Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Betty Banafe. Show all posts
Showing posts with label Betty Banafe. Show all posts
Betty Banafe Puas Lihat Anak Membesar Depan Mata
Pelakon dan penyanyi Betty Banafe tidak melihat tindakannya memperlahankan karier seninya sejak melahirkan puteri sulungnya, Julia Claire Dargus setahun lalu sebagai sesuatu merugikan.
Betty sebaliknya berkata, sepanjang tempoh itu dia puas dapat melihat tumbesaran Julia dihadapan matanya dan meletakkan soal karier di tangga kedua.
"Tidak dinafikan banyak tawaran yang terpaksa saya tolak sepanjang tempoh itu namun ia berbaloi kerana Julia membesar dihadapan mata saya.
"Kebanyakkan masa saya adalah bersamanya dan saya cukup puas dapat membesarkan sendiri Julia," katanya kepada mStar Online.
Betty ditemui pada majlis sambutan hari jadi pertama Julia yang diadakan di Restoran Hadramawt The Curve di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Betty berkata, faktor Julia masih menyusu badan turut menjadi penyebab dia tidak boleh berenggang dengan anak kesayangannya itu.
Jelas Julia, buat masa ini dia masih belum berhasrat untuk berhenti menyusukan Julia dan menggantikan dengan susu formula kerana susu ibu memberi kesan luar biasa kepada perkembangan anaknya.
"Banyak kebaikan susu ibu yang membuatkan saya tidak terfikir untuk menggantikan dengan susu formula.
"Malah saya tidak fikir Julia menyukainya kerana dia sudah biasa menyusu badan," jelasnya.
Sementara itu, Betty sempat membuat pelancaran jenama fesyen kanak-kanaknya pada petang itu yang diberi nama Julia Betty.
Jelas Betty, jenama itu mengkhususkan kepada pengeluaran pakaian kanak-kanak khususnya perempuan yang direka khas olehnya bersama kolaborasi dengan pereka fesyen muda iaitu pereka fesyen, Amaleena Yusoff dan Adam Muzaini Schneider.
"Pakaian yang dikeluarkan adalah untuk bayi berumur setahun sehingga kanak-kanak empat tahun.
"Menerusi projek ini juga saya berkolaborasi dengan pereka muda dalam mengetengahkan bakat mereka sebagai pereka fesyen dengan idea-idea terkini," katanya.
Peminat yang ingin mendapatkan koleksi daripada Julia Betty boleh mengikuti akaun @juliabettybanafe di Instagram.
Betty Banafe Lakukan Yoga Agar Kandungan Sihat
Pelakon dan penyanyi, Betty Banafe mengamalkan senaman yoga selepas mengetahui berbadan dua untuk memastikan kandungannya berada dalam keadaan sihat.
Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisan Abu Bakar Banafe, 34, berkata, dia tidak menjadikan kehamilannya sebagai alasan untuk tidak bersenam sebaliknya perlu memilih senaman yang bersesuaian agar tidak mengganggu kandungan.
"Pendapat yang mengatakan senaman tidak sesuai untuk wanita mengandung adalah salah kerana seperti yoga ia bersifat lebih santai selain dapat menenangkan diri daripada tekanan.
"Paling penting ia memberi manfaat kepada ibu mengandung selain pergerakannya juga tidak memudaratkan kandungan," katanya kepada mStar Online.
Betty yang kini sedang hamil lima bulan telah berkahwin dengan Bruce Darghous yang berdarah kacukan England dan Lebanon pada 8 Disember 2012.
Dalam pada itu, Betty berkata, walaupun tidak mengalami alahan teruk pada awal kandungan namun berat badannya telah berkurangan sebanyak empat kilogram.
Bagaimanapun dia tidak terlalu bimbang dengan situasi tersebut kerana sentiasa menjaga pemakanan dan mengambil vitamin untuk memastikan bayinya sihat.
"Saya pelik apabila berat badan saya turun kerana biasanya wanita mengandung akan bertambah berat mereka. Tetapi saya tidak terlalu memikirkan perkara itu kerana mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang," jelasnya.
Sementara itu, Betty akan meneruskan proses rakaman album sulungnya bersama syarikat rakaman Universal Music yang telah dirancang sejak beberapa bulan lalu.
Dia juga tidak melihat kehamilannya sebagai halangan untuk menyiapkan album itu.
"Saya tidak biasa duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa dan rakaman album itu perlu disiapkan dan ini adalah saat istimewa buat saya," jelasnya yang baru melancarkan single pertama berjudul Tak Sengaja.
Betty Benafe Umum Jantina Anak Dalam Program TV
Pelakon dan penyanyi Betty Banafe akan mendedahkan jantina kandungannya yang sudah masuk minggu 18 dalam sebuah program televisyen yang akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisan Abu Bakar Banafe, 34, berkata, program yang turut disertai oleh pelakon Yasmin Hani itu akan memfokuskan kepada ibu yang pertama kali mengandung.
"Buat masa ini saya ingin merahsiakan dahulu jantina bayi saya kerana akan membuat pengumuman itu menerusi program tentang ibu hamil yang akan disiarkan dalam masa terdekat ini.
"Program itu juga akan memfokuskan saya dan Yasmin sebagai ibu yang pertama kali mengandung selain memaparkan perjalanan dan cabaran sepanjang kehamilan," jelasnya kepada mStar Online.
Betty dan suaminya, Bruce Darghous yang berdarah kacukan England dan Lebanon berkahwin pada 8 Disember 2012.
Dalam perkembangan sama, Betty berkata, sejak mengandung suaminya menjadi seorang yang penyayang dan sangat menitikberatkan tentang kesihatan dan keselamatan dirinya.
Jelas Betty, suaminya juga melarang dia keluar daripada rumah sekiranya tidak mempunyai sebarang urusan selain menyuruhnya berehat dengan cukup.
"Pada awal kandungan dulu saya akui memang lemah dan tiada tenaga sehingga saya kehilangan berat empat kilogram dan ia cukup merisaukan suami.
"Walaupun sekarang sudah kembali bertenaga dan mampu membuat kerja tetapi suami sering menyuruh saya berehat dan tidak melakukan kerja-kerja berat," katanya yang dijangka bersalin pada Disember depan.
Sementara itu, Betty berkata, dia tidak bercadang untuk berehat sepanjang tempoh kehamilannya dan akan terus menerima tawaran selagi terdaya.
Jelas Betty, dia sudah terbiasa dengan rutin hariannya yang sibuk dan enggan menjadikan berbadan dua sebagai alasan untuk dia berehat.
"Selagi saya kuat, saya akan bekerja. Lagipun saya dah biasa bekerja dan memang tidak boleh duduk diam. Suami juga benarkan saya kembali bekerja cuma perlu berhati-hati dan menjaga kesihatan," jelasnya.
Betty juga baharu sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah telefilem untuk siaran TV9 selain tampil dengan single berjudul Tak Sengaja.
Popular kerana lagu Arab - Betty Banafe
MUNGKIN tidak ramai yang menyedari bahawa pelakon Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 34, atau Betty Banafe pernah menghasilkan album berjudul Ibtisam pada tahun 2007.
Ini kerana album yang memuatkan lagu-lagu bahasa Arab itu jarang kedengaran di corong radio tempatan berbanding penyanyi lain.
Namun itu bukan bermakna Betty tidak lagi aktif sebagai penyanyi kerana tanpa publisiti di radio, dia tetap mendapat undangan untuk majlis-majlis tertentu.
Ini kerana Betty mempunyai kelebihan tersendiri iaitu mahir dalam mendendangkan lagu-lagu bahasa Arab berbanding penyanyi lain.
"Waktu album itu diterbitkan, lagu-lagu saya jarang diputarkan di radio. Memang sedikit kecewa tetapi rezeki saya dalam bidang seni suara tetap ada.
"Saya sering diundang mengadakan persembahan untuk majlis yang ada tetamu dari negara Timur Tengah. Malah kerana album Ibtisam itu juga saya berpeluang menjelajah ke beberapa negara Arab," imbasnya tentang album pertama.
Bagaimanapun kini Betty cuba beralih arah dengan menghasilkan lagu-lagu bahasa Melayu untuk menguji tahap sokongan peminat seni terhadap perjalanan kerjaya seninya.
Sebagai permulaan, single Tak Sengaja yang disiapkan pada tahun lalu diperdengarkan kepada orang ramai awal tahun ini.
"Sebenarnya lagu ciptaan komposer Amirudin Syawal dan lirik Alwi Hadad itu sudah lama siap tapi mencari waktu saya yang sesuai.
"Tahun lepas saya tidak dapat tumpukan pada seni kerana menjaga ibu yang sakit dan terpaksa keluar masuk hospital. Hujung tahun sibuk dengan persiapan perkahwinan dan lepas itu barulah saya lapang," katanya menjelas kenapa lagu tersebut lewat diterbitkan.
Katanya, walaupun Tak Sengaja adalah lagu Melayu namun sebagai penyanyi yang sinonim dengan rentak irama Arab, elemen-elemen Timur Tengah tetap ada dalam single tersebut.
Setakat ini Betty yang telah mendirikan rumah tangga dengan Bruce Dargus pada 8 Disember tahun lalu berkata, status isteri tidak menghalangnya untuk terus bergiat dalam bidang seni.
"Suami memahami minat saya dan dia yang bersungguh memberi galakan supaya saya teruskan apa yang dilakukan sebelum ini.
"Saya bersyukur kerana memiliki suami yang memahami dan bertolak ansur. Biarpun dia memberi keizinan, namun menyedari saya sudah ada tanggungjawab terhadap rumah tangga, jadi saya tetap buat tapisan terhadap setiap tawaran berlakon," katanya terus terang.
Dalam pada itu, kata Betty, dia tetap meneruskan kerjaya sebagai pelakon dan semua itu bergantung kepada watak yang ditawar.
Menurutnya, dia amat memilih watak kerana mahu penampilannya dalam drama atau filem mampu memberi impak kepada penonton.
"Saya pun sudah lama dalam bidang lakonan dan sekarang ini banyak komitmen lain. Jadi kalau saya nak berlakon pun biarlah watak yang saya bawa itu berbaloi," katanya yang tidak pernah jemu berlakon itu.
Betty Banafe masuk hospital
NAMANYA sudah agak lama tidak diperkatakan, kecuali berita tentang dirinya yang bakal berkahwin dengan tunangnya, jejaka kacukan Inggeris-Lebanon bernama Bruce Dargus dijadualkan pada 12 Disember ini.
Bagaimanapun, keadaan menjadi heboh apabila pelakon dan penyanyi kacukan Melayu-Jawa-Arab, Betty Banafe, 33, pada Ahad lepas tiba-tiba mengakui dia keliru dan hampir pasti untuk membatalkan majlis perkahwinan dengan pemuda yang telah mengikat tali pertunangan dengan dirinya pada 14 Jun lalu itu.
Bagaimanapun semalam, Betty mengakui kepada Kosmo! bahawa dia nekad mahu meneruskan pernikahannya tersebut seperti yang telah dijadualkan.
Pernikahan itu tetap akan berlangsung pada 12 Disember menjelang pukul 7.45 malam di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru.
Pelakon filem Haru-Biru dan drama Spa Q itu mengakui berlaku perselisihan pendapat antara dia dan tunangnya itu dan masalah tersebut lebih menjurus kepada masalah perbezaan budaya serta tidak melibatkan orang ketiga atau masalah lain.
Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe itu dikhabarkan terpaksa masuk hospital pula. Apakah yang berlaku?
Ketika dihubungi Kosmo! kelmarin, Betty memberitahu tentang perkara sebenar yang telah menimpa dirinya itu.
Kosmo!: Apakah punca permasalahan yang timbul sehingga Betty keliru dan terfikir untuk membatalkan majlis perkahwinan yang sebelum ini telah dirancang pada 12 Disember itu?
BETTY BANAFE: Masalah sebenarnya kecil sahaja, disebabkan bakal suami saya yang berasal dari England, maka kami berselisih faham mengenai majlis pernikahan yang bakal diadakan. Sudah tentu, apabila kita berkahwin dengan orang asing, budaya tidak akan sama. Kehidupan mereka lebih ke arah budaya Barat manakala kita adalah orang Asia, pasti ada sedikit perbezaan di situ. Bagaimanapun, setelah segalanya dibawa berbincang, akhirnya niat perkahwinan itu akan diteruskan juga.
Bagaimanakah perasaan Betty menjelang majlis perkahwinan nanti?
Sudah tentu saya berasa cukup gembira dan saya memang sangat mencintai dirinya. Walaupun menghadapi sedikit masalah pada saat-saat akhir, saya tabah menghadapinya. Kata orang, apabila sudah bertunang, kita akan berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Jadi, itu sudah lumrah dalam hidup, saya harus melaluinya.
Apakah yang menyebabkan Betty menerima Dargus sebagai bakal suami sedangkan dia berbeza budaya dan agama?
Saya berasa teruja dengan perkahwinan campur ini. Bagi saya, ia adalah sesuatu yang menyeronokkan. Dalam hal ini, saya bersifat terbuka, lagipun saya mempunyai ramai kenalan dari luar negara dan selalu bercampur dengan mereka.
Apakah ciri-ciri istimewa Dargus yang membuatkan Betty terus jatuh hati?
Dia suka dan bijak berkomunikasi, berkemahuan tinggi untuk belajar sesuatu perkara baharu. Itu yang menyebabkan saya tertarik dengan dirinya.
Bagaimanakah pula dengan persiapan majlis perkahwinan?
Alhamdulillah, persiapan perkahwinan kami semuanya berjalan dengan lancar. Saya sudah melantik LH Media TV sebagai jurufoto rasmi, manakala set persalinan untuk perkahwinan merupakan rekaan Nurul Al Huda dari Singapura.
Apakah perancangan selepas perkahwinan anda nanti?
Saya akan meneruskan bisnes keluarga. Selain itu, saya berharap perkahwinan ini akan memberikan saya kekuatan dan menambahkan lagi persefahaman dan kasih sayang antara saya dan Dargus.
Bagaimanakah pula dengan perancangan destinasi berbulan madu?
Selepas sambutan tahun baharu nanti, Insya-Allah, kami merancang untuk bercuti di dalam negara sahaja, iaitu di Pulau Sipadan, Sabah.
Apakah perkembangan terbaharu Betty dalam dunia seni sekarang?
Dalam waktu terdekat ini, saya akan muncul dalam drama Mariam Kampung Putat di TV3 menjelang 24 November ini. Selain itu, saya akan melancarkan muzik video pop terbaharu berjudul Tak Sengaja yang dijadualkan selepas perkahwinan saya nanti.
Khabarnya Betty akan masuk hospital, betulkah?
Saya dimasukkan ke pusat perubatan pakar Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, Selangor pada pukul 5 petang Selasa (semalam, 20 November). Keesokan paginya (hari ini, 21 November) saya akan menjalani pembedahan sista ovari. Pembedahan tersebut akan mengambil masa selama dua hari. Ini merupakan kali kedua pembedahan yang sama saya lakukan setelah kali pertama pada 23 November, 2007.
Salah Faham Punca Betty Banafi Nyaris Batalkan Nikah
PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Betty Banafe menganggap sikap hilang sabar ketika berhadapan dengan ujian dalam alam pertunangan menjadi penyebab dia hampir membatalkan pernikahannya dengan Bruce Dargus yang dijadualkan pada 8 Disember depan.
Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisan Abu Bakar Banafe, 33, berkata, puncanya adalah kecil apabila dia dan bakal suami yang berasal dari England itu berselisih faham mengenai majlis pernikahan yang bakal diadakan.
“Disebabkan dia bukan orang Melayu, dia sukar untuk memahami budaya kita. Semasa kami berbincang bagi mengadakan persiapan pernikahan, kami menghadapi masalah perbezaan pendapat menyebabkan saya putus asa sehingga berhasrat membatalkan perkahwinan itu.
“Bagaimanapun selepas dibantu oleh seorang teman rapat yang berusaha untuk menyelesaikan masalah kami, akhirnya kami mendapat jalan penyelesaiannya.” Kata Betty ketika hadir ke Menara Star di sini petang Isnin untuk mengedarkan kad jemputan perkahwinannya.
Betty diminta mengulas laporan sebuah akhbar pada Ahad yang mendedahkan hasratnya untuk membatalkan majlis perkahwinan yang akan diadakan di rumah keluarganya di Kempas, Johor Bahru itu.
Betty memberitahu, dia percaya pendapat sesetengah pihak yang mengatakan dugaan di alam pertunangan memang berat dan besar kemungkinan boleh menyebabkan sesebuah perkahwinan itu dibatalkan jika pasangan gagal untuk menanganinya.
Bagaimanapun dia bersyukur ketika hari bahagiannya semakin tiba, segala cabaran itu dapat dilaluinya dengan tabah.
“Saya perlu kuatkan semangat kerana saya mahu mengahwini bangsa asing iaitu lelaki yang berdarah Lubnan campur mat salih. Ia tidak mudah kerana perbezaan budaya. Tetapi saya bersyukur kerana dia boleh menerima budaya kita,” katanya yang mengenali pakar teknologi maklumat itu sejak setahun lalu.
Kedua-dua mereka bertunang secara rasmi pada 14 Jun lepas.
Betty memberitahu, tekanan yang dihadapi akibat masalah itu menyebabkan dia terpaksa menangguhkan pembedahan sista ovari yang sepatutnya dilakukan pada 16 November lalu di pusat pakar perubatan HUKM, Cheras, dekat sini.
“Saya amat tertekan sehingga tidak dapat menjalankan pembedahan itu. Bagaimana selepas semuanya selesai, saya akan melakukannya (pembedahan) itu esok (hari ini).
Bercerita mengenai majlis pernikahannya Betty berkata, upacara akad nikah akan diadakan di rumah keluarganya di Kempas, Johor selepas solat Zuhur sementara majlis resepsi kedua-dua pihak akan diadakan di Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru pada 12 Disember depan.
Pada majlis nikah itu Betty akan mengenakan busana yang dicipta oleh pereka fesyen dari Singapura yang berkonsepkan Arab.
Bagaimana konsep pakaian pada majlis persandingannya terpaksa dirahsiakan untuk memberikan kejutan kepada pihak lelaki.
Antara selebriti yang dijangka hadir pada majlis persandingannya ialah Erra Fazira, Zahida Rafik, Serina, Nabila Huda, Nash dan Lisdawati.
Betty Banafe tertekan gara-gara 'foto panas'

KASIHAN Raja mendengar esak tangis pelakon berdarah kacukan Melayu-Jawa-Arab, Betty Banafe di talian ketika dia menghubungi Raja beberapa hari lalu. Semuanya gara-gara gambar aksi panasnya tersebar di internet dan disiarkan pula dalam sebuah akhbar mingguan, Ahad lalu. Malah lebih teruk dan memalukan Betty, penulis blog mengambil kesempatan menghentam dan menghinanya habis-habisan.
Pelbagai cemuhan dan kata-kata lucah yang jijik didengar dilemparkan terhadap Betty. Memang boleh sakit jiwa bila membacanya. Yalah, mulut tempayan boleh ditutup, tapi apakan daya mulut manusia!
Betty begitu kecewa dan tertekan apabila ramai tersalah tafsir dengan gambar panas yang menampakkan lurah dan pangkal dada itu. Malah ada yang menganggap aksi Betty nampak ganas, selain keterlaluan dalam gambar itu. Akibat tekanan itu, Betty tak dapat membendung air matanya... Hakikatnya, aksi Betty dalam foto itu sekadar untuk menggayakan semula watak Neytiri seperti dalam filem Avatar. Betty perlu gayakan watak itu ketika diminta menjayakan sesi fotografi untuk keluaran pertama sisipan sebuah akhbar berbahasa Melayu yang baru tidak lama dulu. Dalam keluaran akhbar itu, gambar yang disiarkan dilukis pada badan yang terdedah dan tidak terlalu seksi. Itu perjanjian dengan akhbar berkenaan kerana tidak mahu mencetuskan kontroversi.
Pelakon yang kini dikaitkan menjalin hubungan cinta dengan bekas vokalis kumpulan Lefhanded, Nash beritahu Raja, dia tidak tahu banyak foto seksi berkenaan sudah tersebar di internet sejak sebulan lalu. Tiada siapa yang memberitahunya sehinggalah semua gambar panas itu disiarkan di sebuah akhbar lain, minggu lalu.
"Saya terkejut besar mendapat panggilan telefon daripada teman-teman mengatakan gambar fantasi saya disiarkan. Ketika itu, saya berada di Sarawak dan sukar mendapatkan akhbar berkenaan. Saya tidak nafikan, wartawan akhbar berkenaan menghubungi saya dan meminta saya komen mengenai gambar itu. Pada fikiran saya, gambar yang dimaksudkan adalah gambar yang disiarkan akhbar baru itu, jadi saya tampil dengan kenyataan berani dengan rasa tidak bersalah.
"Rupanya saya silap. Gambar yang dimaksudkan gambar lain iaitu gambar-gambar yang belum siap dilukis lagi. Memanglah gambar itu seksi kerana belum siap lagi, tetapi saya kesal bagaimana gambar yang sepatutnya menjadi amanah mereka supaya jangan disiar tetapi boleh tersebar di internet.
"Saya cuba selidik dan akhirnya mendapat tahu gambar berkenaan diletakkan dalam blog jurugambar yang mengambil gambar saya ketika itu. Pada awalnya, saya memang marah, kenapa dia bertindak demikian? Tetapi selepas dijelaskan, saya faham niatnya. Saya tidak salahkan jurugambar itu, dia tiada niat untuk memalukan saya, dia sekadar mahu menjadikan gambar itu sebagai koleksi terbaik yang pernah dihasilkan.
"Tetapi musibahnya terkena pada saya apabila penulis blog mencuri gambar-gambar itu dalam blog peribadinya. Jadi gambar-gambar itu tersebar dari blog ke blog dengan cepatnya. Ada yang menganggap saya berani menjayakan fotografi panas, jadi kena berani tanggung musibahnya. Ya memang betul, tetapi saya seorang pelakon.
"Bila saya diminta menjiwai karakter Neytiri, saya lakukannya dengan bersungguh-sungguh dan mahukan hasil yang baik, lebih lagi saya mendapat penghargaan muncul dalam keluaran pertama sebuah akhbar besar. Saya bukannya berfantasi, saya hanya menjayakan karakter Neytiri seperti yang diminta. Saya juga kesal ada yang mendakwa saya mengambil dadah sebab saya boleh berfantasi. Saya tidak boleh menerima dakwaan keterlaluan itu.
"Saya sudah berbincang dengan peguam, saya tidak menolak kemungkinan saya mengenakan tindakan undang-undang terhadap akhbar baru berkenaan. Saya rasa imej saya tercalar dan maruah saya tercemar dengan penyebaran gambar-gambar itu. Tidak adil buat saya diperlakukan sebegini.
"Ibu saya di Jakarta, Indonesia bergegas pulang ke Kuala Lumpur kerana terlalu marahkan saya, selain imej saya sebagai duta produk juga terjejas. Saya teramat malu berdepan dengan masyarakat yang tentunya memandang serong pada saya," katanya.
Apakan daya Betty, nasi sudah menjadi bubur. Bersabarlah...
RAJA: Berdebar menanti siapa yang bakal dijulang sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 2009 malam ini. Raja rasa Nabil atau Datuk Siti Nurhaliza mungkin boleh menang...
Gambar itu fantasi diriku~Betty Banafe

PELAKON dan penyanyi Betty Benafe sedikit pun tidak terkejut saat diajukan persoalan mengenai penyebaran gambar-gambar seksinya pada ketika ini di saluran media alternatif. Gambar yang menayangkan separuh daripada bahagian atas tubuhnya sehingga menampakkan pangkal payu daranya, kelihatan cukup berani sekali.
Lebih menimbulkan tanda tanya apabila Betty dilihat berposing dalam aksi seksi dengan gaya selamba sahaja di hadapan kamera. Ada yang berbaring, ada yang tertiarap dan ada yang kelihatan seperti seekor kucing yang sedang 'kehausan'.
Tidak perlu diperjelaskan secara terperinci di sini setiap pose berkenaan. Rasanya ia kurang sesuai untuk tatapan masyarakat tempatan yang semakin prihatin dan gemar mempersoalkan etika pemakaian individu terutama di kalangan artis.
''Memang kesemua gambar itu adalah saya. Ia dirakam pada penghujung bulan lalu untuk penerbitan sebuah akhbar mingguan bahasa Melayu yang pertama kali diterbitkan.
''Saya ditawarkan untuk meniru mana-mana karektor filem yang pernah ditayangkan untuk sesi fotografi itu. Lantas saya memilih watak Neytiri, seorang anak raja berjiwa wira dalam filem arahan James Cameron, Avatar,'' kata Betty berterus-terang.
Anak kelahiran Johor Bharu ini memberitahu, dia perlu menggayakan perwatakan Neytiri itu dan memilih untuk memakai baju sedemikian. Cara solekan dan dandanan rambut juga perlu seiring agar tidak kelihatan janggal.
Justeru, Betty menggayakan pose yang sama dengan Neytiri. Sebab itu, kelihatan dalam gambar berkenaan beberapa pose kurang sopan seperti menayangkan ketiak dan lurah dendam, selain beraksi terkangkang.
Cerita anak kacukan Melayu, Arab dan Jawa ini, sebenarnya terdapat ratusan gambar yang dirakam pada hari berkenaan. Secara dasarnya, Betty berpuas hati dengan hasil kerja jurugambar berkenaan yang berjaya menghasilkan gambar menarik.
Seingat Betty, ada sebahagian daripada gambar berkenaan yang tidak disiarkan telah dimuat naik dalam laman web sosial, Facebook milik jurugambar itu. Sudah pasti ia turut menjadi tatapan rakan dan bahan cerita selagi ia berada dalam akaun jurugambar tersebut.
''Hah, saya rasa di situlah bermula penyebaran gambar tersebut. Saya tidak merasakan ia adalah kesalahan besar kerana apa yang ditayangkan kepada umum berbeza dengan apa yang disebarkan di Internet.
''Saya juga tidak merasakan telah melakukan kesilapan kerana gambar itu adalah ekspresi fantasi sendiri. Saya meluahkan apa sahaja yang berada di fikiran mengikut konsep yang diminta. Sebagai artis juga, saya pastikan persembahan saya mencapai piawaian dan kepuasan tersendiri. Tak sangka pula ada pihak yang sanggup eksploitasi gambar itu,'' jelasnya.
Betty memberitahu dia akan dianggap sebagai berbohong sekiranya mengatakan kejadian itu tidak mengusutkan fikiran.
Sebagai manusia biasa, Betty tidak boleh menyekat hasrat jahat sesiapa sahaja yang tidak menyukai dirinya. Dia juga akui pasti melakukan kesilapan dan sepatutnya perkara itu tidak perlu diperbesarkan.
Apa yang lebih melegakan dirinya apabila cerita kurang manisnya itu mendapat sokongan penuh daripada buah hatinya yang juga penyanyi rock, Nash Lefthanded.
''Abang lebih mengenali diri saya. Dia tidak pernah ambil pusing dengan semua cerita buruk sebegini. Asalkan saya menjaga batasan yang dibenarkan. Itu sudah memadai,'' kata pemilik nama penuh Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe ini.
Dalam masa yang sama, Betty juga menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia sengaja mencipta kisah percintaan untuk memastikan dirinya sentiasa mendapat publisiti.
Kononnya antara dia dan Nash dengan sengaja menggembar-gemburkan kisah 'kononnya' bercinta bagi meraih publisiti media, sedangkan realitinya mereka hanya berstatus teman rapat.
Tegasnya, itu bukan cara artis bernama Betty Banafe.
"Sebagai artis yang mempunyai platform tersendiri, saya tidak pernah menumpang populariti kekasih dan begitu juga sebaliknya. Masing-masing sudah mempunyai nama dan pengikut tersendiri," katanya sedikit tegas.
Abang Nash Galak Saya Ceburi Muay Thai - Betty

HUBUNGAN kasih antara aktres jelita Betty Banafe dan penyanyi rock Nash Lefthanded bukan satu rahsia. Malah ramai yang meneka dalam kesamaran bagaimana agaknya kesudahan cinta mereka.
Menurut Betty, ramai juga kenalan yang bertanyakan hubungannya dengan Nash.
"Sebenarnya Bet tidak selesa bercerita tentang rahsia hati. Cukuplah sekadar berkata kami masih rapat seperti dulu cuma kesempatan untuk bersama semakin kurang.
"Abang Nash rajin bertanya khabar dan oleh kerana selalu sibuk dengan bisnesnya, kami selalu berSMS dan bergayut di telefon," kata Betty yang kini sibuk mengikuti kelas Muaythai untuk mengisi masa lapangnya.
Kata Betty, Nash sentiasa memberi dia dorongan untuk melakukan sesuatu yang menggembirakan hatinya.
"Abang Nash suka wanita yang berdikari dan tidak berkepit dengan dia dan saya juga suka lelaki yang memberi saya ruang untuk mengembangkan hobi saya," kata aktres kacukan Indonesia dan Arab ini yang sudah 3 bulan mengikuti kelas Muay Thai ini.

Jelas Betty, "Aktiviti Muay Thai ini agak lasak, banyak menggunakan pergerakan kaki dan tangan. Kaki sampai luka-luka dan melecek-lecek. Abang Nash ketawa tengok macam mana Bet bersungguh-sungguh menjalani aktiviti ini."
Ditanya samada hubungan mereka sudah sampai ke peringkat yang lebih serius, Betty hanya tersenyum dan tidak berani membuat sebarang spekulasi.
"Bukan saya tidak terfikir ke arah itu (perkahwinan) tapi mungkin juga hubungan kami terlalu selesa kerana dia seperti seorang abang dan saya seperti adiknya.
"Kadang-kadang bila kita terlalu selesa, soal cinta adalah perkara terakhir dan biarlah cinta itu datang sendiri," jelas Betty yang kini sedang giat menyiapkan bahan untuk album terbarunya.
Betty juga enggan meletakkan harapan yang tinggi pada hubungannya dengan Nash.
"Saya sangat hormatkan abang. Apa saja keputusannya saya akur. Kita hanya boleh merancang, Allah yang menentukan...," kata Betty.
Betty gigit jari, kereta lesap dalam 10 minit

PETALING JAYA: Kereta Satria GTI berwarna perak milik penyanyi dan pelakon Betty Banafe telah dicuri di sebuah hotel lima bintang di Jalan Conlay pada pukul 4 petang semalam dalam masa 10 minit.
Cerita Betty, dia menyedari kereta bernombor plat WHX 8179 itu telah lesap setelah kembali untuk mengambil pakaian berjenama oleh pereka dari Arab, alat solek dan beg tangan bagi menjayakan persembahan anjuran Malaysian Palm Oil Board (MPOB) di hotel itu pada malam tadi.
“Saya terkejut dan sedih sebab kereta itu saya guna sejak lebih tujuh tahun lalu dan hilang dalam masa 10 minit sahaja.
"Selepas saya meletakkan kereta di tingkat lima hotel itu, saya ‘check in’ bilik. Apabila saya turun semula untuk mengambil barang ‘show’, kereta saya dah tiada.
“Saya dah kunci kereta itu dan rasa mesti di hotel itu mempunyai sindiket curi kereta dan pencuri kereta itu mesti sangat profesional,” katanya ketika menghubungi mStar Online semalam.
Kata Betty, insiden itu menyebabkan kali pertama dia bekerja 'sehelai sepinggang'.
Meskipun masih berada dalam keadaan terkejut, Betty berkata dia tetap akan meneruskan persembahannya di hotel itu malam tadi.
“Saya kena profesional sebab kerja dan tabah untuk meneruskan persembahan ini. Nasib baik ada pereka Carven Ong yang mempunyai butik di hotel itu meminjamkan baju dan kasut kepada saya.
“Insya-Allah, kejadian ini mesti ada hikmahnya dan Allah akan gantikan dengan kereta lain,” beritahunya dalam nada kesal.
Sementara itu, pembantu peribadinya, Noraizi Ahmad (Gee) berkata dia telah membuat laporan polis mengenai kehilangan kereta berharga RM75,000 itu seusai persembahan itu pada pukul 10.30 malam tadi.
“Sekarang, saya sedang menguruskan persembahan Betty dan selepas selesai majlis ini baru kami akan pergi buat laporan polis.
“Tadi, pihak keselamatan hotel itu sudah melakukan penyiasatan di sekitar hotel dan selepas itu tiada tindakan yang diambil.
“Pihak hotel meminta kami untuk membuat laporan polis di luar hotel dalam tempoh 24 jam dari masa kejadian.
“Bagaimanapun, kami sudah memaklumkan kepada polis peronda dengan memberikan nombor plat dan jenis kereta untuk menjalankan operasi mencari kereta itu,” kata Gee yang turut memaklumkan tiada perkhidmatan CCTV yang disediakan di tempat letak kereta di hotel itu.
Tiada istilah mustahil untuk Betty Banafe

DALAM karier seninya yang hampir menjangkau 10 tahun, pelakon dan penyanyi, Betty Banafe telah memegang pelbagai jenis watak dalam bidang lakonan.
Menurut Betty, dia pernah membawa watak-watak berat seperti orang sakit, tekanan perasaan, kisah duka kehidupan dan yang bersifat manipulasi.
Malah katanya, dia pernah memegang watak pesakit AIDS, Schizophrenia (skizofrenia - sejenis penyakit mental) yang disifatkan sesetengah pihak sebagai "berat".
"Orang lain cakap Betty bawa karakter yang 'berat'. Sejujurnya, saya sangat suka bergurau. Kalau marah pun, marah manja sahaja.

"Saya suka benda-benda yang mencabar. Ini termasuk melakonkan watak yang membuatkan orang ketawa dan pada masa yang sama memerlukan konsentrasi," kata Betty dalam satu sesi fotografi bersama mStar Online baru-baru ini.
Oleh itu, selebriti kacukan Melayu-Arab-Jawa ini menyifatkan watak peguam yang dipegangnya dalam filem Jin Notti memberi ruangnya untuk 'bergurau' sambil berlakon.
Betty atau nama sebenarnya Ibtisam Abu Bakar Banafe, 31, memberitahu filem komedi itu adalah menyeronokkan kerana dia berpeluang membuat bahasa slanga dalam dialog.
"Walaupun skrip filem itu menggunakan bahasa direct (formal), saya membahasakan skrip dengan sedikit intonasi slanga dan dialek tertentu untuk memberikan keunikan pada filem itu," katanya yang fasih berbahasa Indonesia, Arab dan Inggeris.
Bagi Betty, pelakon haruslah diberi kebebasan untuk memilih dan mewarnai karakter yang dibawa sementara pengarah memantau dan menjaga had-had yang dibenarkan.

"Lakonan bukan sekadar glamor. Lakonan sebenarnya adalah bagi membolehkan anda menguji minda anda, dan bagaimana anda memaksimumkan bakat anda untuk menjadikan filem atau drama itu lebih berwarna-warni dan 'hidup'," ujarnya yang telah membintangi filem 'Buai Laju-Laju', 'Haru-Biru' dan '1957-Hati Malaya'.
Sebagai seorang pelakon yang versatil, pelakon berkelulusan Sarjana Muda Komunikasi Massa (dengan Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini telah berlakon di dalam berpuluh-puluh drama dan telefilem.
Antara yang pernah dibintangi Betty termasuk Dilema Wanita, Tak Pulang Nak Pulang, Bila rama-rama Terkopak Sayapnya, Sifu, Symbiosis, Yang Tulus, Aleya Maisarah, Hijab & Kabur, Hijrahku, Talkin Syahadah, Kepulangan, Kiranya Ku Tahu, I’m Muslim, Lady Anne, Nenek Sidah Dr. Syakila, Dari Maisara ke Qistina, Cats, Cikgu Siti, Shamsuddin, Siva & Partner dan Nur Penyuluh Alam.

Namun, namanya mula dikenali setelah berlakon di dalam filem 'Buai Laju-Laju' arahan U-Wei Shaari pada tahun 2003.
Antara lain, Betty turut dikenali setelah berlakon di dalam drama VCD Inggeris, 'Father', disamping aktor Bollywood Kabir Bedi.
Betty pernah terlibat di dalam pementasan teater 'Lorong Neraka', 'Hering', 'Demi Zaitun' dan 'Sarah'.
Mengenai perkembangan terkini kerjaya seninya, Betty berkata dia sedang terlibat dalam drama komedi berjudul 'Bagi Balik Jandaku' untuk Astro.
Dalam drama komedi arahan Aziz M. Osman itu, Betty membawa watak Nora dan suaminya adalah Farid (lakonan Shamsul Ghau Ghau) sementara bekas suaminya bergelar Ramli (lakonan Beego).
"Ini adalah kali pertama saya bekerja dengan pengarah Aziz M. Osman walaupun saya dah berkecimpung hampir 10 tahun dalam industri hiburan.

"Saya memang tertarik dengan sentuhan artistik pengarahan filemnya. Saya mengagumi disiplin tinggi Aziz. Pengurusan masanya amat baik. Lebih mengagumkan, beliau boleh membuat skrip di mana-mana lokasi penggambaran pun tanpa persediaan," katanya yang turut mempunyai album 'Ibtisam'.
Album 'Ibtisam' mempunyai 11 lagu termasuk Weylana, Waiyak, Abouya, Cinta Maulana dan Essaw Gharam yang berelemenkan muzik ketimuran.
Tambah Betty, drama komedi 'Bagi Balik Jandaku' sebanyak 26 episod itu bakal ditayangkan di Astro Awani pada Disember ini.
Drama komedi ini mengisahkan Farid diperalatkan oleh majikannya Ramli yang telah menceraikan isterinya, Nora dengan talak tiga. Ini kerana Ramli ingin rujuk kembali dengan Nora.
Bagaimanapun, cinta itu buta. Selepas berkahwin dengan Farid, Nora jatuh cinta dengannya dan tidak ingin kembali ke pangkuan bekas suaminya.
Mengenai masa depannya, Betty berharap dapat mengembangkan kerjaya seni ke tahap yang lebih tinggi iaitu menjadi penerbit dan produser suatu hari nanti.
Betty ingin sebaris dengan mereka yang telah mencipta nama seperti Aziz M. Osman, Rashid Siber, Adam Wahab, Osman Hafsham dan Habsah Hassan.
Tiada yang mustahil bagi Betty yang versatil ini. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
