Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Showing posts with label Fara Fauzana dan Mawi. Show all posts
Showing posts with label Fara Fauzana dan Mawi. Show all posts

Mawi, Fara tak rasa tergugat


Bintang popular sedar dan sentiasa bersedia hadapi zaman kejatuhan tetapi tetap bekerja keras untuk mencapai tahap lebih tinggi

LALUAN mendaki tangga populariti bukannya mudah, apatah lagi mahu mengekalkannya. Tahap itulah dugaan paling sukar buat seseorang selebriti yang pernah diangkat sebagai bintang popular. Bersilih ganti nama, satu demi satu pernah menduduki takhta populariti, tetapi hakikatnya, tidak pernah kekal selamanya.

Penyanyi yang mendapat jolokan Raja SMS, Mawi dan penyampai radio popular HotFM, Fara Fauzana sudah melalui frasa populariti, anugerah sana sini dan nama disanjung tinggi, tetapi mereka tetap berpijak di bumi nyata. Hidup pula bagaikan putaran roda, ada masa di atas, ada ketikanya di bawah.

Nama Mawi dianggap `tenggelam’ selepas kemenangan Nabil yang diangkat sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008. Namun hakikatnya, Mawi masih bernafas apabila tumpuannya lebih diberikan kepada bidang lakonan pula. Mawi dan Fara buat pertama kali bergandingan dalam filem Jin Notti arahan Azhari Zain. Filem terbitan KRU Studios Sdn Bhd bergenre komedi itu dijangka menemui penonton di pawagam pada 1 Syawal ini.

Dengan nada tenang, Fara, 29, mengakui: “Saya tak pernah lupa di mana bumi di pijak, setiap masa dan ketika, saya sentiasa muhasabah diri. Ada ketikanya saya seperti tidak percaya mampu menjejak ke tahap ini, maklumlah dulu saya hanyalah budak Skuad Era. Sudahlah kulit saya hitam, siapa nak pandang saya ketika itu?

“Kerjaya saya bermula daripada bawah, apa kerja yang saya tak buat. Dari angkat barang, jaga artis dan bawa kereta Skuad Era sana-sini, akhirnya Tuhan memberikan laluan kepada saya bergelar penyampai radio. Dan kini saya dilayan seperti selebriti pula, sesuatu yang tak pernah dijangka selama ini.

“Apa yang dapat saya katakan, saya tak pernah gentar untuk melalui fasa kejatuhan kerana saya perlu sentiasa bersedia. Dalam hidup, saya punya matlamat tinggi, saya tidak mahu terus berada di tahap ini kerana impian saya untuk mengecapi tahap yang lebih tinggi. Insya-Allah, saya menyimpan harapan untuk bergelar `seseorang’ di sebalik tabir dalam industri. Cuma saya perlu mengumpul pengalaman dan melangkah tahap ke tahap untuk merealisasikan impian saya.”

Menyentuh lakonannya dalam filem Jin Notti, Fara berkata, dia tidak mampu bertentang mata dengan Mawi untuk melakonkan satu daripada babak dalam filem berkenaan. Malah, lebih 15 kali babak berkenaan terpaksa dilakukan.

Serasi berlakon dengan Mawi

Sambil menjeling Mawi, Fara akui: “Bukan saya takut jatuh cinta dengan Mawi, tetapi entahlah, sukar sangat nak melakonkan babak berkenaan. Bila pandang muka Mawi saja, saya nak ketawa. Bukan saja rasa nak ketawa terbahak-bahak tetapi rasa takut juga ada. Maklumlah ketika itu, Mawi belum berkahwin, bimbang pula apa pandangan Ekin melihat adegan romantis. Sebenarnya Mawi atau Ekin tiada masalah, saya saja yang rasa tak sedap hati, tetapi nasiblah Mawi banyak memberi tunjuk ajar biarpun itu filem pertamanya.

“Ketika diberitahu bergandingan dengan Mawi, saya juga jadi takut. Bukan takut nak bergandingan dengan nama besar sepertinya, tetapi saya risau dengan peminat Mawi. Siapalah saya jika nak dibandingkan dengan Mawi. Mawi punya nama besar dan ramai peminat yang menggilainya. Saya jadi takut!

“Saya akui mempunyai keserasian berlakon dengan Mawi, malah kami satu kepala. Dalam filem Jin Notti, saya membawa pelbagai watak iaitu anak Jin, budak punk, samseng Cina, peguam dan gadis misteri. Setiap watak ada cabarannya terutama membabitkan babak pergaduhan, berlagak sebagai seorang peguam sehebat Karpal Singh dan banyak babak yang di luar jangkaan. Orang tidak akan melihat Fara Fauzana lagi dalam filem itu.”

Berlakon dengan Ekin dalam drama raya

Bagi Mawi, bukan soal sudah tidak laku apabila beralih arah ke bidang lakonan, sebaliknya dirinya perlu melakukan perubahan untuk terus memantapkan kerjaya seninya. Soal namanya yang dikatakan kian tenggelam dek kehadiran artis baru bukan soalnya, malah hidup perlu diteruskan.

Secara jujur, Mawi akui: “Soal rezeki, ketentuan Tuhan. Artis mana yang tidak melalui zaman getir dan kejatuhan tetapi saya anggap itu semua itu adalah takdir Tuhan. Saya masih boleh bernafas dengan undangan persembahan, album malah saya kini lebih memberi tumpuan kepada bidang lakonan.

“Alhamdullilah, ketika ramai yang mengatakan nama Mawi sudah tenggelam timbul, saya ditawarkan berlakon filem. Selepas filem Jin Notti, saya terbabit pula dalam filem Magika. Terbaru, saya dijangka muncul dalam sebuah filem lagi tetapi semuanya masih dalam perbincangan awal.

“Di samping itu juga, saya melebarkan sayap perniagaan dengan menceburi bidang penerbitan. Selain menerbitkan program Langkah Mawi ke Australia dan India, syarikat saya, MW Entertainment Sdn Bhd juga menerbitkan sebuah telemovie Aidilfitri berjudul Rumah Baru, Bini Baru & Baru Raya di Astro Prima. Telemovie arahan Rahila Ali itu menampilkan saya dan isteri, Ekin sebagai pelakon selain Bob Kuman, Lis Dawati, Nazril, Along Cham, Zila dan Amir Raja Lawak.

Sedar jatuh bangun seseorang artis

“Apa yang dapat saya katakan, saya tidak pernah rasa tergugat dengan kehadiran artis baru yang bertali arus, malah sejak dulu, saya sentiasa mengingatkan diri, naik dan turun dalam industri hiburan adalah perkara biasa. Mungkin sudah tiba masanya saya menumpukan perhatian pada dunia lakonan memandangkan dulu, saya terikat dengan kerjaya nyanyian.”

Mawi juga berkata, dia selesa bekerjasama dengan Fara bukan kerana penyampai radio popular itu gila-gila, tetapi dia juga seorang yang lasak dan tahan dengan cabaran.

Sambil ketawa, Mawi berkata: “Dalam satu babak, Fara terketuk kepala saya dengan belakang pedang dengan agak kuat, hanya Tuhan yang tahu rasa sakitnya, tetapi saya terpaksa bertahan. Banyak babak stunt yang saya dan Fara terpaksa lakukan sendiri, kami sengaja tidak mahu mengharapkan stuntman kerana inginkan pengalaman.

“Watak saya sebagai Inspektor Aziz, seorang serius, tetapi melihat gelagat Fara, saya memang angkat tangan, tak tahan gelak. Dalam filem ini, saya bertemu Fara yang melakonkan pelbagai watak, sekejap budak punk, samseng Cina, peguam dan seorang gadis misteri, tetapi saya mula dapat mengecamnya apabila tangannya sentiasa menggeletar ketika kami bertemu."

Info Mawi

NAMA PENUH: Asmawi Ani

USIA: 28 Tahun

TARIKH LAHIR: 25 Ogos 1981

ASAL: Felda Taib Andak, Kulai, Johor

PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3); Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005; Bintang Paling Popular, ABPBH 2006; Bintang Paling Popular, ABPBH 2007

ALBUM: The Best of Mawi World, Yang Tercinta, Doa, Berzanji & Qasidah Berlagu dan album MTV Karaoke Best of Mawi World & Allah Habeebi

FILEM: Jin Notti, Aduh Saliha! (penggambarannya masih tergendala) dan Magika

TELEMOVIE: Rumah Baru, Bini Baru & Baru Raya

PROGRAM: Langkah Mawi... World!

ANTARA IKLAN: Poweroot, Silky Man dan Mamee Slurpp

ANTARA DUTA: Wall's, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) dan Menara Kuala Lumpur



Info Fara Fauzana

NAMA PENUH: Farah Fauzana Mohd Fadzil

USIA: 29 Tahun

TARIKH LAHIR: 7 Februari 1980

KELUARGA: Kedua daripada tiga beradik

ASAL: Petaling Jaya, Selangor (dibesarkan di Shah Alam)

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam

KERJAYA: Penyampai radio HotFM, pengacara Melodi (TV3) dan pelakon

FILEM: SH3 The Movie, Gila Gila Bola dan Jin Notti

DRAMA: Nur 2, sitkom Fara, Gadis Cuci dan Gadis Cuci The Series

PENCAPAIAN: Pengacara TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005, ABPBH2006, ABPBH2007, ABPBH2008 dan Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH2007, ABPBH 2008

DUTA: Telekom Malaysia (TM), Keep Slim dan Jacob's

Lokasi: Bangkok Jazz, Chulan Square, Jalan Bukit Bintang

Busana Mawi: Tenc Boutique, Pavillion (603-2148 9977)

Busana Fara: D&D Beauty House, Ampang Waterfront, Bandar Baru Ampang, Selangor (603-4293 2588)

Antara dunia jin dan hantu


KEDUA-DUA filem ini dibuka tayangannya pada Hari Raya Aidil Fitri yang baru lepas. Walaupun kedua-dua filem ini ditayangkan sempena perayaan Aidil Fitri, tetapi kedua-dua filem ini tidak membawakan tema aidilfitri. Sebaliknya kedua-dua filem ini membawakan tema fantasi dan seram.

Jin Notti arahan Azhari M. Zain daripada skrip tulisan beliau dan Amir Hafizi adalah kisah fantasi moden tentang jin perempuan yang dihantar ke dunia atas alasan jin ini perlu dijahatkan disebabkan dia sentiasa berkelakuan baik di dunia jin yang merupakan suatu kesalahan dan sesuatu yang asing. Jin yang bernama Notti (lakonan DJ Radio Hot FM, Fara Fauzana) ini berusia lebih seratus tahun (dalam konteks jin usia ini masih muda) tercampak ke dunia manusia lalu cuba meniru perlakuan jahat manusia.

Dalam segmen pertama Notti menjadi Ruby gadis punk yang liar yang berkawan sama dengan Zulu (Sazzy Falak) juga gadis punk yang liar kerana masalah keluarga. Gagal menjadi jahat dalam segmen pertama, Notti sekali lagi dicampak ke dunia manusia di segmen kedua sebagai Yvonne, teman wanita seorang ketua gangster. Gagal dalam latihan di segmen kedua, Notti sekali lagi dicampakkan ke dunia sebagai Sharifah, seorang peguam bela yang perlu membela dan membebaskan Hisham (lakonan Aziz M. Osman) yang dituduh merogol Zulu, yang telah dipertemukan dalam segmen pertama.

Semasa di dunia, Notti yang diiringi oleh penasihatnya Jinbara (Cat Farish) yang sentiasa menasihati dan membisikkannya untuk melakukan kejahatan, sebaliknya Notti telah jatuh hati pula dengan Aziz (Mawi), pembantu ketua gangster (Corrie) seorang lelaki yang sebenarnya baik.

Pada dasarnya Jin Notti mempunyai premis cerita yang menarik, tentang dunia manusia dan jin, dua dunia yang bertentangan peraturan hidupnya. Pertentangan peraturan ini dan kesilapan dalam memahaminya sudah mampu menyediakan premis komedi yang menarik. Malangnya cerita Jin Notti tidak mempunyai olahan plot yang baik ditambah pula dengan kelemahan lakonan dan pengarahan.

Fara Fauzana sebagai Notti atau naughty (nakal), jin wanita yang membawakan variasi watak gadis punk, gangster dan peguam bela tidak dapat memberikan variasi dalam transformasi watak-wataknya dengan berkesan. Malah kelihatan kaku dalam adegan yang menuntut dia memberikan riak dan emosi. Begitu juga Mawi sebagai Aziz hanya mempamerkan keupayaan yang sederhana, tetapi jika dia mendapat arahan yang baik Mawi boleh menyerlah sebagai pelakon.

Walau bagaimanapun Jin Notti mempunyai elemen dan dialog-dialog komedi spontan yang cukup sinis dan berbau kritikan politik yang tajam. Hal ini dapat dilihat terutamanya pada adegan-adegan di mahkamah dalam aksi yang melibatkan peguam bela, pendakwa dan hakim. Sungguhpun adegan di mahkamah jin boleh menjadi metafora keadilan yang menarik tetapi sekali lagi adegan yang seharusnya menarik ini tidak dilengkapkan dengan arahan seni yang baik.

Set mahkamah jin kelihatan cukup sederhana, sedangkan set ini seharusnya memperlihatkan suasana yang hebat dan magikal. Begitu juga gambaran alam jin dan masyarakatnya yang memperlihatkan gaya hidup yang bertentangan dengan masyarakat bumi tidak ditunjukkan sedangkan aspek ini seharusnya digambarkan visualnya.

Elemen efek khas visual dan bunyi seharusnya mampu menjadi tunjang yang memperlihatkan kehebatan filem ini, tetapi sayang kemampuan Imej Janaan Komputer (CGI) yang selalu ada dalam filem-filem terbitan KRU tidak digunakan dengan berkesan dalam filem Jin Notti.

Jika filem Jin Notti bersandarkan kisah fantasi moden, tetapi filem Momok: The Movie (MTM) hanya merupakan rangkaian segmen kisah-kisah hantu yang popular di kalangan masyarakat Melayu tradisi. Pembikinan filem MTM sebenarnya lanjutan daripada kejayaan M.Jamil menghasilkan Momok dalam bentuk VCD hasil daripada sebuah pameran tentang hantu anjuran Muzium Negara yang cukup berjaya pada tahun 2002.

Kisah-kisah hantu tradisi seperti pontianak, pocong, orang bunian atau mitos orang mati yang bangkit bila dilangkah kucing hitam diceritakan oleh Kadir (Abon) kepada Adlin (Faizal) yang baru balik ke kampung itu dari Terengganu semasa mereka bertandang ke gerai mi calong kepunyaan Pak Aziz (Aziz Sattar). Sayangnya kisah-kisah hantu yang diceritakan oleh Kadir atau Pak Aziz kepada Adlin sekadar cerita kosong sahaja tanpa ada kaitan segmen antara satu sama lain, cukup sekadar mengisi masa menunggu mi calong yang hendak disiapkan oleh Pak Aziz untuk Kadir dan Adlin.

MTM nyata tidak memperlihatkan sesuatu yang lebih istimewa daripada versi VCD, sama ada daripada aspek olahan cerita atau pun teknik pembikinan apabila dipindahkan ke bentuk filem, (MTM dibikin menggunakan peralatan video digital definisi tinggi kemudian dipindahkan ke filem).

MTM cuba menggabungkan elemen seram dan lucu yang mana pada adegan tertentu memang berkesan menyeramkan biarpun dihasilkan secara yang sederhana. Tetapi lakonan Abon, Faizal dan Aziz Sattar berjaya memberikan elemen komik yang melucukan dalam filem ini. Sebagaimana kejayaan VCDnya, MTM mungkin sahaja boleh menjadi sleeper hit.

Sayang Jin Notti yang berpotensi untuk menjadi sebuah filem fantasi moden yang menarik tidak dieksploit sepenuhnya, manakala MTM walaupun masih bersandarkan kepada kisah seram tradisi Melayu tetapi seharusnya diberikan pendekatan dan olahan baru yang lebih menarik dan menyegarkan. Walaupun sekadar untuk mengisi hiburan tontonan sambutan hari raya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails