Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Pikul tanggungjawab baru - Eira Syazira


SETIAP di antara kita mempunyai tanggungjawab yang harus dipikul, sama ada dalam bidang pekerjaan ataupun dalam hal-hal keluarga.

Mungkin bagi mereka yang masih bujang, tanggungjawab yang dirasakan tidaklah terlalu berat tetapi bagi mereka yang telah berkahwin, pastinya tanggungjawab yang perlu dipikul kini bertambah.

Bukan untuk mengadu tetapi itulah hakikat yang harus dihadapi bagi setiap insan yang baru mendirikan rumah tangga.

Tidak terkecuali juga pasangan pelakon, Azad Jazmin dan Eira Syazira yang baru mendirikan rumah tangga pada 16 September, lepas.

Walaupun telah diijabkabulkan lebih kurang dua bulan yang lalu tetapi majlis persandingan mereka hanya dapat diadakan Jumaat lalu di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Disebabkan kedua-duanya terikat dengan jadual penggambaran yang padat sehingga menyukarkan mereka untuk mencari masa yang sesuai, maka majlis resepsi Azad dan Eira diadakan sedikit lewat.

Eira yang ditemui setelah majlis persandingan kelihatan manis sekali. Apatah lagi dia memakai baju berkonsepkan kebaya moden, bersesuaian dengan tema majlis resepsi mereka iaitu Melayu-Inggeris.

Ketika menemubualnya, Eira berkata, tanggungjawab sebagai seorang isteri itu lebih terasa, apatah lagi apabila masing-masing sibuk dengan urusan penggambaran yang berbeza masanya.

"Sebelum berkahwin, apabila kami berjauhan saya tidak terasa apa-apa tetapi itu semua berubah setelah bergelar seorang isteri.

"Saya baru sahaja pulang daripada Melbourne, Australia setelah dua minggu berada di sana untuk menjalani penggambaran drama terbaru saya.

"Sepanjang menjalani penggambaran di luar negara, sedikit sebanyak timbul juga rasa bersalah dalam hati kerana terpaksa meninggalkan suami.

"Saya bersyukur kerana Azad amat memahami diri saya dan jadual kerja saya. Jadi, itu memudahkan saya sedikit untuk fokus kepada perjalanan seni walaupun telah mendirikan rumah tangga," ceritanya.

Azad dan Eira sependapat, komunikasi amat penting dalam menjalin hubungan suami isteri.

Pasangan ini juga bukan sahaja jujur antara satu sama lain tetapi saling percaya mempercayai.

Justeru, kata kedua-dua pasangan pengantin baru ini, walaupun seharian tidak bersama, mereka saling berhubungan.

"Mungkin masing-masing sibuk dengan aktiviti harian tetapi kami akan pastikan komunikasi antara kami sentiasa baik.

"Setiap malam sebelum tidur, kami akan meluangkan masa untuk berbual dan bercerita tentang apa yang kami buat sepanjang hari.

"Ini penting kerana kami hanya berjumpa pada waktu malam. Pada sebelah siangnya pula, biasalah, berada di lokasi penggambaran," kata Eira panjang lebar.

Bulan madu di Melbourne

Seperti pasangan pengantin baru yang lain, pastinya mereka mempunyai destinasi idaman untuk berbulan madu dan pelakon wanita yang dilahirkan di ibu kota ini memilih Melbourne sebagai destinasi bulan madu.

"Ketika menjalani penggambaran di sana, saya merasakan ia suatu tempat yang sangat cantik dan mempunyai pelbagai tempat menarik yang boleh dilawati.

"Walaupun telah menghabiskan masa selama dua minggu di sana tetapi kerana jadual padat dengan penggambaran, saya tidak berpeluang untuk bersiar-siar. Jadi, saya teringin untuk kembali ke sana bersama Azad untuk bulan madu kami," katanya.

Azad yang hanya membiarkan isterinya berceloteh dengan wartawan, akhirnya bersuara dengan menyatakan, destinasi idamannya untuk berbulan madu adalah Gold Coast, Australia.

"Memang saya sudah lama ingin ke sana dan rasanya, sekaranglah masa yang sesuai untuk pergi bersama dengan isteri tersayang," jelasnya dengan senyuman.

Menjawab soalan apakah Eira sudah berbadan dua?

Sambil ketawa, pasangan ini memberitahu, setakat ini, tiada tanda-tanda yang menunjukkan Eira hamil.

"Memang kalau boleh, kami mengharapkan agar Tuhan kurniakan rezeki secepat mungkin.

"Oleh itu, kami tidak merancang. Soal cepat atau lambat, itu semua terserah kepada Allah," katanya yang mahu empat orang cahaya mata sebagai penyeri dalam rumah tangganya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails