Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Alyah. Show all posts
Showing posts with label Alyah. Show all posts

Laporan Alyah Hamil Tidak Benar

Penyanyi Datin Alyah tidak mengetahui siapakah individu yang menyebarkan cerita kononnya dia kini sedang hamil anak pertama bersama pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS. Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hassan, 33, berkata, dia hanya mengetahui perkara berkenaan melalui sebuah akhbar mingguan pada Ahad. "Pertama sekali berita saya hamil tidak benar dan apabila membaca mengenai laporan berkenaan saya terkejut kerana ia bukan datang daripada mulut saya. "Saya tidak tahu siapa yang sebarkan mengenai cerita itu tetapi ia sama sekali tidak benar," katanya kepada mStar Online pada Ahad. Menerusi laporan berkenaan, Alyah dikatakan berkunjung ke sebuah klinik kesihatan dan seorang individu yang turut berada di tempat sama terdengar penyanyi itu berbual mengenai kehamilan. Dalam pada itu, Alyah tidak menafikan ada berkunjung ke klinik berkenaan bersama seorang temannya tetapi tidak berbual mengenai hal-hal kehamilan seperti yang dilaporkan. Jelas Alyah, semasa berada di ruang menunggu hanya sepasang suami isteri turut berada di dalam klinik berkenaan dan dia pelik dengan tuduhan yang dibuat terhadapnya itu. "Saya berkunjung ke klinik berkenaan atas sebab lain dan tiada pula bercakap mengenai kehamilan malah hanya ada sepasang suami isteri sahaja di dalam klinik tersebut ketika itu," katanya. Alyah dan Ramli bernikah secara rahsia di Batam, Indonesia pada 18 Mac 2013 dan perkahwinan itu terbongkar apabila sekumpulan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat serbuan di rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi, 28 Ogos lalu.

Lewat Daftar Nikah: Ramli MS & Alyah Boleh Dipenjara

Pengarah muzik Datuk Ramli MS sepatutnya mendaftarkan perkahwinannya dengan penyanyi Alyah dalam masa enam bulan selepas tarikh mereka bernikah mengikut Seksyen 31 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Penolong Pengarah Unit Dasar, Penyelewengan dan Doktrinisasi, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarof, berkata, kegagalan pasangan itu berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan boleh disabitkan sebagai kesalahan selain dikenakan penalti. "Secara dasarnya pasangan yang berkahwin di luar negara perlu mendaftarkan perkahwinan tersebut dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan itu dengan hadir di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di bawah enakmen tersebut. "Sebaik-baiknya sejurus kembali ke Malaysia pasangan yang menetap di negeri Selangor terus hadir di hadapan mana-mana Pendaftar di negeri ini dengan mengemukakan surat perakuan nikah dan dokumen berkaitan untuk mengesahkan perkahwinan itu telah berlaku," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis. Ramli atau nama sebenarnya Ramli Mohamed Salleh pada Selasa lalu hadir ke Jais bagi menyerahkan pasport perjalanan antarabangsa miliknya dan isteri selain buku pernikahan mereka. Perkahwinan Ramli dan Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasilah Hassan, 33, terbongkar apabila sekumpulan pegawai penguatkuasa Jais membuat serbuan di rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi, 28 Ogos lalu. Kedua-dua pasangan tersebut telah berkahwin pada 18 Mac 2013 di Batam, Indonesia. Dalam pada itu, Shahrom berkata, pihak penguatkuasa akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pasangan itu memandangkan mereka tidak mendaftarkan perkahwinan yang sudah menjangkau usia setahun lima bulan. "Jika jelas peraturan itu dilanggar maka pasangan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 35. "Bagaimanapun kes Ramli dan Alyah masih diperingkat siasatan dan mereka akan dipanggil untuk memberi keterangan sama ada perkahwinan tersebut ada mendapat kebenaran di luar dan dalam negara dan perkara-perkara berkaitan sebelum kes itu dibawa ke Mahkamah Syariah untuk dibicarakan," jelasnya.

Jais Terima Tiga Dokumen Sokongan Nikah Ramli MS & Alyah

Pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS menyerahkan pasport perjalanan antarabangsa miliknya dan isteri, penyanyi Alyah selepas diminta hadir ke Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada Selasa. Pengarah Jais, Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, Ramli atau nama sebenarnya Ramli Mohamed Salleh turut menyerahkan buku nikahnya bagi membolehkan agensi penguatkuasa agama itu menjalankan siasatan lanjut. "Ramli menyerahkan tiga dokumen seperti mana diminta oleh pihak Jais dan setakat ini pihak kami berpuas hati dengan semua dokumen yang diserahkan," katanya kepada mStar Online menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa. Perkahwinan Ramli dan Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasilah Hassan, 33, terbongkar apabila sekumpulan pegawai penguatkuasa Jais membuat serbuan di rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi, 28 Ogos lalu. Dalam serbuan itu kedua-dua pasangan tersebut memberi kerjasama yang baik kepada anggota penguatkuasa selain berjaya meyakinkan mengenai pernikahan mereka yang dilakukan di Batam, Indonesia itu. Ramli hadir ke pejabat Jais kira-kira pukul 3 petang namun tidak ditemani isterinya. Ahmad Zahirin memberitahu pasangan itu bernikah pada 18 Mac 2013. Dalam pada itu, Ahmad Zaharin berkata, Ramli turut diminta menyerahkan bukti tambahan iaitu sokongan daripada kedutaan Indonesia mengenai pernikahan mereka untuk melengkapkan siastan. Jelasnya lagi, pihaknya juga berpuas hati dengan keterangan diberikan oleh Ramli yang memberikan kerjasama baik berhubung kes berkenaan. "Siasatan berjalan lancar dan pihak kami berpuas hati dengan keterangan dan kerjasama diberikan beliau," katanya.

Jais Serbu Rumah, Alyah & Ramli MS Gagal Sorok Nikah

Status yang cuba disorok oleh penyanyi Alyah atau nama sebenanya Noor Hasilah Hassan, 33, dan juga Datuk Ramli MS mengenai perkahwinan mereka selama ini ternyata gagal apabila mereka dikatakan sudah bernikah. Pasangan itu dipercayai bernikah di Batam, Indonesia kira-kira setahun lalu. Alyah dan Ramli atau nama sebenarnya Ramli Mohamed Salleh memberi kerjasama sepenuhnya ketika sekumpulan pegawai penguatkuasa agama, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan wartawan Berita Harian menyerbu rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini, kira-kira pukul 7.30 pagi Khamis. Pasangan berkenaan dipercayai berjaya meyakinkan pegawai penguatkuasa mengenai status rumah tangga mereka dan diminta hadir ke pejabat Jais untuk memberi keterangan selain dinasihatkan mendaftarkan perkahwinan mereka. Sebelum ini Ramli mengunci mulut apabila ditanya gosip perkahwinannya dengan Alyah. Alyah pula tidak banyak bercerita mengenai hubungan itu tetapi meminta pihak media bertanyakan sendiri kepada Ramli jika ingin penjelasan dengan alasan biar ia disahkan sendiri oleh pihak lelaki. Gosip hubungan mereka bertambah kencang apabila Ramli yang selama ini menetap 10 tahun di sebuah hotel di sini membuat keputusan berpindah ke rumah baharu yang dibelinya sambil menafikan ia bertujuan untuk menamatkan zaman dudanya. Berita yang tersebar ini mengakhiri pertanyaan mengenai status mereka dan jika benar Alyah dan Ramli sudah bernikah, ternyata laporan media sebelum ini adalah benar.

Alyah Mahu Jumpa Wartawan Untuk Pulih Hubungan

Penyanyi Alyah berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan wartawan hiburan di negara ini selepas Hari Raya Aidilfitri nanti bagi menjelaskan salah faham kononnya dia mahu ‘gam’ pihak media. Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 32, berkata, pertemuan itu dijangka akan diaturkan kira-kira dua minggu selepas Syawal. “Saya sudah merancang untuk bertemu dengan wartawan agar masalah kononnya saya hendak gam media dapat diselesaikan. Dengan cara itu saya fikir dapat juga mengeratkan hubungan antara saya dengan pihak media,” katanya. Alyah ditemui pada majlis agihan bubur lambuk untuk berbuka puasa kepada pemilik kenderaan yang melalui Jalan Putra di sini, Rabu. Majlis berkenaan anjuran Jamu Mak Dara Sdn Bhd bersama Hotel Seri Pasific, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) dan Restoran Nj Zenith. Terdahulu kontroversi Alyah dengan media tercetus apabila penyanyi lagu Tak Mungkin Kerana Sayang itu dikatakan mahu gam sebuah akhbar selepas tidak berpuas hati dengan laporan akhbar terbabit kerana melaporkan berita kononnya dia sedang menunggu lamaran konduktor muzik, Datuk Ramli MS. Dalam pada itu Alyah berkata, jalan terbaik untuk dia lakukan ialah meminta maaf dengan semua pihak media yang selama ini banyak membantu menaikkan kerjaya seninya. Dia juga seboleh-boleh enggan hubungannya dengan rakan-rakan watawan hiburan menjadi keruh walaupun kadang kala ada laporan yang ditulis itu mungkin mengguris hatinya. “Saya cuma mahu menjernihkan keadaan. Sebab itulah saya rancang untuk mengadakan majlis pertemuan ini selepas Hari Raya Aidilfitri nanti. Saya juga tidak mahu perkara itu terus berlanjutan,” katanya. Ditanya kesan terhadap isu itu Alyah tidak menafikan berhadapan degan tekanan perasaan apatah lagi dalam keadaan terpaksa menjaga ibunya, Raja Norsiah Raja Ali, 68, yang menghidap sakit jantung. Bagaimanapun dia bersyukur dapat menempuh dugaan itu dengan tenang walaupun kejadian tersebut turut mempengaruhi emosi ibunya. Sementara itu diminta pandangan mungkin beliau mempunyai seorang pengurus yang tidak bijak menangani isu seperti itu Alyah berkata, dia tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak sebaliknya mengambil pendekatan untuk sama-sama bermuhasabah diri selain belajar dalam setiap kesilapan yang dilakukan. “Saya tidak mahu salahkan sesiapa. Apa yang penting kejadian ini memberi pengajaran kepada semua pihak termasuklah Alyah sendiri,” jelasnya. Bercerita mengenai hubungannya dengan Ramli pula Alyah memberitahu, segala urusan jodoh diserahkan kepada Allah untuk menentukannya. Kata Alyah, pada usianya yang sudah mencecah 32 tahun, perasaan untuk memiliki keluarga dan mempunyai suami telah ada dalam dirinya tetapi biarlah perkara itu terlaksana apabila tiba masanya. “Siapa yang tak ingin kahwin dan ada keluarga sendiri? Tetapi Alyah ini perempuan... apa-apa pun kita serah kepada jodoh,” katanya.

Alyah Minta Maaf

Penyanyi Alyah memohon maaf kepada mana-mana pihak mungkin terasa ekoran kontroversi kontroversi yang mengaitkan nama pelantun Kisah hati itu, baru-baru ini. Minggu lalu, nama Alyah hangat diperkatakan apabila pihak pengurusannya didakwa telah mengugut mahu meng‘gam’ Utusan Malaysia gara-gara kurang berpuas hati dengan sebuah atikel mengenai dirinya yang tersiar di akhbar itu. “Saya mewakili pihak pengurusan dengan rasa rendah diri ingin meminta maaf kepada sesiapa yang mungkin terasa. Daripada isu pereka pakaian, bekas pembantu peribadi saya sehingga perkara yang terjadi sekarang ini, saya mohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki", katanya. Jelasnya, dia agak terpinga-pinga apabila dakwaan itu dilemparkan terhadapnya. Malah katanya, menyedari pihak media banyak menyokong kerjayanya, tidak pernah terlintas difikirannya mahu meng'gam' media. Apatahlagi sebelum ini dia tidak pernah mempunyai sebarang masalah dengan pihak media. “Saya rasa agak terpukul juga kerana saya tak ada masalah dengan media. Walaupun mungkin ada sesetengah wartawan menulis yang kurang baik tentang saya, tapi saya anggap itu kerja mereka. “Tetapi apabila keluarnya artikel, Alyah ‘Gam’ Media?...walaupun ianya dalam bentuk soalan, secara tak langsung, saya telah mengguris hati semua orang. Saya tidak pernah menyatakan perkara itu,” ujarnya yang turut meluahkan rasa kecil hati kerana cara penulisan tersebut namun percaya ada jalan penyelasaian untuk menjernihkan semula keadaan. Alyah juga memberitahu jika ada waktu dan apabila dia sudah bersedia, kemungkinan selepas raya Aidilfitri ini, satu sidang media akan dibuat mungkin selepas raya untuk menerangkan satu-satu bagi memulihkan keadaan. sumber : Sinar Harian online

Datuk Ramli MS & Alyah Dah Nikah Senyap-Senyap?

Awal minggu ini penyanyi Alyah dikhabar mahu memboikot akhbar Utusan Malaysia gara-gara penyiaran sebuah artikel di akhbar tersebut yang berjudul Alyah Tunggu Pinangan Ramli MS. Selama ini pelantun Tak Mungkin Kerna Sayang ini memang digosipkan bercinta dengan pengarah muzik terkenal itu. Terbaru, dalam portal hiburan murai.com.my menyebut, Datuk Ramli MS dan Alyah sebenarnya sudah pun berkahwin senyap-senyap. Berita tersebut datangnya daripada seorang rakan yang agak rapat jugalah dengan Ramli MS. Individu tersebut dikatakan telah terlepas cakap. Menurut portal berkenaan, pasangan itu sudah pun berkahwin selepas Alyah mengerjakan umrah pada April lalu iaitu selepas dia mengambil keputusan untuk berhijab penuh. Alyah juga sudah pun tinggal bersama di rumah pengarah muzik itu yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong. Jika benar seperti yang didakwa, kami doakan Ramli MS dan Alyah berbahagia selamanya. Perkara baik, apa yang hendak disorokkan, peminat pun nak tahu juga. Kan...

HIJRAH ALYAH SELEPAS UMRAH

"Saya baru sahaja cuba berhijrah, mana yang kurang harap dapat diterima dan saya akan ubah sedikit demi sedikit," demikian kata Alyah mengenai penghijrahannya memakai tutup kepala. Beliau berkata demikian ketika dijemput membuat persembahan di Wanita Hari ini, TV3. Meskipun tidak bertudung penuh sebagaimana artis lain, namun perubahan tersebut dilihat amat berani dan membawa kebaikan untuk Alyah sendiri. Mungkin hidayah tersebut ditemuinya ketika beliau mengerjakan Umrah baru-baru ini. Alhamdulillah..!

Kunjungan Ke Mekah Buka Hati Alyah Untuk Bertudung

Kunjungan penyanyi Alyah ke Mekah untuk menunaikan umrah pada 27 Mac hingga 11 April lalu telah melancarkan niat sucinya untuk bertudung. Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 32, berkata, hasrat memakai tudung telah lama dipendamkan namun selepas satu kejadian berlaku ketika menunaikan umrah, dia mula terdetik untuk terus bertudung. "Alhamdulillah, sejak menunaikan umrah, saya nekad untuk terus berimej sebegini. Perubahan ini juga disebabkan satu insiden yang tidak boleh saya kongsi di sini di mana ia membuatkan hati saya terbuka untuk mengubah imej saya. "Tambah pula dengan usia yang semakin meningkat, sudah tiba masa untuk saya berubah ke arah kebaikan. "Saya percaya apa yang dilakukan sekarang ini adalah untuk masa depan sendiri. Sebelum ini saya tercari-cari dan tertanya-tanya dengan pelbagai nasib buruk yang menimpa ke atas diri saya. “Tetapi apabila difikirkan balik, mungkin ada hikmah atas segala kejadian yang berlaku sebelum ini," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Isnin. Tambah Alyah, memandangkan para peminat sebelum ini mengenalinya menerusi fesyen-fesyen yang digayakan, dia juga tetap akan tampil dengan gaya menarik walaupun bertudung litup. "Saya sukakan fesyen dan saya masih lagi Alyah yang dulu. Cuma penampilan sahaja yang berubah. "Sekarang ini saya kembali membuat pelbagai kajian dan memikirkan fesyen-fesyen bertudung yang sesuai untuk saya," tuturnya. Ditanya apakah komen kekasihnya Datuk Ramli Mohamed Salleh atau Ramli MS berhubung perubahannya itu, kata Alyah, konduktor muzik terkenal itu memberi sokongan sepenuhnya dengan penampilan baru itu. "Alhamdulillah dia cakap 'baguslah, ia baik untuk awak’," selorohnya. Tambah Alyah, hubungannya dengan Ramli masih lagi dalam proses perkenalan dan mereka belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat ini.

Alyah Enggan Mohon Maaf, Pereka Fesyen Serik

PETALING JAYA: Penyanyi Alyah tidak berhasrat untuk memohon maaf terhadap dua pereka fesyen iaitu Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini mengenai salah faham berhubung pakaian yang ditaja pada majlis Anugerah Planet Muzik (APM2012) yang berlangsung di Max Pavilion, Singapura, pada Sabtu lalu. Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 31, berkata, dia mengambil pendekatan itu selepas berasa dihina dan diaibkan oleh pereka fesyen berkenaan dalam mesej menerusi Twitter mereka. "Maruah saya sudah dipijak-pijak. Mereka telah mengaibkan saya dengan kata-kata yang kurang manis. Buat apa saya perlu memohon maaf tentang perkara itu kerana ia telah dibayar dengan kata-kata hinaan yang diberikan mereka. "Belum sempat saya nak terangkan sebab-sebab saya tidak memakai pakaian rekaan tersebut, mereka telah menghentam saya di Twitter. Saya rasa dihina," katanya yang dihubungi mStar Online di sini , tengah hari Isnin.
Hatta dan Rizman Ruzaini menerusi Twitter mereka pada Ahad telah menempelak Alyah kerana penyanyi itu dikatakan tidak memakai pakaian yang ditaja mereka untuk APM2012 di Singapura, sebuah acara hiburan yang membabitkan penyertaan tiga negara termasuklah Malaysia dan Indonesia. Alyah dilaporkan telah meminta tiga pereka fesyen termasuk seorang lagi iaitu Amir Luqman bagi menghasilkan busana untuk acara berkenaan sebaliknya beliau dikatakan hanya memakai pakaian rekaan Amir sahaja untuk persembahan pentas serta miliknya sendiri bagi acara karpet merah. Menurut Alyah yang memenangi kategori Lagu Terbaik menerusi lagu Kisah Hati, ciptaan Manusia Putih pada acara tersebut, pakaian rekaan Hatta dan Rizman mempunyai masalah zip serta beberapa perkara lain. Akibat hal berkenaan, dia bercadang untuk menyelesaikan masalah tersebut secara berdepan selain ingin menjelaskan sebab-sebab pakaian itu tidak dipakai. "Saya bukannya seorang yang suka melarikan diri daripada masalah. Ada sebab-sebabnya kenapa saya tidak memakai pakaian mereka dan saya enggan memperbesarkan perkara ini. "Tambah pula Hatta dan Rizman Rizman telah banyak membantu menaja pakaian saya selama ini, jadi saya tak mahulah nak memburukkan keadaan. "Jika mereka mengatakan saya tamak kerana ingin menggunakan khidmat ramai pereka fesyen hanya untuk sebuah acara cahaja. siapa yang pernah bekerja dengan saya, mereka akan tahu, setiap majlis anugerah, saya akan bertukar tiga pakaian," jelasnya. Rizman yang dihubungi pula berkata, dia sudah serik dan enggan bekerjasama lagi dengan Alyah selepas apa yang telah berlaku itu. Pereka yang pernah menaja pakaian selebriti tersohor seperti Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira dan Ziana Zain itu menyifatkan Alyah tidak profesional dan kejadian ini bukanlah pertama kali. "Tiga perkara yang menunjukkan Alyah tidak profesional iaitu dia tidak datang dan berbincang dengan kami pakaian yang ingin dipakai, sebaliknya hanya menghantar gambar sebagai contoh untuk kami menghasilkan pakaiannya. "Kedua, selepas gaun itu siap, dia tidak datang pula untuk mencuba, sehinggalah apabila gaun itu dibawa ke Singapura, ia langsung tidak dipakai. "Sebelum ini sudah banyak kali saya menghubunginya tetapi tidak berjawab dan semua urusan perbincangan hanyalah menerusi pembantu peribadinya sahaja. "Kos pakaian itu bukannya murah, ia bernilai ribuan ringgit dan tujuan ia ditaja adalah untuk mempromosikan jenama kami. Cukuplah, ini adalah kali terakhir kerjasama saya dengan dia," ujarnya. Sementara itu, Hatta menerusi entri Twitter miliknya pula menyifatkan Alyah sebagai seorang yang tidak menghargai penat lelah pereka fesyen yang cuba menyiapkan pakaiannya itu tetapi tidak memakainya serta enggan memohon maaf.

Insiden Dihempap Lampu, Alyah Masih Fobia

PUTRAJAYA: Kecederaan bahagian belakang badan penyanyi Alyah akibat dihempap sebuah lampu acara (spotlight) pada 14 September lalu menyebabkan dia berasa fobia sehingga hari ini. Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 31, berkata, insiden yang berlaku pada majlis rumah terbuka Hot FM di Sri Pentas, Petaling Jaya itu membuatkan dia berasa takut dan gelisah ketika berada di lokasi sesebuah persembahan. “Saya jadi fobia dan trauma sehingga hari ini kerana insiden itu. Perasaan kurang selesa dan takut-takut itu akan datang secara automatik apabila saya berada di belakang pentas atau lokasi sesebuah persembahan. “Kemalangan itu pun berlaku secara tiba-tiba dan tidak disangka namun saya sedang cuba mengatasi ketakutan itu,” katanya ketika ditemui mStar Online di sini. Pada kejadian 14 September lalu, penyanyi yang sedang popular dengan Kau Yang Terindah itu dikejarkan ke Pusat Perubatan KPJ Damansara dekat sini selepas sebuah lampu acara terbalik lalu terjatuh ke atas belakangnya pada majlis rumah terbuka berkenaan. Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi itu, lampu yang ditempatkan di ruang legar stesen penyiaran untuk acara tersebut dikatakan telah dilanggar oleh seseorang menyebabkan ia terjatuh atas badan Alyah.
Ditanya mengenai status kecederaan itu, Alyah berkata, dia masih lagi menjalani pelbagai proses pemulihan walaupun keadaannya beransur baik. “Saya masih lagi menjalani proses fisioterapi dan rawatan tradisional cara Cina. Alhamdulillah, kecederaan itu tidak serius dan tidak mengakibatkan saya menjadi lumpuh seperti didakwa. “Pada awalnya, saya kerap bergantung pada ubat penghilang kesakitan tetapi keadaan bertambah baik sekarang,” katanya. Mengenai perkembangan hubungannya dengan pengarah muzik Datuk Ramli MS, Alyah berkata, dia tidak mahu memikirkan mengenai perkara itu pada waktu ini kerana mahu memberikan keutamaan kepada urusan kerjaya dahulu. “Hubungan itu memang masih ada, cuma saya tidak mahu bercerita lebih lanjut kerana belum ada perancangan atau hala tuju tertentu. “Saya mahu memberikan tumpuan kepada persiapan untuk rakaman album baru dan mini konsert yang dijangka berlangsung pada awal tahun depan,” katanya.

Alyah kian pulih dari kecederaan ditimpa lampu

Penyanyi Alyah yang mengalami kemalangan ketika menghadiri rumah terbuka Hot FM pada 14 September yang lalu selepas ditimpa lampu 'spotlight', kini sudah pulih sebanyak 50 peratus. Dipetik daripada sebuah portal hiburan tempatan, menurut pengurus peribadi Alyah, Shuib, dia yang sedang dirawat di Hospital KPJ Damansara, sudah pun berada di dalam keadaan yang stabil. "Alhamdulillah, Alyah berada dalam keadaan yang stabil dan tiada apa yang serius. Cuma dia perlukan rawatan selanjutnya untuk tisu otot di bahagian belakangnya yang ditimpa lampu. "Malah, doktor telah memberitahu bahawa Alyah sudah pulih sebanyak 50 peratus. Namun masih memerlukan beberapa rawatan di hospital termasuk dua kali fisioterapi," kata Shuib. Dalam pada itu, Shuib yang ditanya lebih terperinci mengenai keadaan Alyah enggan memberikan maklumat lanjut kerana tidak dibenarkan berbuat demikian selepas membuat perjanjian dengan pihak Media Prima.

Lampu Acara Jatuh, Alyah Masuk Hospital

PETALING JAYA: Penyanyi Alyah dikejarkan ke Hospital KPJ Damansara di sini selepas sebuah lampu acara (spot light) terbalik lalu terjatuh atas belakangnya pada majlis rumah terbuka Hot FM di Sri Pentas di sini pagi Jumaat. Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi itu, lampu yang ditempatkan di ruang legar stesen penyiaran untuk acara tersebut dikatakan telah dilanggar oleh seseorang menyebabkan ia terjatuh atas badan Alyah. Sumber yang menyaksikan kejadian itu memberitahu mStar Online, Alyah mengadu sakit akibat peristiwa berkenaan menyebabkan pihak Hot FM terpaksa memanggil ambulan untuk membolehkan dia mendapatkan rawatan.
"Alyah berada dalam keadaan stabil kerana ia hanya kemalangan kecil tetapi bagi mengelakkan sebarang komplikasi lain pihak penganjur mengambil keputusan membawanya ke hospital. "Alyah sebelum ini memang pernah mengalami kesakitan pada bahagian tersebut," ujarnya. Tambah saksi itu lagi, hentakan yang dialami Alyah itu menyebabkan dia tidak mampu bertutur kerana mahu menahan sakit. Penyanyi lagu Kisah Hati itu hadir ke majlis tersebut bersama-sama selebriti lain seperti kumpulan Forteen, Tomok dan Yuna.

Bila Alyah terbuka

ADA yang beranggapan Alyah kini bukan sahaja semakin berani tetapi juga terlalu jujur memperkatakan tentang rahsia hatinya. Jika dilihat, ini merupakan antara perkara terbesar yang pernah dikongsikan penyanyi ini dengan umum. Sebelum ini dia lebih banyak berahsia akan kisah peribadinya. Cuba mengorek apa sebenar yang cuba disampaikan penyanyi berusia 31 tahun itu, Alyah berkata, bukan niatnya untuk memberikan konklusi kepada hubungan yang baru berputik tetapi sekadar sebuah pengakuan jujur dari dirinya mengenai hubungan tersebut. "Saya hanya menjadi jujur menerangkan apa yang berlaku. Saya rasa itu sesuatu yang normal. "Lagipun saya bukan mengakui saya sedang bercinta. Saya cuma berkata sedang mengenali seseorang," katanya yang sedang hangat dikaitkan bercinta dengan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS, 52. Dicuit soal perkahwinan, menurut Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, dia tidak sesekali menolak jodoh. Namun buat masa ini fokusnya lebih kepada karier. "Saya tidak menolak jodoh. Kalau dia datang saya akan menerimanya. "Cuma buat masa ini soal perkahwinan masih belum difikirkan. Lagi pula saya masih sibuk dengan single terbaru saya berjudul Lena Sahara," jelasnya. Ketika para peminat sibuk meneka tarikh hari bahagia penyanyi itu yang kononnya dijadualkan tahun hadapan, Alyah pula memberitahu, apa yang pasti belum ada perancangan mengenai hari bahagia itu. Ini kerana katanya, fokus utama tahun hadapan lebih kepada mengadakan mini showcase buat para peminatnya di seluruh negara. "Impian saya sejak dahulu adalah untuk mengadakan mini showcase. Saya harap itu dapat direalisasikan tahun hadapan. "Memandangkan saya menguruskan semuanya sendiri, bebannya mungkin agak berat untuk.Soal perkahwinan pula masih belum difikirkan. "Bagaimanapun seperti yang saya katakan tadi jika jodoh datang saya tidak akan menolaknya," katanya ketika di temui untuk rakaman program hari raya di Angkasapuri , Kuala Lumpur baru-baru ini. Ditanya persepsi ibunya mengenai pilihan hatinya, menurut Alyah, tidak banyak yang diharapkan ibunya selain mendoakan yang terbaik. "Tidak banyak permintaan dari ibu saya. Nasihatnya hanya satu jangan sesekali mengambil hak orang, walau sakit macam mana pun kita, jangan sakitkan orang lain," katanya. Kurus demi klip video Kegigihan gadis ini dapat dilihat melalui pencapaiannya dalam industri. Mana tidaknya, memilih untuk bergerak sendiri, Alyah mengakui merasai kesukarannya. Bagaimanapun demi kepuasan hati, dia memilih untuk mengambil bahagian dalam setiap percaturan kerjayanya. "Selama empat tahun ini saya bekerja tanpa henti sehingga memberikan kesan kepada suara saya sendiri. "Justeru mengikut nasihat doktor, saya akan mengambil cuti panjang sepanjang bulan Ramadan ini," katanya. Kali pertama mengambil cuti panjang setelah empat tahun bertungkus lumus, menurut Alyah selain mahu berehat, dia juga mahu pastikan keadaannya benar-benar bersedia untuk meneruskan promosi single terbarunya selepas menyambut lebaran nanti. Malah wanita ini turut menafikan, keputusan itu adalah kerana dia cuba lari dari mana-mana kontroversi. "Saya akan bercuti sehingga raya. Dalam waktu itu saya tidak akan menerima sebarang tawaran. Dan secara jujurnya bukan niat saya untuk lari dari mana-mana kontroversi, saya bukan jenis orang begitu. "Saya memang ada masalah tulang belakang selepas terlibat dengan kemalangan beberapa tahun lepas. Selain itu suara saya juga memerlukan rehat. Oleh itu saya memang memerlukan cuti yang panjang," jelasnya. Melihat penampilannya kini yang semakin kurus menurut Alyah, beratnya kini menurun daripada 52 kilogram kepada 44 Kilogram. Mengakui selesa dengan berat badannya kini, itu juga sebenarnya berkait rapat dengan pembikinan video klip terbaru untuk single Lena Sahara. "Saya mahu kelainan untuk video klip ini. Jadi penampilan juga harus berbeza dari video klip lain. "Selepas raya, saya akan berada di Jakarta untuk penggambaran video klip ini dan pengarah untuk video klip ini nanti merupakan orang sama yang pernah mengarahkan video klip Tak Mungkin Kerna Sayang empat tahun lalu," katanya.

Alyah telan sensasi

UNDANGAN untuk menyaksikan rakaman raya Pesona Aidilfitri di Auditorium Perdana, Angkasapuri untuk tayangan hari raya keempat nyata memberikan sedikit ruang untuk bersua dengan penyanyi lunak, Alyah. Rakaman konsert yang menggabungkan pelantun Kisah Hati bersama bintang Golden Teen Search 1997, Dayang Nurfaizah dan Bintang RTM 2001, Misha Omar sejujurnya mengubat rindu melihat penyanyi kelahiran stesen televisyen itu beraksi. Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 31, bagaimanapun kelihatan berbeza daripada sebelum ini. Bentuk tubuhnya lebih kurus dan wajahnya kelihatan agak keletihan. Tertanya-tanya adakah Alyah susut berat badan kerana letih melayan kontroversi kisah cinta dan masalah keluarga atau tekanan bekerja? "Selain sibuk menyiapkan rangka kerja untuk album saya juga terlibat dengan tugasan produksi. Kedua-duanya saya perlu fokus, mungkin itu salah satu faktornya. "Sebab lain kerana saya memang mahu kurus untuk penggambaran klip video Lena Sahara selepas hari raya nanti di Jakarta. "Saya ingin menampilkan bentuk badan yang berbeza dalam setiap klip video dan untuk single kelima itu saya mahu kelihatan innocent dan resah," katanya yang bakal menggunakan khidmat produser muzik video yang sama daripada single pertama Tak Mungkin Kerana Sayang, Hedy Suryawan. Kata Alyah, berat badannya sebelum ini adalah 52 kilogram dan terkini turun 44 kilogram. Sementara itu, tambah Alyah single Lena Sahara ciptaan Yasin itu akan dimuatkan dalam albumnya yang dijadualkan keluar pada tahun depan. Namun, masih ada beberapa buah single lagi yang belum dikeluarkan menjelang kelahiran album itu. Dalam perancangan lain, Alyah juga akan mengadakan konsert mini seluruh Malaysia untuk mempromosikan album itu. Bercuti Malam Isnin minggu lepas merupakan program terakhir Alyah sebelum bercuti panjang sehingga sambutan 1 Syawal. Kata Alyah, percutian itu telah lama dirancangnya dan sekarang adalah masa yang tepat untuk mencuri waktu. "Sudah beberapa tahun saya tidak dapat cuti panjang terutama bulan Ramadan, saya tidak akan mengambil sebarang tawaran sepanjang tempoh itu dan tidak akan berada di Kuala Lumpur sehingga hari raya ketiga. "Kebetulan saya dinasihatkan doktor untuk berehat sebab terlalu penat bekerja dan saya juga mempunyai masalah vocal chord akibat kemalangan beberapa tahun lepas. Jadi peluang ini saya akan manfaatkan sebaik mungkin," ceritanya. Namun begitu, Alyah menegaskan percutian itu bukan satu langkah untuk dia lari daripada masalah dan mengelak untuk berdepan dengan kontroversi yang membabitkan dirinya serta beberapa pihak lain. "Saya bukan lari daripada masalah kerana saya faham industri kita tidak besar, kalau tak berjumpa di sini akan jumpa juga di tempat lain. "Cuti ini untuk diri sendiri kerana saya rasa perlukan masa untuk diri saya dan sepanjang dalam industri, saya tidak pernah bercuti panjang lagi," jelasnya. Kahwin Beralih cerita kepada tanda tanya hubungannya dan komposer terkenal, Datuk Ramli M.S. termasuk persoalan bila Alyah bakal menamatkan zaman bujang, dia mengeluh panjang. Kata Alyah, dia tidak menolak jodoh yang datang tapi buat masa sekarang dia hanya memfokuskan perihal kerjaya dan matlamat untuk mengeluarkan album serta mini showcase pada tahun depan. "Jodoh datang saya tidak tolak, untuk merancang pun jauh lagi. Buat masa sekarang saya hanya memikirkan showcase mini yang saya impikan sejak 12 tahun lalu dan saya teruja untuk perancangan itu," luahnya. Menegaskan hubungannya bersama Ramli M.S. sekadar dalam peringkat berkawan, Alyah tidak melenting apabila cerita, gosip, usikan dan dakwaan mereka sedang bercinta menjadi perbualan. "Itu perkara normal, saya tidak pernah pun cakap tengah bercinta cuma orang sentiasa salah faham. Alhamdulillah orang mendoakan saya cepat bertemu jodoh, tapi buat masa sekarang belum ada lagi," tegas Alyah. Namun Alyah sentiasa berpegang pada pesanan ibunya berkenaan soal jodoh. Katanya: "Kita tidak tahu jodoh kita, kalau nak berkahwin jangan sakiti hati orang lain dan jangan merampas hak orang. Biar hati saya sakit jangan hati orang lain yang sakit." Keluarga Selembar lagi kisah keluarga Alyah menjadi buah mulut apabila adik lelakinya, Mohd. Faizal Abu Hassan dijatuhi hukuman penjara kerana terlibat dalam kes samun. Hakikat yang harus ditelan, cubit paha kanan paha kiri terasa sakit. Namun, dia juga pasrah apabila persembahannya dibatalkan ekoran kejadian itu. "Saya percaya pada rezeki dan kuasa Allah, sebelum ini saya tak ada persembahan, lagi susah. Sekarang jika ada yang dibatalkan di saat akhir saya tiada masalah dan terima dengan hati terbuka. "Buruk atau jahat dia (adik) tetap darah daging saya dan dia pun sudah dijatuhkan hukuman yang setimpal. Itu pengajaran untuk adik saya juga supaya selepas ini lebih matang menjalani kehidupan. "Emak saya sekarang pun sudah boleh menerima keadaan ini dan saya bersyukur tiada apa-apa berlaku kepada keluarga saya yang lain," getus Alyah. Bagaimanapun, Alyah akui dia manusia biasa dan tiada hak untuk menutup mulut orang daripada terus bercakap. Tambahnya: "Terpulang, saya reda dan terima kata-kata orang dengan hati terbuka."

Kahwin? Bukan tahun inilah... ALYAH

PENYANYI ini hanya menggelengkan kepala tatkala soal perkahwinan dengan seorang pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS, 52, dibangkitkan. Wajahnya juga kehairanan apabila cerita perkahwinannya yang dikatakan berlangsung pada tahun ini terlebih awal diketahui orang luar berbanding si empunya badan. “Kalau soal mendirikan masjid, saya tak akan sembunyi. Saya akan beritahu semua orang. Kalau ada jodoh, dan okey saya akan umumkan (cerita nak kahwin). Mana ada saya nak kahwin tahun ini. “Tapi kalau ada orang pandai-pandai cakap saya kahwin tahun ini, jangan tanya pada saya tapi tanya pada orang yang buat cerita itu," bidas Alyah saat ditanya tentang perkahwinannya. Penyanyi Tak Mungkin Kerana Sayang ini juga kesal kerana gosip yang mengatakan dirinya bakal menamatkan zaman solo pada tahun ini semakin digembar-gemburkan dan mengandungi banyak fakta yang meragukan. “Yang boleh saya cakap, memang kami berkawan dan dalam proses nak kenal hati budi masing-masing. Orang yang sibuk menggembar-gemburkan cerita tentang hubungan kami itu, saya anggap penambahan yang banyak, macam makan garam yang banyak, boleh darah tinggi. “Orang asyik bertanya perkara yang sama, dan saya tak boleh mengelak, kena cakap juga. Tapi saya tak boleh nak kongsi lebih-lebih, sebab saya takut. Saya pernah mengalami proses teruja nak kahwin selepas bertunang dulu. Tapi bila tak jadi, macam mana? “Saya pun tak nak cakap tak ada sedangkan memang saya berkawan dengan dia, nampak sangat saya berpura-pura. Saya tak mahu orang tuduh saya menipu, bila semua orang tahu (tentang hubungan itu)," jelasnya berterus-terang. Jadi, benarlah pemegang Anugerah Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-26 menerusi lagu Kisah Hati itu menafikan mahu berkahwin tahun ini. “Soal jodoh, saya tak boleh nak cakap sebab kita tak tahu. Lagi pun kita tak pernah membincangkan perkara itu (secara serius). Tapi sekiranya ada, saya akan beritahu dan sudah tentulah bukan tahun ini. “Saya ada banyak komitmen yang perlu dilakukan. Nak siapkan album, kalau ada rezeki nak buat showcase. Saya juga nak hantar emak pergi haji dan persiapan persekolahan dua anak angkat saya, (Mohd. Alif, 6, dan Naziatul Afiqah, 4)," katanya. Ditanya apa perasaan anak kelahiran Johor ini tatkala cerita perkahwinan Alyah dijadikan bahan cerita segelintir pihak sedangkan perkara itu belum disahkan lagi, wanita ini terdiam. “Susah nak cakap, memang ada macam-macam perasaan. Tahun ini paling banyak cerita tentang saya. Saya bimbang perasaan emak dan sebab itu sebesar kuman saya tak pernah berdalih dengan emak tentang semua isu-isu yang melibatkan saya," katanya menutup perbualan.

Alyah akui kini 'berkawan' dengan Ramli MS

Setelah sekian lama menjadi tanda tanya, penyanyi popular Alyah akhirnya mengakui kini 'berkawan' dengan pemuzik tersohor tanah air, Datuk Ramli MS. "Saya akui yang saya sekarang berkawan dengan beliau(Ramli MS) dan kini masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing. "Saya harap dengan penjelasan ini, tiada lagi pihak membuat sebarang spekulasi yang bukan-bukan,"katanya ketika dihubungi Media Hiburan. Penyanyi yang popular dengan lagu 'Kisah Hati' ini turut berharap agar hubungannya dapat berkekalan sehingga ke jinjang pelamin. "Doakan yang baik-baik untuk kami dan jika ada jodoh (berkahwin) saya akan kongsikan dengan semua peminat,"kata Alyah yang kini muncul dengan single terbarunya, 'Lena Sahara'.

Kenyataan Pertama Alyah Berkaitan Kes Samun Adik, Kesal Laporan Media

Bukan kami harapkan Alyah memberikan kenyataan dalam keadaan sebegini, namun kisah lebih baik kalau datang’nya daripada kedua dua belah pihak. Hujung minggu lalu, pelbagai saluran media ada menyebut tentang kes samun seorang lelaki juga bergelar adik penyanyi terkenal dan laporan Buletin Utama mendedahkan penyanyi terkenal tersebut sebagai Alyah. Pendedahan itu mendatangkan banyak kejutan dan juga reaksi daripada para peminat dan menerusi laman sosial Facebook & Twitter hari ini, Alyah buat pertama kali memberikan komen. “Tahun ini ibu saya menyambut hari ibu dengan tangisan. Dihadiahkan dengan berita yang sangat menggemparkan keluarga. Diaibkan dengan lontaran menyebut nama saya. Saya redha,” tulis Alyah awal hari ini yang juga berkongsi video muzik terbaru beliau untuk Pesananmu di Facebook. Kenyataan seterusnya daripada Alyah jelas menggambarkan yang beliau kesal dengan laporan media yang mengaitkan nama beliau terus dengan kes samun tersebut tanpa memikirkan implikasi buruk. “Terima kasih kepada yang mengwar -war kan berita ini. Bayangkan bila hari ibu di sambut oleh ibu anda dengan tangisan dan jatuh kerana sakit menerima berita musibah. Apakah perasaan anda? Tidak termasuk kata kata dari orang kampung,” tambah Alyah lagi.

Alyah terbiasa bergelut

ADA getar antara tegas dan sebak dalam suara milik penyanyi Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan saat berbicara dengannya pada malam Rabu lalu. Alyah bertegas mempertahankan diri apabila dituduh sebuah blog bahawa dia memberi kenyataan menyalahkan media tentang isu adiknya yang kini berhadapan tuduhan menyamun seorang warga negara Singapura. Dia sebak apabila menyentuh tentang perasaan ibunya di kampung dan ahli keluarga lain. Apa yang pasti, kata Alyah, biar sekuat mana badai menghempas dirinya, dia harus bertahan kerana sepanjang 12 tahun menjadi anak seni, dia sudah terbiasa bergelut untuk survival antara sebuah kehidupan dan karier. "Saya terima semua perkara yang terjadi dengan hati terbuka," katanya ringkas sambil menghela nafas panjang. Alyah mengambil sedikit masa sebelum mula kembali bercerita: "Sejujurnya kami sekeluarga tahu akan hal tersebut sejak dua bulan lalu (kes adiknya didakwa menyamun). "Kami terima ia dengan hati yang terbuka kerana hanya kami yang tahu kisah sebenar. Cuma yang membuat hati saya tersentuh dan kurang senang apabila ada segelintir khalayak sesuka hati untuk mencemuh dengan berkata 'penyamun dan sampah masyarakat, tak cukup ke duit kakak kau menyanyi sampai nak menyamun?' "Saya kira, itu tohmahan yang terlalu kasar buat kami. Bayangkan jika kalian berada dalam situasi kami." Ujar Alyah pernyataan yang ditulisnya di laman Facebook juga bukan bermaksud untuk menyalahkan pihak media. Sebaliknya, jelas penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Kisah Hati itu, dia hanya melahirkan rasa sedih bagi pihak ibunya dan keluarga kerana berita tentang jatuh hukum terhadap adiknya itu disiarkan pada hari istimewa iaitu Hari Ibu. "Saya hanya tinggal ibu seorang sahaja di dunia. Saya tidak mahu kehilangan dia kerana cerita-cerita begini. Impak dan tekanan yang diterima ibu di kampung cukup kuat. Jadi, saya hanya menulis untuk menjelaskan situasi kami dan impak terhadap penyebaran yang berlaku, bukan saya menyalahkan pihak media. Saya tidak berniat berbuat begitu. "Cuma saya sangat berharap kepada para blogger agar jangan menambah masalah kami dengan menyalah lapor atau membuat andaian sendiri terhadap sesuatu perkara tanpa bertanya kepada tuan badan. Biar apapun kata orang, baik atau buruk dia, dia tetap adik saya," katanya lagi. Mengaku berita tersebut sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kariernya, namun anak kelahiran Johor Bahru itu optimis bahawa setiap perkara yang berlaku punya hikmah. Sementelah katanya, selama 12 tahun ini, dia sudah terbiasa untuk bergelut dalam lapangan seni. Justeru, biar terkesan apabila ada klien yang mula membatalkan persembahan kerana berita tersebut, dia harus kuat dan pantang mengalah. Cerita Alyah, sembilan tahun pertama dia berada dalam industri seni, kehadirannya hampir tidak disedari. Dia pernah mencuba nasib sebagai penyanyi balada, duduk dalam sebuah syarikat rakaman yang besar, memasuki program realiti televisyen, malah berusaha keras untuk menonjolkan bakat, semuanya dipandang sepi.
Sehingga lagu Tak Mungkin Kerna Sayang meletup pada tahun kesembilan dia menyanyi. Tuah mula berpihak kepada Alyah. "Saya sudah terbiasa bergelut. Pada masa yang sama, saya juga bukan yang mudah menyerah. Sebab itu saya masih di sini dan Alhamdulillah, selepas 12 tahun, hasilnya agak baik," ulasnya ringkas. Alyah kemudian menambah cerita tentang perjalanan seni 12 tahunnya. Dia yang menerima pengiktirafan sebagai pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26) menerusi lagu yang cukup berhantu, Kisah Hati, memberitahu, kerana kepayahannya mendapat tempat dalam industri seni telah membuatkan dia terpinggir. "Saya mengaku, sewaktu lagu Tak Mungkin Kerna Sayang meletup, ramai yang tak tahu lagu itu dinyanyikan oleh saya. Malah sewaktu beberapa lagu lain saya mula meningkat naik, ada rakan artis yang anggap saya tak ubah seperti pendatang baharu yang tak lama dalam industri. "Mereka juga tak mahu berkawan dengan saya. Ya, saya tidak mempunyai kawan dalam kalangan artis sebab bukan saya yang tak mahu berkawan dengan mereka, tetapi mereka yang tidak mahu berkawan dengan saya. "Sebab itu sehingga kini, selepas nama saya semakin dikenali, saya sudah terbiasa sendiri, sudah terbiasa tak punya kawan dan saya okay begini," katanya berterus-terang. Seiring lagunya menjadi siulan, Alyah mula mencipta fesyen tersendiri sehingga dilabel sebagai Lady Gaga Malaysia. Dua respons berbeza diterima tentang penampilan diri. Ada yang menganggap fesyennya begitu pelik, sebahagian pula menerima ia sebagai satu pembaharuan dan imej tersendiri dari Alyah. Bercakap tentang isu fesyen, Alyah ketawa mengekeh. Katanya, dahulu ada yang melabelkan dia tidak tahu berfesyen dan kekampungan. Berbeza apabila dia mula berani membuat eksperimen dengan fesyen. Dia kemudian memberi hujah sendiri. Katanya: "Saya rasa, fesyen dan artis merupakan satu item. Saya beranggapan, sebagai selebriti, tiada istilah fesyen yang mengarut dan fesyen yang berani telah lama wujud kerana ia melambangkan identiti seseorang itu. Bagaimanapun, kini, saya lebih menyenangi fesyen yang sofistikated dan elegan." Tersingkir Umum mengetahui Alyah merupakan salah seorang peserta program realiti televisyen, Mania. Tersingkir seminggu sebelum melangkah ke pusingan separuh akhir, Alyah mempunyai alasan tersendiri mengapa dia menyertai program yang menggunakan khidmat 100 peratus undian peminat itu. Ujar wanita berusia 31 tahun itu, dia sedar undian 100 peratus daripada peminat mempunyai pro dan kontra tersendiri. Mengaku jika undian menjadi 50 peratus datang daripada peminat, manakala 50 peratus lagi juri adalah lebih baik atas dasar popular dan profesional, namun apa yang dikejar menerusi program tersebut, bukan undian semata-mata. "Sebaliknya, saya mengejar ilmu. Walaupun saya telah tersingkir awal, tapi saya bersyukur kerana saya dapat menimba ilmu dengan banyak. Saya juga telah bertemu dengan ramai orang di belakang tabir yang telah memberi idea dan boleh memantapkan karier saya pada masa akan datang.
"Itu yang saya pentingkan dan tanam dalam diri sewaktu saya menyertai program tersebut. Katakan, jika saya jadi juara misalnya, tapi apabila program tersebut habis, ia tidak memberi impak terhadap karier saya, maka tidak guna juga. Sebab itu saya kata, ilmu sangat penting buat saya," katanya yang juga mengaku memang tidak arif tentang pembikinan muzik. Sebaik tersingkir, Alyah tidak menunggu masa yang lama untuk kembali menyambung membikin single terkininya. Katanya: "Saya baru ingin masuk studio untuk merakamkan single terkini selepas single Pesananmu dikeluarkan sebelum saya menyertai Mania tempoh hari. Saya harap ia mendapat sambutan yang baik nanti."

Tuah ‘Kisah Hati’ Bakal Lonjak Nama Alyah


KUALA LUMPUR: Penyanyi Alyah yakin bahawa lagu Kisah Hati akan melonjakkan lagi jenama dan popularitinya pada tahap yang lebih tinggi pada tahun ini.

Pemenang kategori Persembahan Terbaik di Anugerah Juara lagu ke-26 (AJL26) itu, berkata berdasarkan pengamatannya, tuah lagu ciptaan sepenuhnya oleh Manusia Putih itu dijangka memberikan impak yang lebih besar kepada jenamanya sebagai penyanyi.

“Saya yakin dan percaya lagu kejayaan lagu Kisah Hati ini akan melonjakkan lagi nama saya di persada muzik tanah air selepas ini.

“Berdasarkan apa yang saya lihat menerusi lagu saya sebelum ini iaitu Tak Mungkin Kerana Sayang, ia telah memberikan impak yang besar pada kerjaya dan populariti saya.

“Jadi tidak mustahil ia akan berulang dengan kejayaan lagu Kisah Hati di AJL26 ini pula,” katanya.

Alyah yang tampil dengan konsep ‘cerita dongeng’ pada imej dan persembahannya di malam AJL26, Ahad lalu, berkata kejayaan tersebut akan menjadi pembakar semangat untuk dia bekerja keras dan maju ke hadapan.

“Selepas 12 tahun berkecimpung dalam seni suara, saya anggap kejayaan lagu ini sebagai pembakar semangat dan pengubat kedukaan saya yang sering jatuh dan dilukai.

“Saya bersyukur atas kejayaan ini dan ia pasti menjadi motivasi untuk terus berusaha melonjakkan nama dan kualiti kerja saya ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Pada malam AJL26 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, Alyah membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 selepas memenangi kategori Persembahan Terbaik.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails