Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Showing posts with label Eira Syazira. Show all posts
Showing posts with label Eira Syazira. Show all posts
Kereta Eira Syazira & Azad Jazmin Remuk, Terbabas Di Terowong Menora
Pelakon Eira Syazira memberitahu kereta dipandu oleh adik suaminya pelakon Azad Jazmin mengalami kerosakan dan remuk selepas terbabit dalam kemalangan berdekatan Terowong Menora, Lebuhraya Plus, petang Ahad lalu.
Eira atau nama sebenarnya Syazira Shuhaimi, 31, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika mereka dalam perjalanan ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur atas urusan kerja.
"Alhamdulillah kereta tersebut dipandu oleh adik ipar dan kami tidak mengalami sebarang kecederaan, hanya kereta sahaja yang remuk di bahagian depan selepas terbabas di pembahagi jalan selepas Terowong Menora.
"Kami sekeluarga dalam perjalanan ke Pulau Pinang atas urusan kerja ketika itu hujan lebat dan jalan licin, malah menurut orang ramai kejadian kemalangan sering berlaku di kawasan tersebut," ujarnya kepada mStar Online.
Eira ditemui ketika menemani suaminya pada majlis tayangan perdana filem Girlfriend Kontrak, di Cineleisure, di sini, malam Selasa.
Dalam pada itu, Eira bersyukur apabila kesemua mereka termasuk anaknya Amarra Sofea Rose, 2, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, mereka sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar, Perak selepas kejadian tersebut.
"Selepas kemalangan kami terus buat laporan polis dan Azad buat keputusan untuk pulang semula ke Kuala Lumpur.
"Ketika itu memang saya rasa bagai mimpi sebab saya tidak pernah terbabit dalam kemalangan sebelum ini. Alhamdulillah semunya selamat," ujarnya.
Tambah Eira, selain kereta jenis Toyota miliknya, terdapat beberapa kemalangan yang melibatkan kereta lain di kawasan tersebut yang menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Azad, Eira nafi berstatus jutawan
BAGAIKAN sudah menjadi lumrah, kejayaan atau rezeki yang datang bergolek kepada seseorang pasti akan mengundang pelbagai andaian dan skeptikal khalayak sekeliling.
Itulah yang dialami oleh pasangan pelakon suami isteri, Azad Jazmin, 38, dan Eira Syazira Shuhaimi, 30.
Selepas berjinak-jinak dengan bisnes berkonsepkan pemasaran rangkaian, sekitar pertengahan tahun 2014, kini pasangan tersebut didakwa sudah menyandang status jutawan. Telahan itu dibuat setelah ramai merasakan bisnes yang mereka usahakan mula membuahkan hasil lumayan.
Bertemu dengan Azad dan Eira pada majlis pelancaran album duet sulung mereka, Azad Eira di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Azad menjelaskan, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali.
Belum sampai ke tahap jutawan seperti yang diperbesarkan, namun tegas pelakon filem Kolumpo itu, benar, bisnes yang diusahakan bersama isterinya sejak enam bulan lalu itu, sudah menunjukkan peningkatan positif.
Kosmo!: Benarkah ada dakwaan mengatakan Azad kini sudah bergelar jutawan?
AZAD: Dakwaan tersebut tidak benar. Saya sendiri terkejut apabila mendengarnya. Tapi, apa yang benarnya, perniagaan yang kami ceburi telah menunjukkan perkembangan yang positif.
Adakah bidang baharu itu lebih menguntungkan daripada bidang lakonan?
Apa yang boleh saya katakan, saya dan isteri selesa menjalankan perniagaan. Setakat ini, lebih banyak rezeki kami datang daripada cabang perniagaan yang dijalankan. Secara tidak langsung, menjadikan kami lebih bersemangat dan fokus terhadap bidang ini.
Tidakkah anda berdua gusar dengan ancaman yang bakal berlaku apabila orang ramai sewenang-wenangnya melabel kalian sebagai jutawan?
Sejujurnya, saya dan Eira berasa sedikit cuak. Iyalah, kita tidak boleh jangka apa yang difikirkan oleh orang lain. Sebagai langkah keselamatan, kami akan lebih berjaga-jaga apabila keluar berseorangan mahupun bersama-sama.
Benarkah anda sudah terlalu selesa dengan dunia perniagaan sehingga enggan kembali berlakon?
Buat masa ini, saya mahu fokuskan sepenuh perhatian terhadap bidang perniagaan. Sudah hampir tujuh bulan saya tidak menerima sebarang tawaran lakonan. Tambahan pula, saya dan Eira kini dilantik sebagai duta jenama Kopi Mamu Galak dan Jus Mami Donna Rapat. Bukan mahu melupakan terus dunia lakonan, tetapi saya sedikit selektif terhadap skrip yang ditawarkan.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Selain album duet bersama Eira, dalam masa terdekat ini juga saya bakal ke Itali untuk penggambaran filem Poscard From Italy tidak lama lagi bersama Keith Foo dan Lara Dutta.
Bercerita mengenai album duet yang baru dilancarkan, dramatis yang popular dengan watak air mata, Eira Syazira berkata, idea terlahirnya buah tangan sulung bersama Azad itu tercetus secara tidak sengaja.
Kosmo!: Bagaimana Eira boleh terfikir untuk menghasilkan album duet?
EIRA: Selepas mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu, kami merakamkan lagu Sajak Dari Hati ciptaan Adi Priyo Sambodo. Lagu itu asalnya dihasilkan sebagai hadiah sentimental untuk meraikan status kami sebagai suami dan isteri. Namun, belum sempat menjalankan sebarang promosi, saya hamil anak sulung kami, Amarra Sofea Rose yang kini sudah berusia satu tahun. Akibat kekangan masa, projek tersebut ditangguhkan.
Apakah yang anda lakukan selepas tertangguhnya projek berkenaan?
Setelah merakamkan beberapa single, Adi memberi cadangan supaya mengumpulkan lagu-lagu tersebut ke dalam sebuah album untuk diterbitkan. Pada awalnya, album ini hanya memfokuskan kepada lagu solo nyanyian saya sahaja. Tetapi, setelah Adi menilai keserasian vokal kami berdua, Adi mencadangkan agar Azad turut terlibat sama dalam pembikinan album yang mengandungi lima buah lagu ini.
Adakah ini percubaan pertama anda dan suami sebagai penyanyi?
Ini merupakan percubaan pertama Azad, tetapi tidak buat saya. Sebelum ini, saya pernah dilamar untuk merakamkan album oleh syarikat rakaman FGM dua tahun lalu, namun, album tersebut terkubur tanpa khabar berita.
Siapakah yang memberikan tunjuk ajar kepada anda ketika merakamkan lagu?
Azad yang banyak memberikan teguran jika nyanyian saya salah. Walaupun dia dikenali sebagai pelakon namun, dia tahu tentang selok- belok nyanyian.
Adakah anda tidak kisah disamakan dengan pasangan duet popular, Nurul dan Ajai?
Kami anggap Nurul dan Ajai sebagai idola kami dan mereka juga banyak memberikan inspirasi kepada kami untuk menyanyi.
Eira Syazira Dipandang Serong Kerana Bisnes 'Online'
Pelakon Eira Syazira mengakui pernah dipandang serong oleh segelintir artis ketika mula berjinak-jinak dengan perniagaan secara dalam talian (online) beberapa tahun dahulu.
Eira atau nama sebenarnya Syazira Shuhaimi, 30, berkata, dia yang merupakan antara artis terawal menceburi perniagaan dengan kaedah dalam talian pernah dituduh sebagai merendahkan maruah seseorang artis.
"Saya artis terawal aktif buat perniagaan secara online dahulu, saya jual macam-macam benda sehinggakan ada artis yang tidak suka saya berbuat demikian.
"Dahulu mereka kecam dan kata menjual secara 'online' itu seperti merendahkan status artis tetapi sebaliknya hari ini ramai sahaja artis yang melakukannya," kata Eira kepada mStar Online pada Majlis Tayangan Raya Astro di Hotel Royale Chulan, di sini, malam Rabu.
Eira berkata, dia masih lagi menjalankan pelbagai jenis perniagaan secara dalam talian dan perkara tersebut kini menjadi sumber pendapatan terpenting kepada keluarganya.
Katanya, dia yang kini mempunyai sebuah bazar di Bangunan Mara merancang untuk membuka sebuah butik tidak lama lagi.
Sementara itu, Eira juga mengakui kesal dengan tuduhan sebuah akhbar bahawa dia dan suaminya Azad Jazmin sudah meninggalkan bidang lakonan.
Katanya, dia dan Azad hanya berehat sebentar daripada dunia lakonan bagi menumpukan perhatian terhadap perniagaan masing-masing.
"Saya dan Azad tidak berhenti berlakon, kami cuma berehat ebberapa bulan sahaja untuk menguruskan perniagaan kami.
"Saya akan berlakon semula mungkin lepas raya nanti, sementara Azad sibuk mengembangkan pernigaan multi-level marketing (MLM), Rania Marketing.
"Alhamdulillah, perniagaan kami berjalan lancar dan pendapatan bulanan yang kami dapat hasil perniagaan lebih daripada pendapatan di dunia lakonan," katanya.
Azad Jazmin & Eira Syazira Jawab Tuduhan Cari Gaduh
Pelakon Azad Jazmin mengakui sikapnya dan isteri iaitu Eira Syazira yang suka berterus terang terhadap sesuatu perkara membuatkan ramai yang tidak menyenangi sikap mereka.
Azad atau nama sebenarnya Azad Jazmin John Louis Jeffri, 38, berkata, mereka lebih senang bersikap sebegitu agar tidak dilihat hipokrit namun sebaliknya pula berlaku apabila ada pihak menyifatkan mereka berdua merupakan pasangan yang suka mencari gaduh.
"Bukannya kami suka bergaduh dengan orang tetapi kami lebih senang bercakap secara terus terang.
"Lagipun kami enggan terlalu mengikut mentaliti orang Malaysia yang enggan mengguris hati orang tetapi mereka cakap belakang pula. Lebih baik kita berterus terang dan cakap sahaja apa yang dirasakan tidak kena," katanya.
Azad ditemui pada majlis pra-tonton filem Suatu Malam Kubur Berasap 2 (SMKB 2) di Berjaya Times Square di sini pada Ahad. Eira juga turut hadir menemani suaminya pada acara tersebut.
Sebelum ini, Azad pernah terbabit dengan kes bergaduhan dengan seorang lelaki di Pulau Pinang sehingga ia menjadi kes polis. Malah pelakon itu turut dikatakan pernah berkelahi dengan beberapa kru produksi.
Pada pertengahan Mei lalu, Eira pula dikatakan telah menampar seorang kru produksi sewaktu penggambaran sebuah telefile Pulanglah Abah.
Ditanya apakah perkembangan kes tersebut memandangkan ia kini sudah menjadi kes polis kata Eira dia berharap isu tersebut dapat diselesaikan dengan segera.
"Kalau nak diikutkan saya dah tidak mahu menjawab berkaitan perkara ini. Benda ini kecil sebenarnya tetapi menjadi besar. Saya harap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.
"Mungkin ada yang menganggap saya sengaja mahu mencari masalah tetapi sesuatu perkara tidak akan berlaku jika ada yang memulakannya dahulu bukan?" soalnya.
Pergaduhan itu berpunca apabila kru tersebut meminta Eira menguatkan suaranya ketika penggambaran kerana tahap audio terlalu rendah di sebuah restoran di Ampang.
Berang dengan teguran itu, Eira kemudiannya dipercayai menampar muka kru produksi tersebut.
Azad Paksa Eira Syazira Kuruskan Badan, Kalau Tidak...
Bagi kebanyakan wanita yang sudah berkahwin, lazimnya pekara yang paling dibimbangkan adalah tentang bentuk badan menawan da langsing mereka yang akan berubah terutama selepas melahirkan anak. Tetapi lain pula bagi pelakon jelita Eira Syazira yang bukannya dia tidak risau mengenai perkara itu tapi cuma tidak terlalu memaksa diri untuk kembali mendapat kembai bentuk badan sewaktu zaman anak daranya dulu.
Bertemu Eira di majlis Seindah Ramadan TV3 di sebuah restoran di ibu kota kelmarin, Eira memberitahu dia kini mahu memastikan brat badannnya ditahap ideal kerana jika tidak, suaminya, pelakon dan pengacara Azad Jazmin tidak membenarkannya kembali aktif berlakon. Sebaliknya duduk di rumah menjaga anak.
"Masa dalam pantang, berat saya 80kg lebih. Tapi sekarang Allhamdulillah dah turun jadi 52kg. Sebenarnya Azad letak syarat, kalau saya nak aktif berlakon semula, saya kena kena dapatkan bentuk badan macam dulu. Kalau tak dapat, dia suruh saya jaga anak jer kat rumah.
"Jadi saya nak buktikan pada Azad yang saya boleh sahut cabaran dia. Saya diet sendiri. Sebenarnya dia takut saya gemuk sebab dia tak nak nanti saya dapat tawaran berlakon watak mak, mak. Dia nak saya dapat balik watak-watak macam dulu. Suami saya tu memang sarkastik sikit", ujar Eira sambil tertawa.
Dia yang selamat melahirkan cahaya mata sulung, Amarra Sofea Rose pada 11 Januari 2013 lalu, kini masih lagi dalam penggambaran drama berantai 18 episod, Ramadan Yang Hilang. Drama tersebut bersiaran sejak 26 Jun menerusi slot Samarinda di TV3, jam 10. malam.
Dalam masa sama kata Eira, sejak bergelar ibu barulah dia memahami bertapa besarnya pergorbanan seorang ibu. Bahkan baginya masa 24 jam tidak mencukupi, iyalah manakan nak uruskan anak dan keluarga dan kemudian dia perlu berkejar ke lokasi penggambaran.
"Kadang-kadang tu rasa 24 jam memang tak cukup bagi saya. Siang saya sibuk dengan shooting. Habis shoot jer saya terus balik, anak pula dan tidur. Saya tak ada pembantu. Kalau keluar shooting, mak mentua yang tolong jaga anak saya. Kat set pula, saya asyik fikir pasal anak jer. Azad pun macam tu juga", katanya yang turut berazam mahu menjadi isteri dan ibu yang terbaik.
Eira turut bersyukur kerana sejak Amarra lahir, rezeki mereka sekeluarga bertambah. Dia baru saja dilantik menjadi duta produk Ultra Shine Whitening akan dilancarkan pada 17 Ogos depan.
Eira Syazira, Azad Tidak Percayakan Pembantu Rumah
Tidak mahu anak popular - Eira Syazira
GAMBAR - EIRA SYAZIRA, AZAD & ANAK
Gabungan Dua Ibu Untuk Nama Anak Azad & Eira Syazira
PETALING JAYA: Pelakon Azad Jazmin mendedahkan dia mendapat ilham untuk menamakan anak perempuannya Amarra Sofea Rose bersempena mengambil pangkal nama ibunya dan ibu mertuanya.
Azad atau nama sebenarnya Azad Jazmin John Louis Jeffri, 37, berkata, nama Rose pada bayi perempuan yang dilahirkan isterinya pelakon Eira Syazira pada 11 Januari lalu itu diinspirasikan daripada nama ibunya, Roshidah dan ibu Eira iaitu Rohani.
“Nama Sofea Rose sudah lama saya pilih. Hanya perkataan Amarra yang kami tambah baru-baru ini.
“Sejak Eira mengandung, hubungan saya dengan kedua-dua ibu bertambah rapat. Secara kebetulan, pangkal nama ibu saya dan ibu mertua bermula dengan perkataan ‘Ro’.
“Saya pilih nama Rose sebagai tanda penghargaan buat mereka,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Isnin.
Eira selamat melahirkan bayi seberat 4.2 kilogram itu menerusi pembedahan “Caesarean” pada kira-kira pukul 8.50 pagi di hospital Columbia Asia, Puchong, 11 Januari lalu.
Aktor filem Apa Celop Toqq.. itu berkata, dia masih berasa pelik untuk menyesuaikan diri dengan pengalaman baharu sebagai bapa.
“Saya masih pelik dan terpinga-pinga sebab tidak pernah alami pengalaman ini. Susah hendak terangkan tetapi siapa yang sudah bergelar bapa akan tahu perasaan saya sekarang.
“Bayangkan, kegembiraan yang luar biasa ini menyebabkan saya menitiskan air mata tanpa disedari setiap kali melihat wajah anak.
“Eira pun saya lihat terlalu susah hendak berenggang dengan anak kami,” katanya yang masih belum bersedia berkongsi gambar puteri sulung mereka untuk tatapan umum.
Azad berkata, bayi berkulit cerah yang mempunyai fizikal yang tinggi itu berada dalam keadaan sihat dan tidak banyak ragam.
“Walaupun isteri dan anak baru dibenarkan keluar dari hospital pada hari ini (Isnin) kerana keadaan Eira lemah akibat pembedahan, saya bersyukur kedua-duanya sihat dan selamat.
“Anak saya sudah pandai membuka matanya dan dia tidak banyak kerenah atau kuat menangis,” katanya.
Terbaharu, Azad sedang terlibat dalam penggambaran filem Sejoli arahan Osman Ali di samping Maya Karin, Bront Palarae, Remy Ishak, Izara Aishah dan Dira Abu Zahar.
“Kebetulan sekarang saya memang tiada babak untuk Sejoli dan akan sambung penggambaran pada esok (Rabu).
“Saya akan bekerja seperti biasa kerana Eira berpantang di rumah ibunya,” katanya yang turut mengacarakan program Mimpi Ke Bintang untuk TV2.
Azad dan Eira bernikah pada 16 September 2011 di kediaman keluarga aktres itu di Putrajaya.
Eira Syazira dan Azad Jazmin dapat anak perempuan
PASANGAN pelakon, Eira Syazira dan Azad Jazmin selamat menimang cahaya mata pertama, pagi tadi.
“Alhamdulillah, isteri tercinta Eira Syzira telah selamat melahirkan anak perempuan…masa kelahiran: 8.50 lagi. Tarikh lahir: 11 Januari 2013. Amin. Saya seorang ayah sekarang,” tulisnya di laman mikro Twitter milik isterinya, Eira jam 9.29 pagi tadi.
Bayi perempuan itu dikatakan mempunyai bulu mata yang panjang.
“Bulu mata anak aku ini, panjang berjela. Macam bapa macam anak,”katanya.
Eira Syazira dan Azad bernikah pada 16 September 2011.
Eira tertekan sebab suami?
JOYAH mengucap panjang bila dapat tahu tentang kes gaduh pelakon Azad Jazmin di Pulau Pinang pada Khamis lalu. Ini gaduh bukan gaduh-gaduh manja tau. Tapi gaduh tumbuk, terajang sampai kena lima jahit di kepala. Memang real kejadian itu, tak guna khidmat stuntman pun. Seram sejuk Joyah dengar keadaan suami kepada penyanyi dan pelakon Eira Syazira ni. Teruklah juga…
Seorang teman telefon Joyah untuk mengadu domba tentang kejadian itu. Ternganga mulut Joyah ni selama tiga minit dengar cerita pergaduhan Azad itu. Kata teman Joyah, "Wei Joyah yang kepoh. Aku nak beritahu yang Azad tu hot di Penang. Ramai orang dah mark dia. Jadi tak hairanlah dia kena."
Alamak sampai begitu sekali ke? Hot panas ke, hot kacak. Joyah tak nak komen cerita teman Joyah itu lebih-lebih. Apa yang Joyah boleh doa adalah kesihatan yang baik buat Azad. Dugaan sebelum bergelar bapa mesti banyak kan? Sabar jelah…
Dengar cerita juga, Eira risau dan tension berganda-ganda bila dapat tahu keadaan suami tersayang. Sekarang ni tengah sarat mengandung, lagilah jiwa kacau. Hati bakal ibu ni memang lain sikit. Banyak sensitif. Sabarlah Eira. Harap semuanya okey. Doa-doalah semoga semua perkara tu selesai. Jangan terlalu berfikir. Takut kesannya pada baby dalam perut tu.
Misi 44 hari Eira Syazira
PELAKON yang sarat mengandung tujuh bulan ini tidak kisah persepsi sekeliling terhadap berat badannya yang naik mendadak ketika ini asalkan bayi yang dikandungnya itu sihat.
Isteri kepada pelakon Azad Jasmin iaitu Eira Syazira ini juga tidak kisah berat badannya naik sehingga tiga kali ganda daripada 45 kilogram (kg) kepada 67kg ketika mengandungkan bayi sulungnya itu.
Bagi Eira, tubuhnya boleh dikatakan agak gemuk ketika fasa kehamilan disebabkan angin dan air seperti yang dikatakan oleh orang tuanya.
“Saya tidak makan banyak sangat pun masa mengandung, tetapi mak dan mak mentua saya cakap badan saya banyak angin dan air sebab itu nampak macam kena pam,” ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Dia ditemui ketika sidang akhbar Tribute P. Ramlee yang menghimpunkan 10 telemovie pengarah terkenal tempatan hasil kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM), Suhan Movies Sdn. Bhd. dan Utusan Melayu (M) Berhad.
Dalam himpunan telemovie itu, Eira turut berlakon dalam telemovie Tunggu Sekejap bersama pelakon, Fizo Omar dan Nasir Bilal Khan di bawah arahan Along Kamaluddin yang ditayangkan di TV1 pada 4 November ini, pukul 9 malam.
Tambah Eira, dia akan sedaya upaya cuba untuk menurunkan berat badannya kepada asal iaitu 45kg semasa dalam tempoh berpantang 44 hari itu nanti.
“Saya tidak akan adakan sesi fotografi dengan mana-mana syarikat media selagi saya tidak kurus selepas bersalin nanti. Kalau saya tolak pelawaan fotografi, itu maknanya saya tidak kurus lagilah,” ujarnya berjenaka.
Tekad Eira, dia akan mengamalkan amalan pantang bersalin petua tradisional bagi memudahkan proses penurunan berat badannya nanti.
“Saya ingat dalam pantang nanti hanya mahu makan nasi sekali sehari sahaja dan banyak minum air halia. Nasi memang kena makan juga untuk membolehkan saya menyusu badan nanti,” ujarnya.
Kejutan jantina anak
Bercerita mengenai kandungannya pula, pelakon drama Cinta Balqis ini memberitahu, bahawa dia tidak mahu mengetahui jantina anak sulungnya itu bagi membuat kejutan kepada dirinya dan keluarga.
“Doktor ada tanya hendak tengok jantina atau tidak semasa buat imbasan tetapi saya dan Azad sepakat untuk jadikan ia sebagai kejutan kelak,” ujarnya akan mula membeli kelengkapan bayi pada 7 November nanti.
Disebabkan tidak mahu mengetahui jantina bayinya itu, Eira akan membeli pakaian bayi dengan warna yang boleh digunakan oleh bayi lelaki atau perempuan seperti kuning, hijau atau biru muda sahaja.
Berkongsi pengalamannya mengandungkan anak sulung pula, Eira berkata dia tidak mengalami sebarang kesukaran kecuali hanya berat badan yang naik mendadak dan sekarang hanya cepat penat.
“Saya rasa biasa sahaja, yang kena alahan teruk dan berperangai pelik adalah Azad bukannya saya.
“Saya memang gembira tetapi dalam masa sama takut pun ada, tetapi saya harap semuanya selamat nanti,” ujarnya yang bakal bersalin di Kuala Lumpur dan berpantang di rumah ibunya di Putrajaya.
Tambah Eira, suaminya juga berperangai pelik apabila sepanjang hayat tidak pernah makan masakan yang ada ketam sebaliknya apabila dia mengandung masakan ketam adalah yang paling digemari.
“Sampai sekarang pun dia suka makan ketam, walaupun sudah 36 tahun tidak pernah makan ketam. Satu lagi, sampai sekarang dia masih muntah-muntah pada waktu pagi, bukannya saya,” tambahnya.
Cerita baju tajaan - Eira Syazira
ADA sesetengah syarikat produksi menyediakan khidmat pakaian sebagai kostum untuk kegunaan pelakon semasa penggambaran drama atau filem. Usaha itu memang bagus sebab tidak semua produksi tempatan ambil berat tentang kostum para pelakonnya, sama ada di TV atau filem.
Menyediakan kostum juga dapat mengatasi masalah pelakon pakai baju ala-ala tangkap muat dalam drama atau filem. Contohnya, pelakon yang membawa watak perempuan naif dari kampung. Seharusnya berpakaian longgar tapi dalam TV pakai baju T sendat dengan seluar pendek. Kostum ini ternyata tidak sesuai dengan watak.
Tapi ada juga syarikat produksi yang tidak menyediakan khidmat itu. Maknanya pelakon kena mencari sendiri kostum untuk penggambaran drama yang tidak panjang (bukan episod). Perkara itu memang membebankan pelakon, tapi mereka tidak ada pilihan.
Tapi selalunya syarikat produksi yang tidak mahu terikat dengan soal kostum itu mesti ada kes. Mungkin pernah terjadi kes curi, pakaian rosak, terkoyak atau cacat sewaktu pelakon menggunakan pakaian berkenaan. Jadi, timbul masalah masa waktu pemulangan. Sebab itu produksi tidak berani memberi komitmen dengan penaja kostum.
Soal pinjam kostum ini juga dianggap renyah oleh pihak penerbitan. Silap hari bulan, syarikat kena bayar ganti rugi beratus-ratus ringgit kepada penaja. Hah, bahagian itu yang pemilik syarikat produksi tak larat nak layan. Itu bab syarikat produksi besar, yang ini pula bab perseorangan. Saya ada dengar perihal pereka baju, penaja atau orang yang pernah berurusan terus dengan artis yang mahu meminjam baju, akhirnya mengeluh tak berpuas hati dengan sikap artis.
Artis janji macam-macam semasa hendak meminjam. Tapi apabila masa hendak pulangkan, barangan yang dipinjam dah serupa belacan. Baju yang dipinjam itu katanya nak digunakan untuk sesi fotografi, tapi sebenarnya dipakai di merata tempat. Lepas guna kata dah buat cucian kering, tapi kenapa bau badan artis masih lekat pada baju?
Itu belum lagi masuk bab artis buat-buat lupa pulang baju penaja. Ada yang sampai berbulan-bulan lamanya. Adoi, ini dah kes parah. Macam mana boleh lupa pulang sebab baju bukannya barangan kecil? Alasan terlupa telefon penaja untuk memulangkan baju memang tak boleh diterima. Jangan marah atau meroyan apabila gosip mengatakan si anu atau si ani tidak pulangklan baju. Memang padan dengan muka bukan?
Harus diingat yang penaja tak cakap depan artis. Mereka selalunya hendak jaga hati, air muka dan standard artis itu. Tapi sampai hati dan boleh tahan.
Sebab itu dalam soal pinjam barang, artis kena lebih berhati-hati. Dah namanya artis, kenalah tanggung kalau silap atau buat hal. Orang sekeliling tunggu masa saja nak cari pasal.
Sebab itu juga, masalah pinjam baju itu boleh diatasi andai artis itu sendiri sentiasa berhemat sepanjang menggunakan barangan penaja. Jangan jadikan barangan tajaan itu macam milik sendiri. Mentang-mentanglah bukan hak sendiri, senang-senang saja nak buat apa-apa.
Lantaran itu, artis kena lebih peka dan bertanggungjawab dalam hal pinjam meminjam ini. Jangan salahkan orang lain kalau gagal serahkan barang yang dipinjam itu dalam keadaan baik. Atau tuding jari dengan mana-mana pihak yang cuba rosakkan nama sebab pokok pangkalnya bermula pada artis itu sendiri.
Eira Syazira Tidak Manjakan Diri Ketika Hamil
KUALA LUMPUR: Aktres Eira Syazira enggan memanjakan dirinya walaupun sedang mengandung lima bulan demi memenuhi tuntutan sebagai seorang pelakon.
Pemilik nama sebenar Syazira Shuhaimi, 28, berkata, dia mengambil pendekatan itu kerana tidak mahu dirinya menjadi lesu atau lemah yang sekali gus boleh menjejaskan rutin hariannya.
“Saya berlakon dan melakukan kerja-kerja rumah macam biasa sebelum ini. Saya sengaja tidak memanjakan diri supaya badan saya kelihatan cerdas walaupun sedang mengandung.
“Alhamdulillah, setakat ini saya melaksanakan tugas saya seperti biasa walaupun terdapat sedikit masalah terhadap kandungan saya kerana saya terlalu aktif berlakon. Bagaimanapun masalah itu tidaklah begitu serius,” katanya ketika ditemui mStar Online pada jamuan Hari Raya anjuran pengarah filem Ahmad Idham di kediamannya di Bukit Jalil di sini.
Isteri kepada aktor Azad Jazmin ini berkata, dia hanya akan berehat selepas menamatkan komitmen sebuah telefilem untuk TV AlHijrah yang akan memulakan penggambaran pada Khamis ini.
“Saya masih aktif berlakon sehingga kini. Rasa sayang pula hendak tolak kerana satu demi satu tawaran masuk sehinggalah Ramadan lalu.
“Bayangkan, sepanjang mengandung saya sempat siapkan tujuh telefilem. Mungkin selepas tamat penggambaran telefilem dengan TV AlHijrah di samping Aqasha dan suami, baru saya berehat panjang,” katanya.
Mengenai pengalamannya hamil buat pertama kali, penyanyi lagu Prasasti Cinta ini berkata, dia tidak lagi mengalami sebarang alahan yang teruk pada fasa ini.
“Ketika awal kandungan dulu, saya memang lemah, mual dan tidak larat tetapi sejak kebelakangan ini terutamanya sepanjang Ramadan lalu, saya menjadi lebih kuat, bertenaga dan tiada alahan teruk.
“Namun, Azad pula yang kerap mual dan pening. Malah, suami juga semakin nakal dan suka bergurau tanpa kira tempat dan waktu,” katanya yang dijangka bersalin pada Januari tahun depan.
Eira yang kini berhenti seketika daripada bidang nyanyian berkata, dia dan suami bakal berduet dalam lagu berjudul Sajak Dari Hati selepas melahirkan anak nanti.
“Saya berehat seketika daripada projek nyanyian kerana wakil syarikat rakaman FMG itu senyap dan menghilang begitu sahaja. Promosi lagu Prasasti Cinta ciptaan Manusia Putih itu pun tertunda kerana saya sudah hamil.
“Insya-Allah, selepas bersalin pada awal tahun depan, saya dan suami merancang untuk merakam lagu duet kami berjudul Sajak Dari Hati,” katanya.
Azad Jazmin Sikap Baran Sejak Kahwini Eira Syazira
KUALA LUMPUR: Pelakon Azad Jazmin berkata perkahwinan dengan aktres Eira Syazira sejak 10 bulan lalu menjadikan dia semakin matang dan mampu mengawal sikap panas baran yang dimilikinya selama ini.
Azad atau nama sebenarnya Azad Jazmin John Louis Jeffri, 36, berkata dia bersyukur kerana sikap baran dan mudah melenting itu beransur hilang.
“Persepsi yang menganggap saya panas baran dan mudah melenting tidak akan pernah pudar. Ia sentiasa ada kerana segelintir pihak sering tersalah anggap dengan cara pertuturan dan gestur tubuh saya yang kasar dan agresif.
“Namun, saya gembira dengan kematangan dan ketenangan sikap saya miliki kini. Saya lebih relaks dan tidak mudah melenting walaupun ada perkara negatif yang timbul,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Azad dan Eira dinikahkan oleh bapa aktres itu, Shuhaimi Acheh pada 16 September 2011 dengan mas kahwin sebanyak RM 300 di Putrajaya dekat sini.
Ditanya mengenai sikap negatif yang sinonim dengan dirinya sebelum ini, Azad berkata orang ramai semakin dapat menerima bahawa sikap kasar itu hanyalah karakter luaran dirinya.
“Saya berasal dari Pulau Pinang. Secara kebetulan cara yang kasar itu sering disinonimkan dengan orang-orang dari utara. Padahal saya bercakap seperti orang lain juga cuma ton suara saya kedengaran kasar dan lantang, sekaligus mengundang salah faham.
“Kalau orang mengenali saya, mereka akan faham dan terima sikap yang kelihatan kasar diluar sahaja, bukan dalaman saya. Jika tidak, mana mungkin saya dapat hidup bersama Eira dan keluarganya yang dikenali kerana sikap lemah lembut mereka,” jelasnya.
Terbaru, Azad kini sibuk di lokasi penggambaran filem arahan Ahmad Idham berjudul Gangster Celop dan sebuah lagi filem, Mamak Cupcake.
Azad juga bakal muncul dengan filem terbaru berjudul SAM arahan Syafiq Yusof bermula 19 Ogos depan bersempena Hari Raya Aidilfitri.
"Saya kenal siapa Azad" - Eira
BELUM setahun pelakon popular, Eira Syazira melayari bahtera perkahwinan yang dibina bersama suami, Azad Jasmin John Louis Jeffri atau Azad Jasmin, pasangan ini sudah terjebak dengan pelbagai kontroversi.
Rasanya khalayak sendiri sudah mengerti apakah cerita panas yang melanda Eira dan Azad Jasmin atau Azad sehingga menggemparkan industri hiburan seketika rentetan daripada majlis perkahwinan mereka pada September tahun lalu.
Tidak hanya cerita panas itu yang menjadi perbualan tetapi sikap Azad menangani isu tersebut juga menjadi perbualan ramai.
Secara tidak langsung, ramai yang mula nampak warna sebenar pelakon drama bersiri Adnan Sempit itu yang sebelum ini cukup dikenali sebagai seorang yang penuh humor dan lucu orangnya.
Sebagai seorang isteri, sudah pasti Eira juga terpalit dengan persepsi masyarakat berhubung perlakuan si suami yang dilihat tidak profesional dan bersikap keanak-anakan dalam berhadapan dengan kontroversi.
Tetapi bagi wanita berusia 28 tahun ini, dia enggan mengambil kisah apa yang diperkatakan oleh masyarakat tentang dirinya dan suami.
Bagi Eira, hanya dia yang mengetahui siapakah suaminya yang sebenarnya dan sebagai isteri, adalah menjadi tanggung jawabnya untuk mempertahankan kedudukan Azad seandainya ada tuduhan melulu yang dilemparkan.
Sama juga seperti dirinya yang dituduh dengan pelbagai fitnah yang mengaibkan sewaktu hendak mendirikan rumah tangga.
Tetapi, sebagai seorang pelakon yang sudah 10 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni, Eira sudah masak untuk mengawal keadaan. Jika ada yang tidak betul, dia lebih selesa untuk tidak membuang masa dan memikirkannya.
"Saya lebih kenal Azad. Benar, orang luar mungkin melihat dirinya sebagai seorang yang kelakar dan lucu seperti mana karakternya di dalam filem mahupun televisyen.
"Tetapi, dia juga manusia biasa yang mempunyai perasaan. Kalau ada yang tidak puas hati, dia akan suarakan secara lantang dan sama sekali tidak akan menyimpan perasaan.
"Azad juga seorang yang berterus-terang dan kalau ada sesuatu yang mencabar dirinya terutama cerita tidak betul, dia akan bangkit dan mempertahankan diri.
"Alhamdulillah, semua perkara yang berlaku sudah selesai dan kami tidak mahu lagi mengenangnya. Biarlah ia menjadi satu pengalaman untuk kami lebih matang mengharungi kehidupan sebagai suami isteri," luah Eira penuh luhur sewaktu ditemui di Studio Utusan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mendirikan rumah tangga pada 17 September lalu, ternyata Eira mempelajari banyak perkara baru untuk terus memperbaiki dirinya sebagai seorang isteri.
Apa yang diutamakan oleh Eira dan Azad adalah aspek komunikasi dalam mengeratkan lagi hubungan mereka sementelah masing-masing sibuk mengejar karier sebagai pelakon.
Justeru, apabila kedua-dua berada di rumah, mereka akan cuba mengalihkan perbualan daripada bercerita tentang kerjaya dan mencari ruang untuk melakukan aktiviti yang bersesuaian.
"Kami amat mementingkan hubungan kekeluargaan dan apabila sudah bergelar suami isteri, kami mahu menjaganya. Lantaran itu, aspek komunikasi sangat penting.
"Biar penat sekalipun, saya tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.
"Apatah lagi, Azad sendiri sudah memberikan sokongan dan restu untuk meneruskan karier, jadi saya perlu memelihara batas serta tingkah laku untuk tidak menjadi bahan perbualan masyarakat.
"Alhamdulillah, hampir setahun berkahwin, saya dan Azad cukup bahagia. Insya Allah, kami terus berdoa untuk ikatan ini kekal sehingga ke akhir hayat," jelas pemilik nama penuh Syazira Shuhaimi ini penuh optimis.
Sempat diusik dengan pertanyaan tentang cahaya mata, sambil mengukir senyuman manis, aktres berwajah lembut ini sememangnya sudah bersedia untuk bergelar ibu setelah disahkan mengandung.
Eira sendiri menyampaikan khabar gembira itu kepada peminatnya di laman Twitter dengan menulis bahawa doktor mengesahkan janin dalam kandungannya berusia enam minggu.
"Saya sudah berusia 28 tahun manakala Azad pula 36 tahun. Kalau diukur pada angka itu, memang kami berdua sudah cukup haul untuk memiliki zuriat sendiri dan bila disahkan mengandung, ia adalah detik-detik sangat bahagia kami.
"Kami memang sukakan kanak-kanak dan kalau boleh mahu ramai anak," katanya dalam nada penuh mengharap.
Puas dengan lakonan
SELAMA 10 tahun menjadi pelakon, Eira mengakui dia seorang yang cukup bertuah kerana sudah diberi peluang membawakan pelbagai watak.
Mula dikenali menerusi drama rantaian, Meniti Bara sekitar tujuh tahun lalu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga tidak kisah seandainya ada pihak yang menggelarkannya dengan gelaran pelakon air mata.
Eira cukup sedar sepanjang menjadi seorang aktres, dia lebih banyak membawa watak wanita dirundung malang yang memerlukannya bermain dengan emosi dan air mata.
"Peminat mengenali saya menerusi karakter sebegitu. Secara tidak langsung, mereka cukup sukakan saya dan kalau saya lari daripada watak itu, mereka mahukan saya kembali ke asal.
"Tetapi, sebagai aktres saya sendiri harus mencabar diri dengan pelbagai watak agar tidak kelihatan stereotaip.
"Atas alasan itulah, saya mengatakan selama lebih sedekad dalam industri, saya sudah puas dengan apa yang telah dilakukan," ujar Eira yang bermula sebagai pelakon tambahan menerusi filem Idola pada tahun 2002.
Begitu juga ketika dia diberi peluang memainkan watak antagonis yang jauh berbeza dengan karakter dirinya yang sebenar.
Kata Eira, setidak-tidaknya dengan watak tersebut, masyarakat juga dapat melihat sisi berbeza sekali gus membuktikan bahawa dia juga mampu membawakan watak lain.
Sambil merenung kembali perjalanan seninya, Eira tidak henti-henti melafazkan syukur kerana terus menjadi pilihan penerbit serta pengarah drama untuk mewarnai kaca televisyen.
Biarpun lebih dikenali sebagai pelakon drama dan hanya membintangi tiga filem setakat ini iaitu Ngangkung, Sini Ada Hantu dan Aku Bukan Tomboy, Eira tidak melihat itu sebagai sesuatu yang remeh.
Apa yang penting baginya, penerimaan dan kepercayaan peminat serta karyawan seni tempatan yang terus memberi peluang kepadanya untuk berkarya.
"Untuk itu, saya harus mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Yusof Haslam kerana jika bukan kerana beliau, mungkin bukan mudah untuk saya menembusi industri ini. Malah, beliau juga yang memberikan nama Eira kepada saya.
"Siapa tahu, saya akan menjadi penari bagi meneruskan legasi seni yang mengalir dalam diri ini," jelasnya yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri, Tetap Maghrib terbitan RTM untuk tayangan bulan Ramadan ini.
Eira Syazira Bunting Pelamin?
Tinggal beberapa jam sahaja lagi sebelum berlangsung’nya Festival Filem Malaysia ke 24 — kita layan gossip ringan.
Seperti minggu lalu, hujung minggu ini juga di’penuhi majlis resepsi perkahwinan selebriti — tahniah buat pasangan Michelle Wee & Deqwan juga Zahiril Adzim & Shera Aiyob.
Malam 18 November 2011 yang lalu berlangsung’nya majlis resepsi pertama buat pasangan Azad Jazmin & Eira Syazira selepas bernikah pada 16 September lalu.
Duduk bersembang bersama rakan rakan yang hadir ke majlis tersebut, ada satu sumber memberitahu yang Eira Syazira kini sudah hamil namun empunya diri belum memutuskan untuk membuat sebarang pengumuman rasmi kepada peminat & media.
Ucapan tahniah awal buat pasangan Azad Jazmin & Eira Syazira jika benar perkhabaran yang sampai ke telinga kami ini. Majlis resepsi sebelah lelaki akan berlangsung 26 November ini di Pulau Pinang.
Pikul tanggungjawab baru - Eira Syazira
SETIAP di antara kita mempunyai tanggungjawab yang harus dipikul, sama ada dalam bidang pekerjaan ataupun dalam hal-hal keluarga.
Mungkin bagi mereka yang masih bujang, tanggungjawab yang dirasakan tidaklah terlalu berat tetapi bagi mereka yang telah berkahwin, pastinya tanggungjawab yang perlu dipikul kini bertambah.
Bukan untuk mengadu tetapi itulah hakikat yang harus dihadapi bagi setiap insan yang baru mendirikan rumah tangga.
Tidak terkecuali juga pasangan pelakon, Azad Jazmin dan Eira Syazira yang baru mendirikan rumah tangga pada 16 September, lepas.
Walaupun telah diijabkabulkan lebih kurang dua bulan yang lalu tetapi majlis persandingan mereka hanya dapat diadakan Jumaat lalu di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Disebabkan kedua-duanya terikat dengan jadual penggambaran yang padat sehingga menyukarkan mereka untuk mencari masa yang sesuai, maka majlis resepsi Azad dan Eira diadakan sedikit lewat.
Eira yang ditemui setelah majlis persandingan kelihatan manis sekali. Apatah lagi dia memakai baju berkonsepkan kebaya moden, bersesuaian dengan tema majlis resepsi mereka iaitu Melayu-Inggeris.
Ketika menemubualnya, Eira berkata, tanggungjawab sebagai seorang isteri itu lebih terasa, apatah lagi apabila masing-masing sibuk dengan urusan penggambaran yang berbeza masanya.
"Sebelum berkahwin, apabila kami berjauhan saya tidak terasa apa-apa tetapi itu semua berubah setelah bergelar seorang isteri.
"Saya baru sahaja pulang daripada Melbourne, Australia setelah dua minggu berada di sana untuk menjalani penggambaran drama terbaru saya.
"Sepanjang menjalani penggambaran di luar negara, sedikit sebanyak timbul juga rasa bersalah dalam hati kerana terpaksa meninggalkan suami.
"Saya bersyukur kerana Azad amat memahami diri saya dan jadual kerja saya. Jadi, itu memudahkan saya sedikit untuk fokus kepada perjalanan seni walaupun telah mendirikan rumah tangga," ceritanya.
Azad dan Eira sependapat, komunikasi amat penting dalam menjalin hubungan suami isteri.
Pasangan ini juga bukan sahaja jujur antara satu sama lain tetapi saling percaya mempercayai.
Justeru, kata kedua-dua pasangan pengantin baru ini, walaupun seharian tidak bersama, mereka saling berhubungan.
"Mungkin masing-masing sibuk dengan aktiviti harian tetapi kami akan pastikan komunikasi antara kami sentiasa baik.
"Setiap malam sebelum tidur, kami akan meluangkan masa untuk berbual dan bercerita tentang apa yang kami buat sepanjang hari.
"Ini penting kerana kami hanya berjumpa pada waktu malam. Pada sebelah siangnya pula, biasalah, berada di lokasi penggambaran," kata Eira panjang lebar.
Bulan madu di Melbourne
Seperti pasangan pengantin baru yang lain, pastinya mereka mempunyai destinasi idaman untuk berbulan madu dan pelakon wanita yang dilahirkan di ibu kota ini memilih Melbourne sebagai destinasi bulan madu.
"Ketika menjalani penggambaran di sana, saya merasakan ia suatu tempat yang sangat cantik dan mempunyai pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati.
"Walaupun telah menghabiskan masa selama dua minggu di sana tetapi kerana jadual padat dengan penggambaran, saya tidak berpeluang untuk bersiar-siar. Jadi, saya teringin untuk kembali ke sana bersama Azad untuk bulan madu kami," katanya.
Azad yang hanya membiarkan isterinya berceloteh dengan wartawan, akhirnya bersuara dengan menyatakan, destinasi idamannya untuk berbulan madu adalah Gold Coast, Australia.
"Memang saya sudah lama ingin ke sana dan rasanya, sekaranglah masa yang sesuai untuk pergi bersama dengan isteri tersayang," jelasnya dengan senyuman.
Menjawab soalan apakah Eira sudah berbadan dua?
Sambil ketawa, pasangan ini memberitahu, setakat ini, tiada tanda-tanda yang menunjukkan Eira hamil.
"Memang kalau boleh, kami mengharapkan agar Tuhan kurniakan rezeki secepat mungkin.
"Oleh itu, kami tidak merancang. Soal cepat atau lambat, itu semua terserah kepada Allah," katanya yang mahu empat orang cahaya mata sebagai penyeri dalam rumah tangganya.
Eira Syazira Sah Jadi Isteri Azad Jazmin
PUTRAJAYA: Dengan sekali lafaz pelakon Syazira Shuhaimi atau Eira Syazira, 27, sah bergelar isteri kepada pelakon Azad Jazmin John Louis Jeffri yang diadakan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Putrajaya, di sini, kira-kira pukul 8.50 malam, Jumaat.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Shuhaimi Acheh dengan mas kahwin sebanyak RM 300.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas persetujuan kedua-dua belah pihak.
Turut menyaksikan majlis tersebut adalah ibu dan keluarga kedua-dua pasangan pengantin.
Eira menerima sembilan dulang hantaran seperti, jam tangan, beg tangan, kasut, cincin, sirih junjung, minyak wangi, sejadah, Al-Quran, dan iPad, manakala Azad mendapat 11 hantaran seperti, minyak wangi, Al-Quran, jam, baju Melayu, set penjagaan diri, kemeja, sejadah, kasut, coklat, cincin, sirih junjung dan jersi dan topi jenama Chelsea.
Pasangan mempelai anggun mengayakan busana serba putih rekaan pereka fesyen terkenal Wanpa.
Sementara itu, majlis resepsi sebelah pihak perempuan akan diadakan pada 17 November depan di sini..
Manakala, pada 26 September di belah lelaki di Pulau Pinang.
Pasangan akan berbulan madu di Bali dan Jakarta pada November depan.
Eira cuba nasib jadi penyanyi

NAMA Eira Syazira dalam bidang lakonan memang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana dia telah mencipta nama dalam bidang itu sejak sembilan tahun lalu. Namun, bakat seni pelakon berusia 27 tahun itu tidak terhenti setakat itu sahaja.
Sebaliknya, anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga sebenarnya berbakat dalam bidang nyanyian.
Kata Eira, bakatnya itu mula dicungkil kira-kira dua tahun lalu menerusi drama berjudul Cinta Balqis sebanyak 44 episod.
Pelakon yang meminati suara penyanyi Barat, Celine Dion ini berkata, dia mula menyanyi secara serius sewaktu ditawarkan menyanyikan lagu tema drama bersiri itu. Lantaran itu, ruangnya untuk bergelar penyanyi pun mula terbuka luas.
"Pembabitan saya dalam bidang nyanyian secara tidak sengaja. Ia bermula apabila saya ditawarkan menyanyikan lagu tema drama bersiri Cinta Balqis yang pernah disiarkan menerusi TV3 dua tahun lalu. Sejak itu minat menyanyi semakin kuat.
"Daripada situlah banyak pihak mula melihat bakat saya dalam bidang nyanyian. Syarikat rakaman FMG misalnya, tertarik dengan suara saya dan mengikat saya sebagai artis naungan mereka," buka bicaranya kepada Hits baru-baru ini.
Sebagai permulaan, Eira baru muncul dengan album single pertamanya berjudul Di Hati Ini yang mengandungi lima lagu berjudul Sememangnya, Nour Elain, Sisi Duka, Di Hati Ini serta Bukan Mimpi Kesiangan terbitan FGM.
Jelas pemilik nama sebenar Syazira Shuhaimi ini, biarpun baru sekarang menceburi bidang nyanyian tetapi minat itu sudah lama ada. Namun, kesibukan berlakon menyebabkan dia tidak berpeluang menunjukkan bakatnya itu.
Meskipun sering mengisi masa lapangnya dengan menyanyi karaoke, tetapi Eira tidak terfikir bahawa suatu hari kelak dia juga akan bergelar penyanyi. Kini dengan peluang yang ada dia tidak akan mensia-siakannya begitu sahaja.
"Apabila saya mendapat peluang merakamkan album daripada FGM, maka saya tidak mahu lepaskannya begitu saya. Saya mahu buktikan pada diri sendiri bahawa saya juga boleh menyerlah sebagai penyanyi.
"Kalau dulu menyanyi hanya sekadar minat dan hobi tetapi kini ia satu lagi karier dalam kehidupan saya. Dulu menyanyi cuma di rumah atau di bilik-bilik karaoke tetapi sekarang di hadapan ramai orang," ujarnya dalam nada penuh teruja.
Selain diberi peluang lagu tema Cinta Balqis, suara Eira juga digunakan dalam banyak lagi lagu tema serta montage drama bersiri antaranya lagu berjudul Sisi Duka dan Di Hati Ini dalam drama Ustaz Amirul.
Subscribe to:
Posts (Atom)
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]







