kasihan juga pada Aishah, tiga perkahwinannya gagal dipertahankan. Sudah nasib, tapi Aishah tetap bahagia bersama dua puteranya, Armand, 18, dan Azhad, 12. Raja sebenarnya antara peminat Aishah sejak bergelar penyanyi utama kumpulan Fan Club dari New Zealand lagi. Masih jelas dalam ingatan imej rambut ketak ketika pulang ke Malaysia, Aishah begitu comel ketika muda dulu. Tapi, sekarang apa kurangnya. Walaupun sudah berhijrah dan berimej muslimah, Aishah tetap manis. Bukan sejarah silam Aishah yang mahu Raja ceritakan minggu ini. Kisah sedihnya dulu biarlah dibuang jauh-jauh daripada kotak ingatan. Setiap manusia pastinya ada sejarah hitam putih dalam kehidupan. Sejak kebelakangan ini, i banyak diundang untuk program-program masjid, selain sesi berceramah tentang penghijrahan serta pandangan tentang apa yang berlaku di dalam negara. Ini pun ada yang kutuk. Jangan ingat artis macam i ni bodoh dan tak ada pegangan.... - Aishah Raja tidak tahu sejauh manakah kebenaran cerita ini. Raja dengar Aishah kini bergelar penceramah. Sama ada penceramah agama atau politik, Raja tidak berani buka mulut. Cerita yang sampai ke pengetahuan Raja mengatakan Aishah kini sibuk diundang sebagai penceramah. Ada seorang lagi teman berbisik ke telinga Raja, Aishah dah berminat untuk sertai parti pembangkang kerana sakit hati dengan seorang bekas menteri apabila meminta pertolongan berhubung kes penganiayaan terhadap dirinya, tapi tidak dilayan. Hmmm, Raja tidak percayalah. Takkan masalah remeh-temeh boleh menukar prinsip seseorang. Raja sempat membaca laman sosial Facebook milik Aishah. Bukan mahu mengintip pergerakan Aishah, tapi mahu tahu sejauh manakah kebenaran cerita yang Raja dengar. Nyata, apa yang Raja dengar tidak benar sama sekali. Raja baca status dan titipan Aishah buat peminatnya, tiada pun cerita pasal parti pembangkang. Tiada pun cerita nak memburukkan orang itu, orang ini, parti itu, parti ini, hanya sekadar nasihat dan berkongsi pengalaman dengan peminatnya. Dalam satu coretan, Aishah berkata: “Kelakar juga bila melihat `mentality’ orang yang kerjanya mencari kesalahan orang lain, kita `sharing’ pasal penghijrahan kita pun ada yang kutuk, macam dah pandai sangat pasal agama. Alahai, ceteknya pemikiran. Whatever it is, i tau i naik ke pentas bercerita dengan satu keikhlasan. Bagi i, yang betul kita aminkan, yang salah kita debatkan, kita persoalkan, untuk kebaikan kita semua bersama. “Sejak kebelakangan ini, i banyak diundang untuk program-program masjid, selain sesi berceramah tentang penghijrahan serta pandangan tentang apa yang berlaku di dalam negara. Ini pun ada yang kutuk. Jangan ingat artis macam i ni bodoh dan tak ada pegangan.... “Kalau boleh i ingin dikenang sebagai Aishah yang sekarang. Percayalah, Aishah yang sekarang ini jauh lebih happy dan tenang dalam kehidupannya. “Bila i fikirkan semula, i sangat bertuah kerana walaupun dah 24 tahun menyanyi, masih tetap ada orang yang mahu mendengar nyanyian i. Suara pun Allah SWT bagi masih seperti dulu. Bukan semua artis bernasib baik begitu,” itulah antara coretan yang diambil dari Facebook Aishah. Jadi, Raja harap janganlah ada yang tersalah anggap pada Aishah. Tidak salah beliau berjuang untuk kebenaran dan berkongsi cerita penghijrahannya. Aishah juga menyanyi lagu berkonsep ketuhanan.

Aishah kuruskan badan demi karier


Sebaliknya, ibu tunggal kepada dua anak itu kini lebih banyak berusaha untuk mengembalikan berat badannya dengan mengikuti pelbagai program diet sewaktu berada di rumah di mana pada masa sama dia tidak putus-putus menerima tawaran menyanyi di merata tempat.

Penyanyi bersuara lantang ini berkata, dia telah berusaha pelbagai cara dan berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 23 kilogram (kg) daripada 94 kg selepas mengamalkan diet pemakanan secara intensif sejak Disember tahun lalu.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Janji Manismu itu, dia antaranya mengamalkan diet dengan mengamalkan pemakanan produk De Bella di mana sekali gus merupakan jurucakap produk itu yang berasaskan sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Pada mulanya saya kurang percaya diet dengan mengamalkan pemakanan produk kerana terdapat terlalu banyak produk seperti itu di pasaran. Bagaimanapun selepas diperkenalkan dengan produk De Bella memang ada perubahan pada berat badan saya sekarang ini.

"Walaupun saya telah berjaya mengurangkan 23kg daripada berat badan saya tetapi sasaran saya untuk mengurangkan 10 kg lagi sebelum hujung tahun ini. Kalau berjaya saya mampu mengembalikan berat badan sama macam suatu ketika dulu," katanya kepada S3 baru-baru ini.

Pada pertemuan itu, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Wan Ariffin ini baru sahaja mengadakan persembahan pada Malam Gala Seribu Bintang anjuran Persatuan Karyawan Malaysia di Bukit Kiara, Kuala Lumpur bagi mengisi dana kebajikan persatuan tersebut.

Biarpun sedang berusaha menurunkan berat badannya tetapi pada persembahan itu penyanyi bertudung labuh ini tidak menghampakan para penonton menerusi dua lagu popular nyanyiannya berjudul Syurga Di Telapak Kaki Ibu dan Janji Manismu.

Jelas Aishah yang merupakan ibu tunggal kepada dua anak iaitu Arman, 17, dan Azhad, 11, dengan penurunan berat badannya itu dia kini semakin mudah untuk bergerak ke sana sini termasuklah menerima tawaran menyanyi.

Selain itu kata bekas penyanyi kumpulan Aishah And The Fan Club yang pernah popular di New Zealand pada penghujung tahun 1980-an ini, dia mengamalkan diet kerana mahu kelihatan sihat selain mahu memudahkan urusan kehidupan sehariannya.

"Saya mengurangkan berat badan juga kerana untuk memudahkan saya solat. Dulu kalau mahu bersolat saya terpaksa duduk tetapi sekarang saya boleh melakukannya seperti biasa. Satu lagi masalahnya ialah pakaian.

"Kalau dulu semasa badan saya gemuk kalau membeli-belah saya hanya boleh beli beg tangan dan kasut sahaja. Kalau mahu mendapatkan pakaian baru saya terpaksa menempah daripada tukang jahit kerana susah mendapatkan pakaian saiz badan saya," ujarnya.

Sepanjang bersama The Fan Club yang ketika itu dianggotai oleh Paul Moss (gitar), Dave Larsen (dram) dan Malcom Smith (keyboards) mereka sempat menghasilkan dua buah labum bertajuk Sensastion (1988) dan Respect The Beat (1989).

Pada masa sama kata Aishah, inisiatifnya menurunkan berat badan itu sedikit sebanyak diharap dapat melupakan seketika masalah rumahtangga yang bergelora sejak Februari lalu di mana dia kini tabah mengharungi hidup sebagai ibu tunggal.

Apatah lagi, selepas bercerai dengan suaminya Faizal Sazali pada 19 Mei lalu, dia terpaksa bekerja lebih keras termasuklah dengan menjadi jurucakap kepada beberapa produk kesihatan dan pakaian sebagai tambahan mata pencariannya.

Namun, jauh di sudut hatinya yang paling utama dua anaknya yang kian membesar selain dia kini semakin sibuk dengan aktiviti membabitkan De Bella serta sebagai duta tudung produk Pearl Haya.

"Bagi saya, hidup mesti diteruskan begitu juga dengan tawaran-tawaran menyanyi akan berjalan seperti biasa. Malah, jadual seharian saya semakin sibuk. Anak sulung saya sekarang ini pun sudah besar dan akan mengambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tidak lama lagi.

"Setakat ini anak-anak menyokong saya. Tentang soal jodoh, saya serahkan kepada Allah. Kalau ada jodoh saya lagi maka adalah. Saya redha. Apa yang penting anak-anak semakin membesar dan kami dapat terus melalui kehidupan seterusnya dengan baik," katanya lagi.

Aishah Dengan Anak Lebih Rapat Selepas Bercerai


KUALA LUMPUR: Penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah mengakui penceraiannya dengan Faizal Sazali Zulkifli pada Mei lalu memberi impak besar dalam kehidupannya bersama anak-anak.

Kata Aishah, perceraiannya itu menyebabkan hubungannya dengan anak-anaknya menjadi semakin rapat selain dapat menyemai kasih sayang yang mendalam kepada mereka.

“Anak-anak saya kini menjadi lebih bersikap “protective” terhadap saya, mereka lebih ambil berat dan tidak mahu saya bersedih.

“Alhamdulillah, mereka memahami dan menjalankan tanggungjawab sebagai anak-anak yang baik. Boleh dikatakan hikmah di sebalik apa yang berlaku ini kehidupan saya dan anak-anak lebih rapat,” katanya ketika ditemui di majlis makan malam Seribu Bintang anjuran Karyawan, di Sime Darby Convention Center, di sini, Rabu.

Penyanyi lagu “Janji Manismu” ini mempunyai dua cahaya mata iaitu Armand Azhari, 17, dan Azhari Ahlami, 11, hasil perkahwinan keduanya selepas melalui tiga kali alam perkahwinan.

Selain itu, kata Aishah kehidupannya berjalan lancar seperti biasa dan rezekinya dan anak-anak lebih murah.

“Saya menjalani kehidupan seperti biasa dan tawaran untuk melakukan persembahan pentas juga tidak putus-putus sejak Aidilfitri lalu.

“Apa yang penting ialah mencari rezeki untuk menyara keluarga dan membesarkan anak-anak saya,” jelasnya.

Bercakap tentang jodoh, Aishah mengakui dia kini lebih berhati-hati selepas beberapa kali gagal dalam kehidupan berumah tangga.

“Susah nak cakap tentang jodoh sebab ia sudah ditentukan oleh Allah. Kalau ada jodoh untuk berkahwin lagi saya terima. Sekiranya tiada sekalipun saya tetap terima kerana yang penting adalah menjalankan tanggungjawab kepada keluarga sama ada ketika bersama suami atau tidak,” tuturnya.

Dalam pada itu, Aishah turut bersyukur kerana diberi kepercayaan menjadi duta oleh sebuah syarikat produk pelangsingan badan De’Bella sejak Disember tahun lalu.

“Alhamdulillahlah selepas menggunakan produk tersebut berat badan saya ketara turun sebanyak 23 kilogram.

“Saya kurangkan berat badan bukan kerana untuk kecantikan tetapi untuk kesihatan yang lebih baik,” tambahnya.

Katanya, dia masih mengamalkan produk tersebut bagi mencapai sasaran berat badan yang benar-benar diinginkan.

Nikah di Thailand, cerai melalui SMS


DULU masa bernikah memang tak bagi tahu orang langsung, tak mengapa, Joyah tak kisah. Ingatkan rumah tangga yang dibina di Selatan Thailand itu akan berkekalan sampai akhir hayat, rupa-rupanya terhenti di tengah jalan juga.

Itulah nasib yang menimpa penyanyi Janji Manismu ini. Kalau ada yang masih ingat Aishah pernah menggegarkan peminatnya dengan isu perkahwinan di Siam tu. Dan dalam kenyataannya, Aishah sangat bahagia kerana bernikah dengan suami barunya yang banyak memberi bimbingan ke arah keagamaan.

Tup-tup, dua tiga hari lepas timbul cerita Aishah telahpun berpisah dengan Faizal Sazali Zulkifli, pada 19 Mei lalu. Apa yang membuatkan Joyah terkejut bila Aishah dilepaskan hanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS ). Kenapa masa nak berpisah pakai SMS saja? Hmm, macam-macam.

Joyah tak pasti apa kemelut yang melanda mereka tetapi apa yang Joyah faham pasangan ini sudah tidak tinggal sebumbung sejak tiga bulan yang lalu.

Nikah segera elak fitnah-Aishah


PERNIKAHAN kali ketiga penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu, Aishah, kali ini bersama duda anak enam Faizal Sazali Zulkifli, 44, pada 30 April lalu banyak menimbulkan tanda tanya berikutan pernikahan tersebut dilakukan di sempadan Thailand dan bebas daripada pengetahuan umum.

Malah, selepas bergelar isteri dan bertemu media dalam beberapa majlis hiburan, Aishah masih enggan membuka mulut. Namun, selepas beberapa waktu, pihak media dapat juga menghidu berita pernikahannya dan Kosmo! menjadi akhbar pertama yang membuat laporan mengenainya secara eksklusif pada 24 Jun tahun ini.

Menurut Aishah yang ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya baru-baru ini, dia langsung tiada niat untuk menyembunyikan status mahupun suaminya. Juga tiada sebarang rahsia yang disembunyikan sebalik perkahwinannya yang dilakukan di sempadan Thailand.

“Saya tidak sembunyikan perkahwinan kerana kedua-dua keluarga tahu akan pernikahan kami. Cuma pada usia begini dan ini bukan perkahwinan pertama kami berdua, saya rasa tidak perlu untuk saya menghebohkannya. Kami berdua telah fikir panjang sebelum pernikahan dan apa yang penting kami telah bernikah.

“Bezanya tiada publisiti sahaja, selepas bernikah saya tidak sembunyikan status dan suami kerana saya akan memperkenalkan Faizal sebagai suami kerana tidak mahu menimbulkan fitnah,” ujarnya.

Tambah Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 45, meskipun pernikahannya kelihatan dilakukan secara tergesa-gesa kerana perkenalan selama seminggu di dunia maya menerusi laman sesawang www.muslimah.com itu telah membawa dirinya ke jenjang pelamin, itu bukan bermakna dia menyembunyikan sesuatu.

“Selain waktu yang sesuai, kami bernikah segera di sempadan kerana untuk mengelak fitnah dan suami saya ketika itu masih belum dapat surat cerai. Kalau saya ingin buat di sini dan buat sebuah majlis perkahwinan walaupun secara kecil-kecilan ia tetap mengambil masa yang panjang untuk persediaan,” tuturnya.

Luah Aishah lagi, dia bukanlah punca suaminya bercerai kerana ketika dia mula berkenalan dengan Faizal, suaminya itu telah pun dalam proses memohon penceraian di mahkamah syariah.

“Saya tidak pernah bermadu dan saya bukan puncanya bercerai kerana ketika baru berkenalan dengannya, dia telah pun dalam proses pernceraian di mahkamah,” balasnya.

Kehidupan yang dicari-cari

Aishah mengakui kehidupannya banyak berubah sejak bergelar isteri kepada Faizal. Kehidupannya lebih tenang dan teratur. Malah, hubungan mereka juga direstui oleh dua orang anak Aishah daripada perkahwinan keduanya, Armand Azhari, 16 dan Azhad Ahlami, 10.

“Anak-anak saya merestui, malah mereka yang menggalakkan saya berkahwin lagi. Kata mereka, jika mereka sudah besar nanti siapa yang akan menemani saya. Anak saya juga memanggil Faizal dengan panggilan ayah walaupun mula-mula mereka memanggilnya uncle,” katanya.

Tanpa berselindung Aishah memberitahu kehidupannya kini merupakan kehidupan yang dicari-cari selama ini.

“Saya selalu tengok pasangan yang berusia balik daripada sembahyang subuh di masjid bersama-sama. Sekarang saya dapat suami yang mampu membimbing ke arah kebaikan dan dapat membimbing anak-anak saya.

“Suami saya cakap, kenapa nak tunggu sudah pencen baru nak berubah. Jadi sekarang kehidupan kami lebih baik dan bermakna daripada dahulu. Anak-anak pun ada contoh yang baik dan lebih kerap ke masjid berbanding dahulu,” ucapnya.

Album Anak

Aishah yang selama ini popular dengan genre pop kini telah muncul dengan sebuah album kerohanian yang berjudul Anak. Album yang diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Aishah Creative Enterprise dan diedarkan oleh Nasyeed.Com dan Sony Music itu telah lama diidamkan Aishah.

Idea dan perancangan sejak tahun lepas membuahkan hasil apabila dia bertemu dengan penerbit yang benar-benar tahu apa yang dia inginkan iaitu Dakmie yang pernah menerbitkan album untuk Rabbani sebelum itu.

“Tidak sangka agak sukar dan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan keseluruhan album. Jika sebuah lagu pop saya boleh selesaikan rakaman selama 40 minit berbeza dengan album ini. Surah al-Fatihah sahaja mengambil masa lebih kurang satu jam dan terpaksa dirakam semula bagi mendapatkan sebutan yang benar-benar jelas.

“Saya dipantau oleh mereka yang arif dalam bidang ini sepanjang tempoh rakaman dan secara keseluruhan ia mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan,” tuturnya yang terlibat sebagai penulis lirik album tersebut.

Album itu yang sudah berada di pasaran itu menghimpunkan 20 buah doa dan zikir berlagu antaranya Doa Nabi Zakariya, Selawat Syifa, Doa Melihat Bayi dan Qasidah Doa Syukur Beroleh Zuriat. Selepas ini, akan diadakan siri album kerohanian daripada Aishah, walaupun begitu tegas Aishah dia masih akan aktif menyanyi lagu-lagu pop seperti biasa.

Jodoh "Ekspres" - Aishah Mahu Dibimbing Faizal


PERKENALAN penyanyi Aishah dengan suami, Faizal Sazali Zulkifli (gambar) hanya berlangsung dalam tempoh seminggu.

Tetapi dek kerana jodoh, ia tidak menghalang duda beranak enam itu untuk memperisterikan Aishah pada 30 April lalu dalam tempoh perkenalan yang singkat.

Bak kata Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin,45, dia menerima jodoh secara ‘ekspres’ itu kerana ia sudah menjadi ketentuan Allah.

“Saya baru kenal dia (Faizal) seminggu, terus dia ajak kahwin. Allah beri ‘ekspress’. Itulah namanya jodoh,” kata Aishah.

Pasangan tersebut bernikah di Narathiwat, Thailand.

Menurutnya, tidak ramai yang mengetahui tentang perkahwinan mereka melainkan orang terdekat sahaja.

“Kami mahu cepatkan pernikahan supaya terhindar daripada fitnah kerana kami selalu bersama-sama ke mana-mana. Lebih baik bernikah, jauh dari melakukan maksiat,” jelasnya mengenai perkahwinan ketiganya itu.

Menerusi sebuah akhbar, penyanyi lagu popular Janji Manismu itu menafikan perkahwinan mereka berlangsung di Thailand kerana hendak berpoligami sebaliknya suaminya sedang menunggu surat cerai yang dijangka keluar pertengahan Julai ini.

Aishah juga menafikan dia menjadi punca penceraian suaminya itu.

Katanya, mereka berkenalan semasa suaminya sedang membuat permohonan cerai.

Aishah juga memberitahu tentang perancangan mereka untuk mendaftarkan perkahwinan mereka secepat mungkin.

Selepas lebih 10 tahun menjanda, Aishah akur dengan jodoh yang datang lantas tidak mengambil masa yang lama untuk mengikat kasih dengan suaminya yang berusia setahun lebih muda darinya.

“Sebelum ini, hati saya belum terbuka untuk menerima sesiapa tetapi selepas mengenalinya, saya dapat rasa dialah pilihan terbaik.

“Saya mencari lelaki yang boleh membimbing saya dan anak-anak ke jalan Allah. Insya-Allah,” ujarnya yang sedang menyiapkan album yang memuatkan sebuah lagu, koleksi zikir dan doa untuk anak-anak bertajuk Anak.

Berita tentang perkahwinan Aishah itu tercetus setelah tersebarnya gambar dirinya bersama seorang lelaki dalam Internet baru-baru ini.

Aishah mengakui sengaja meletakkan gambar bersama suami barunya itu dalam laman Facebook untuk tatapan peminat-peminatnya.

Kasih Aishah pada anak


HUBUNGAN anak dengan ibu sesungguhnya bagai air yang dicincang tidak akan terputus. Begitulah kata-kata yang dipegang oleh penyanyi bersuara gemersik, Aishah biar ke mana sahaja dia melangkah.

Bagaimana akrabnya hubungan penyanyi lagu Janji Manismu itu dengan Allahyarham ibunya, Kamariah Datuk Ujang yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada tahun 2001 begitulah juga dia ingin keakraban tersebut mengalir dalam hubungannya dengan anak-anak.

Ibu beranak dua, Armand Azahari, 16, dan Azhard Ahlami, 10, itu kalau boleh ingin anak-anaknya mengerti biar sesibuk mana seorang ibu dengan urusan kerja namun, tidak sedetik pun wajah anak-anak hilang dari mindanya.

Oleh kerana itu jugalah biarpun berstatus ibu tunggal, Aishah tidak pernah lelah dalam membesarkan dua anak lelakinya itu.

Menyingkap kehidupannya sebagai ibu tunggal, kata Aishah: "Kehidupan sebagai ibu tunggal

sebenarnya tidaklah begitu sukar.

"Memanglah bila sudah bersendirian membesar dan mengendalikan anak-anak cabarannya berganda terutamanya apabila melibatkan pengurusan masa.

"Hari-hari memang agak 'gila' kerana masa. Namun, apabila anak sudah membesar, mereka pula yang kadang-kadang kata tak apa cuma saya ini jenis yang memang kasihan pada anak-anak sebab itu kalau ke mana-mana saya risau jika mereka tidak terurus," katanya.

Menurut Aishah, dalam hal memastikan anak-anak tidak terabai, apabila terpaksa bekerja di luar daerah pada hujung minggu dia tidak pernah lupa 'mengangkut' kedua-dua anaknya.

Baginya itulah sahaja masa yang ada untuknya dengan anak-anak sementelah pada hari-hari biasa jadual persekolahan membataskan pertemuan mereka.

"Saya memang akan selalu bawa anak-anak jika terpaksa keluar dari ibu kota. Bagi saya itulah sahaja masa yang ada untuk bersama dengan anak-anak memandangkan pada hari-hari biasa mereka sibuk bersekolah.

"Sampai sekarang saya memang selesa menjaga sendiri anak-anak saya dan pembantu rumah tugasnya cuma membantu mengemaskan rumah sahaja," kata Aishah yang bakal muncul dengan album baru tidak lama lagi.

Bercerita tentang peranannya sebagai ibu, untuk ke sekian kalinya Aishah tidak ketinggalan ditawarkan menjayakan sambutan hari ibu pada 16 Mei ini bertempat di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

A Tribute To Mum - We Love You, majlis yang bakal dihoskan oleh pengacara Syed Muradzi Syed Shamsul atau Dee itu bakal menyaksikan Aishah berkongsi pentas dengan seniman ternama, Jamal Abdillah.

Jualan meja kini telah pun dibuka dan harga jualan untuk sebuah meja ialah RM1,000, RM2,000 dan RM3,000.

Takdir rukun hidup Aishah


SELAMA sedekad melayari kehidupan bergelar ibu tunggal, memang banyak benar perit dan jerih yang dilalui oleh penghibur ternama bernama Aishah ini.

Malah dia akui, di awal kehidupannya sebaik sahaja memegang gelaran itu, dia seperti burung yang kepatahan sayap.

Tiada tempat untuk mengadu dan semua dilakukannya sendiri tanpa bantuan daripada mana-mana pihak termasuk ahli keluarganya sendiri.

Rasional Aishah cukup mudah. Selagi dia terdaya dan mampu untuk melakukannya sendirian, selagi itu kudratnya akan dicurahkan demi kebahagiaan serta masa depan anak-anaknya.

Mungkin akan ada yang mempertikaikan mahupun mempersoalkan kedudukan Aishah dengan ibu-ibu tunggal yang lain tetapi, kisah penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Janji Manismu ini juga tidak kurang menariknya.

Apatah lagi dengan menyambut kedatangan Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada hari ini memang bertepatan sekali untuk membicarakan tentang erti pengorbanan.

Jelas Aishah, selama menjadi seorang ibu tunggal dia tidak pernah melihat statusnya itu sebagai satu halangan untuk meneruskan kehidupan.

Baginya, wanita senasib dengannya tidak harus meratapi dan bersedih memikirkan nasib yang menimpa diri masing-masing.

bijak merencana

Sebaliknya, kata Aishah, mereka harus bangkit dan bersemangat untuk meneruskan kehidupan serta bijak merencana kehidupan masing-masing.

Prinsip hidup Aishah itu juga ada kaitannya dengan kehidupannya sewaktu menuntut di New Zealand untuk beberapa tahun sekitar tahun 80-an dan 90-an.

"Pada saya, sebagai seorang ibu memang menuntut pengorbanan yang cukup tinggi dan apa yang dilakukan bukanlah untuk diri kita lagi.

"Sebaliknya, ia adalah untuk anak-anak kerana mereka yang harus diutamakan dan semuanya perlu disediakan agar mereka mampu menikmati kehidupan yang bahagia di masa depan.

"Bukan untuk mendabik dada mahupun meninggi diri tetapi saya tidak akan sesekali membiarkan masyarakat terus memandang rendah dan membuli saya hanya kerana saya seorang ibu tunggal," tuturnya lembut namun tegas sewaktu ditemui di kediamannya di Ampang, Selangor lewat petang Isnin lalu.

Apatah lagi dengan pekerjaannya sebagai seorang artis, jelas Aishah, memang mudah terdedah dengan pelbagai tohmahan serta pandangan sinis daripada masyarakat.

Dengan penuh jujur Aishah mengakui, dia pernah berdepan dengan situasi sedemikian lebih-lebih lagi sewaktu awal proses perceraiannya.

Menjalani kehidupan sendirian dalam membesarkan dua orang anak terunanya, Armand Azahari, 15, dan Azhad Ahlami, 9, baginya pengalaman cukup mematangkan dirinya sebagai seorang wanita.

Sedari kecil, dia sudah mendedahkan anak-anaknya berdikari dan belajar untuk mencari duit poket sendiri dengan membantunya.

Malah, ke mana sahaja dia pergi untuk membuat persembahan ataupun jelajah negara menerusi kelas kraftangannya, dia akan membawa dua orang anak kesayangannya itu.

"Alasan saya cukup mudah. Saya mahu anak-anak saya melihat dan memerhatikan bagaimana saya bekerja keras untuk mencari rezeki demi menampung kehidupan.

"Daripada situ, mereka cukup sedar dan mereka sendiri pernah mengatakan bahawa mereka tidak pernah menyangka ibu mereka bekerja dengan penuh gigih demi menyara keluarga.

"Setidak-tidaknya, ia membuka mata mereka dan memberikan kesedaran bahawa dalam dunia yang penuh mencabar ini, bukan mudah untuk mencari rezeki dan semuanya memerlukan pengorbanan," ujar Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin ini panjang lebar.

Sewaktu sesi fotografi ini berlangsung, memang terpancar jelas kebahagiaan dan keceriaan dalam keluarga ini.

Gurau senda, bercanda dan melihat Aishah melayan anak-anaknya terutama sekali si bongsu yang comel serta petah berkata-kata itu cukup mencuit hati.

"Beginilah kehidupan saya. Biarpun hanya kami bertiga sahaja tetapi kami cukup bahagia dan gembira," katanya ringkas sambil memandang kedua-dua anaknya itu.

Satu yang pasti jelasnya, sepanjang menjadi seorang ibu, tidak ada langsung jurang pemisah antara dia dengan anak-anaknya.

komunikasi secara matang

Sebaliknya, aspek komunikasi secara matang cukup ditekankan oleh Aishah agar anak-anak menjadi rapat dan mudah untuk berdiskusi dengannya waima apa jua perkara sekalipun.

"Semasa mereka kecil pun, saya langsung tidak mengajar anak-anak saya bercakap pelat tetapi saya bercakap seperti mereka adalah orang dewasa," kata Aishah yang juga popular dengan lagu-lagu seperti Kemaafan Dendam Yang Terindah, Cinta Beralih Arah dan Camar Yang Pulang itu lagi.

Pengorbanan Aishah terhadap anak- anaknya memang cukup besar sehingga dia merasakan kehidupannya sudah cukup lengkap dan bahagia biarpun tiada insan bernama suami di sisi.

Bukan serik atau sudah tidak mahu lagi memikirkan tentang perkara itu tetapi jelasnya, apa yang dikecapinya hari ini sudah cukup menggembirakan dirinya.

Apatah lagi akan menginjak usia 45 tahun pada 3 Januari depan, Aishah berpendapat, agak mustahil untuk mencari lelaki yang benar-benar dapat menerima keluarganya.

"Kalau ada yang mahu menjadikan saya sebagai seorang isteri, lelaki itu harus memiliki kualiti kehidupan seperti kami yang sentiasa berada di rumah kalau tiada hal yang memerlukan kami berbuat demikian.

"Lelaki itu juga haruslah menerima anak-anak saya sebaiknya dan begitu juga dengan anak-anak saya," jelas Aishah sambil ketawa sewaktu menceritakan gelagat Azhad yang mahu melihatnya berkahwin sebelum dia dan abangnya melangkah ke zaman universiti dan alam pekerjaan.

Menyentuh tentang karier seninya pula, penyanyi yang mula menempa nama menerusi kumpulan The Fan Club sewaktu di New Zealand dulu menjelaskan, dia kini sudah bersiap-sedia untuk menjenamakan semula dirinya.

Tidak hanya berdiet dengan mengikuti program yang sudah diaturkan oleh doktornya tetapi dia juga mahu mengubah imejnya.

Bukan bermakna dia akan menanggalkan tudungnya tetapi sebaliknya tampil dengan imej yang lebih menarik.

Lebih-lebih lagi bakal muncul dengan Konsert Irama Warisan Kita yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur bermula 11 Disember ini, ia juga sebahagian daripada pengorbanan Aishah untuk menyedarkan masyarakat bahawa dia sebenarnya masih lagi aktif.

"Tidak tahulah mengapa orang sering kali memikirkan saya sudah tidak aktif menyanyi sedangkan saya masih lagi memenuhi undangan makan makan serta persembahan korporat.

"Kerana itulah, saya sedang perlahan-lahan untuk membina semula imej saya agar masyarakat sedar bahawa saya masih lagi di dalam industri," ujarnya yang kali terakhir muncul dengan album Kurnia pada tahun 2006.

Di sebalik itu, Aishah turut meluahkan kekesalannya terhadap beberapa stesen radio di negara ini yang enggan memutarkan single terbarunya, Yang Ada Hanya Kenangan.

Aishah sendiri tertanya-tanya di manakah silapnya lagu yang dicipta oleh Azlan Abu Hassan manakala liriknya pula nukilan Habsah Hassan.

"Mereka kata lagu itu terlalu urban untuk dimainkan dan tanpa memutarkan lagu itu terlebih dahulu, mereka sudah membuat kesimpulan bahawa pendengar tidak suka dengan lagu tersebut.

"Jadi, bagaimana artis tempatan mahu melahirkan album kalau radio sendiri tidak menyokong karya anak tempatan.

"Senario ini cukup berbeza satu ketika dulu di mana radio merupakan medium yang paling utama dan penting dalam mempromosikan lagu-lagu tempatan," kata penyandang gelaran Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik 1994 ini dalam nada kesal.

Tidak cukup dengan itu, dia juga terasa dirinya bagai dipinggirkan oleh segelintir pihak yang seolah-olah tidak menghargai usahanya sebagai anak seni selama ini.

"Saya sempat berpesan kepada anak-anak, kalau ada pihak yang mahu menghargai saya selepas saya meninggal dunia kelak, jangan ambil kerana tiada gunanya lagi," ujarnya penuh makna.

Gaya Aishah dan anak-anak


Dah besar panjang dah anak-anak Aishah ya. Aishah dah ada dua anak teruna dah. Anak bongsunya sihat walafiat nampak. Inilah foto terkini Aishah dan keluarga yang dirakam dalam satu majlis open house baru-baru ini.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails